Wednesday, March 29, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 15


AZZA menggosok-gosok matanya. Tidurnya terganggu dek deringan kuat telefon bimbit miliknya. Kalut sangat nak mengelak dari Ariq hingga dia terlupa memperlahankan bunyinya. Risau Ariq terjaga, cepat-cepat dia mencapai telefon bimbit yang diletakkannya di atas lantai.
Namun usahanya gagal walau berkali-kali mencuba. Sudahnya deringan itu mati. Dahi berkerut. Pelik. Seperti ada benda yang menyekat pergerakannnya. Tangan meraba pinggang.
“Apa ni?” Terbuntang matanya bila jemarinya menyentuh sesuatu yang sedikit berbulu. Berbulu? Laju dia mengerling belakangnya.
Eh, bila masa pula mamat ni…? Aduh, sesedap rasa pula dia peluk aku. Bibir diketap menahan rasa yang muncul. Tak tahu nak menjerit atau nak marah.  
Matanya semakin membulat bila dilihat bantal yang diletakkan di antara dia dan Ariq sebelum tidur elok tersusun di tepi dinding. Ini mesti kerja Ariq. Takkanlah dia mengigau nak buat semua tu. Buruk betul dia tidur sampai semuanya tak sedar. Dia menggeleng.
Telefon bimbitnya menjerit lagi. Manalah benda tu mengerti kesukaran tuannya. Mahu atau tak dia perlu jawab. Takut pula Ariq terjaga. Dia cuba mengalihkan tangan Ariq namun semakin kejap pula lelaki itu memeluk pinggangnya.
Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya berjaya juga dia mencapai telefon bimbitnya. Matanya dikecilkan meneliti nama pemanggil. Dari London. Kenapa? Hati sudah berdebar-debar.
“Deborah, what’s up?” Dia berbisik.
Tanpa Azza sedari Ariq juga sudah terjaga dan sekarang sedang pasang telinga. Sebenarnya selepas bunyi deringan pertama lagi dia sudah terjaga. Dia hanya berpura-pura tidur. Malah sengaja kemaskan pelukan pada pinggang Azza. Jika dia tidak berbuat demikian, pastinya Azza akan keluar dari bilik dan dia tidak dapat mendengar butir perbualan Azza.
I can’t fly right now. For the time being, I will ask Elias to cope with that matter. I will monitor from here. Just email me the details.”
Fly? Ke mana? Kau siapa sebenarnya, Azza? Hati Ariq tertanya-tanya.
It’s three a.m here, Deborah.”
Kalau diikutkan perkiraan waktu, panggilan yang diterima Azza datang dari luar negara. Sayup-sayup Ariq dapat mendengar suara si pemanggil tetapi tidak jelas butir bicaranya.
“It’s okay. After all, it’s my responsibility. Do keep in touch. Thank you, Deborah. Bye.”
Azza merenung telefon bimbitnya. Dia mengeluh. Beratnya tanggungjawab yang ditinggalkan almarhum daddy. Serasa dia belum cukup kuat untuk menggalas tugas yang diamanahkan.
Lihatlah sekarang ini, kehidupan dia menjadi tunggang-langgang. Tahu-tahu saja dia sudah menikah. Tak menempuh alam percintaan, tiada gaduh-merajuk-dipujuk. Tup-tup gelaran dia sudah bertukar kepada puan. Isteri kepada seorang suami.
Matanya dipejam seketika. Dia perlu luahkan apa yang terbuku dalam dadanya ini. Takut meletup kalau dibiarkan. Pada siapa? Luah pada Ariq? Belum masanya. Saat ini rasanya hanya DIA tempat yang sesuai untuk mengadu nasib.
Telefon bimbit diletak di bawah bantal. Perlahan-lahan Azza mengalihkan tangan Ariq dari terus memeluk pinggangnya. Tertib sekali dia bergerak. Duduk seketika. Ariq di sebelah direnung. Dia tersenyum senang melihat wajah tenang lelaki itu. Lelaki yang tiba-tiba memegang gelaran suami kepada dia. Selimut ditarik perlahan-lahan menutupi sebahagian badan Ariq sebelum dia bangun dan keluar dari bilik.
Setelah pasti Azza telah keluar, Ariq buka matanya. Mengerling ke pintu. Yakin Azza telah tiada sepantas kilat dia mencari telefon bimbit Azza di atas lantai.
“Eh! Mana pula dia letak?” Tidak mahu berlengah, tangannya meraba di bawah bantal Azza.
Gotcha!” Senyuman terlakar. Laju jarinya menekan skrin sambil sebelah tangan lagi mencapai telefon bimbitnya sendiri. Jemarinya pantas menaip nombor yang baru sahaja diterima Azza tadi. Selesai semuanya, telefon bimbit Azza diletakkan kembali di bawah bantal. Dia berbaring semula dan pejamkan mata.
Azza masuk ke dalam bilik. Telekung dikeluarkan dari dalam beg baju. Matanya melilau mencari sesuatu. Dia tersenyum bila melihat benda yang dicari elok tersidai di penyangkut baju. Ini bermakna Ariq tak culas menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Namun senyumannya mati bila teringatkan sesuatu.
“Alamak! Mana arah kiblat? Takkanlah nak kejutkan dia.” Bibirnya digigit sambil mata terkebil-kebil memandang Ariq.
“Errr… kalau tak kejutkan macam mana aku nak solat.” Semakin dia ragu-ragu sama ada mahu mengejutkan Ariq atau tidak. Namun kakinya melangkah jua mendekati katil.
Ariq mengulum senyum. Riak mukanya dikawal seboleh mungkin. Tak mahu Azza tahu dia memang sudah terjaga.
“Ariq! Ariq!” Digoyang kuat bahu Ariq.
“Hmmm…” Ariq berpura-pura menggeliat. Tangannya sengaja didepangkan sehingga terkena tubuh Azza.
Laju Azza menjauh. Terkejut dengan reaksi spontan Ariq. Nasib baik dia sudah memakai telekung. Kalau tidak terbatal wuduknya.
“Mana arah Kiblat?” Melihatkan mata Ariq sudah terbuka, cepat sahaja dia bertanya. Takut lelaki itu tertidur semula.
Ariq menuding jari telunjuknya.
Tanpa berlengah Azza menghamparkan sejadah mengikut arah seperti yang ditunjuk.
Ariq kekal berbaring. Tidak terlintas mahu mengikut jejak Azza. Dia lebih selesa menjadi penonton. Sejuk matanya melihat Azza menunaikan solat tahajjud. Sesekali tangannya menutup mulut. Kantuknya masih terasa. Malah mata yang hampir layu cuba ditahan dari terpejam. Kalau boleh mahu ditongkat dengan batang mancis.
“Ya Allah! Kepada Mu aku menyerahkan diri, kepada Mu aku beriman, kepada Mu aku bertawakal, kepada Mu aku kembali, kepada Mu aku menghadapi musuh dan kepada Mu aku berhukum. Ya Allah! Ampunilah dosa-dosa ku sama ada yang lalu atau yang akan datang. Ampunilah juga dosa-dosa suamiku dan dosa-dosa alamrhum ibu bapaku.” Jeda. Esakan kecil mula terluah dari bibir Azza.
Suara Azza yang bernada sendu sampai ke telinga Ariq. Matanya dibuka luas-luas. Dia terlelap hingga tak sedar Azza sudah selesai. Azza yang menangis di atas sejadah dipandang lama.
“Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui. Hanya kepada Mu aku meminta pertolongan. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Sesungguhnya berat ujian yang Engkau turunkan kepadaku. Keluarkanlah aku dari kenangan silam. Ya Allah! Berikanlah aku cahaya untukku hadapi bersama-sama suamiku ini. Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaijkan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Ariq tak tahu apa yang Azza sudah lalui. Gadis itu seperti menceritakan sesuatu dalam setiap patah doa yang dituturkannya. Jika dia merasakan ujian untuk dirinya sudah hebat, entahkan dugaan untuk Azza lebih lagi.
Suara tangisan Azza mengganggu lamunan Ariq. Merentap tangkai hatinya. Tanpa disedari menitis setitik air mata lelakinya. Ikutkan hati mahu sahaja dia menerpa Azza yang masih berteleku di atas sejadah. Mahu memeluk tubuh itu erat. Mahu meminjamkan dadanya. Mahu menenangkan emosi gadis itu walau dia tak tahu apa yang telah gadis itu alami. Matanya dipejam rapat.
“Ariq, bangun! Dah subuh.”  
“Subuh?” Ariq terpisat-pisat. Jemarinya laju menggenyeh mata. Perlahan-lahan penglihatan yang kabur mula jelas. Terpampang wajah Azza yang sedang tersenyum kepadanya.
Bingkas dia dari baringnya. Menekur lantai seketika. Dia terlelap ke? Rasa macam baru sahaja dia pejamkan mata. Dia mendongak.
“Kau dah solat?” Azza yang sudah berganti baju dipandang atas bawah.
Azza hanya mengangguk. Tersenyum nipis lalu mula mengatur langkah untuk keluar dari situ.
“Lain kali kalau aku ada dekat rumah, kita solat berjemaah.”
Terberhenti langkah Azza di muka pintu. Dia berpaling. Memandang pada Ariq yang sedang berjalan ke arahnya.
You heard me.”
Ariq berhenti seketika di sisi Azza. Mendekatkan wajahnya pada muka Azza hingga memaksa gadis itu menjarakkan kedudukan mereka. Hujung hidung Azza dicuitnya sedikit sebelum berlalu meninggalkan gadis itu termangu-mangu dengan tingkah spontan dia. Tersungging senyuman senget di bibirnya dengan reaksi Azza.
Azza kaget. Perlahan-lahan jarinya naik menyentuh hidung. Sungguh, dia tak sangka Ariq boleh bertindak begitu. Namun terbit segaris senyuman di bibirnya. Bukan kerana dia suka dengan apa yang Ariq telah buat. Kata-kata Ariq pasal solat berjemaah lebih menarik perhatiannya. Kiranya dia tidak salah membuat keputusan bersetuju untuk menikah dengan Ariq.
Bersama senyuman yang masih terukir di bibir, dia mengatur langkah menuju ke ruang dapur. Ingin menjalankan tugas pertama sebagai seorang isteri. Menyediakan sarapan pagi untuk Ariq.
Peti sejuk dibuka. Sebelum itu sempat dia mengerling ke meja makan. Nampak ada sebungkus roti tawar. Dia tersenyum lebar. Sudah tahu apa yang ingin dibuat. Lalu sekotak susu, sebiji telur dan sepeket keju jenama chesdale digapai. Semua bahan-bahan itu dikeluarkan dan diletakkan di atas meja makan.
Langkahnya diatur pula mendekati kabinet dapur. Satu persatu pintu kabinet dibuka tapi benda yang dicari tidak berjumpa. Kepala yang tidak gatal digaru. Termenung dia seketika. Mengharapkan satu keajaiban. Manalah tahu kabinet yang bisu ini boleh memberitahu dia di mana tuan rumah letak kuali.
“Cari apa?”
Mommy!” Jeritan Azza nyaring memenuhi ruang dapur hingga tanpa sedar terlompat sedikit. Terkejut bila ada suara berbisik di telinganya. Dadanya yang masih berdebar diurut laju.
Pantas dia berpaling bila terdengar suara tawa Ariq. Matanya terkebil-kebil memandang Ariq yang tersenyum nakal kepadanya. Itulah, Azza. Minta lagi satu keajaiban. Kan sudah dikabulkan. Memang ajaib sungguh orang dekat depan ni. Bila masa agaknya berdiri di belakang dia.
Eh, alamak! Liur ditelan. Laju dia kalih pandangan. Ariq ni memang sengaja mendera perasaan dia. Boleh buta matanya kalau selalu dihidangkan dengan pemandangan begini. Boleh lelaki ini selamba sahaja hanya bertuala separas pinggang. Sudahlah badan lelaki itu masih basah dengan titisan air. Dah macam pelakon Baywatch. Ya Allah, otak dia dah tercemar! Sungguh, dia bukan sengaja.
Ariq jongket kening bila Azza kembali memandang dia.
“Ca…cari ku…kuali.” Bibir diketap menahan debar. Merenung tepat pada wajah yang berjarak tidak sampai seinci dari dia. Dah kenapa dengan dia ni. Tergagap bagai. Ya Allah, malunya! Sahlah Ariq tahu dia tengah gabra.
Ariq tersenyum. Dia menunduk sedikit. Kuali yang diletakkan di bahagian bawah kabinet dikeluarkan.
Eh! Boleh pulak dia buat wayang dekat sini. Janganlah tuala tu tertanggal. Azza menutup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Seram.
“Nah.” Ariq letak kuali di atas dapur.
Azza mengintai di balik celahan jemarinya.
“Apa yang kau takut sangat?” Ariq mengecilkan matanya. Menggeleng perlahan dan berlalu dari situ.
Betul kata Ariq. Apa yang dia takutkan? Hailaaa. Azza menggeleng.
Malas mahu memikirkan benda remeh, segera dia mencapai mangkuk plastik besar untuk membancuh telur. Lagi lama dia termenung lagi lambatlah siap sarapan pagi mereka.
“Kalau nampak pun tak apa. Dah halal,” sakat Ariq yang menjengukkan kepalanya sedikit di balik dinding yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu sebelum pantas berlalu dari situ.
Terpelanting bekas plastik di tangan Azza.
“Ariq!!!” Bergema suara Azza satu rumah. Senada dengan tawa Ariq.
Ariq terus sahaja bersiap-siap usai menunaikan solat subuh. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Masih terbayang-bayang di matanya telatah Azza tadi. Kalut betul gadis itu. Naif dan polos tingkahnya. Khayalannya terbang bila kedengaran telefon bimbit Azza berdering nyaring.
Sambil mengemaskan butang kemeja dia mendekati night stand. Telefon bimbit Azza diambil. Matanya mengamati nombor yang tertera. Nombor yang sama. Siapa agaknya yang sibuk sangat menghubungi Azza ni?
“Azza, telefon kau!” jeritnya selepas telefon bimbit Azza diletakkan semula.
Terkocoh-kacah Azza berlari anak masuk ke dalam bilik. Macam mana dia boleh terlupa membawa keluar telefon bimbitnya tadi. Dia berharap sangat bukan Deborah yang membuat panggilan. Kalau tidak memang masaklah dia. Ariq pasti akan bertanya macam-macam.
“Eh!” Terpaku dia seketika. Namun cepat-cepat mendapatkan telefon bimbitnya.
Ariq tersengih. Dia sengaja berdiri di depan pintu bilik dengan hanya berkemeja tanpa seluar. Lambat-lambat dia mengemaskan butang lengan bajunya sambil mata tak lepas memandang Azza.
Azza melihat nombor yang tertera di skrin telefon. Deborah. Macam mana ni? Takkan nak jawab dekat sini? Ini nak keluar pun payah. Ariq ni pun satulah. Boleh pula dia buat tayangan perdana. Kenapalah nak seksi-seksi sangat? Seksa mata dia.
“Kenapa tak jawab? Tak risau ke kalau-kalau panggilan tu penting?” Ariq menari-narikan keningnya. Dia kekal berdiri di depan pintu.
Perlahan-lahan Azza bawa telefon bimbit melekap ke telinga. Mata tetap bersabung pandang dengan Ariq.
“Hello! Deborah, I’ll call you later.” Tona suaranya perlahan sahaja dan panggilan yang diterima terus diputuskan.
Telefon bimbit digenggam. Nafas dihela dalam-dalam sebelum kaki dihayun. Mahu segera keluar dari situ. Tidak mahu bersoal-jawab dengan Ariq. Naluri hatinya dapat merasakan sepertinya Ariq dapat meneka sesuatu tetapi entahlah. Harap-harap tebakan hatinya tidak betul.
Ariq tersenyum senget.
Who are you actually, wifey?” Dia menyoal kala Azza mahu melintasinya.
Langkah Azza mati. Wajah lelaki di depannya ditatap.
Dealing with someone from London? You’re not an ordinary kampong girl.”
Crap! Mana Ariq tahu dia berhubung dengan seseorang dari London? Lewat pagi tadi Ariq tersedar ke?
You owe me an explaination. We will talk about this later. Lunch time. Now, please get my pant,” arah Ariq.
Kalau ikutkan banyak yang ingin dia bertanya tetapi memandangkan dia perlu segera ke tapak pembinaan hal itu boleh ditangguhkan dulu. Tengah hari nanti Azza tidak boleh tidak mesti terangkan segala-galanya kepada dia.
Azza berpaling. Menurut seperti yang diperintah. Takut nak membantah bila melihatkan riak serius pada wajah Ariq. Dia mengambil seluar Ariq di atas katil kemudian dihulurkan pada lelaki itu dan berdiri macam patung cendana kala Ariq menyarungkannya.
My tie.”
Bagaikan robot, Azza patuh. Dia membetulkan ikatan tali leher Ariq. Nak cakap tak tahu nampak macam penipu. Orang yang pandai berbahasa inggeris pastinya tidak kolot. Ikatan tali leher hanya di hujung jari sahaja. Tambahan pula semasa bersekolah dia pernah menjadi pengawas.
Ariq tersenyum. Seraut wajah putih Azza diamati betul-betul. Tanpa sedar tangannya membelai rambut Azza. Terpukau dengan bauan wangi yang terbit. Malah sejak malam tadi lagi dia berangan-angan untuk menyentuh rambut Azza. Ini kalau orang tengok mesti nampak mereka berdua macam lovey dovey couple. Macam orang dah bercinta bertahun hingga akhirnya disatukan.  
“Errr…Ariq. Done.”
Thanks.” Satu ciuman dihadiahkan pada dahi Azza sebelum Ariq berlalu keluar.
Azza kaku.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

8 comments:

  1. Next....hbis kat blog kah sist???... 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak dear. InsyaAllah bakal terbit PBAKL 2017 nanti

      Delete
  2. Alaahh sedihnyaa 😥...susah nak dpt novel2 ni..🙈..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh beli online n ada jual juga di kedai2 buku😉

      Delete
  3. best...x sabar nak tahu sambungan...

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. Kat saya xde stok dah tapi buku ni ada dijual kat kedai buku popular. Boleh cari kat sana

      Delete