Wednesday, October 29, 2014

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 4

SEKEJAP-SEKEJAP Asyikin mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek baju. Sedari tadi telefon bimbitnya itu asyik bergetar. Dipadamkan sahaja panggilan masuk yang diterima. Adakala dahinya berkerut. Letih tertanya-tanya. Otaknya serabut memikirkan siapakah gerangan yang membuat panggilan. Tidak penat ke jari orang yang mendail?

“Ikin, kenapa?” Doktor Naim bertanya sambil mengambil fail pesakit yang telah disusun di depan Asyikin. Diselak fail itu. Meneliti laporan yang telah ditulis oleh doktor yang bertugas sebelum dia.

“Huh?” Asyikin pandang muka Doktor Naim. Blur.

Doktor Naim panggung wajah. Tersenyum dengan gelagat Asyikin. Nada suara lembut dilontarkan.

“You ada masalah ke?”

“Masalah?” Besar mata Asyikin. Soalan Doktor Naim dibalas dengan soalan.

“Ada juga yang tersalah bagi ubat dekat patient ni nanti.” Tiba-tiba Doktor Marina menyampuk dari sebelah Doktor Naim. Pakej dengan jelingan maut untuk Asyikin.

Asyikin ketap bibir. Pen di tangan digenggam kemas. Hati dah menggelegak. Pesakit tak salah makan ubat tapi mulut kau tu yang nak kena cili sangat Doktor Marina oooiii.

“Ada orang kacau you ke? I tengok asyik sangat you keluar masuk handphone dari kocek.” Doktor Naim angkat kening. Tidak dipedulikan kehadiran Doktor Marina di sebelah dia. Matanya kembali fokus semula pada fail pesakit.

“Tak ada apa-apalah.” Senyuman paksa dilemparkan. Asyikin tidak betah dengan sikap prihatin Doktor Naim. Lagilah bila Doktor Marina turut ada bersama-sama mereka.

“You bergaduh dengan pakwe ke, Asyikin?” Doktor Marina mencelah lagi. Sengaja menyoal begitu. Mahu melihat reaksi Doktor Naim.

Doktor Naim menjeling tetapi pada masa yang sama mengharapkan Asyikin menidakkan pertanyaan Doktor Marina. Ekor matanya melirik pada Asyikin.

Pakwe? I bukan cantik mana pun macam you, Doktor Marina. Mana ada lelaki nak pandang I.” Asyikin merendah diri. Saja puji Doktor Marina lebih-lebih. Doktor Marina ni kan memang suka dipuji macam tu. Bukan dia tidak faham maksud tersirat soalan yang ditanyakan itu.

Doktor Naim yang mendengar menarik nafas lega. Secarik senyuman tergaris di bibirnya. Peluang untuk dia masih ada. Tiada apa yang perlu dia risaukan.

“Terima kasihlah atas pujian you tu. I tahu I cantik tapi itulah I tak tahu kenapa ada orang tu lebih pandang you bukan I.” Doktor Marina menjawab sinis sambil mengerling Doktor Naim.

“Ikin, ni patient mana? Kenapa tak ada seorang doktor pun yang tengok? Kalau Doktor Remy tahu bising dia nanti.” Doktor Naim hempas fail biru yang dipegangnya betul-betul di depan Asyikin dan Doktor Marina.

Terhinggut sedikit bahu Asyikin. Doktor Marina hanya tersenyum sinis.

“Ya ke? Tak perasan pula.” Asyikin buka fail itu dan dibaca apa yang tertulis.

“Itulah. Berangan lagi.” Doktor Marina cucuk jarum.

“You dah tak ada kerja ke, Marina?” Mata Doktor Naim mencerlung tajam memandang Doktor Marina. Geram dengan sikap gadis ini. Asal dia nk berbual dengan Asyikin pasti saja menempel dekat sebelah. Kalau perangai itu elok tak mengapalah juga. Ini semuanya menyakitkan hati dia.

“Errr…” Terkelu Doktor Marina bila diherdik begitu. Terus sahaja dia berlalu meninggalkan Doktor Naim dan Asyikin yang sepi seribu bahasa.

Masing-masing kemudian sibuk membuat kerja sendiri.

Asyikin bengang. Dalam hati menyumpah seranah panggilan misteri yang diterimanya. Gara-gara si pemanggil misteri dia ditegur Ketua Jururawat bertugas yang memerhatikan kelakuan dia sedari tadi. Si pemanggil misteri itu pula dah orang tak layan masih lagi nak membuat panggilan.

Hesy... siapalah gerangan si pemanggil misteri yang bodoh ni? Tak tahu ke dia tengah on duty? Jarinya menekan ikon telefon berwarna merah. Dipandang semula senarai nama pesakit.

"Ikin, asyik berbunyi aje handphone kau," tegur Imah. Dihulurkan sekebat carta pesakit kepada Asyikin.

"Salah nombor." Asyikin tersengih dan tayang giginya pada Imah. Betul ke salah nombor? Entahlah. Dia malas nak angkat cuma dia pelik juga sebab nombor yang sama saja yang diterimanya. Ada ke dia bagi nombor telefon bimbitnya kepada sesiapa? Macam tak ada.

Imah menggeleng dan berlalu pergi.

Waktu kerjanya sudah tamat. Asyikin bersiap-siap untuk pergi makan tengah hari. Terintai-intai dia mencari temannya. Sudah berjanji dengan Imah untuk keluar makan bersama-sama. Mahu atau tidak terpaksa menanti di kaunter memandangkan Imah masih menolong Doktor Chan merawat luka seorang pesakit.

“Alamak! Kenapalah mesti dia?” Berdecit mulutnya bila perasan Doktor Naim menghampiri kaunter.

“You dah nak keluar lunch ke?” Doktor Naim memandang Asykin. Berdiri betul-betul di depan Asyikin. Jarak mereka hanya berpisahkan kaunter.

Asyikin herotkan mulut. Doktor kacak ni macam tahu-tahu aje dia nak keluar makan. Si dia ni simpan ke jadual kerja dia? Yang si Imah ni manalah pula. Cepatlah Imah. Tolong aku.

“Ikin.” Doktor Naim ketuk tangan Asyikin dengan pen di tangannya. Gadis ini kerap sangat mengelamun. Tak dengar ke soalan dia tadi atau berpura-pura tidak dengar?

“Apa?” Asyikin mendengus. Menjeling Doktor Naim dengan ekor mata.

“I tanya you dah nak pergi lunch ke?” soal Doktor Naim semula. Lembut. Pada masa yang sama hatinya terasa juga bila suara Asyikin keras membalas soalannya.

“Ya.” Pendek sahaja jawapan Asyikin. Suaranya juga mendatar. Tersedar yang dia tidak sepatutnya melayan Doktor Naim begitu walau hatinya tidak suka dengan doktor kacak ini.

“Ikut?” Doktor Naim angkat kening.

“You pergilah dengan Doktor Marina. I penatlah nak bersoal-jawab dengan dia.” Malas-malas Asyikin membalas.

Are you jealous?” Doktor Naim tersenyum.

Terangkat kening Asyikin. Jari telunjuk menuding pada dirinya sendiri.

Jealous? Me? Please.” Dia menggeleng.

Tolonglah nak cemburu bagai ni. Apa kes? Lelaki ini pun bukan pakwe ke tunang ke atau suami yang dia nak cemburukan. Tolonglah.

“Manalah tahu. I dengan Marina bukan ada apa-apa pun.” Doktor Naim cuba mencari anak mata Asyikin. Mahu Asyikin tahu yang dia benar-benar ikhlas dengan gadis ini.

“Samalah I dengan you. Eh, I kena pergi.” Asyikin terkocoh-kacah keluar dari ruang kaunter. Cepat-cepat dia dapatkan Imah yang sudah menunggu di depan pintu.

Doktor Naim terkebil-kebil. Hanya memandang kelibat Asyikin yang sudah hilang bersama-sama dengan Imah.

“Buat penat aje you mengurat dia, Naim. I yang sudi you tak nak.” Doktor Marina letak fail di tangan di atas kaunter sambil tersenyum sinis.

Doktor Naim merengus dan terus berlalu.

“Sombong.” Doktor Marina mencemik.
             
             
ABRAR pandang telefon bimbitnya. Berkali-kali dia mendail. Namun sekali pun tidak berangkat. Putus asa? Ya, itu yang dia rasakan kini. Mungkinkah Asyikin mempermain-mainkan dia? Kenapa pula dia beria-ia mahu bercakap dengan gadis itu?

"Dia tak save nombor aku ke?" Diketuk kepalanya dengan telefon bimbit.

“Sakit ke kepala kau tu?” Bahu Abrar ditepuk. Kerusi kosong di sebelah Abrar ditarik.

“Ada ke orang sakit kepala ketuk kepala sendiri? Agak-agaklah, bro.” Abrar menjeling. Temannya ini kalau tidak menyakat dia memang tidak sah agaknya. Ayat yang dituturkan jarang yang mengusik jiwa. Sarkastik tidak habis-habis.

“Wowowo, kawan aku kalau angin macam ni selalunya sebab perempuan. Afiqah nak balik semula dekat kau ke?” Kening si teman terjongket. Meneka dalam kesamaran.

“Perut aku ni tengah kosong, Luq. Baik-baik aku nak makan nasi ada juga aku sembelih orang nanti.” Abrar membalas kasar. Makin panas hatinya mendengar lelucon Luqman walau temannya inilah tempat dia mengadu cerita sedih dan gembiranya. Cuma sekarang ini bukan masanya untuk bergurau.

“Kau ni kenapa, Abrar? Nak berangin El Nino pula.” Luqman menggeleng. Setahu dia kali terakhir angin Abrar tidak elok ialah selepas putus dengan Afiqah tetapi hari ini siapa yang buat hal dengan mr. geologist ni. Ada apa-apa yang dia tidak tahu ke?

“Tak ada apa-apalah.” Malas Abrar mahu memanjangkan cerita. Dipandang semula telefon bimbitnya. Dicuba lagi mendail nombor yang sama. Namun masih tiada jawapan. Satu keluhan berat dilepaskan.

Luqman hanya memerhati. Bulat matanya melihat Abrar mendail lagi nombor yang sama. Nombor siapa?

“Telefon siapa?” tanya Luqman ingin tahu.

Soalan Luqman dibiarkan tanpa jawapan. Abrar sudah berdiri.

“Kau dah makan ke belum?” Dipandang Luqman yang memandang dia. Telefon bimbit dimasukkan ke dalam kocek seluar. Kunci pacuan empat roda miliknya digenggam.

“Kau nak belanja?” Luqman tersengih.

“Kira onlah. Untung-untung makan dengan kau ada luck.” Abrar mula berjalan.

Apakah itu? Namun Luqman bingkas bangun dan mengejar Abrar.

“Lain macam aje ni, bro. Cuba cerita sikit dengan aku perempuan mana yang dah buat hati kawan aku ni kacau bilau.” Luqman yang dapat menyaingi langkah laju Abrar bertanya lagi. Sudah lama Abrar tak buat perangai pelik ni.

“Kita tengok nanti siapa yang kena.” Abrar tersenyum. Sengaja berteka-teki dengan Luqman. Biarlah temannya ini tahu sendiri nanti. Bukan dia tidak mahu bercerita. Nak cerita apanya kalau sesuatu itu belum pasti.

“Macam nak pergi berjudi pula.” Luqman tertawa tapi tidak lama bila kepala dia ditunjal Abrar. Digosok sedikit kepalanya.

“Aku tak buat kerja haram tu la.” Abrar menjeling. Bengang.

“Dah kau tu sikit pun tak nak bagi hint. Haruslah aku cakap macam tu.” Luqman membebel.

“Kalau ada rezeki, kau akan tahu kenapa aku jadi macam ni.” Abrar tekan punat kunci pacuan empat rodanya. Pintu sebelah pemandu dibuka dan dia panjat masuk.

“Perghhh… Ini yang buat aku makin tak sabar ni.” Luqman turut panjat masuk. Sah! Abrar tengah angau, telahnya sendiri.

Abrar hanya tersenyum.

Pacuan empat rodanya diletakkan di bahu jalan tidak jauh dari restoran yang biasa dia makan. Brek tangan ditarik. Enjin kereta dimatikan. Dia terus keluar meninggalkan Luqman yang terpinga-pinga.

Bro, gila jauh kau ajak aku makan.” Suara Luqman terputus-putus. Langkah kaki dibuka sama panjang dengan Abrar.

Abrar buat muka selamba. Terus menuju ke bahagian tepi restoran. Mengambil pinggan untuk diisi dengan nasi.

“Kau ada janji dengan siapa-siapa ke dekat sini?” Luqman masih bertanya. Tangannya turut mencapai sebiji pinggan. Wajah tanpa riak Abrar dipandang. Susah juga bercakap dengan orang tengah angau ni.

“Kalau ada rezeki adalah.” Abrar tersenyum. Hanya memberi jawapan selamat. Kaki dihayun pula ke tempat hidangan lauk-pauk yang dijual.

“Boleh migrain aku macam ni.” Luqman merungut. Menggeleng dengan permainan teka-teki Abrar. Namun dia menurut sahaja.

“Abrar!” Suara lembut perempuan menegur.

Serentak Abrar dan Luqman menoleh. Memandang susuk tubuh yang semakin menghampiri mereka berdua.

“Ini ke yang dikatakan rezeki?” Luqman sedikit berbisik pada Abrar.


Abrar menjeling.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

10 comments:

  1. hmm..thanx kak..tunggu next n3 dengan sabarnya..huhu..newey malam nie nak maraton YSD sebab bru dpt..hehhee.. )

    ReplyDelete
  2. Tq sis syeena.. Tak sabar nak baca yg seterusnya.. Slmt mlm sis..

    ReplyDelete
    Replies
    1. welcome.....baru baca komen ni...so selamat pagi...hehehehehe...

      Delete
  3. hahha..x putus ada marina nmpk nyer

    ReplyDelete