Wednesday, June 17, 2015

INDAHNYA TAKDIR KITA - PART 3


Dua tahun berlalu…
BUNYI penggera jam yang tidak berhenti-henti menyentap lena Azhar. Menggagau tangannya mencari punca bunyi bising itu. Sebaik jemarinya terasa getaran, pantas ditekan punatnya. Dia kembali menyambung lena. Namun tidak sampai seminit, telinganya menangkap lagi bunyi bising. Kali ini bukan lagi bunyi penggera jam tetapi bunyi seperti orang sedang memuntahkan sesuatu.
“Leaaa…” panggilnya dengan suara yang garau. Tangannya meraba ke sebelah. Mencari insan yang dipanggil.
Kosong. Yang dicari tiada di tempatnya. Wajah yang tersembam pada bantal diangkat. Mata dibuka perlahan-lahan. Persekitaran bilik diperhati. Ternampak kelam cahaya lampu yang mencuri masuk melalui pintu bilik air yang tertutup.
“Lea!” Kali ini nada suaranya lebih tinggi. Bukan marah tetapi risau bila sekali lagi telinganya menangkap suara Alea seperti sedang muntah.
Panggilannya masih tidak bersahut. Hanya kedengaran bunyi pili air dibuka. Lantas laju Azhar bangkit dari perbaringan. Kaki dihayun menuju ke bilik air. Pintu bilik air dikuak.
“Lea?” Berkerut dahinya melihatkan Alea yang terbongkok-bongkok sambil mengurut dada di depan sinki.
Alea hanya mengangkat tangan. Meminta Azhar menanti dia di situ sahaja.
Azhar yang tidak betah laju mendekati Alea. Digosok-gosok belakang Alea. Manalah tahu mampu meredakan kesakitan yang Alea hadapi. Alea makan apa sampai jadi macam ni. Kalau kerana makanan malam semalam, kenapa dia tidak muntah juga? Setahu dia mereka makan benda yang sama atau Alea ada makan benda lain?
Menyeringai wajah Alea. Tiada apa yang keluar dari mulutnya melainkan lendir hijau. Sedikit berbau. Rasanya pula payau. Tekak pun sudah terasa perit. Badannya usah dicakap lagi, lemah. Ini pun dia kuatkan semangat berulang-alik ke bilik air.
“Dah berapa kali berulang ni?” Azhar menyoal bila dilihat Alea masih lagi menunduk.
Terkejut Alea. Azhar macam tahu-tahu saja apa yang dia fikirkan. Soalan itu dibiarkan tak berjawab. Dia tidak mahu Azhar susah hati. Sakit yang dia alami ini bukannya kronik. Cuma muntah-muntah sahaja. Mungkin sebab dia lewat ambil makan malam semalam.
Disuakan mulutnya dekat dengan pili air. Berkumur sedikit. Menghilangkan rasa dan bau. Badannya ditegakkan. Senyuman manis diukir. Memandang Azhar melalui pantulan imej di cermin yang setia berdiri di belakangnya.
“Maaf kalau Lea ganggu tidur abang,” katanya seraya berpaling menghadap Azhar.
“Leaaa…” Panjang Azhar menyebut nama Alea. Kening terjongket mengharapkan pertanyaannya tadi berjawab.
Inilah salah satu sikap Alea yang dia tidak berkenan. Suka sangat mengelak dan memendam rasa jika dirundung masalah. Walhal sudah berkali-kali dia berpesan agar segala-galanya mesti berkongsi. Tidak kiralah rasa suka, duka, tawa atau sedih. Mungkinkah Alea sudah jemu berkongsi dengan dia? Ya Allah, Azhar. Kenapa sampai ke situ kau berfikir? Hatinya memarahi.
Alea tersenyum. Dia tahu Azhar akan tetap menagih jawapan tetapi dia juga tahu macam mana nak atasinya. Sudah 7 tahun melayari bahtera perkahwinan, dia sudah masak dengan perangai Azhar. Lalu tangannya melingkar pada kiri dan kanan pinggang Azhar.
“Abang ada mesyuarat pagi ni, kan? Baik abang mandi awal. Lepas tu solat. Tak adalah abang terlewat nanti.” Satu ciuman dihadiahkan pada pipi kanan Azhar sebelum dia melangkah keluar dari bilik air. Namun langkahnya terhenti apabila lengannya disauk lembut. Wajah Azhar dipandang.
Mata Azhar membulat. Jelas masih tidak berpuas hati.
What?” Mencerun mata Alea menyoal kembali. Azhar masih mahukan jawapan ke?
Morning kiss aje?” Lemah suara Azhar menyoal. Terpamer riak tidak puas hati pada wajahnya.
Alea ketawa. Pada masa yang sama lega. Tengok bukan susah pun nak lari dari menjawab soalan Azhar. Satu ciuman sudah cukup buat Azhar terbuai-buai. Sekarang sudah minta lebih pula. Kalah kanak-kanak minta jajan. Tangannya kini disangkut pada leher Azhar.
“Cukuplah bekal tu. Hari ni tak nak nakal-nakal. Mesyuarat pagi ni kan penting. Lupa ya abang kena jadi pengerusi.” Senyuman manis dilemparkan. Mengharap Azhar melepaskan dia. Sungguh setelah berhempas-pulas mengeluarkan segala isi perut, dia tiada daya mahu melakukan lebih dari itu dengan Azhar. Walau dia tahu, berdosa menolak jika suami meminta.
“Tak ada wake-up calllah ni?” Wajah Azhar bertukar cemberut. Sengaja memancing simpati. Manalah tahu untung sabut timbul tapi kalau untung batu, tenggelamlah dia.
Alea jegilkan mata. Amboi encik suami seorang ni. Makin menjadi-jadi pula. Semakin hari, semakin tahun, semakin mengada-ngada.
“Gatal. Esok dah Ramadhan, ya.” Dihadiahkan satu cubitan manja pada lengan Azhar sebelum mencicit lari keluar dari bilik. Kalau dilayan juga ada kena sindir dengan emak mentuanya nanti.
That’s why I need my wake-up call, sayang!” jerit Azhar sambil mengusap bekas cubitan. Menggeleng dengan keletah Alea. Dah goda-goda lepas tu lari. Siapa punya isterilah ni. Memang sah untung batu pagi ni.
Alea ketawa. Buat tidak tahu dengan jeritan Azhar. Melenggang dia berjalan sambil tersenyum-senyum menuju ke ruang dapur. Merapati peti sejuk. Mahu sediakan bahan untuk buat sarapan pagi sebelum solat subuh berjemaah nanti. Langsung tidak sedar emak mentuanya sudah ada di ruang dapur dan sedang memerhatikan dia.
“Apa kena dengan Har tu terjerit pagi-pagi buta ni?” tegur Mak Cik Habibah.
“Oh, mak kau!” Terhantuk kepala Alea dek teguran tiba-tiba itu. Laju jemarinya menggosok tempat terhantuk. Sungguh dia tidak perasan kelibat emak mentuanya.
“Hesy, kamu ni.” Mak Cik Habibah menggeleng. Menghulur tangan meminta bekas makanan yang diambil Alea dari dalam peti sejuk.
Bekas makanan bertukar tangan.
“Errr… tak perasan mak dah bangun. Abang tersepit pintu kut.” Alea tersengih. Takkanlah dia nak beritahu perkara sebenar. Malulah. Tak pasal kena sindir nanti. Mengalahkan pengantin baru.
Sekali lagi Mak Cik Habibah menggeleng. Dia berdiri di depan sinki.
“Mak tolong siang sotong ni. Nanti kamu buat sambalnya. Lada kering tu gunting lebih sikit. Senang esok-esok kalau nak diguna. Manalah tahu selera bulan puasa Si Har tu nak yang pedas-pedas pula. Bukan kamu tak tahu laki kamu tu macam mana,” bebel Mak Cik Habibah sambil mengeluarkan sotong dari bekas yang diberi Alea tadi. Pantas sahaja dia membuat kerja. Pisau sudah ada di tangan. Papan pemotong sudah terbentang di depan mata.
Wajah Alea berubah. Kenapa dengan aku ni? Bukan tak biasa dengan bau hanyir sotong. Sungguh bau itu menusuk-nusuk ke dalam rongga hidungnya. Buat tekak dia kembang. Buat dia hendak muntah.
“Lea?” Mak Cik Habibah berpaling bila kata-katanya tidak bersambut. Berkerut dahi melihat Alea yang masih tercegat di tepi peti sejuk dengan wajah cemberut.
“Mak, Lea…” Tak sempat menghabiskan kata-katanya Alea laju berlari menuju ke bilik air sambil tangan menekup mulut.
“Apa kenalah dengan budak ni.” Mak Cik Habibah mendengus. Tidak dihiraukan tingkah Alea. Kembali menyambung kerjanya.
Lima belas minit berlalu, Azhar muncul di ruang dapur. Sudah siap berbaju melayu dan berkain pelekat. Mahu mengajak Alea dan emaknya untuk solat subuh berjemaah. Namun matanya tidak nampak Alea di di situ. Mana pula dia pergi? Kenapa biar mak sorang-sorang buat kerja? 
“Mak, Lea mana? Tadi dia kata nak sediakan sarapan.” Emaknya dihampiri.
“Dah nak solat ke?” Mak Cik Habibah bertanya semula.
“A’ah.”
“Dalam bilik air tu. Tak keluar-keluar dari tadi. Berlari macam tak cukup tanah. Sakit perut agaknya.”
“Huh!” Tak tunggu lama Azhar bergegas ke bilik air. Jelas terpancar riak risau pada wajahnya. Ingatkan sesi muntah-muntah Alea sudah habis. Lepas ni memang dia akan bawa  Alea pergi ke klinik. Eh! Tapi dia ada mesyuarat? Tak apa. Walau kena pergi seorang diri, Alea kena dapatkan rawatan. Perkara macam ni tak boleh buat main-main. Kalau dibiarkan takut memudaratkan Alea.
“Hesy, apa sajalah budak-budak ni. Dah tersampuk ke apa?” Berkerut dahi Mak Cik Habibah sambil menggeleng.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua. Sambungan kisah ini boleh dibaca dalam Kompilasi Cerpen Terbitan IKP. Pembelian boleh dibuat di laman web IKP www.ideakreatif.net

6 comments:

  1. Replies
    1. Sambungan ada dalam kompilasi cerpen Terbitan IKP....boleh order dengan ejen2 IKP ya dear...

      Delete
  2. KENA TUNGGU BULAN DEPAN BARU BOLEH BACA.

    ReplyDelete
  3. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ vận chuyển hàng đi mỹ cũng như dịch vụ ship hàng mỹ từ dịch vụ nhận mua hộ hàng mỹ từ trang ebay vn cùng với dịch vụ mua hàng amazon về VN uy tín, giá rẻ.

    ReplyDelete