Saturday, January 10, 2015

CINTAKU SETINGGI CITA-CITAMU - PROLOG


AZIM meraup kasar wajahnya. Tidak tahu bagaimana lagi harus diperkatakan. Desakan demi desakan membuat nafas dia sesak. Tidak bolehkah kalau perkara ini didiamkan sahaja? Perlukah semuanya dirungkaikan?

“Berapa lama lagi Syima kena tunggu?” Syima merenung sayu Azim yang berwajah seperti tiada perasaan.

Azim mengeluh. Bukan dia bermaksud untuk menyeksa tetapi dia memang tidak boleh.

“Tak apa. Syima faham tapi sekurang-kurangnya berterus-teranglah, abang. Jangan seksa hati Syima lagi.” Nada suara Syima sudah berubah. Tiada daya lagi dia mahu merayu. Cukuplah selama ini dia berusaha. Rasa-rasanya usaha dia tidak akan pernah berbaloi.

“Biarlah masa yang menentukan.” Azim terus bangkit. Tidak sanggup lagi untuk berlama-lama di situ. Takut mulutnya ini akan mengeluarkan patah-patah kata yang menyakitkan hati Syima. Cukuplah dia mendera hati gadis itu. Semua yang terjadi bukan kemahuan dia. Dia tersepit. Itu yang pasti.

“Abanggg…” Air mata Syima gugur.

Maafkan aku, Syima. Azim tidak menoleh. Kakinya dibuka besar-besar. Melangkah pantas meninggalkan restoran. Matanya kekal menekur lantai saat kaki dihayunkan sehingga tidak sedar dia hampir sahaja melanggar orang yang sedang berjalan masuk ke dalam restoran.

“A… “ Bibir Amili kelu. Memandang tubuh yang hampir sahaja dilanggarnya.

“Maaf.” Azim mendongak. Terkejut melihat susuk tubuh yang nyaris dilanggarnya. Patutlah deria baunya seperti sudah biasa dengan bauan wangi yang menerpa rongga hidung. Dia tersenyum.

“Apa khabar?” Itu sahaja yang Amili mampu luahkan. Sudah lama tidak bersua, dia tidak tahu mahu berbual apa. Kekok. Canggung. Ini yang dia rasakan kini.

“Alhamdulillah. Bila balik?” Azim meneroka setiap sudut wajah di depannya. Wajah yang sentiasa dia rindui walau empunya badan tidak mengetahui. Hilang terus rasa serabut dalam kepalanya tadi.

“Baru. Baru sangat.” Amili melorek senyuman manis.

Azim mengangguk. Ahhh… Kenapa bila sudah berdepan dia tiada kekuatan untuk meluahkan? Akan terlepas lagikah peluang keemasan ini? Peluang yang pernah dia pandang sepi suatu ketika dahulu.

“Mili pergi dulu.” Amili berpamitan setelah tiada kata yang keluar dari mulut Azim. Dia melangkah.

“Amili!” Suara Azim bergetar memanggil.

Langkah Amili mati. Hati berdebar-debar. Mahu berpaling atau tidak?

Azim menunggu. Dadanya beritma aneh. Ritma yang sama suatu ketika dahulu. 

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

8 comments:

  1. Syima ni dh kawin ke ngn azim or mmg pilihan mak azim...

    ReplyDelete
  2. Misteri.... siapa Syima pada Azim..
    Kenapalah Azim x luahkan cintanya pada Amili....

    ReplyDelete
    Replies
    1. jangan biarkan hidup dipenuhi misteri....insya-Allah semuanya akan terjawab juga nnt... ;)

      Delete