Saturday, April 18, 2015

KAU CINTA DIA LOVE - BAB 1


ENJIN kereta dimatikan. Beg sandang yang diletakkan di kerusi penumpang sebelah pemandu diambil. Pintu dibuka. Kakinya melangkah keluar. Ayman memandang sekeliling. Rasa macam sudah terlalu lama dia tidak datang ke pejabat. Bebanan kerja yang menimbun membataskan waktunya untuk sentiasa ada di sini.

Perlahan-lahan dia melangkah. Mendekati pintu masuk Perunding Klasik Sdn. Bhd. Dia masih lagi leka memerhati sehinggakan tidak perasan keberadaan seorang gadis berambut perang yang turut berjalan menuju ke situ.

“Ops!” Ayman menjauh bila terasa sisi badannya tersentuh seseorang. Dia menoleh ke sisi. Gadis berambut perang yang mengangkat tangan kepadanya direnung tajam. Dipandang sahaja belakang gadis berambut perang itu yang sudah berlalu meninggalkan dia.

“Macam tak sempat-sempat nak berbual. Kalau rasa nak bergayut tu, pergilah cari tempat yang privasi. Menyusahkan orang betul.” Ayman membebel kepada gadis berambut perang itu sambil mengibas-ngibas lengannya walau si gadis sudah hilang di sebalik pintu lif yang bertutup.

“Zana, I’d just bumped into a hot guy.” Adni ketawa. Sempat dia memerhati lelaki yang dilanggarnya tadi sebelum pintu lif tertutup rapat. Rezeki dia pagi ini terlanggar lelaki kacak. Namun lelaki itu tak pernah dia jumpa pula sebelum ni. Sudah seminggu dia berkerja dekat sini hampir kesemua pekerja syarikat ini dia sudah kenal. Ke ada lagi yang dia belum berkenalan?

“Wehhh… ingat balik nawaitu kau berkerja.” Zana di hujung talian sudah memberi amaran.

“Alahhh… cuci-cuci mata. Apa salahnya, kan.” Adni tergelak lagi. Langsung tidak endah dengan pandangan mata yang mengerling kepada dia. Bukan dia kacau orang pun. Dia tengah berborak dengan teman baiknya sekarang ini. Lagi orang perhati lagilah dia buat perangai. Matanya menyapa pantulan imej dirinya pada dinding lif. Malah jemarinya ralit membetulkan rambut karatnya itu.

“Dah, dah. Pergi kerja tu. Aku ada lagi dua jam tau boleh tidur lagi ni. Sakit telinga dengar kau merepek yang bukan-bukan.” Giliran Zana pula tergelak.

“Yalah, yalah. Maaf mengganggu waktu tidur kau. Anyway thanks for lending me your ears.” Suara Adni berubah mendatar. Merajuk dengan balasan kata temannya itu. Namun dia tahu Zana hanya bergurau. Salah dia juga sebab sanggup menelefon Zana yang jauh beribu batu di Australia itu.

“Naaa… aku gurau ajelah. Kerja elok-elok. Jangan nakal-nakal. Aku tak ada dekat situ nak pantau kau tau.”

Adni tergelak. Zana tak pernah gagal buat hati dia ceria. Itu yang persahabatan terbina di antara mereka sejak di bangku sekolah menengah bertahan sehingga ke hari ini.

Babe, I’ve reached my floor. Nanti kita berborak lagi. Assalammualaikum.” Talian dimatikan. Adni melangkah keluar sebaik pintu lif terbuka. Hayunan kakinya laju menuju ke pintu pejabat.

Sebenarnya dia terlewat bangun. Leka menghadap komputer riba malam tadi. Galak sangat melayari laman-laman sosial sampai tak sedar dia terlajak hingga jam 12.00 malam. Bunyi alarm yang telah disetkannya untuk mengejutkannya juga dia tidak dengar.

“Nasib on the dot. Kau tak boleh macam ni Adni,” tegur Nadia yang kebetulan berdiri dekat dengan mesin perakam waktu. Memerhati Adni yang berwajah selamba memasukkan kad perakam waktunya.

Adni menoleh. Senyuman semanis gula dilemparkan.

“Relakslah, Nadia. Baru dua kali.” Langsung tiada perasaan bersalah dia membalas walau masa pada kad perakam waktunya berwarna merah. Dia berjalan menuju ke kubikelnya.

“Aku bukan suka-suka nak cakap, Adni. Kau tu pekerja baru. Kenalah tunjuk perangai yang elok. Lagi pun aku rasa Encik Ayman masuk pejabat hari ini.” Nadia membebel di belakang Adni. Mengekori langkah Adni.

At last after a week.” Adni ketawa. Sinis. Dia masih lagi begitu. Tiada perasaan.

“Amboi! Bunyi macam orang tak sabar aje.” Seorang gadis yang duduk di kubikel bertentangan menyampuk. Tersengih bila Adni membuntangkan mata kepada dia.

“Betullah tu, Aqilah.” Nadia turut mengiyakan kata-kata gadis yang menyampuk tadi. Serentak itu bahunya menerima pukulan manja Adni.

Sorry, girls. Work is work. Nothing personal. Bosan tau datang kerja goyang kaki.” Adni membalas sambil menggelengkan kepala. Rakan-rakan barunya ini kalau tidak menyakat dia memang tidak sah. 

Sebenarnya dia pun berdebar-debar juga nak bersua muka dengan jurutera muda yang diceritakan Nadia dan Aqilah. Kata mereka Encik Ayman itu orangnya beku. Tertanya-tanya juga beku yang bagaimana dimaksudkan mereka itu.

Mereka ketawa. Tanpa sedar gerak-geri mereka diperhatikan. Mencuka wajah Ayman yang sudah berdiri di depan pintu biliknya. Ada sedikit rengusan halus kedengaran sebelum Ayman melangkah masuk ke dalam bilik kerjanya.

“Budak rambut karat tu dalam department aku? Masaklah. Boleh buat kerja ke?” Ayman membebel sambil mencampak beg sandang di kabinet belakang kerusi kerjanya. Telefon bimbit di kocek seluar di keluarkan. Diletakkan di atas meja kerja. Baru hendak menghenyakkan punggung, interkom di atas mejanya berbunyi.

“Hello.” Dia menyapa apabila gagang telefon dilekapkan ke telinga. Rasa-rasanya dia boleh teka siapa yang membuat panggilan ini. Rutin biasa kalau dia muncul di pejabat.

“Masuk bilik saya sekejap,” arah si pemanggil.

“Sepuluh minit lagi, Encik Rahman. Saya baru sampai ni.” Betul tebakan dia. Siapa saja yang tahu dia ada di pejabat hari ini kalau bukan ketua unitnya.

“Sepuluh minit saja. Jangan jadikan setengah jam pula. Bukan saya tak kenal sikap awak tu.” Encik Rahman memberi amaran.

“Jangan risau. Saya dah buang tabiat buruk tu. I’ll see you soon, Encik Rahman. Bye.” Pantas sahaja dia berpamitan. Malas mahu mendengar bebelan dari lelaki di hujung talian itu.

Gagang diletakkan semula. Kalut dia mencapai beg sandangnya. Satu buku nota dikeluarkan. Dia menyelak helaian demi helaian. Membaca seketika catatan yang telah dibuat. Tidak sampai sepuluh minit menelaah, dia bangkit dari duduknya. Sempat telefon bimbit di atas meja dicapai. Pintu bilik kerjanya dikuak.

“Hai, dah hilang semuanya? Cepat betul lesap. Inilah orang melayu. Kalau part meng’ular’ memang laju tapi bila disuruh buat kerja banyak alasan. Bila ditegur tahu pula marah.” Ayman membebel sendiri. Menggeleng bila melihat kebanyakan kubikel yang ada di situ telah kosong. Kelibat gadis berambut karat juga tiada. Malah suasana di situ sunyi sepi. Tiada hilaian suara-suara ketawa seperti masa dia menjejaki kaki di sini tadi.

“Selamat pagi, Encik Ayman.” Suara gemersik menegur lembut.

Ayman berpaling. Tersenyum pada empunya suara yang menegur. Sangkanya kesemua staf dia dah keluar. Ada juga yang sudi menjaga pejabat rupa-rupanya.

“Selamat pagi, Athirah. Mana yang lain?”

“Biasalah, Encik Ayman. Pergi mana lagi, sarapan.” Athirah tersenyum. Malu-malu bila Ayman merenung dia.

“Awak tak pergi sama?” tanya Ayman lagi. Sengaja berbasa-basi. Bukan dia tak tahu yang hubungan Athirah dengan beberapa orang stafnya tidak berapa baik. Entah apa masalah mereka, dia malas hendak ambil tahu. Apa yang penting, setiap laporan yang dia mahukan siap tepat pada masanya.

“Tak. Nanti-nanti tapi kalau Encik Ayman nak temankan saya, saya okey aje.” Athirah membalas manja. Kalaulah Ayman setuju menemani dia sarapan bersama memang lompat bintang dia.

“Saya ada hal dengan Encik Rahman.” Ayman terus berlalu. Entah kenapa dia tidak senang dengan gaya bercakap Athirah. Lebih baik tadah telinga mendengar bebelan dari Encik Rahman dari menghadap Athirah yang berdiri bagaikan tidak bertulang. Terliuk lentok gaya bercakap gadis itu. Geli geleman dia jadinya.

Athirah mencebik. 

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment