Wednesday, April 6, 2016

DI SINI ADA DIA - BAB 6


DUA MINGGU kebelakangan ini jadual Ariani padat. Rutinnya berubah. Tiada masa senggang. Sibuk. Maklum perniagaan spanya mula mendapat perhatian ramai. Semuanya kerana promosi mulut ke mulut. Alhamdulillah. Kalimah itu tak putus-putus dituturkannya.
“Macam mana?”
Tangan Ariani yang tangkas menyusun barang-barang di tempat duduk belakang kereta terhenti. Tubuh yang sudah separuh masuk ke dalam kereta pantas sahaja melolos keluar.
Dia berdiri tegak. Terkebil-kebil memandang insan yang sedang menyandar pada keretanya.
“Dah ada keputusan?”
“Keputusan? Keputusan apa?”
Ariani garu kepala. Sungguh, sejak akhir-akhir ini dia bagaikan diserang penyakit pelupa. Tempoh hari dia sudah aturkan temuduga mengambil pekerja baru tetapi dia yang terlewat sampai di butik. Tak pasal-pasal undang pandangan negatif pada bakal pekerja. Nasib Kak Juriah dan Yasmin ada. Merekalah yang menyelamatkan keadaan.
“Ria…”
“Betul, abah. Ria tak main-main. Keputusan apa yang abah maksudkan?”
“Cadangan Uncle Radzi tu.”
“Oh!”
Ariani gigit bibir. Memang dia lupa hal yang satu itu. Dia pamer senyuman segaris. Pertanyaan abahnya tidak dijawab. Dia kembali menyambung kerjanya.
Uncle Radzi telefon abah. Syarikat dia dah mula dapat banyak job. Dia berharap sangat Ria membantu.”
Encik Aris tak berputus asa. Masih lagi mahu menyambung perbualan. Biar pun Ariani seperti endah tak endah sahaja. Begitulah tingkah Ariani kalau dia atau pun isterinya bangkitkan hal berkaitan kerja yang sepatutnya Ariani buat.
Ariani keluar dari keretanya. Pintu kereta ditutup rapat. Wajah tua abahnya yang beriak tenang dipandang. Tangan yang sudah berkedut itu diraih. Dielus lembut.
“Ria bukan nak menyombong tapi Ria tak nak melakukan sesuatu yang bukan datang dari hati Ria. Ria takut di kemudian hari Ria yang dipersalahkan. Abah sampaikan pada Uncle Radzi, ada ramai lagi calon-calon jurutera dekat luar tu. Pengalaman Ria terlalu cetek dalam bidang elektrik. Takut nanti syarikat Uncle Radzi jatuh bankrap dek Ria.”
Ariani ketawa-ketawa. Berseloroh dalam menyampaikan isi hatinya. Tanpa sedar sebenarnya dia sudah menghampakan hati tua di depannya ini.
“Ria…”
“Abah kecewa ke dengan keputusan Ria?”
Ariani pantas memintas. Tiba-tiba terlintas dalam fikirannya adakah abahnya mengharapkan dia bersetuju menerima tawaran Tengku Radzi. Adakah abah tidak merestui apa yang dia lakukan kini? Ya Allah, salahkah tindakan dia selama ini?
Encik Aris mengeluh. Perlukah dia berterus-terang? Kalaulah dia memaksa dan Ariani terpaksa, di manakah datangnya keikhlasan? Tuhan jika ini rezeki anakku, KAU perkenankanlah.
“Abah bangga punya anak macam Ria. Tak pernah menyusahkan abah dan ummi. Tak mengapa kalau Ria gembira dengan apa yang Ria buat sekarang. Itu sudah cukup untuk abah dan ummi.” Dia tersenyum. Kekura Ariani ditepuk lembut.
“Sayang abah.” Ariani lentokkan kepalanya. Bersandar manja pada lengan abahnya.
“Ya Allah, Ria, abahnya. Tak gerak-gerak lagi ke? Patutlah Yasmin telefon banyak kali.”
Tegak terus tubuh Ariani. Tayang sebaris gigi cantiknya kepada umi yang bercekak pinggang memandang dia dan abah.
“Anak manja awak ni yang menahan saya, Puan Anisah.”
Encik Aris tergelak. Menggosok kepala Ariani. Mengusik si anak dara yang entah sampai bila masih boleh dimanjakannya. Bunga-bunga dia bakal melepaskan Ariani pada seseorang sudah nampak. Cepat atau lambat sahaja penentu segala-galanya.
“Amboi, abah. Dia yang melankolik tengah hari ni. Ria pula yang dipersalahkan.”
Ariani tolak tubuh tua abahnya. Dia bergegas ke pintu sebelah pemandu. Ikutkan hatinya mahu berbual lebih lama dengan abah dan umi tetapi mengingatkan janji dengan pelanggan yang mahu mengambil barang di butiknya petang ini. Terpaksalah dia melupakan hasrat murninya itu.
“Hati-hati memandu tu,” pesan Encik Aris.
Ariani buat isyarat okey.
Encik Aris dan Puan Anisah memerhati sehingga kereta Ariani hilang dari pandangan.
“Macam mana?” soal Puan Anisah.
“Awak rasa?” Encik Aris menjawab dengan soalan juga.
“Dia tak nak.” Lemah sahaja balasan kata Puan Anisah. Mengenali sikap si anak dia dah boleh agak apakah jawapan Ariani.
“Itulah anak awak tapi saya rasa Radzi dan Rozi pasti ada cara lain.”
“Abang memang nak sangat ke berbesan dengan mereka? Tak takut dikata macam menjual anak?” Bertubi-tubi Puan Anisah menyoal.
“Kalau Allah lorongkan jalan cerita Ariani macam tu, siapa kita nak menidakkan?” Ringkas sahaja bicara Encik Aris sambil melangkah mendekati pacuan empat rodanya.
Puan Anisah mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata suaminya. Matanya tunak memerhati si suami yang sudah meloloskan diri ke dalam Honda CRV putih.



KALUT Ariani keluar dari kereta. Berlari anak ke pintu sebelah penumpang. Takut pelanggannya sudah lama menunggu. Dia terperangkap lebih sejam dalam kesesakan jalan raya tadi. Dia terlupa yang hari ini hari isnin. Keadaan trafik kebiasaannya sesak pada hari ini.
Baru sebelah kaki jejak lantai spa, Ariani mati langkah. Terkebil-kebil seketika memerhati susuk tegap yang santai duduk di sofa. Mulutnya ringan sahaja mahu menyapa tetapi dia abaikan. Lalu meneruskan hayunan kakinya. Dia mendekati Yasmin yang duduk di meja penyambut tetamu.
“Puan Rozi ada dekat dalam ke?” bisiknya pada Yasmin sambil meletakkan kotak-kotak yang dibawanya bersama tadi.
Seingat dia, janji temu Puan Rozi minggu hadapan bukannya hari ini. Pantas sahaja dia mencapai kalendar meja. Kutlah dia tersalah tarikh. Betullah minggu depan. Buku bersaiz A4 pula dibuka. Buku yang mencatatkan segala janji temu pelanggan-pelanggannya.
“Ada.”
“Dah lama?” Mulut bercakap dengan Yasmin tapi matanya jatuh pada susuk tegap itu. Buku A4 tadi ditutup semula.
“Hampir sejam.”
“Orang tu?” Muncung Ariani menghala pada Tengku Redza yang masih tidak menyedari kehadiran dia. Leka dengan telefon bimbit.
“Adalah dalam sepuluh minit.”
“Rajin pula.” Ariani mencebik.
Bukan tempoh hari Tengku Redza kata tak nak mencemar duli lagi ke spa miliknya. Sekarang apa kes terpacak dekat sini? Lelaki ini memang tak boleh pakai. Janji melayu betul.
“Dia tanya Kak Ria tadi.”
“Jangan nak menipu, Min.”
Ariani menggeleng pada Yasmin yang tersenyum-senyum. Tak mungkinlah Tengku Redza nak mencari dia. Tengku Redza yang dah menganggap dia musuh lelaki itu. Terbaliklah dunia ni kalau lelaki itu betul-betul bertanyakan diri dia.
“Betullah. Min tak tipu. Kak Ria ada apa-apa ke dengan anak Puan Rozi?”
Spontan belakang Yasmin Ariani tepuk. Tak suka dengan usikan begitu. Minta dijauhkanlah berjodoh dengan lelaki seperti Tengku Redza. Yang sipi-sipi pun dia tak nak.
“Tak selera, mak. Awak tengok tu. Harap aje badan tegap tapi bila pakai baju pink, potong tau.”
Berpadu ledakan tawa Ariani dan Yasmin hingga membuat Tengku Redza panggung wajah. Tanpa kedua-duanya sedar, Tengku Redza sedang menghampiri mereka.
“Apa yang kelakar sangat? Ketawa macam niyang rapik.”
Terkedu kedua-duanya.
Ariani memarahi dirinya sendiri. Kenapalah ketawa macam orang lupa ingatan. Itulah Allah tak suka. Kan dah dapat balasannya. Malu tapi dia kekal riak muka selamba. Dengan Tengku Redza mana boleh tunjuk kelemahan diri. Nanti lelaki itu pijak-pijak.
“Min masuk dalam dulu, Kak Ria. Nak tolong Kak Ju.”
Yasmin lekas-lekas minta diri. Menunduk sedikit pada Tengku Redza sebelum menghilang ke sebelah belakang. Menuju ke dalam salah satu bilik rawatan yang ada di situ.
Tak sempat Ariani nak menghalang. Bertuah betul Yasmin ni. Sengajalah tu biarkan dia seorang diri menghadap pemilik mulut longkang ini.
Tak menghiraukan Tengku Redza yang masih berdiri di depannya, dia terus sahaja menyusun kotak-kotak yang diletakkannya di atas meja tadi. Namun Ariani Aris kan. Mulut dia mana betah nak dikunci. Cuma menjawab pertanyaan lelaki itu tadi memang tidaklah.
“Tak kotor pula sneakers awak tu masuk ke sini? Kata tak nak mencemar duli kat spa saya?” sindirnya walau kedudukan dia membelakangkan Tengku Redza.
Sneakers baru. I tak takut kotor. You yang patut risau. Tak tahu jaga kebersihan. Patutnya jangan benarkan pelanggan masuk ke sini dengan kasut. Ikutlah adab orang kita.”
Eh, mamat ni! Aku rasa aku tanya benda lain. Apahal pula nak berleter yang bukan-bukan ni? Kalau dilayan memang tak akan habis punya. Ariani hela nafas. Dia berpaling. Senyuman paksa dilemparkan pada Tengku Redza.
Aunty lama lagi. Rasanya elok awak tunggu dekat kereta aje. Lainlah kalau awak pun nak dapatkan rawatan sama. Macam sesuai aje dengan baju pink tu. Auwww...” Dia mengusik. Siap buat aksi patah tangan. Sudahnya tawa yang mati tadi meletus semula.
“Tak ada hadis atau apa-apa nas pun yang mengatakan lelaki tak boleh pakai baju pink. Hmmm… I see. You dengan staf you tadi tu ketawakan I, ya?” Mencerlung tajam mata Tengku Redza.
Ariani hanya jongket bahu. Tak nak jawab apa-apa. Tak penting nak mengiakan tuduhan Tengku Redza walau kenyataannya tepat. Dia meneruskan kerja-kerja menyusunnya. Baru letak satu barang terasa belakangnya dibaling sesuatu. Dia menunduk memandang lantai. Nampak segumpal kertas di situ.
Dia berpaling.
What are you trying to do?” bentaknya.
Giliran Tengku Redza pula jongket bahu. Berpaling bersama segaris senyuman menghiasi bibirnya. Kembali duduk di sofa tadi.
“Eee...”
Ariani kutip gumpalan kertas tadi. Kertas-kertas yang bersepah di atas meja turut disusun. Dia mengomel sendiri. Ini semua salah Yasmin. Kenapalah biarkan entah kertas apa-apa berselerak di atas meja.
Semakin lebar senyuman Tengku Redza walau tika itu matanya fokus pada telefon bimbit miliknya.
“Tak rasa rugi simpan ijazah you tu?”
Ariani panggung wajah. Terkebil-kebil memandang Tengku Redza. Lelaki itu bercakap dengan dia, kan? Entah kenapa tindakan refleksnya menoleh ke belakang. Mencari andai ada insan lain yang Tengku Redza ajak berbual.
“Tak rasa buang masa ke belajar bertahun-tahun tapi hasilnya bukan menjadi seperti yang ibu dan bapa harapkan?”
Ariani menjeling tajam walau Tengku Redza tidak memandang dia. Amboi! Pedas berapi pula lelaki ini menyindir dia. Apa yang lelaki ini dah tahu sebenarnya? Uncle Radzi dah bercerita ke?
“Buat semua ini apa yang you dapat? Kepuasan?”
Kali ini pandangan mereka berdua berlaga. Ariani mahu menjawab tetapi biarlah. Biarkan Tengku Redza dengan spekulasi mengarutnya. Penat mulut tu berceloteh. Diamlah nanti. Dia kembali menyambung kerjanya yang tergendala.
“I nak minta maaf.”
Ariani kaku. Pula dah. Minta maaf kerana apa? Aduhai, Tengku Redza. Jangan kusutkan fikiran saya yang memang dah kusut ni, boleh tak?
“Mulut I memang tak ada insuran. I tak suka cakap belakang. Kalau tak suka I luahkan. Kalau tak puas hati I beritahu.”
Ariani pandang Tengku Redza. Keningnya terjongket. Minta lelaki itu terangkan dengan lebih jelas lagi maksud kata-katanya tadi.
Tengku Redza ketawa. Lucu melihat reaksi Ariani.
“You ni mudah lupa, ya.” Dia terangguk-angguk.
“Alah, melayu kan mudah lupa. Macam awak juga. Konon berjanji tak nak pijak kaki dekat spa saya tapi sekarang apa awak buat dekat sini?”
Ariani mencemik. Pusing kata pada Tengku Redza pula. Apa yang Tengku Redza cakap tu betul. Entahlah, penat sangat agaknya sampai dia dapat sindrom pelupa.
“Oh, yang itu you ingat pula! Hmmm…”
Ariani herotkan mulutnya. Ke kiri ke kanan. Kalau berkaitan dengan janji memang dia ingat sangat. Pada dia janji harus ditepati kalau tidak mahu dituduh munafik.
“You maafkan I, tak?”
Wajah Tengku Redza Ariani pandang semula. Lelaki ini layak ke dimaafkan?

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua. Ini Bab terakhir. Kalau nak tahu kisah selanjutnya bolehlah dapatkan novel yang bakal diterbitkan sempena PBAKL 2016. Boleh hubungi Penerbitan Bes Q atau emel atau pm saya. Semoga terhibur semua.

12 comments:

  1. jgn JGN jgnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnn ariani

    ReplyDelete
  2. buat apa nak berdendam... maafkan lah mulut orang yg x ada insurance tu....

    ReplyDelete
  3. nanti maaf kan dia buat lagi Ariani biar dia bagi dia padan muka sikit

    ReplyDelete
  4. Ariani Ni byk makan semut agaknya ... Asyik lupa aje Tp bab kata2 TR X pulak Dia lupa... Alamak Apa TR main baling2 kertas ni 😜😜😜😍😍😘

    ReplyDelete
  5. Apa angin TR nie nak minta maaf.ingat dah tak nak jumpa Ariani lagi... tapi sekali sekala tengok TR nie cair best jugakkan....

    ReplyDelete
  6. Replies
    1. Biasa aje angah... anyway thanks a lot for your continuous support... ;)

      Delete