H
|
ARI-HARI
yang dilalui Asyikin kini bertambah
ceria. Rutin hariannya juga sudah berubah. Walau dia berkerja mengikut shift tetapi itu tidak menghalang untuk
dia bertemu dengan Abrar. Sudah tentu pertemuan mereka bukan hanya berdua
sahaja. Imah sentiasa ada di sisi.
“Tak keluar pula hari ni?” Paha Asyikin ditepuk
kuat. Menggeleng dia melihat Asyikin yang leka membaca novel Cuma Dia Kekasihku
tulisan Syeena Hamdan. Punggung dilabuhkan di sisi Asyikin. Sengaja menolak Asyikin
supaya mengengsot sedikit.
Asyikin berdecit. Namun dia berganjak
juga. Memberi ruang untuk Imah. Novel yang sedang dibaca diletakkan di
ribaannya. Wajah Imah dipandang.
“Kau suka ke aku asyik keluar aje dengan
Mr. G tu?”
“Suka aje sebab aku dapat makan free.” Imah tersengih. Tayang barisan
giginya yang cantik.
“Tak ikhlaslah ni temankan aku?” Kening Asyikin
terjongket.
“Alah, gurau sikit pun tak boleh.” Lengan
Asyikin dipukul.
“Memang tak boleh. Mentang-mentanglah
Mr. G selalu menangkan kau.” Asyikin pura-pura marah.
“Bila masa pula Mr. G kau tu menangkan
aku?” Berkerut dahi Imah.
“Tak, eh?” Asyikin ketawa sebelum
menyambung kata-katanya.
“Mr. G outstation. So, malam ni
kita lepak-lepak atas katil.” Asyikin tersenyum. Kembali menyambung bacaannya.
Itulah rutinnya kini bila bercuti dan kalau Abrar tiada di JB. Malah memang
inilah yang gemar dia buat sebelum dia menjalin hubungan dengan Abrar lagi.
“Kau tak call dia?” Imah yang turut mengambil sebuah novel memandang
Asyikin.
“Dia tak bagi. Takut tak ada coverage. Dia cakap biar dia aje yang
telefon aku.”
“Untunglah. Aku juga yang masih
sendiri.” Imah termenung.
“Apa, Imah? Telinga aku macam tak berapa
nak dengarlah.” Asyikin sengaja mendekatkan mukanya pada wajah Imah yang elok
meniarap sambil bertongkat siku.
“Kau dah kenapa?” Imah menjauhkan
wajahnya.
“Kau ingat aku tak tahu kau ada
curi-curi jumpa Luqman.” Asyikin gerak-gerakkan keningnya. Imah, Imah.
Janganlah nak menipu dia. Setiap gerak-geri temannya ini semua sudah ada di
dalam koceknya. Sumber utama dia sudah tentulah Mr. G.
“Errr…” Imah ketap bibir. Rahsia yang
disembunyikan sampai juga ke pengetahuan Asyikin. Sudah tidak boleh
disembunyikan lagi. Bak kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya
jatuh ke tanah jua.
Asyikin ketawa. Buruk betul rupa Imah
kala tertangkap olehnya. Lengan temannya dipukul manja.
“Don’t
worry. Luqman bersih. Single and available.
Nanti bolehlah kita double date.”
Asyikin tersengih. Kembali menatap novel di tangannya.
“Tak maulah. Tak ada privasi.” Imah
menggeleng laju.
“Amboi, Cik Imah! Lupa ke? Kalau berdua antara
lelaki dan perempuan tu akan ada orang ketiga. Syaitan. Kau suka ke nak
berkawan dengan syaitan?” Asyikin besarkan mata.
“Alahhh…” Imah berpura-pura mengeluh
panjang.
“Choiii… Gatal.” Kali ini Asyikin pukul
lengan Imah dengan novel. Kuat.
“Ikin!” Menjerit Imah. Menyeringai
wajahnya menahan sakit.
Tawa terletus antara keduanya. Namun
gurau senda mereka berdua terganggu apabila telefon bimbit Asyikin berbunyi
nyaring.
Asyikin menoleh ke sisi. Dicapai telefon
bimbit di atas katil itu. Dia tersenyum.
“Mr. Glah tu.” Imah mengusik.
“Sssshhh…” Asyikin letak jari telunjuk
pada bibirnya. Mengisyaratkan agar Imah diam. Tidak mahu Abrar tahu gelaran
yang diberi kepada lelaki itu.
Imah mencemik. Dia bangkit dan berlalu
ke katilnya sendiri.
“Assalammualaikum.”
"Waalaikumussalam. Tak tidur
lagi?" Suara Abrar garau bertanya.
"Cerdiknya soalan you." Keras
Asyikin membalas. Kalaulah Abrar ada di depan mata dia, memang ringan saja
tangan dia nak ketuk kepala lelaki itu. Kalau dah tidur, buat apa dia mahu
menjawab panggilan lelaki ini.
"Tanya aje. Jangan marah-marah. You
kalau marah tak cantik." Abrar mengusik. Ketawanya meletus di hujung
kata-katanya.
"Tak apalah. Doktor Naim tak
kisah." Asyikin turut ketawa. Membakar hati orang di sana dengan satu nama
yang sama sekali sudah dilarang menyebutnya.
"Asyikin, I tak sukalah you sebut
nama orang tu." Suara Abrar seperti jauh hati.
"You kalau usik I tak apa,"
balas Asyikin masih mahu mengusik. Usik-usikkan membawa bahagia. Dan dia memang
sedang meniti ke arah kebahagiaan itu.
"I call you bukan nak ajak gaduh benda remeh-temeh ni, sayang. Dahlah
seminggu tak jumpa." Abrar memujuk.
Asyikin sengaja mendiamkan diri. Nak
tengok setinggi mana kemahiran memujuk Abrar. Kalau depan-depan dia tak berani
bermasam muka. Takut Abrar tak layan. Jadinya kalau berjauhan elok juga uji si
dia ini. Dia dapat dengar Abrar seperti menghela nafas dalam-dalam.
"Rindu dekat you. Don't you miss me?" Perlahan
lontaran suara Abrar seperti berbisik. Garau dan seksi.
Omaiii… merinding bulu roma Asyikin. Mr.
G berjaya membuat jantung dia mengepam darah laju ke seluruh tubuh. Lidah pula menjadi
kelu untuk berkata-kata.
“Errr…” Tiba-tiba dia jadi gagap.
“Janganlah errr, errr, sayang. Cakaplah.
Rindu dekat I tak?” Kedengaran Abrar semakin galak mengusik.
“You jangan nak mengada-ngada, eh.” Nada
suara Asyikin bergetar. Cuba menutup debaran di dada. Sebutan sayang Abrar tu
buat dia melayang-layang di udara. Romantis. Tak sangka pula Mr. G yang serius
boleh jadi macam ni. Dalam hati ada taman.
“I nak suruh mak datang rumah keluarga
you hujung bulan ni.” Abrar berterus-terang.
“Jangan!” Spontan perkataan itu terpacul
dari mulut Asyikin.
Pada masa yang sama dia menoleh sekilas
pada Imah yang memandangnya akibat dari jeritan dia tadi. Hanya gelengan dan
isyarat okey diberi.
“Huh?” Suara Abrar terperanjat.
“Tak maksud I…” Asyikin cuba mencari
kata-kata yang sesuai. Tidak mahu Abrar tersalah anggap. Rasa macam nak tampar
laju-laju mulut dia ini. Memang dasar tak ada insuran. Boleh pula keluar
perkataan jangan. Mestilah orang di sana sudah fikir yang bukan-bukan.
“Doktor Naim?” tebak Abrar.
“Dia bukan siapa-siapa pada I.” Asyikin
membidas. Keras.
“Then?”
Suara Abrar turut sama keras.
“Abrar, I…” Asyikin bagaikan hilang kosa
kata ingin menerangkan apa yang ada dalam benaknya. Betul hatinya sudah mula
menerima Abrar tetapi dia tidak tahu kenapa dia takut untuk melangkah setapak
lagi dalam perhubungan ini. Takut untuk mencuba. Takut pada kegagalan. Takut
pada ujian-ujian yang bakal mendatang.
Dia boleh dengar hembusan nafas Abrar di
hujung talian. Sungguh dia tidak bermaksud hendak mempertikaikan niat Abrar.
Dia sanjung niat suci Abrar itu.
“Asyikin, you masih tak percayakan I?”
Lembut sahaja lontaran suara Abrar.
Terpana Asyikin mendegarnya. Dia bukan
tidak percaya. Jemarinya dikepal. Cuba mengumpul kekuatan untuk menidakkan
kata-kata Abrar.
“Abrar, jangan cakap macam tu. I
percayakan you.” Dia membalas perlahan. Hampir berbisik.
“Kita kahwin. I penat nak bermain tarik tali. Penat nak bersaing dengan
doktor you tu.” Lelucon Abrar. Lucu tetapi mendalam maksudnya.
“Abrar!” Untuk kesekian kalinya Asyikin
menjerit lagi. Nampak gayanya terus-terusan dia diusik dan disindir.
“I suruh mak datang hujung bulan ni,
ya?” pujuk Abrar lagi.
Satu keluhan halus diluah. Asyikin bukan tidak suka tetapi dia tidak tahu kenapa
hatinya berat hendak bersetuju dengan cadangan Abrar.
“You betul-betul dah kenal I ke, Abrar?”
Pelipis dipicit. Soalan yang diutarakan diharap tidak disalah tafsir Abrar.
“I percaya dengan kata hati I. I percaya
dengan niat yang Allah telah titipkan dalam hati ni. I percaya yang I sudah
bersedia untuk menjadi imam you. I bersedia untuk mengemudi kapal. I bersedia
untuk pikul segala dosa you.” Senafas Abrar luahkan apa yang dia rasa.
“Abrar, I tak tahu nak cakap apa.”
Sungguh Asyikin terpaku dengan luahan rasa hati Abrar. Apa lagi alasan yang
boleh dia berikan sedangkan lelaki ini bersungguh-sungguh dengan niatnya.
“Cukuplah you kata ya, Asyikin. Itu
sudah memadai untuk I.” Abrar memujuk lagi.
“You tak menyesal ke pilih I, Abrar?”
Asyikin masih lagi tidak yakin sebab itulah dia bertanya soalan kurang cerdik.
“Insya-Allah tak akan ada penyesalan
dalam perkara ni. Cumanya I akan menyesal sekiranya I terlambat mengambil you menjadi
permaisuri hati I.” Bersungguh-sungguh Abrar cuba meyakinkan Asyikin.
“Perkenalan kita singkat.”
“Lama mana perkenalan itu tak semestinya
buat kita kenal pasangan kita. Singkat tak semestinya kita tidak tahu siapa
pasangan kita. Apa yang penting kita yakin pada keputusan yang dibuat.”
“Abrar…” Oh! Asyikin sudah tidak tahu
hendak kata apa lagi.
“Asyikin…”
“Hmmm…”
“Apa yang buat you jadi macam ni?”
“I takut.” Tanpa teragak-agak Asyikin
akhirnya luahkan juga kebimbangan yang bersarang di dalam hatinya. Dia berharap
sangat Abrar dapat membantu dia mengurangkan rasa takut ini.
“Takut? Sebab itulah kita wajib percaya
pada Rukun Iman. Percaya kepada qadak dan qadar Allah. Semua yang berlaku telah
ditentukan oleh-Nya. Rancangan yang disusun oleh-Nya sangat cantik untuk setiap
hamba-Nya.”
“I tahu.”
“Esok I balik kita bincang lagi hal ni.
Kalau boleh I harap you tak hampakan permintaan I.” Suara Abrar lembut.
Sayunya Asyikin mendengar. Abrar cuba
untuk bertimbang rasa dengan dia. Wajarkah dia menolak kebaikan lelaki ini?
Nafas dihela dalam-dalam. Ya Allah, mudah-mudahan apa yang bakal dia tuturkan
ini menggembirakan hati lelaki yang bersungguh-sungguh mahu memperisterikan
dia.
“Nanti I beritahu mak dengan ayah. I
harap apa yang kita buat ini betul.” Asyikin bersetuju juga dengan perancangan
Abrar.
“Alhamdulillah. I harap ini dari hati
you bukan paksaan dari I.” Abrar ketawa-ketawa.
“Hati I turut katakan perkara yang sama
macam hati you.” Asyikin membalas malu-malu. Sempat melirik pada Imah yang
memerhatikan dia. Pantas sahaja dia membalikkan tubuh.
“Ini yang buat I tak sabar nak jumpa
you.”
Asyikin rasa macam nak tercekik. Begitu
bersungguh sekali Abrar mengharapkan dia. Bukan ke keletihan pastinya terasa
selepas balik berkerja di lapangan? Semakin hatinya tekad menerima jodohnya
ini.
“Tak penat ke? Berehatlah dulu. Sehari
selepas itu, baru kita berjumpa,” pujuknya. Tidak mahu kerana dia Abrar abaikan
kesihatannya.
“Untuk you, I tak pernah rasa penat.”
“Nanti kalau you sakit jangan salahkan I
pula.” Asyikin mengugut.
“Apa guna you jadi nurse, sayang.” Abrar membalas. Mengusik.
“Mengadalah you ni.” Asyikin
tersenyum-senyum.
“Kita jumpa esok. You bertugas pagi,
kan? I datang lepas zohor. Dah pergi tidur. Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Asyikin menjawab
walau Abrar sudah matikan talian. Badan ditelentangkan. Telefon bimbit
diletakkan di dada. Bibir diketap. Dia termenung. Mengenang kembali perbualan
dia dengan Abrar. Terukir senyuman manis di bibir.
“Hoi!” Serentak itu satu bantal kecil
melayang mengenai tubuh Asyikin.
“Oh, mak kau!” Asyikin melatah. Menoleh
pada Imah dengan matanya dijegilkan.
Imah hanya tersengih.
“Berangan. Pergi tidur sana. Esok kena
bangun awal. Tutup lampu tu.” Imah menarik selimut menutupi badannya hingga ke
paras dada.
“Tak boleh tengok orang senanglah kau
ni.” Asyikin membentak. Namun dia bangkit juga dari katil bersama senyuman
lebar.
Kihkih .. Abrar dh tk sabar tu. I sukalah Abrar 😍
ReplyDeletetq sudi baca...
Deletenak takut apa Sykin .. kalau ada yg x puas hati atau x yakin berterus terang dgn Abrar... minta petunjuk pada DIA... Inn Shaa Allah... kasihan Abrar mengharap sangat....
ReplyDeletebetul tu kak sue...
DeleteMoga berjodoh ler hendaknya
ReplyDeleteaminnnn....
Delete