Showing posts with label Sehangat Nafas Cintaku. Show all posts
Showing posts with label Sehangat Nafas Cintaku. Show all posts

Tuesday, February 3, 2015

SEHANGAT NAFAS CINTAKU - BAB 2


HARI ke-dua, Iris berkampung di perpustakaan. Baru sehari menghadiri kelas, dia sudah dibebani dengan pelbagai assignment. Itulah dulu-dulu papa suruh terus sambung belajar dia tidak mahu. Nak enjoy konon. Tengok sekarang apa dah jadi. Dah tua baru merangkak-rangkak nak dapatka segulung ijazah.

Pelipis dipicit. Mulutnya pula berdecit. Kertas di tangan direnung. Mengharap ada kuasa magis yang datang membantunya menyelesaikan soalan-soalan yang dibacanya ini.

“Susah, kan?” Satu suara menegur. Serentak itu kerusi bertentangan dengan Iris ditarik perlahan.

Iris panggung wajah. Terus air mukanya berubah. Menyampah pada pemilik suara yang menegur dia.

“Iris, saya tak buat apa-apa pun. Niat saya baik. Nak menolong. Janganlah buat muka macam tu. Serupa saya ni jahat sangat orangnya.” Nada suara Afi mendatar. Tidak seceria seperti di awal dia menegur Iris. Wajahnya juga sudah mendung. Memandang sayu pada Iris.

“Hmmm…” Iris menggumam. Tahu Afi tak bersalah tapi dia memang tidak mahu diganggu sekarang ni. Dia lebih selesa bersendirian untuk mengulangkaji pelajarannya.

Afi terus rampas kertas di tangan Iris. Sengaja mahu memancing perhatian Iris.

“Apa kata kita bincang sama-sama soalan assignment ni?” Afi layangkan kertas itu.

“Jangan kacau aku boleh tak?” Iris ambil semula kertas itu. Matanya membulat besar pada Afi yang sedang tersengih tanpa rasa bersalah. Semakin dia rasa sebal dengan sikap Afi.

“Saya tahu awak tak tahu nak mulakan macam mana. Saya dah buat sikit. Sekejap ya.” Afi buka beg selempangnya. Dikeluarkan satu fail plastik. Diletakkan di atas meja. Diselak sehelai demi sehelai kertas yang tersimpan di dalam fail itu.

Iris menjeling dengan ekor mata. Cuba memberi tumpuan pada kertas di tangan. Cuba untuk tidak memerhati gerak-geri Afi.

“Nah.” Afi letak beberapa helai kertas kajang yang sudah siap bertulis.

Iris buat tak layan. Tak kuasa nak tengok apa yang tertulis di atas kertas yang disua Afi.

“Take your time. Saya nak turun ke kafe sekejap.” Afi tersenyum bila Iris memandangnya. Dia bingkas bangun. Beg selempangnya sengaja ditinggalkan di situ.

Iris terkedu. Memerhati langkah Afi yang keluar meninggalkan perpustakaan ini. Matanya kemudian dikalih pada kertas yang dihamparkan Afi tadi. Sekejap-sekejap dia melihat kertas Afi, sekejap-sekejap dia melihat kertas di tangan.

“Quite impressive.” Iris mencebik. Pada masa yang sama kagum dengan Afi.

Dia bangkit dari kerusinya. Mendekati rak buku. Mencari buku rujukan berkaitan. Rasanya dia boleh mencuba untuk membuat sendiri assignment tadi berdasarkan apa yang Afi telah buat.

Beberapa buku rujukan dicapai. Dia kembali ke tempat duduknya. Langkahnya mati bila nampak Afi sudah santai duduk di mejanya. Nafas dihela dalam-dalam sebelum menyambung langkah.

“Macam mana?” soal Afi sebaik Iris melabuhkan punggung di kerusi.

Hanya segaris senyuman senget Iris berikan. Tiada suara yang keluar.

“Saya tak pasti jawapan yang saya buat ni betul atau tak. Takut juga kalau ada yang silap.” Afi membelek semula kertas kajang miliknya yang disuakan kepada Iris tadi.

Iris ketap bibir. Ada rasa bersalah menerpa hatinya. Dia dapat rasakan Afi ikhlas ingin membantu dia. Teringat kembali pesanan mama. Orang berbudi kita berbahasa. Jadi rasanya tidak salah untuk dia menyambut huluran persahabatan Afi kepada dia.

“Afi,” panggil Iris. Perlahan tapi dia rasa Afi dengar suara dia.

Afi angkat wajah. Keningnya terjongket. Seketika sebelum dia pamer senyuman segaris.

Kelu lidah Iris untuk berkata-kata. Dia tahu Afi tidak bermaksud mahu menggoda dia tapi kenapa dia nampak senyuman Afi sangat manis. Sangat menggoda. Sangat mengasyikkan. Membuat hati perempuannya cair. Rasanya kalau perempuan lain yang melihat turut ada rasa yang sama macam dia.

“Iris?” Jemari Afi mengetuk meja.

Iris menggeleng. Jauh benar khayalan dia. Malunya dia pada Afi. Entah apalah Afi fikirkan agaknya. Mama! Anak dara mama ni memang teruk.

“Ada apa?” Afi bertanya lagi.

Iris berdeham. Cuba untuk mengembalikan akal warasnya.

“Yes?” Sekali lagi Afi jongketkan kening.

“Pasal assignment ni.” Kalut sahaja bicara Iris.

“Kenapa?” Afi minta penjelasan walau sebenarnya dia faham. Ada senyuman di hujung bibirnya.

“Kita discuss sama-sama?” ajak Iris. Rasa malu ditolak ke tepi. Sekarang ini bukan masanya nak jadi perempuan melayu terakhir. Sekarang ini adalah misi menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh pensyarah mereka.

“Why not.” Afi tersenyum lebar.

Perbincangan mereka tidak tamat di situ sahaja. Berlarutan hingga ke petang dan seterusnya membawa kepada makan malam. Masing-masing nampaknya sudah boleh menyesuaikan diri sesama mereka.

“Maaflah kalau sikap saya sebelum ini menjengkelkan.” Iris bersandar selepas menghabiskan makanannya. Wajah tenang Afi dipandang. Gaya bahasanya juga sudah berubah. Tidak ber‘kau’ ‘aku’ dengan Afi.

“Dah biasa.” Afi kenyit mata. Dicapai gelas minumannya. Air limau ais disisip perlahan.

“Teruk kan saya? Macam budak-budak. Tak sedar umur dah 25.”

“Tahu tak apa.”

“Awakkk…” Mulut Iris dah muncung.

“See. Kata dah 25.” Afi pulang paku buah keras.

“Dah awak cakap macam tu.” Iris tidak mahu mengalah.

“Awak ni kelakarlah. Tak sangka Alwani Iris yang ada di depan saya sekarang ini berbeza dengan Alwani Iris yang saya kenal semalam.”

“Sama ajelah sebenarnya. Saya memang macam tu kalau tak kenal orang. Lagi-lagi dengan lelaki.”

“Anti-social?”

“Taklah tapi pernah ada sejarah pahit dengan lelaki.”

“Oh! Sorry.”

“Bukan salah awak pun. Eh, tak mahulah cakap pasal ni. Menyakitkan.” Iris ketawa. Cuba menyembunyi rasa hati yang pernah terluka suatu waktu dahulu.

“Tahu. Memang menyakitkan.” Afi bersetuju dengan kata-kata Iris.

“Pernah juga?” Terjongket kening Iris.

“Siapa aje yang tak pernah.” Afi ketawa halus. Bohonglah kalau ada orang yang tidak pernah terluka dalam percintaan dan dia benci cinta pertama.

“Adalah.” Iris menyangkal dakwaan Afi.

“Siapa? Tell me.” Naik turun kening Afi. Menari-nari.

“Mama dengan papa saya. Mereka bercinta sejak dari bangku sekolah. Membawa ke universiti dan seterusnya menamatkan zaman bujang tanpa seorang pun yang kecewa.” Bersungguh-sungguh Iris bercerita. Mengiyakan kata-katanya.

Afi terkebil-kebil sebelum ketawa. Lucu. Tak sangka Iris ambil serius topik santai ni. Nampak Iris bersungguh-sungguh sangat.

“Eh! Saya kena balik sekaranglah. Esok ada mesyuarat. Karang ada yang tak bangun pagi nanti.” Iris melambai pada pelayan kedai.

“Iris, tak apa. Saya belanja.”

“Betul ni?”

“Ya.”

“Kalau tahu awak nak belanja saya pesan macam-macam tadi.” Iris mengusik.

“Nasib tak cakap awal-awal.” Afi menggeleng. Tersenyum.

“Okeylah. Saya balik dulu. Terima kasih. See you in the next class.” Iris bingkas bangun.

“Insya-Allah. Assalammualaikum.” Afi turut bangkit. Menghantar Iris dengan pandangan mata sahaja.

“Waalaikumussalam.” Iris segera menuju ke keretanya. Melambai pada Afi sebelum memandu perlahan keluar dari perkarangan kedai makan.

“See you tomorrow, Iris.” Afi tersenyum sendiri.




KELAM-KABUT Iris mengatur langkah. Laju menuju ke bangunan yang menempatkan syarikat tempat dia berkerja. Matanya sempat melirik jam di pergelangan tangan. Dia ada 15 minit sahaja lagi sebelum mesyuarat bermula.

Dalam pada dia kalut, matanya tertancap pada sekelompok lelaki yang sedang berbual di suatu sudut di ruang lobi. Dia terpaku seketika. Matanya mengecil. Memerhati setiap seorang. Dadanya tiba-tiba berdebar-debar. Dia kenal salah seorang dari lelaki-lelaki itu.

"Apa dia buat dekat sini?" Iris nyata terkejut dengan kehadiran lelaki itu.

"Kata pemandu teksi. Sekarang apa kes bertali leher bagai. Siap suit pejabat sekali." Iris membebel lagi. Dia masih tercegat di luar bangunan. Ragu-ragu untuk melangkah. Namun dia terpaksa juga. Mesyuarat akan bermula beberapa minit lagi. Niaya dia kalau tak tunjuk muka. Siapa yang nak ambil minit mesyuarat nanti?

Afi mengerling sekilas bila Iris melintas di depan dia. Sebenarnya dia tahu Iris berkerja di situ tapi tak sangka pula mereka akan bertembung dengan keadaan dia yang macam ini. Mesti Iris akan cakap dia penipu. Tak mengapalah. Selepas habis mesyuarat dia akan jumpa Iris. Akan diberitahu segala-galanya.

Sepanjang mesyuarat berlangsung, Afi tidak lepas memandang Iris. Iris nampak lain hari ini. Penampilan gadis itu sangat berbeza. Lebih korporat berbanding 2 hari pertemuan mereka di OUM sebelum ini.

“Encik Afi, ada apa-apa nak tanya?”

“Errr… tak ada, dato’.” Terkulat-kulat Afi jadinya. Itulah ralit sangat tengok anak dara orang. Tak pasal-pasal terkantoi.

Iris panggung wajah. Mencebik. Dalam hati dah mengutuk Afi. Serves you right. Dia tahu Afi memandang dia sejak dari mesyuarat ini bermula tetapi dia tiada niat langsung mahu membalas pandangan lelaki itu. Lebih baik catit setiap perbincangan.

“Kalau macam tu kita tangguhkan mesyuarat hari ini. Insya-Allah, tarikh mesyuarat berikutnya akan dimaklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan kemudian. Terima kasih semua. Oh, Ya! Sebelum balik dijemput minum di bilik sebelah.”

Iris menarik nafas lega bila bosnya sudah menangguhkan mesyuarat pagi ini. Dia berkemas. Laju sahaja tingkahnya. Mahu segera beredar dari sini. Tidak mahu berada dalam satu ruang dengan Afi. Segera dia bangkit dan mengatur langkah keluar dari situ.

"Iris!" Afi mengejar Iris yang tergesa-gesa meninggalkan bilik mesyuarat.

Iris lajukan langkahnya. Dia dengar panggilan itu. Dia belum pekak. Cumanya dia tidak mahu melihat wajah itu. Hatinya sakit. Sakit ditipu hidup-hidup. Tidak tahu kenapa dia boleh berperasaan begitu. Walhal lelaki itu dan dia hanya baru beberapa hari berkenalan. Mungkin kerana prinsipnya. Hidup jangan hipokrit.

"Iris!" Laungan Afi semakin kuat. Langkahnya juga dilebarkan. Selaju mungkin dihayun kakinya.

Iris mula berlari anak. Rakan sepejabat yang berpapasan dengannya langsung tidak ditegur. Tika ini dia hanya mahu lari. Lari dari berdepan dengan lelaki yang sedari tadi tidak penat menjerit memanggil namanya.

"Iris!" Afi menarik lengan Iris kasar sehingga gadis itu tersembam ke dadanya.

Kedua-duanya terpaku. Pegun. Tiada kata. Tiada reaksi. Sepi.

Iris yang tersedar segera menepis tangan Afi. Tubuhnya segera di jarakkan dari badan Afi. Dia berpaling.

“Iris, please. Dengar dulu apa yang saya nak cakap.” Pantas sahaja Afi menghalang Iris.

“Nak cakap apa? Nak cakap yang awak dah tipu saya hidup-hidup? Nak cakap yang awak bukannya pemandu teksi? Nak cakap yang awak ni CEO syarikat? Menyamar macam dalam drama tv atau novel tu?” Suara Iris kasar membalas. Bersama dengan mata yang membulat besar.

Afi mengeluh. Tunak memandang wajah Iris yang tegang. Bersama helaan nafas yang panjang dia menjawab.

“Ya dan tidak.”

Iris menjeling.

“Ya, saya seorang pemandu teksi dan tidak saya bukan seorang CEO syarikat.”

“Habis ini semua apa?” Jari telunjuk Iris bergerak dari atas ke bawah menuding pada badan Afi.

“Saya wakilkan ayah saya. Dia tak sihat. Syarikat pengangkutan tu milik dia dan saya hanya seorang pekerja dekat situ.” Afi membalas dengan sabar.

“Yalah tu.” Iris mencebik.

“Kenapa awak nak marah-marah, Iris?” Afi jongket kening. Pelik juga dia kenapa Iris tiba-tiba nak naik angin dengan dia.

“Saya benci penipu. Saya benci orang yang hipokrit.”

“Bukan ke saya dah cakap saya memang seorang pemandu teksi. Saya tak tipu pun pasal hal itu.”

“Tapi awak tak cakap pun ayah awak ada syarikat.”

“Kenapa perlu saya cakap?” soal Afi semula.

Iris terdiam. Baru terfikir. Kenapa dia nak marah-marah? Afi bukan siapa-siapa pun dengan dia. Namun dia terfikir sesuatu.

“Sebab saya hanya berkawan dengan orang yang jujur,” balas Iris tidak mahu mengalah.

“Celah mana saya tak jujurnya, hurmmm…” Lembut sahaja tona suara Afi. Menjerat Iris dengan kata-kata gadis itu sendiri.

“Eee… dahlah saya nak pergi buat kerja.” Iris tukar topik. Tahu dia sudah tiada alasan lagi mahu diberikan. Dia pun pelik dengan tingkahnya sendiri pagi ini.

“Teman saya minum,” ajak Afi sambil memegang perutnya. Cuba untuk membawa mereka keluar dari isu yang baru diperdebatkan sebentar tadi.

“Saya ada kerjalah.” Tak kuasa Iris. Sudahlah termalu sendiri. Takkanlah nak tayang muka tak bersalah depan Afi. Buat malu kaum saja.

“Encik Afi. Tak minum?” Tiba-tiba satu suara menegur di belakang Afi.

Afi berpaling.

“Errr… dato’.” Dia menunduk hormat.

Iris hanya pamer senyuman nipis pada bosnya. Tayang giginya yang tersusun cantik.

“Iris, pergi temankan Encik Afi. Client kita yang lain tu dah separuh jalan. Kesian pula nak tinggalkan Encik Afi ni minum sorang-sorang. Saya kena keluar sekejap ni.”

“Tapi bos…”

“Tak mengapalah, dato’. Saya pun dah minum tadi.” Segera Afi memintas kata-kata Iris sebelum sempat gadis itu menghabiskan bicaranya. Dia tahu Iris tak akan sudi menemani dia. Kalau gadis itu sudi, sedari tadi lagi si dia dah bersetuju.

“Iris!”

“Baiklah, bos.” Iris akur. Kalau suara bosnya sudah naik oktaf, mahu atau tidak dia perlu patuh.

“Tunggu apa lagi?” Bos Iris sudah jegilkan mata.

Afi hanya tersenyum.

“Silakan, Encik Afi.” Iris mempelawa lembut. Dalam pada masa yang sama geram betul melihat senyuman Afi. Sepertinya lelaki ini menyindir dia.

“Terima kasih.” Sempat Afi kenyit mata. Saja mahu mengusik. Menambah rasa geram Iris kepada dia. 

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Thursday, October 16, 2014

SEHANGAT NAFAS CINTAKU - BAB 1


ALWANI  IRIS. Dia betulkan tag nama yang tergantung di leher. Leceh betul bila dah tua-tua ni kena pakai juga benda ni. Dahlah tangan penuh dengan barang. Dia menoleh ke belakang bila terasa bahunya dicuit.

“Sorry, lambat. Heavy traffic,” sapa seorang gadis.

“Lenguh tau tangan aku. Lambat sikit aje aku campak fail kau dekat tepi dewan ni, Iza.” Iris serahkan fail di tangan kepada Iza.

“Alah, bukan aku yang buat jalan jadi sesak. Siapa suruh semua orang rajin sangat nak memandu sendiri.” Iza cuba pertahankan dirinya.

Mereka berdua berjalan ke luar. Mencari ruang yang selesa. Meninjau ke dalam café tetapi tiada tempat duduk kosong. Akhirnya mereka memilih untuk duduk di atas tembok berdekatan dengan longkang.

“Aku sanggup berkejar dari pejabat ke sini. Kau boleh melenggang mak nenek.” Iris sambung bebelannya.

“Berkira.” Iza tumbuk lengan Iris.

“Belanja lunch nanti.” Iris besarkan matanya.

“So, kelas mana kita kena masuk ni?” Fail di tangan dibuka. Iza membelek isi kandungannya.

“Management. Bilik Johor Bahru.” Tangan Iris berlari di atas sehelai kertas A4.

“Errr…Iris. Pegangkan sekejap. Aku nak pergi toilet.” Tanpa sempat Iris mengiyakan atau menidakkan Iza letak fail dan beg tangannya di atas paha Iris.

“Eee…” Iris hanya mampu menggeleng.

Dia kembali menunduk. Meneliti modul yang baru di ambilnya tadi.

Iris mendongak bila mendengar suara orang berdeham.

“Hai. Saya Afi. Afi Isyraq.” Afi tersenyum sambil menghulurkan tangannya. Mengorak senyuman cari makan seperti yang diperkatakan rakan-rakannya.

Iris memandang pada tangan yang dihulurkan.

Gila ke apa mamat ni. Tahu hukum ke tidak? Rambut dahlah macam burung belatuk. Ada hati nak berkawan dengan aku. Dia mencebik.

"Cuba bagi tahu kriteria macam mana baru boleh berkawan dengan awak." Afi buat muka sedih.

Iris? Bo layan. Baik pergi dari situ. Tak kuasa nak melayan lelaki tak cukup matang ni. Terkulat-kulat Afi dibiarkan tanpa perasaan. Telinga dia dapat menangkap sorakan teman-teman Afi.

“Mana pula si Iza ni. Memerut ke apa? Ingat aku ni kuli ke dia ke?” Iris membebel.

Dia kembali ke café mencari tempat duduk. Nafas dihela lega bila ternampak ada meja kosong di sudut café.

Punggung dilabuhkan di atas kerusi. Fail-fail di tangan diletakkan di atas meja. Beg tangan Iza diletakkan di atas kerusi kosong di sebelahnya. Beg silang miliknya diriba sahaja. Iris keluarkan iPad.

"Susah nak jadi kawan awak rupanya."

Iris pandang mamat jambul belatuk yang tiba-tiba muncul di sebelah. Kening diangkat.

“Kawan aje bukannya nak berkasih.” Afi pamer senyuman menggoda. Selamba menarik kerusi bertentangan dengan Iris.

Kening Iris semakin terangkat tinggi.

“Tak salahkan?” Afi turut menaikkan keningnya.

"Alwani Iris!" laung satu suara.

Afi dan Iris menoleh.

Afi memandang Iris semula. Tersengih dia melihat Iris yang mulutnya terkumat-kamit tanpa suara memandang pada gadis yang memanggil namanya.

"Sedap nama. Alwani Iris. Saya nak panggil awak apa? Al, Wani atau Iris?" Sengihan Afi makin panjang bila Iris menjeling padanya.

“Penat aku cari kau merata. Berdating dekat sini rupanya.” Iza kenyit mata sebelum keningnya menari-nari seolah-olah bertanyakan siapa jejaka kacak yang duduk di depan Iris ini.

Dia ambil beg tangannya dan duduk di sisi Iris. Mata tak lepas dari memaku pada wajah jejaka berwajah kacukan di depannya.

“Hai. Afi Isyraq Izhar.” Afi hulur tangan bersama senyuman yang masih tidak lekang pada bibirnya.

“Iza Rashla.” Iza hanya menundukkan sedikit kepalanya dan tersenyum.

Iris cubit paha temannya. Mata dibulatkan bila Iza memandang. Tidak suka Iza beramah mesra dengan jejaka di depan mereka. Namun dia tahu memang itulah sikap sebenar Iza. Mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

“Sedap nama. Kena dengan orangnya,” puji Iza tanpa silu.

Semakin terbeliak mata Iris mendengar kata-kata pujian yang dilemparkan Iza.

“Tahu.” Afi ketawa-ketawa. Mata tepat memandang wajah Iris.

“Dah kenal kawan saya ni?” soal Iza yang faham dengan renungan Afi pada Iris.

“Tak bersuara langsung dari tadi.” Afi mengeluh. Buat muka sedih.

Iris rasa riak yang dipamerkan Afi seolah-olah muka minta penampar saja rasanya. Tak faham bahasa ke apa. Kalau orang dah tak nak tu blahlah aje.

“Laaa…dari tadi tak kenal-kenal ke?” Iza bertanya kembali.

Afi jongket bahu. Bibir sengaja dijuihkan pada Iris.

“Ini Alwani Iris Azman. Sekretari. Ambil course sama dengan saya. Business Administration.” Panjang lebar Iza memberitahu.

“Iza!” Iris herotkan bibirnya kiri kanan.

“Ooo…samalah dengan saya tapi saya bukan sekretari. Taxi driver aje,” beritahu Afi.

Eh, sengalnya mamat ni. Iris menggumam sendiri.

“Hensem-hensem macam ni kerja taxi driver aje ke?” seloroh Iza. Mengerling Iris.

Iris tersenyum tetapi cepat-cepat mengulum senyum bila Afi memandangnya tajam.

“Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya saya buat kerja halal. Betul tak, Iris?” Afi masih tak lepas pandang pada Iris.

Iris menjeling. Cakap pada Iza aje tak boleh ke? Sibuk nak ajak aku berbual pula.

“Dah semester berapa?” Iza cuba memecah suasana hangat di antara mereka.

“Tiga.”


“Kami baru daftar. Yalah masing-masing sibuk. Dah tua-tua ni baru nak sambung belajar.” Iza memberitahu.

"Nasib ada OUM kan." Afi mengangguk.

"Betul. Iris, kau kenapa?" Iza mencuit lengan Iris yang ralit dengan iPadnya.

"Tak ada mood." Iris menoleh sekilas.

"Maaf, kalau sebab saya buat awak hilang mood. Jujur saya hanya mahu berkawan." Afi menyampuk.

"Hmmm..." Itu sahaja jawapan Iris.

"So, bolehlah kita berkawan?" Afi mula cucuk jarum semula.

Aduh! Mamat ni memang tak kenal erti putus asa. Iris masih berkira-kira.

"Iris..." Iza mencuit lagi lengan Iris.

"Yalah, yalah." Iris mengalah.

"Terima kasih." Afi tersenyum sebelum bangkit dan berlalu dari situ.

Iris dan Iza memerhati tingkah Afi yang berjalan ke arah teman-temannya. Mereka nampak Afi membuat gaya 'yes' dan disambut dengan sorakan teman-temannya.

"Tengok apa yang kau dah paksa aku buat?" Suara Iris kasar. Tidak suka dengan apa yang dia nampak.

"Alah...orang cantik macam kau. Mestilah si Afi suka bila kau sudi berkenalan dengan dia," pujuk Iza.

Iris mendengus. Hatinya semakin panas bila Afi melambai padanya dari tempat duduk jejaka itu.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.