AZZA menjeling
jam papan pemuka. Terbuntang matanya. Sudah pukul 4:30. Sudah masuk waktu asar.
Tak boleh berlengah. Kena solat segera. Zuhur pun dah terbang gara-gara dia
pengsan. Lainlah orang sebelah ni. Sempat menunaikannya semasa di klinik tadi. Tak
mengapa. Dia akan qadakkannya. Solat tiang agama. Peringatan yang tak pernah
lepas dari bibir arwah daddy. Itu
yang dia pegang hingga kini. Insya-Allah sehingga akhir hayatnya.
Sebelum
membuka pintu, dia mengintai ke dalam kedai. Mencari kelibat pak longnya. Manalah
tahu pak longnya menanti dia. Tapi dia berharap sangat pak longnya sudah ke
masjid. Jadi tak perlulah dia bersoal-jawab. Masak benar dengan perangai polis
pencen pak longnya.
Ariq
yang memerhati gerak-geri Azza sudah merapatkan tubuhnya dekat dengan gadis itu.
Matanya turut meliar ke arah kedai seperti mana yang dilakukan Azza. Keningnya
bertaut. Apa yang dicari gadis ini? Gadis ini suka sangat buat perangai
pelik-pelik. Terhendap-hendap lagak pencuri. Entah apa yang diintaikan agaknya.
“Kau
intai siapa?” Dia berbisik.
“Mak!”
Azza menjerit.
Dek
terperanjat laju saja dia berpaling hingga kepalanya mengenai dagu Ariq. Laju
jemarinya mengurut dada. Terkejut bila kepalanya terhantuk wajah Ariq. Ditambah
dengan suara Ariq yang begitu dekat dengan telinganya.
“Ouchhh…!”
Serentak itu, Ariq turut mengaduh sama. Sungguh, dia tidak menduga reaksi Azza sampai
begitu sekali. Dagu yang terhantuk diurut laju. Sakit.
“Maaf.”
Hanya itu sahaja perkataan yang mampu dituturkan Azza bila mata Ariq menjegil
kepadanya.
Sengihan
lebar menguntum apabila jantungnya kembali berdegup normal. Bukan salah dia
dagu Ariq terhantuk. Tindakan refleks. Siapa suruh main bisik-bisik. Meremang
kut bulu romanya dengan hembusan nafas Ariq tadi.
“Dah, pergi turun sana! Tak payahlah kau nak
takut sangat dengan orang tua tu.” Halau Ariq dalam nada geram. Nak marah
lebih-lebih bukannya salah Azza. Dia yang menyibuk sangat tadi. Siapa suruh dia
gatal dekat-dekatkan badan. Kan dah mendapat.
Terjongket
kening Azza. Ingatkan adalah sikit rasa insaf tu bila dah terhantuk. Memang
dasar budak bandar. Bahasa tu memang tak pernahnya sopan.
“Hormatlah. Bukannya takut.” Dijeling Ariq sekilas
lalu pembuka pintu dicapai. Plastik ubat dimasukkan ke dalam kocek seluar. Belum
sempat kakinya mencecah tanah, suara Ariq sudah bergema kembali.
“Yalah
tu. Ingat aku nak percaya. Tunggu. Aku teman kau.”
Ariq
turut sama keluar dari keretanya. Laju dia berjalan mendekati Azza. Takut
kalau-kalau gadis itu meluru masuk tanpa menunggu dia.
Namun
apa yang terhidang di depan matanya membuat tawanya hampir terletus. Azza yang
bersandar pada pintu kereta sambil menadah tangan diperhati dengan teliti. Dia
lihat mulut gadis itu terkumat-kamit seperti membaca sesuatu sebelum meraup wajah.
“Apasal?”
Azza memandang Ariq. Pelik melihat lelaki itu seperti menahan tawa.
“Kaulah.”
Ariq menggeleng.
“Kenapa
dengan aku?” polos Azza menyoal kembali.
Hampir
setengah hari menghabiskan masa dengan lelaki ini, dia seperti sudah mengenali
Ariq. Dia nampak sisi lain pada Ariq. Nampak lelaki ini tak adalah teruk
sangat. Cuma kadang-kadang tu bila perangai berlagaknya datang, memang lelaki
ini berubah menjadi sangat menjengkelkan dan meyakitkan hati.
“Kau
ni kadang-kadang nampak pandai, kadang-kadang nampak kurang cerdik,” kutuk Ariq
selamba. Terangkat-angkat kedua-dua belah keningnya. Malah pandangan sinis
turut dilemparkan.
Sabar,
Azza. Sabar. Jangan dilayan sangat kata-kata orang yang kurang matang seperti
Ariq ni. Nafas dihela dalam-dalam.
“Biar
nampak kurang cerdik. Biar nampak bodoh. Asalkan dapat mematahkan serangan
musuh sebab tak dapat kesan kemampuan sebenar kita.” Bicara dimuntahkan sebelum
dia berjalan masuk ke dalam kedai.
“Wow!”
Terkedu Ariq jadinya. Kagum. Dia menggeleng. Misteri. Gadis ini memang misteri.
Lalu langkah diatur mengekori Azza yang hampir hilang dari pandangannya.
“Dah
pandai ikut jantan ke sana ke mari! Kau memang suka bagi aku malu, kan? Kau suka
orang kampung mengata aku tak pandai jaga anak saudara, kan?”
Jerkahan
kuat Pak Long Aziz mematikan langkah Ariq yang baru masuk ke dalam ruang kedai.
Tajam dan sinis sindiran orang tua itu. Menyentak dadanya. Jantan yang orang
tua itu maksudkan adalah dia. Sakit pula telinganya yang mendengar. Azza pula
dilihatnya lebih senang menunduk menekur lantai.
Pantas
dia mendekati Azza. Berdiri teguh di sisi gadis itu. Matanya berlaga pandang
dengan Pak Long Aziz. Jari jemarinya sudah dikepal-kepal. Bersedia untuk
bertindak. Namun gelengan Azza membantutkan niatnya. Kalau ikut panas hati
mudanya, memang lebam muka orang tua itu terkena penumbuk sulungnya.
“Pak
long, Azza minta maaf. Azza bukan berjalan-jalan. Azza pergi klinik tadi.” Azza
menjawab takut-takut dengan wajahnya yang masih menunduk. Tidak berani
menentang pandangan pak longnya.
“Kalau
nak pergi klinik sekali pun, kau dah tak ada mulut nak bagitahu aku?” marah Pak
Long Aziz lagi. Geram betul dia mendengar alasan Azza ini. Suka sangat buat dia
naik darah. Tak pernah nak menyenangkan hati tuanya.
Ariq
berdeham. Menarik perhatian Pak Long Aziz memandang dia.
“Aku yang paksa dia. Lagi pun aku dah pesan
pada abang aku untuk beritahu engkau.” Dia yang tidak betah mendengar bebelan pak
cik Azza mencelah. Membela Azza.
“Kau
siapa nak sibuk-sibuk? Aku tak suka orang luar masuk campur urusan keluarga
aku,” tempelak Pak Long Aziz.
Berang
bila ada orang yang tidak berkaitan mencampuri urusannya. Malah hatinya sakit bila
ada orang yang berani-berani membela Azza kerana selama ini dia bebas untuk
memperlakukan apa sahaja kepada Azza. Tiada siapa yang membangkang.
“Ya,
aku orang luar. Aku tak ada hak nak masuk campur urusan kau. Tapi aku tak akan
biarkan orang yang lemah kena tindas. Lagilah bila melibatkan perempuan. Mentang-mentang
dia bukan darah daging kau. Suka hati kau nak marah-marah.” Ariq membalas tanpa
adab. Darah mudanya membuak-buak. Marahnya sudah memuncak.
Azza
menoleh pada Ariq. Memandang wajah Ariq yang sudah merah. Menahan marah
barangkali. Dia tak boleh benarkan Ariq melampiaskan rasa marah itu walau
hatinya gembira bila ada yang sudi membelanya.
“Ariq,”
panggilnya.
Ariq
memandang Azza.
“Aku
rasa baik kau balik. Ini hal keluarga aku. Aku tahu macam mana nak selesaikannya.”
Dia memujuk.
Dia
nampak halkum Ariq bergerak-gerak. Menunjukkan amarah lelaki ini sedang
memuncak. Dia tahu niat Ariq baik. Namun dia berharap sangat lelaki ini faham
dengan situasi yang sedang dia hadapi kini.
Ariq
merengus. Merenung Azza seketika. Cuba mencerna kata-kata Azza. Matanya kembali
memaku pandang pada Pak Long Aziz.
“Kau
bernasib baik orang tua.” Jari telunjuknya dituding pada muka Pak Long Aziz sebelum
melangkah lemah keluar dari kedai itu dengan hati yang masih panas.
Sebenarnya
berat hati dia hendak meninggalkan Azza berseorangan menghadap pak ciknya. Apa
yang berlaku bukan salah Azza seorang. Dialah penyebab utamanya. Sungguh, dia
kesal hingga Azza menjadi mangsa. Namun betul kata Azza dan orang tua itu. Dia
langsung tiada kaitan dengan mereka. Jadi adalah lebih baik dia tidak
mencampuri urusan keluarga ini.
Azza
menghantar pemergian Ariq dengan pandangan sayu. Buat pertama kali dalam
hidupnya sejak hadir dalam keluarga abang daddynya,
ada seseorang yang sanggup membelanya. Tapi sayang orang itu bukan darah
dagingnya.
“Tak
payah kau nak tayang muka sedih. Pinggan mangkuk kat belakang yang menimbun tu
dah menunggu. Dah tak reti nak tolong-tolong!” sergah Pak Long Aziz.
Terhinggut
bahu Azza. Memandang pak longnya yang merenung dia.
“Ta…tapi
Azza nak bersolat dulu.”
Makin
tajam renungan Pak Long Aziz.
“Banyak
betul alasan kau. Lepas solat jangan kau nak curi tulang pula!”
Tanpa
jawapan dia menghayun kakinya menuju ke belakang kedai. Lemah sekali langkahnya
mendekati bilik kecil yang dijadikan ruang solat. Hatinya menangis. Tidak tahu
sampai bila dia perlu bertahan. Adakah hingga ke hujung nyawa nasibnya begini?
Kenyataannya hanya dengan membuat satu panggilan dia boleh bebas dari cengkaman
pak longnya. Namun dia belum bersedia untuk itu. Belum berani menghadapi dunia
luar lagi.
Teringat
akan sesuatu, kocek belakangnya diraba.
“Eh,
mana pula handphone aku ni?”
Kocek
depannya pula diraba. Tangan diseluk. Namun hampa bila benda yang dicari tiada.
Matanya mengecil. Cuba mengingatkan kembali di mana kali terakhir dia letak telefon
bimbitnya.
“Tercicir
ke? Dalam kereta dia? Aduhhh…matilah aku. Harap-harap dia perasan dan pulangkan
secepatnya.”
“Wah,
senang hati kau ya!” sergah satu suara kasar.
Azza
panggung wajah. Tersenyum nipis pada gerangan yang menyergahnya. Tanpa membalas
kata dia membuka tudung lalu bertinggung. Mahu mengambil wuduk. Malas nak
melayan. Pastinya orang yang menegurnya ini akan meroyan.
“Apasal
diam? Siapa nama mamat tadi? Mamat tu bukan ke yang makan dekat sini tadi? Bukan
main lagi kau, kan!” tempelak Munira kuat. Sakit hatinya bila pertanyaannya
langsung tidak dilayan.
Azza
meneruskan mengambil wuduk. Kalau dia berlengah, lagi lambat dia dapat mulakan
kerja membasuh pinggan mangkuk yang berlonggok di luar sana. Maka lambat
jugalah dia dapat berehat. Langau yang memetir dekat sebelahnya tidak
dihiraukan langsung. Tak perlu dilayan pun kalau buat menyakitkan hati.
Akibat
tidak tahan dengan kebisuan Azza, Munira berpaling ke belakang. Dia mencapai
sebiji pinggan. Dicampakkannya ke atas lantai. Berderai pinggan itu. Kuat
bunyinya. Yang pasti kedengaran hingga ke ruang depan kedai.
Azza
yang bersedia untuk menyarung telekung menoleh. Pandangannya tertancap di atas lantai.
Bibirnya diketap geram. Wajahnya didongakkan. Muka Munira direnung tajam.
“Azza!
Kau nak menjahanamkan barang-barang aku ke?”
Azza
menahan nafas mendengar jeritan Pak Long Aziz. Tindakan Munira seperti
menggores mancis untuk menyalakan api. Namun pantas dia beristighfar. Cuba
dikawal tahap kemarahan yang melanda walau dia tahu kesabaran dia ada batasnya.
“Tak,
pak long! Ada kucing yang terlanggar ni!” jawabnya.
Munira
tersenyum sinis. Mencebik mendengar jawapan Azza. Tangannya bersilang di dada.
Kaki digoyang-goyangkan. Terasa puas hatinya bila Azza kena marah.
Tidak
mahu memanjangkan cerita, Azza bingkas menanggalkan telekung. Penyapu dan
penyodok sampah diambil. Dia mengutip serpihan pinggan yang sudah pecah itu. Baki
serpihan-serpihan kecil disapu.
“Aku
belum habis dengan kau lagi. Tak apa, kau tengoklah nanti apa yang aku mampu
buat.” Munira berbisik di telinga Azza sebelum berlalu dari situ.
Azza
mengeluh. Kenapalah Munira benci sangat pada dia. Umur sudah 28 tahun tetapi
sepupunya itu masih tidak matang lagi. Dia di sini hanya mahu menumpang kasih. Tidak
lebih dari itu. Kalau melibatkan harta, dia tidak akan berebut. Harta
peninggalan kedua orang tuanya sendiri tidak akan habis hingga 7 keturunan.
Kata-kata
Doktor Akmal dan Kak Sarimah tadi terngiang-ngiang di kepala. Harta? Satu
keluhan berat dilepaskan. Seolah-olah beban yang sarat memenuhi dadanya dapat
dibuang. Tanpa diundang rasa sebak menghurung dadanya. Dia cuba menahan air
matanya dari menitik. Namun semakin ditahan semakin galak air mata itu
berjuraian.
Niat menunaikan solat
asar yang terbantut tadi, cepat sahaja dilaksanakannya bila terdengar derapan
tapak kasut menuju ke situ.P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.
Kesian Azza....sob....sob ..
ReplyDeleteSob sob sob
DeleteKesian azza. Apa kejam sgt paklong ngn s3pupu dia tu?
ReplyDeleteNak wat camner kan....realitinya masih wujud org mcm ni.....
Deletekemon ariq dlm hati dah ada nama si dia
ReplyDeleteya ke?
Delete