MENYESAL? Memang itu yang dia rasakan kini. Bertindak sangat ikut perasaan, natijahnya dia sendiri yang menderita. Dalam hal ini, dia menyalahkan diri sendiri. Semua yang terjadi, dia dengan rela sanggup mengakuinya.
“Along, tak habis lagi termenung?”
Ayman menoleh seketika pada tubuh tua yang menegur. Segaris senyuman pahit dilemparkan kepada emaknya. Pandangannya kembali ditebarkan pada padang kosong yang terbentang luas di belakang rumah.
“Kalau along tak bersedia untuk berkongsi dengan emak, ingatlah kita ada Allah untuk mengadu nasib.” Mak Limah cuba memberi nasihat. Hati tuanya tidak betah melihat keadaan Ayman sekarang. Macam orang tidak beragama sahaja lagaknya.
Ayman bungkam. Kata-kata emaknya dibiarkan tanpa jawapan walau terbit rasa bersalah. Fokusnya kini merawat hatinya yang terluka. Terluka dek tajamnya lidah lelaki dia. Terluka kerana terlalu mengikut perasaan amarah yang menggunung. Terluka kerana terlupa kesannya selepas itu. Sungguh dia sangat-sangat menyesal.
“Arghhh…!” Ayman menjerit kuat sambil pejam mata. Melepaskan kesakitan yang terbuku dalam dada. Mengharapkan ianya akan hilang saat matanya terbuka.
“Astaghfirullahaladzim. Along, malu sikit dengan jiran-jiran tu!” Serentak itu suara Mak Limah turut sama memetir. Terkejut tubuh tua itu dengan jeritan kuat Ayman sehingga dia yang bersandar pada jenang pintu hampir hilang imbangan.
“Emakkk…” Ayman merintih. Lemah segala sendinya. Sakit di hatinya masih terasa. Tidak luak walau sedikit.
Mak Limah menapak ke depan. Mendekati Ayman yang tersandar lemah di dinding rumah. Punggungnya dilabuhkan pada bangku panjang yang diduduki Ayman. Paha Ayman ditepuk perlahan.
“Pergi ambil wuduk sana. Pergi mengadu pada DIA. Kalau bersungguh, insya-Allah DIA akan tunjukkan cara. DIA maha pendengar. Menjerit, termenung tak akan jumpa jalan penyelesaian.”
Ayman masih begitu. Kali ini dia memandang ke atas. Langit biru yang terbentang dipandang sayu. Inikah balasan untuk dia? Inikah denda yang harus dia bayar? Ya Allah, ujianmu ini sangat berat untuk aku hambamu yang hina ini.
“Ayman Fareeqqq…” Lembut sahaja suara Mak Limah memanggil bila dilihat Ayman masih tetap begitu.
Ayman menoleh.
“Pergilah. DIA mendengar.” Mak Limah kerdipkan mata. Memujuk lagi.
No comments:
Post a Comment