Sunday, April 19, 2015

KAU CINTA DIA LOVE - BAB 2


HAMPIR satu jam Ayman terpaksa menghadap Encik Rahman. Banyak perkara yang mereka bincangkan. Perkembangan beberapa projek yang dipertanggungjawabkan kepada dia dicerita satu persatu. Ini baru seminggu dia menghilang. Kalaulah sebulan tak menjenguk pejabat, rasa-rasanya sehari suntuklah dia dipaksa memandang wajah Encik Rahman.

“Saya lupa satu perkara lagi,” beritahu Encik Rahman sebaik selesai membelek beberapa helai kertas yang ada di depan dia. Wajah tak bermaya Ayman direnung seketika. Menggeleng dia dengan riak wajah pemuda di depan dia ini. Bosan agaknya anak muda ini mendengar dia menceceh.

Ayman hanya jongket kening. Sudah tidak berdaya mahu bertanya apakah perkara itu. Tekaknya sudah kering bersoal-jawab dengan ketua unitnya ini. Tak sempat nak meneguk air barang setitis dua tadi.

Encik Rahman bersandar malas sebelum menyambung bicaranya.

“Ada seorang penolong jurutera baru dalam unit kita. Dato’ Hussain suruh letak bawah awak. Awak dah jumpa?”

“Yang rambut karat tu ke?” Kedua-dua kening Ayman terangkat. Mulutnya senget sedikit. Tidak sanggup menerima kenyataan dia bakal berkerjasama dengan gadis berambut karat itu. Gadis-gadis yang sedia ada itu pun sudah memeningkan kepalanya. Ini ditambah seorang lagi yang pada firasatnya tidak sesuai berkerja sebagai seorang jurutera.

Encik Rahman ketawa. Sudah boleh diagak penerimaan Ayman tentang perkara ini. Dia sendiri sebenarnya terkejut melihat penampilan pekerja baru itu. Namun tidak adil untuk menilai seseorang itu hanya melalui penampilan luarannya. Anak gadis itu bukan calang-calang. Kelulusan Adni sebenarnya melayakkan Adni memegang jawatan sebagai seorang jurutera tetapi Dato’ Hussain hanya menawarkan jawatan sebagai seorang penolong jurutera.

Don’t judge the book by its cover, Ayman.”

“Prinsip tu dah tak boleh pakai, Encik Rahman. Tengok sajalah staf-staf saya tu. Cuma saya pelik. Kenapa staf-staf di bawah saya semuanya perempuan? Dah tak ada lelaki ke dalam syarikat kita ni?”

Encik Rahman hanya mengangkat bahu dan tersenyum. Dia tiada jawapan untuk soalan Ayman itu. Bukan di bawah bidang kuasa dia menentukan siapa yang perlu berkerja di bawah kelolaan siapa.

Ayman mengeluh. Adakah kerana dia anti-sosial menyebabkan syarikat meletakkan pekerja perempuan di bawah kelolaannya? Pasrah ajelah, Ayman. Nak tanya lebih-lebih, kau tu kuli aje pun. Hatinya berbisik sendiri.

“Ada apa-apa lagi ke, Encik Rahman?” Ayman menyoal lagi setelah soalannya tadi tiada balasan. Lagi pun dia malas hendak memanjangkan lagi pertemuan ini. Mahu segera keluar dari sini. Mahu menghirup udara segar di luar.

“Jangan lupa briefing budak baru tu pasal projek mana yang awak nak dia bantu.”

Ayman mengangguk lemah. Itu pun dia juga ke yang kena buat? Hesy, Encik Rahman ni makan gaji buta ke apa. Apa tugas Encik Rahman sebagai ketua unit agaknya ya?

“Jangan salah sangka pula, Ayman. Saya dah terangkan sikit-sikit masa budak tu lapor diri tempoh hari. Cuma saya tak pasti awak nak dia bantu untuk projek yang mana satu.” Encik Rahman tersenyum.

Ayman rasakan liurnya tak tertelan mendengar kata-kata Encik Rahman. Sungguhlah orang tua ini memang banyak makan garam. Ketara agaknya riak wajah dia pada pandangan mata Encik Rahman.

“Saya keluar dululah, Ecnik Rahman.” Ayman bingkas bangun. Tak sanggup lagi nak berlama-lama di situ. Karang macam-macam lagi kata-kata sinis keluar dari mulut orang tua ini. Walau dia tahu Encik Rahman tidak bermaksud begitu.

“Bagi dia kerja. Dah seminggu dia tercongok tak buat apa-apa.”

Telinga Ayman menangkap jelas butir bicara Encik Rahman sebelum pintu bilik kerja Encik Rahman itu ditutup rapat. Badannya disandarkan seketika pada pintu itu sebelum kembali ke bilik kerjanya. Matanya memerhati sekeliling. Saat itu pandangannya bertaut dengan Adni yang baru melangkah masuk ke ruang kerja.

Spontan Ayman melihat jam di tangannya. Dia kembali panggung wajah dan tika itu juga dia perasan Adni masih memandang dia. Sebelah keningnya dijongketkan.

“Selamat pagi, Encik Ayman,” tegur Nadia yang berdiri di sebelah Adni.

Aqilah dan Zara yang turut berdiri sebelah menyebelah dengan Nadia turut mengungkap perkataan yang sama. Cuma Adni sahaja yang tidak bersuara. Sekadar menganggukkan kepala.

“Hurmmm…” Itu sahaja yang terluah dari mulut Ayman. Perut yang sudah berkeroncong minta diisi membuatkan mood dia menjadi kurang baik. Teringat yang dia belum berkesempatan untuk menikmati sarapan pagi ini. Lantas kakinya dibawa masuk ke dalam bilik kerjanya.

Terkebil-kebil mata keempat-empat gadis ini memandang Ayman yang sudah menghilang di sebalik pintu yang bertutup rapat.

“Kau okey tak, Adni?” soal Zara bila perasan Adni hanya membisu sedari tadi.

“Betullah dia beku. Patutlah masa terlanggar dia tadi langsung tak ada suara. Tenung aku semacam. Seram pula.” Adni meluahkan apa yang dia rasa sambil berjalan menuju ke kubikelnya.

Sebenarnya ada sedikit debaran dalam dadanya melihatkan pandangan mata Ayman tadi. Dua kali dia menerima renungan yang sama dari mata Ayman. Macam mata helang. Tunggu masa saja nak terkam mangsa.

“Aku tak salahkan kau beranggapan macam tu tapi bila kau dah kenal siapa dia, kau akan nampak sisi lain pada dia. Sikitlah lainnya tu, kan Nadia?” Aqilah menyampuk. Dia masih lagi berdiri berdekatan dengan kubikel Adni dan Nadia.

“Eh, apasal tanya aku pula? Aku tak ada kena mengena dengan orang dekat dalam tu.” Berkerut dahi Nadia bila dilontarkan soalan begitu. Tidak suka namanya dikaitkan dengan Ayman. Dia sudah bertunang. Takut nanti menimbulkan fitnah pula.

“Hesy, kau ni lurus sangatlah. Bukannya maksud aku kau ada hubungan dengan Encik Ayman. Maksud aku, kau lebih mengenali siapa Encik Ayman yang sebenarnya sebab kau lebih banyak membantu Encik Ayman. Kau kan orang kepercayaan dia.” Aqilah menggeleng. Kenapalah dia boleh ada seorang kawan yang sangat naïf macam Nadia ni.

“Ooo…” Nadia terangguk-angguk sebelum tersengih memandang yang lain.

Pecah ketawa ketiga-tiga mereka dengan aksi Nadia.

“Tak puas lagi berborak?” Satu suara garau menegur dari belakang Aqilah dan Zara.

Terhinggut bahu kesemuany. Kalut Aqilah dan Zara berlalu ke ruang kerja masing-masing. Nadia pula pantas menundukkan wajah. Manakala Adni laju saja menarik salah satu fail yang ada di meja Nadia untuk disemak.

Ayman tersenyum sinis. Gadis berambut karat ini pun sudah terikut-ikut dengan lakonan staf-staf yang lain bila nampak dia ada di ruang kerja ini. Gadis ini pastinya tidak tahu yang dia tahu si dia ini tiada apa-apa kerja yang perlu dibuat.

Siaplah kau nanti. Lepas aku isi perut ni, macam-macam akan aku kerah kau. Ayman tersenyum sendiri memikirkan rancangannya nanti. Dia berkalih pandang kepada Nadia.

“Nadia, saya nak keluar makan sekejap. Kalau ada yang mencari, ambil mesej. Jangan pandai-pandai bagi nombor handphone saya,” pesannya kepada orang kepercayaan dia. Nadia mudah untuk dibawa berbincang dan gadis ini cepat belajar. Itu yang dia suka berkerja dengan Nadia.

Nadia mengangguk.

And you…” Ayman mengetuk meja Adni. Menanti gadis itu memandang kepada dia.

Adni mendongak. Tanpa kerlipan membalas renungan Ayman tetapi hanya seketika sebelum pandangan matanya difokuskan ke tempat lain.

I want to see you right after I had my breakfast.” Ayman terus berlalu pergi sebaik habis berkata-kata.

Adni melopong. Sungguh perilaku Ayman memang menjengkelkan. Entah bagaimana nanti agaknya keadaan dia bila berdepan secara bertentang mata dengan lelaki beku itu.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

14 comments:

  1. Sgt menjengkelkn ok.. xsama mcm ayman dulu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya ke, abby sha? Adoiiii....teruk sangat ke menjengkelkan ayman ni.... miahahaha

      Delete
  2. yg ni lambat2 pun Xpe syeena 2016 pn olie

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum. Sambung next entry please... Hehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumussalam....terima kasih sudi baca...next entry is on the way... hehehe...

      Delete
  4. Pn author lama tuguh nih...kehkehkeh

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak cukup kaki tangan ni....semua nak buat...hahaha...bertabah dan bersabarlah ya...

      Delete
  5. Assalaamu'alaikum akak Sheena... akhirnyaa jumpa juga blog akak ni.... best2 karya akak,..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam dear...terima kasih sudi menjengah blog yang dah lama bersawang ni...harap enjoy baca cerita biasa2 dekat dalam ni...

      Delete