Sunday, January 24, 2016

CINTA SEJATI SEORANG PLAYBOY - BAB 6


ADWAN bersandar santai pada kerusi kerjanya. Merenung kosong menghadap pemandangan konkrit di luar tingkap pejabat. Timbul di dahinya beribu kedutan Sepintas itu bibir merahnya melorek senyuman lebar. Terngiang-ngiang dalam kepalanya satu peristiwa lucu. Berlaku dua tahun lepas. Nada Qaireen. Gadis yang pemalu dan keras hati.
Dua tahun lepas dia alpa. Alpa dengan nikmat duniawi. Kalau tidak kerana dia mementingkan kecantikan. Kalau tidak kerana dia memandang kesempurnaan tubuh perempuan. Nada Qaireen sudah pasti menjadi teman istimewanya. Sayangnya Nada Qaireen seorang gadis yang menjaga auratnya. Bertudung litup dan tidak mampu menggegar tulang rusuk dia ketika itu.
Mata hatinya telah ditutup dengan nafsu. Dia leka dengan keseronokan. Dia gembira bila Marlisa berjaya dimilikinya. Dia bangga mencipta kebahagiaan atas penderitaan orang lain. Hingga dia merasakan dalam dunia ini hanya dia dan Marlisa sahaja yang ada. Dia lupa sesuatu. Dia lupa keseronokan yang dia miliki diciptakan Allah. Dia lupa segala-galanya hanya sementara.
What goes around comes around. Macam mana Marlisa tinggalkan Akid untuk bersama dia. Begitulah juga Marlisa meninggalkan dia. Marlisa mengejar lelaki yang lebih hebat dari dia. Lelaki yang punya segala-galanya lebih dari apa yang dia mampu beri pada Marlisa. Apa yang penting lelaki berpangkat ‘Datuk’ itu berjaya mengalahkan dia. Biarpun lelaki itu seorang lelaki tua yang layak dipanggil ayah.
Sakit rupa-rupanya bila ditinggalkan tapi tak adalah parah. Kecewa? Dia tak rasa perasaan itu dalam hati. Allah dah tetapkan Marlisa bukan untuk dia. Dia semakin matang menghadapi dugaan. Seiring dengan peningkatan umur. Tanggungjawab juga semakin besar. Tiada istilah main-main atau berpoya-poya. Dia lebih bersungguh membantu Papa mengembangkan perniagaan mereka. Lagi-lagi bila Zuhayr Affan bertindak keluar dari rumah tanpa sebarang berita.
Nada Qaireen - Cik Seluar Kecil. Nama dan gelaran gadis itu meniti di bibir merahnya.
Dia tidak kekok menyebut nama itu. Gadis yang sekian lama menjadi sahabat baik adiknya. Gadis yang sentiasa bersama dengan adiknya. Bersama-sama mengharungi saat sedih dan kelam adiknya. Kata adiknya, Qaireen itu her best friend forever! Kawan kala susah dan senang.
Diam tak diam sebenarnya gadis itu kembali menarik perhatian dia. Mencuri masuk ke dalam hatinya. Entah sudi atau tidak si gadis andai dia cuba menyunting menjadi teman hidup? Nak bertanya dengan si adik tentang si gadis dia segan tapi sampai bila nak dipendam?
“Kalau aku tak cuba mana aku nak tahu, kan?” Dia menggumam sendiri. Lantas dia bertindak mencapai telefon bimbit. Mencari nama seseorang. Ikon hijau ditekan. Beberapa minit menunggu, dia tersenyum bila mendengar suara di hujung talian.
“Hello!”
“Assalammualaikum, little sister.” Adwan tergelak. Saja mengusik si adik macam dulu-dulu. Pantas benar masa berlalu hingga dia kurang percaya yang si adik bongsu sudah pun menginjak dewasa. Sudah tidak betah dipanggil little sister.
“Waalaikumussalam.” Suara Amanda acuh tak acuh saja menjawab salam dia.
“Tak okey lagi ke ni?” Berkerut dahi Adwan. Puting beliung manalah yang dah menyerang perhubungan adiknya dengan Akid.
Oh, ya! Amanda dengan Akid sekarang ni. Untuk kali ini, dia tidak mahu lagi menjadi penghalang dalam perhubungan Amanda. Biar pun dia tahu sikap sebenar Akid tapi dia yakin Akid mampu membuat Amanda bahagia. Cukuplah dia dah buat Amanda derita dengan sikap buruknya dulu yang memandang kebendaan. Kiranya kali ini dia cuba menebus kesalahannya yang lalu pada Amanda dan juga Akid.
“Okey kut.” Lemah Amanda membalas.
“Akid busylah tu.” Adwan cuba memujuk.
Akid itukan macam dia juga. Sibuk uruskan perniagaan keluarga. Beratnya menggalas tanggungjawab bila menjadi anak lelaki sulung. Tapi orang sekeliling tak tahu. Yang mereka nampak kesenangan yang kami peroleh.
“Malaslah nak fikir.” Suara pasrah Amanda buat Adwan berfikir sama ada mahu meneruskan misi hatinya atau tidak. Tapi takkanlah Amanda tak nak melayan permintaan dia. Nekadlah.
“Amanda.”
“Hmmm…”
“Errr… Aaa… Qaireen ada?” Adwan tepuktepuk mulutnya. Kenapalah boleh jadi gagap macam ni. Macam budak baru lepas bersunat nak mengurat anak dara orang.
“Ada. Kenapa?” Panjang harakat bunyi suara Amanda.
“Ada, eh? Hmmm… Dia tengah buat apa?” Adwan gigit bibir. Harap sangat suara dia tak kedengaran canggung pada telinga Amanda. Seriuslah rasa macam dia tak pernah sandang gelaran playboy pula.
“Manalah orang tahu. Serabutlah nak fikir hal orang lain.”
“Kalau serabut bak sini nombor telefon Qaireen. Along nak bercakap dengan dia,” Adwan cuba cucuk jarum. Inilah peluang yang dia tunggu.
“Dia kawan orang, Along.”
“Tahu. Dulu senang aje nak bagi nombor dia. Sekarang apasal kedekut sangat?”
“Dulu memang cadang nak kenenkan dia dengan Along. Tapi sekarang macam tak sesuai. Lagilah dia dah tahu perangai Along tu macam mana.” Apa yang Adwan tak tahu Amanda dah tersenyum-senyum di sebelah sana.
Please…” Panjang suara Adwan merayu. Harap sangat Amanda tak menghampakan permintaannya.
“Janji dulu,” ugut Amanda.
Just name it,” balas Adwan bersungguhsungguh. Siap angkat tangan kiri separas dada. Macamlah Amanda nampak.
“Jangan permainkan Reen. Dia sangat baik. Sangat naïf.”
“Itu aje? Small matter.”
“Small matterlah sangat. Ingat, eh. Kalau Along main-mainkan dia, siap Along. Orang bakar Along hidup-hidup.”
“Eee… takutnya!” Adwan gelak kuat.
“Mengada. Yalah. Nanti orang WhatsApp nombor dia.”
Thanks, little sister. Assalammualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
Hujung telefon bimbit dibawa ke bibir. Adwan menanti dalam debar. Kertas yang bersepah di atas meja dipandang sepi. Tak ada mood nak sambung kerja.
Hesy, lamanya nak bagi? Amanda ni nak main-mainkan aku ke? Dia merengus. Tak sampai beberapa saat telefon bimbitnya bergetar. Kalut dia membaca mesej yang masuk. Dia melorek senyuman lebar. Tak menunggu lama terus sahaja jemarinya menaip sesuatu.
Adwan:
Assalammualaikum. Ingat saya?
“Encik Adwan!”
Hampir sahaja telefon bimbit Adwan tercampak ke lantai. Terkejut bila namanya diseru.
“Rina!” Bulat matanya memandang si pembantu peribadi yang menguak pintu bilik kerjanya. Geram bila disergah begitu.
“Maaf. Saya dah ketuk pintu dulu. Encik Adwan yang tak dengar.” Rina tersengih. Tunjuk tanda peace.
“Hmmm… ada apa?” Adwan menyoal. Telefon bimbitnya diletakkan kembali di atas meja kerja.
Appointment dengan Encik Akid, jadi ke?”
“Kenapa?”
“Amiraz Holding nak confirmation.”
“Mestilah jadi. Kenapa tak sambungkan pada saya terus?”
“Encik Adwan cakap tak nak terima apa-apa panggilan. Jadi saya tak berani nak sambungkan.”
“Ya ke?” Adwan berdecit. Terkebil-kebil cuba mengingati arahannya sendiri.
“Okey. Tak nak kacau Encik Adwan lagi.” Rina kenyit mata lalu merapatkan kembali daun pintu yang terbuka sedikit.
Adwan garu kepala. Masih lagi memandang pintu yang sudah ditutup.
“Apa yang tak kena dengan aku? Penangan Nada Qaireen ke?” Matanya kembali  memandang skrin telefon bimbit. Ikon WhatsApp menunjukkan ada mesej masuk. Laju sahaja dia menekan.
Qaireen:
Waalaikumussalam. Abang kawan baik saya.
Adwan:
You saved my number?
Qaireen:
Salah ke?
Adwan:
Tak… tak salah. Saya pula yang rasa bersalah.
Qaireen:
Why should you?
Adwan:
Teringat janji 2 tahun lepas.
Qaireen:
Ada ke?
Adwan:
Qaireennn… awak semakin buat saya rasa bersalah.
Qaireen:
Saya tak kisah pun. Tak ada rasa apa-apa. Masa tu awak dengan Lisa.
Adwan:
I feel bad.
Qaireen:
Playboy pun ada rasa mcm tu juga ke. Tak macho langsung.
Adwan:
Saya bukan playboylah.
Qaireen:
Kalau tukar-tukar perempuan tu bukan playboy ke?
Adwan:
Itu dulu. Sekarang dah insaf. Baru nampak yang mana boleh dibuat teman hingga akhir hayat.
Qaireen:
TQ sudi nak bermesej dengan saya.
Adwan:
Kalau macam tu saya ada peluanglah ni.
Qaireen:
Peluang?
Adwan:
Dinner esok?
Qaireen:
Tak kut.
What the… Astaghfirullahalazim! Adwan, kau kata nak berubah? Adwan meraup kasar wajahnya. Tak pernah dia merasa begitu tertekan. Timbunan dokumen yang perlu disemak pun tak adalah buat dia jadi macam ni. Gadis bernama Nada Qaireen berjaya merubah tahap tekanan perasaannya.
Nampaknya Qaireen masih tidak berubah. Sama seperti dua tahun yang lalu. Masih lagi tegas. Masih lagi keras hatinya. Masih buat dia sukar nak memikat. Makin buat hati dia berkeras mahu memiliki gadis ini.
Malas mahu menaip, laju sahaja Adwan menekan ikon telefon berwarna hijau. Rasarasanya bercakap lebih mudah. Lebih sampai ke hati si penerima.
“Assalammualaikum.”
Suara Qaireen lembut menyapa telinganya. Rasa marahnya tadi terus terbang melayang. Betullah aura Qaireen kuat.
“Waalaikumussalam.” Dia membalas.
Untuk seketika baik Adwan mahu pun Qaireen tidak menyambung kata. Membisu seribu bahasa. Sepertinya tidak tahu menggunakan kosa kata yang sesuai meneruskan bicara. Hanya deruan nafas masing-masing yang kedengaran.
Adwan berdeham. Masa amat berharga. Cukuplah dia sudah kehilangan dua tahun masa yang berharga. Hari ini, saat ini, dia tak mahu mengulanginya lagi.
“Qaireen.”
“Hmmm…”
“Maaf.”
“Huh?”
“Dua tahun lepas? Ingat lagi tak?”
“Apa yang terjadi dua tahun lepas? Saya ni ada masalah ingatan sikit. Short term memory.” Qaireen ketawa-ketawa di hujung talian.
“Seluar kecik. Merah dan berenda?” usik Adwan. Dia tahu Qaireen ingat. Dia tahu Qaireen cuba mengelak sebab Qaireen tak pandai menipu. Ketawa Qaireen ada janggalnya.
“Euwww, boleh tak jangan cakap pasal benda tu lagi.”
“Dah awak kata short term memory. Saya cubalah nak kembalikan ingatan awak tu.”
“Kut ya pun. Macam tak ada benda lain. Malulah saya.”
Adwan tersenyum lebar. Cuba membayangkan rona merah yang menghiasi wajah Qaireen. Agak-agaknya sama lagi tak macam dua tahun lepas. Aduh! Tak sabarnya nak bersua muka dengan gadis ini.
“Memang tak ada. Tak sempat nak ada memori daun pisang dengan awak. Maaf sekali lagi.”
“Tak mahu cakap lagilah pasal benda tu.”
“Makan malam dengan saya? I’ll shut my mouth.”
“Taktik kotor.”
“Setujulah ni.”
“Adwan!” Qaireen menjerit.
“Ya, saya.” Entah kenapa Adwan rasakan Qaireen seolah-olah menyanyi untuk dia. Merdu sekali.
“Esok satu hari saya sibuk.”
Dinner kan malam?” Adwan memujuk. Tak mahu berputus asa. Apa pun yang terjadi dia akan pastikan Qaireen bersetuju. Tak sabar nak luahkan rasa hati yang terpendam.
“Tak keluar tak apa, kan?”
“Hmmm… Nak buat macam mana. Orang tak sudi. Jangan salahkan saya kalau gambar seluar kecik tu tersebar dalam facebook.” Adwan tertawa.
“Ada saya kisah.”
“Qaireen, awak jangan cabar saya.”
“Bukan mencabar tapi awak mesti tahu jaga maruah saya sebagai seorang perempuan, kan. Macam awak jaga maruah Amanda.” Mendatar sahaja suara Qaireen membalas. Terdengar juga satu keluhan berat.
My bad. Sorry again.” Adwan mengeluh. Menampar mulutnya yang tidak pernah sehala dengan kata hati. Kalau macam inilah gaya dia memujuk, rasa-rasanya memang dia tak akan dapat Qaireen semula.
“Amazon. 8 malam.”
“Yalah. Saya kan tak sesuai dengan awak.”
“Ya, Allah! Adwan, awak dengar tak apa saya cakap tadi?” Qaireen menjerit.
“What?” Tegak terus badan Adwan. Kenapa Qaireen menjerit di sebelah sana? Apa yang tak kena lagi dengan kata-kata dia?
“Amazon. 8 malam.” Qaireen mengulang semula kata-katanya. Diam. Tiada sahutan.
Really?” Giliran Adwan pula menjerit. Gembira bukan marah.
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Adwan membalas walau talian sudah lama terputus. Dia tersenyum. Senang hati. Akhirnya. Ini baru permulaan. Harap-harap Tuhan permudahkan urusan hati dia. Mudah-mudahan niat sucinya Allah lorongkan pada jalan yang lurus.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

2 comments:

  1. Replies
    1. Ini last chapter dalam blog dear.... versi cetak dah keluar. Boleh dapatkan dengan penerbitan kaseh. Anyway thanks sudi baca.

      Delete