Saturday, September 13, 2014

LANGIT BIRU YANG SAMA - BAB 1


SUASANA lobi Hotel Mutiara dipenuhi ramai pelancong. Berkerut dahi Alzam sebaik kaki mencecah ruang lobi. Mata tajam memerhati sekeliling. Nampaknya dia terpaksa mencelah di tengah-tengah kesesakan orang yang ramai mencari ruang untuknya berjalan menuju ke lif.

Sehelai sapu tangan dikeluarkan dari kocek dalam sut biru. Dikibas sut biru gelap yang tersarung di badan bila dia berjaya berdiri di depan pintu lif. Wajahnya berkerut. Rimas. Tidak suka bila dikelilingi ramai orang.

Alzam mendengus. Menyesal mendengar kata papa. Duduk dekat rumah lagi bagus. Goyang kaki pun boleh dapat duit.

Ini semua gara-gara atuk. Idea atuk memang tak boleh dipakai. Beria-ia menyuruh dia mengikut saja apa cadangan papa. Atuk cakap tidak mahu tampuk pengurusan hotel ini jatuh ke tangan orang luar. Apa muslihat atuk pun dia tidak pasti tapi diturutkan juga. Cucu atuklah katakana.

Si Akma tu pun satu hal juga. Tahulah baru kehilangan mak dan ayah tapi kenapalah masa-masa macam ni sepupu dia itu menghilangkan diri? Memang menyusahkan diri dia betul. Akhirnya dia juga menjadi mangsa.

Alzam menjeling pada gadis yang tersenyum-senyum berdiri di sebelahnya. Sangat menjengkelkan. Bajet cantiklah tu. Tabiat anak-anak gadis zaman sekarang. Tak boleh tengok lelaki kacak bergaya macam dia. Terus jadi gedik.

Dikeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar. Lebih baik dia layan FB. Sementelah itulah kerjanya sepanjang melepak dekat rumah. Melayari laman-laman sosial dan mencari kenalan baru.

Pintu lif terbuka. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam perut lif.

Alzam sempat mengintai tanda nama yang dipakai si gadis. Ainun? Sangat kampung. Tak ada nama lain ke? Dia mencemik.

Ainun, gadis yang sama-sama masuk ke dalam lif dengan Alzam itu menekan butang nombor lapan.

Alzam perasan Ainun memandangnya dengan ekor mata. Kelihatan gadis itu menggigit bibir. Apahal pula perempuan ni? Nak menggoda diakah?

"Tingkat berapa?" Senyuman manis dilemparkan Ainun kepadanya.

Alzam langsung tidak melayan pertanyaan Ainun. Malah dia ralit menekan skrin telefon bimbit.

"Sombong." Ainon berdecit.

Alzam mendongak. Sedap mulut saja gadis ini mengata dia. Dah gadis ini tekan nombor yang memang dia nak pergi, nak kata apa pula. Dia perasan Ainun pura-pura membaca iklan yang ditampal pada dinding lif.

Pintu terbuka. Alzam terus keluar tanpa mempedulikan Ainun yang turut sama melangkah keluar.

“Ouchhh!!!”

Telinga Alzam menangkap suara Ainun mengaduh.

“Mata tu lain kali tengok kiri kanan. Kau tak reti sabar ke?” tempelak Alzam keras walau tahu sepatutnya dia yang berhati-hati. Mana mungkin dia nak mengaku salah. Jatuh saham nanti.

“Eh! Mamat ni. Dia yang langgar kita. Kita pula dia salahkan.” Ainun membebel. Menjeling tajam. Bengang.

Ketika itu datang seorang lelaki berkot kelabu mendekati Alzam dan Ainun.

“Selamat pagi, Encik Alzam. Saya Farid. Penolong Pengurus dekat sini. Dato’ Arif ada beritahu pasal kedatangan Encik Alzam.” Farid memperkenalkan diri dan bersalaman dengan Alzam.

Ainun yang mendengar hanya mencebik. Patutlah berlagak. Kenalan Dato’ Arif rupanya. Segera dia menjauh.

“Ainun!” panggil Farid bila melihat Ainun seperti hendak melarikan diri.

Ainun hanya angkat kening. Malas nak datang dekat. Lagilah bila melihat kerlingan sinis Alzam.

“Sini!” Farid melambai.

Ainun menggeleng.

Alzam buat tidak tahu. Dia berpura-pura membelek telefon bimbitnya.

Farid buat isyarat kerat leher.

Ainun mengeluh. Kaki diseret lemah mendekati Farid dan Alzam.

“Kenalkan. Ini Encik Alzam Dato’ Arif. Pengurus hotel yang baru.” Farid menuding jari kepada Alzam.

“Oh!” Tinggi kening Ainun terjongket. Anak Dato’ Arif. Ingatkan kenalan biasa-biasa sahaja. Memang nampak sangatlah gaya anak dato’ tu. Sombong yang amat.

“Untuk sementara waktu ni you kena bantu Encik Alzam,” beritahu Farid.

Besar mata Ainun mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Farid. Dituding jari kepada dirinya sendiri. Dia menggeleng laju.

“Arahan Dato’ Arif. Bukan I pandai-pandai kerah you.” Sekali lagi Farid bertegas.

“Mana bilik I?” Alzam bersuara setelah bosan dengan telefon bimbitnya. Sebelah tangan dimasukkan ke dalam kocek. Wajah didongakkan. Tampak sombong pada pandangan orang lain.

“Ainun?” Farid angkat kening.

Why me?” Ainun berbisik pada Farid.

“Sebab you perempuan.” Farid tersengih.

Nonsense.” Ainun merengus. Dia terus berjalan meninggalkan kedua-duanya.

“Encik Alzam boleh ikut Cik Ainun.” Farid tuding jari ke arah Ainun.

Alzam berjalan di belakang Ainun. Lenggok Ainun dipandang penuh asyik.

“Pernah kena hempuk dengan tumit kasut tinggi tak?” Tiba-tiba Ainun berpusing.

Tak sempat Alzam membuat brek kecemasan. Terus saja Ainun dilanggarnya. Sudahnya dua-dua tergolek atas lantai. Nasib saja lantai hotel memang beralaskan karpet. Kalau tidak ada yang bengkak-bengkak badan.

“Errr…” Alzam tenung wajah Ainun. Anak matanya tepat menikam anak mata Ainun.

Ainun terpana. Dadanya bergetar kuat. Mata Alzam memukau. Warna kelabu tidak seperti orang Asia. Sudahlah dia tidak pernah sebegini rapat dengan mana-mana lelaki. Hanya seminit. Dia tersedar.

“Hesy…” Ainun tolak Alzam. Kelam-kabut dia bangkit. Bimbang jika ada yang nampak. Lain pula jadinya nanti. Tak pasal-pasal nanti satu hotel namanya dicanang. Busuk tau.

Alzam turut sama berdiri. Berpura-pura mengibas pakaiannya.

“Mata letak dekat lutut ke?” Ainun menyinga.

“Kalau ada lampu brek aku tahulah kau nak brek. Ini tiba-tiba aje berhenti nak salahkan aku pula.” Alzam membalas selamba. Terus sahaja berjalan mendahului Ainun.

“Eleh. Kalau kau tak gatal tengok punggung aku. Kau mesti perasanlah aku berhenti.” Ainun membalas. Dikejarnya Alzam yang laju melangkah.

“Tak ada maknanyalah aku nak tengok punggung kau tu.” Alzam besarkan mata pada Ainun di sisi.

“Hello! Encik Alzam. Kau perasan tak kiri kanan kita ni cermin?” Ainun menari-narikan keningnya.

Alzam toleh kiri kanan. Kantoi. Dia berdeham. Tali leher dilonggarkan sedikit.

“Mana bilik aku?” Alzam cuba kalih topik.

“Cari sendiri.” Ainun terus tinggalkan Alzam. Tak kuasa nak melayan lelaki gatal macam Alzam. Hari pertama dah tunjuk belang. Esok-esok entah apa lagi agaknya.

“Farid!!!” Alzam bertempik.

Ainun yang mendengar hanya buat muka selamba. Dia terus ke meja kerjanya. Sedikit pun tidak merasa gentar. Kalau Tuan Haji Arshad atau Dato’ Arif yang menjerit barulah rasa gerun itu datang.

“Ainunnn…” Suara Farid seperti merayu. Dia datang ke meja Ainun.

“You cari orang lainlah.” Ainun duduk. Tangan menekan butang pada CPU. Mata memandang monitor. Menunggu hingga monitornya menyala.

“Tak boleh. Dato’ Arif nak you juga.” Farid masih merayu.

“Malas.” Ainun buat muka selamba.

“Ehem…” Satu suara garau berdeham di hadapan meja Ainun.

Farid menoleh. Dalam hati berdoa janganlah ada perang dunia ke-tiga dekat sini. Masak dia nak bersoal-jawab dengan Dato’ Arif dan Tuan Haji Arshad nanti.

“Pasal tadi tu aku minta maaf.” Alzam pandang Ainun yang langsung tidak memandang kepadanya.

Farid terpinga-pinga. Dia menyiku Ainun.

Ainun buat keras kepala dia.

Alzam keluarkan telefon bimbitnya. Berharap panggilan yang dibuat akan melembutkan hati Ainun.

“Atuk, ada orang nak cakap.” Alzam suakan telefon bimbit miliknya kepada Ainun.

“Apa?” Ainun menjeling.

“Atuk nak cakap.” Alzam halakan muncungnya pada telefon bimbit.

Ainun mengajuk kata-kata Alzam. Dicapai juga telefon bimbit Alzam. Dia mendengar orang di hujung talian bercakap.

“Nah.” Ainun serahkan semula telefon bimbit Alzam. Tanpa kata dia bangun meninggalkan meja kerjanya dan berjalan menuju ke bilik CEO.

Farid tunjukkan isyarat bagus kepada Alzam.

Alzam tersenyum senget.

“Nampak macam berlagak, sombong tapi duduk bawah ketiak atuk. Pleaselah.” Ainun membebel tika Alzam melangkah masuk ke bilik.

Bebelan Ainun dibiarkan sahaja. Sekurang-kurangnya hari-hari dia di sini tidak akan sunyi. Senyuman Alzam semakin melebar.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

5 comments: