Friday, September 19, 2014

CINTAKU SETINGGI CITA-CITAMU - BAB 2


BUNYI loceng pintu yang ditekan berkali-kali sedikit mengganggu tumpuan Amili. Tangannya yang sedang sibuk menggubah bunga terhenti. Dia menoleh ke kanan. Matanya dikecilkan. Memerhati susuk tubuh lelaki yang berdiri di depan pintu cermin kedainya.

Lelaki itu membuat isyarat ingin masuk. Sudah lebih lima kali dia menekan loceng.

Amili mendengus. Lelaki ini nak apa? Tak puas hati lagi ke dengan dia?

Loceng pintunya ditekan lagi. Amili bangkit. Pergi ke belakang kaunter. Mahu atau tidak Amili tekan juga suis loceng. Bingit telinganya. Bukan lelaki itu faham pun.

"Kenapa lambat sangat nak buka pintu? Kalau awak amalkan selalu macam ni, harus bungkuslah kedai bunga ni." Azim membebel.

Amili hanya mencebik.

“Cantik sangatlah buat muka macam tu.” Azim mengipas-ngipas wajahnya. Kulitnya yang cerah sudah bertukar warna. Cuaca dekat luar tu terlampau panas.

Tanpa dipelawa selamba dia menarik kerusi tinggi di depan Amili dan terus duduk. Jelingan maut Amili langsung tidak dihiraukan. Tak makan dalam pun. Setakat penulis perasan, apa kelas nak takut-takut.

"Ni apasal menyibuk dekat kedai orang? Dah tak ada buku nak dikemas ke?" perli Amili. Jelingan matanya yang dilemparkan semakin tajam.

"Penatlah susun buku. Ingat nak belajar gubah bunga," balas Azim lembut. Matanya sengaja memandang tepat wajah Amili.

"Sewel." Amili bersandar. Tangan bersilang di dada. Pandangannya terus memusat pada Azim. Tajam.

"Ouchhh!!! Menusuk ke dada," usik Azim sambil memegang dadanya.

Amili herotkan mulutnya ke kiri ke kanan. Azim dijelingnya lagi sebelum dia menukar pandang.

"Jangan jeling sangat. Terlompat keluar biji mata tu nanti. Takut saya tak sempat nak sambut." Azim semakin galak mengusik.

Amili jelir lidah.

“Nak kena kerat agaknya lidah dia ni.” Azim capai gunting yang ada di atas meja.

“Jangan kacaulah.” Amili menepis tangan Azim.

Azim jongket bahu. Belakang badan disandarkan pada kerusi. Mata tunak memandang Amili.

Tumpuan Amili kini kembali kepada gubahan bunga yang masih belum siap di depan matanya. Dalam pada itu hatinya berbisik bila sesekali matanya mengerling pada Azim.

Apa masalah dia ni? Blahlah. Dah tak ada kerja sangat ke? Amili menjeling tajam.

Azim hanya tersengih. Buat muka seposen. Saja merenung penuh asyik gadis manis di depannya.

Loceng pintu berbunyi. Kedua-duanya menoleh.

Amili menekan butang bagi membolehkan orang di luar masuk.

"Aunty." Azim segera bangun dan mengambil beg plastik pada tangan wanita yang di panggil aunty.

"Terima kasih, Azim." Puan Fiza berlalu ke belakang kaunter. Plastik-plastik di tangan diletakkan di atas kaunter.

"Small matter, aunty." Azim tersenyum. Plastik di tangannya juga di letakkan di tempat yang sama. Dia kembali duduk di depan Amili.

Amili mencebik.

Tunjuk baiklah konon. Mama ni pun satulah. Semua orang dia nak beramah mesra. Entah siapa-siapalah mamat ni. Kuli kedai buku aje pun. Kalau dengan Abang Zaki tak ada pula nak berbual-bual.

"Tak ramai orang lagi?" Puan Fiza memandang Azim.

"Biasalah, aunty. Hari jumaat. Lepas pukul dua belas nanti penuhlah tu. Tadi pun baru sorang aje yang datang. Baik hati betul sampai duit baki pun nak sedekah kat kami." Azim kenyit mata pada Amili.

Amili menjelirkan lidah. Mulutnya kemudian mengajuk apa yang dituturkan Azim tadi.

"Sempena hari jumaat agaknya." Puan Fiza tertawa.

"Agaknyalah tu." Azim tertawa kecil.

Amili bengang. Tak suka dirinya jadi bahan jenaka walau mamanya tak tahu siapa yang lelaki di depan dia ini maksudkan. Penyudahnya Azim jadi mangsa. Ditendangnya tulang kering lelaki itu.

Terangkat kaki kiri Azim hingga terhantuk pada meja. Mukanya menyeringai menahan sakit.

"Eh, Mili! Tak bagi air kotak pada Azim?" Puan Fiza memandang anaknya sambil tangan mengeluarkan bekas-bekas kecil dari dalam plastik tadi.

"Dah nak balik kan?" Kedua-dua belah kening Amili terangkat.

Azim ketap bibir. Keningnya turut dijungkitkan. You wanna play the game. Let's play it, baby.

"Sampai hati you halau I, sayang? Kan I dah cakap I haus tadi." Tersungging senyuman sinis di bibir Azim.

"Mili!" Suara Puan Fiza bergema satu kedai.

Satu lagi tendangan dihadiahkan kepada Azim. Kali ini pada kaki kanan lelaki itu.

"You deserve it, mister." Amili besarkan mata.

"Thank you." Azim tersenyum walau sakit juga tulang keringnya.

"Arghhh!!!" Amili menjerit geram sebelum berlalu ke belakang.

Azim hanya tersenyum lebar.

“Banyak barang aunty beli ni?” Azim memandang pada pasu-pasu kecil yang bersusun di atas kaunter.

“Alhamdulillah, Azim. Ada tempahan untuk majlis hari jadi. Kawan baik aunty. Dia suruh gubah bunga-bunga kecil masuk dalam pasu-pasu ni.” Ceria wajah Puan Fiza bercerita.

Bunga memang teman baiknya. Dia boleh bersembang tanpa henti pasal bunga. Sanggup tak makan tak tidur kalau bercerita pasal bunga. Sebab itulah dia buka kedai bunga ini. Sokongan dari suaminya juga menguatkan lagi semangatnya untuk memajukan kedai bunga ini.

“Aunty! Siapa yang nak air kotak ni?” Wan yang muncul dari belakang memegang sekotak air bunga di tangannya.

Azim melambai sambil kenyit mata.

“Oh! Abang Azim.” Melenggang-lenggok Wan mendekati Azim.

Air kotak disuakan di depan Azim. Kerusi di sebelah Azim ditarik. Punggung dilabuhkan di situ.

Mahu atau tidak Azim ambil juga air kotak yang dihulurkan kepadanya. Tidak senang duduknya bila ‘perempuan’ di sebelahnya menatap tajam dengan tangan merayap pada pergelangan tangannya.

“Wan!”

Terhinggut bahu kedua-duanya bila suara Amili melengking tinggi.

“Wanilah!” Wan membentak.

Azim hanya tersengih. Tidak tahu bereaksi bagaimana. Nak marah takut ‘perempuan’ di sebelah terasa. Maklumlah golongan ini sangat sensitif.

“Kau buat apa tu? Dah tak ada kerja? Dengan lelaki pun berselera?” Amili buntangkan matanya.

“Abang Azim ni tak kisah pun. Kau ni sibuk ajelah, nyah.” Wan menjeling.

Azim menggeleng bila perhatian Amili beralih kepada dia.

“Mama! Tengok si Wan ni. Mengular.” Amili kalih pandangan kepada Puan Fiza.

“Dia mengular tak apa.” Wan bangun dan beredar ke belakang.

“Merungut. Aku anak bos. Jangan buat-buat lupa pula.” Amili membebel. Dia duduk semula berdepan dengan Azim.

Wan sempat menjelirkan lidah kepada Amili.

Amili buat isyarat gunting.

Azim ketawa. Amili nampak comel walaupun garang.

“Seronoklah tu kena pegang.” Amili menyindir. Tangannya kembali memilih bunga-bunga yang terdampar di atas meja.

“Aku lurus eh. Bukan bengkang-bengkok. Hairan. Kau dah tak ada kaum sejenis ke nak buat kawan?” Sinis soalan yang Azim lontarkan.

“Buat apa nak tahu? Sibuk aje.” Amili menjeling.

Telefon bimbit Azim berbunyi. Dia berdiri. Dikeluarkan telefon bimbit dari kocek.

Mata Amili mengintai pada telefon bimbit di tangan Azim. Ini kalau Azim nampak, sumpah si dia akan kata dia yang pengibuk. Dia ketawa dalam hati.

Azim lihat nama yang tertera. Malas pula dia nak jawab.

"Memekaklah." Amili menjeling. Lagu kalau sedap tak apa. Entah lagu apa-apa agaknya.

Azim tekan juga ikon hijau bila Puan Fiza menoleh ke arah dia dan Amili.

"Assalammualaikum." Acuh tak acuh suara Azim.

"Waalaikumussalam. Bro, minyak apa yang kau jual lama sangat tu? Tak laku lagi ke?" Kedengaran suara Hadi ketawa-ketawa di hujung talian.

"Banyak kau punya minyak. Apasal dekat-dekat pun nak telefon?" soal Azim. Sempat dia tersengih bila Amili memandang kepadanya.

"Cikgu Diana dah sampai ni. Dia tanya buku-buku yang dia tempah."

"Cikgu Diana?" Berkerut dahi Azim mengingatkan siapa gerangannya nama yang disebut Hadi.

Amili mencemik.

"Wei...takkanlah kau lupa cikgu cantik manis ni." Hadi mengusik.

"Oh! Cikgu tu. Sekejap." Azim matikan talian.

Dia berdiri. Dikeluarkan beberapa keping not seringgit dari kocek seluarnya. Diletakkan di hadapan Amili.

"Apa ni?" Amili mencerlung not-not seringgit di depannya.

"Baki duit buku tadi. Nanti kau cakap kami makan duit haram pula." Azim kenyit mata. Dia bingkas bangun dan berlalu ke kaunter. Bercakap sebentar dengan Puan Fiza.

"Gatal." Itu yang Amili simpulkan Azim di matanya. Seribu kali baik lagi Abang Zaki.

"Jangan segan-segan datang lagi lain kali, Azim." Puan Fiza tersenyum kepada Azim yang sudah berdiri di muka pintu.

"Kalau Amili tak kisah saya datang lagi. Assalammualaikum." Azim angkat tangan dan keluar.

"Jangan berani-berani nak datang lagi!" Amili menjerit.

Puan Fiza jegilkan mata.

Amili jongket hidung.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

26 comments:

  1. Garang2 Amili pun dah ada org tangkap cintan..hehe

    ReplyDelete
  2. hamvoiii abby sha...semua hero nak di "lap u"....hihihi

    ReplyDelete
  3. Huhu nice.. Err azim tu comel la hehe

    ReplyDelete
  4. Errrkkk Abang Zaki tu siapa?... Boyfren Mili ke?...

    ReplyDelete
  5. Adakah Syima isteri paksa Azim?... 😁

    ReplyDelete