Showing posts with label Jerebu Kasih. Show all posts
Showing posts with label Jerebu Kasih. Show all posts

Monday, November 9, 2015

UNTUKMU TIADA NOKTAH & CERPEN JEREBU KASIH

Assalammualaikum semua...

Alhamdulillah naskah UNTUKMU TIADA NOKTAH bakal menemui pembaca pada pesta buku 1 malaysia yang bakal berlangsung di PWTC pada 25 hingga 29 November ini. Siapa yang berminat boleh hubungi pihak Penerbitan Idea Kreatif atau ejen2 IKP untuk tempahan atau dapatkan terus di PWTC nanti.



LIMITED BERKEMBAR Idea Kreatif Publication
Khas untuk Ekspo Buku 1 Malaysia PWTC 2015.
Pre Order dibuka sehingg 25 Nov 2015 atau sehingga 700 sahaja. (Cetakan Terhad)
TAJUK : UNTUKMU TIADA NOKTAH
HARGA : RM 24 + RM6(postage) - Semenanjung
RM 27 + RM 10 (postage) - Sabah/sarawak
PENULIS : Syeena Hamdan
SINOPSIS :
Kerjaya itu, dia yang pilih. Tetapi, dia tidak memilih untuk menjadi buruan Doktor Naim dan dia juga bukan penghalang cinta Doktor Marina. Asyikin Hannah hanya mahu menjadi seorang jururawat, tak lebih dari itu.
“You nak suruh I jadi macam mana supaya you boleh terima I, Ikin?” – Doktor Naim.
"Please, doktor. Tolonglah faham. Saya tak boleh. T-A-K-B-O-L-E-H." – Asyikin Hannah
Munculnya Abrar Faris dalam pertemuan yang tak dirancang bagai penyelamat keadaan. Tapi, Asyikin bukan orangnya yang mudah menyerahkan hati pada lelaki. Abrar perlu berusaha keras.
"Harus jual mahal. Mana boleh jual murah." Asyikin ketawa-ketawa. Menutup rasa malu.
"You jual murah ke jual mahal ke I sanggup beli, sayang." Abrar menoleh sekilas. Satu kenyitan diberi.
"Errr..." Asyikin merenung Abrar di sisi.
“You ni memang ada sindrom errr....ya?” Abrar jongket kening.
“Sindrom tu wujud sebab you. Takkanlah you tak tahu?” Asyikin angkat keningnya.
Tapi, saat hatinya sudah terjatuh suka, kisah silam Abrar datang menggugat. Untuk mengundur, rasanya sudah terlewat. Tapi, ‘berlawan’ dengan Afiqah Dato’ Azman buatkan dia penat. Penat hati dan juga perasaan.
Haruskah dia melepaskan Abrar demi Afiqah sedangkan lelaki itu sudah menjadi haknya yang sah? Siapakah sebenarnya Afiqah pada Abrar?

Cerpen JEREBU KASIH dalam kompilasi Cerpen Bicara Tentang Cinta

LIMITED EDITION Penerbitan Idea Kreatif
Khas untuk Ekspo Buku 1 Malaysia PWTC 2015.
Pre Order dibuka sehingg 25 Nov 2015 atau sehingga 700 sahaja. (Cetakan Terhad)
TAJUK : Bicara Tentang Cinta
HARGA : RM 30 + RM6(postage) - Semenanjung
RM 33 + RM 10 (postage) - Sabah/sarawak
SINOPSIS :
13 cerita digarap indah oleh 13 penulis. Bercerita tentang cinta dari sudut hati mereka.

Sunday, October 25, 2015

JEREBU KASIH - PART 3


JEMARI Ainan berjalan pada nombor-nombor yang tertera di kalendar. Terhenti pada nombor yang dibulat merah. Tersungging senyuman manis di bibirnya. Tidak sabar hatinya menanti tarikh ini. 2 hari sahaja lagi. Selepas itu, hari-hari yang dilaluinya pasti berbeza. Insan yang dirindui akan senantiasa menemani dia walau hanya untuk 2 minggu tapi itu sudah mencukupi.
"Tersenyum-senyum. Dah macam kerang busuk pula aku tengok."
Ainan tak ambil pusing dengan bebelan temannya. Hati tengah senang. Cakaplah apa saja. Nak kutuk ke, nak keji ke. Dia tak kisah.
"Weiii... Tengku ajak dating ke?" Si teman yang masih tak berpuas hati menjolok lagi.
"Kau ni. Tak habis-habis dengan tengku tu." Terjegil mata Ainan bila ditebak begitu. Tak ada kerja dia nak tersengih ingatkan lelaki yang tiada kaitan dengannya. Buang masa sahaja.
"Dah tu, apahal sebenarnya? Ingatkan sebab tengku. Yalah kes dekat bilik mesyuarat tu memang epik gila." Si teman dah ketawa-ketawa.
"Azri cuti panjang. 2 minggu. Hujung minggu ni aku bertemanlah." Ainan pantas memintas sebelum temannya merepek yang bukan-bukan.
Rasa macam menang loteri sebab sudah 5 minggu tidak bersua muka dengan suami tersayang. Dalam kepalanya sudah bermacam agenda yang tersusun. Banyak perkara yang dia dan Azri boleh buat nanti. Seronoknya.
"Ooo... ingatkan sebab tengku." Si teman tersengih.
"Minta dijauhkanlah kalau sebab dia. Tak ada kaitan langsung." Ainan menjeling dengan ekor mata.
Kali ini matanya beralih pada skrin telefon bimbit. Membaca semula pesanan Azri dalam aplikasi WhatsApp. Senyuman manisnya kembali terukir.
"Jauh dari siapa? Apa yang tak ada kaitan?" Tengku Redza tersenyum sebaik berdiri di antara kubikel Ainan dan si teman. Matanya redup memandang Ainan yang nampak kaget dengan kedatangan dia.
Mati terus senyuman Ainan. Ingatkan selepas penolakan dia, Tengku Redza tidak mengganggu lagi. Rupa-rupanya lelaki ini memang tidak faham bahasa.
"Errr... maaf, tengku. Saya nak ke tandas sekejap." Si teman lekas-lekas meminta diri.
Tengku Redza mengangguk bersama senyuman yang melebar bila teman Ainan ini sangat memahami tujuan kedatangan dia. Sudah 3 hari dia tak masuk pejabat. Terpaksa ke luar kawasan. Bermakna sudah 3 hari tak dapat menatap wajah manis Ainan. Lagi pula sekarang dah masuk waktu rehat. Ainan pun dia lihat sedang bermalas-malasan. Manalah tahu Ainan sudi keluar makan tengah hari dengan dia.
Bulat mata Ainan bila temannya cepat sahaja meninggalkan dia terkontang-kanting seorang diri di situ. Semakin besar matanya bila si teman buat isyarat layan-Tengku-Redza tatkala berjalan di belakang Tengku Redza.
"Awak mengata saya ke, Ainan?"
Ainan hanya mampu menggeleng. Tipu memang betul hatinya sibuk mengata Tengku Redza. Takkanlah dia nak mengaku. Hishhh... Lelaki ni. Kenapalah terkejar-kejarkan dia. Bukan ke ramai lagi anak dara dalam syarikat ni. Dia dah kahwinlah.
"Telinga saya ni macam telinga lintah tau. Boleh dengar kalau orang sebut-sebut nama saya. Lagilah kalau yang menyeru tu awak." Tengku Redza menyambung kata seraya berjalan mendekati meja kerja Ainan.
Selamba sahaja dia menarik kerusi yang ada di depan meja Ainan. Tidak dihiraukan pandangan tidak puas hati yang Ainan tunjukkan. Kalau kata-kata pedas Ainan dia dapat serap, apalah sangat dengan riak kurang senang wanita ini.
Tegak terus badan Ainan. Sungguh apa yang perlu dia buat untuk menangkis serangan mahluk Tuhan yang satu ini. Nak suruh dia guna bahasa apa kalau bahasa melayu si tengku ni tidak faham. Agaknya guna bahasa russia kut.
“So?”
Berlapis kedutan pada dahi Ainan. Apa maksud Tengku Redza dengan so? Dia ada terhutang apa-apakah dengan Tengku Redza?
“Family day tu.” Sengaja Tengku Redza mengingatkan kembali permintaan dia pada Ainan. Dia berharap sangat Ainan pergi hari keluarga tu sebab dia tahu suami Ainan tidak mungkin dapat menghadirkan diri ke sana. Dapatlah dia mendekati wanita ini. Itulah tujuannya mendesak Ainan untuk turut serta.
“Saya pergi atau tidak tak penting, Tengku.”
“Siapa kata tak penting? Awak salah seorang urusetia. Jangan awak lupa, Ainan. Apa gunanya tanda tangan awak pada surat yang awak akan mematuhi setiap arahan yang diberi syarikat dari semasa ke semasa?” Tengku Redza tersenyum senget. Senang hati bila dapat menjentik sedikit hati Ainan. Ainan salah seorang pekerja yang berdedikasi. Tak mungkin akan melanggar arahan majikan.
Jemari Ainan naik memicit pelipis. Sungguhlah Tengku Redza ni. Nampak sangat dah salah guna kuasa. Sebenarnya dia agak terkejut bila mendapat email perlantikan dia sebagai salah seorang urusetia. Nak marah pun tak guna bila tengok nama pengirimnya.
“So?” Sekali lagi Tengku Redza mendesak jawapan dari Ainan. Langsung tak endah apa masalah pun yang sedang melanda Ainan.
“Saya akan maklumkan kemudian.” Ainan mengalah. Terbit juga keluhan kecil dari bibir mungilnya. Susah juga bila jadi kuli ni. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Nampaknya dia dan Azri bakal berperang lagi.
Tengku Redza tersenyum.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Saturday, October 24, 2015

JEREBU KASIH - PART 2


AZRI melepaskan keluhan berat. Jaket kuning yang tersarung di badan ditanggalkan. Sudah 5 tahun jaket ini menjadi uniformnya. Pakaian rasmi dari jam 6.30 pagi hingga 6.30 petang. Adakah kemungkinan ianya akan menjadi sejarah?

"Kau ni kenapa? Dah beberapa hari asyik mengeluh aje. Kau ada masalah ke?"

Azri tersenyum pada teman sebiliknya. Teman susah dan senang. Di sini mereka rapat. Semuanya. Bagaikan satu keluarga. Mereka hanya ada satu sama lain. Hidup di atas pelantar dan di tengah-tengah lautan mereka tak boleh sombong.

"Bukan minggu lepas dah bergayut dengan orang rumah ke? Takkan tak hilang rindu lagi. Esok pun dah nak terbang ke darat, kan. Chill bro." Si teman dah ketawa-ketawa.

"Itulah masalahnya. Rindu hilang. Rasa lain pula yang datang. Haish... Tak tahulah sampai bila aku boleh bertahan." Azri menguak rambutnya. Melorot duduk di atas lantai. Tubuh yang letih dibawa bersandar pada katil.

“Jangan mudah putus asa. Korang baru nak mulakan hidup.” Si teman mula memberi nasihat.

“Aku tahu. Entahlah tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan Ainan tu.”

“Sebagai suami tanggungjawab kita berat, Azri. Semuanya terbeban pada kita. Ni hah.” Si teman menepuk kedua-dua bahunya bila Azri memandang.

“Ada pada bahu kiri dan kanan. Salah kendali senget bahu kiri. Kata orang biarlah bahu kanan yang berat. Itu pun kalau betul jalannya.”

Azri masih lagi memandang si teman. Teman yang sudah lebih 15 tahun bergelumang dengan minyak dan air masin. Teman merangkap ketua di sini. Tabahnya si teman menempuh onak dan duri kehidupan. Dia yang baru bertatih cepat sahaja mahu mengalah dengan ujian sebesar kuman.

“Awal-awal dulu aku pun macam ni juga. Bertikam lidah macam dah jadi makanan. Ada saja yang tak kena.”

“Agaknya kita semua dekat sini alami pengalaman yang serupa.” Azri termenung.

“Betul tapi kalau kena caranya semuanya boleh diatasi. Bertolak-ansur. Itu kunci paling utama.”

Azri mengangguk. Setuju dengan kata-kata temannya. Ya, bertolak-ansur. Perlahan-lahan otaknya mula mencerna. Melihat pada perhubungan dia dan Ainan, perkataan bertolak-ansur seolah-olah semakin jauh dari mereka. Lebih tepat lagi tiada dalam kamus kehidupan yang baru dibina ini. Masing-masing ego. Masing-masing tidak mahu mengalah. Jadinya mana nak datangnya sefahaman.

“Kalau hitam kita warnakan hidup ini, hitamlah jadinya. Balik nanti bincang elok-elok.” Si teman yang sudah bangun menepuk bahu Azri.

Azri terkedu. Teman bertepuk tamparnya tadikah yang berbicara? Tak sangka si teman boleh mengeluarkan kata-kata bernas begitu. Patutlah si teman diangkat menjadi ketua. Dia nekad. Menurut nasihat diberi si teman. Balik esok segala-gala yang menjadi duri dalam perhubungan dia dan Ainan perlu dicantas. Segala-galanya perlu diperbetulkan. Moga perjalanan hidup dia dan Ainan yang belum panjang diberkati-Nya.

Laju dia bangkit dari duduknya. Tiba-tiba semangatnya berkobar-kobar untuk pulang ke rumah. Lepas mandi nanti dia nak berkemas. Kepulangan dia esok tidak dikhabarkan kepada Ainan. Cepat 2 hari dari yang dijadualkan. Ramalan cuaca buruk yang diterima pada tarikh sepatutnya dia pulang mengubah segala-galanya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Friday, October 23, 2015

JEREBU KASIH - PART 1



KERTAS di tangan direnung. Dia mengeluh kecil. Mahu buat keputusan sendiri, dia jadi serba-salah. Sudahlah banyak majlis yang dianjurkan syarikat sebelum ini dia tolak. Untuk kesekian kalinya dia buntu.
"Kau join, kan?" Rakan sebelah mejanya menyapa.
Ainan panggung wajah. Nak menggeleng tapi takut si teman kecil hati. Sudahnya dia kunci mulut.
"Jangan tidak lagi, Ainan. Dah banyak event company kau tak join sejak kau dah kahwin. Apa pula kata staf yang lain nanti." Si teman sambung bicara.
Itulah pokok utamanya. Teringat kembali sungutan yang dia luahkan kepada sang suami. Penamatnya dia dileteri semula. Kata Azri jangan terlalu nak fikir hati orang lain sebab orang lain tak pernah fikirkan apa yang kita rasa. Dia setuju itu dan leteran Azri yang seterusnya buat dia termenung. Orang hanya nampak bila kita senang tapi tak ada orang tahu bila masanya kita susah. Azri betul. Masalah yang menghimpit mereka mana ada orang lain ambil peduli.
"Bincanglah dengan Azri baik-baik. Kalau dia tak boleh pergi, mintalah izin kau pergi sorang." Si teman beri nasihat percuma.
Panjang muncungnya. Senang betul temannya memberi cadangan. Kehidupan dia berbeza dengan orang lain. Dia dan Azri, lelaki yang baru 3 bulan menjadi suaminya menjalani hidup asing-asing. Bukan mereka sengaja berpisah tetapi demi sesuap nasi, mereka terpaksa berjauhan.
"Hei, telefon kau dah menjerit tu." Si teman menepuk kuat mejanya. Leka termenung hingga bunyi telefon bimbit sendiri pun dia tidak dengar.
Kalut Ainan menggagau ke dalam tas tangan. Seketika ruang yang sunyi meriah dengan muzik yang terhasil dari deringan telefon bimbitnya. Wajahnya yang mendung tadi berubah ceria pabila melihat nama yang tertera. Si pemanggil ini macam tahu-tahu sahaja namanya diseru.
"Assalammualaikum Puan Ainan Zara."
"Waalaikumussalam Encik Azri Yusuf." Ainan tersenyum lebar. Rindunya pada si suami sedikit terubat bila suara garau Azri menyapa telinga. Hilang terus rasa walang dalam hati.
"Ainan, setengah jam lagi kita ada mesyuarat." Si teman mengingatkan sebelum berlalu dari situ seperti memberi ruang kepada Ainan.
Ainan hanya mengangguk. Fokusnya kembali kepada suara yang berbisik di hujung talian sana sambil mata mengekori jejak langkah si teman sehingga hilang dari pandangan.
"Rindu." Pendek sahaja ungkapan yang diluahkan si suami.
Rasa sebu menerpa dadanya. Bukan Azri sahaja yang merasa begitu. Dia juga sama. Malah rasanya rindu yang dia tanggung lebih sarat dari Azri. Dia sorang-sorang di rumah mereka. Tiada teman berbual. Tiada teman gaduh. Lainlah Azri. Walau di tengah lautan tetapi ramai orang di sekelilingnya.
"Ainannn..." Sayup dan meleret suara Azri di hujung talian.
Menitis airmata Ainan. Rasa macam nak paksa Azri terbang balik ke sini sekarang juga. Seksanya bila berjauhan begini. Tanpa sedar sedunya didengari Azri.
“Janganlah menangis. Ainan buat abang risau.”
“Mana ada Ainan menangis?” Ainan menafikan kata-kata Azri. Walhal jelas dan ketara memang dia sedang menangis. Laju jemarinya menyeka air mata yang mengalir. Malu dia bila Azri tahu dia menangis. Cengengnya dia.
“Sob sob sob tu maksudnya rindu ya?” Azri tergelak di hujung sana.
“Abang! Benci.” Bibir Ainan muncung sedepa. Biarlah Azri tak nampak dia nak juga buat memek muka macam tu. Tak suka dengan usikan Azri tapi pada masa yang sama sebenarnya dia rindu dengan gurauan begitu.
“Tapi abang sayang Ainan. Janganlah benci-benci. Dah 3 minggu tak jumpa. Keras abang dekat sini.”
“Abanggg…!” Spontan Ainan menekup mulutnya. Mata meliar ke sekeliling. Takut ada yang memandang. Geram sangat dengan Azri. Suka sangat melencong. Hingga tanpa sedar suara dia sedikit meninggi. Lagilah bila Azri galak sangat ketawa di hujung sana.
Tanpa Ainan sedari di sebalik dinding ada sepasang mata yang sedari tadi mengintip setiap gerak-gerinya. Mata yang tak pernah lepas dari memerhati tingkahnya. Pemilik sepasang mata itu sudah terpukau dengan apa yang Ainan hidangkan. Ainan yang berjaya mencuri perhatian pemilik sepasang mata itu.
“Okey, okey. Tunggu abang, ya sayang. 2 minggu lagi abang balik. Lepas tu 2 minggu kita boleh habiskan masa bersama-sama.”
“Reda.” Ainan buat ayat pasrah.
Kenyataannya dia memang ikhlas dan reda dengan perjalanan hidup mereka. Sedari awal lagi dia tahu, kehidupan mereka suami isteri berbeza dengan pasangan yang lain. Tuntutan kerja Azri memaksa mereka berpisah. Pelantar minyak pilihan Azri untuk kesinambungan hidup di dunia sementara ini.
“Ainannn…”
“Hmmm… nampak gayanya tak dapatlah join hari keluarga tahun ni.”
“Bila?”
“Seminggu selepas abang kerja semula.”
“Penting ke?”
“Setiap tahun Ainan tak pernah tertinggal hari keluarga ni.”
Ainan ketap bibir bila terdengar Azri berdecit. Dia bukan memaksa tapi dia berharap sangat Azri dapat luangkan lebih masa dengan dia untuk kali ini. Lagi pula mereka baru sangat berkahwin. 2 bulan selepas menikah, Azri terbang ke pelantar.
“Bukan abang tak nak tapi Ainan faham kan kerja abang ni macam mana?" Suara Azri sedikit tinggi nadanya.
Ainan terdiam. Untuk apa lagi dia merayu kalau semuanya ditolak Azri mentah-mentah. Untuk apa lagi dia memujuk kalau pujukannya tidak lut. Sungguh dia terasa hati. Azri sedikit pun tidak mahu masuk dalam dunianya. Entah apa yang seronok sangat dekat laut sana tu.
"Ainannn..." Azri mengeluh. Berat.
Ainan diam. Tiada hati lagi mahu menyahut. Tiada hati lagi mahu bermanja-manja. Tiada hati lagi mahu meneruskan perbualan ini. Terasa kasih dan cintanya bergoyang.
Dia sedar acapkali mereka berhubung, pengakhirannya pasti dengan perbalahan kecil. Walau masing-masing sarat dengan beban rindu tetapi yang terluah dari mulut jauh dari apa yang tersimpan dalam dasar hati. Sakitnya bila terpaksa menempuh perhubungan jarak jauh begini.
"Kalau abang punya pilihan, abang tak pilih untuk ke sini. Sudahlah signal kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak. Ainan pula buat perangai macam ni." Azri menyambung kata lagi.
"Ainan kena masuk mesyuarat sekarang. Nanti kita berborak panjang lagi. Assalammualaikum," Talian terus dimatikan.
Ainan campak telefon bimbitnya ke atas meja. Air mata yang sudah kering kini mengalir kembali. Terasa. Dia sangat terasa. Sampai hati Azri menuduh dia begitu. Dia hanya pinta sedikit sahaja masa Azri. Tak banyak, satu hari pun sudah mencukupi.
"Ainan! Bos dah masuk." Si teman menggamit dari jauh.
Ainan angguk. Air mata disapu. Nafas dihela dalam-dalam. Buku nota dan sebatang pen dicapai. Dia bangkit. Berlalu ke bilik mesyuarat.
"Ainannn..." Azri memandang telefon bimbit yang sudah gelap.
Pelipis dipicit. Sakit kepalanya dengan tingkah kurang matang Ainan. Tidak tahu macam mana lagi nak buat Ainan faham. Berkerja sebagai jurutera di pelantar minyak, banyak perkara perlu dikorbankan. Hal ini mereka sudah bincangkan sebelum capai kata sepakat untuk bersatu lagi.
"Encik Azri!"
Azri menoleh. Telefon bimbit tadi di letakkan kembali ke atas mejanya. Keningnya dijongket.
"Paip ada masalah," beritahu pekerjanya.
"Jom." Tidak tunggu lama Azri bingkas bangun. Dia mencapai jaket keselamatan dan menyarungkannya ke badan. Setelah pasti semuanya okey, pantas dia melangkah keluar mengekori pekerja tadi.
Ainan menarik nafas lega setelah mesyuarat berakhir. Namun kelegaan itu hanya seketika. Ingatannya terganggu kembali apabila mengingatkan perbualan dengan Azri sebentar tadi. Dia hanya tersenyum menyorokkan rasa dalam hati apabila teman-temannya sibuk berbincang aktiviti apakah yang bakal mereka lakukan pada hari keluarga nanti. Lagilah bila hari keluarga tersebut bakal diadakan lebih kurang sebulan dari tarikh hari ini. Maklumlah lokasi yang dipilih bukan calang-calang. Pulau Tioman menjadi pilihan.
"Tengku pergi tak?" Kuat pertanyaan yang dilontarkan oleh salah seorang staf perempuan hingga menarik perhatian semua yang ada di dalam bilik itu. Keadaan yang bising tadi berubah sepi.
Semua mata tertumpu kepada lelaki yang duduk di sebelah Tengku Radzi termasuk Ainan. Anak pengerusi syarikat yang mendapat perhatian staf perempuan di sini sejak hari pertama memulakan tugas sebagai pengurus besar. Terutama mereka yang masih belum berumahtangga sebab Tengku Redza masih bujang dan belum berpunya.
Tengku Redza tersenyum. Matanya mengitari setiap staf yang ada dalam bilik itu sebelum berhenti pada Ainan. Memanah tepat pada wajah itu.
Ainan gelisah. Si teman di sebelah yang perasan pandangan Tengku Redza menyikunya. Dia berpura-pura menulis pada buku nota. Sungguh dia tidak suka dengan perhatian dari Tengku Redza. Merimaskan. Malah dia tidak perlukan itu semua. Kadang-kadang dia terfikir juga apa yang ada pada dia yang membuatkan Tengku Redza terlebih tengok. Apa tidak tahukah lelaki itu yang dia sudah berkahwin.
"Kalau Ainan pergi, saya pergi."
Jawapan Tengku Redza membuat Ainan terbatuk-batuk. Apa kena mengena dia pergi atau tidak dengan lelaki ini? Ya Allah, gila ke apa lelaki ini.
"Errr... Saya belum pasti lagi. Tengok kelapangan suami saya." Ainan menjawab juga bila semuanya sudah memandang dia. Lagi pula dia tidak mahu suara-suara sumbang di belakang yang mula berbisik tersalah anggap tentang hal ini.
Tengku Redza ketawa. Tidak tergugat langsung dengan jawapan Ainan. Dia tahu wanita itu sudah tidak senang duduk.
"Kau ada apa-apa ke dengan tengku?" Si teman sudah berbisik.
"Kau gila!" Ainan berbisik sama dengan nada sedikit keras. Namun masih hanya dia dan temannya sahaja yang mendengar.
“Patutlah tadi dia ada dekat ruang kita.” Si teman mengintai Tengku Redza dengan ekor mata.
“Apa kau cakap ni?” Kening Ainan sudah bertaut. Tidak faham maksud kata-kata temannya.
Si teman menggeleng bersama senyuman nipis.
Ainan bersandar. Saat dia panggung wajah, matanya bertembung dengan pandangan Tengku Redza. Laju dia alih mata ke arah lain.
Tengku Redza kekal begitu. Senyuman masih menghiasi bibirnya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.