Sunday, March 19, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 1


GADIS bertudung merah itu termenung. Sesekali dahinya berkerut. Ada kala terdengar bibir mungil itu melepaskan satu keluhan berat. Acap kali memang itulah yang selalu terluah dari mulut comel itu. Jarang melihat bibir itu mengoyak senyuman manis apatah lagi ketawa gembira. Kehidupan gadis ini berubah 360 darjah sejak kejadian malang yang menimpa kedua orang tuanya.
“Azza!” Laung satu suara keras dari hadapan.
Tersentak dengan pekikan kuat, Azza, si gadis bertudung merah itu kelam-kabut bangun dan berpura-pura mengelap meja. Rutin yang selalu dibuatnya semenjak datang ke kampung. Walau canggung dengan pekerjaan ini, dia tiada pilihan. Akur dengan takdir yang ditentukan untuknya.
“Kau tak dengar ke aku panggil?” soal si pemilik suara keras itu lagi.
“De… dengar, pak long.” Azza menjawab takut-takut.
Perlahan-lahan dia menapak mendekati lelaki yang dipanggil pak long itu. Pak Long Aziz merupakan satu-satunya waris yang dia ada. Abang kepada daddynya.
“Aku ni kalau tak kenangkan kau tu anak adik aku, dah lama aku tangan-tangankan,” bebel Pak Long Aziz bersama mata yang terjegil.
“Maaf, pak long. Azza tengah lap meja tadi.” Azza menundukkan kepalanya. Tidak berani bertentang mata dengan Pak Long Aziz.
Bukan takut tetapi lebih kepada rasa hormat. Bimbang kalau-kalau terkeluar kata-kata yang kurang enak kepada Pak Long Aziz. Lagi pun dia sedar hanya pak longnya inilah satu-satunya insan yang dia ada untuk dia tumpang berlindung.
“Maaf, maaf. Itu ajelah kerja kau. Itu ada orang baru duduk. Pergi layan,” arah Pak Long Aziz. Bibirnya dijuihkan ke arah meja yang terletak di sudut kiri kedai makan miliknya.
“Baik, pak long.” Mata Azza mengikut arah yang ditunjukkan Pak Long Aziz.
Dia mengeluh lagi. Entah sampai bila agaknya dia harus hidup begini. Bukan dia sombong dengan kedudukan dia suatu ketika dahulu tetapi orang yang terdekat dengan dirinya sendirilah yang menjadikan dia tidak betah untuk terus berada di sini.
“Azza!”
Jerkahan Pak Long Aziz mematikan lamunan Azza. Tidak mahu pak longnya membebel lagi, pantas dia mendapatkan sekumpulan jejaka yang duduk di meja yang dimaksudkan pak longnya tadi. Cukuplah dengan bebanan kerja yang tergalas di bahunya. Dia tidak mahu deria pendengarannya pula dibebani dengan perkataan-perkataan yang kurang enak.
Pak Long Aziz hanya menggelengkan kepala. Dia sebenarnya bukanlah zalim mahu memperlakukan Azza begitu tetapi anak saudaranya itu terlalu mengenang kisah lalunya. Langsung tak mahu keluar dari kenangan silam. Itu yang buat dia geram. Dia rasa hanya dengan kekerasan yang dapat menyedarkan Azza.
“Abah, nak lima puluh.” Gadis bertocang tinggi yang muncul tiba-tiba menunjukkan lima jarinya di depan Pak Long Aziz.
Hilang terus apa yang difikirkan Pak Long Aziz perihal anak saudaranya itu. Gadis bertocang tinggi itu direnung tajam.
“Sedap mulut kau aje. Apa ingat aku ni cop duit!” bentak Pak Long Aziz keras.
“Kalau orang minta ada aje jawapan abah. Kalau Azza senang aje abah hulur,” rungut si gadis bertocang tinggi. Bengang bila permintaannya ditolak mentah-mentah.
“Azza tu dapat duit sebab dia buat kerja. Kalau kau pun nak duit juga, Munira... pergi tolong cuci pinggan sana dulu.” Pak Long Aziz mula melembutkan suaranya.
“Alah, abah. Tangan orang ni bukannya boleh kena sabun. Nanti habis menggelupas.” Munira memuncungkan mulutnya.
Pak Long Aziz melepaskan keluhan lemah. Munira, anak tunggalnya yang terlebih manja sehingga apa saja yang disuruh semuanya mahu dibantah. Kadang-kadang timbul juga kekesalan dalam hati. Silapnya berpunca daripada dia sendiri yang tidak tegas dalam mendidik Munira. Sampai anaknya itu terlebih mua. Semuanya kerana amanat arwah isterinya yang mahukan dia menjaga Munira dengan penuh kasih sayang.
“Bolehlah, abah. Bagi orang duit. Bukannya banyak pun. Lima puluh je,” pujuk Munira.
Dia kekal berdiri di situ sambil mengetuk jari-jemarinya pada kaunter. Riak sedih dipamerkan kepada Pak Long Aziz. Mengharapkan abahnya bersimpati kepada dia.
Pak Long Aziz menggeleng. Anak manjanya ini juara memujuk. Hati tuanya ini pula mudah cair. Tidak sampai hati menolak permintaan Munira, lalu laci kaunter ditarik. Sekeping not lima puluh dikeluarkan. Lambat-lambat dihulurkannya kepada Munira.
“Terima kasih, abah.” Seratus peratus wajah Munira berubah ceria sebaik not lima puluh itu berada dalam genggamannya. Mata dikenyitkan kepada abahnya sebelum berlalu dari situ.
Sekali lagi Pak Long Aziz mengeluh. Belakang Munira yang sedang bergerak meninggalkan ruang kedai makan dipandang. Sudah tidak tahu bagaimana mahu mendidik Munira lagi. Serasanya sudah berbuih mulut tua ini memberi nasihat. Kalau disukat rasanya sudah berbakul-bakul.
Sementara itu, empat orang jejaka yang baru duduk di meja luar kedai makan tersenyum-senyum bila melihat seorang gadis datang menghampiri mereka.
“Nak makan apa, encik?” soal Azza sopan.
Buku nota dan sebatang pen dikeluarkan dari kocek apron yang dipakainya. Dimaniskan wajah dengan senyuman biar pun dia tidak pernah suka dengan kerja yang dilakukannya itu.
“Cantik-cantik macam ni kerja dekat kedai makan aje ke?” usik jejaka berbaju kelabu.
Senyuman di wajah Azza sedikit mengendur. Hati yang terusik dengan kata-kata nakal si jejaka cuba disabarkan. Ini bukan kali pertama dia diusik begitu. Sudah acapkali.
“Pelarislah, Ariq,” usik si gelap berbaju merah pula. Kata-kata lelaki itu disambut dengan gelak nakal rakan-rakannya kecuali si jejaka berbaju putih.
Azza mengetap bibir. geram. Rabbi yassir wala tu’assir, Rabbi tammim bi khair. Hanya itu yang mampu dia ungkapkan dalam hati bila diuji sebegini. Kalau tak mengenangkan mereka ini pelanggan pak longnya memang sudah dibahasakan kebiadapan mereka ini semua.
“Nak makan apa?” Riak serius ditarik. Soalan yang sama diulangnya semula. Kali ini suaranya bernada tegas. Tidak lagi lembut seperti tadi. Usikan jejaka-jejaka itu dibiarkan sahaja tanpa dibalas.
“Siapa namanya ni?” Jejaka berbaju kelabu itu masih mahu mengusik lagi. Tidak mahu mengalah walau jelas pertanyaannya tadi tidak dilayan. Apa yang Azza tidak tahu, jejaka berbaju kelabu ini memang pantang menyerah.
“Sudah-sudahlah tu, Ariq. Aku dah lapar ni,” bantah jejaka berbaju putih pula. Riak wajahnya ketara nampak tidak senang dengan perbuatan lelaki yang dipanggil Ariq itu.
Spontan Azza memandang jejaka berbaju putih yang bermata sepet itu. Senyuman nipis dilemparkan. Tanda terima kasih. Jejaka itu membalasnya dengan anggukan kecil.
Pada masa yang sama, Ariq mendengus. Dia menjeling tidak puas hati. Sebal hatinya bila terang-terangan dia ditegur di hadapan perempuan cantik.
“Azza!” panggil Munira kuat.
Azza berpaling ke belakang. Dia menjegilkan mata. Bengangnya dia dengan Munira. Tak pasal-pasal jejaka-jejaka di depannya ini tahu namanya. Mustahil pula kalau mereka pekak dan tidak mendengar jeritan nyaring Munira tadi.
Munira yang tidak tahu apa-apa tersenyum menggoda. Dengan lenggok persis seorang model, dia melangkah ke arah Azza. Rambutnya pula sengaja digoyang-goyangkan. Niatnya hanya satu. Biar meleleh air liur keempat-empat jejaka yang juga tunak memandangnya.
Azza mencebik sambil mempamerkan riak bosan. Tahu sangat perangai gedik sepupunya itu. Pantang nampak lelaki terlebih kacak sedikit.
“Hai,” tegur Munira. Senyuman manis masih tidak lekang di bibirnya.
Keempat-empat jejaka tersebut hanya tersenyum menyahut teguran Munira.
“Azza, biar aku yang ambil order.” Lembut bicara Munira. Tidak kasar seperti selalunya kalau bercakap dengan Azza.
Tanpa amaran dia terus merampas pen dan buku nota dari tangan Azza. Inilah masanya dia nak cucuk jarum. Peluang keemasan ini tak akan dilepaskan. Jarang sekali ada jejaka kacak yang mahu makan di kedai makan abahnya ini. Balik-balik pemuda kampung yang tak boleh pakai aje yang datang melepak di sini.
Hati Azza dah melompat riang. Dia pun malas nak melayan kerenah jejaka-jejaka ini semua. Sementelah, mood berkerja hari ini memang dah ke laut. Bagus sangat kalau Munira nak tolong walau dia tahu niat Munira itu. Lantaklah. Apa yang penting dia dapat melarikan diri dari situasi kurang menyenangkan hatinya ini.
Langkah diatur untuk meninggalkan meja tersebut. Baru sahaja dia berpaling, terasa pergelangan tangannya disambar seseorang. Berderau darahnya bila melihat siapakah gerangan yang sedang mencekak lengannya itu dengan selamba.
“Ni apahal pula?” Suara Azza sudah melengking tinggi.
Panas hatinya dengan tindakan berani Ariq. Memanglah dia mengenakan baju lengan panjang tapi itu tak bermakna sewenang-wenangnya tangan dia boleh dipegang lelaki yang bukan mahramnya. Belum ada lagi lelaki yang berani memperlakukannya begitu.
“Azza… sedap nama tu,” puji Ariq tanpa langsung menghiraukan tengkingan Azza. Jemarinya masih elok melekap pada pergelengan tangan gadis itu.
“Hishhh…” Azza cuba meleraikan pegangan tangan Ariq. Namun hampa. Malah, dia dapat rasakan pegangan itu semakin kejap.
“Lepaslah!” gumam Azza dalam suara yang tertahan. Kuat sungguh cengkaman itu sehingga berkerut dahinya menahan sakit.
“Janganlah jual mahal sangat.” Ariq menjongketkan kedua belah keningnya.
“Errr…bang. Lepaslah tangan sepupu saya tu.” Munira mencelah.
Ada rasa cuak dalam hatinya. Memanglah dia dengan Azza tak berapa nak ngam tapi rasa kasihan pula bila melihat sepupunya yang sedang menahan kesakitan. Lagi pun, dia tak nak Azza mendapat perhatian yang lebih daripada jejaka itu berbanding dirinya.
Shut up! I’m not talking to you!” bentak Ariq keras.
Jari telunjuknya naik menuding tepat ke wajah Munira. Memang dia pantang kalau orang yang tiada kaitan dengan dirinya menegur apa yang dia lakukan.
Terangkat bahu Munira. Kecut hatinya bila ditengking sebegitu walaupun dia langsung tak memahami butir bicara Ariq.
“Ariq, dahlah. Janganlah buat hal pula kat sini. Kau kena ingat ini kampung, bukan bandar,” pujuk jejaka berbaju putih dengan tenang. Seperti tadi, jejaka berbaju putih itu bertindak sebagai pendamai.
“Lepaskan ajelah,” tegur jejaka berbaju kuning yang sedari tadi hanya berdiam diri. Nampak riak mukanya tidak suka dengan apa yang sedang dibuat Ariq.
“Kau bernasib baik. Kali ini aku lepaskan. Tapi ingat, lain kali kalau kita berjumpa lagi. Memang aku tak akan lepaskan kau. Ini Ariq tau!” Ariq menumbuk dadanya. Bangga dan takbur dengan kata-katanya. Pegangannya dilonggarkan.
Azza tak melepaskan peluang yang ada. Segera direntap tangannya dan berlari masuk ke dalam kedai.
Ariq tersenyum sinis dengan tingkah Azza. Dia memandang belakang gadis itu sehingga hilang. Kini tumpuannya kembali kepada Munira.
“Huh, cepat! Aku dah lapar ni. Apa yang sedap sangat dekat sini?” sergahnya pada Munira yang terkebil-kebil.
“Huh?” Munira dah garu kepala.
Dia terlupa sesuatu. Terlupa yang dia memang tak tahu apa-apa pasal menu makanan yang ada di kedai makan abahnya ini. Matilah dia. Mesti kena bambu sekejap lagi.
“Apa yang terhegeh-hegeh lagi ni? Aku tanya apa makanan yang best kat sini?” Sekali lagi Ariq mengulang soalan dengan suara yang melengking tinggi.
“Errr…errr…” Kata-kata kasar Ariq buat Munira menikus.
Pak Long Aziz yang hanya memerhati sejak tadi segera mendekati anaknya. Risau kalau-kalau ada yang tak diingini bakal berlaku. Wajah pucat si anak dipandang sebelum beralih kepada jejaka-jejaka yang sedang menanti untuk diambil pesanan makanan mereka.
“Ada apa-apa masalah ke?” Dia bertanya lembut.
“Bagus pun kau datang, orang tua. Aku pun dah lapar sangat ni. Tanya budak tak cukup umur ni apa yang sedap, satu apa pun tak tahu,” jawab Ariq kasar.
Mereka yang lain sudah menggeleng. Ketara di wajah masing-masing seperti tidak suka dengan cara Ariq berbahasa.
Pak Long Aziz memegang dadanya. Perit. Budak-budak muda zaman sekarang tak tahu mana letaknya adab mereka. Sudah tidak tahu lagi menghormati orang tua sepertinya.
“Maaflah, nak. Anak pak cik ni memang tak tahu apa-apa. Dia tak kerja sini.” Pak Long Aziz masih cuba berlembut. Hati pelanggan perlu dijaga. Duit pelanggan rezeki untuk dia.
“Dah tahu…” Ariq tak jadi menghabiskan kata-katanya bila terasa lengannya dicuit kasar.
Dia menoleh.
“Ariq, enough!” marah jejaka berbaju kuning.
Ariq mendengus. Menjeling si jejaka berbaju kuning seraya bersandar malas pada belakang kerusinya.
Munira yang sedari tadi berdiri macam patung cendana menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya tiga orang lagi rakan lelaki berbaju kelabu yang dipanggil Ariq ini tak adalah perangai macam hantu.
“Pak cik, maafkan adik saya ni. Ada masalah dekat tapak projek tadi. Itu yang serabut sikit. Saya, Haidar. Ini Ariq, adik saya. Yang itu Rama dan ini Chan.” Haidar, jejaka berbaju kuning itu tersenyum. Memperkenalkan setiap seorang dari mereka.
“Abah, orang pergi dululah.” Munira mencelah.
Dia terus meletakkan pen dan buku nota di atas meja bila dilihatnya Manaf yang baru sampai dengan motosikal EX5 melambai-lambai kepadanya. Terpaksa melupakan niat nak menggoda. Baiklah pergi bersuka-ria dengan Manaf.
Pak Long Aziz tak sempat menahan Munira. Dia hanya mampu melihat Munira yang berlari anak dan terus menghilang bersama Manaf. Pandangannya dikalihkan semula kepada Haidar dan yang lainnya.
“Errr…anak-anak semua ni nak makan apa?”soalnya bersama senyuman nipis.
“Pak cik, kami ni memang dah lapar sangat. Pak cik bagi jelah apa-apa pun janji sedap. Air pun kami tak kisah asalkan boleh hilangkan dahaga,” sambung Haidar semula.
“Yalah, yalah.” Pak Long Aziz mengangguk laju dan terus berlalu dari situ.
Haidar memandang Ariq selepas Pak Long Aziz beredar.
“Kesian budak tu.” Dia bersuara perlahan.
Matanya meliar ke dalam kedai. Mencari-cari kelibat gadis yang dipanggil Azza tadi. Sempat dia mengerling pada Rama dan Chan sebelum memandang si adik semula.
“Jual mahal sangat,” balas Ariq acuh tak acuh. Seolah-olah apa yang dia buat tadi bukannya satu kesalahan. Matanya ralit memandang iPhone 6s Plus di tangan.
Haidar hanya mampu menggeleng. Masak sangat dengan sikap baran Ariq. Kalau apa yang dibuat ditegah memang meledaklah marah si adik. Ingatkan masa kecil aje si adik berperangai begitu, rupa-rupanya membawa sampai ke besar.
Suasana bertukar sunyi. Masing-masing ralit membelek telefon bimbit. Lebih kurang lima belas minit menunggu, makanan untuk mereka berempat sampai juga akhirnya.
Azza yang ditugaskan menghantar pesanan jejaka-jejaka itu berhati-hati meletakkan nasi goreng kampung di atas meja. Dia lebih banyk menggunakan tangan kirinya. Tangan kanannya masih terasa kebas akibat cengkaman Ariq tadi.
“Azza, maaf pasal tadi.” Haidar melemparkan senyuman saat pinggan berisi nasi goreng disuakan di depan dia. Dia tahu pasti sakit cengkaman jemari Ariq tadi.
Ariq yang mendengar hanya menjeling.
“Tak apa. Tak kuat mana pun.” Azza tersenyum lalu terus berlalu dari situ.
Berdiri dekat situ lama-lama pun nak buat apa. Buat sakit hati aje. Lagilah tengok muka mangkuk yang tak ada perasaan itu. Orang lain yang buat salah orang lain pula yang minta maaf.

Ariq rasa macam tekaknya tertelan pasir bila mendengar kata-kata Azza. Serius. Dia tahu cengakamannya tadi kuat. Mesti berbirat merah tangan gadis itu.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

8 comments:

  1. salam syeena... tahniah CDK dah terbit... akak bru je buat bayaran pre order....

    hurm bila cinta si GD nak kuar teasssss ni.. rindu dah akak... tahniah juga kpd hasil terbaru MBiB..

    good luck dari kak itasukri

    ReplyDelete
    Replies
    1. wassalam kak ita... terima kasih... gadis dobi tu in shaa Allah bulan 4 kut baru leh up lagi bab2 seterusnya... MBiB ni cerpen jer kak...silap2 jadi mini novela....hehehehe... thanks again.

      Delete
  2. tq kak syeena sbb up kn kat sini....btl lah diorg kata se..co..et je part 1 ni...x puas bc....huhu - jumay jue

    ReplyDelete
  3. TAHNIAH YA UNTUK CDK X SABAR NAK PEGANG DIA.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq baby mio....tq utk support yg berterusan....

      Delete