Friday, March 24, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 9


LANGSIR yang menjadi penghadang jemaah lelaki dan perempuan disingkap. Memudahkan perbincangan yang bakal berlangsung. Masing-masing sudah mengambil tempat. Ada yang membentuk kumpulan kecil dan ada yang menyertai kelompok besar. Namun yang pasti dua insan yang duduk bertentangan di tengah-tengah ruang solat mendapat perhatian utama.

Ariq menukar pandangan. Dari merenung wajah Azza dia memandang ke sekeliling. Liur ditelan bila matanya bertembung dengan mata orang-orang kampung. Renungan mereka sangat tajam. Seperti dia telah melakukan jenayah berat. Namun seboleh mungkin dia mengawal riak wajahnya. Cuba kelihatan tenang walau ada kegusaran dalam hati. Lagi pula dia tidak mahu digelar pengecut.

Namun duduknya yang setentang dengan Azza menggugat usahanya saat matanya kembali memandang gadis itu. Dia tersilap kerana cuba mencari kekuatan di situ bagi menghadapi saat genting ini. Ada rasa lain yang singgah dalam hatinya. Satu perasaan aneh. Perasaan yang tidak pernah dia alami bila memandang perempuan.

Ah, hanya mainan perasaan kau saja, Ariq! Dia memujuk diri. Mungkin keadaan di dalam masjid yang sunyi menghadirkan rasa itu. Malah keheningan ini turut menjentik keberanian jiwa lelakinya.

Haidar yang kerap kali keluar masuk masjid sedikit sebanyak menambah perisa. Entah sengaja atau kebetulan masa inilah abangnya itu sibuk menjawab panggilan telefon. Tak boleh ke duduk diam di sisi dia? Arghhh… Itu semua tidak penting baginya.

“Allah!” Wajahnya diraup kasar. Teringat perbalahan kecil di antara dia dan penduduk kampung ini sebelum bersolat tadi. Hanya kerana dia orang luar kepercayaan yang cuba diraih sukar digapai.

Terasa belakangnya digosok, dia menoleh. Tersenyum kelat kepada Haidar yang sudah kembali meletak punggung di sisinya.

“Istighfar banyak-banyak.” Haidar memujuk.

Dia faham apa yang bergelojak dalam hati Ariq. Andai dia di tempat si adik, sudah tentu dia turut sama resah. Siapa yang mahu perkara ini terjadi? Tiada siapa yang berdoa agar ditimpa kecelakaan. Cumanya dia berharap Ariq tabah dengan ujian kecil ini.

Perlakuan Ariq dan Haidar telah menarik perhatian orang-orang kampung yang sudah duduk mengelilingi mereka. Bahkan tika ini bukan hanya mereka berdua yang menjadi tumpuan. Azza yang bersimpuh di ruang yang sama turut mengundang semua mata untuk memandang.

Azza diam tidak berkutik. Pak Long Aziz yang duduk di antara dia dan Ariq pun tidak berani dipandangnya. Apatah lagi menebarkan pandangan ke sekeliling masjid. Malah pada Munira yang cemberut sahaja wajahnya juga dia segan mahu melihat. Hanya sesekali dia berbisik pada Sarimah yang setia menemaninya.

Doa telah dia panjatkan kepada yang Maha Esa usai bersolat maghrib sebentar tadi. Mengharapkan DIA sekali lagi membantu dirinya menghadapi saat ini. Dia cuba untuk kuat. Namun dia akur, dia masih perlukan Allah untuk meringankan beban.

“Macam mana, Aziz?” Pak Imam memulakan bicara. Memecah keheningan yang melanda. Sebagai antara orang yang dipercayai di kampung ini wajarlah dia menjadi kepala perbincangan. Dia pasti semua orang tak sabar menanti hasilnya.

Pak Long Aziz mengeluh. Wajah Azza dipandang. Direnung tajam. Mencari jawapan di situ. Berat sungguh tanggungjawab yang digalasnya. Sukar rupa-rupanya menjaga anak yatim piatu ini. Adakah sudah tiba masanya beban di bahu bertukar tuan? Harapannya apa yang dia putuskan tidak semakin menjarakkan perhubungan dia dengan Azza.

Matanya tunak pada Ariq pula. Melihat anak muda ini, hati tuanya semakin yakin. Firasatnya tidak pernah silap. Anak muda ini pasti boleh menjaga Azza. Matanya dikerdipkan sekali. Bagaikan jawapan yang dicari sudah ditemui.

Azza tidak mampu berlawan pandang dengan Pak Long Aziz. Wajah ditundukkan. Jemarinya bermain dengan hujung tudung. Hatinya tebal dengan perasaan bersalah. Dia sekali lagi telah menyusahkan hidup orang yang sanggup bersusah-payah menjaganya. Lalu hati melagukan zikir agar mampu menghilangkan resah yang bertandang. Untung-untung amalan yang sudah menjadi rutinnya mampu melembutkan hati pak longnya.

“Ikut darah yang dah menggelegak dalam dada aku ni, nak saja aku belasah budak berdua ni, imam. Bikin malu betul.” Pak Long Aziz mendengus. Helaan nafasnya laju. Ketenangan yang ditunjukkannya tadi terbang melayang bila dilontar soalan begitu. Tiba-tiba dia baru tersedar sesuatu. Azza telah menconteng arang di mukanya.

Kelancangan mulut Pak Long Aziz membuat riak wajah Ariq berubah. Dadanya berombak kencang. Hatinya sakit. Mengapa sukar sangat pak cik Azza ni nak menerima penerangannya tadi? Kedua orang tuanya tak pernah mengajar dia bercakap bohong. Lagi pula Haidar turut bercerita perkara yang sama. Ini semua budak jantan tak guna tu punya pasal. Mana pergi budak tu? Kalau jumpa memang nahaslah dia kerjakan.

Haidar yang perasan akan tingkah Ariq lantas menepuk lembut bahu si adik meminta supaya Ariq bersabar.

“Aziz, jangan ikutkan sangat marah tu. Kita ni dalam rumah Allah,” nasihat Pak Imam.

Terdongak Azza. Mencari wajah pak longnya bila mendengar Pak Imam berkata begitu. Namun pandangannya tak lama. Dia kembali memandang lantai masjid.

“Imam bolehlah cakap macam tu. Tak kena kat batang hidung Imam,” marah Pak Long Aziz. Berang ditegur begitu.

Dia menoleh ke kanan bila terasa tangannya digoyangkan Munira. Dia faham maksud yang ingin disampaikan anaknya. Lantas dia menghela nafas dalam-dalam. Cuba menghilangkan rasa marah yang menggunung. Hatinya turut beristighfar.

“Macam inilah.” Jeda. Semua mata tertumpu pada Pak Imam.

“Saya cadangkan kita nikahkan aje mereka berdua ni. Itu pun kalau kau tak kisah, Aziz. Kau walinya.” Pak Imam memberi cadangan selepas beberapa minit menunggu, Pak Long Aziz masih lagi tidak menyambung bicara.

“Nikah?” Serentak Azza, Ariq dan Munira bersuara.

Tersentak semua yang ada di situ akibat jeritan mereka bertiga. Paling memeranjatkan apabila Munira turut sama terjerit.

Pantas Pak Long Aziz menoleh pada Munira.

“Kau dah kenapa, Ira?” Berkerut dahinya. Sungguh, dia pelik bila Munira turut membantah cadangan bernas Pak Imam. Bukan ke sepatutnya Munira menyokong sama?

“Errr…” Munira tak tahu nak membalas apa. Tak sangka boleh terkantoi. Sudahnya dia hanya menundukkan wajah walau hatinya memberontak cadangan itu.

Bukan ini yang dia mahukan. Bukan ini perancangan dia. Jika Azza dan Ariq setuju, habis musnahlah segala apa yang dia impikan. Si Manaf tu memang tak guna. Tak boleh diharap langsung. Lain yang disuruh, lain pula yang dibuatnya.

“Tak, tak mungkin.” Ariq menggeleng berkali-kali.

Sungguh, tak pernah dia terfikir akan perkara yang dicadangkan ini. Jauh menyimpang dari tujuan asal perbincangan mereka. Tak terjangkau akalnya menyelesaikan hal ini dengan perkahwinan. Jangan salah faham. Bukan dia menentang salah satu suruhan Nabi Muhammad S.A.W. Siapa yang tak mahu berkahwin? Dia mahu tapi bukan dengan cara begini.

Azza juga menggeleng. Menolak cadangan yang diutarakan Pak Imam. Kenapa pengakhiran kisah hidup dia begini? Ya Allah, semakin berat ujian-Mu ini. Berikanlah aku sedikit kekuatan untuk menerima. Dia memandang Sarimah. Terasa jemarinya diramas. Seolah-olah menyalurkan kekuatan buatnya.

“Tak nak, kak. Tak nak.” Hanya itu yang mampu dia luahkan. Air matanya mula menuruni pipi. Pecah juga benteng yang cuba ditahan. Ah, lembiknya dia.

“Sabarlah, dik. Mungkin ada hikmahnya semua ini.” Sarimah berbisik sambil memeluk bahu Azza. Cuba menenangkan perasaan anak gadis ini. Dia pasti dalam dada itu ada pelbagai perasaan yang menyerang. Kacau bilau. Setakat ini, itu sahaja yang dia mampu tolong. Untuk menyampuk dalam perbincangan ini, dia tidak berani.

Masing-masing memusat pandang kepada Pak Long Aziz.

Tidak ketinggalan Munira juga berbuat demikian. Dia berharap sangat ayahnya menolak cadangan Pak Imam. Cadangan yang pada dia sangat mengarut. Mana boleh Azza dapat hukuman macam tu. Tak adil. Sangat tak adil. 

Pak Long Aziz termenung. Jemarinya naik memicit pelipis. Cuba menimbang tara cadangan Pak Imam. Mungkin inilah yang sebaik-baiknya untuk Azza. Mungkin begini caranya Azza mendapat jodoh. Mudah-mudahan keputusan yang dia buat ini direstui Allah. Wajah dipanggung.

“Aku setuju. Lagi cepat lagi bagus. Tak perlu tangguh-tangguh.”

No!” bantah Ariq. Oktaf suaranya tinggi. Bergema satu masjid.

Dia bingkas berdiri. Mahu menunjukkan betapa dia tidak setuju dengan semua ini. Karut. Mana boleh orang lain membuat keputusan untuk dirinya tanpa bertanya dengan dia.

“Dah buat onar masih lagi berdegil. Kau ingat senang aku nak buat keputusan macam ni!” sindir Pak Long Aziz. Dia mencebik.

“Ariq, duduk dulu! Benda ni boleh dibincangkan lagi.” Tangan Ariq ditarik.

Haidar tahu Ariq tertekan. Tapi kalau Ariq ikut kepalanya saja, takut wajah si adik lebam nanti. Dia sendiri pun sebenarnya masih lagi terkejut. Segalanya berlaku terlalu pantas. Rasa macam tak sempat nak kerlip mata.

Ariq berdegil. Tetap juga mahu berdiri. Puaslah Haidar menarik tangannya hingga akhirnya dia mengalah. Kembali melabuhkan punggung ke lantai. Itu pun setelah memikirkan mereka berada di dalam masjid. Tapi mulutnya tak berhenti mengomel.

“Bincang apanya kalau dah ada keputusan. All of these are nonsense!” Wajah Haidar dipandang bersama gelengan. Songkoknya ditanggalkan. Dilurut rambutnya berkali-kali.

“Kita dengar dulu apa kata mereka lagi,” pujuk Haidar.

Perbincangan diteruskan. Namun lebih banyak pertikaman lidah yang terjadi di antara Ariq dan Pak Long Aziz. Masing-masing sibuk mempertahankan pendapat mereka. Ariq lebih lagi. Tidak mahu langsung menerima usul awal yang dicadangkan Pak Imam. Dia berkeras akan membayar ganti rugi jika itu mampu menjernihkan prasangka orang kampung terhadapnya.

Azza lebih selesa membisu. Tidak pandai membela diri sedangkan perbincangan hangat ini melibatkan maruah dirinya. Dia pasrah dan reda atas apa-apa keputusan yang akan dicapai nanti.

Akhirnya, kata sepakat dicapai. Ariq akur dengan saranan Pak Imam. Itupun setelah berbuih mulut Haidar menasihati dia. Demi menjaga nama baik papa dan mama kata si abang. Dia mengeluh. Jika ini ketetapan-Nya, dia reda.

“Sah!” Tepat jam 10:00 malam, Azza Humaira Binti Azlan Hisyam selamat bergelar isteri kepada Ariq Ziad Bin Tan Sri Ali.

Menitis lagi air mata Azza. Kalau gadis-gadis lain pastinya sudah bersorak riang. Dia? Gembira, sedih. Entahlah. Sukar untuk dia gambarkan. Mungkinkah awan kelabu kekal memayungi dia hingga sukar sejalur cahaya untuk mencelah? Apatah lagi pelangi petang yang menceriakan.

Kahwin paksa. Peritnya tapi itulah realitinya sekarang ini. Perit bila orang yang dia percayai tega menyerahkannya kepada lelaki yang dia tidak kenali langsung. Apakah nasibnya selepas ini? Akan bahagiakah dia? Ikhlaskah lelaki asing ini menerima dia sebagai isteri? Atau sekadar menutup malu dan kemudian akan menceraikan dia?

“Azza.”

Panggilan Pak Long Aziz melenyapkan lamunan Azza. Langkahnya terhenti. Pantas diseka air mata yang mengalir sebelum berpaling.

“Maafkan, pak long. Pak long buat semua ini untuk kebaikan Azza.” Jeda.

Azza turut membisu. Memandang sayu wajah Pak Long Aziz.

“Pandai-pandailah bawa diri. Lepaskan kisah lalu tu. Pak long berkeras selama ini sebab nak Azza sedar. Pak long tak mahu Azza duduk di bawah kenangan hitam tu.”

Bibir diketap menahan tangisan dari terhambur semula. Azza capai tangan Pak Long Aziz. Bersalam dan mencium tangan tua itu.

“Pak long tak salah. Terima kasih untuk semua ini,” tutur Azza tenang saat tubuh sudah ditegakkan semula. Tidak tahu mana datangnya kekuatan dalam dirinya. Dia berjaya untuk tidak menangis.

Tubuh Azza diraih. Pak Long Aziz memeluk erat. Meluahkan rasa kasihnya yang selama ini disimpan. Bukan dia tak sayang pada Azza. Cuma dia tak suka menzahirkan dengan perbuatan. Kali ini dia buang egonya itu jauh-jauh. Manalah tahu selepas ini dia tak akan dapat berjumpa dengan Azza lagi.

Ariq hanya memerhati. Tingkah Azza dan Pak Long Aziz direnung. Bait-bait kata Pak Long Aziz itu dapat didengarnya dengan jelas walau kedudukan mereka sedikit jauh. Kenangan hitam? Apa maksud Pak Long Aziz?  

“Ariq.” Pak Long Aziz menggamit.

Perlahan-lahan Ariq mendekat. Berdiri betul-betul di hadapan Pak Long Aziz. Memaku pandang pada wajah tua itu yang turut memandang dia.

“Tolong jaga Azza baik-baik, nak. Jangan sakiti hati dia. Dia dah banyak berendam air mata.” Bahu Ariq ditepuk lembut. Pak Long Aziz berharap sangat Ariq dapat melaksanakan tanggungjawab itu.

Ariq tersenyum. Mengangguk sebelum membalas bicara.

“Insya-Allah, pak long. Maafkan saya atas kekasaran saya selama ini.” Tangan tua itu diraih dan diciumnya. Dia kembali mengatur langkah menuju ke keretanya.

Pak Long Aziz memandang Azza yang masih pegun berdiri di sebelah. Tangannya melingkar pada bahu Azza.

“Pergilah, nak. Ikut suamimu.” 

Azza mengangguk. Teragak-agak mengatur langkah. Hatinya sayu. Lantunan suara pak longnya terasa berat. Bagaikan ada pesanan yang ingin dititipkan kepada dia tetapi berat untuk dituturkan. Seteruk mana pun layanan Pak Long Aziz kepada dia, akan dia kenang sampai bila-bila kerana itulah satu-satunya pak cik yang dia ada.

“Kau akan bahagia kalau kau tahu siapa Azza sebenarnya, Ariq.” Pak Long Aziz berbisik sendiri mengiringi langkah Azza.
            Munira yang sedari tadi berdiri di belakang ayahnya mencebik. Lepas ni dia nak hambat Manaf satu kampung. Bodoh tak habis-habis. Habis semua rancangannya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua. Nak join group FB tekan sini https://www.facebook.com/groups/460780710692490/

18 comments:

  1. Replies
    1. Spray ngan jenama apa pun nyamuk tak mati punya....miahahahahaha...

      Delete
  2. Ariq aka nyamuk besar. Suka ja boleh menyakat azza... hihi

    ReplyDelete
  3. Arip ni......xlh seyes sgt lagaknya. Perubahan hormon org kawin. Huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak ayu.... the hero's name is Ariq.... mungkin perubahan hormon agaknya.... hahahahaha....

      Delete
  4. Erkkk... Azzaaaa...... Petua halau nyamuk???? Guna bantal?????? Selamat???? kalau Ariq la nyamuknya.... Jgnkn bantal kelambu pun lom tentu... Kah kah kah (gelak jahat tak hengat kuasa dua) = )

    ReplyDelete
    Replies
    1. Entah mana si Azza ni dapat petua macam tu.....kikikiki

      Delete
  5. bestttttttt.....next n3 plzzzzzzzzzz

    ReplyDelete
  6. memang xbley pakai laa petua azza tu kak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kikiki.... Azza tu tak tahu ler mana dia dapat petua tu....

      Delete
  7. kak syeena!!!!!!11 sy dh lama tercicir citer ni....and dh lama x menconteng kat blog akk.....hihih...br hr ni nk start marathon semula.....jgn mrh ye...sbb dl sy gak yg suh up kat sini....hahaha.... - jumay jue

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sekali lg ku baru perasan....omai...nearly 2 months...

      Delete
  8. hahahahaha.... nyamuk sgt aktif pada waktu malam.. kak syeeena bila nk siap cite ni sengsara nyer tgu... uwaaaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. alahhhhhh....ajad baru nak bertempat di hati pembaca...

      Delete