Sunday, October 12, 2014

CINTAKU SETINGGI CITA-CITAMU - BAB 4


AZIM kembali menyambung menyusun buku-buku dan majalah-majalah yang bersepah. Bibirnya masih mengukir senyuman. Senyuman yang hanya dia sahaja yang tahu. Namun apa yang dia tidak tahu apa yang berlaku tadi sempat dilihat oleh pekerjanya merangkap teman baiknya.

Ekor mata Azim perasan Hadi berjalan menghampirinya. Tangannya semakin pantas berkerja. Tak dipedulikan langsung Hadi yang sudah berdiri di sisinya.

"Aku nampak." Hadi terangguk-angguk.

"Nampak?" Azim yang sibuk menyusun majalah menoleh. Dahinya berkerut memandang Hadi.

"Kau buat apa dekat anak dara Aunty Fiza tadi?" Kening Hadi menari-nari. Tangannya turut pantas membantu menyusun majalah.

"Buat apanya?” tanya Azim kembali.

Come on, bro.” Hadi turut menari-narikan keningnya. Geram juga bila Azim berpura-pura tidak faham soalannya.

“Tadi tu? Dah dia nak majalah pasal bunga. Aku tolong ambilkanlah." Muka Azim selamba. Langsung tiada riak bersalah.

"Pelik aku. Amili yang garang kau layan. Cikgu Diana yang lemah lembut tu kau buat tak tahu aje." Tangan Hadi terhenti. Mata tunak memandang Azim.

"Kau tu yang pelik. Dua-dua kan customer. Aku layan dia orang sama macam pelanggan kita yang lain. Tak ada siapa yang lebih dan tak ada siapa pun yang kurang." Azim campak tali rafia pada Hadi.

Kelam kabut Hadi menyambutnya.

"Aku pelik? Naaa..." Hadi menggeleng. Jari telunjuk digoyangkan di depan muka Azim.

"Dah. Kau tak payah nak fikir sangat. Bukan masalah negara pun. Aku nak kira stok." Azim berlalu. Ada segaris senyuman di bibirnya.

"Blah macam tu aje. Tak apa. Aku akan sentiasa perhatikan kau, bro!" Hadi menjerit.

Azim tertawa kecil mendengar jeritan Hadi. Matanya kemudian terpaku pada telefon bimbit yang berbunyi di atas meja. Hatinya merengus. Macam tahu-tahu saja orang yang buat panggilan itu yang dia akan masuk ke bilik ini.

Punggung dilabuhkan pada kerusi. Dia bersandar malas. Telefon bimbit diambil. Merenung tajam nama pemanggil. Nafas dihela sebelum jemarinya menari pada ikon hijau.

"Hello!" Azim menjawab malas.

"Assalammualaikum, abang." Terdengar suara lembut di hujung talian.

"Hmmm...waalaikumussalam." Azim bangkit dari kerusi. Menapak keluar dan bersandar di jenang pintu menghadap rak-rak buku.

"Mama kena tahan. Ada dekat Puteri Specialist."

"Hmmm..." Azim masih bersandar malas.

"Abang datang eh? Nanti kalau mama tanya abang, Syima tak tahu nak cakap apa." Suara gadis yang bernama Syima berubah mendatar.

"Tengoklah kalau aku senang." Azim tegakkan badan.

"Janganlah macam tu, bang. Kesian mama. Tak apa Syima tak akan ada dekat sini masa abang datang." Suara Syima semakin sayu.

"Text aku." Azim terus matikan talian.

Telefon bimbit dimasukkan ke dalam kocek seluar. Dia kembali ke meja kerjanya. Duduk semula di kerusi tadi. Termenung. Terbantut lagi kerjanya hari ini.

Ada gegaran pada kocek seluarnya. Azim berdiri. Kunci kereta diambil. Dia melangkah lemah keluar dari bilik.

“Hadi, aku keluar sekejap.” Azim singgah di kaunter. Jemarinya mengetuk meja kaunter.

“Pergi mana?” soal Hadi.

“Mama aku masuk hospital.” Lemah sahaja suara Azim membalas.

“Kau pun dah lama kan tak ziarah dia. So, tunggu apa lagi?” Kening Hadi menari-nari.

“Kalau aku tak pergi tengok dia kau rasa macam mana?” Azim buang pandang ke luar dinding kaca. Matanya menangkap kelibat Amili yang sibuk mengangkut pasu bunga satu persatu masuk ke dalam van.

“Kalau kau nak merasa masuk neraka, silakanlah.” Sinis sahaja jawapan Hadi.

“Jawapan kau.” Azim besarkan mata.

“Dah soalan kau macam minta penampar.” Hadi turut besarkan mata.

“Aku pergi dulu.” Azim berlalu.



AZIM berdiri di muka pintu. Memerhati seorang perempuan tua yang terbaring lemah di atas katil. Pintu dikuak lebih luas. Dia melangkah masuk.

“Mama.” Azim mendekati katil. Panggilannya mengejutkan lena perempuan tua itu.

“Azim.” Perempuan tua itu menghulurkan tangan. Tersenyum.

“Macam mana boleh sampai masuk ke sini?” tanya Azim. Punggung dilabuhkan di birai katil.

“Bila Azim nak balik rumah? Mama sunyi. Kesian Syima.” Perempuan tua itu kalih topik.

Azim mengeluh. Inilah yang cuba dia elakkan. Pertanyaan seumpama ini yang dia tidak mahu dengar.

“Azim marah dekat mama lagi? Marah dekat Syima juga?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut perempuan tua itu lagi.

“Mama kena banyak berehat. Jangan kusutkan fikiran mama dengan benda-benda ni semua.” Azim memujuk.

“Macam mana mama tak fikir ini semua, Azim. Cuba beritahu mama.” Ada sendu pada nada suara perempuan tua itu. Terlihat air mata bergenang di tubir matanya.

“Mama…” Azim mengelus lembut jemari perempuan tua itu. Wajahnya juga sudah berubah riak. Keruh.

Di depan pintu bilik rawatan, kelihatan Syima bersandar lesu di balik dinding. Lelah dengan apa yang dia dengar. Andai dapat diputar masa, dia akan pastikan peristiwa itu tidak terjadi.

Selepas meluangkan masa hampir satu jam, Azim minta diri. Wajah tua itu dikucup. Selimut dinaikkan. Ditutup hingga paras dada.

“Esok datang lagi, ya Azim,” pinta perempuan tua itu.

“Insya-Allah, mama. Azim tak janji. Azim balik dulu. Assalammualaikum.” Azim tersenyum. Tangan yang sudah berkedut dicium sebelum dia keluar dari situ.

Dia berhenti seketika di muka pintu. Memandang seketika tubuh tua itu dan menutup pintu.

“Abang…” lirih suara Syima menegur. Memerhati susuk belakang Azim yang baru melangkah keluar dari bilik rawatan.

Biarlah Azim kata dia mungkir janji tetapi sehingga bila mereka harus begini. Membiarkan apa yang berlaku semakin kusut. Sampai bila? Sampai salah seorang dari mereka tidak bernyawa?

Langkah Azim terhenti. Sedikit pun tidak menoleh. Dia kenal suara yang menyapanya.

“Maafkan, Syima.” Syima bersuara lagi. Berharap Azim tidak berdendam kepadanya.

“Kalau itu yang kau nak. Aku dah lama maafkan.” Hanya itu sahaja yang Azim ungkapkan sebelum kakinya melangkah laju menuju ke lif.

Syima hanya mampu mengalirkan air mata. Sebenci itukah Azim pada dia? Besarkah kesalahan yang telah dia lakukan hingga Azim berperangai sebegini? Salahkah dia mempertahankan hati dan perasaannya?

Azim bersandar seketika di kerusi keretanya. Kepalanya terasa sedikit berdenyut. Serabut dengan apa yang menimpa diri dia. Luaran orang nampak dia seperti kuat. Hakikatnya dia manusia biasa. Tidak sempurna. Tidak sekuat yang disangka.

Nafas dihela. Perkara yang sudah bertahun mengganggunya dibuang jauh-jauh. Malas mahu difikirkan lagi. Jemarinya memegang kunci kereta. Enjin kereta dihidupkan. Perlahan-lahan Azim memandu keluar dari perkarangan hospital.

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lima belas minit menginjak ke setengah jam. Jalan raya sudah mula sibuk. Warga Johor Bahru sudah mula keluar untuk mengisi perut.

Azim lega bila dapat sampai ke kedainya sebelum waktu makan tengahari habis. Bukan apa dia kasihan pada Hadi. Pasti temannya itu sibuk. Waktu begini memang Kedai Gedung Ilmu penuh dengan pelanggan yang kebanyakannya berkerja di sekitar kedainya.

Azim singgah di Lovely Bakery sebelum masuk ke kedainya.

Bro.” Hadi menegur Azim yang baru masuk ke dalam kedai.

Amili yang berdiri di rak berdekatan dengan laluan ke bilik Azim turut menoleh.

Azim langsung masuk ke biliknya. Tidak menyahut teguran Hadi. Amili yang tercegat berdiri di rak berdekatan memandang kepadanya turut tidak dipedulikan. Dia tiada mood hendak bertegur sapa.

Amili terkebil-kebil. Seriusnya dia. Selalu suka sangat mengacau aku. Hari ni mood mengusik ke laut kut.

“Hoi!” sergah Wan.

“Oh, mak kau!” Amili melatah. Hampir terjatuh novel di tangan.

Wan ketawa mengekek. Bukan dia tidak nampak apa yang Amili buat. Merenung Azim tak berkerdip. Bukan main lagi. Lupalah tu dengan Abang Zaki dia.

“Eee…aku sepuk karang.” Amili menjeling.

“Apasal kau usyar-usyar abang tangan kekar tu?” Menari-nari kening Wan memandang Amili.

“Aku tengok majalah-majalah dekat belakang tulah.” Amili merengus.

Dia sudah bersila. Menatap deretan novel-novel yang telah dipilih. Banyak sangat novel-novel baru. Buat matanya berpinar hendak pilih yang mana satu. Bilalah agaknya novel dia yang akan ada di situ?

“Aku nak pergi cari komik sekejap,” beritahu Wan sebelum meninggalkan Amili.

“Hiduplah kau dengan kartun-kartun tu.” Amili menggeleng.

Matanya merenung lagi novel-novel yang dilambakkan di atas lantai. Diambil satu. Dibaca sinopsis yang tertulis di belakang novel. Dia semakin seronok. Lepas satu, satu lagi diambil.

Sedang ralit Amili membaca dia terasa seperti ada yang memerhatikannya. Dadanya berdebar. Mahu mengangkat muka tetapi takut. Nafas dihela dalam-dalam. Wajah dipanggung.

“Mak!” Amili menjerit. Spontan novel di tangan dipukul pada orang yang duduk bersandar pada rak di sebelahnya.

“Nak?” Azim langsung tak terusik dengan pukulan maut Amili. Dihulurkan kotak berisi pai daging kepada Amili.

Amili menggeleng. Apahal pula mamat ni? Tak berbau ke makan benda tu kat sini?

“Jangan risau. Hadi tak marah. Aku dah kowtim dengan dia.” Kotak pai daging masih disuakan kepada Amili.

Amili ambil juga bila dilihat Azim beria-ia menyuruhnya makan. Dikunyah perlahan-lahan pai daging yang sudah selamat masuk ke dalam mulut.

Azim tersenyum. Mood cerianya yang sudah ke laut tadi kembali bertandang. Memandang muka Amili menjadikan dia bersemangat semula.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

8 comments: