SEBUAH MOTORSIKAL berhenti
di tepi jalan. Berdekatan dengan kedai makan Pak Long Aziz. Penunggang itu
memerhati ke dalam kedai. Hon dibunyikan dua kali.
Pak
Long Aziz yang sedang leka membaca akhbar panggung wajah. Tangan diangkat tanda
meminta si penunggang bersabar. Lantas matanya meliar mencari kelibat seseorang.
Orang yang dicari seperti mengetahui pula. Terpacul dari pintu dapur.
“Pergi
ambil barang dekat Ali tu,” arahnya.
Dia
lagi. Azza mengeluh. Menyesal tayang muka. Macamlah hanya dia seorang sahaja yang
bekerja di situ. Kenapa pak long tak suruh Abang Daud, Abang Sahak atau Dollah?
Angkat barang bukan ke kerja orang lelaki? Dia perempuan. Sekuat manalah kudratnya.
Namun
semua itu hanya berani diprotes Azza dalam hati sahaja. Tidak terdaya dia mahu
membantah terang-terangan. Takut dihalau dari situ. Jika itulah yang terjadi,
ke mana hendak ditujuinya nanti?
“Apa
yang tercegat lagi tu?” jerit Pak Long Aziz bila dilihat Azza masih lagi
mematung di tempat yang sama.
“Ba…baik,
pak long.” Terangkat bahu Azza bila dijerkah begitu. Hingga tergagap membalas
kata. Cepat-cepat dia melangkah.
Pak
Long Aziz menggeleng sebelum kembali membaca akhbar.
Langkah
Azza terhenti saat terpandang sesuatu di luar sana. Matanya mengecil. Segaris.
“Hesy,
tak balik-balik lagi ke dia orang ni semua? Mak bapak cop duit agaknya sampai
bersidai berjam-jam dekat sini,” bebelnya sendirian bila pasti apa yang
dilihatnya. Pada masa yang sama bengang bila terpaksa melalui mereka untuk
keluar dari situ.
Pelik
dia melihatkan sekumpulan jejaka tadi. Masih lagi tak berganjak dari tempat
duduk mereka. Seingat dia sudah hampir setengah jam dia berteleku di ruang belakang
gerai. Kiranya lamalah juga tu.
Dia
masih lagi berkira-kira sama ada mahu meneruskan langkahnya atau tidak. Tapi
kalau bukan dia yang pergi, siapa yang boleh diharapkan. Silap haribulan
berguni pak long marahkan dia. Dia tiada pilihan lain. Langkahnya disambung
semula.
Saat
melepasi meja sekumpulan jejaka itu, Azza mengerling sekilas. Dia nampak Haidar
tersenyum kepadanya dan dia juga nampak pandangan sinis Ariq.
Azza
tayang muka selamba walau sebenarnya dia ingin membalas senyuman Haidar. Namun dek
sakit hati terpandangkan wajah berlagak Ariq niatnya itu dibatalkan. Tak kuasa
nak melayan orang bongkak macam Ariq.
Gerakan
kaki dilajukan. Pantas sahaja Azza sudah berdiri di sebelah Ali yang setia
menanti di atas jalan raya.
“Assalammualaikum,
Azza.” Ali tersenyum.
“Waalaikumussalam.
Kenapa Abang Ali tak tolong bawak masuk aje? Banyak ni.” Azza merengek sambil
tangan kirinya menggosok-gosok lengan kanannya.
Terkejut
dia melihatkan barang-barang yang dibawa Ali. Banyak. Sudahlah tangan kanannya
sakit. Rasanya tak terangkat nak memunggah sekaligus. Kenapalah pak long tak
terus bawa balik sahaja barang-barang ni semasa membeli tadi. Bukannya pak long
tak ada kereta. Atau memang pak long sengaja? Sengaja nak mengenakan dia?
“Hari
ni banyak deliverylah, Azza,” balas
Ali sambil tersengih.
Dia
menjinjit 2 kampit beras. Diletakkan di atas jalan raya. 2 bungkus plastik di
dalam bakul motornya turut diambil. Diletakkan juga di atas jalan raya.
Semuanya dilakukannya dengan berhati-hati.
“Wah,
dah macam Pizza Hut! Ada delivery
bagai. Bagus, bagus. Ada kemajuan. Azza jugalah masih macam ni.” Azza sedikit
mengeluh. Memuji Ali tetapi pada masa yang sama kesal dengan nasib dirinya ini.
“Janganlah
macam tu, Azza. Jatuh semangat abang. Kalau bukan kerana Azza yang sedarkan abang
dan semua budak-budak kampung, memang ke lautlah gamaknya kami ni.” Ali memujuk.
Terbit rasa bersalah melihatkan keruh pada wajah gadis di sebelah dia ini.
“Entahlah,
Abang Ali. Tak tahu sampai bila saya kena tolong pak long.” Senyuman kelat
dipamerkan.
Sungguh,
Azza tidak tahu bagaimana nasibnya di kemudian hari. Bukan menyalahkan takdir.
Tidak juga menidakkan rencana Tuhan untuk dia. Entahlah. Pasrahkah dia? Tidak.
Reda. Ya, dia reda atas apa-apa sahaja yang ditentukan oleh-Nya.
“Azza!!!”
Azza
berpaling bila namanya dilaung garang. Dia nampak Pak Long Aziz sudah bercekak
pinggang. Memandang dia garang.
“Dah
pergi masuk, Azza. Ada karang kena marah lagi. Maaf tau abang tak dapat nak
tolong. Abang pergi dulu.” Ali lemparkan senyuman kelat. Dia bergegas
menghidupkan enjin motornya. Memandu perlahan berlalu dari situ. Sempat
membunyikan hon kepada Azza sebelum memecut motornya.
Azza
tebar pandangan lemah hingga motor Ali sudah menjauh. Matanya difokuskan pula
kepada barang-barang yang diletakkan Ali tadi. Menjenguk isi dalam beg plastik.
Gula.
“Masak
aku. Kalau tangan tak sakit bolehlah bawak banyak-banyak.”
Kepala
digaru. Dia masih berkira-kira cara bagaimana mahu mengangkat semua
barang-barang ini. Tak mahu berlengah, dia membongkok. Perlahan-lahan sekampit
beras diangkat menggunakan tangan kiri. Manakala tangan kanan pula cuba menjinjing
plastik berisi 5 kilo gula pasir.
“Ouchhh…” Serentak itu plastik berisi gula
diletakkan kembali di atas jalan raya.
Dia
berdiri tegak semula. Tangan kanannya diregangkan sedikit. Berharap sangat
kesakitan yang dialami akan pulih serta-merta. Walaupun semua itu tak mungkin
akan berlaku. Tanpa Azza sedari, gelagatnya mendapat perhatian Haidar.
Haidar
berdiri.
Ariq
yang sedari tadi ralit membelek telefon bimbit panggung wajah.
“Kau
nak pergi mana? Dah nak balik ke?” tanyanya. Langsung tidak perasan pandangan
mata si abang menghala ke mana.
Haidar
tersenyum. Masih memaku pandang pada Azza di tepi jalan raya sana.
“Tolong
Azza,” balasnya. Serentak itu dia menghayun kaki kanan. Mahu memulakan langkah.
Mahu menuju ke tempat yang dimaksudkan.
Spontan
Ariq menyorot pandang ke arah yang ingin dituju Haidar. Dia mendengus. Telefon
bimbitnya diletakkan di atas meja. Kasar.
“Kau
memang sengaja, kan Haidar?” bentaknya sambil bangkit dari duduknya hingga
membuatkan langkah Haidar terhenti.
Dia
berjalan laju. Bahu Haidar dilanggar sipi. Langkahnya dihayun lebar-lebar.
Memprotes. Marah dengan sindiran berkias Haidar.
Haidar
hanya tersenyum. Menggeleng sebelum kembali ke tempat duduknya. Tunak memandang
ke arah jalan raya. Bukan susah untuk membuat Ariq bertanggungjawab atas apa
yang telah si adik lakukan. Menjadi abang kepada Ariq, dia sudah memahami sikap
si adik. Pantang dicabar dan tidak suka orang memperlekehkannya.
Azza
mencuba sekali lagi. Kali ini dia tekad. Sakit di pergelangan tangan diabaikan.
Kalau lama-lama dia berdiri di tengah-tengah panas ni, takut lain pula jadinya
nanti. Ditakdirkan dia pengsan lagi haru. Bukan pak longnya nak simpati pun. Dihamburi
dengan leteran yang berjela-jela adalah.
“Aku
tahu tangan kau tu sakit.” Ariq cuba merampas beg plastik yang mahu diangkat
Azza. Kampit beras di tangan Azza juga ingin diambilnya.
Azza
yang terkejut disergah sebegitu pantas menggenggam kemas barang-barang itu. Dia
tak perlukan pertolongan lelaki ini. Lelaki penyebab dia menjadi lemah.
Ariq
jegilkan matanya melihatkan keengganan Azza.
Azza
membalas dengan aksi yang sama. Sungguh, dia tidak perasan bila masanya Ariq
mendekati dia. Kalau dia sedar kedatangan Ariq, memang cepat-cepat dia beredar
dari situ. Cumanya sekarang ini dia rasa macam nak ketuk kepala orang. Gaya
Ariq menolong macam nak ajak dia bergaduh.
Ariq
tak gentar. Terus sahaja menyentap kesemua barang-barang itu.
“Tak
payah sibuklah.” Azza cuba mengambil semula. Dia tak mahu ada terhutang budi
dengan lelaki ini. Dia tidak suka.
Ariq
bongkokkan sedikit tubuhnya hingga membuat tubuh Azza senget ke belakang.
“Patutnya
kau berterima kasih kat aku.” Dia berbisik. Sebelah mata dikenyitkan pada Azza
sebelum dengan selamba dia berjalan pergi dengan membawa 2 kampit beras dan 5
kilo gula.
“Nak
tolong orang tapi kasar. Orang macam ni pun ada juga kat bumi,” bebel Azza. Dia
mengekori langkah Ariq masuk ke dalam kedai dengan menjijit satu lagi plastik berisi
5 kilo gula.
Ariq
senyum segaris. Bebelan Azza dapat didengarnya walau dia sudah 3 langkah ke
hadapan. Ini semua Haidar punya pasal. Nak jadi hero konon. Sengaja mencabar
keegoan dia. Tak pasal-pasal dia terpaksa angkut semua barang-barang ni.
Langkahnya
dilajukan menuju ke kaunter di mana pak cik Azza berada.
“Eh?”
Ariq
hanya memandang pak cik Azza yang seperti terkejut dengan ekor matanya sahaja. Langsung
tak menyapa. Dia meletakkan barang-barang tadi di atas meja di sebelah kaunter.
Peluh yang terbit di dahinya diseka. Dia tahu pak cik Azza masih memandang dia.
Namun dia tiada hati mahu menegur.
Dia
terus berpaling tanpa menyedari Azza berada di belakangnya. Tanpa amaran mereka
berlaga. Matanya terbuntang. Bengang dengan situasi yang berlaku.
“Maaf,
maaf.” Kalut Azza meminta maaf sambil menggosok-gosok hidungnya. Kuat juga tubuh
lelaki ni. Nasib tak patah saja hidungnya.
Ariq
mendengus dan berlalu pergi.
“Sombong.”
Azza mencebik.
“Orang
bandar ni memang tak ada budi bahasa langsung,” bebelnya lagi sambil
mengeluarkan barang-barang tadi dari dalam beg plastik.
Kejadian
tadi bukan dia sengajakan. Dia memang tak perasan Ariq sudah berpaling ke
arahnya. Kalau dia perasan, memang awal-awal lagi dia sudah tekan brek
kecemasan. Yalah tu, Azza. Manalah kau nak perasan kalau ralit sangat meneliti birat-birat
biru di tangan tu sepanjang berjalan masuk ke dalam kedai tadi. Dia tersengih
sendiri mendengar kata hatinya.
“Pak
cik, kira!”
Azza
mengerling ke luar kedai sekilas.
“Pergi
kira, Azza,” arah Pak Long Aziz.
Azza
mengherotkan mulutnya ke kiri dan ke kanan. Pak longnya memang melampau.
Balik-balik dia aje yang kena buat semua. Memang malang berganda-ganda dia hari
ini. Kalau dia tahu awal-awal tadi, memang dia duduk diam-diam di ruang dapur.
Baik dia cuci pinggan saja dari terpaksa melayan kerenah jejaka-jejaka kat sana
tu.
“Azzaaa…!”
Keras suara Pak Long Aziz bila dilihat Azza masih kaku di tepi kaunter.
Azza
mengeluh. Mahu atau tidak, arahan pak longnya perlu dipatuhi. Langkah diatur
lemah ke meja yang dimaksudkan.
“Berapa
semua ni?” tanya Haidar lembut sebaik sahaja Azza tiba. Dia sudah bersedia
dengan dompetnya di tangan.
“RM26.00.”
Azza tersenyum manis. Senang dengan tingkah jejaka berbaju kuning di depannya
ini. Sejuk sikit hatinya.
Haidar
menghulurkan not 50.
“Errr…
tak ada duit kecil ke?” Azza bertanya sopan.
Sebenarnya
dia malas nak berulang ke sini. Kalau setakat tatap wajah jejaka berbaju kuning
dan dua lagi jejaka yang lain itu dia tidak kisah sangat. Masalahnya orang yang
duduk di sebelah jejaka berbaju kuning tu. Malas betul nak menghadap muka
sombong dan tiada perasaan orang tu.
“Tak
apa. Bakinya awak ambil untuk beli ubat. Mesti teruk tangan tu, kan,” balas
Haidar lembut.
Ya,
dia ikhlas. Setakat itu sajalah yang dia boleh bantu. Nak melebih dia takut
gadis ini tersalah anggap. Bukan dia tidak perasan pergelangan tangan gadis itu
berbirat.
“Tapi
en…” Azza kerutkan dahi. Not 50 di tangan jejaka berbaju kuning itu direnung.
“Haidar.
Panggil aje Haidar. Tak perlu nak berencik bagai,” potong Haidar sebelum sempat
Azza meneruskan kata-katanya.
Ariq
berdecit. Geram dengan sikap abangnya. Bertambah geram bila gadis di depan dia
ini banyak sangat alasannya. Lantas not 50 ditolak semula kepada Haidar. Dia
bingkas berdiri. Tangan Azza disambar. Dia menarik gadis itu agar mengikuti
langkahnya.
Tindakan
pantas Ariq tidak sempat dihalang Haidar. Dia hanya mampu melihat.
Azza
terpinga-pinga bila diperlakukan sebegitu. Dia seperti dipukau. Membiarkan
sahaja dirinya dituntun Ariq. Namun elok sahaja otaknya mencerna apa yang
berlaku. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Serta-merta peristiwa hitam 2
tahun lepas menerjah ingatannya.
Dia
mahu diapa-apakan oleh lelaki ini? Tidak. Dia belum bersedia untuk menemui arwah
daddy dan mommynya walau dia merindui kedua orang tuanya itu. Ada banyak
perkara yang belum dia selesaikan lagi. Mulutnya dibuka luas-luas. Mahu
menjerit. Mahu meminta pertolongan pak longnya.
Melihatkan
reaksi Azza yang di luar jangkaannya. Pantas Ariq menarik tubuh Azza dekat
dengan dia hingga membuatkan rontaan menggila gadis itu terhenti. Dia menekup
mulut gadis itu. Kepalanya menunduk sedikit.
“Kalau
kau menjerit, lebih dari ini aku akan buat,” bisiknya.
Azza
kaku. Sekali lagi dia bagaikan dipukau. Gementar diugut begitu. Apalah nasib
dia. Malangnya bila menjadi insan yang tiada siapa-siapa mahu melindungi.
Entah-entah andai dia menjerit tadi, pak longnya pun tak hirau langsung. Ya
Allah, hanya pada-Mu aku berserah.
“Bagus.”
Ariq senyum senget.
Dijarakkan
tubuhnya namun genggaman tangannya pada pergelangan tangan Azza tidak
dilepaskan. Malah semakin kemas dan kejap. Dia kembali melangkah. Mengheret
Azza sama.
“Ariq!”
jerit Haidar. Risau dengan tindakan di luar dugaan adiknya. Entah ke manakah
mahu dibawa gadis itu. Harapnya janganlah si adik berbuat yang bukan-bukan.
“Biarlah
dia, bro. Panas hatilah tu kena
sindir,” sampuk jejaka cina yang memang tidak bersuara sedari tadi.
Ariq
dengar namanya dilaung Haidar. Namun dipekakkan sahaja telinganya. Langkahnya
semakin dilajukan menuju ke keretanya hingga membuatkan Azza hampir tersungkur.
“Eee…
lepaslah, gila! Kau nak bawak aku pergi mana, hah?” Tiba-tiba Azza memperoleh
kekuatan. Dia cuba merungkai pegangan tangan Ariq. Tidak suka dengan perilaku
jejaka ini. Suka-suka hati sahaja memegang dia. Masuk kali ini sudah dua kali
Ariq berbuat demikian. Macam orang tak ada agama.
Ariq
berpaling ke belakang.
“Diamlah
kalau tak nak aku patahkan tangan kau!” jerkahnya. Berang bila Azza sekali lagi
meronta hingga membuat langkah mereka terbantut sekali lagi. Malah gadis itu
begitu berani pula menempelaknya.
Terhinggut
bahu Azza. Dia menikus. Tidak berani nak melawan lagi. Tak menyangka Ariq
membalas dengan tona suara begitu. Hatinya kecut semula. Adakah semua itu akan
berulang? Adakah kali ini nyawanya bakal melayang?
Kau
kuat, Azza. Kau tahu pertahankan diri. Hatinya berbisik. Akhirnya dia akur. Mengikuti
langkah Ariq yang bersambung sehingga mereka berhenti di hadapan sebuah kereta.
“Masuk!”
arah Ariq sebaik pintu kereta BMW 428 M Sport
sebelah penumpang dibuka.
“N…nak
pe…pergi ma…mana?” soal Azza takut-takut. Wajah ketat Ariq menggerunkan. Mampu
membuat dia tergagap.
“Aku
kata masuk!” Ariq mengulangi arahannya. Tangan sudah mencekak pinggang. Bersiap
siaga. Bimbang andai Azza cuba meloloskan diri lagi.
Azza
masuk juga ke dalam kereta. Menurut kata hati walau otak menentang. Nak lari
memang tak boleh. Peluang sangat tipis. Sekuat manalah kudrat dia hendak
menolak tubuh Ariq yang sedikit sasa dan tinggi itu.
“Haidar! Cakap kat orang tua tu! Aku pinjam
Azza sekejap!” Ariq menjerit pada Haidar sebelum pintu kereta dihempas kasar.
Dia
membuka pintu sebelah pemandu dan meloloskan diri ke dalam kereta. Enjin
dihidupkan. Tak sampai seminit kereta Ariq hilang dari pandangan.
Amboi,
sesedap rasa aje orang tu bercakap! Ekor mata Azza mengerling Ariq.
Teringat
sesuatu pantas poket seluarnya diraba. Lega. Nasib baik habitnya yang satu ini
masih lagi menjadi habit. Dia gemar menyimpan telefon bimbit dalam poket
seluar. Tak kisah kalau gajet itu akan rosak seperti kata-kata orang di
sekelilingnya.
Sekurang-kurangnya
tabiat buruk dia ini membantu. Kalau Ariq mahu membuat onar, dia boleh dapatkan
pertolongan dengan segera. Siapa yang hendak menolong dia? Ahhh, itu boleh difikirkan
kemudian.
“Kau orang tengoklah tu. Tak habis-habis
dengan baran dia.” Haidar yang bersandar tenang memperkatakan sesuatu kepada
dua orang rakannya. Menggeleng dengan perangai Ariq.
“Kau
macam tak kenal dengan adik kau, Haidar. Aku dengan Chan ni dah masak sangat.”
“Betul
cakap Rama tu,” balas Chan.
Haidar hanya tertawa.
Baran Ariq yang memakan diri. Sampai sekarang adiknya itu masih menyendiri.P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.
Best cerpen ni... Arif tu hero cerita ni kaa?
ReplyDeleteX sabar nk baca sambungannya nnti..
Tq kak Syahafiza.... bc smpi tamat nnt ya baru tahu siapa heronya....miahahahaha
DeleteAwat kasaq sgt ariq nie.. x suka..x suka.. x suka.. tampo mcm kokedai baru tau.. hahaha. Haidar gak baik, lembut jer...
ReplyDeleteAmboi....nak tampo mcm kokedai plak yer.... kikikikiki
DeleteHaidar or Ariq the hero....best ni...smbg lagi....
ReplyDeleteEijan...bc smpi tamat... nnt baru tahu saper heronya...
DeleteBest...lagi please3?
ReplyDeletetq.... lagi?.... sabar yer....hehehehe
Deletekak syeena, semua nya ada brapa bab ni? - jumay jue
ReplyDeletetak tahu lah jumay.... go with the flow...
DeleteARIQ HERO EK?
ReplyDeleteerrrr....go with d flow yer yunkkkk.....hehehehe
Delete