Friday, January 2, 2015

CINTA SI GADIS DOBI - BAB 11


DINI menyanyi riang semasa keluar dari lif. Perut kenyang senang hati. Tiada siapa yang mengacau. Otak pun tak semak.

"Cik Dini!" Ain, penyambut tetamu syarikat memanggil Dini disebalik kaunter.

"Ada apa, Ain?" Dini yang baru hendak masuk ke pejabat berpaling dan berjalan ke arah gadis itu.

"Ini hah. Ada bunga untuk Cik Dini. Sampai masa Cik Dini keluar lunch tadi." Ain menghulurkan sejambak bunga tulip merah pada Dini.

"Siapalah yang suka membazir ni?" Dini membelek bunga tulip di tangan. Mencari-cari kad nama. Manalah tahu ada nama si pengirim.

"Kalau dah suka memang orang tak kisah berhabis duit, Cik Dini." Ain tersenyum.

"Bukan boleh makan pun bunga ni." Dini mencebik.

"Kalau Cik Dini tak nak, bagilah kat saya." Ain memberi cadangan.

"Saya memang tak suka tapi disebabkan ini bunga tulip, sorry I love tulips." Dini kenyit mata dan beredar dari situ.

"Cik Din, ada call!" jerit Ain sambil menayang gagang telefon di tangan.

"Transfer ke bilik saya." Dini berlari anak menuju ke biliknya.

"Cik Dini, what's going on?" Grace mengangkat kening.

"Nothing." Dini terus masuk ke biliknya. Segera dia mencapai telefon yang masih berbunyi.

"Hello!" Kedengaran di telinga si pemanggil nafas Dini yang turun naik laju.

"Berjogging?" usik si pemanggil.

"Kau?" Dini menyumpah-nyumpah dalam hati. Kalau tahu si mamat sengal yang telefon memang taklah dia nak berlari sakan.

"Siapa aje yang suka kacau kau, kan?" usik si pemanggil lagi.

"Lupa aku. Orang yang suka habiskan duit bapak dia," sindir Dini.

"Bee... sampai hati. Honey cuma nak dengar suara bee aje sebelum jumpa client ni." Ajad membalas lemah.

"Bee honey tak penat ke asyik nak sebut perkataan tu." Dini dah julingkan mata. Menyampah.

"Suka tak bunga tu? I know you likes tulips." Ajad ketawa. Soalan Dini tadi dibiarkan sahaja.

"Bolehlah. Bukannya boleh makan pun," balas Dini.

"Bunga tu boleh jadi penyeri dekat bilik kau tu. Aku tak faham kenapa tak ada sekuntum pun bunga perhiasan dalam bilik kau tu."

"I'm not that kind of girl," jawab Dini acuh tak acuh.

"But I do like this kind of girl," bisik Ajad.

"Oh! Please... Geli aku dengar." Dini mencebik cuba membuang jauh-jauh debaran di hati bila mendengar suara Ajad yang berbaur romantik.

"Seminggu aje lagi aku dah nak balik Malaysia. Tak sabar rasanya," bual Ajad lagi.

"Aku macam tak rasa kau tak ada dekat Malaysia."

Macam mana Dini tak cakap macam tu. Setiap hari ada saja yang Ajad lakukan walau dia jauh beribu batu di Kota London.

"Kan aku dah cakap, hidup aku tak lengkap kalau tak usik kau hari-hari," usik Ajad.

Dini mencapai telefon bimbitnya yang berbunyi. Ikon messenger ditekan.

"Allah!" Dini terjerit kecil.

"Bee... takkanlah buruk sangat muka honey sampai bee terkejut macam tu?"

"Aku tak fahamlah apa masalah kau ni." Dini mendengus.

"Selfie. Tak ada orang kat sini yang sudi nak ambikkan gambar aku." Ajad ketawa.

"Orang gila selfie memang macam tu," ejek Dini.

"Gambar yang ni kau boleh jadikan background kat handphone. Satu dah kat pc, satu kat handphone pula."

"Gila."

"Kalau tak nak bagi aku gila, kita bertunang nak?" pujuk Ajad.

"Tak nak."

"Nak tunggu sampai bila?"

"Sampai kucing bertanduk."

"Bee...please..." rayu Ajad mendayu.

"Ni dah pukul berapa kat sana? Nanti kau terlajak pula appointment dengan client." Dini cuba kalih topik.

"Bee, Honey balik nanti kita bertunang. Dah tak sanggup ni. Berjauhan macam ni memang tak ada mood nak kerja. Kalau aku kena outstation ke luar negara, bolehlah kau ikut sekali."

"Kau ingat bertunang tu menghalalkan yang haram?" bentak Dini.

"Kalau macam tu, you just prepare apa yang patut. Kita bertunang satu hari aje. Esoknya kita nikah. So, yang haram dah jadi halal. Senangkan. Assalammualaikum."

Dini terpempan. Salam yang diberi dijawab perlahan. Gagang telefon dipandang sebelum perlahan-lahan dia meletakkan kembali ke tempatnya. Gambar Ajad yang tersenyum ceria di pandang.

“Dia ni betul ke tak? Aku tolak banyak kali pun dia nak juga. Apa yang ada pada aku ni?” Dini termenung. Skrin telefon disentuh.

Petang itu Dini singgah di Kedai Dobi Mesra.

Happy nampak?” tegur Sara.

“Bukan selalu orang memang happy ke?” balas Dini.

“Tapi hari ni terlebihkan. Bunga tulip merah,” usik Sara.

Dini pandang kak longnya. Senget. Matanya dikecikkan.

“Opsss!” Sara tutup mulut dengan tangan.

“Patutlah dia tahu. Apa lagi yang kak long beritahu dia?” Dini dah bercekak pinggang.

“Dini, kak long cuma nak tolong aje. Dia bersungguh-sungguh. Kak long tak sampai hati dan kak long tak nampak apa yang buruk pasal dia tu.”

“Dia ajak Dini bertunang.”

“Bila?”

“Lepas dia balik dari London.”

So?”

“Bukan itu aje.”

“Apa lagi?” Sara merenung adiknya.

“Bertunang satu hari then esoknya nikah.” Dini menundukkan mukanya.

What?! He’s so gentleman.”

“Kak long…,” rengek Dini.

“Apa lagi, Dini?”

“Boleh ke kahwin kalau tak ada rasa cinta tu?” soal Dini polos.

“Bercinta selepas nikah tu kan lagi bagus. Lagi digalakkan dalam Islam. Dapat pahala sebab dah halal,” ujar Sara.

“Entahlah, kak long.” Suara Dini mendatar.

“Dini… cuba letak tangan di dada.” Sara pandang Dini.

Dini menurut apa yang disuruh.

“Cuba sebut nama dia dalam hati. Apa Dini rasa?” Sara tersenyum.

Dini pejamkan mata. Cuba menyebut nama Ajad dalam hati. Rasa itu muncul semula. Rasa yang sama saat dia melihat Ajad masuk ke balai berlepas. Rasa yang sama saat Ajad menghubunginya dari Kota London dan rasa yang sama saat Ajad mengajak dia bernikah.

“Dini!” panggil Sara.

Dini buka mata. Dia tersenyum.

“Dini balik dulu, kak long.” Tangan Sara disalam dan Dini terus keluar.

Sara tersenyum.



PUAS Dini kalih badannya. Sekejap dia mengiring ke kiri. Sekejap dia mengiring ke kanan. Matanya masih tidak mahu pejam. Penyudahnya dia terlentang. Siling bilik direnung. Terkebil-kebil.

“Kenapa dengan aku ni?” Tangan kanan di letakkan di atas dahi.

“Takkanlah sebab si mamat sengal tu ajak nikah aku jadi macam ni?”

Dini capai telefon bimbitnya di meja sisi. Jari dilarikan mencari sesuatu.

“Apa yang kau nampak pada aku?” Dini merenung gambar Ajad.

“Kenapa aku mesti terima kau?” Dini bersoal jawab sendiri.

“Arghhh!!!” Dini menjerit melepaskan rasa yang bersarang di dadanya.

Kedengaran ketukan di pintu biliknya.

“Dini,” panggil Puan Sri Alia.

Perlahan Dini bangkit dari katil dan membuka pintu bilik tidur. Lupa dia tidur di rumah mamanya bukan di rumahnya sendiri.

“Mama.” Dini melangkah lemah ke katil.

“Kenapa ni, sayang?” Puan Sri Alia menurut langkah Dini. Dia sama-sama duduk di birai katil di sebelah Dini.

“Tak boleh tidur.” Dini pandang muka Puan Sri Alia.

“Ada masalah ke?” tanya Puan Sri Alia prihatin bila dilihat wajah sugul Dini. Rambut kusut Dini diusap perlahan.

Sejak akhir-akhir ini dia perasan Dini kerap bermalam di rumahnya. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran anak daranya ini. Dini tak pernah sekusut seperti di depan matanya ini.

“Entahlah, ma. Hati ni ada macam-macam rasa.” Dini tepuk dadanya.

Puan Sri Alia tersenyum.

“Ajad?” tebak Puan Sri Alia. Itu pun bila dia terperasan gambar Ajad yang terpapar pada skrin telefon bimbit Dini.

Dini angguk.

“Buat solat istikharah. Minta petunjuk dariNya. Hati kita ni milik Allah. Dia maha mendengar. Mengadulah padaNya sampai Dini puas. Mama pun tak dapat nak membantu,” nasihat Puan Sri Alia tenang. Dia berdiri dan mencium ubun-ubun Dini.


“Terima kasih, mama.” Dini tersenyum. Memerhati sehingga Puan Sri Alia keluar dari biliknya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment