Showing posts with label Pasca Pantai Timur IKP. Show all posts
Showing posts with label Pasca Pantai Timur IKP. Show all posts

Friday, July 24, 2015

SE KERANA SEJALUR KEIKHLASANMU VERSI RAYA


JAM DIGITAL yang berbunyi ditekan. Hampir setiap hari memang itu rutinnya sejak bergelar suami kepada Amani Raiqah Razlan. Kalau masa bujang dulu dia tak adalah nak guna jam meja bagai. Apa guna ada telefon pintar. Set sahajalah pukul berapa. Berbunyi, bangun. Itu pun selalu juga terlajak.
"Rai, bangun sayang." Digoyang perlahan tubuh yang pulas tidur di bawah comforter pink di sebelahnya. Mata Asif sendiri masih terpejam. Hanya tangannya yang bergerak. Mulut yang berkicau.
Amani Raiqah tidak bersuara tetapi menjawab dengan menepuk lengan Asif. Bahasa badan yang selalu dia gunakan jika ada yang mengejutkan dia.
Asif tersenyum dalam pejam. Lebih dua bulan menjadi suami Amani Raiqah, dia sudah mula boleh membaca setiap tingkah si isteri. Apa yang dia perasan, isterinya susah untuk bangun pagi tapi tak adalah sampai culas untuk menunaikan solat Subuh. Malah tidak pernah tertinggal untuk berjemaah bersama dia kecuali ketika ‘teman baik’ isterinya datang melawat. Itu pun isterinya macam malu-malu. Hailaaa… comel betul dia.
Senyuman Asif mati. Teringat akan sesuatu. Takut ada yang mengetuk pintu bilik tidur mereka nanti. Tidak sedap hati sebelah matanya dibuka. Senyumannya kembali mekar. Inilah salah satu sebab kenapa dia suka bangun pagi. Menatap insan yang halal untuknya. Insan yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Insan yang diakadkan untuknya sebulan sebelum umat Islam menyambut Ramadhan.
Wajahnya didekatkan pada si isteri. Ditiup kedua-dua peluput mata yang tertutup cantik. Cantik di matanya. Biarlah orang kata dia gila bayang. Perasaan ini hanya yang bergelar suami kepada seorang isteri sahaja yang tahu.
Tiada tindak balas dari Amani Raiqah. Asif bergerak ke telinga pula. Asalnya ingin meniup sahaja tapi getaran di hati menyuruh dia berbuat sesuatu.
"Awakkk..." Terbuntang mata Amani Raiqah. Sekuat tenaga ditolaknya tubuh Asif. Meremang bulu romanya bila terasa telinganya digigit. Digosok-gosok cuping telinga yang sedikit basah.
Asif ketawa. Dipaut tubuh Amani Raiqah walau si dia berusaha menjarakkan kedudukan mereka.
"Bangun pun. Kalau tak memang saya dah bawa awak terbang." Kenyitan nakal dihadiahkan.
Satu cubitan halus hinggap di dada Asif berserta amaran.
"Jangan nak macam-macam. Pagi-pagi raya ni."
“Tak ada pula saya dengar pagi raya tak boleh macam-macam, hurmmm…” Asif kembali merapatkan wajahnya pada tubuh Amani Raiqah. Beria-ia tadi dia menyuruh isterinya bangun tapi entah kenapa macam ada wake-up call yang perlu dijawab.
“Awakkk…” Amani Raiqah membantah. Bukan mahu menolak permintaan Asif tapi serius dia tak mahu terbabas. Lagilah bila abang dan kakak iparnya turut bermalam di sini. Teruk nanti mereka berdua kena. Asif tentulah tak kisah sebab dia lelaki tapi dia. Dia ada rasa malu.
“Putih… wangi…” Asif berbisik. Bibirnya sudah berlabuh pada leher Amani Raiqah. Niat sebenarnya hanya mahu mengusik tetapi leher jinjang si isteri memanggil-manggil. Lagilah bila Amani Raiqah hanya memakai baju tidur satin warna emas bertali halus.
“Hesy…” Sekuat tenaga Amani Raiqah merungkaikan pelukan Asif. Pantas dia bangkit. Berdiri di sisi katil. Tangan sudah mencekak pinggang.
Sebenarnya dia cuba mengawal debaran di dada yang menggila. Sentuhan demi sentuhan dari Asif nyata membuat dia penasaran. Dua bulan bukan mudah untuk dia membiasakan diri dengan kehadiran Asif. Asif di depan dia ini karakternya sangat berbeza jika hanya mereka berdua. Nakal dan bermulut manis. Gerun dia jadinya.
“Baru nak panas enjin.” Asif ketawa nakal.
“Tak ada maknanya. Cepatlah mandi. Nanti orang dekat luar tu bising.” Tuala mandi di penyidai dicapai. Amani Raiqah terus menuju ke bilik air. Asif kalau dilayan memang jadi aje. Silap haribulan dengan dia sekali terbabas sama.



MASING-MASING mengemaskan pakaian yang melekap di badan. Mereka berdua sepakat memilih warna hijau emerald sebagai persalinan di pagi raya. Untuk selendang, Amani Raiqah memilih warna hijau lembut agar nampak kontras dari warna bajunya.
“Jom turun.” Asif yang sudah mencapai dompet dan telefon bimbitnya bergerak ke pintu.
Amani Raiqah mengangguk. Berjalan menghampiri Asif yang menanti dia di depan pintu yang masih belum dikuak.
“Cantik isteri saya. Love you, sayang.” Satu ciuman hinggap di pipi kanan Amani Raiqah mematikan langkah si isteri dari terus merapati pintu.
“Kalau tak cantik tak adalah love you tu, ya,” seloroh Amani Raiqah. Menepuk lembut pipi Asif sebelum tombol pintu dipulasnya.
“Cantik tu alasan ajelah, sayang.” Asif menidakkan tuduhan Amani Raiqah. Jemari si isteri yang berjalan seiringan dengannya diraih.
“Yalah tu.”
“Nak saya buktikan?”
“Jangan nak mengada.” Terjegil mata Amani Raiqah. Sah, Asif dah berubah. Senang-senang sahaja nak tabur kasih sayang tu tak kira masa dan tempat. Ini kalau abangnya nampak teruk dia kena bahan.
“Tahu takut.” Asif ketawa.
Mereka berdua terus menuju ke ruang dapur. Itu pun bila tiada siapa-siapa di ruang tamu. Baru sahaja selangkah masuk ke ruang dapur, telinga kedua-duanya menangkap satu suara kasar menegur.
"Matahari dah naik baru nampak batang hidung."
Kata-kata sindiran kedengaran serentak dengan sehelai tuala good morning melayang tepat pada wajah Amani Raiqah. Namun sempat Asif menyambutnya.
"Abang!"
"Ouchhh..."
"Padan muka." Amani Raiqah tayang ibu jarinya pada Akid. Sempat melayangkan ciuman terbang pada Amanda. Namun aksinya terhenti bila Asif membisikkan sesuatu.
"Betul cakap abang awak tu. Nasib aje kita tak terbang tadi." Jemari Amani Raiqah diraih. Tuala good morning diletakkan. Tersungging senyuman nakal di bibir Asif sebelum berlalu.
"Bro, tunggu aku!" Akid menjerit dan cepat-cepat berlalu dari situ.
"Sabar ajelah orang lelaki ni," bebel Amanda. Amani Raiqah yang tercegat berdiri di tengah-tengah pintu dipandang.
"Rai, tolong sambung lapkan pinggan ni," arahnya.
Amani Raiqah masih pegun. Wajah putihnya sudah kemerah-merahan. Teringat kembali perihal dalam bilik tadi. Hampir saja mereka tewas. Betul kata orang pengantin baru kalau tidak dapat mengawal nafsu mudah saja terlajak.
"Rai? Hello!" Amanda memetik jari di hadapan muka Amani Raiqah.
"Errr..." Tersipu-sipu Amani Raiqah jadinya.
"Don't worry, sister. Banyak masa lagi." Pat shoulder diberi pada Amani Raiqah bersama senyuman mengusik.
Amani Raiqah rasa nak sorok dalam kabinet. Kakak iparnya pun sama sengal dengan abang dia. Malunya. Bencilah jadi pengantin baru.



MUNCUNG Amani Raiqah dah sedepa. Penat dicubit-cubit lengan Asif agar menolak perlawaan Tan Sri Razlan untuk beraya di rumah teman daddynya ini. Dia sejak dari dulu memang kurang gemar beraya ke rumah orang. Disebabkan itulah teman-teman daddynya tak mengenali dia. Tapi suaminya inikan menantu yang baik. Menurut sahaja kata mentua. Itu yang dia bengang.
"Awak, tambahkan air oren saya." Gelas yang berbaki suku air oren dihulurkan kepada si isteri. Asif pamer senyuman bila Amani Raiqah muncungkan mulut. Hakikatnya dia sedar muncung si isteri tak pernah pudar sejak mereka sampai ke sini.
Amani Raiqah bangkit. Tak naklah nampak dia isteri yang derhaka. Baru dua bulan bergelar isteri sudah mula tunjuk sikap biadap. Lagilah bila orang yang duduk di kiri dan kanan mereka memandang dia.
Longlai langkahnya menuju ke meja bufet. Bengang juga dia. Baru tadi Asif suruh ambilkan lauk rendang daging. Tak ada pula nak suruh tambah air sekali. Suka suruh dia buat kerja berkali-kali. Hati kecilnya membentak halus.
"Terima kasih, sayang." Saat gelas bertukar tangan Asif mengungkap kata-kata terima kasih. Hati si dia perlu diambil. Tak salahkan kalau suami memuji isteri. Sudah dua kali si dia sanggup bersusah untuk dia.
"Hmmm..." Acuh tak acuh sahaja Amani Raiqah membalas.
"Marah?" Jemari kiri Amani Raiqah digenggam.
"Tak." Amani Raiqah tayang gigi.
"Penat layan saya, eh?" Asif mengusik. Jemari Amani Raiqah digosok lembut.
Amani Raiqah buat muka. Malas nak layan kerenah Asif. Boleh pula nak manja-manja dekat rumah orang. Ini semua daddy dengan mommy punya hal. Nak juga diangkut anak menantu pergi rumah terbuka.
"Bukan apa saya sengaja nak awak kutip pahala. Beruntung tau jadi isteri ni."
"Yalah tu."
"Yalah, sayang. Seorang isteri itu mudah masuk syurga hanya taat pada suami tetapi mudah juga masuk neraka. Jangan risau. Malam nanti saya tolong picit-picit awak. Beritahu aje mana yang sakit."
"Tak payah. Bukannya hilang rasa sakit tu pun." Satu jelingan dilemparkan.
Asif ketawa. Amani Raiqah semakin pandai mengusik hati dia. Bahagianya. Sudunya yang berisi nasi disuakan pada Amani Raiqah.
“Nak sambal tu lagi.” Muncung Amani Raiqah dihala pada sambal ikan bilis sebelum sempat sudu itu mencecah mulutnya. Alang-alang Asif nak melayan dia macam tuan puteri, bolehlah dia nak mengada-ngada lebih.
“Dah banyak ni. Nanti sakit perut.” Asif melarang. Dia kini semakin tahu apa makanan kegemaran Amani Raiqah. Suka yang pedas-pedas. Kalau tak pedas isterinya ni kata tak kick. Kicklah sangat agaknya kalau perut tu dah meragam. Geram betul.
“Tak apalah. Saya makan sendiri.” Sudu ditepis. Amani Raiqah cuci semula tangan kanannya. Nasi dipinggan dilumat-lumat. Sambal ikan bilis langsung tak disentuh.
Asif mengeluh. Datang dah merajuk isterinya ini.
“Okey, okey. Ini last. Tadi awak dah makan banyak sangat. Lepas-lepas puasa ni tak elok makan pedas-pedas. Kalau sakit perut tu nanti macam mana. Awak susah. Saya pun susah.” Asif tambah kuantiti sambal dan disuakan pada mulut Amani Raiqah.
Amani Raiqah hanya tersengih. Rajuknya terbang melihat apa yang ada di depan matanya. Mulut dibuka luas-luas. Dia tahu macam mana sekali pun, Asif tetap akan menurut permintaannya. Sayang awak, Asif Zafri.



RASA-RASANYA sudah lebih lima kali dia berulang ke tandas. Dalam perjalanan pulang dari rumah terakhir teman daddynya lagi sudah berapa kali dia meminta Asif untuk singgah di mana-mana stesen minyak. Tidak tahu di mana silapnya, perutnya meragam teruk.
"Awak, okey ke tak ni?" Asif labuhkan punggung di sisi isterinya. Kepala Amani Raiqah dipicit perlahan-lahan. Jelas di matanya wajah manis ini nampak pucat.
Terpejam mata Amani Raiqah menikmati urutan tangan Asif. Dia tidak mampu bersuara. Sudah tiada tenaga. Tak terkira berapa kali dia berulang dari bilik air.
"Bawa dia pergi klinik, Asif, Karang kalau melarat susah." suruh Puan Sri Aminah. Dihulurkan segelas air suam bersama pil tahan sakit kepada menantunya. Selepas itu dia berlalu ke ruang dapur. Faham pasangan pengantin baru ini nak privasi.
Asif menyambut. Dikeluarkan sebiji pil. Dihulurkan kepada Amani Raiqah.
“Tak naklah mommy. Ceri-beri aje ni. Nanti-nanti hilanglah.” Amani Raiqah membantah. Mulutnya hanya ternganga meminta Asif yang masukkan pil itu.
“Betul cakap mommy tu, sayang. Kita pergi klinik. Perut awak tu pun dah masuk angin. Sekurang-kurangnya doktor boleh bagi air garam nanti. Pil sakit perut ke.” Asif memujuk. Amani Raiqah ni memang berangin sikit. Semuanya tak nak. Dalam manja-manja ada sedikit keras kepala.
Amani Raiqah menggeleng dan serentak it uterus berlari anak menuju ke ruang dapur.
Hailaa... isteri. Asif hanya mampu melihat. Perlahan-lahan dia menuruti langkah Amani Raiqah. Mahu menunggu di depan pintu tandas. Manalah tahu kalau-kalau si isteri tak larat nak berjalan. Inilah masanya nak tunjukkan kegagahan dia.
“Tak nak pergi ke dia?” Puan Sri Aminah menegur.
Asif menggeleng.
“Budak bertuah. Nanti bawak dia masuk bilik. Sapukan ni dekat perut dia.” Sebotol kecil minyak angin diberi pada Asif. Nasib Puan Sri Aminah teringat bam gamat yang dihadiahkan temannya.
“Yalah.” Asif baru sahaja mahu membaca apa yang tertulis pada botol bam gamat itu bila pintu tandas dibuka dengan kuat dari dalam. Lantas dia berpaling.
“Awakkk…” Amani Raiqah memanggil lemah. Sebelah tangan berpaut pada jenang pintu. Sebelah tangan lagi menekan perut.
Kelam-kabut Asif mendekati Amani Raiqah. Dicempung terus si isteri tanpa sempat si dia berkata apa-apa.
“Wahhh… manjanya.” Sempat aksi mereka ditegur Amanda yang baru melangkah masuk ke dalam rumah.
Langkah Asif laju meniti anak tangga. Tak sanggup tengok muka Amani Raiqah yang berkerut menahan kesakitan. Tak sabar juga nak sapu bam gamat tadi pada perut isterinya. Mudah-mudahan sakit perut isterinya akan berkurangan.
“Awak, sakittt…” Amani Raiqah merengek sebaik sahaja dia dibaringkan di atas katil.
“Ssshhh… sekejap, sayang.” Asif berpatah balik untuk menutup pintu bilik tidur. Tak nak ada mata-mata nakal yang menjengah ke dalam. Nak-nak abang ipar merangkap kawan baik yang mulutnya tak ada insuran tu.
Dia memanjat naik ke atas katil. Bersimpuh di sisi Amani Raiqah. Perlahan-lahan menyingkap baju kurung yang dipakai si isteri.
“Kalau panas awak cakap, eh. Mommy yang bagi bam ni.” Dengan lafaz bismillah, jemari Asif menjalar pada perut Amani Raiqah. Disapu bam tadi pada perut si isteri. Malah urutan lembut turut diberi agar mengurangkan rasa sakit yang dirasai si isteri.
Wajah tenang Asif direnung. Timbul rasa bersalah dalam hati Amani Raiqah. Tak pasal-pasal Asif terpaksa melayan kerenah dia. Betullah orang kata. Balasan yang diterima tak perlu nak tunggu dalam kubur. Atas dunia ini juga terus diberi.
“Awakkk…”
“Sakit eh?” Pergerakan tangan Asif terhenti.
“Tak.” Amani Raiqah menggeleng. Malah jemarinya menyentuh tangan Asif meminta urutan itu diteruskan.
“Kalau tak sakit kenapa?” Sebelah tangannya mengusap kepala Amani Raiqah. Lega hati Asif melihat kurangnya ketegangan pada wajah si isteri.
“Saya nak minta maaf.”
“Maaf? Pasal apa?” Berkerut dahi Asif.
“Degil. Tak dengar kata.” Amani Raiqah menjawap perlahan. Matanya tidak lagi memandang Asif. Akur dengan kesilapan sendiri.
Jeda Asif seketika. Teringat akan sesuatu Asif tersenyum.
“Dah itu kesukaan awak. Saya larang pun awak tetap akan makan, kan sayang.”
Pandangan Amani Raiqah kembali jatuh pada wajah Asif. Riak sedih jelas terpamer pada mukanya. Kata-kata Asif itu memang tepat sekali.
“Lepas ni kena beringat. Bukan saya tak bagi awak makan makanan pedas-pedas. Berpada-pada. Ini nasiblah saya ada dengan awak. Buatnya kalau awak sakit macam ni masa saya berkerja, macam mana?”
Panjang muncung Amani Raiqah. Nak membentak memang sah dia yang bersalah. Tadah sahajalah telinga ni.
“Dah, dah. Jangan buat mulut macam tu. Tak cantiklah, sayang.” Asif mengusik bila menyedari tanda-tanda merajuk mula ditunjukkan si isteri.
Muncung ditarik semula. Ahhh… Asif memang pandai memujuk. Apa kata kita manja-manja sikit dengan si dia.
“Sakittt…” Nada manja dilontarkan. Kepala Amani Raiqah sudah terlentok pada paha Asif.
Asif menggeleng. Baju Amani Raiqah yang tersingkap diperbetulkan. Kepala Amani Raiqah diribanya. Jemarinya memicit lembut pelipis si isteri.
“Betul tak saya cakap siang tadi yang saya akan picit-picitkan awak malam ni?”
“Hmmm… tapi yang sakit perut bukan kepala.”
“Ini bonus sebab isteri saya ni mendengar kata.”
“Tak minta lebih, kan?” Amani Raiqah mendongak sedikit memandang Asif.
“Kalau tak sakit, tak perlu cakap. Dah terbang tinggi kita.”
Asif mengekek ketawa bila jemari Amani Raiqah sibuk mahu mencubit-cubit lengannya. Tak padan dengan sakit perutnya tu.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Friday, January 2, 2015

KERANA SEJALUR KEIKHLASANMU - PART 1 (CERPEN EBOOK IKP)



SUARA orang bertekak di dalam kedai kedengaran hingga ke ruang kaki lima. Masing-masing tidak mahu mengalah. Masing-masing meninggikan suara. Entah siapa yang mendengar siapa. Tiada siapa yang tahu. Dua tiga orang yang berdiri di sisi hanya memerhati. Tidak berani meleraikan.

Seorang gadis yang baru sahaja membuka pintu keretanya terus memandang ke dalam kedai runcit. Berkerut dahinya. Telinganya dapat mendengar suara orang seperti bergaduh. Pantas sahaja dia keluar. Bukan niat untuk menjadi seorang penyibuk tetapi hati dia berasa tidak enak dengan pertengkaran yang berlaku di dalam sana.

Baru sahaja mahu meniti anak tangga, telefon bimbit miliknya pula berbunyi. Kelam-kabut tangannya menggagau menyeluk masuk ke dalam beg tangan.

“Yup.” Dia menjawab pantas. Mata masih melirik ke dalam kedai. Suara orang bertekak masih kedengaran.

“Opsss…assalammualaikum, Abang Akid.” Matanya dijuling ke atas. Tahu dia bersalah tapi tak perlulah abangnya menyindir di sebelah sana.

“Rai tahu. Lagi satu jam kan mesyuarat tu.” Dia menjawab malas.

Diam seketika. Mendengar bebelan panjang abangnya. Seperti selalu. Masih menganggap dia budak hingusan yang perlu dijaga saban waktu.

“Ya Allah, Encik Akid Ridz. Kalau abang membebel lagi bila masanya Cik Amani Raiqah ni nak cepat sampai sana? Sepuluh minit lagi Rai sampailah. Got to go. Assalammualaikum.” Segera Amani Raiqah mematikan talian.

Kepalanya mendongak.

“Hesy…tak sakit ke tekak dia orang ni? Terjerit-jerit.” Amani Raiqah menggeleng.

Sudahlah dia mahu cepat bila terganggu dengan panggilan abangnya. Sekarang ini pula dia terpaksa berdepan dengan dua orang manusia yang tidak bertamadun di dalam sana. Dunia, dunia.

Kaki pantas mengorak langkah. Laju dia meniti anak tangga satu persatu. Takut juga tergelincir. Sekarang musim hujan, permukaan tangga yang licin dan basah ini perlu dipijak berhati-hati.

“What the…” Amani Raiqah tidak jadi melangkah masuk. Terbuntang matanya melihat biskut yang berterabur di atas kaki lima.

Tidak suka dengan apa yang dilihat. Dicapainya plastik merah yang tergantung di tiang. Dia bertinggung. Jemarinya pantas mengutip biskut-biskut yang bertaburan itu. Tanpa rasa geli dikutip satu persatu.

“Sekarang you gantilah. Ingat I beli dengan daun kering ke?” Lelaki yang berkemeja lengan panjang warna biru cair mencerlung garang memandang lelaki yang berdiri di belakang kaunter.

“Kenapa aku kena ganti pula? Bukan salah aku.” Lelaki di belakang kaunter itu membalas geram.

“Excuse me.” Amani Raiqah mencelah.

Plastik berisi biskut yang dikutipnya tadi diletakkan di atas kaunter. Dia langsung tidak terusik dengan lelaki-lelaki yang sedang bertikam lidah ini. Biarlah mereka nak menjerit sesama mereka. Dia lebih senang menggunakan teknik ‘reverse psychology’.

Kedua-dua lelaki ini terdiam. Memandang Amani Raiqah serentak.

“Tak maulah bising-bising, Ravi. Awak bagi aje apa yang dia nak. Saya bayarkan.” Amani Raiqah tersenyum.

Dia mengenali Ravi, lelaki yang berdiri di belakang kaunter itu yang juga merupakan pemilik kedai ini. Seorang lelaki berbangsa India tetapi sangat peramah. Memberi layanan sama rata tanpa mengira kulit. Sudah acapkali dia membeli barang runcit di sini. Senang berurusan di sini.

Hairan juga bila dia melihat Ravi marah-marah. Apalah agaknya lelaki berkemeja biru cair ini telah buat kepada Ravi. Pandangannya beralih pula kepada lelaki berkemeja biru cair.

“Is it yours?” Jari Amani Raiqah menuding pada bungkusan plastik merah tadi.

Lelaki berkemeja biru cair merenung pada objek yang ditunjuk. Berkerut dahinya merenung sebelum lambat-lambat mengangguk.

“Sayang. Kalau ia pun terjatuh, patutnya awak kutiplah walaupun awak dah tak boleh makan. Boleh juga bagi pada yang memerlukan.” Selamba sahaja Amani Raiqah menyindir sambil mengeluarkan beg duitnya.

Terkedu seketika lelaki berkemeja biru cair ini.

“Berapa semua ni, Ravi?” Amani Raiqah sudah sedia dengan beberapa keeping not RM10.

“Tak mahal. Lima Ringgit saja, Cik Rai.” Ravi tersengih.

“Oh!” Spontan pandangan Amani Raiqah jatuh pada wajah lelaki berkemeja biru cair ini sebelum menghulurkan sekeping not merah kepada Ravi.

Hanya kerana biskut yang berharga RM5 ini sanggup mamat ni bertegang urat sampai nak terkeluar anak tekak. Tak berduit atau apa lelaki ini? Hmmm…Kalau tengok dari segi penampilan macam orang yang berkerjaya bagus. Macam-macam perangai manusia zaman sekarang.

Lelaki berkemeja biru cair itu terpempan. Tiada sebutir suara pun yang keluar. Tidak seperti sebelum gadis ini mencelah pertikaman lidahnya tadi.

“Cik Rai mahu beli apa?” Ravi bertanya selepas memulangkan baki RM5.

“Banyak ni. Ada special project.” Amani Raiqah menghulurkan sehelai kertas.

Sementara menanti Ravi membaca senarai barang yang tertulis, diambilnya bungkusan biskut yang baru itu.

“Nah.” Amani Raiqah menghulur.

Lelaki berkemeja biru cair itu teragak-agak.

“Jangan risau. Saya belanja.” Amani Raiqah menguntum senyuman.

Plastik itu dicapai dan lelaki berkemeja biru cair itu terus keluar dari kedai tanpa mengucapkan terima kasih.

“Blah macam tu aje? Typical Malaysians.” Amani Raiqah menggeleng.

Nasib saja dia masih bersabar. Kalau ikutkan perangai zaman jahiliahnya dahulu mahu sahaja dia hempuk kepala mamat tadi. Dia menghela nafas seketika sebelum turut sama mahu keluar dari kedai runcit itu.

“Cik Rai! Mahu bila?” Ravi menjerit bila perasan Amani Raiqah sudah meninggalkan kaunter.

“Hujung minggu ni. Abang saya datang ambil. Daaa…” Amani Raiqah melambai.

Dia berjalan keluar. Bukan menuju ke keretanya. Sebaliknya dia berjalan ke sebelah kedai. Jemarinya meramas biskut-biskut yang dikutipnya tadi. Ditabur di atas jalan raya. Menanti seketika sebelum segerombolan burung merpati datang. Mengutip cebisan biskut yang ditabur.

“There you go.” Amani Raiqah ketawa. Suka melihat kawanan burung merpati ini yang berebut makanan.  

Dicampak lagi biskut-biskut tadi sehingga habis. Tanpa dia sedari ada sepasang mata yang memerhati. Aksinya benar-benar mencuit hati sepasang mata itu.

“Allah!” Amani Raiqah terjerit halus bila menyedari dia sudah melewati masa yang telah ditetapkan. Jarum jam di pergelangan tangannya sudah menunjukkan ke angka dua. Bermakna dia hanya ada setengah jam untuk sampai ke pejabat.

Kalut dia melangkah laju ke keretanya. Otak bekerja keras memikirkan alasan untuk diberikan kepada abangnya. Sudahlah dia belum menunaikan solat zohor lagi. Itulah ralit sangat dengan fauna ciptaan Tuhan.

“Harap-harap abang tak marah aku.” Amani Raiqah membebel sendiri sambil menekan butang pada kunci kereta di tangannya.

“Assalammualaikum.” Satu suara menegur.

“Waalaikumsalam.” Pergerakan Amani Raiqah terhenti. Dia berpaling. Mahu melihat siapakah gerangan yang memberi salam.

Orang yang menegur mengangkat sebelah tangan bersama senyuman terukir di bibir.

“Awak!” Ada riak terkejut dalam nada suara Amani Raiqah. Tidak menyangka lelaki berkemeja biru cair tadi yang menegurnya. Santai sahaja lelaki itu bersandar pada kereta Perodua Viva yang diparkir di sebelah keretanya.

“Ya, saya. Asif Zafri.” Lelaki berkemeja biru cair itu selamba memperkenalkan dirinya.

Terkebil-kebil Amani Raiqah. Dia ada bertanya ke siapa nama mamat ni? Rasanya macam tak. Sekarang ni dia nak kena perkenalkan diri juga ke? Rasanya tak perlu kut. Lebih baik dia cepat-cepat pergi dari sini kalau tak mahu mendengar tazkirah percuma dari abangnya.

“Oh! Errr…saya nak cepat ni. Ada mesyuarat. Pergi dulu. Assalammualaikum.” Segera Amani Raiqah meloloskan diri ke dalam keretanya.

Giliran Asif pula terkebil-kebil. Hanya memandang Audi R8 hitam yang berlalu meninggalkan dia.

“Laaa…aku pun ada mesyuarat juga ni.” Asif menepuk dahi. Kalut membuka pintu keretanya.


Dia tersenyum sendiri sambil menghidupkan enjin kereta. Siapa suruh khusyuk sangat merenung anak gadis orang? Agak-agak kalau dia ceritakan sebab kenapa dia lewat kepada teman baiknya, akan diketawakan tak?

P/S Kalau berminat nak baca part2 seterusnya, bolehlah beli ebook pasca banjir pantai timur dengan IKP. Hanya RM15 sahaja. Hasil jualan akan didermakan kepada mangsa-mangsa banjir di pantai timur. ebook ini mengandungi kompilasi cerpen2 hasil nukilan beberapa orang penulis. Jangan lepaskan peluang. Marilah kita membaca sambil menderma.

Thursday, January 1, 2015

Jualan e-Book Amal Pasca Banjir Pantai Timur


Ada sedikit cerita yang ingin saya kongsikan dengan anda semua. Ini adalah projek amal IKP dalam membantu mangsa2 banjir di Pantai Timur. e-Book ini adalah kompilasi cerpen dari beberapa orang penulis. Kepada yang berminat bolehlah membuat tempahan seperti yang tertera di bawah. Membaca sambil menderma.

Salam sejahtera.
Dgn ini kami mengumumkan bahawa, pihak Idea Kreatif akan membuat satu projek Jualan Amal Ebook PASCA BANJIR PANTAI TIMUR.
Semua Sumbangan akan disalurkan pada mangsa Banjir kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.
Cara Pembelian:
1. Beli melalui ejen-ejen IKP
2. Harga Ebook RM15
3. Email/PM bukti pembayaran bersertakan butir-butir berikut:
Nama:
Email Address:
4. Ebook akan mula diemail selepas tarikh dilancarkan.
5. Proses email akan mengambil masa 24-jam selepas ebook dilancarkan.
6. PENTING: Pastikan email add ideakreatif.publication@gmail.com berada di dalam safelist anda demi mengelakkan ebook masuk ke dalam SPAM/JUNK folder.
7. Hanya email dari ideakreatif.publication@gmail.com sahaja dikira sebagai sah. Jika anda menerima email dari orang lain, bermakna pembayaran itu tidak diterima pihak IKP.