Monday, July 20, 2015

SE CINTA SI GADIS DOBI VERSI SAMBUT RAYA


AJAD pantas meniti anak tangga menuju ke bilik tidur. Tidak betah untuk terus berada di ruang tamu. Takbir yang bergema menambah sayu dalam hatinya. Tadi semasa bertakbir di masjid pun hampir sahaja dia tidak mampu mengawal perasaan sedihnya. Inikan pula bila diri sudah berada di rumah. Kalau berlama-lama di ruang menonton ini dia yakin air matanya pasti akan luruh.
Dini yang baru selesai menghidangkan minuman panas hanya memerhati tingkah suaminya. Bibir diketap. Mindanya galak berputar. Memikirkan apakah yang menimpa suaminya itu.
“Mana Ajad?” Puan Sri Alia yang keluar dari ruang dapur memandang Dini yang tercegat di sisi meja makan. Diletakkan piring berisi onde-onde buah melaka dan bingka ubi di atas meja.
“Huh?” Tersentak Dini. Ligat jemarinya menyusun cawan dan piring. Tidak mahu mamanya mengesan perangai peliknya.
“Ajad mana dia? Tadi macam mama perasan dia dah balik. Tak nak minum dulu ke?”
“Ooo… Sekejap. Dini panggil abang.” Terus sahaja Dini meninggalkan mamanya yang menggeleng tidak faham. Biarlah asal dia tidak menjatuhkan air muka Ajad. Sebagai isteri dia ingat itu.
Ajad labuhkan punggung di birai katil. Songkok yang dipakai diletakkan sahaja di atas tilam. Rambutnya dikuak ke belakang dalam gerakan perlahan. Matanya merenung dinding. Fikirannya menerawang. Memikirkan seseorang yang sudah lama tidak bersua muka.
Dompetnya di atas meja sisi dicapai. Dikeluarkan sekeping gambar yang digunting kecil dari salah satu poket. Direnung wajah yang sentiasa dirinduinya. Insan yang sentiasa dia sayangi. Perasaan itu tidak pernah hilang. Rasa sayang kekal tersemat dalam hati.
Tiba-tiba dadanya terasa sebak. Manik jernih mula bergenang. Menitis perlahan menuruni pipinya. Segera diseka air mata yang mula menitik. Wajahnya didongakkan. Mengharap kesedihan yang membekas segera pudar.
"Abang?" Dini yang baru menapak masuk ke bilik tidur terkejut melihat Ajad yang duduk di atas katil. Dia perasan wajah itu sedikit mendung.
Pantas gambar di tangan Ajad terbalikkan. Senyuman hambar dilemparkan. Tidak mahu hati yang sedikit sedih dikesan Dini. Biarlah segala-galanya menjadi rahsianya seorang.
"Alana dah tidur?" Dia bertanya menyembunyikan rasa hati.
Dini yang sudah mendekati katil mengambil tempat di sebelah Ajad. Paha Ajad digosok lembut. Rasanya dia tahu apa yang bersarang dalam hati lelaki yang dia puja ini. Firasat seorang isteri selalunya benar.
"Mommy?" Wajah Ajad direnung lembut. Langsung tidak menjawab soalan yang ditanya.
Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Malah tanpa silu Ajad jatuhkan kepala dia di atas bahu Dini. Pinggang Dini dirangkul erat. Bertuahnya punya isteri seperti Dini yang memahami gejolak hatinya.
"Esok nak raya. Dah lama abang tak cium tangan mommy. I miss her so much. Entahkan hidup entahkan mati. Abang gagal, sayang. Abang gagal mencari mommy."
"Ssshhh... Jangan cakap macam tu. Macam putus harap. Entah-entah esok pagi Allah hantar mommy depan rumah kita," pujuk Dini bersama tawa kecil. Pipi Ajad dielus lembut.
“Abang dah penat meminta.” Ajad merintih. Kali ini dia membiarkan sahaja air mata yang mengalir. Tiada daya lagi mahu menyekanya.
Paha Ajad ditepuk Dini manja.
“Jangan pernah berhenti meminta dari Dia. In shaa Allah, Dia sentiasa mendengar. Dia nak lihat sejauh mana kesungguhan kita. Ajad Safiy yang Dini kenal tak pernah kenal erti mengalah. So, please… don’t stop!” Wajah basah Ajad dipandang.
Ajad tidak menjawab. Rangkulannya pada pinggang Dini semakin erat.



DINI berdiri tegak. Memerhati seketika lelaki yang sedang menghadap cermin sebelum berjalan perlahan-lahan mendekati Ajad yang nampak terkial-kial memasang butang baju melayunya.
“Abang…”
Ajad berpaling. Mengangkat kening pada Dini.
Senyuman Dini mekar. Tangannya memegang jemari Ajad. Jemari kasar itu diturunkan ke sisi. Dia mengambil alih menyematkan butang baju itu.
“Kacak dah ni." Dini mengusik selepas butang terakhir baju melayu cekak musang disematkan. Ditepuk sedikit dada Ajad.
"Tahu." Ajad tersenyum. Pipi Dini dicubit lembut.
Dia tahu sejak semalam Dini tak habis-habis cuba menceriakan hatinya. Dini langsung tidak kisah hal lain. Malah Alana anak mereka turut diserahkan pada mentuanya untuk dijaga. Pendek kata Dini berusaha keras untuk mempastikan dia sentiasa gembira.
Tanpa sedar bibir Ajad sudah berlabuh pada dahi Dini. Sepertinya dia mendapat kekuatan pabila kulit mereka bersentuhan. Terbang melayang rasa gundah yang menyapa hatinya.
"Hei... What's up?" Dini mendongak. Merenung wajah kacak Ajad yang memandang redup padanya.
"Terima kasih."
"Naaa..." Dini menggeleng.
"Pagi raya ni. Tak mau drama-drama," sambungnya lagi.
Tidak banyak bicara Ajad bawa tubuh Dini ke dalam pelukan. Dipeluk seerat-eratnya. Insan inilah yang memberi semangat kepada dia. Insan inilah yang membuat dia semakin kuat.
Dini tersenyum. Dia merasakan berjaya meminjamkan sedikit kekuatan untuk Ajad. Ditanam dalam hati untuk mencari insan istimewa dambaan suaminya ini. In shaa Allah, mudah-mudahan ada petunjuk Allah berikan di mana-mana.
“Jom. Semua orang dah tunggu dekat bawah nak solat dekat masjid,” ajak Dini bila pelukan dileraikan Ajad.
Ajad mengangguk. Jemari Dini digenggam erat. Mereka bersama-sama melangkah keluar dari situ.



SELESAI mendengar khutbah raya, Dini bergegas keluar. Langsung tidak menunggu mamanya. Dia ingin ke tandas. Sedari tadi dia menahan panggilan alam. Baru sahaja beberapa tapak melangkah, matanya tertancap pada seorang wanita tua yang jatuh terduduk di atas lantai.
"Eh!" Beg telekung di tangan terus dilepaskan. Kalut dia berlari dengan kaki ayam untuk membantu wanita tua itu.
"Mak cik okey?” Wajah tua itu dipandang seketika sebelum mulutnya menyambung kata.
“Susah bila semua orang tak bertamadun. Ada rak kasut tapi masih nak sepah-sepahkan kasut dan selipar ni," bebelnya sambil membantu wanita tua itu berdiri. Kesal sungguh dia dengan kedegilan masyarakat sekarang. Tak pasal-pasal orang lain yang jadi mangsa.
Wanita tua itu hanya tersenyum. Matanya tak lepas menatap wajah Dini tanpa Dini sedari. Rasa sakit di punggung langsung tak diendah.
"Terima kasih, nak."
"Tanggung jawab saya mak cik. Membantu orang dalam kesusahan." Dini tersenyum. Tangannya masih tak lepas dari memegang lengan wanita tua itu.
Wanita tua itu hanya mengangguk.
"Hmmm... Mak cik datang dengan siapa?" Dini tertoleh-toleh. Mencari jika ada sesiapa yang datang bersama-sama dengan wanita tua ini.
"Seorang." Lemah jawapan yang dilontarkan.
"Huh?" Sayu Dini mendengarnya. Tergamaknya anak-anak wanita tua ini membiarkan wanita yang sudah berumur seperti ini menunaikan solat di masjid seorang diri. Sudahlah terpaksa bersesak-sesak. Sampainya hati.
"Mak cik pergi dulu, nak." Tergesa-gesa wanita tua itu meminta diri.
"Eh, mak cik!" panggilan Dini tak bersambut. Hatta wanita tua itu menoleh pun tidak. Berkerut wajahnya memerhati langkah laju wanita tua itu.
"Sayang?"
Dini menoleh. Tersenyum pada Ajad yang ternaik kedua-dua belah keningnya.
“Apa yang dijeritkan?”
“Tadi ada seorang mak cik tu terjatuh. Dini tolong dia. Tiba-tiba aje dia berlari. Pelik betul.”
“Ooo… eh, jomlah. Orang lain semua dah gerak.”
Dini angguk menuruti langkah Ajad. Seketika baru dia teringat tujuan asalnya tadi.
“Tunggu sekejap, boleh tak? Dini nak ke sana.” Jari telunjuk dihalakan ke arah tandas wanita.
“Hmmm… cepat sikit.”
Eye, eye, sir. Abang tolong ambilkan beg telekung Dini tu.” Sempat Dini berpesan sebelum berlalu.
Ajad menggeleng melihat telatah Dini. Sikap kebudak-budakan isterinya itu tak pernah hilang. Dia berpaling.
“Abang!”
Laju Ajad menoleh semula pada Dini.
“Tak ada apa-apalah.” Dini menggeleng. Kembali melangkah menuju ke tandas.
“Sayang, sayang.” Ajad tersenyum. Entah apalah yang ingin dicakapkan isterinya itu.



BERKERUT dahi Dini. Penat otaknya dikerah. Sungguh, dia rasa macam pernah lihat wanita tua di masjid itu tadi. Cumanya dia tidak ingat di mana.
“Kenapa ni, sayang?” Ajad yang sedang mengagah Alana memandang Dini.
Dia perasan Dini berperangai pelik sejak mereka pulang dari masjid. Entah apalah yang difikirkan isterinya ini. Masa sesi bermaaf-maafan pun isterinya banyak berdiam diri. Malah waktu makan ketupat tadi pun asyik termenung.
Dini tidak menjawab sebaliknya bibirnya diketap. Kerutan di dahinya semakin berlapis-lapis.
Ajad tersenyum. Rasanya kalau dia berbuat sesuatu mesti Dini tak sedar. Alana diribanya. Wajahnya didekatkan pada pipi Dini. Bibirnya berlabuh di situ. Dikucup penuh perasaan.
“Abang!” Terjerit Dini bila menyedari perbuatan Ajad. Dipukul-pukul manja lengan kekar Ajad.
Ajad ketawa. Malah Alana turut sama mengekek. Si kecil itu menyangka mamanya ingin bergurau dengan dia agaknya.
“Suka tau ambil kesempatan.” Kali ini ‘ketam’ Dini berjalan.
“Ouchhh… Dah sayang abang panggil tak menyahut.” Ajad mengaduh. Hanya menjauhkan lengannya dari menjadi sasaran cubitan Dini. Berbisa juga walau tidak kuat mana cubitan tu.
Serangan manja Dini terhenti. Dia bersandar pada belakang sofa. Nafas berat dilepaskan.
“Dini teringat mak cik tadi.”
“Mesti dia selamat tu. Jangan risaulah. Abang pasti anak dia ada untuk jaga dia.” Ajad memujuk. Sebelah tangan sudah melingkar di bahu Dini. Digosok-gosok lengan kecil Dini. Sekilas kepada Dini dikucup.
“Harapnya macam tulah.” Dini mengangguk.
Doanya tak berhenti agar Allah peliharakan diri wanita tua tadi. Ikutkan hatinya ingin sahaja dia mencari wanita tua itu tetapi Ajad menghalang. Suaminya kata mungkin wanita tua itu tidak mahu simpati dari mereka.
“Ajad!” Kedengaran suara Tan Sri Ashraff melaung kuat dari tingkat bawah.
“Eh! Papa panggil tu.” Dini mencuit paha Ajad.
“Ada orang datang kut. Jom, sayang.” Ajad berdiri.
“Meh. Biar Dini dukung manja abang ni.” Dini yang sudah berdiri menghulurkan tangan.
Seperti memahami permintaan mamanya, Alana pantas menerjah ke dalam pelukan Dini sebelum sempat Ajad menghulur. Mereka berdua kemudian bergegas turun ke bawah bila jeritan Tan Sri Ashraff sekali lagi bergema.
“Ada apa, pa?” soal Ajad. Berdiri bersama-sama Dini di belakang sofa yang diduduki tetamu bapa mentuanya. Matanya turut memandang pada Puan Sri Alia.
“Ini.” Tan Sri Asraff menunjuk pada seorang wanita yang duduk bertentangan dengannya.
Ajad melangkah ke depan. Ingin memandang wajah tetamu itu.
Tetamu itu tersenyum sebaik pandangan mata mereka berlaga.
Ajad tergamam. Menggigil melihat apa yang terbentang di depan matanya. Subhanallah, bisik hatinya.
“Sa… sayang.” Ajad menggamit Dini supaya mendekat.
Pantas Dini menurut. Memandang wajah Ajad dan Tan Sri Ashraff seketika sebelum beralih pada wajah tetamu papanya.
“Mak cik?” Terkebil-kebil mata Dini.
Wanita tua itu mengangguk. Senyuman masih tak lekang di bibirnya. Malah jelas sekali matanya turut berkaca-kaca.
“Mom… mommy, sayang. Mommy. She’s my mommy.” Jemari Dini Ajad genggam erat.
Mommy?” Kini terjawab persoalan yang mengganggu benak Dini sedari tadi. Inilah ibu mentuanya. Patutlah dia merasakan macam pernah melihat wajah wanita tua ini. Manakan tidak, wajah wanita tua itu sentiasa tersimpan kemas dalam dompet suaminya.
Tanpa membuang masa, Ajad terus berlutut. Mencapai tangan wanita tua itu. Dikucup bertalu-talu. Malah pipi wanita tua itu turut menjadi mangsa. Kedua beranak itu saling berbalas pelukan.
Semua orang yang memerhati tersentuh melihat reaksi Ajad. Dini apatah lagi. Laju air matanya mengalir. Dia bersyukur. Doa Ajad diperkenankan Allah. Gurauannya semalam benar-benar menjadi kenyataan.



TELATAH Ajad yang sedang bermanja dengan mommynya diperhati Dini dari jauh. Alana awal-awal lagi telah diserahkan kepada pembantu rumah. Moodnya hilang nak melayan keletah Alana. Entahlah, hati dia rasa lain. Tak tahu kenapa rasa itu bertandang lagi. Rasa yang telah lama dia buang jauh-jauh.
Astaghfirullahaladzim. Dini, suami kau tu dengan mommy dia. Bukan sebarang perempuan. Perempuan yang akan menuntun dia ke syurga, bisik hatinya.
“Pandang apa?” tegur Puan Sri Alia.
Sebenarnya dia nampak apa yang Dini sedang tengok. Sengaja bertanya sebab dia perasan sejak besannya, Datin Angeline Abdullah datang, Dini lebih banyak berdiam diri. Tak mungkin Dini tak suka dengan besannya itu. Takkanlah Dini cemburu dengan ibu mentua sendiri.
Terhinggut sedikit bahu Dini. Memandang mamanya sekilas.
“Tak ada apalah, mama. Hmmm… Dini naik dulu.” Pantas sahaja Dini berlalu. Mengelak dari terus-terusan ditanya mamanya.
Sempat dia berhenti seketika di kaki tangga. Memerhati Ajad yang sedang ketawa sambil jemari suaminya itu tidak lepas dari memegang erat jemari ibu mentuanya. Sengaja dia berdeham. Mengharap Ajad memandang kepada dia. Namun usahanya itu hanya sia-sia. Dia perasan mata Ajad tak lepa dari merenung wajah ibu mentuanya itu.
“Aikkk… lupa isteri terus. Sampai hati.” Matanya menekur lantai. Satu persatu anak tangga dititi dengan lemah longlai.
Sampai di tingkat atas, dia memacu ke perpustakaan mini. Tidak jadi untuk terus ke bilik tidurnya. Sebenarnya dia ingin menenangkan hati. Memujuk hati sendiri yang sedang cemburukan ibu mentua sendiri.
Sementara itu di tingkat bawah, tawa Ajad dan mommynya tak berhenti. Ada saja yang dibualkan dua beranak ini.
“Kita sambung esok, ya sayang.” Datin Angeline mengusap rambut Ajad. Memujuk Ajad.
Seharian Ajad menemaninya. Langsung tak pedulikan anak isteri. Tadi pun dia perasan menantunya memerhatikan tingkah mereka berdua. Kasihan menantunya itu. Diajak berbual sama tetapi Dini ingin memberi ruang kepada dia dan Ajad. Mulia sungguh hati Dini.
Mommy dah mengantuk?” Ajad yang tidak mengerti bertanya semula.
“Ajad jangan risau. Mommy tak akan ke mana-mana. Badan mommy pun dah letih ni.” Datin Angeline sengaja memicit belakangnya.
“Hmmm… kalau gitu kata mommy, mari Ajad tunjukkan bilik.” Ajad bingkas berdiri. Nasib ibu mentuanya sudah memberitahu selepas makan malam tadi bilik mana satu yang telah disediakan untuk mommynya.
Datin Angeline mengangguk.
Setelah pintu bilik tetamu ditutup, Ajad meraup muka. Baru tersedar sesuatu.
“Ya Allah, Dini!” Kalut dia melangkah mencari isterinya di setiap pelusuk di tingkat bawawh sebelum bertembung dengan Puan Sri Alia.
“Cari apa, Ajad?”
“Dini. Mama nampak Dini?”
Puan Sri Alia tersenyum melihat gelagat Ajad yang tidak keruan. Sah, baru teringat isterilah tu. Masaklah menantunya ni. Orang tu nampak macam dah merajuk. Anaknya itu pun satu hal. Tak habis-habis dengan rajuknya. Ingatkan dah ada anak, berubahlah. Tak ada maknanya.
“Dah naik.” Ringkas sahaja Puan Sri Alia memberitahu.
“Ohhh… Ajad pun naik dululah, mama.” Terus sahaja Ajad berlalu tanpa menunggu jawapan ibu mentuanya. Kesayangan dia itu perlu dicari. Seharian dia tidak mengendahkan Dini.
“Sayang!” Suara Ajad memanggil bersama kuakan pintuk bilik dari luar.
Matanya melata ke serata bilik. Orang yang dipanggil tidak menyahut. Malah tidak juga kelihatan dalam bilik tidur itu. Dia melangkah masuk juga. Menjengah ke dalam bilik air. Tiada. Ke balkoni, juga tiada. Entah kenapa ringan sahaja pintu almari baju dibuka. Manalah tahu Dini buat perangai lama. Bersembunyi di situ. Hampa.
Ajad keluar. Tangannya sudah mencekak pinggang. Direnung ruang yang luas di tingkat atas ini. Matanya menangkap cahaya lampu dari salah satu pintu yang bertutup. Lega. Pastinya Dini di situ. Dia mengatur langkah.
Novel di tangan langsung tidak menarik minatnya untuk membaca. Bukan kerana novel itu tidak menarik tetapi akalnya yang melarang. Fikirannya masih lagi dihantui dengan Ajad dan ibu mentuanya. Sesekali jemarinya menyeka hujung mata.
“Sayanggg…”
Pantas Dini membetulkan kakinya yang berlunjur di atas sofa. Matanya sengaja menatap kemas novel di tangan. Dia nak Ajad tahu yang dia memang sedang membaca walau hakikatnya tidak.
Ajad mengambil tempat di sisi Dini. Duduk bertentangan dengan Dini. Matanya merenung wajah kesayangannya. Dia perasan sesuatu. Lingkaran mata Dini sedikit sembab. Ahhh… kenapalah dia suka buat kesayangan dia ini menangis.
“Buku apa?”
Dini tak menjawab. Sebaliknya hanya mengangkat dan menayangkan buku di tangan ke depan Ajad. Biarlah Ajad baca sendiri. Bukannya suaminya itu buta huruf.
“Cuma Dia Kekasihku. Menarik tajuknya. Best ke?” Ajad cuba memancing Dini agar berbicara dengannya. Dari perlakuan Dini dia tahu isterinya ini merajuk. Silap dia juga.
Dini hanya angkat bahu. Matanya masih tak lepas dari memandang buku cerita di tangan. Tak ada hati nak berbual dengan Ajad. Sedih bila seharian dia dipinggirkan.
Tiba-tiba, bukunya dirampas. Matanya dijegilkan. Tidak suka Ajad sewenang-wenangnya mengganggu dia. Rasa sedih tadi bertukar menjadi bengang.
“Sini.” Kedua-dua belah tangan Dini dipegang Ajad selepas meletakkan buku cerita itu di atas lantas. Dipaksanya Dini agar bangkit dan duduk bersama-sama dengan dia.
“Hesy…” Dini menepis.
“Sayanggg…” Lembut sahaja Ajad melontar kata. Dia tahu kekerasan bukannya cara terbaik memujuk Dini.
Dini mengeluh. Ini yang dia tidak suka. Longgar lututnya kalau Ajad sudah berlagu memanggil dia. Dia benci bila Ajad pandai memujuk. Mahu atau tidak dia bangkit juga dari perbaringannya.
Tanpa kata, Ajad terus menarik tubuh Dini ke dalam pelukannya sebaik sahaja Dini sudah duduk di sisinya.
Dini hanya mendiamkan diri. Tidak membalas langsung pelukan Ajad. Rajuknya masih bersisa walau hatinya sudah mula cair dengan perlakuan Ajad.
I’m sorry.” Ajad berbisik. Cuping telinga Dini dicium. Pelukannya turut dieratkan.
Masih tiada balasan. Pelukan dirungkai. Kedua-dua tangan Ajad memegang pipi Dini.
“Sayanggg…” Kini dahinya pula dijatuhkan pada dahi Dini. Lebih senang begini. Dapatlah dia membaca apa yang tersimpan dalam hati kesayangannya ini.
Lama juga mereka begitu sebelum Dini mula berbicara.
“Dini tak patut macam ni, kan.” Suara Dini tersekat-sekat. Meluahkan tanpa sedar apa yang dia rasai.
“Ssshhh… sayang berhak buat macam ni,” pujuk Ajad dalam nada berbisik. Tangannya sudah jatuh memegang kedua-dua tangan Dini.
“Dia mommy. Bukan perempuan sembarangan.” Semakin banyak patah kata yang ditutur Dini. Kesal dengan tingkahnya sendiri.
“Itu maknanya sayang memang sayang abang, hurmmm…” Bibir Dini dipagut sekilas.
“Maafkan Dini?” Mata Ajad direnung sayu.
“Maafkan abang juga?” Ajad membalas pandang.
Dini angguk.
Ajad tersenyum. Lantas berdiri. Menarik Dini mengikut langkahnya.
“Nak pergi mana?” Polos sahaja Dini menyoal.
“Bilik kita.”
“Bilik?”
“Dah malam, sayang. Lagi pun abang nak bayar balik masa yang abang tak hiraukan Dini.” Ajad kenyit mata bersama senyuman nakal.
“Eee…” Satu pukulan hinggap di tangan Ajad.
Ajad ketawa. Lega bila rajuk Dini dah hilang. Malah rasa gembiranya hari ini berganda-ganda dengan kemunculan mommynya. Tidak sabar menanti hari esok. Hari yang akan menemukan abah, abang dan adiknya dengan mommynya. 

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

10 comments:

  1. Pertemuan yg merungkai rindu di Aidil Fitri. ..

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah jumpa mommy akhirnya ..
    dini ccemburu aje tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dini...belajar utk tidak cemburu tp ttp cemburu...tq sudi baca

      Delete
  3. Best..sedih rase ati cam dini..gut work..kipidap

    ReplyDelete
  4. Best.. terharu dapat jg Ajad peluk mommy dia... Dini cemburu sbb dia rasa diabaikan seketika.. hadiah terhebat di hari raya utk Ajad...Selamat Hari Raya Syeena..

    ReplyDelete