Friday, January 2, 2015

KERANA SEJALUR KEIKHLASANMU - PART 1 (CERPEN EBOOK IKP)



SUARA orang bertekak di dalam kedai kedengaran hingga ke ruang kaki lima. Masing-masing tidak mahu mengalah. Masing-masing meninggikan suara. Entah siapa yang mendengar siapa. Tiada siapa yang tahu. Dua tiga orang yang berdiri di sisi hanya memerhati. Tidak berani meleraikan.

Seorang gadis yang baru sahaja membuka pintu keretanya terus memandang ke dalam kedai runcit. Berkerut dahinya. Telinganya dapat mendengar suara orang seperti bergaduh. Pantas sahaja dia keluar. Bukan niat untuk menjadi seorang penyibuk tetapi hati dia berasa tidak enak dengan pertengkaran yang berlaku di dalam sana.

Baru sahaja mahu meniti anak tangga, telefon bimbit miliknya pula berbunyi. Kelam-kabut tangannya menggagau menyeluk masuk ke dalam beg tangan.

Yup.” Dia menjawab pantas. Mata masih melirik ke dalam kedai. Suara orang bertekak masih kedengaran.

“Opsss…assalammualaikum, Abang Akid.” Matanya dijuling ke atas. Tahu dia bersalah tapi tak perlulah abangnya menyindir di sebelah sana.

“Rai tahu. Lagi satu jam kan mesyuarat tu.” Dia menjawab malas.

Diam seketika. Mendengar bebelan panjang abangnya. Seperti selalu. Masih menganggap dia budak hingusan yang perlu dijaga saban waktu.

“Ya Allah, Encik Akid Ridz. Kalau abang membebel lagi bila masanya Cik Amani Raiqah ni nak cepat sampai sana? Sepuluh minit lagi Rai sampailah. Got to go. Assalammualaikum.” Segera Amani Raiqah mematikan talian.

Kepalanya mendongak.

“Hesy…tak sakit ke tekak dia orang ni? Terjerit-jerit.” Amani Raiqah menggeleng.

Sudahlah dia mahu cepat bila terganggu dengan panggilan abangnya. Sekarang ini pula dia terpaksa berdepan dengan dua orang manusia yang tidak bertamadun di dalam sana. Dunia, dunia.

Kaki pantas mengorak langkah. Laju dia meniti anak tangga satu persatu. Takut juga tergelincir. Sekarang musim hujan, permukaan tangga yang licin dan basah ini perlu dipijak berhati-hati.

What the…” Amani Raiqah tidak jadi melangkah masuk. Terbuntang matanya melihat biskut yang berterabur di atas kaki lima.

Tidak suka dengan apa yang dilihat. Dicapainya plastik merah yang tergantung di tiang. Dia bertinggung. Jemarinya pantas mengutip biskut-biskut yang bertaburan itu. Tanpa rasa geli dikutip satu persatu.

“Sekarang you gantilah. Ingat I beli dengan daun kering ke?” Lelaki yang berkemeja lengan panjang warna biru cair mencerlung garang memandang lelaki yang berdiri di belakang kaunter.

“Kenapa aku kena ganti pula? Bukan salah aku.” Lelaki di belakang kaunter itu membalas geram.

Excuse me.” Amani Raiqah mencelah.

Plastik berisi biskut yang dikutipnya tadi diletakkan di atas kaunter. Dia langsung tidak terusik dengan lelaki-lelaki yang sedang bertikam lidah ini. Biarlah mereka nak menjerit sesama mereka. Dia lebih senang menggunakan teknik ‘reverse psychology’.

Kedua-dua lelaki ini terdiam. Memandang Amani Raiqah serentak.

“Tak maulah bising-bising, Ravi. Awak bagi aje apa yang dia nak. Saya bayarkan.” Amani Raiqah tersenyum.

Dia mengenali Ravi, lelaki yang berdiri di belakang kaunter itu yang juga merupakan pemilik kedai ini. Seorang lelaki berbangsa India tetapi sangat peramah. Memberi layanan sama rata tanpa mengira kulit. Sudah acapkali dia membeli barang runcit di sini. Senang berurusan di sini.

Hairan juga bila dia melihat Ravi marah-marah. Apalah agaknya lelaki berkemeja biru cair ini telah buat kepada Ravi. Pandangannya beralih pula kepada lelaki berkemeja biru cair.

Is it yours?” Jari Amani Raiqah menuding pada bungkusan plastik merah tadi.

Lelaki berkemeja biru cair merenung pada objek yang ditunjuk. Berkerut dahinya merenung sebelum lambat-lambat mengangguk.

“Sayang. Kalau ia pun terjatuh, patutnya awak kutiplah walaupun awak dah tak boleh makan. Boleh juga bagi pada yang memerlukan.” Selamba sahaja Amani Raiqah menyindir sambil mengeluarkan beg duitnya.

Terkedu seketika lelaki berkemeja biru cair ini.

“Berapa semua ni, Ravi?” Amani Raiqah sudah sedia dengan beberapa keeping not RM10.

“Tak mahal. Lima Ringgit saja, Cik Rai.” Ravi tersengih.

“Oh!” Spontan pandangan Amani Raiqah jatuh pada wajah lelaki berkemeja biru cair ini sebelum menghulurkan sekeping not merah kepada Ravi.

Hanya kerana biskut yang berharga RM5 ini sanggup mamat ni bertegang urat sampai nak terkeluar anak tekak. Tak berduit atau apa lelaki ini? Hmmm…Kalau tengok dari segi penampilan macam orang yang berkerjaya bagus. Macam-macam perangai manusia zaman sekarang.

Lelaki berkemeja biru cair itu terpempan. Tiada sebutir suara pun yang keluar. Tidak seperti sebelum gadis ini mencelah pertikaman lidahnya tadi.

“Cik Rai mahu beli apa?” Ravi bertanya selepas memulangkan baki RM5.

“Banyak ni. Ada special project.” Amani Raiqah menghulurkan sehelai kertas.

Sementara menanti Ravi membaca senarai barang yang tertulis, diambilnya bungkusan biskut yang baru itu.

“Nah.” Amani Raiqah menghulur.

Lelaki berkemeja biru cair itu teragak-agak.

“Jangan risau. Saya belanja.” Amani Raiqah menguntum senyuman.

Plastik itu dicapai dan lelaki berkemeja biru cair itu terus keluar dari kedai tanpa mengucapkan terima kasih.

Blah macam tu aje? Typical Malaysians.” Amani Raiqah menggeleng.

Nasib saja dia masih bersabar. Kalau ikutkan perangai zaman jahiliahnya dahulu mahu sahaja dia hempuk kepala mamat tadi. Dia menghela nafas seketika sebelum turut sama mahu keluar dari kedai runcit itu.

“Cik Rai! Mahu bila?” Ravi menjerit bila perasan Amani Raiqah sudah meninggalkan kaunter.

“Hujung minggu ni. Abang saya datang ambil. Daaa…” Amani Raiqah melambai.

Dia berjalan keluar. Bukan menuju ke keretanya. Sebaliknya dia berjalan ke sebelah kedai. Jemarinya meramas biskut-biskut yang dikutipnya tadi. Ditabur di atas jalan raya. Menanti seketika sebelum segerombolan burung merpati datang. Mengutip cebisan biskut yang ditabur.

There you go.” Amani Raiqah ketawa. Suka melihat kawanan burung merpati ini yang berebut makanan.  

Dicampak lagi biskut-biskut tadi sehingga habis. Tanpa dia sedari ada sepasang mata yang memerhati. Aksinya benar-benar mencuit hati sepasang mata itu.

“Allah!” Amani Raiqah terjerit halus bila menyedari dia sudah melewati masa yang telah ditetapkan. Jarum jam di pergelangan tangannya sudah menunjukkan ke angka dua. Bermakna dia hanya ada setengah jam untuk sampai ke pejabat.

Kalut dia melangkah laju ke keretanya. Otak bekerja keras memikirkan alasan untuk diberikan kepada abangnya. Sudahlah dia belum menunaikan solat zohor lagi. Itulah ralit sangat dengan fauna ciptaan Tuhan.

“Harap-harap abang tak marah aku.” Amani Raiqah membebel sendiri sambil menekan butang pada kunci kereta di tangannya.

“Assalammualaikum.” Satu suara menegur.

“Waalaikumsalam.” Pergerakan Amani Raiqah terhenti. Dia berpaling. Mahu melihat siapakah gerangan yang memberi salam.

Orang yang menegur mengangkat sebelah tangan bersama senyuman terukir di bibir.

“Awak!” Ada riak terkejut dalam nada suara Amani Raiqah. Tidak menyangka lelaki berkemeja biru cair tadi yang menegurnya. Santai sahaja lelaki itu bersandar pada kereta Perodua Viva yang diparkir di sebelah keretanya.

“Ya, saya. Asif Zafri.” Lelaki berkemeja biru cair itu selamba memperkenalkan dirinya.

Terkebil-kebil Amani Raiqah. Dia ada bertanya ke siapa nama mamat ni? Rasanya macam tak. Sekarang ni dia nak kena perkenalkan diri juga ke? Rasanya tak perlu kut. Lebih baik dia cepat-cepat pergi dari sini kalau tak mahu mendengar tazkirah percuma dari abangnya.

“Oh! Errr…saya nak cepat ni. Ada mesyuarat. Pergi dulu. Assalammualaikum.” Segera Amani Raiqah meloloskan diri ke dalam keretanya.

Giliran Asif pula terkebil-kebil. Hanya memandang Audi R8 hitam yang berlalu meninggalkan dia.

“Laaa…aku pun ada mesyuarat juga ni.” Asif menepuk dahi. Kalut membuka pintu keretanya.


Dia tersenyum sendiri sambil menghidupkan enjin kereta. Siapa suruh khusyuk sangat merenung anak gadis orang? Agak-agak kalau dia ceritakan sebab kenapa dia lewat kepada teman baiknya, akan diketawakan tak?

P/S Kalau berminat nak baca part2 seterusnya, bolehlah beli ebook pasca banjir pantai timur dengan IKP. Hanya RM15 sahaja. Hasil jualan akan didermakan kepada mangsa-mangsa banjir di pantai timur. ebook ini mengandungi kompilasi cerpen2 hasil nukilan beberapa orang penulis. Jangan lepaskan peluang. Marilah kita membaca sambil menderma.

6 comments: