Friday, April 3, 2015

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 9

HARI ini Asyikin nampak lain sekali. Wajahnya ceria. Tiada riak penat ataupun bosan terpamer pada wajahnya. Kad undangan ke majlis perkahwinan dia dan Abrar sudah diedarkan kepada rakan-rakan sejawatnya.

Dia mendekati Doktor Naim yang sedang berbual-bual dengan Doktor Chong. Dihulurkan sekeping kad setiap seorang.

Doktor Naim pandang muka Asyikin. Merenung seketika sampul berwarna kelabu yang sudah bertukar tangan. Hati dia dah rasa lain. Lambat-lambat dibukanya juga sampul itu. Terbuntang matanya saat membaca nama yang tertera.

"Apa kurangnya I, Ikin?" Tanpa angin tanpa ribut Doktor Naim menyoal. Tangannya sudah naik melurut rambut. Bengang.

Doktor Chong yang tidak tahu apa-apa terpinga-pinga. Memandang Doktor Naim dan Asyikin bersilih ganti.

Asyikin tersenyum. Dia sudah agak pastinya Doktor Naim akan mengungkit perkara ini dan dia sudah bersedia menghadapinya.

"You tak ada kurang apa-apa pun, doktor." Tenang dia menjawab soalan Doktor Naim.

"Kalau tak ada yang kurang kenapa you pilih dia?" Doktor Naim bertanya lagi. Nada suara itu jelas tidak berpuas hati.

"Congrats, Asyikin." Doktor Marina yang entah datang dari mana mencelah. Dikibas-kibas kad undangan Asyikin di tangannya. Tersenyum-senyum dia memandang Doktor Naim.

Doktor Naim menjeling. Tidak suka dengan kehadiran Doktor Marina. Semakin tidak suka bila mendengar ucapan yang keluar dari mulut Doktor Marina.

“Kalau I free, I datang majlis you. Kita pergi berdua ya, Naim.” Doktor Marina tersenyum-senyum.

Go to hell.” Doktor Naim campak kad undangan di tangan ke muka Asyikin.

Terkedu semua yang ada di situ. Tidak sangka sampai begitu sekali Doktor Naim marah.

“Doktor! Doktor! Doktor!” Asyikin mengejar. Dalam berlari tu dia tersadung troli ubat yang diletakkan di laluan ke wad pesakit.

“Ikin! Ikin!”

Asyikin menepis bila terasa ada tangan yang menyentuh lengannya. Dia perlu dapatkan Doktor Naim. Dia perlu terangkan kenapa dia memilih Abrar.

“Ya Allah, Ikin!” Suara Imah melengking tinggi.

Asyikin buka sebelah matanya. Perlahan-lahan.

“Kau dah kenapa menjerit panggil doktor macam orang gila.” Imah yang berdiri di kaki katil mencekak pinggang memandang Asyikin.

“Doktor Naim mana?” Terpisat-pisat Asyikin menggosok mata. Dia bangkit dari perbaringan. Duduk berteleku. Wajahnya pelik memandang katil di sisinya. Dia terjatuh katil ke?

“Dah kenapa dengan Doktor Naim?” Berkerut dahi Imah.

“Dia marah aku lepas aku bagi kad kahwin aku,” beritahu Asyikin yakin.

“Kad kahwin? Kau kahwin dengan siapa?” Semakin berlapis-lapis kedutan dahi Imah.

“Abrarlah. Mr. G tu.” Asyikin tersenyum-senyum.

“Kau jangan nak perasan boleh tak? Sekarang ni pukul 3.00 pagi. Kau dah ganggu tidur aku. Terpekik-pekik macam orang tak betul. Pergi tidur balik.” Imah membebel dan naik ke atas katil semula.

“Aku mimpi ke?” Asyikin menggaru-garu kepalanya. Terasa macam betul sahaja kejadian tadi. Perlahan-lahan dia juga merangkak naik ke atas katil.

“Jadilah aku kahwin dengan Abrar.” Asyikin tersengih-sengih sendirian. Berangan.

“Tidurlah!” Imah mendengus kasar.
             
             
TENGAH HARI itu seperti biasa Asyikin dan Imah pergi makan tengah hari di restoran berdekatan dengan hospital. Kalau ikutkan Asyikin malas nak berjalan jauh tapi Imah yang beria-ia mengajaknya makan di situ.

Babe! Tu bukan Abrar ke?” Imah menuding jari ke arah pacuan empat roda yang diparkir berdekatan dengan restoran.

“Abrar? Mana?” Asyikin memusatkan pandangan mengikut arah jari telunjuk Imah.

“Itu!” Imah tuding jari ke arah yang sama.

“A’ahlah. Eh! Dia dengan siapa?” Senyuman Asyikin mati sebaik melihat Abrar berjalan beriringan dengan seorang perempuan.

“Kawan sepejabat kut.” Imah tarik tangan Asyikin yang berdiri tegak memandang pintu restoran.

“Aku macam kenal perempuan tu.” Asyikin mengikut sahaja langkah Imah. Kepalanya berputar cuba memikirkan siapa perempuan yang bersama-sama dengan Abrar.

Sebaik melangkah masuk ke dalam restoran, Asyikin meminta Imah untuk mengambil dahulu makanan. Dia ingin berjumpa dengan Abrar sekejap.

“Asyikin!” Terperanjat Abrar bila Asyikin berdiri betul-betul di depan mata dia.

Asyikin hanya menjeling.

“You buat apa dekat sini?” tanya Abrar serba-salah. Matanya meliar mencari Afiqah. Takut gadis itu muncul dan timbulkan kekecohan. Dia tidak mahu hati Asyikin terluka.

“Basuh baju.” Eh, hello! Mr. geologist. Restoran kut mestilah nak makan. Asyikin mendengus.

“Abrar, you dah orderkan makanan I ke?” Afiqah yang muncul entah dari mana memanggil Abrar dari belakang.

Terbuntang mata Asyikin saat mendengar suara Afiqah di belakang Abrar. Perempuan yang kononnya Abrar cakap dah melukakan hati dia tapi Abrar masih curi-curi jumpa perempuan ini di belakang dia. Apa kes?

Abrar melurut rambutnya ke belakang. Inilah padahnya kalau tidak berterus-terang. Janganlah Asyikin mengamuk. Dia tiada niat apa-apa pun keluar dengan Afiqah ini. Sekadar untuk meleraikan segala-galanya.

“Errr… you! Rasanya kita pernah jumpa sekali dulu, kan?” Afiqah memandang Asyikin dengan senyuman sinis sambil memaut lengan Abrar.

Macam nak terkeluar bebola mata Asyikin melihat perlakuan jelik Afiqah. Murahnya perempuan ni. Sempat hatinya mengutuk. Namun Abrar juga tidak lari dari sumpah seranahnya. Dasar lelaki. Lembut gigi dari lidah.

Pantas Abrar meleraikan pautan Afiqah. Mulutnya pula seakan terkunci ingin menerangkan duduk perkara sebenar kepada Asyikin. Sungguh dia memang tidak menduga pertemuan ini terjadi.

“Selamat menjamu selera, Encik Abrar. Kawan saya dah panggil tu.” Asyikin senyum sinis. Ingat dia hairan sangat Abrar nak keluar dengan perempuan tu.

“Errr…” Abrar tidak sempat menahan bila Asyikin terus meninggalkan dia dan Afiqah.

“Jomlah.” Afiqah merengek. Mengajak Abrar dengan muka masam mencuka.

Abrar mengeluh. Dia berlalu ke meja makan. Namun matanya tidak lekang dari memandang susuk Asyikin walau gadis itu langsung tidak memandang kepadanya. Hatinya resah melihat ketenangan buah hatinya itu. Sukar menebak sama ada gadis itu marah atau sebaliknya.

“Kau tengok apa?” Imah yang baru keluar dari tandas menepuk bahu Asyikin.

“Tengok so call pakwe kesayangan dengan ex-girlfriend dia.” Muncung Asyikin menghala ke meja Abrar dan Afiqah.

“Uit… tak cemburu ke?” usik Imah. Menarik tangan Asyikin mendekati deretan lauk pauk yang terhidang.

“Gila tak cemburu? Tapi tak apa. Aku nak tengok sejauh mana permainan perempuan tu.” Asyikin ketap bibir. Tangannya tetap berjalan mengambil pinggan makan walau perhatian tidak sepenuhnya pada pelbagai jenis makanan yang di depannya ini. Matanya memerhati Abrar tetapi bila pandangannya bertembung dengan Abrar lekas-lekas dia kalih pandang.

“Tak marah pula kau kat Mr. G tu?” Terangkat kening Imah melihat Asyikin yang boleh dikategorikan super cool. Tabik spring dia pada temannya ini.

“Mr. G tu kacang je nak uruskan.” Asyikin tersengih. Betul luarannya dia nampak tenang tapi terselit juga rasa sakit dalam hatinya ini. Namun tahulah dia cara macam mana nak uruskan Abrar tu. Bukan susah mana pun.

“Wah! Cakap besar.” Imah menggeleng. Faham sangat dengan perangai Asyikin. Tidak mudah melatah. Jangan ada yang menjentik. Itu memang Asyikin pantang.

“Bukanlah nak cakap besar. Mr. G tu kalau dia buat onar aku report aje kat mak mentua aku.” Asyikin ketawa-ketawa.

Terbuntang mata Imah. Bukan main lagi temannya ini.

“Amboi! Mak mentua terus. Hilang dah bakal kat depan tu. Yakin benar kau, eh.” Dia mengusik sambil menyenduk lauk ikan merah masak asam pedas ke dalam pinggannya.

“Hidup mesti yakin. Menantu mithali ni tapi pasal perempuan tu aku kena usaha lebih sikit.” Mulut Asyikin herot ke kanan herot ke kiri.

“Kenapa?” Berkerut dahi Imah.

“Asyikin!” Ada suara lelaki menegur Asyikin.

Asyikin dan Imah menoleh.

“Doktor Naim.” Suara Asyikin perlahan menyahut panggilan. Terperanjat sebenarnya dengan kemunculan doktor kacak ini. Dah macam semut pula Doktor Naim ini dia rasakan. Ke mana sahaja dia pergi pasti Doktor Naim tahu. Mengekor sahaja kerjanya.

“Lemah aje suara. Dah makan ke belum ni?” Doktor Naim tersenyum kacak.

“Kami baru sampai, doktor.” Imah mencelah.

“Baguslah. Bolehlah I join you all?” Doktor Naim angkat kening.

Asyikin ketap bibir bila Imah memandangnya minta persetujuan. Sibuk betullah doktor ni tapi dia tersenyum. Seperti ada tanduk yang keluar di kepalanya. Inilah masa yang sesuai.

Why not.” Dia jongket bahu.

Doktor Naim tersenyum.

Masing-masing mengambil pinggan dan memilih makanan kesukaan.

Ekor mata Asyikin mengerling Abrar yang ralit merenung tajam kepadanya. Semakin dirapatkan badannya berdiri di sisi Doktor Naim.

“Eh! Sorry.” Tanpa sedar pinggan nasi di tangan Asyikin terkena lengan baju Doktor Naim. Pinggan diletakkan di atas para. Diambilnya tisu dan dilap lengan baju Doktor Naim.

It’s okay, Asyikin. I boleh buat sendiri.” Doktor Naim serba-salah.

“Tak apa. Salah I.” Asyikin teruskan mengelap tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang terutama mata Abrar yang bagaikan berapi memandang dia dan Doktor Naim.

“Asyikin!” Suara Doktor Naim sedikit meninggi.

Terhenti terus Asyikin. Tisu di tangan terlepas ke lantai. Terkebil-kebil matanya melihat Doktor Naim yang berlalu untuk ke tandas.

Pada masa yang sama Abrar sudah tercegat di depan Asyikin. Wajahnya tegang. Tiada sekelumit senyuman pun dipamerkan.

“Apa yang you cuba buktikan?” Lengan Asyikin dipegang.

Tersentak Asyikin bila tanpa sedar Abrar tiba-tiba ada di depan dia dan sedang memegang tangan dia.

“You merepek apa ni? I nak buktikan apa?” Berkerut dahinya. Direntap tangannya dari terus dipegang Abrar.

“Asyikinnn…” Abrar memanggil lemah.

“Pergilah makan sana, Abrar. Ex-girlfriend you tu tercari-cari.” Asyikin menyindir bila dilihat Afiqah terjengket-jengket mencari Abrar barangkali.

Sekali lagi tanpa amaran Abrar menarik tangan Asyikin keluar dari restoran. Biarlah Afiqah makan sorang-sorang dari hati dia sakit melihat Asyikin mesra melayan Doktor Naim.

Asyikin yang ditarik mengulum senyum. Sempat melirik dan menunjukkan isyarat semuanya baik-baik belaka kepada Imah yang terkebil-kebil melihat dia keluar dari restoran dengan Abrar. Mission accomplished.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment