AZHAR
merebahkan badan di atas katil. Seminggu berhempas pulas di pejabat, hujung
minggu inilah waktu untuk dia merehatkan badan. Waktu senggang yang berkualiti
untuk dia dan Alea. Segaris senyuman terpamer pada bibirnya.
Pintu bilik air berbunyi. Dia menoleh. Macam
tahu-tahu sahaja empunya nama ni bila diseru-seru. Terus muncul. Matanya tak
lepas memandang Alea yang bersahaja berjalan menuju ke meja solek. Ralit
meneliti susuk si isteri yang hanya memakai jubah mandi separas lutut. Tanpa
sedar berkali-kali liur ditelan. Jelas sekali aura Alea kuat. Sentiasa
menggugat naluri lelaki dia walau sudah bertahun mereka meniti usia
perkahwinan.
Alea cantik, berkerjaya bagus, pandai memasak dan
tidak pernah culas menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Bak kata
orang Alea mempunyai pakej yang lengkap. Segala-galanya cukup dan sempurna untuk
dia. Cuma rezeki yang satu itu sahaja belum sampai. Namun dia tidak
mengharapkan lebih dari Alea. Cukuplah Alea ada untuk dia. Cukuplah Alea sentiasa
di sisi dia ketika senang dan susah.
Soal anak dia tak mahu fikirkan. Dia reda dengan
ketentuan Ilahi. Mungkin ada sesuatu yang Tuhan rencanakan untuk dia dan Alea.
Zuriat memang penyambung kasih antara suami dan isteri tapi itu bukan alasan
untuk dia mencari yang lain.
Alea sedar dia diperhatikan. Namun dia berpura-pura
tidak nampak. Malah sengaja dilambat-lambatkan pergerakannya. Sambil duduk di
hadapan meja solek, tangannya rancak mengeringkan rambut yang basah dengan
tuala kecil.
“Leaaa…”
“Hmmm…”
“Lea okey?”
Alea berpaling. Memandang Azhar yang bersandar malas
pada kepala katil. Nampak ada sinar nakal pada mata Azhar. Dia? Ahhh… matanya juga
tidak pernah jemu memandang susuk lelaki ini. Azhar sentiasa nampak segak di
matanya walau hanya berseluar sukan dan berbaju t putih.
“Kenapa? Lea nampak tak okey ke?”
Azhar mengeluh kecil. Dia tahu Alea cuba menyembunyi
rasa hati. Bukan dia tak tahu hati kecil isterinya itu terluka lagi. Saranan
emaknya semalam pastinya merobek perasaan Alea. Itulah hasil dari percampuran
emaknya dengan jiran sebelah yang konon-konon sahabat sejati.
“Sini, sayang.” Ditepuk lembut ruang kosong di
sebelahnya.
Terhenti pergerakan Alea. Kenapa Azhar tahu apa yang
dia rasa? Kenapa mudah sangat menebak isi hatinya? Dia cuba untuk kuat seperti
Saidatina Khadijah isteri Rasulullah S.A.W.. Berdiri teguh di samping baginda,
menepis setiap tohmahan dan serangan. Menjadi pembela dan pelindung kepada
baginda.
Dia? Dia yang perlukan pembela dan pelindung. Sekuat
manalah hati insan biasa ini kalau setiap hari disogokkan dengan kata-kata
sindiran. Kalau setiap hari setiap tingkahnya tiba-tiba tidak kena pada
pandangan emak mentuanya.
Semalam bagaikan hukuman buat dia. Noktah pada
segala sindiran dan bebelan emak mentuanya. Ternyata ianya berjaya menghiris hati
dia. Dihiris kecil-kecil. Malah kalau dikumpulkan memang sukar untuk dicantum.
Mahu ditentang dia tidak mampu. Itu syurga suaminya. Biarlah dia beralah.
“Leaaa…”
Alea tersenyum hambar. Bangkit juga mendekati Azhar.
Biarlah kini dia mengumpul pahala mudah. Menyenangkan hati suami bila dia
diperlukan.
Dia memilih untuk duduk di birai katil sahaja. Tidak
mahu duduk rapat-rapat. Cuba untuk belajar jauh dari Azhar sebab dia tahu
selepas ini tidak mungkin Azhar akan selalu berada di sisinya. Yang lagi
seorang itu pastinya mahukan perhatian Azhar juga.
Sedikit terkejut dengan tingkah Alea, namun Azhar
cuba berlagak tenang. Tangannya mendarat di atas paha Alea yang terdedah.
Digosok lembut hingga mengundang mata yang empunya memandang dia. Paha gebu ini
menyimpan seribu satu kisah. Di sinilah dia selalu menumpang manja. Di sinilah
tempat selalu disalurkan rasa kasihnya. Tiada tempat lain lagi mahu direbahkan
kepalanya selain di sini.
“Abang tak pernah terfikir nak menduakan Lea.” Biacara
Azhar lembut.
Kenyataannya Alea sahaja sudah cukup untuk dia. Dia
bukan menentang Sunnah Nabi itu. Dia tak mahu digelar tamak hanya kerana
mahukan zuriat sendiri. Apalah gunanya kalau memiliki isteri lebih dari satu
tetapi dia gagal untuk berlaku adil. Mana mungkin kasih dia dibahagi dua,
sedangkan keutamaan dia hanyalah Alea selain emaknya.
Alea diam. Tunak menekur lantai selepas gagal
melawan pandang. Membiarkan sahaja Azhar bercakap sendirian.
“Hati abang hanya untuk Lea. Kasih abang hanya untuk
Lea. Tak ada ruang kosong lagi untuk diisi dengan nama perempuan lain,” sambung
Azhar lagi. Merenung tepat wajah Alea yang nampak sedikit mendung.
Alea mendongak. Membalas pandang. Mencari kebenaran
kata-kata itu pada paras kacak di depannya ini.
“Lea tak boleh bagi anak pada abang. Dah 5 tahun.
Perut Lea masih kosong.” Perutnya disentuh. Diusap-usap. Kempis. Kosong. Timbul
rasa sebak. Sedih dengan kekurangan diri.
Jemari Azhar menangkap kemas jemari Alea yang
melekap di perut isterinya itu. Digenggam seerat-eratnya.
“Lea tak percaya pada qadak dan qadar Allah?”
“Lea percaya tapi mak…” Alea tidak sanggup meneruskan
kata-katanya. Buat menambah dosanya sahaja. Lagi pula dia tidak mahu Azhar
terasa.
“Soal mak biar abang yang uruskan, hurmmm…” Semakin
kejap pegangan tangan Azhar. Cuba meyakinkan Alea.
“Islam mengharuskan poligami. Lea percaya abang
mampu berlaku adil. Zahir dan batin. Lea tak ada hak untuk tidak mengizinkan.
Lagi pun ini untuk kebaikan kita. Abang kena ada zuriat untuk menyambung
warisan.” Peritnya hati Alea tika menuturkan kata-kata ini. Kalau ini boleh
menunaikan impian emak mentuanya untuk memiliki cucu, dia reda.
“Apa yang Lea merepek ni? Lea ingat poligami itu
mudah? Lea ingat abang mampu ikut sunnah nabi tu?” Suara Azhar meninggi.
Dilepaskan genggamannya. Sakit hatinya bila mendengar saranan Alea. Tidak
menyangka Alea boleh termakan dengan cadangan emaknya.
“Liza tu pun boleh tahan cantik. Tak ada celanya.
Pandai mak cari calon madu Lea.” Alea ketawa. Namun jelas tawa itu ada
pincangnya. Kemarahan Azhar langsung tidak diendahkan.
Liza anak bongsu Mak Limah jiran mereka itu memang
dirasakan sepadan dengan Azhar. Bukan dia tidak pernah nampak Liza selalu
curi-curi pandang Azhar jika mereka terserempak di luar rumah.
“Alea!” Kedua-dua belah tangan Azhar sudah di bahu
Alea. Digoncang kuat bahu itu.
“Lea reda andai ini takdir Lea, abang,” tegas Alea.
Bersabung pandang dengan renungan tajam Azhar. Natijahnya sebutir demi sebutir
air matanya gugur. Kata-kata yang terluah tak seiring dengan rasa di dalam
hatinya.
“Aleaaa…” Azhar tarik tubuh Alea ke dadanya. Dipeluk
kemas. Sesak nafasnya mendengar bicara Alea. Sungguh tidak pernah terlintas difikirannya
untuk menduakan Alea.
“Tunaikanlah impian mak abang. Syurga abang di bawah
tapak kaki emak.” Alea menyambung kata dalam sendu.
Tanpa Alea dan Azhar sedar, Mak Cik Habibah dengar
perbualan mereka. Kebetulan dia lalu di situ untuk ke dapur. Terhenti
langkahnya. Ada air mata yang mengalir di pipi tua itu saat mendengar bicara
ikhlas menantunya. Kejamnya dia sebagai emak mentua kepada Alea. Nampak sangat
dia tidak percaya kepada qadak dan qadar Allah. Tidak pernah mensyukuri
nikmatNya. Sepertinya dia tidak boleh menerima takdir Ilahi.
Ampunkan aku, ya Allah. Khilafnya aku sebagai hambamu
kerana tidak percaya pada percaturanmu. Kau limpahkanlah kasih sayang tidak
bertepi kepada anak dan menantuku ini. Moga mereka kekal bahagia hingga ke
Jannah. Aku berserah atas ketetapanmu. Dititipkan doa buat Azhar dan Alea sebelum
dia menyambung langkah.
“Tidak. Biarlah sampai ke hujung nyawa walaupun kita
hanya berdua, abang reda. Jangan paksa abang, sayang.”
“Tapi mak abang nak cucu.”
“Aleaaa…” Pelukan dirungkaikan. Dijarakkan sedikit
tubuh mereka. Mudah untuk dia melihat wajah Alea. Diseka air mata yang mengalir
di pipi Alea.
“Lea ikhlas, bang.” Alea tersenyum walau pahit.
Walau jelas hatinya sendiri sakit tika menutur kata-kata itu.
“Jangan sesekali menipu diri sendiri. 5 tahun kita
bersama, abang dah masak dengan perasaan Lea. Tolong jangan calarkan sendiri
hati Lea tu. Tolong jaga hati Lea tu untuk abang.” Azhar memujuk.
“Abang tak perlu risau pasal hati Lea. Lea dah
biasa.” Alea masih cuba meyakinkan Azhar. Betulkah dia kuat? Betulkah dia mampu
menghadapinya? Tuhan, dugaan apakah ini? Dia merintih di dalam hati.
“Memang Lea dah biasa tapi abang tak biasa. Abang
tak sanggup tengok hati Lea dicalar. Rasa sakit dekat sini. Sangat-sangat
sakit.” Azhar menumbuk-numbuk dadanya sendiri. Mengharap Alea tahu dia turut
merasai kesakitan itu. Bukan Alea sahaja yang merasainya.
Sekejap lagi dia akan bersua dengan emaknya.
Memberitahu keputusannya. Biarlah walau hati emaknya tercalar sedikit dari dia
kehilangan Alea. Sudah ditegaskan tidak mungkin dia akan berbagi kasihnya
kepada orang lain.
“Anak…”
“Ssshhh…”
Kata-kata Alea tidak bersambung. Bibir Azhar sudah
melekap kemas pada bibirnya. Dapat dirasakan Azhar mencurahkan semua rasa.
Kucupan penuh kasih. Kucupan sayang. Kucupan tidak berbelah bagi. Kucupan dari
seorang suami untuk dia, isterinya.
Lama mereka begitu sebelum tautan bibir mereka
terlerai. Badan Alea kembali didakap Azhar. Kemas dan kejap. Menjalarkan rasa
sayang yang in shaa Allah tidak akan pernah padam.
Ketika ini Alea berharap hati dia dan hati Azhar
kuat dalam mengharungi ujian Allah. Sesungguhnya Tuhan itu tidak suka-suka
menguji hambaNya tanpa hambaNya itu sendiri kuat untuk menghadapinya.
P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.
No comments:
Post a Comment