Friday, June 20, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 13


HARI ini hati Aqeela terasa sedikit berdebar-debar. Hisyam akan mula edarkan kad undangan majlis perkahwinan mereka yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini kepada rakan sepejabat. Dia takut dengan reaksi yang akan diterimanya. Tapi yang paling dia takutkan adalah kedua-dua orang teman rapatnya di pejabat ini.

"Aqeela!!!"

"Habislah aku. Habislah. Mana aku nak sorok ni?" Tanpa fikir panjang Aqeela terus masuk ke bawah meja.

"Eh! Macam chipsmore pula. Kau nampak kepala dia tadi kan?" Abby memandang Shahnaz.

Shahnaz mengangguk laju.

Tiba-tiba terdengar suara orang bersin.

Shahnaz dan Abby berpandangan. Abby menjenguk ke bawah meja.

"Bertuah punya kawan. Keluar!" Abby dah bercekak pinggang.

Perlahan-lahan Aqeela keluar dari tempat persembunyian. Dua jari diangkat kepada teman-temannya.

"Peace..." Aqeela tersengih.

"Explain this!" Kedua-duanya meletakkan dua keping sampul surat di atas meja kerja Aqeela.

"Oh! Ini. Ingatkan apalah tadi." Aqeela mengambil sampul surat tersebut.

"Allah...Kau jangan nak berlagak tak tahu apa-apa eh." Shahnaz besarkan mata. Geram.

"Sampai hati kau rahsiakan semua ni dari kami kan." Nada suara Abby bertukar sendu.

"Abby, Naz...janganlah marah-marah." Aqeela cuba memujuk.

"Saya yang suruh Aqeela rahsiakan. Baru bertunang kan. Tak elok bercerita. Tapi bila kami dah ada tarikh menikah, itu yang awak semua dapat kad ni." Hisyam yang muncul dari belakang Abby dan Shahnaz tersenyum memandang gadis-gadis di depannya. Dia berjalan mendekati Aqeela.

Abby dan Shahnaz berpaling memandang Hisyam. Pandangan mereka tak lepas sehingga Hisyam berdiri di sebelah Aqeela. Kad undangan perkahwinan di tangan dibelek semula. Kad yang membuatkan jantung mereka berdua berdetak hebat.

"Thank you." Aqeela sedikit berbisik.

"You owe me one." Hisyam membalas. Juga berbisik.

"I belanja makan." Aqeela ketap bibir. Masih berbisik.

"Naaa...I nak tuntut lepas kita menikah." Hisyam kenyit mata. Berbisik begitu dekat dengan telinga Aqeela. Kalau dilihat dari jauh macam Hisyam sedang mencium pipi Aqeela.

Pandangan mereka berdua bertaut.

Aqeela dapat rasakan mukanya berbahang. Macam manalah nanti dia nak hadapi lelaki ini kalau hanya mereka berdua sahaja berkongsi satu ruang yang sempit.

"Ehem...ehem... We are still here. Jangan lebih-lebih. Belum halal lagi."

Dehaman dan usikan Abby dan Shahnaz mematahkan tautan mata merpati dua sejoli ini.

"Lupa." Aqeela tersengih memandang teman-temannya.

"Kawan awak ni cantik sangat. Sayang kalau tak tengok." Hisyam mengusik.

"Oh, my! Oh, my! Kenapa macam tak ada air-cond ni?" Abby mengipas-ngipas mukanya.

Shahnaz turut melakukan aksi yang sama.

Aqeela dah tertunduk malu. Tak tahu nak bereaksi bagaimana.

“Dah, dah. Jangan kacau tunang saya lagi. Awak berdua tak ada kerja ke?” Hisyam sengaja beriak serius. Cuba menyembunyikan rasa malunya juga.

“Okey. Kami pergi dulu. Jangan nakal-nakal tau, Encik Hisyam. Belum jabat tangan tok kadi lagi. Anyway congrats to both of you. Pergi dulu, Qeela.” Abby saja mengusik pasangan yang nampak macam malu-malu kucing.

“Jaga kawan saya baik-baik tau, Encik Hisyam. Don’t hurt her. Ciow.” Shahnaz pun sempat berpesan.

“Kawan-kawan you. Dahsyat.” Hisyam menggeleng. Dia bergerak ke depan. Menarik kerusi dan selamba duduk menghadap tunangnya.

“Aik… you buat apa dekat sini? Tak ada kerja?” Aqeela mengeluarkan beberapa fail dan dilambakkan di atas meja. Matanya beralih pada skrin komputer.

“Daddy bagi pelepasan hari ni. Semua kerja I dah pass kat Mail.” Hisyam sibuk menyelak-nyelak dokumen.

“Untunglah. Syarikat bapak.” Aqeela tertawa.

“Janganlah cakap macam tu. Jom teman I.” Hisyam mendaratkan dagunya di atas meja.

“Pergi mana?” Aqeela menoleh sekilas. Tersenyum. Lucu melihat gaya Hisyam yang kononya comellah buat macam tu.

“Hantar kad kita pada kawan-kawan I,” beritahu Hisyam.

"You pergilah sendiri. Nak bagi kad ajekan." Aqeela masih mengetuk papan kekunci. Pandangannya langsung tak berkalih.

"Temanlah I..." Suara Hisyam sedikit merengek. Bagai budak kecil yang mahukan sesuatu.

"Seganlah. Lagipun kan tak manis. Ke sana ke sini berdua. Mak suruh slow sikit. Mommy you pun pesan benda yang sama." Aqeela masih fokus pada kerjanya. Dia perlu siapkan semuanya sebelum bercuti panjang mulai esok.

"Tapi dia orang best friends I. Nak juga I tunjuk siapa bakal isteri I." Hisyam masih berusaha memujuk.

"Dia orang dah kahwin?" Aqeela memusingkan badannya. Wajah kacak yang merayu sedari tadi dipandang.

"Belum tapi yang sorang tu dah bertunang. Almost a year." Berkerut dahi Hisyam menjawab. Tidak suka dengan soalan yang dilontarkan Aqeela.

"Kawan-kawan you tu stok-stok macam you ke?" Aqeela kenyit mata.

"Ini yang I tak gemar ni." Wajah Hisyam bertukar serius. Badan ditegakkan dan bersandar pada kerusi.

"Kalau stok-stok macam you. I ikut. Tapi you kena tunggulah sampai I siapkan kerja-kerja I ni." Aqeela tersengih. Lebar pula tu.

"Tak apalah. You siapkan kerja you. I'll go and meet my friends first then I'll pick you up." Hisyam berdiri.

"Tak apa ke I tak ikut?" Aqeela jongket kening.

"You terlalu cantik untuk I tunjuk pada dia orang. Kalau dah lepas nikah tak apa. Sebab masa tu kalau you nakal-nakal tahulah I nak buat macam mana." Giliran Hisyam pula kenyit mata.

Aqeela ketap bibir. Geram. Tak habis-habis Hisyam mengusiknya. Ingatkan dia yang nak kenakan tunangnya itu. Balik-balik dia juga yang terkena.

"You jangan buat bibir macam tu boleh tak? Kalau kita dah hala tak apa." Tersungging senyuman nakal pada wajah Hisyam.

"Apa kaitan?" Aqeela dah mula bengang.

"Lepas nikah I beritahu. I pergi dulu. Assalammualaikum." Hisyam berpusing dan berlalu pergi.

"Hisyam!!!" jeritan Aqeela bergema selepas dapat mencerna kata-kata tunangnya.

Hisyam tersenyum. Langsung tak berpaling. Pandangan staf-staf yang berpapasan dengan dia juga tidak diendahkan. Langkah diteruskan.

Setiap langkahnya diiringi dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Tangan Hisyam menggagau ke dalam kocek seluar mencari kunci kereta. Kunci kereta berjaya digapai. Baru jarinya hendak menekan punat kunci, bahunya ditepuk seseorang.

Hisyam berpaling. Terperanjat melihat susuk tubuh di belakangnya.

“Boleh kita berbual sekejap?” Figura yang menepuk bahunya meminta izin.

“Tiada apa yang kita nak bualkan.” Hisyam membalas.

“Sekejap saja. Aku perlu luahkan semuanya. Kalau tak hati aku tak tenang.” Orang itu masih memaksa.

Hisyam mengurut pelipis. Tidak tahu sama ada mahu melayan permintaan ini atau tidak. Nafas dihela dalam-dalam. Dia memandang wajah keruh di hadapannya.

“Okeylah, Farid. Tapi aku tak boleh lama. Nak edarkan kad kahwin.” Hisyam menayang beberapa keping kad undangan yang ada di tangannya. Pintu kereta dibuka. Dicampakkannya kad undangan itu di atas tempat duduk penumpang.

Farid angguk. Memandang lesu kad yang ditunjukkan kepadanya.

“Apa benda yang kau nak cakap?” Hisyam bersandar pada keretanya. Tangan bersilang di dada. Mata memandang tepat pada wajah Farid.

“Kau betul-betul yakin nak kahwin dengan Aqeela?” Farid memulakan bicara.

Hisyam hanya mengangguk.

“Kau tak rasa kau terburu-buru?” Sinis soalan yang ditanya Farid.

“Kalau aku terburu-buru pun. Tak ada kena mengena dengan kau.” Suara Hisyam sedikit keras. Bengang bila ada yang sibuk akan hal peribadinya.

“Kau belum betul-betul kenal dengan dia. Aku. Aku dah lima tahun berkawan dengan dia.” Farid tersenyum bangga.

“Lima tahun? Pelik walau kau dah kenal dia lima tahun kenapa kau tinggalkan dia juga?” Hisyam mencebik.

“Dia terlalu kasar. Tak ada kelembutan. Belajar pun tak tinggi mana. Tak sesuai langsung buat isteri.” Farid tertawa. Memek mukanya seperti menceritakan sesuatu.

“Alasan. Sekarang apa kes pula? Kenapa kau datang cari dia lagi?.” Hisyam dah berdiri tegak. Bengang dengan kata-kata yang dilemparkan Farid.

“Entahlah. Aku tak tahu kenapa. Bersama dengan Aqeela tak sama bila bersama dengan Anidah.”

“Apa maksud kau bersama tu?” Hisyam mencerlung tajam wajah Farid.

“Kau tanyalah dengan dia.” Farid ketawa besar. Suka melihat wajah tegang Hisyam.

“Dia bukan jenis yang macam tu. Kau jangan menuduh yang bukan-bukan.” Hisyam mencekak leher baju Farid.

Semakin kuat tawa yang meletus dari bibir Farid.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Thursday, June 19, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 12


BUTIK pengantin yang dipilih orang tua mereka terletak betul-betul di kawasan yang sibuk hingga memaksa Hisyam menurunkan Aqeela terlebih dahulu sebelum dia pergi mencari petak parkir kosong.

Bunyi derapan tapak kasut yang seakan berlari di belakangnya menarik perhatian Aqeela. Namun belum sempat dia menoleh terasa seperti ada tangan yang menarik tudungnya.

"Allah!" Aqeela menjerit kuat. Tangan kiri memegang tombol pintu. Tangan kanan pula memegang kepala. Menghalang dari tudungnya dari terlucut.

"Sanggup kau buat aku macam ni! Kau tahu kan aku cintakan dia! Aku sayangkan dia!" Anidah menjerit kuat.

Aqeela menghela nafas dalam-dalam setelah membetulkan sedikit letak tudungnya di kepala. Dia cuba menenangkan diri. Kalau tak mengenangkan dia kenal dengan gadis ini mahunya dia tangankan saja. Tapi kalau dia membalas nampak sangat dia turut merendahkan maruah sendiri. Tarik-tarik tudung nampak sangat tak bertamadun.

"Sampai hati kau. Kami dah nak berkahwin. Kenapa tiba-tiba kau muncul semula?" Anidah mengongoi. Merasakan seperti dia yang menjadi mangsa.

Aqeela merenung tajam. Bila masa pula aku muncul semula? Si Anidah ni bodoh ke atau saja-saja buat bodoh. Dia dengan tunang dia yang datang dekat aku. Salahkan aku pula.

"Patutlah dia semakin jauh." Anidah tersedu sedan. Meminta simpati Aqeela.

"Aku tak faham apa yang kau merepek ni, Anidah. Aku tak pernah pun kacau hubungan kau dengan Farid. Kalau Farid berubah memang tak ada kena mengena dengan aku. Kenapa tak tanya dengan dia sendiri?" Sinis Aqeela membalas.

"Aku tahu dia tak ikhlas mencintai aku. Dalam hati dia masih ada kau. Buktinya sekarang ni." Anidah masih menyalahkan Aqeela.

"Bukti? Bukti apa?" Aqeela jongket kening.

"Butik pengantin ni. Kau ada janji dengan dia kan?" Anidah merenung tajam.

“Apa kau merepek pagi-pagi ni?” Aqeela memandang pelik bekas teman serumahnya.

“Farid cakap dia ada temujanji pagi ni. Puas aku desak dengan siapa. Patutlah dia tak nak cakap. Rupa-rupanya dia nak berjumpa dengan kau.” Anidah dah bercekak pinggang.

“Kenapa you tak masuk-masuk lagi?” Hisyam menghampiri tunangnya.

Anidah yang mendengar suara lelaki menegur terus menoleh ke belakang. Muka dia berkerut memerah otaknya. Cuba mengingatkan di mana dia pernah berjumpa lelaki itu.

“Tunang aku. Kau pernah jumpa dia dekat kedai mamak tempoh hari.” Aqeela tersenyum melihat rupa Anidah yang terkejut.

“Tunang?” Anidah terkebil-kebil.

“Tak habis-habis lagi mengacau orang? Apa masalah kau ni sebenarnya? Rasa tak selamat? Oh! Yalah. Kau pernah rampas hak milik dia dulu kan sebab tu kau jadi paranoid sendiri.” Hisyam menyindir tajam.

“You…” Aqeela menggeleng. Dia malas mahu memanjangkan cerita.

“Aku…Aku…” Anidah tergagap-gagap.

“Apa aku, aku? Dengar sini ya. Lain kali kalau aku nampak kau kacau Aqeela lagi, aku tak teragak nak buat laporan polis. Beritahu sekali dekat tunang kau tu. Meroyan tahap mental. Memang sepadanlah korang berdua.” Hisyam tuding jari betul-betul pada hidung Anidah. Cuma tidak disentuh sahaja. Tahap kesabaran dia sudah sampai ke tahap maksima. Tidak faham apa lagi yang mereka cari dari Aqeela. Dasar busuk hati.

Anidah tidak terkata. Terkulat-kulat dia mendengar amaran Hisyam. Tidak tunggu lama. Dia terus beredar. Tak sanggup dimalukan lagi.

“Masuklah ke you nak tunggu Farid samdol tu pula datang.” Hisyam angkat kening.

“Aah sebab I dah ada knight in shining armour that can come to the rescue. Macam superman. Errr…superman.” Aqeela ketap bibir. Dia memandang Hisyam atas bawah sebelum matanya terhenti pada suatu tempat.

“Aqeela…” Hisyam besarkan mata. Tak sangka Aqeela kini sudah pandai bergurau. Kalau selalu tu keras semacam sahaja.

“I polos tau.” Aqeela kenyit mata dan terus menguak pintu butik.

“Polos sangatlah tu.” Hisyam mengekori langkah Aqeela.

“Apa korang buat lama-lama dekat luar tu?” Syu pemilik butik pengantin menegur pasangan yang baru melangkah masuk ke dalam butiknya.

“Teman tak mesra tunang saya ni datang just want to say hi.” Hisyam berseloroh. Saja mahu membalas usikan Aqeela tadi.

“Kak Syu! Mana baju yang nak kena cuba?” Aqeela yang sedang membelek baju pengantin yang tergantung sengaja mengubah topik. Tak suka kisahnya menjadi perbualan.

“Duduk dululah, Hisyam.” Syu menghampiri Aqeela. Lima pasang baju yang telah dipilih Datin Hanum dan Mak Cik Hendon ditunjukkan pada Aqeela.

Hisyam duduk di ruang menunggu. Ada sofa di situ. Tersenyum dia memerhati gelagat tunangnya.

Aqeela bergegas ke bilik persalinan. Lima minit kemudian dia keluar.

“Cantik,” puji Hisyam.

“Cantik eh tapi macam besar aje ni, Kak Syu.” Aqeela berpusing-pusing di depan cermin.

“Tak apa. Boleh alter.” Syu datang dengan tali ukur dan jarum.

Aqeela membiarkan Syu membuat kerjanya. Sesekali dia melirik pada si tunang yang tertawa sendirian.

"Apa you ni asyik ketawa aje dari tadi?" Geram pula Aqeela dengan Hisyam.

"Awet muda." Hisyam semakin galak. Sukar betul dia hendak berhenti ketawa.

"Ouchhh! Kak Syu, sampai hari nikah nanti kering darah saya." Aqeela memukul perlahan badan mak andam cum wedding planner mereka.

"Kau yang tak reti duduk diam. Salahkan akak pula," protes Syu yang sedang meletakkan jarum peniti pada baju pengantin yang dipakai Aqeela.

"Cucuk aje, Kak Syu. Darah tunang saya ni tengah mendidih. Pagi-pagi dah kena serang dengan perempuan mental." Hisyam menggeleng bila mengingatkan peristiwa tadi.

"Tak baiklah you panggil dia macam tu." Memanglah Aqeela marah tapi tak adalah nak gelar macam tu.

"Betul apa. Meroyan tak tentu pasal." Hisyam tersengih.

"Dia tu kurang kasih sayang aje." Aqeela berpusing bila Syu menyuruhnya berbuat begitu. Memandang Hisyam melalui biasan pada cermin.

"Kurang kasih sayang? Hmmm...betul juga. I memang tak boleh lupalah muka dia tadi." Hisyam sambung tawanya semula.

"You pun. Patutnya tak perlulah balas balik sampai macam tu." Aqeela menggeleng.

"Sayang I kena maki. Mana boleh I diamkan aje."

"Hishhh...susah betul kalau dapat tunang yang over protective." Aqeela ketap bibir. Tiba-tiba pipinya bertukar warna. Malu. Dia nampak bibir Hisyam menggumam perkataan I love You.

"Dah kenapa dengan kau ni?" Kak Syu merenung muka Aqeela yang dah memerah.

"Saya cakap I love You. Itu yang jadi macam tu, Kak Syu."

"Eee..." Aqeela terus masuk ke bilik persalinan. Malas nak pandang muka Hisyam yang selamba itu.

Mengekek Hisyam dan Syu ketawa.

"Arghhh...Kak Syu!!!" Jeritan Aqeela bergema satu butik.

"Tercucuk jarumlah tu." Kelam kabut Syu mendapatkan Aqeela.

Satu jam lebih juga mereka habiskan masa di butik pengantin. Itu pun puas Aqeela bertegang urat dengan Hisyam. Leceh bila tak sependapat tentang pemilihan warna baju. Namun kedua-duanya akur bila Syu yang membuat keputusan.

“Kita nak ke mana sekarang ni?” Aqeela memandang wajah Hisyam yang tenang memandu.

“Jumpa caterer. Kena buat food tasting.”

"Food tasting?" Aqeela memandang Hisyam.

"Your mom and my mom are waiting for us." Hisyam masih fokus pada pemanduannya.

"Perlu ke semua tu? Hesy...susah betul nak kahwin dengan anak Dato' ni. Banyak sangat protokol." Aqeela membebel.

"Amboi cakap tak pandang kiri kanan." Hisyam menjeling.

"Cakap kalau pandang kiri kanan dah macam orang tak betul." Aqeela ketawa. Saja mahu mengusik. Dia faham apa yang dimaksudkan tunangnya. Tapi itulah dia. Tak suka dia cakap. Suka pun dia akan cakap.

"Yalah. Kita aje yang terhegeh-hegeh. Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong." Nada suara Hisyam sudah berubah.

Aqeela sengaja menundukkan sedikit badannya. Memerhati wajah Hisyam penuh asyik.

"Kenapa?" Hisyam dah buat muka pelik. Tak pernah-pernah Aqeela macam ni. Selalunya dia aje yang mengusik tunangnya itu.

"Hidung mancung. Lulus. Pipi sedang-sedang elok. Tak tersorong pun." Aqeela semakin galak mengusik.

"You!" Hisyam menggeleng. Meletus tawa dari mulutnya. Semakin dia tidak sabar menanti hari bahagia mereka.

"Yes, me..." Aqeela turut ketawa. Dia menyandarkan kembali badannya. Lega bila tahu Hisyam tidak ambil hati akan kata-katanya tadi.

"Sebenarnya our parents dah buat semua tu. Tapi mereka tak nak membelakangkan kita. Yalah dalam masa dua minggu mana sempat kita nak buat semua sendiri." Hisyam menerangkan keadaan sebenar.

"Kalau dua bulan mesti sempat." Aqeela mencelah.

"Tak sanggup I nak tunggu dua bulan. Ini kalau boleh esok nak jabat tangan tok kadi dah. Tapak tangan ni dah gatal aje. Tak sabar." Hisyam memandang sekilas dengan sengihan gatal.

Serentak itu, Aqeela memukul Hisyam dengan beg tangannya pada dada sasa milik lelaki itu.

"Love you." Itu balasan Hisyam. Langsung tak kisah dengan apa yang Aqeela buat padanya.

Terhenti terus Aqeela. pipi sudah berona merah. Hari ini saja sudah dua kali dia mendengar perkataan yang sama. Nak balas, memang taklah. Belum masanya.

Hisyam mengulum senyum. Faham mesti cik tunang malu. Boleh dilihat pada wajah itu yang sudah memerah. Bahagianya.

“Kita tak ada tukar-tukar barang kan?” Aqeela bertanya bila teringatkan sesuatu.

“Ada.” Pendek sahaja jawapan Hisyam.

“Ada? Sempat ke nak sediakan semua tu. Youlah ni. Tak menyabar sangat. Sesak nafas I. Semput nak fikir semua tu.” Aqeela mengeluh.

“Jangan risau sangat kalau you sesak nafas pun. I ada. I boleh bagi CPR.” Hisyam tertawa dengan kata-katanya sendiri.

Pantas Aqeela menekup mulutnya. Satu jelingan tajam dilemparkan kepada Hisyam.

         Hisyam tertawa. Dia dapat rasakan kehidupan yang bakal dia tempuhi bersama Aqeela pasti indah. Pasti seronok. Aqeela yang kasar tapi manja dan sekarang sudah pandai bergurau. Sungguh dia memang tidak sabar menanti detik itu.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Wednesday, June 18, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 11


LANGKAH diatur kemas keluar dari lif. Aqeela leka membelek telefon bimbit di tangan hingga tidak sedar dia terlanggar seseorang. Dia mendongak bila terasa ada seseorang yang menghalang laluannya.

“Kau.” Aqeela mengeluh lemah.

“Boleh jumpa sekejap?” Farid tersenyum manis.

“Untuk apa? Kau faham tak, antara kita dah tak ada apa-apa? Kau dah ada Anidah. Pergilah kepada dia. Tolonglah jangan kacau aku lagi.” Tona suara Aqeela naik satu oktaf. Tika ini dia tidak pedulikan orang disekeliling. Biarlah apa orang hendak kata. Dia perlu kuat untuk membela diri sendiri.

“Qeela, please… Sekejap saja pun jadilah. Aku janji lepas ni aku takkan kacau kau lagi.” Farid merayu.

“Aku tak boleh.” Aqeela menggeleng laju.

“Qeela, jom.” Abby memaut lengan temannya untuk pergi dari situ. Satu jelingan tajam dihadiahkan kepada Farid.

“Aqeela!” Farid menjerit. Geram bila Aqeela langsung tidak menghiraukannya.

“Farid, aku rasa lebih baik kau balik. Don’t make a mess here. Kalau tidak…” Shahnaz yang baru keluar dari lif cuba memberi amaran.

“Kau siapa nak halang aku? Aqeela!!!” Farid menjerit kuat kepada Shahnaz sebelum menjerit memanggil nama Aqeela.

“Pak cik!” Shahnaz menjerit memanggil pengawal keselamatan yang bertugas.

Farid mendengus kuat. Dia terus berlalu pergi sebelum sempat pengawal keselamatan yang dipanggil menghampirinya.

“Kau okey?” Abby memandang Aqeela.

“Entah.” Aqeela memandang kosong wajah Abby.

“Qeela, aku rasa lebih baik kau duduk sini aje. Tenangkan diri. Kita orang tapaukan.” Shahnaz cuba memberi cadangan setelah melihat Aqeela seperti hilang dalam dunia realiti.

“Hmmm…” Aqeela berjalan lemah menuju ke sofa yang memang ada di ruang lobi.

Aqeela termenung. Terasa kepalanya sedikit berat. Kenapa perkara ini harus terjadi sekarang? Kenapa mesti dua orang yang telah mengkhianati dia datang mengganggu? Kenapa mesti merosakkan hari-hari cerianya? Serabut.

“Hei,” tegur seseorang yang melabuhkan punggung betul-betul di sebelah Aqeela.

Aqeela menoleh ke sisi. Oh! Si dia. Pandangannya dikalihkan ke hadapan semula. Tidak membalas langsung sapaan yang diberi.

“Kenapa ni? Risau pasal esok ke?” Hisyam memandang wajah Aqeela yang tidak beriak.

Aqeela hanya menggeleng.

Then? Talk to me. I’m a good listener.” Hisyam cuba memujuk.

Aqeela masih mengunci mulutnya.

“Dah breakfast? Teman I. Tak sempat nak makan dekat rumah tadi. Bising mommy.” Hisyam mencuba lagi.

“Eh! Encik Hisyam.” Abby menegur.

Hisyam tersenyum dan mengangguk.

“Qeela, jom. Kita makan sekali.” Shahnaz menunjukkan bungkusan plastik di tangan.

Aqeela masih mendiamkan diri.

Hisyam tidak senang duduk. Dia memandang kedua-dua teman rapat Aqeela. Pandangannya menuntut penjelasan daripada mereka berdua.

“Farid datang tadi.” Abby buka cerita.

Damn.” Hisyam mengeluh. Apa lagi si jantan tu nak. Dah jadi tunangan orang pun masih mahu mengacau perempuan lain.

“Kami naik dululah, Encik Hisyam.” Abby dan Shahnaz meminta diri bila dilihat Aqeela masih seperti tadi.

Hisyam angguk. Wajah yang sekian lama mencuri hatinya dipandang semula. Nafas dihela dalam-dalam. Apa yang bakal dia luahkan bukan bermaksud dia tidak ikhlas. Dia sebenarnya sudah tidak sanggup melihat gadisnya menanggung semuanya seorang diri. Badan ditegakkan. Wajah di sebelah direnung dalam-dalam.

“Kita pendekkan tempoh pertunangan. Itu saja yang I mampu tolong.” Hisyam terus bangkit dan keluar dari bangunan.

Aqeela hanya memandang. Kata-kata yang baru didengarnya tadi dibiarkan berlalu sepi.



TERDENGAR suara orang berbalah di dalam bilik. Bukan apa pun. Gaduh-gaduh manja anak beranak. Hanya pasal baju.

"Eee...tak payahlah nak pakai semua ni, mak." Aqeela dah buat muncung itik.

"Kamu jangan nak mengada-ngada. Kamu nak mak mentua kamu tengok kamu selekeh." Mak Cik Hendon bentangkan baju kurung moden lace kuning air di atas katil Aqeela.

"Ini macam nak menikah aje." Aqeela suarakan ketidakpuasan hatinya.

"Cadangnya memang nak buat macam tu." Mak Cik Hendon ketawa.

"Emak!!!" Aqeela hentak kaki.

"Haishhh...merisik dan tunang. Dua minggu aje. Dato' dengan Datin cakap anak bujang dia tak nak ikat lama-lama. Risau sebab ada yang mengacau," Mak Cik Hendon duduk di birai katil.

"Dua minggu?! Mana sempat nak sediakan semuanya. Mak ni kenapa tak bincang dengan orang dulu." Aqeela dah mencebik.

"Semuanya dah siaplah, nak oiii. Tinggal kamu pergi kursus kahwin dengan uruskan borang-borang segala."

“Cepatnya." Aqeela mengeluh.

"Farid datang jumpa kamu lagi ya?" Mak Cik Hendon merenung wajah Aqeela. Tajam.

“Siapa cakap?” Aqeela memandang emaknya. Bibir diketap. Dia dah boleh agak siapa yang menyampaikan berita yang kurang enak itu kepada emaknya.

“Betullah tu?” tebak Mak Cik Hendon.

“Orang tak layan. Tak tahulah kenapa dengan dia tu. Meroyan macam orang gila talak.” Aqeela menekur lantai.

“Baguslah. Ingat sikit dia tu tunang orang. Qeela pun bakal jadi tunangan orang. Masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Jangan nak menyusahkan diri. Ingat tu.” Mak Cik Hendon cuba memeberi nasihat. Dia tahu Aqeela tidak akan memalukan dia dan suami.

“Orang tahulah. Orang belum gila nak melayan dia.” Aqeela merendahkan suaranya.

“Dah. Pergi pakai baju tu. Tak payah nak sentap-sentap. Orang nak bertunang kena tunjuk muka happy. Mak keluar dulu.” Mak Cik Hendon menepuk perlahan paha Aqeela sebelum bangkit dan keluar dari bilik anaknya.

“Kena pakai juga ke mak?” Muncung Aqeela muncul balik.

“Ya!” Mak Cik Hendon menjerit kuar dari luar bilik.



SEMUANYA berjalan lancar. Keluarga Hisyam datang dengan dua buah kereta tidak termasuk Hisyam yang memandu sendiri. Pak Cik Arip menjemput semua tetamu untuk menikmati sedikit hidangan yang disediakan. Majlis merisik dan pertunangan hanya diadakan secara kecil-kecilan. Itu adalah permintaan keluarga Hisyam yang tidak mahu menyusahkan keluarga Aqeela.

"Dua minggu? You faham tak? Dua minggu." Aqeela tengok Hisyam besar kecik besar kecik aje. Tersengih macam kerang busuk pula tu.

"Tak apalah. Habis tu si Farid samdol tu asyik kacau you aje. Benganglah I." Wajah Hisyam bertukar serius.

"Tak boleh ke bincang dengan I dulu?" Tangan Aqeela sudah bersilang di dada.

"Kenapa? You nak cepatkan lagi, eh?" Hisyam tersengih. Tak lama sebelum dia mencicit masuk ke dalam rumah.

Aqeela ketap bibir. Ditangannya tergenggam safety boot yang digunakan ayahnya untuk ke kebun.

"Arghhh!!!" Aqeela menjerit melepaskan geram.

"Kenapa ni?" Mak cik Hendon menerpa ke luar rumah. Dibelakangnya Datin Hanum yang turut serta keluar.

Yang Aqeela geram orang yang berdiri di belakang Datin Hanum. Tersengih gatal. Siap kenyit mata lagi. Selamba betul. Buat darah dia mendidih aje. Nasib aje dah rasmi menjadi tunangan dia.

“Hisyam?” Datin Hanum memandang anak bujangnya.

“Tak tahu.” Hisyam menggeleng.

“Tu nak buat apa kasut ayah tu? Pergi makan sana. Ajak Hisyam sekali. Jomlah Hanum.” Mak Cik Hendon masuk ke dalam rumah semula.

Datin Hanum menuruti langkah bakal besannya. Sempat dia mencubit lengan Hisyam. Bukan dia tak nampak Hisyam dengan Aqeela tadi berbual berdua. Ini mesti ada yang diusiknya.

Hisyam hanya menyeringai. Wajah tunang tersayang dipandang.

“Apa tengok-tengok?” Aqeela menjeling. Kaki di atur menuju ke halaman rumah. Bagi sejuk sikit hati yang sedang mendidih.

“Tak nak makan ke?” Hisyam mengejar.

“Tak lapar.” Aqeela menjawab malas.

“I lapar.” Hisyam buat muka monyok.

“Pergilah makan sana. Buat apa ikut I?” Aqeela dah cekak pinggang.

“Tak ada kawan.”

“Punyalah ramai manusia dekat dalam rumah tu. You boleh cakap you tak ada kawan?”

“Makan dengan dia orang tak best. Makan dengan you seronok sikit.”

“Mengadalah you ni.”

“Mengada dengan tunang sendiri tak apa. Esok dekat pejabat I nak beritahu semua orang yang kita dah bertunang. Senang sikit. Tak payah nak pergi mana-mana kena sorok-sorok.” Wajah bangga jelas terbayang pada wajah Hisyam.

"You jangan nak mengada-ngada beritahu semua orang." Aqeela jegilkan mata.

"Tell me, why can't I?" Hisyam tenung wajah ayu tunangannya.

"Nanti I tak datang kerja dua minggu. Errr...hah yalah. Dua minggu." Aqeela ketap bibir. Dalam kepala berlegar macam-macam. Apa aku merepek ni? Nampak macam aku beria-ia nak buat persediaan kahwin. Arghhh...mulut tak ada insuran betullah.

"Baguslah. Memang banyak benda you kena selesaikan sebelum tarikh kita nikah tu." Hisyam tersenyum senget.

"Eee...bukan macam tulah." Aqeela menggeleng laju.

"Then?" Hisyam angkat kening.

"You pernah dengar tak hadis pasal bertunang ni. I ada terbaca satu hadis ni yang menyatakan pertunangan perlu dirahsiakan dan perkahwinan perlu dihebahkan. I tak nak tanggung risiko. Manalah tahu tak jadi kahwin." Aqeela menunduk.

"Jangan cakap macam tu boleh tak?" Hisyam tak senang duduk. Gerun pula bila mendengar kata-kata Aqeela.

"Sebab tu I cakap jangan beritahu kepada sesiapa pun. Takut ada orang dengki dan iri hati. Cukuplah kita-kita saja yang tahu." Aqeela mengangkat wajahnya. Renungan penuh kelembutan dilemparkan kepada Hisyam.

"Make sense. Habis tu macam mana kita nak uruskan semuanya tanpa orang lain tahu?" Hisyam kembali tenang. Wajah Aqeela turut dipandang.

"Kita jumpa dekat luar ajelah. You pandu kereta you sendiri. I pandu kereta I sendiri." Aqeela mengangguk. Cuba memberi cadangan yang difikirkannya bernas.

"Naaa..." Hisyam menggeleng. Jari telunjuk turut dilayangkan ke kiri dan ke kanan di depan wajah Aqeela.

Aqeela buka pintu kereta Hisyam. Dia duduk dengan ke dua-dua belah kaki tergantung ke luar. Penat berdiri. Banyak betul bantahan si tunang. Memang sampai ke malamlah tiada kata putus.

"Apa-apa pun kita guna satu kereta aje. I bukan apa. I takut si Farid tu datang kacau you lagi. Yalah, dia kan tak tahu you tu dah bertunang." Hisyam yang sudah bertinggung di hadapan Aqeela merenung wajah Aqeela.

"Susahlah macam ni." Aqeela mengeluh.

"Susah apanya? In case kalau ada orang nampak dan tanya macam-macam. Kita berterus-terang. Habis cerita." Hisyam cuba meyakinkan Aqeela.

"I takut orang mengata." Akhirnya Aqeela beritahu juga apa yang terbuku dihatinya.

"Qeela...mulut orang kita tak boleh nak tutup, sayang. Biarlah apa orang nak kata. Kita yang nak kahwin. Bukan dia orang. Jangan fikir yang bukan-bukan, please," rayu Hisyam.

Pandangan redup mata Hisyam bertaut dengan Aqeela. Masing-masing cuba menyelami dasar hati sendiri. Cuba mencari ketenangan. Cuba meredakan getaran.

"Dekat sini lovebirds ni bercengkerama rupanya." Dato' Azman menegur.

Hisyam terus berdiri. Belakang tengkuk diurut perlahan. Malu bila Dato’ Azman berkata begitu.

Aqeela turut sama berdiri. Terpandang wajah emaknya dan Datin Hanum yang sedang tersenyum. Sengihan lebar ayah dia lagilah. Tak menahan betul.

“Dah makan ke belum?” soal Mak Cik Hendon. Sedari tadi dia memang tak nampak langsung kelibat Aqeela di dalam rumah selepas dia menyuruh Aqeela menemani Hisyam makan.

Aqeela menggeleng.

“Hisyam pun belum makanlah ni?” Mak Cik Hendon memandang ke arah bakal menantunya.

“Belum.” Hisyam tersengih.

“Laaa…semua dah nak balik ni.” Pak Cik Arip memandang bakal besannya dan yang lain.

“Hisyam bawa kereta dia sendiri, bang. Tahulah dia nak balik macam mana. Kami gerak dululah.” Dato’ Azman menepuk bahu Pak Cik Arip.

Mereka semua bersalam-salaman. Kereta yang bergerak keluar dari halaman rumah diperhatikan sehingga hilang dari pandangan. Pak Cik Arip terus masuk ke dalam rumah selepas berbual sekejap dengan Hisyam.

“Pergi makan sana. Mak dah sediakan dekat meja makan tu. Ajak Hisyam sekali,” arah Mak Cik Hendon.

“Tapaukan aje tak boleh ke mak?” Aqeela terkelip-kelip memandang emaknya.

“Ouchhh…” Aqeela menyeringai bila Mak Cik Hendon mengetip pinggangnya.

“Masuk, Hisyam. Pergi makan sana. Perut tu masuk angin nanti kalau lambat makan.” Mak Cik Hendon menggamit Hisyam. Dia terus masuk ke dalam rumah.

Hisyam angguk. Satu kenyitan dihadiahkan kepada Aqeela. Sengaja mahu mengusik.

“Berlagak eh. Mak ni belum apa-apa dah lebihkan orang luar.” Aqeela membentak. Dia masuk ke dalam rumah sambil menghentak-hentakkan kaki.

Hisyam hanya tersenyum dengan tingkah Aqeela. Anak manja. Macam itulah.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.