PERLAHAN-LAHAN satu persatu anak tangga
dipijaknya sambil mata Alzam memerhati sekeliling. Mencari di mana cinta
hatinya. Hampa bila insan yang dicari tidak dijumpai. Namun matanya tertancap
kelibat atuknya yang sedang bersandar malas di ruang tamu sambil membaca
akhbar. Dia tersenyum. Langkahnya dilajukan.
Tuan Haji Arshad yang masih tidak
menyedari Alzam yang sedang menuruni tangga ralit membelek akhbar di tangan.
Beginilah rutin hariannya. Maklumlah bulan Ramadhan masih berbaki lagi untuk
diharungi. Kalau tidak dia lebih selesa membaca akhbar di tepi kolam renang
sambil menikmati sarapan paginya selain dari melayani cicitnya.
“Selamat pagi, atuk.” Alzam labuhkan
punggung di sofa bertentangan. Dicapai salah satu akhbar berbahasa inggeris
yang ada di atas meja kopi. Bibirnya bergerak-gerak membaca tanpa bunyi.
“Waalaikumussalam.” Sapaan yang diberi Alzam
dibalas dengan jawapan salam. Namun mata Tuan Haji Arshad masih tidak lepas
pada dada akhbar.
Alzam mendongak. Belakang tengkuknya
digosok. Wajah kelat dipamerkan bila mendengar jawapan balas atuknya.
“Errr… assalammualaikum.” Dia mengulang
ucapan salamnya. Sedar dia tersilap. Rasanya bahana agenda malam tadi. Bersiap
sedialah dengan sindiran dari lidah tajam atuknya.
“Ingat tak faham.” Tuan Haji Arshad tersenyum
sinis memandang Alzam. Menggeleng bila melihat telatah Alzam. Tak nampak macam
lelaki yang sudah punya anak sahaja cucunya ini.
“Bukan tak faham tapi terlupa.” Azlam
tersengih.
“Yalah tu.” Mata Tuan Haji Arshad
kembali membelek akhbar.
“Tak nampak papa pun?” Alzam
berbasa-basi. Ikutkan nak tanya terus iseri dia di mana tapi takut ditempelak
Tuan Haji Arshad.
“Kamu tak payah nak kelentong atuklah,
Alzam. Cakap ajelah kamu tu cari Ainun.”
“Hmmm… isteri tercinta saya mana, ya?”
Terkena juga dia walau soalannya tadi dah melencong jauh. Sabar ajelah, Alzam.
“Aikkk… isteri sendiri pun tanya dengan
atuk? Bukan atuk yang tidur sekatil dengan dia.” Tuan Haji Arshad menyindir
pedas. Sengaja mahu menyakat Alzam. Dah lama rasanya dia tidak bergurau begitu
dengan Alzam. Maklumlah Alzam semakin sibuk menguruskna hotel.
“Alahhh… Alzam bangun dia dah tak ada
kat sebelah.” Sekali lagi Alzam menggaru tengkuknya. Asyik terkena saja. Gaya
atuknya tadi macam tahu di manakah gerangan isterinya.
“Siapa suruh bangun lewat?” Tuan Haji
Arshad jegilkan mata. Tidak suka dengan sikap Alzam yang satu ini. Kerap sangat
tidur semula selepas menunaikan solat Subuh. Walhal sudah berkali-kali dia
mengingatkan cucunya ini. Kalau berlarutan, macam manalah rezeki nak murah.
“Overtime
malam tadi.” Selamba sahaja Alzam membalas. Badannya disandarkan pada belakang
sofa. Tersenyum pada atuknya yang sudah membuntang mata.
“Ooo… patutlah cicit atuk dipos ke
kampung.”
“Bukan kami sengajalah, atuk. Mak yang
nak jaga. Nanti nak balik raya senang. Alzam kan menantu yang baik. Ikutkan
ajelah permintaan mak mentua.” Alzam mempertahankan diri.
Padahal apa yang dimaksudkan atuknya itu
betul. Puas dia memujuk Ainun untuk menghantar anak mereka ke kampung
awal-awal. Siap cakap nanti senang nak buat persiapan raya sebelum balik ke
sana. Bukan apa, sejak ada anak perhatian Ainun semakin kurang untuk diri dia.
Sikit-sikit Aira, dia langsung tak dihiraukan.
“Pandailah kamu. Silap-silap belum pun
setahun umur Aira tu dah dapat adik.”
“Memang sedang dalam proses ni, atuk.”
Alzam kenyitkan mata.
“Eee… budak bertuah ni. Pergi cari
isteri kamu sana. Entah apa yang dia buat dekat dapur tu. Nak buat kuih ke kek
katanya. Atuk dah kata suruh beli aje. Senang. Tak payah nak menyusahkan diri.
Penat nanti. Lagilah nak melayan perangai miang kamu.” Berjela Tuan Haji Arshad
membebel sambil menyindir.
“Miang pada isteri sendiri tak apa.”
Mencicit Alzam berlari ke ruang dapur sebelum sempat atuknya membalas kata.
Langkahnya mati. Matanya terkebil-kebil.
Oh! Dia suka dengan pemandangan yang dihidangkan. Cumanya kalau hari-hari
disogok dengan pemandangan indah ini, boleh kurus pahala puasanya.
“Ehem…” Alzam berdeham. Bersandar santai
pada dinding pemisah ruang makan dan ruang dapur dengan kedua-dua tangan
bersilang di dada.
Ainun yang sedang dalam posisi membongkok
terus berdiri tegak. Pegun dia bila mendengar suara dehaman yang menegur.
Matilah dia. Kenapalah dia boleh terlupa hal orang tu. Dahlah tadi punggung dia
menghala tepat ke pintu masuk. Haruslah orang tu tak senang duduk.
Perlahan-lahan dia berpaling. Mengukir senyuman manis selebar-lebarnya. Menutup
rasa debar dalam dada.
Alzam jongket kening. Matanya menangkap
ada rasa canggung pada senyuman Ainun. Tentu isterinya ini malu. Sudah hampir
setahun pun masih bereaksi yang sama. Macam manalah hati dia tidak bergetar
hebat. Telatah Ainun selalu buat dia penasaran.
“Cari apa?” Alzam bertanya seraya
berjalan menghampiri Ainun. Tangannya melingkar pada pinggang Ainun. Menarik
tubuh Ainun rapat ke tubuhnya. Jemarinya naik membelai rambut Ainun.
“Cari bekas besar. Ainun nak buat kuih.”
Jemari Alzam Ainun tarik ke bawah semula. Perlu dicegah sebelum parah.
Bulan-bulan puasa ni pun sibuk nak menggoda orang. Tak cukup ke acara malam
tadi? Patutlah beria-ia suruh hantar anak mereka ke kampung. Ada maksud yang
tersirat rupa-rupanya.
Alzam ketawa. Jemarinya kembali naik ke
kepala Ainun. Dia menunduk sedikit. Kepala Ainun dikucup. Lama. Bauan yang
terbit di situ melekakan dia.
“Abanggg… bawa mengucap banyak-banyak.”
Ainun menegur bila kucupan Alzam melekap lama di kepalanya. Pada masa yang sama
dia risau kalau-kalau Tuan Haji Arshad atau Dato’ Ariff muncul. Boleh dapat
sakit jantung nanti kedua-duanya kalau melihat aksi dia dan Alzam. Lagilah di
bulan yang mulia ini. Alzam tu tak apalah, muka suaminya ini memang tak tahu
malu tapi dia menantu tingkah laku kena jaga.
Alzam angkat bibirnya. Hidung Ainun
ditarik.
“Hesy, sayang ni. Suka sangat spoil mood.”
“Mood tak mood. Tak cukup lagi?” Ainun
jegilkan mata. Geram betul dengan perangai miang keladi Alzam yang tak pernah
surut. Ingat bila dah ada anak, berkuranglah sikit sikap tu. Rupa-rupanya makin
menjadi-jadi.
“Takkan sayang tak kenal cucu atuk ni
macam mana? Hurmmm…” Alzam tarikan keningnya bersama senyuman nakal di bibir.
Pipi Ainun dielus lembut.
“Sebab kenal sangatlah kena selalu
ingatkan. Kita ni tengah berpuasa. Bawa-bawa bersabar.” Ainun menggeleng.
Meleraikan tangan Alzam yang memaut pinggangnya.
Dia membelakangkan Alzam. Membongkok
semula. Mencapai bekas besar di dalam kabinet lalu diletakkan di atas meja.
Alzam telan liur. Hai, isteri. Macam
manalah suami awak ni tak buat perangai miang.
“Sayang jangan nak salahkan abang.
Sayang yang goda abang. Abang bukan boleh. Mudah aje tergoda.” Alzam membontoti
langkah Ainun. Kali ini dia berdiri di sisi Ainun sahaja. Takut juga jika
berdiri di belakang Ainun, dia gagal melawan nafsu.
“Saya berpuasa ni, abang. Tak kuasalah
nak menggoda bagai. Baik buat kuih raya. Ada faedahnya juga.” Ainun tunjuk
plastik tepung di tangan.
“Pasti?”
Jemari Ainun yang sedang menggunting
plastik itu terhenti. Terfikir sesuatu. Wajah Alzam dipandang. Matanya dikerdip
manja.
“Errr…”
Alzam tersengih. Boleh buat counter attack ni. Peluang macam ni
jarang-jarang datang. Alang-alang Aira tak ada, misi boleh disambung. Aira,
daddy janji bagi adik untuk Aira.
“Kalau nak yang berfaedah, malam ni kita
sambung misi.” Alzam mengugut.
“Benci.” Ainun menjeling. Mulutnya
terherot ke kiri ke kanan. Muncungnya sedepa.
Alzam ketawa. Tangannya kembali memaut pinggang
Ainun. Bibirnya dibawa dekat dengan cuping telinga Ainun. Dia berbisik.
“Permintaan suami ni, sayang. Pahala
besar.” Pautan pinggang dilepaskan. Alzam berjalan bersama senyuman kemenangan
keluar dari ruang dapur. Senyumannya mati bila ternampak papanya yang sedang
berjalan masuk ke ruang dapur sambil menggeleng.
“Pa…” Alzam menegur. Lalu laju
meninggalkan papanya.
“Hai, tak lama lagi Aira tu dapatlah
adik,” usik Dato’ Ariff tatkala Alzam melintasi dia. Matanya turut melirik pada
Ainun. Menantunya itu wajahnya sudah merona merah. Memang anak bertuah dia tak
reti jaga laku betul. Kesian pula pada menantu kesayangannya ini.
“Kita memang nak bagi adik kat Aira, kan
sayang?” Alzam menjerit dari luar.
Ainun yang mendengar sudah mengigit
bibir. Tak tahu nak bereaksi macam mana. Takkanlah nak sorok bawah meja.
Muatlah pula.
“Banyak ke nak buat kuihnya, Ainun?”
Dato’ Ariff yang memahami situasi canggung terus mengubah topik. Meninjau ke
dalam bekas berisi tepung di depan Ainun.
“Banyak tak banyaklah, pa. Cukup untuk
dekat rumah ni dengan rumah mak.” Ainun tersenyum lega. Nasib bapa mentuanya
tidak memanjangkan cerita.
“Kalau penat tak payah buat
banyak-banyak. Malam nanti kita keluar. Beli yang dah siap aje.”
“Inshaa Allah tak, papa. Lagi pun Ainun
memang suka buat kuih sendiri.”
Dato’ Ariff mengangguk. Dia berpaling
untuk keluar. Sebenarnya dia sudah terlupa tujuan dia masuk ke ruang dapur ini.
Semuanya gara-gara aksi nakal anak tunggal kesayangannya itu tadi.
“Miang Alzam tu jangan dilayan sangat,”
pesan Dato’ Ariff sebelum berlalu dari situ.
Kali ini Ainun rasa nak menjerit.
Malunya. Siaplah Alzam nanti.
P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.
smpt lg menggatal ya alzam ya
ReplyDeletethanks aisyah sudi baca....well... alzam kannnn
Deletetq syeena. selamat hari raya ya
ReplyDeletewelcome hasliza... selamat hari raya juga...
Deletebest 3x .Selamat Hari Raya Maaf Zahir&Batin.
ReplyDeleteterima kasih baby mio...selamat hari raya maaf zahir batin juga... psssttt i'd spotted u dlm grup WA kak sofi... ;)
DeleteThank you so much. Selamat Hari Raya.
ReplyDeleteWelcome, Kim. Selamat hari raya. tq to u too sudi baca...
DeleteHahaha…. Nakal alzam nieee… dulu mcm inesen je syeena
ReplyDeletenakal juga r sis zarinah..dia kat suka perhati belakang ainun...
DeleteSuami siapalah tu... hihihi..
ReplyDeleteselamat hari raya maaf zahir & batin....
Terima kaaih sudi baca...selamat hari raya
Delete