Saturday, September 7, 2013

CUMA DIA KEKASIHKU - BAB 14




“Abang Rahim, kelulusan kebenaran merancang dari Majlis dah dapat belum?” tanya Akid pada pengurus projeknya.

“Minggu lepas lagi dah hantar ke Majlis selepas buat beberpa perubahan dan semua dokumen dah cukup. Rasanya lagi dua minggu selepas MOU, dah boleh buat susulan, bos,” jawab Rahim dengan yakin.

Akid angguk puashati.

“Mira, macam mana dengan bajet? Ada apa-apa perubahan tak selepas perbincangan hari tu? Saya tak nak nanti masa hari pembentangan ada yang tercicir.”

“Setakat ni tak ada. Nanti saya tunjuk bajet yang terkini. Mana tahu kalau Encik Akid ada nak tambah,” jawab Mira yang mengetuai Bahagian Kewangan.

Good. Danial?” Akid memandang ke arah Danial.

Peguam yang kita lantik dah tengok MOU tu. Pasal penalti tu mereka cadangkan kita letak kadar faedah dalam lima hingga sepuluh peratus sehari tapi aku rasa lebih baik kau bincang dengan Tan Sri dulu.”

“Okey. Kebetulan esok aku memang nak jumpa Tan Sri nanti aku akan usulkan. Anything else?” Akid memandang semua pekerjanya.

Mereka menggelengkan kepala.

“Kalau macam tu kita sambung kerja selepas pukul dua. Please don’t skip your lunch. Saya tahu projek ni penting tapi makan tetap makan. All of you may go now.”

Akid memandang pekerjanya seorang demi seorang yang mula meninggalkan bilik mesyuarat. Dia turut keluar tetapi meneruskan langkah ke bilik kerja.

“Eh, kau tak makan ke? Bukan main nasihatkan orang bagai,” tukas Danial.

“Kau pergi dulu, bro. Aku nak semak dokumen yang Amazon baru faks ni.” Akid menunjukkan beberapa dokumen di tangannya.

Tapau?” lawa Danial.

Thanks but no thanks. Sekejap aje rasanya ni. I’ll join you later.”

Danial hanya menjungkitkan bahu bila mendengar jawapan Akid. Dia lantas berjalan menuju ke lif.

Akid terus masuk ke bilik kerja. Dia menggosok-gosok tengkuknya. Menggeliat sedikit meregangkan segala otot. Ya Allah! Penatnya. Dia kemudian menyandarkan badan ke kerusi dengan kepala terngadah ke atas. Mata tertutup rapat. Setelah merasakan penat dah hilang, Akid kembali menyambung membuat kerja.

Sedar tak sedar hampir dua jam Akid meneliti segala dokumen di depan mata. Dia memandang kehadapan. Semua pekerja sedang tekun menyiapkan tugasan yang telah dibahagikan. Dia menyusun kertas yang bertaburan di atas meja. BlackBerry 10 miliknya dicapai. Mencari nama seseorang kemudian menghantar pesanan ringkas.

Buzz… :-h – Akid Rizq
Waalaikummussalam… :P – Amanda
Ooopppsss… Assalammualaikum… :”> - Akid Rizq
Hmmm… 8-l – Amanda
Suka tak bunga-bunga tu? J - Akid Rizq
Don’t know. Belum masuk kerja. Esok baru tahu… :-/ – Amanda
Tolonglah suka. Penat tau I cari kedai bunga yang boleh hantar kat tempat you tiga kali sehari. ;) – Akid Rizq
Tak suruh pun. Saya dah cakap banyak kali kan jangan hantar lagi. Membazir. X( - Amanda
Today is the last day. Lagi pun you kan sakit. It is just a little thought from me. Hoping you will recover soon. L - Akid Rizq
I appreciate it but please don’t send anymore. Macam yang saya cakap sebelum ni kawan-kawan saya dah marahsebab tiap-tiap hari kena susun bunga awak tu. – Amanda
Okay. Hmmm… esok dah mula kerja ya, sarapan sama? ;-) – Akid Rizq
Tengok macam mana. Got to go. Belum solat Zuhur lagi. – Amanda
Okay. Take Care. Hope to c u tomorrow. :-h – Akid Rizq
Assalammualaikum… - Amanda
Waalaikummussalam. - Akid Rizq

Akid senyum sendiri merenung telefon bimbitnya. Macam manalah dia tak suka dengan Amanda. Setiap kata-kata si dia sangat jujur, tiada berselindung dan tidak mengada-ngada. Tak suka cakap tak suka, sangat berterus terang.  

“Encik Akid!” panggil Mai di sebalik pintu.

Akid membesarkan mata.

Semua yang ada dalam bilik kerja turut memandang ke arah Mai kemudian mereka menyambung semula membuat kerja masing-masing.

“Makan dulu. Dah pukul tiga ni, Encik Akid. Nanti kena gastrik pula.” Mai menunjukkan sebungkus polisterin pada Akid.

“Letak kat dalam bilik saya, Kak Mai. Sekejap lagi saya makan.” Akid baru perasan yang dia masih belum menjamah sebarang makanan lagi.

“Jangan tak makan tau. Nanti Tan Sri tanya, niaya saya,” seloroh Mai.

Don’t worry, Kak Mai. I’ll make him eat.” Danial menyampuk.

Akid membaling gumpalan kecil kertas ke arah Danial.

“Pergilah makan sana.” Danial membaling semula gumpalan kertas tadi.

Akid mengelak. “Aku makan dulu. Lepas ni aku tak masuk balik, terus pergi gym. Korang semua tak payah stayback. Esok boleh sambung semula.”

Danial dan lain-lain menganggukkan kepala.

“Assalammualaikum.” Akid memberi salam sebelum berlalu keluar.

Salam yang diberi dijawab serentak.

Wow! macam tak percaya, gumam Danial dalam hati. Apa-apa pun dia suka dengan perubahan Akid cuma dia saja yang tak pasti bila akan berubah.

###

Suasana di Excell Gym petang itu agak tenang.

Akid memerhati sekeliling. Hmmm… baru tiga orang. Jam tangan di kerling. Patutlah… baru pukul empat. Kerja dengan bapa sendiri, bolehlah datang awal ke sini. Tapi dia bukan mengambil kesempatan. Sudah lama dia tak bertandang ke sini. Kali terakhir rasanya tiga bulan lepas.

Akid mula dengan membuat senaman ringan. Lebih kurang sepuluh minit dia berhenti seketika. Dia kemudian membuat bangun tubi. Baru kiraan tiga puluh terasa manik kecil sudah terbit di dahi dan leher. Dia berhenti seketika. Tuala kecil yang tersangkut dibahu diambil bagi mengelap peluhnya.

Akid kemudian beralih ke mesin treadmill. iPod dihidupkan, telinga disumbat dengan earphone. Dia mula berlari anak. Fikirannya melayang. Teringatkan kerenah Amanda. Jinak-jinak merpati dah dekat tetapi susah nak tangkap. Dia tersenyum. Senyumannya mati bila tiba-tiba bahunya ditepuk.

“Kau.” Akid mematikan iPod. Earphone sebelah kanan ditanggalkan. Rupanya dia dah berlari hampir setengah jam.

“Jauh mengelamun, bro. Aku terpacak kat sebelah kau punyalah lama.” Jari Danial galak memicit butang di mesin treadmill bersebelahan mesin treadmill yang digunakan Akid. Dia pula mula berlari anak.

“Mana ada mengelamun cuma teringatkan projek Amazon tu aje.” Akid berdalih. Dia mengesat peluh di dahi. Dia kemudian duduk di atas mesin treadmill sambil memerhatikan Danial yang mula berlari.

“Aik… betul ke kau fikir pasal projek tu?” soal Danial.

“Betullah. Makin dekat tarikh tu makin serabut kepala otak aku.”

“Kalau serabut kenapa aku tengok kau tersenyum-senyum tadi?” tebak Danial.

“Mana ada aku senyum?” Akid meletakkan tuala di atas kepala dan menggosok-gosok rambutnya. Malaun sekor ni perasan aje apa yang dia buat.

Eleh… macam monyet dapat bunga je gaya kau tadi. Orang kalau fikir pasal kerja, muka berkerut, kening bertaut. Eh! Kalau boleh macam nak hantuk kepala kat dindinglah.”

“Itu orang lain. Aku kalau fikir pasal kerja memang tersenyum-senyum.” Akid cuba berdalih lagi.

“Banyaklah kau. Aku kenal kau bukan setahun dua, bro. Sejak dari kecil lagi kita dah berkawan. Luar dalam kau semua aku dah tahu.” Danial ketawa.

Akid mencampak tuala ditangan ke muka Danial.

Danial mengelak. “Agak-agak arrr, bro. Bau pun dah semacam je ni.” Tuala dibaling semula pada Akid.

Akid gelak. Tuala kecil yang dibaling tadi diciumnya. Dia membuat memek muka yang menyatakan tualanya wangi.

Danial mencebik. Dia mematikan mesin treadmill kemudian duduk menghadap Akid. Beberapa hari ini mereka memang jarang berbual kosong melainkan hal berkaitan Amazon.

“Aku dengar tiap-tiap hari kau hantar bunga kat Lovely Bakery. Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?” terjah Danial.

“Bunga apa? Mana kau dengar cerita mengarut ni? Layan sangat gosip-gosip liar tu.”

“Sumber sahih.” Pendek jawapan Danial yang tak menyangka Akid memang betul-betul kejar minah bertudung yang ditunjukkan kepadanya semasa majlis harijadi Wani.

Akid hanya tersengih. Ini mesti mulut Kak Mai yang tak reti nak simpan rahsia.

“Mencuba nasib. Serius memang susah nak pikat. Kena marah balik ada lah.” Tanpa sedar Akid bercerita.

“Jadi betullah gosip liar tu?” Danial mengangkat-angkat keningnya.

“Kan aku cakap tadi cuba nasib. Belum pasti pun.”

“Kau betul-betul nak budak tu ke?” soal Danial semula. Dia tak sangka selera Akid betul-betul dah berubah.

“Kenapa? Tak percaya?” soal Akid semula.

“Bukan tak percaya tapi kau tak takut terpaksa bersaing dengan Adwan?” riak risau nampak jelas di muka Danial. Takut akan berlaku apa-apa pada Akid.

“Yang itu kau jangan risau. Tahulah aku macam mana nak uruskan. Kita semuakan dah dewasa,” terang Akid. Faham sangat apa yang dimaksudkan Danial.

“Pasal Lisa tu, apa kes pula?”

“Itu cerita lama. Aku dah lupakan.”

“Dengar cerita si Lisa tu pun dah dapat ikan besar. Dah putus dengan Adwan.”

No comment.” Akid menjungkitkan bahu. Malas nak ambil kisah.

Bro, takkanlah minah tu tak respon? Buta agaknya mata dia.” Danial cuba mencungkil cerita. Teruja nak tahu kisah pikat memikat Akid. Selalunya senang aje si Akid ni nak dapat mana-mana perempuan.

“Respon tu ada tapi macam biasa-biasa aje. Macam orang tak ada perasan.”

“Kau tu tak bersungguh-sungguh agaknya?”

“Tak bersungguh apanya. Tiap-tiap hari aku bagi bunga, tiga kali sehari pula tu tapi tiap-tiap hari jugalah aku dapat mesej amaran dari dia,” Akid tersenyum bila mengingatkan pesanan ringkas dari Amanda yang mengugutnya untuk memberitahu pada mana-mana wartawan pasal kes harijadi Wani kalau dia tak hentikan kerja gilanya itu.

“Tiga kali sehari? Gila. Kalau aku pun marah. Menyemak.” Terkejut Danial dengan tindakan Akid.

“Dah pernah date tak?”

Akid geleng kepala.

Danial menepuk dahi. “Sekali pun tak pernah? Kau biar betul?” Danial hairan macam mana playboy a.k.a player macam Akid boleh lembap pula kali ini.

“Ada sekali tu tapi bukanlah date betul-betul. Kau ingat tak hari yang aku batalkan mesyuarat?” Akid bertanya dan Danial mengangguk.

“Huh! Masa tulah dia mesej aku minta tolong ambik dia kat Kompleks Mutiara. Kaki dia terseliuh sebab main bola jaring. Aku bawa dia pergi klinik kemudian hantar ke Lovely Bakery dan itu ajelah.”

“Macam tu aje? Tak pergi makan malam?” soal Danial.

Akid geleng kepala. Perancangan bersarapan bersama Amanda esok takkan diberitahu pada Danial.

Akid mencepuk kepala Danial.

Danial mengusap kepalanya. Dia menjegilkan mata seolah bertanya apa salah dia.

“Makan malam apa dengan kaki berbalut. Takkanlah aku nak dukung dia. Macam orang tak berakal.”

“Betul jugakan. Eh, tapi kau boleh tapau apa, bro,” balas Danial tak mahu mengalah.

“Tak terfikir pula tapi dia ada ajak aku minum masa dah sampai kat kedai. Aku aje yang tak nak.”

“Apasal pula? Jual mahal konon,” ejek Danial.

“Bukan jual mahal. Jantung aku ni ha. Dup dap dup dap. Berdebar gila.”

Poyolah kau, bro. Apa kau ingat kau tu remaja lagi ke? Nak berdebar bagai. Bukannya kau tak pernah keluar dengan perempuan sebelum ni. You’re a player, right?”

“Itu yang aku pelik. Betul cakap kau memang aku pernah keluar dengan ramai perempuan tapi Amanda ni lain dari yang lain. Aku rasa tenang bila berbual dengan dia. She’s just being herself. Tak menggedik, jujur, berterus terang. Tak menyusahkan orang lain cuma hari tu jelah dia mintak tolong dengan aku. Itu pun dia minta maaf. Padahal bukannya buat salah pun.”

Your Amanda is quite interesting. You have to work hard, bro,” kata-kata semangat diberikan. Danial menopang dagu. Dia pasti Akid bersungguh-sungguh kali ini. Sebelum ini memang dia tak berapa setuju bila Akid nak berkenalan dengan perempuan berhijab. Namun bila tengok muka Akid yang ceria bila bercerita perihal Amanda, dia yakin sahabatnya ini dah bersedia hendak menjalinkan satu hubungan serius.

Yeahyou’re right. She’s quite interesting.” Akid tersenyum. Sokongan Danial amat diperlukan. Idea bombastic Danial tu aset pada dia.

Speaking of work hard, do you remember Azam?” soal Danial.

“Azam? Budak law tu?” Akid cuba mengingati nama yang disebut Danial tadi.

Danial mengangguk. “Azam mana lagi, memang dia lah. Dia kerja dengan firma guaman yang kita lantik untuk projek Amazon ni.”

What a small world. Kenapa aku tak pernah jumpa dia? Selalu juga aku turun naik kat Azmir Azali & Co. tu.”

“Macam mana kau nak jumpa dia kalau selalu berurusan dengan bapak dia.” 

“Dato’ Azmir tu bapak dia ke? Kalau macam tu lagi senanglah kita punya kerja.”

“Aku cakap pasal Azam ni bukan nak cerita pasal kerja. Kerja tu tolak ke tepi dulu. Azam ajak kita main bola tampar dengan pasukan firma dia. Dia cakap ada perlawanan bulan depan. Aku okey aje. Dia suruh tanya kau.”

“Hmmm…” Akid masih berkira-kira sama ada nak turut serta atau tidak.

Come on, bro. Kau kan perejam terhebat kat u dulu. Rejaman kau tajam. Siapa aje yang boleh hadang bola kau sebab tulah Azam suruh ajak kau sekali,” Danial cuba memujuk.

Akid meletakkan jari telunjuk di bibir. Dia gerak-gerakkan jarinya. “Campur tolak darab bahagi okey jugak cadangan Azam tu. Manalah tahu kalau-kalau boleh jumpa awek-awek cun masa hari perlawanan tu nanti.”

Kepalanya di cepuk Danial. Akid menyeringai.

“Baru tadi kau mengaku nakkan si Amanda tu. Belum dapat dah nak cari spare tyre.”

“Kalau bro. K.A.L.A.U. kalau. Amanda is still in my heart.” Akid menepuk dadanya.

“Kalau dah player tu player juga.” Danial menggelengkan kepala.

“Bila mula? Jangan cakap esok dah nak main baru hari ni nak berlatih,” soal Akid.

Danial menepuk dahi. “Aku datang sini sebenarnya nak ajak kau pergi UTM. Azam cakap diaorang sewa gelanggang kat sana. Ni semua dengar cerita cinta kaulah jadi macam ni. Jomlah.” Danial angkat punggung dan bergerak menghampiri almari simpan barang.

“Salah aku pula. Kau yang tadah telinga nak tahu lebih-lebih. Aku cerita ajelah.” Akid turut bergerak ke arah yang sama.

6 comments: