JAM
DIGITAL yang berbunyi
ditekan. Hampir setiap hari memang itu rutinnya sejak bergelar suami kepada
Amani Raiqah Razlan. Kalau masa bujang dulu dia tak adalah nak guna jam meja
bagai. Apa guna ada telefon pintar. Set sahajalah pukul berapa. Berbunyi,
bangun. Itu pun selalu juga terlajak.
"Rai, bangun
sayang." Digoyang perlahan tubuh yang pulas tidur di bawah comforter pink di sebelahnya. Mata Asif
sendiri masih terpejam. Hanya tangannya yang bergerak. Mulut yang berkicau.
Amani Raiqah tidak
bersuara tetapi menjawab dengan menepuk lengan Asif. Bahasa badan yang selalu
dia gunakan jika ada yang mengejutkan dia.
Asif tersenyum dalam
pejam. Lebih dua bulan menjadi suami Amani Raiqah, dia sudah mula boleh membaca
setiap tingkah si isteri. Apa yang dia perasan, isterinya susah untuk bangun
pagi tapi tak adalah sampai culas untuk menunaikan solat Subuh. Malah tidak
pernah tertinggal untuk berjemaah bersama dia kecuali ketika ‘teman baik’
isterinya datang melawat. Itu pun isterinya macam malu-malu. Hailaaa… comel
betul dia.
Senyuman Asif mati. Teringat
akan sesuatu. Takut ada yang mengetuk pintu bilik tidur mereka nanti. Tidak
sedap hati sebelah matanya dibuka. Senyumannya kembali mekar. Inilah salah satu
sebab kenapa dia suka bangun pagi. Menatap insan yang halal untuknya. Insan
yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Insan yang diakadkan untuknya sebulan
sebelum umat Islam menyambut Ramadhan.
Wajahnya didekatkan
pada si isteri. Ditiup kedua-dua peluput mata yang tertutup cantik. Cantik di
matanya. Biarlah orang kata dia gila bayang. Perasaan ini hanya yang bergelar
suami kepada seorang isteri sahaja yang tahu.
Tiada tindak balas dari
Amani Raiqah. Asif bergerak ke telinga pula. Asalnya ingin meniup sahaja tapi
getaran di hati menyuruh dia berbuat sesuatu.
"Awakkk..."
Terbuntang mata Amani Raiqah. Sekuat tenaga ditolaknya tubuh Asif. Meremang
bulu romanya bila terasa telinganya digigit. Digosok-gosok cuping telinga yang
sedikit basah.
Asif ketawa. Dipaut
tubuh Amani Raiqah walau si dia berusaha menjarakkan kedudukan mereka.
"Bangun pun. Kalau
tak memang saya dah bawa awak terbang." Kenyitan nakal dihadiahkan.
Satu cubitan halus hinggap
di dada Asif berserta amaran.
"Jangan nak
macam-macam. Pagi-pagi raya ni."
“Tak ada pula saya
dengar pagi raya tak boleh macam-macam, hurmmm…” Asif kembali merapatkan
wajahnya pada tubuh Amani Raiqah. Beria-ia tadi dia menyuruh isterinya bangun
tapi entah kenapa macam ada wake-up call
yang perlu dijawab.
“Awakkk…” Amani Raiqah
membantah. Bukan mahu menolak permintaan Asif tapi serius dia tak mahu terbabas.
Lagilah bila abang dan kakak iparnya turut bermalam di sini. Teruk nanti mereka
berdua kena. Asif tentulah tak kisah sebab dia lelaki tapi dia. Dia ada rasa
malu.
“Putih… wangi…” Asif
berbisik. Bibirnya sudah berlabuh pada leher Amani Raiqah. Niat sebenarnya
hanya mahu mengusik tetapi leher jinjang si isteri memanggil-manggil. Lagilah
bila Amani Raiqah hanya memakai baju tidur satin warna emas bertali halus.
“Hesy…” Sekuat tenaga
Amani Raiqah merungkaikan pelukan Asif. Pantas dia bangkit. Berdiri di sisi
katil. Tangan sudah mencekak pinggang.
Sebenarnya dia cuba
mengawal debaran di dada yang menggila. Sentuhan demi sentuhan dari Asif nyata
membuat dia penasaran. Dua bulan bukan mudah untuk dia membiasakan diri dengan
kehadiran Asif. Asif di depan dia ini karakternya sangat berbeza jika hanya
mereka berdua. Nakal dan bermulut manis. Gerun dia jadinya.
“Baru nak panas enjin.”
Asif ketawa nakal.
“Tak ada maknanya.
Cepatlah mandi. Nanti orang dekat luar tu bising.” Tuala mandi di penyidai
dicapai. Amani Raiqah terus menuju ke bilik air. Asif kalau dilayan memang jadi
aje. Silap haribulan dengan dia sekali terbabas sama.
MASING-MASING mengemaskan pakaian yang melekap di
badan. Mereka berdua sepakat memilih warna hijau emerald sebagai persalinan di pagi raya. Untuk selendang, Amani
Raiqah memilih warna hijau lembut agar nampak kontras dari warna bajunya.
“Jom turun.” Asif yang
sudah mencapai dompet dan telefon bimbitnya bergerak ke pintu.
Amani Raiqah
mengangguk. Berjalan menghampiri Asif yang menanti dia di depan pintu yang
masih belum dikuak.
“Cantik isteri saya. Love you, sayang.” Satu ciuman hinggap
di pipi kanan Amani Raiqah mematikan langkah si isteri dari terus merapati
pintu.
“Kalau tak cantik tak
adalah love you tu, ya,” seloroh
Amani Raiqah. Menepuk lembut pipi Asif sebelum tombol pintu dipulasnya.
“Cantik tu alasan
ajelah, sayang.” Asif menidakkan tuduhan Amani Raiqah. Jemari si isteri yang
berjalan seiringan dengannya diraih.
“Yalah tu.”
“Nak saya buktikan?”
“Jangan nak mengada.”
Terjegil mata Amani Raiqah. Sah, Asif dah berubah. Senang-senang sahaja nak tabur
kasih sayang tu tak kira masa dan tempat. Ini kalau abangnya nampak teruk dia
kena bahan.
“Tahu takut.” Asif
ketawa.
Mereka berdua terus
menuju ke ruang dapur. Itu pun bila tiada siapa-siapa di ruang tamu. Baru
sahaja selangkah masuk ke ruang dapur, telinga kedua-duanya menangkap satu
suara kasar menegur.
"Matahari dah naik
baru nampak batang hidung."
Kata-kata sindiran
kedengaran serentak dengan sehelai tuala good
morning melayang tepat pada wajah Amani Raiqah. Namun sempat Asif menyambutnya.
"Abang!"
"Ouchhh..."
"Padan muka."
Amani Raiqah tayang ibu jarinya pada Akid. Sempat melayangkan ciuman terbang
pada Amanda. Namun aksinya terhenti bila Asif membisikkan sesuatu.
"Betul cakap abang
awak tu. Nasib aje kita tak terbang tadi." Jemari Amani Raiqah diraih.
Tuala good morning diletakkan.
Tersungging senyuman nakal di bibir Asif sebelum berlalu.
"Bro, tunggu aku!" Akid menjerit dan
cepat-cepat berlalu dari situ.
"Sabar ajelah
orang lelaki ni," bebel Amanda. Amani Raiqah yang tercegat berdiri di
tengah-tengah pintu dipandang.
"Rai, tolong
sambung lapkan pinggan ni," arahnya.
Amani Raiqah masih
pegun. Wajah putihnya sudah kemerah-merahan. Teringat kembali perihal dalam
bilik tadi. Hampir saja mereka tewas. Betul kata orang pengantin baru kalau
tidak dapat mengawal nafsu mudah saja terlajak.
"Rai? Hello!"
Amanda memetik jari di hadapan muka Amani Raiqah.
"Errr..."
Tersipu-sipu Amani Raiqah jadinya.
"Don't worry, sister. Banyak masa
lagi." Pat shoulder diberi pada
Amani Raiqah bersama senyuman mengusik.
Amani Raiqah rasa nak
sorok dalam kabinet. Kakak iparnya pun sama sengal dengan abang dia. Malunya.
Bencilah jadi pengantin baru.
MUNCUNG Amani Raiqah dah sedepa. Penat
dicubit-cubit lengan Asif agar menolak perlawaan Tan Sri Razlan untuk beraya di
rumah teman daddynya ini. Dia sejak
dari dulu memang kurang gemar beraya ke rumah orang. Disebabkan itulah
teman-teman daddynya tak mengenali dia.
Tapi suaminya inikan menantu yang baik. Menurut sahaja kata mentua. Itu yang
dia bengang.
"Awak, tambahkan
air oren saya." Gelas yang berbaki suku air oren dihulurkan kepada si
isteri. Asif pamer senyuman bila Amani Raiqah muncungkan mulut. Hakikatnya dia
sedar muncung si isteri tak pernah pudar sejak mereka sampai ke sini.
Amani Raiqah bangkit. Tak
naklah nampak dia isteri yang derhaka. Baru dua bulan bergelar isteri sudah
mula tunjuk sikap biadap. Lagilah bila orang yang duduk di kiri dan kanan
mereka memandang dia.
Longlai langkahnya menuju
ke meja bufet. Bengang juga dia. Baru tadi Asif suruh ambilkan lauk rendang
daging. Tak ada pula nak suruh tambah air sekali. Suka suruh dia buat kerja berkali-kali.
Hati kecilnya membentak halus.
"Terima kasih,
sayang." Saat gelas bertukar tangan Asif mengungkap kata-kata terima
kasih. Hati si dia perlu diambil. Tak salahkan kalau suami memuji isteri. Sudah
dua kali si dia sanggup bersusah untuk dia.
"Hmmm..."
Acuh tak acuh sahaja Amani Raiqah membalas.
"Marah?"
Jemari kiri Amani Raiqah digenggam.
"Tak." Amani
Raiqah tayang gigi.
"Penat layan saya,
eh?" Asif mengusik. Jemari Amani Raiqah digosok lembut.
Amani Raiqah buat muka.
Malas nak layan kerenah Asif. Boleh pula nak manja-manja dekat rumah orang. Ini
semua daddy dengan mommy punya hal. Nak juga diangkut anak
menantu pergi rumah terbuka.
"Bukan apa saya
sengaja nak awak kutip pahala. Beruntung tau jadi isteri ni."
"Yalah tu."
"Yalah, sayang. Seorang
isteri itu mudah masuk syurga hanya taat pada suami tetapi mudah juga masuk
neraka. Jangan risau. Malam nanti saya tolong picit-picit awak. Beritahu aje
mana yang sakit."
"Tak payah. Bukannya
hilang rasa sakit tu pun." Satu jelingan dilemparkan.
Asif ketawa. Amani
Raiqah semakin pandai mengusik hati dia. Bahagianya. Sudunya yang berisi nasi disuakan
pada Amani Raiqah.
“Nak sambal tu lagi.”
Muncung Amani Raiqah dihala pada sambal ikan bilis sebelum sempat sudu itu
mencecah mulutnya. Alang-alang Asif nak melayan dia macam tuan puteri, bolehlah
dia nak mengada-ngada lebih.
“Dah banyak ni. Nanti
sakit perut.” Asif melarang. Dia kini semakin tahu apa makanan kegemaran Amani
Raiqah. Suka yang pedas-pedas. Kalau tak pedas isterinya ni kata tak kick. Kicklah sangat agaknya kalau perut tu dah meragam. Geram betul.
“Tak apalah. Saya makan
sendiri.” Sudu ditepis. Amani Raiqah cuci semula tangan kanannya. Nasi
dipinggan dilumat-lumat. Sambal ikan bilis langsung tak disentuh.
Asif mengeluh. Datang
dah merajuk isterinya ini.
“Okey, okey. Ini last. Tadi awak dah makan banyak sangat.
Lepas-lepas puasa ni tak elok makan pedas-pedas. Kalau sakit perut tu nanti
macam mana. Awak susah. Saya pun susah.” Asif tambah kuantiti sambal dan
disuakan pada mulut Amani Raiqah.
Amani Raiqah hanya
tersengih. Rajuknya terbang melihat apa yang ada di depan matanya. Mulut dibuka
luas-luas. Dia tahu macam mana sekali pun, Asif tetap akan menurut
permintaannya. Sayang awak, Asif Zafri.
RASA-RASANYA sudah lebih lima kali dia berulang ke
tandas. Dalam perjalanan pulang dari rumah terakhir teman daddynya lagi sudah berapa kali dia meminta Asif untuk singgah di
mana-mana stesen minyak. Tidak tahu di mana silapnya, perutnya meragam teruk.
"Awak, okey ke tak
ni?" Asif labuhkan punggung di sisi isterinya. Kepala Amani Raiqah dipicit
perlahan-lahan. Jelas di matanya wajah manis ini nampak pucat.
Terpejam mata Amani
Raiqah menikmati urutan tangan Asif. Dia tidak mampu bersuara. Sudah tiada
tenaga. Tak terkira berapa kali dia berulang dari bilik air.
"Bawa dia pergi klinik,
Asif, Karang kalau melarat susah." suruh Puan Sri Aminah. Dihulurkan
segelas air suam bersama pil tahan sakit kepada menantunya. Selepas itu dia
berlalu ke ruang dapur. Faham pasangan pengantin baru ini nak privasi.
Asif menyambut.
Dikeluarkan sebiji pil. Dihulurkan kepada Amani Raiqah.
“Tak naklah mommy. Ceri-beri aje ni. Nanti-nanti
hilanglah.” Amani Raiqah membantah. Mulutnya hanya ternganga meminta Asif yang
masukkan pil itu.
“Betul cakap mommy tu, sayang. Kita pergi klinik.
Perut awak tu pun dah masuk angin. Sekurang-kurangnya doktor boleh bagi air
garam nanti. Pil sakit perut ke.” Asif memujuk. Amani Raiqah ni memang berangin
sikit. Semuanya tak nak. Dalam manja-manja ada sedikit keras kepala.
Amani Raiqah menggeleng
dan serentak it uterus berlari anak menuju ke ruang dapur.
Hailaa... isteri. Asif
hanya mampu melihat. Perlahan-lahan dia menuruti langkah Amani Raiqah. Mahu
menunggu di depan pintu tandas. Manalah tahu kalau-kalau si isteri tak larat
nak berjalan. Inilah masanya nak tunjukkan kegagahan dia.
“Tak nak pergi ke dia?”
Puan Sri Aminah menegur.
Asif menggeleng.
“Budak bertuah. Nanti
bawak dia masuk bilik. Sapukan ni dekat perut dia.” Sebotol kecil minyak angin diberi
pada Asif. Nasib Puan Sri Aminah teringat bam gamat yang dihadiahkan temannya.
“Yalah.” Asif baru
sahaja mahu membaca apa yang tertulis pada botol bam gamat itu bila pintu
tandas dibuka dengan kuat dari dalam. Lantas dia berpaling.
“Awakkk…” Amani Raiqah
memanggil lemah. Sebelah tangan berpaut pada jenang pintu. Sebelah tangan lagi
menekan perut.
Kelam-kabut Asif
mendekati Amani Raiqah. Dicempung terus si isteri tanpa sempat si dia berkata
apa-apa.
“Wahhh… manjanya.”
Sempat aksi mereka ditegur Amanda yang baru melangkah masuk ke dalam rumah.
Langkah Asif laju
meniti anak tangga. Tak sanggup tengok muka Amani Raiqah yang berkerut menahan
kesakitan. Tak sabar juga nak sapu bam gamat tadi pada perut isterinya. Mudah-mudahan
sakit perut isterinya akan berkurangan.
“Awak, sakittt…” Amani
Raiqah merengek sebaik sahaja dia dibaringkan di atas katil.
“Ssshhh… sekejap,
sayang.” Asif berpatah balik untuk menutup pintu bilik tidur. Tak nak ada
mata-mata nakal yang menjengah ke dalam. Nak-nak abang ipar merangkap kawan
baik yang mulutnya tak ada insuran tu.
Dia memanjat naik ke
atas katil. Bersimpuh di sisi Amani Raiqah. Perlahan-lahan menyingkap baju
kurung yang dipakai si isteri.
“Kalau panas awak
cakap, eh. Mommy yang bagi bam ni.”
Dengan lafaz bismillah, jemari Asif menjalar pada perut Amani Raiqah. Disapu bam
tadi pada perut si isteri. Malah urutan lembut turut diberi agar mengurangkan
rasa sakit yang dirasai si isteri.
Wajah tenang Asif
direnung. Timbul rasa bersalah dalam hati Amani Raiqah. Tak pasal-pasal Asif
terpaksa melayan kerenah dia. Betullah orang kata. Balasan yang diterima tak
perlu nak tunggu dalam kubur. Atas dunia ini juga terus diberi.
“Awakkk…”
“Sakit eh?” Pergerakan
tangan Asif terhenti.
“Tak.” Amani Raiqah
menggeleng. Malah jemarinya menyentuh tangan Asif meminta urutan itu diteruskan.
“Kalau tak sakit
kenapa?” Sebelah tangannya mengusap kepala Amani Raiqah. Lega hati Asif melihat
kurangnya ketegangan pada wajah si isteri.
“Saya nak minta maaf.”
“Maaf? Pasal apa?”
Berkerut dahi Asif.
“Degil. Tak dengar
kata.” Amani Raiqah menjawap perlahan. Matanya tidak lagi memandang Asif. Akur
dengan kesilapan sendiri.
Jeda Asif seketika.
Teringat akan sesuatu Asif tersenyum.
“Dah itu kesukaan awak.
Saya larang pun awak tetap akan makan, kan sayang.”
Pandangan Amani Raiqah
kembali jatuh pada wajah Asif. Riak sedih jelas terpamer pada mukanya.
Kata-kata Asif itu memang tepat sekali.
“Lepas ni kena
beringat. Bukan saya tak bagi awak makan makanan pedas-pedas. Berpada-pada. Ini
nasiblah saya ada dengan awak. Buatnya kalau awak sakit macam ni masa saya
berkerja, macam mana?”
Panjang muncung Amani
Raiqah. Nak membentak memang sah dia yang bersalah. Tadah sahajalah telinga ni.
“Dah, dah. Jangan buat
mulut macam tu. Tak cantiklah, sayang.” Asif mengusik bila menyedari
tanda-tanda merajuk mula ditunjukkan si isteri.
Muncung ditarik semula.
Ahhh… Asif memang pandai memujuk. Apa kata kita manja-manja sikit dengan si dia.
“Sakittt…” Nada manja
dilontarkan. Kepala Amani Raiqah sudah terlentok pada paha Asif.
Asif menggeleng. Baju
Amani Raiqah yang tersingkap diperbetulkan. Kepala Amani Raiqah diribanya.
Jemarinya memicit lembut pelipis si isteri.
“Betul tak saya cakap
siang tadi yang saya akan picit-picitkan awak malam ni?”
“Hmmm… tapi yang sakit
perut bukan kepala.”
“Ini bonus sebab isteri
saya ni mendengar kata.”
“Tak minta lebih, kan?”
Amani Raiqah mendongak sedikit memandang Asif.
“Kalau tak sakit, tak
perlu cakap. Dah terbang tinggi kita.”
Asif mengekek ketawa
bila jemari Amani Raiqah sibuk mahu mencubit-cubit lengannya. Tak padan dengan
sakit perutnya tu.
sweet...
ReplyDeleteTerima kasih sudi baca june...
DeleteBestttt...thanks kak...
ReplyDeleteterima kasih ateh...terima kasih sudi baca...
DeleteBest sgt....
ReplyDeleteTerima kasih sudi baca rosiah...
DeleteHahaha.. Rai oh Rai xpdn dgn sakit perut iye, tgn merayap 😂😂
ReplyDeletekannnn.... terima kasih sudi baca
Delete