Wednesday, June 17, 2015

INDAHNYA TAKDIR KITA - PART 1


LANGKAH ALEA mati di situ. Pintu dijadikan perisai. Telinga dipasang kemas. Namun suara mak mentuanya yang sedang berbual-bual dengan jiran mereka tidak dapat ditangkap dengan jelas. Hanya perkataan cucu dan calon menantu baharu sahaja yang diserap otaknya.
“Ya Allah.” Dia bersandar ke dinding. Tidak terdaya lagi untuk memaku kaki. Mata sudah mula kabur. Tangan melekap di dada. Sakit. Itu yang dirasainya kini. Malah selepas 5 tahun usia perkahwinan ini, rasa itu semakin hari semakin bercambah dalam dirinya.
“Lea?” Berkerut dahi Azhar yang baru keluar dari bilik tidur memandang ke arah isterinya. Pelik melihat Alea yang menyandar lemah di dinding. Riak wajah isterinya nampak sedih. Apa yang terjadi?
Alea panggung wajah. Kalut menegakkan badan. Mata dipejam celik berkali-kali. Menghalang air mata yang sudah bergenang dari tumpah. Mahu diseka takut dikesan Azhar. Tidak mahu dirinya menjadi penyebab suami dan emak mentuanya bertegang urat.
“Abang.” Senyuman manis dilemparkan.
Azhar menghampiri. Berhenti di depan Alea.
“Buat apa dekat sini? Kata nak panggil mak makan sama?”
“Lea… Lea nak panggillah ni.” Semakin lebar senyuman Alea. Menutup rasa gugup akibat terkejut ditegur tadi. Baru sahaja mahu mengorak langkah, laluannya dihalang
“Kenapa?” Wajah Azhar dipandang.
“Jangan. Biar abang yang panggilkan.” Azhar menegah apabila telinganya dapat menangkap perbualan emaknya dengan seseorang.
 “Tak apa.” Alea menggeleng.
Azhar tersenyum. Bahu Alea digosok lembut. Memujuk secara halus. Satu ciuman dihadiahkan ke kepala isterinya. Sayangnya pada Alea tidak pernah berkurang malah sentiasa mekar.
“5 tahun bukan sekejap, sayang. Abang kenal isteri abang. Lea pergi sendukkan nasi. Biar abang yang panggil mak.” Mata dikerdipkan sekali.
Alea akur. Segera dia menukar arah. Faham dengan tindakan Azhar. Sentiasa cuba melindungi perasaan dia. Sentiasa menjadi perisai hati dia yang dirasakan semakin hari semakin rapuh.
Susuk Alea dipandang hingga hilang di balik langsir pemisah ruang dapur dan ruang tamu. Mata Azhar kembali menghala ke pintu depan rumah. Nafas dihela dalam-dalam. Doa dibisik dalam hati. Memohon kepada Allah agar dia tidak menyatakan sesuatu yang boleh mendatangkan dosa.
“Mak!”
Terhenti perbualan rancak Mak Cik Habibah dan jiran mereka. Dia yang sedang berdiri di antara tembok yang memisahkan rumah Azhar dengan jiran mereka menoleh.
“Ada apa, Har?” Tersenyum pada Azhar yang bersandar santai pada jenang pintu.
“Jom makan. Lea dah siapkan semuanya.” Azhar mengajak. Sempat mengangkat tangan kepada jirannya, Mak Limah. Tanda hormat walau dia tidak berapa suka dengan sikap jirannya itu. Suka sangat menjaga tepi kain orang dan paling dia tidak suka bila emaknya turut terjebak buat ‘ketupat’.
Mak Cik Habibah mengangguk. Mak Limah dipamit.
“Saya masuk dululah, Limah. Patutlah perut ni berdondang-dendang, belum makan rupa-rupanya. Lagi pun menantu saya tu kalau masak tak pernah tak sedap.” Sempat lagi Alea dipujinya. Memang itu kelebihan Alea yang dia suka. Walau mempunyai kerjaya yang bagus, Alea tidak kekok di dapur. Air tangan Alea memang menepati citarasa tekak tua dia ini.
“Yalah. Siapa tak sayang menantu, Cik Bibah oi. Tapi cantik dengan pandai memasak aje tak cukup kalau tak dapat bagi awak cucu.” Mak Limah menyindir. Sengaja suaranya dikuatkan sedikit.
“Ssshhh…” Lengan Mak Limah dipukul. Tidak mahu kata-kata itu terdengar oleh Azhar. Mak Cik Habibah tak nak Azhar tahu yang dia selalu bercerita kisah anak dan menantunya dengan Mak Limah.
Wajah Azhar berubah rona. Merah padam. Telinga pun macam dah berasap.
“Mak!” Suaranya dilantunkan sedikit keras. Makin dibiarkan makin menjadi-jadi pula orang tua ni.
“Ya, ya. Mak datang ni.” Terkocoh-kacah Mak Cik Habibah meninggalkan halaman rumah. Tak sangka Azhar masih ada lagi dekat situ. Ingatkan lepas panggil dia, anaknya terus masuk ke dalam rumah.
Mak Limah hanya mencemik.
Azhar menunggu hingga emaknya menanggalkan selipar. Ada sesuatu yang mahu dicakapkan kepada emaknya. Sesuatu yang dia rasa perlu ditegur. Untuk kerukunan mereka sekeluarga. Dia tidak mahu emaknya terhasut dengan anasir jahat. Sungguh dia tidak suka bila ada orang cuba menangguk di air keruh dalam perhubungan dia dan Alea. Menabur racun dalam diam. Menjadi gunting dalam lipatan.
“Mak, boleh tak kalau mak tak payah nak bercampur sangat dengan Mak Limah tu? Har tak sukalah.” Laju dia menutur bicara.
Terhenti langkah Mak Cik Habibah. Tersentak mendengar ungkapan Azhar.
“Mak nak berkawan dengan siapa lagi, Har? Mak Limah itu ajelah yang ada.” Dibangkangnya kata-kata Azhar.
“Har tak suka bila dia sibuk pasal Har dan Lea.” Sekali lagi Azhar cuba menyampaikan maksudnya. Mengharapkan emaknya faham dengan apa yang dia rasa.
“Kami berkongsi petua. Diakan ada ramai cucu. Manalah tahu petua-petua yang dia bagi tu boleh bantu Har dan Lea dapat anak.”
“Makkk…” Tona suara Azhar mendatar. Tewas bila emaknya menyebut perkataan anak. Dia dan Alea bukan tidak berusaha. Pakar sudah mereka berdua jumpa. Disahkan juga mereka berdua sihat. Mungkin Allah belum bersedia untuk memberi mereka rezeki yang satu ini. Mereka akur.
“Dah, dah. Jom makan. Mak pun dah lapar ni.” Mak Cik Habibah menarik lengan Azhar. Tidak mahu memanjangkan cerita bila melihat Alea sudah terjengul untuk mendapatkan mereka.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment