Wednesday, March 29, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 14


BERHATI-HATI Azza meletakkan pinggan yang sudah dibasuh ke rak. Ariq dah lama menghilang ke ruang tamu. Dia paksa lelaki itu menonton televisyen. Itu pun selepas puas mereka bertekak. Berebut nak mengemas dapur selepas makan tadi. Lelaki itu takut sangat agaknya pinggan mangkuknya pecah. Tahulah ini rumah Ariq tapi Ariq lupa sesuatu. Inilah rutin harian yang dia buat selama tinggal dengan pak longnya.
Done.” Azza tersenyum. Jemarinya yang basah direnjis ke singki dan dilap menggunakan tuala kecil yang tergantung di jeriji tingkap di depannya. Dia mengatur langkah bergerak ke ruang tamu.
“Amboi, suara televisyen tu! Kalau tak kuat tak dengar agaknya.” Dari ruang dapur lagi sayup-sayup telinganya menangkap bunyi orang bercakap-cakap. Cumanya tak sangka pula sekuat ini.
Entah rancangan apa yang ditonton Ariq dia malas nak ambil tahu. Sekarang ada benda yang lebih penting lagi. Bercekak pinggang, matanya meliar di sekitar ruang tamu.
“Beg baju aku mana?” Rasa-rasanya tadi beg bajunya diletakkan berdekatan dengan rak televisyen.
“Ada dalam bilik.” Mulut berbunyi tapi mata Ariq kekal pada kaca televisyen.
“Bilik yang mana?”
Tidak menjawab lagi, Ariq menekan butang merah pada alat kawalan jauh. Meletakkan alat itu di atas meja kopi dan terus bangun menuju ke bilik tidurnya. Ikutkan hati mahu sahaja dia menyuruh Azza mencari sendiri tapi dia tahu nanti macam-macam soalan keluar dari mulut gadis itu. Dah tengah malam ni, dia malas nak bertekak. Esok-esok sajalah kalau-kalau Azza berhasrat nak berdebat dengannya.
Kening Azza bertaut seraya matanya tak lepas mengikuti gerak-geri Ariq. Bukan baru tengok ke televisyen tu? Beritahu ajelah bilik yang mana satu. Dah kenapa nak masuk juga ni? Hesy, memang saja tau. Mahu atau tidak, langkah Ariq dia turuti juga.
Ariq tersenyum. Dia tahu pasti Azza tak sangka dia sendiri dengan senang hati nak tunjuk letak duduk beg baju gadis itu. Dia memang menunggu gadis itu habis mengemas dapur. Menonton tadi sekadar lakonan. Boleh saja kalau dia nak tunggu di dalam bilik. Sengaja nak buat hati Azza tak keruan. Memang itu pun tujuan dia. Mana boleh biarkan gadis itu bersenang-lenang di dalam rumah ni.
Masuk sahaja ke dalam bilik, dilambung tubuhnya ke atas katil. Berbaring santai. Kepalanya ditinggikan sedikit. Mudah untuk dia memerhatikan gerak-geri Azza.
Azza terus saja mendapatkan beg bajunya. Dapat dirasakan pandangan nakal Ariq yang mengekori langkahnya. Ahhh, mata helang itu mana pandai untuk tidak memandang dia. Chill, Azza Humaira.
Bertenang? Tak boleh. Usah dicerita dadanya yang berdebar sekarang ini. Debaran yang menggila. Tersilap perkiraan boleh meletup. Kalau di ruang tamu yang luas, Ariq boleh buat dia kaku. Tak mustahil dia boleh mati lemas di dalam bilik yang sempit ini. Lagilah bila berdua-duaan begini. Serba tidak kena dia jadinya.
Berpura-pura tidak nampak perbuatan Ariq. Dia duduk mengadap beg bajunya. Sepasang pijama dan tuala dikeluarkan sambil sebelah tangan sibuk menggaru kepala. Tiba-tiba terasa gatal pula.
“Eh?” Dia terjerit kecil bila jemarinya menyentuh tudung yang sedikit lembap. Ingatkan tudung ni dia dah tanggalkan. Patutlah kepalanya rasa gatal. Hesy, macam mana dia boleh terlupa ni.
“Tanggalkan ajelah tudung tu. Tak adalah kau nak tergaru sana tergaru sini. Dah macam monyet pula aku tengok.”  
Monyet? Tak guna punya nyamuk. Bingkas Azza berdiri. Satu jelingan tajam dilemparkannya sebelum menghayun langkah keluar dari situ.
Meledak tawa Ariq. Kuat. Suka dia bila Azza tayang muka tak puas hati kepadanya. Suka melihat wajah putih itu berubah rona. Marah atau malu? Ahhh, ada dia kisah. Yang pasti pipi yang kemerah-merahan macam minta dicubit-cubit.  
Shoot, Ariq Ziad! Kau dah kenapa?” Tawanya mati. Dia menggeleng dengan perangai sendiri yang tak matang. Melihat baju yang tersarung di tubuh, laju dia bangkit. Mahu menukar pakaian.
Selepas beberapa minit, Azza masuk semula ke dalam bilik. Dia sudah siap menukar pakaiannya. Tudung juga sudah tidak menghiasi kepalanya. Entah kenapa matanya gatal memandang ke katil.
Alamak! Sepantas kilat dia kalih pandang. Terkejut. Tak semena-mena dadanya kembali berombak kencang. Berdebar-debar walau sedaya upaya dia cuba mengawalnya. Bukannya ada orang lain pun atas katil tu. Ariq juga. Bersandar santai pada kepala katil. Bezanya Ariq hanya berseluar pendek. Tiada lagi baju melayu dan kain pelekat tersarung pada tubuh itu macam tadi.
Ariq mendongak bila hidungnya menangkap bauan wangi. Terhenti terus aktiviti memeriksa e-mel di telefon bimbit. Liur ditelan. Figura di depan matanya yang pegun berdiri membelakangkan dia dipandang tak berkelip.
Setelah debarannya reda, Azza lekas-lekas menyidai tuala sebelum memanjat katil. Mengambil tempat di sebelah ruang yang kosong.
Subhanallah! Mata Ariq masih memaku pandang pada Azza. Rambut Azza yang lurus dan lebat berkilat serta terbuai-buai mengikut langkah pemiliknya terasa seperti hendak dibelainya.
Ahhh, mudahnya dia tewas dengan ciptaan Allah yang satu ini. Walhal baru beberapa minit berada dalam bilik tidur bersama-sama dengan Azza. Sehinggakan Azza yang sedang menyusun beberapa biji bantal di tengah-tengah di antara mereka pun tidak dia sedarinya.
Pap! Bunyi tepukan kuat yang dihasilkan Azza menyedarkan Ariq dari khayalan.
“Eh! Apasal banyak sangat bantal-bantal ni?” Azza yang sudah merebahkan badan dipandang. Bertaut keningnya melihat susunan bantal bagai kubu pertahanan di sisinya.
“Petua orang tua-tua. Kau mesti tak pernah tahu, kan?” Azza tersenyum bersama kening yang ditarikan.
Tidak menunggu jawapan balas Ariq, badannya diiringkan membelakangkan lelaki itu. Selimut ditarik hingga ke paras dada. Bibirnya dikemam erat. Mengelak tawa yang ditahan dari meletus.
“Petua apa pula?” Kerutan dahi Ariq makin berlapis-lapis. Jemari naik memicit pelipis. Azza ni biar betul? Tak habis-habis dengan petuanya.
“Halau nyamuk. Barulah lena tidur.”
Terbuntang mata Ariq. Halau nyamuk? Dia tak adalah moden sangat sampai semua pesanan orang dulu-dulu dia tolak. Tapi sungguh dia tak pernah dengar petua yang dicakapkan Azza. Agak lama juga dia membisu. Cuba mencerna kata-kata Azza. Tiba-tiba terhambur ketawa dari mulutnya.
“Hesy, kau tak reti nak tidur ke? Esokkan kau ada meeting. Jangan nak salahkan aku pula kalau kau terlewat bangun.” Azza membebel sambil menarik selimut hingga menutupi kepalanya. Berbungkus seperti mayat.
“Nyamuk mana tahu tidur. Psssttt, jaga-jaga nyamuk suka buat bising dekat telinga. Silap haribulan siap tinggalkan kesan.” Ariq membalas dalam sisa tawanya. Badannya turut direbahkan di sebelah Azza.
            Untuk kesekian kalinya, Azza telan liur. Kata-kata Ariq bagaikan memberi amaran kepada dia. Ariq dah tahu ke itu semua hanya kelentong? Allah, dia rasa macam tak selamat pula nak tidur.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

1 comment: