KERTAS di tangan direnung. Dia mengeluh kecil.
Mahu buat keputusan sendiri, dia jadi serba-salah. Sudahlah banyak majlis yang
dianjurkan syarikat sebelum ini dia tolak. Untuk kesekian kalinya dia buntu.
"Kau join, kan?" Rakan sebelah mejanya
menyapa.
Ainan panggung wajah.
Nak menggeleng tapi takut si teman kecil hati. Sudahnya dia kunci mulut.
"Jangan tidak
lagi, Ainan. Dah banyak event company
kau tak join sejak kau dah kahwin.
Apa pula kata staf yang lain nanti." Si teman sambung bicara.
Itulah pokok utamanya.
Teringat kembali sungutan yang dia luahkan kepada sang suami. Penamatnya dia
dileteri semula. Kata Azri jangan terlalu nak fikir hati orang lain sebab orang
lain tak pernah fikirkan apa yang kita rasa. Dia setuju itu dan leteran Azri
yang seterusnya buat dia termenung. Orang hanya nampak bila kita senang tapi tak
ada orang tahu bila masanya kita susah. Azri betul. Masalah yang menghimpit
mereka mana ada orang lain ambil peduli.
"Bincanglah dengan
Azri baik-baik. Kalau dia tak boleh pergi, mintalah izin kau pergi sorang." Si teman beri nasihat
percuma.
Panjang muncungnya.
Senang betul temannya memberi cadangan. Kehidupan dia berbeza dengan orang
lain. Dia dan Azri, lelaki yang baru 3 bulan menjadi suaminya menjalani hidup
asing-asing. Bukan mereka sengaja berpisah tetapi demi sesuap nasi, mereka
terpaksa berjauhan.
"Hei, telefon kau
dah menjerit tu." Si teman menepuk kuat mejanya. Leka termenung hingga
bunyi telefon bimbit sendiri pun dia tidak dengar.
Kalut Ainan menggagau
ke dalam tas tangan. Seketika ruang yang sunyi meriah dengan muzik yang
terhasil dari deringan telefon bimbitnya. Wajahnya yang mendung tadi berubah
ceria pabila melihat nama yang tertera. Si pemanggil ini macam tahu-tahu sahaja
namanya diseru.
"Assalammualaikum
Puan Ainan Zara."
"Waalaikumussalam
Encik Azri Yusuf." Ainan tersenyum lebar. Rindunya pada si suami sedikit
terubat bila suara garau Azri menyapa telinga. Hilang terus rasa walang dalam
hati.
"Ainan, setengah
jam lagi kita ada mesyuarat." Si teman mengingatkan sebelum berlalu dari
situ seperti memberi ruang kepada Ainan.
Ainan hanya mengangguk.
Fokusnya kembali kepada suara yang berbisik di hujung talian sana sambil mata
mengekori jejak langkah si teman sehingga hilang dari pandangan.
"Rindu."
Pendek sahaja ungkapan yang diluahkan si suami.
Rasa sebu menerpa
dadanya. Bukan Azri sahaja yang merasa begitu. Dia juga sama. Malah rasanya
rindu yang dia tanggung lebih sarat dari Azri. Dia sorang-sorang di rumah mereka. Tiada teman berbual. Tiada teman
gaduh. Lainlah Azri. Walau di tengah lautan tetapi ramai orang di
sekelilingnya.
"Ainannn..."
Sayup dan meleret suara Azri di hujung talian.
Menitis airmata Ainan.
Rasa macam nak paksa Azri terbang balik ke sini sekarang juga. Seksanya bila
berjauhan begini. Tanpa sedar sedunya didengari Azri.
“Janganlah menangis.
Ainan buat abang risau.”
“Mana ada Ainan
menangis?” Ainan menafikan kata-kata Azri. Walhal jelas dan ketara memang dia
sedang menangis. Laju jemarinya menyeka air mata yang mengalir. Malu dia bila
Azri tahu dia menangis. Cengengnya dia.
“Sob sob sob tu maksudnya rindu ya?” Azri tergelak di hujung sana.
“Abang! Benci.” Bibir
Ainan muncung sedepa. Biarlah Azri tak nampak dia nak juga buat memek muka
macam tu. Tak suka dengan usikan Azri tapi pada masa yang sama sebenarnya dia rindu
dengan gurauan begitu.
“Tapi abang sayang
Ainan. Janganlah benci-benci. Dah 3 minggu tak jumpa. Keras abang dekat sini.”
“Abanggg…!” Spontan
Ainan menekup mulutnya. Mata meliar ke sekeliling. Takut ada yang memandang.
Geram sangat dengan Azri. Suka sangat melencong. Hingga tanpa sedar suara dia
sedikit meninggi. Lagilah bila Azri galak sangat ketawa di hujung sana.
Tanpa Ainan sedari di
sebalik dinding ada sepasang mata yang sedari tadi mengintip setiap
gerak-gerinya. Mata yang tak pernah lepas dari memerhati tingkahnya. Pemilik
sepasang mata itu sudah terpukau dengan apa yang Ainan hidangkan. Ainan yang
berjaya mencuri perhatian pemilik sepasang mata itu.
“Okey, okey. Tunggu
abang, ya sayang. 2 minggu lagi abang balik. Lepas tu 2 minggu kita boleh habiskan
masa bersama-sama.”
“Reda.” Ainan buat ayat
pasrah.
Kenyataannya dia memang
ikhlas dan reda dengan perjalanan hidup mereka. Sedari awal lagi dia tahu,
kehidupan mereka suami isteri berbeza dengan pasangan yang lain. Tuntutan kerja
Azri memaksa mereka berpisah. Pelantar minyak pilihan Azri untuk kesinambungan
hidup di dunia sementara ini.
“Ainannn…”
“Hmmm… nampak gayanya
tak dapatlah join hari keluarga tahun
ni.”
“Bila?”
“Seminggu selepas abang
kerja semula.”
“Penting ke?”
“Setiap tahun Ainan tak
pernah tertinggal hari keluarga ni.”
Ainan ketap bibir bila
terdengar Azri berdecit. Dia bukan memaksa tapi dia berharap sangat Azri dapat
luangkan lebih masa dengan dia untuk kali ini. Lagi pula mereka baru sangat
berkahwin. 2 bulan selepas menikah, Azri terbang ke pelantar.
“Bukan abang tak nak
tapi Ainan faham kan kerja abang ni macam mana?" Suara Azri sedikit tinggi
nadanya.
Ainan terdiam. Untuk
apa lagi dia merayu kalau semuanya ditolak Azri mentah-mentah. Untuk apa lagi
dia memujuk kalau pujukannya tidak lut. Sungguh dia terasa hati. Azri sedikit
pun tidak mahu masuk dalam dunianya. Entah apa yang seronok sangat dekat laut
sana tu.
"Ainannn..."
Azri mengeluh. Berat.
Ainan diam. Tiada hati
lagi mahu menyahut. Tiada hati lagi mahu bermanja-manja. Tiada hati lagi mahu
meneruskan perbualan ini. Terasa kasih dan cintanya bergoyang.
Dia sedar acapkali
mereka berhubung, pengakhirannya pasti dengan perbalahan kecil. Walau
masing-masing sarat dengan beban rindu tetapi yang terluah dari mulut jauh dari
apa yang tersimpan dalam dasar hati. Sakitnya bila terpaksa menempuh
perhubungan jarak jauh begini.
"Kalau abang punya
pilihan, abang tak pilih untuk ke sini. Sudahlah signal kadang-kadang dapat,
kadang-kadang tidak. Ainan pula buat perangai macam ni." Azri menyambung
kata lagi.
"Ainan kena masuk
mesyuarat sekarang. Nanti kita berborak panjang lagi. Assalammualaikum,"
Talian terus dimatikan.
Ainan campak telefon
bimbitnya ke atas meja. Air mata yang sudah kering kini mengalir kembali.
Terasa. Dia sangat terasa. Sampai hati Azri menuduh dia begitu. Dia hanya pinta
sedikit sahaja masa Azri. Tak banyak, satu hari pun sudah mencukupi.
"Ainan! Bos dah
masuk." Si teman menggamit dari jauh.
Ainan angguk. Air mata
disapu. Nafas dihela dalam-dalam. Buku nota dan sebatang pen dicapai. Dia
bangkit. Berlalu ke bilik mesyuarat.
"Ainannn..."
Azri memandang telefon bimbit yang sudah gelap.
Pelipis dipicit. Sakit
kepalanya dengan tingkah kurang matang Ainan. Tidak tahu macam mana lagi nak
buat Ainan faham. Berkerja sebagai jurutera di pelantar minyak, banyak perkara
perlu dikorbankan. Hal ini mereka sudah bincangkan sebelum capai kata sepakat
untuk bersatu lagi.
"Encik Azri!"
Azri menoleh. Telefon
bimbit tadi di letakkan kembali ke atas mejanya. Keningnya dijongket.
"Paip ada
masalah," beritahu pekerjanya.
"Jom." Tidak
tunggu lama Azri bingkas bangun. Dia mencapai jaket keselamatan dan menyarungkannya
ke badan. Setelah pasti semuanya okey, pantas dia melangkah keluar mengekori
pekerja tadi.
Ainan menarik nafas
lega setelah mesyuarat berakhir. Namun kelegaan itu hanya seketika. Ingatannya terganggu
kembali apabila mengingatkan perbualan dengan Azri sebentar tadi. Dia hanya
tersenyum menyorokkan rasa dalam hati apabila teman-temannya sibuk berbincang
aktiviti apakah yang bakal mereka lakukan pada hari keluarga nanti. Lagilah
bila hari keluarga tersebut bakal diadakan lebih kurang sebulan dari tarikh
hari ini. Maklumlah lokasi yang dipilih bukan calang-calang. Pulau Tioman
menjadi pilihan.
"Tengku pergi
tak?" Kuat pertanyaan yang dilontarkan oleh salah seorang staf perempuan
hingga menarik perhatian semua yang ada di dalam bilik itu. Keadaan yang bising
tadi berubah sepi.
Semua mata tertumpu
kepada lelaki yang duduk di sebelah Tengku Radzi termasuk Ainan. Anak pengerusi
syarikat yang mendapat perhatian staf perempuan di sini sejak hari pertama
memulakan tugas sebagai pengurus besar. Terutama mereka yang masih belum
berumahtangga sebab Tengku Redza masih bujang dan belum berpunya.
Tengku Redza tersenyum.
Matanya mengitari setiap staf yang ada dalam bilik itu sebelum berhenti pada
Ainan. Memanah tepat pada wajah itu.
Ainan gelisah. Si teman
di sebelah yang perasan pandangan Tengku Redza menyikunya. Dia berpura-pura menulis
pada buku nota. Sungguh dia tidak suka dengan perhatian dari Tengku Redza. Merimaskan.
Malah dia tidak perlukan itu semua. Kadang-kadang dia terfikir juga apa yang
ada pada dia yang membuatkan Tengku Redza terlebih tengok. Apa tidak tahukah
lelaki itu yang dia sudah berkahwin.
"Kalau Ainan
pergi, saya pergi."
Jawapan Tengku Redza
membuat Ainan terbatuk-batuk. Apa kena mengena dia pergi atau tidak dengan
lelaki ini? Ya Allah, gila ke apa lelaki ini.
"Errr... Saya
belum pasti lagi. Tengok kelapangan suami saya." Ainan menjawab juga bila
semuanya sudah memandang dia. Lagi pula dia tidak mahu suara-suara sumbang di
belakang yang mula berbisik tersalah anggap tentang hal ini.
Tengku Redza ketawa.
Tidak tergugat langsung dengan jawapan Ainan. Dia tahu wanita itu sudah tidak
senang duduk.
"Kau ada apa-apa
ke dengan tengku?" Si teman sudah berbisik.
"Kau gila!"
Ainan berbisik sama dengan nada sedikit keras. Namun masih hanya dia dan
temannya sahaja yang mendengar.
“Patutlah tadi dia ada
dekat ruang kita.” Si teman mengintai Tengku Redza dengan ekor mata.
“Apa kau cakap ni?”
Kening Ainan sudah bertaut. Tidak faham maksud kata-kata temannya.
Si teman menggeleng
bersama senyuman nipis.
Ainan bersandar. Saat
dia panggung wajah, matanya bertembung dengan pandangan Tengku Redza. Laju dia
alih mata ke arah lain.
Tengku Redza kekal
begitu. Senyuman masih menghiasi bibirnya.
best...best
ReplyDeleteterima kasih dear
DeleteTak suka lah Redza ni , mcm tkde gadis lain . Sian Ainan dan Azri . Tk sabar nk baca ni
ReplyDeleteHehehe... TAR ni tak tahu hukum... next month dapatlah peluk sis...
DeleteYeay ... sabar menanti
Deletesabar, sabar... tak lama aje lagi
DeleteTak sabar nak peluk
ReplyDeleteHikhikhik... Next month dah boleh peluk ketat2...
Deletebest..nak lagi..plzzz
ReplyDeletetq salwa.... tak byk boleh up kat sini... bakal dicetak next month...
Deletetq dear
ReplyDeleteseperti tajuk cerita jerebu mcm tulah cinta Ainan ya... seperti biasa cite cik writer sentiasa menarik....
ReplyDeleteterima kasih dear... thanks sudi baca..
Deletebaru mula baca..best lah hehe
ReplyDeleteTerima kasih dear.... terima kasih sudi baca...
Delete