MATAHARI sudah
mula berlabuh. Remang senja sudah kelihatan. Hari semakin lama semakin gelap. Suasana
di kedai Pak Long Aziz juga sudah semakin sunyi. Tiada lagi pengunjung. Seorang
demi seorang pekerja pula mula pulang ke rumah masing-masing.
Peluh
yang merecik di dahi dilap Azza dengan belakang tangan. Jemarinya turut menyentuh
kesan luka di situ. Masih terasa pedihnya. Pergelangan tangan yang masih
membiru turut direnung. Segaris senyuman dipamerkan.
Teringat
seketika insan penyebab semua ini. Luaran nampak sinis dan berlagak tetapi
tidak sangka punya hati yang baik. Berani mempertahankan dirinya walau dia
bukan siapa-siapa pada insan itu.
Ahhh…jangan
terlalu leka, Azza. Itu hanya satu kebetulan. Tidak akan ada sesiapa pun yang mahu
mempertahankan kau.
Menggeleng
dia menghapuskan lamunan itu. Bingkas dia berdiri sebaik bilasan pinggan yang terakhir
dihabiskan. Badan yang sedikit lenguh diregangkan. Terlalu lama bertinggung baru
terasa kesannya kini.
Rasa
pilu mula bertandang saat mata memerhati keliling. Kenapa pengakhiran hidupnya
menjadi begini? Bukan dia mahu menyalahkan takdir. Dia reda dengan susunan
jalan cerita yang direncanakan Tuhan. Cuma dia kesal dengan sikap manusia yang
mudah terhasut bisikan syaitan. Layanan yang dia terima umpama seorang cinderella.
Cinderella moden. Menjadi hamba walau bukan dalam erti kata sebenar. Hanya
beberapa orang sahaja di dalam kampung ini yang melayan dia dengan baik.
“Azza!”
panggil seseorang.
Lamunannya
terbang. Dia menoleh. Membalas senyuman seorang lelaki dalam lingkungan 40-an
yang berdiri di depan dapur. Lelaki yang sedang menanggalkan apron lusuh yang
setia melekap pada badannya. Lelaki ini juga antara insan yang rapat dengan
dirinya.
“Kau
dah habis ke belum? Abang nak balik dah ni. Dekat nak maghrib. Takut bising
pula Kak Mah kau kat rumah nun.”
“Tinggal
nak susun aje. Tak apalah kalau Abang Daud nak balik dulu. Nanti Azza tutup
kedai.”
Mana
mungkin Azza mahu memaksa Abang Daud untuk menantinya menyiapkan kerja-kerja.
Acapkali juga lelaki itu dengan rela hati menemani dia sehingga tugasannya
selesai walau dia menolak beribu kali.
Ada
hantu, ada orang jahat, tak semua orang berhati baik dan macam-macam lagi.
Pelbagai omokan disua kepadanya. Abang Daud menjaga dia umpama adik sendiri. Isteri
lelaki itu juga memahami. Ya, dia turut menganggap Abang Daud sekeluarga
seperti keluarganya. Sementelah darah daging sendiri tidak mengiktiraf dia
sebagai saudara mereka.
“Lepas
siap tu, terus balik. Jangan tunggu-tunggu lagi. Maaflah, abang tak dapat nak
temankan kau hari ni. Abang balik dulu. Assalammualaikum.” Daud berpesan bersama
riak risau yang jelas terpamer pada wajahnya sebelum pergi dari situ.
“Waalaikumussalam.”
Azza membalas perlahan. Susuk Abang Daud dipandang hingga lenyap dari
pandangan.
Dia
mula bergerak merapati tingkap dapur bila deruan enijn motorsikal Abang Daud
sayup-sayup hilang. Satu persatu tingkap
ditutupnya. Tiba pada tingkap terakhir, matanya menangkap bayang-bayang seperti
orang melintasi belakang kedai.
Serta-merta
dadanya berderau. Daun tingkap dibuka kembali. Diperhati sekeliling. Tiada yang
mencurigakan. Hanya warna senja menyinari bumi. Mungkin apa yang dilihat tadi hanya
mainan perasaan. Lantas daun tingkap dirapatkan semula.
Kakinya
melangkah melintasi cahaya merah yang menembusi ruang-ruang sempit di
sekeliling tingkap yang bertutup. Petanda maghrib hampir menjelma. Dia tahu dia
perlu segera pulang ke rumah. Lagi pula teringat janjinya dengan Kak Sarimah
tadi. Mahu ke masjid bersama-sama. Ada kuliah agama. Rutin acara setiap malam
Jumaat di masjid kampung ini.
Gugusan
kunci yang tergantung di dinding diambil. Sekali lagi Azza memerhati sekeliling
ruang dapur. Takut ada tingkap yang dia terlupa kunci. Takut ada suis yang
terlupa dimatikan. Takut api dapur masih menyala. Setelah berpuashati dia
bergerak ke pintu hadapan.
Daun
pintu ditarik rapat. Anak kunci diloloskan ke dalam lubang. Baru sahaja
jemarinya mahu memutar anak kunci, terasa badannya ditolak kasar. Hinggakan
pintu yang bertutup rapat terbuka kembali. Menyebabkan tubuh kurusnya terdorong
masuk ke dalam kedai. Malah tersembam ke atas lantai.
Segera
Azza berpaling. Terperanjat dia melihat gerangan yang berkasar dengannya.
Terdetik dalam hati. Dia tidak berilusi. Bayang-bayang yang dia nampak tadi
adalah orang.
“Manaf!
Kau nak buat apa hah?” Dia bertempik kuat sambil sedaya upaya cuba untuk bangkit.
Namun akibat terjahan kasar tadi, ada rasa sakit pada punggungnya. Kudratnya menjadi
lemah. Pergelangan tangan yang masih sakit juga menjadi penghalang.
Gerangan
yang diherdik hanya ketawa. Seronok melihat Azza hilang daya. Umpama bulan
jatuh ke riba. Tidak sia-sia dengan apa yang dia lakukan tadi. Sedikit sebanyak
membantu menjayakan niat jahat yang tertanam dalam hatinya.
“Aku
nak buat apa? Kau rasa aku nak buat apa?” Kening Manaf menari-nari diiringi
tawa jahat di bibirnya. Setapak demi setapak langkahnya merapati Azza.
Azza
mengengsot ke belakang. Punggungnya yang sakit sudah tidak dihiraukan. Dalam
kepala hanya terfikir untuk menyelamatkan diri. Seperti dejavu. Detik cemas
yang pernah dia alami di London seperti dilakonkan semula.
Manaf
semakin mendekat. Bertinggung di hadapan Azza bila pergerakan Azza terhenti dek
tiada lagi ruang di belakang gadis itu. Matanya tidak lepas dari memerhati
setiap inci tubuh Azza. Makan besar dia hari ini. Sudahlah malam ini malam
Jumaat.
“Kalau
kita bermesra-mesraan, boleh tak? Atau kau nak…”
Kaki
Azza yang masih berselipar dicapai. Dicampak selipar itu satu persatu ke tepi.
Dilurut ke atas seluar panjang Azza. Membelai betis Azza yang putih mulus itu.
Azza
melawan. Ditarik keras kakinya yang digenggam Manaf. Tidak suka dengan sentuhan
lelaki itu. Tidak suka diperlakukan begitu. Namun semua itu tidak terlawan
olehnya dengan kudrat Manaf yang semakin kejap menggenggam.
“Kau
jangan nak macam-macam, Manaf! Aku jerit nanti! Biar satu kampung dengar!” Azza
mengugut. Walau sangat pasti yang dia tidak mungkin mampu melawan kekuatan
tenaga Manaf. Tengok sahajalah fizikal Manaf. Besar dan tinggi. Sudah pasti dia
akan kecundang.
“Baguslah
kalau satu kampung dengar. Senang sikit kerja aku.” Manaf ketawa. Tidak hairan
dengan ugutan Azza. Malah semakin galak dia membelai betis Azza. Ditarik kaki
Azza agar tubuh gadis itu dekat dengan tubuhnya.
“Arghhh!!!” Terjerit Azza. Tidak bersedia
dengan hentakan kasar itu.
Sekelip
mata tubuhnya sudah berada di dalam dakapan Manaf. Ditolak-tolak badan Manaf
agar menjauhinya. Namun semua itu hanya sia-sia. Terasa tubuhnya semakin didakap
kemas lelaki durjana ini.
“To…to…tolonglah,
Manaf. Ja…jangan ap…apa-apakan aku. K…kau nak duit, kan? A…a…aku boleh bagi ta…tapi
to…tolong lepaskan aku, Manaf?” Azza merayu. Memandang wajah Manaf bersama
linangan air mata. Berharap sangat kata-katanya itu mampu mengubah niat jahat Manaf.
Ya
Allah, ya Tuhanku. Tolonglah hambamu ini. Maafkan aku jika aku pernah
menyalahkan takdir Kau untukku. Untuk kali ini, selamatkanlah aku dari manusia
bertopengkan syaitan ini. Aku merayu kepadamu, ya Allah. Bait-bait doa
dibisikkan Azza dalam hati.
Rayuan
Azza langsung Manaf tidak endahkan. Nafsu sudah menguasai dirinya. Syaitan
sudah beraja dalam hati. Bersorak riang dengan tindakan anak Adam ini. Semakin
galak tangannya menjalar. Lengan baju Azza direntap hingga terkoyak dan
menampakkan bahu yang putih gebu itu. Hampir juga mendedahkan sebahagian dada
Azza.
Azza
menjerit lagi. Dia menggeleng laju. Mengharapkan simpati dari Manaf.
Jeritan
Azza membuatkan Manaf semakin ganas. Semakin dia tidak sabar untuk menikmati
tubuh mulus gadis itu. Tawanya turut semakin kuat mengiringi perlakuan
durjananya.
“Hoi!”
Azza
dan Manaf menoleh ke pintu. Kelihatan seorang lelaki berbaju melayu dan berkain
pelekat sedang berdiri di situ. Berwajah serius memandang kepada mereka berdua.
Ariq?
Berkerut dahi Azza. Namun helaan nafas lega dihamburkan. Terima kasih, ya
Allah.
“Sial!”
Sergahan kasar itu nyata merentap kegembiraan Manaf. Dia yang terperanjat dan
panik terus menerpa ke pintu. Ditolak tubuh sasa yang cuba menghalang
perjalanannya. Tanpa menoleh, kakinya dipacu. Berlari selaju yang boleh ke arah
jalan raya.
“Haidar,
tangkap budak tu!” Ariq yang turut sama berlari keluar melaung.
Haidar
yang baru keluar dari kereta terus mengejar seperti yang disuruh. Kebetulan orang
yang Ariq suruh kejar itu baru sahaja melepasi dia.
Ariq
tidak menurut jejak Haidar sebaliknya dia meluru ke kereta. Diambil jaketnya di
dalam kereta sebelum kembali mendapatkan Azza. Terpempan dia seketika. Tersayat
hatinya melihat pemandangan yang menyakitkan mata. Sungguh, walau dia baru
sahaja mengenali Azza, terasa seperti malang sentiasa merundung gadis ini.
Azza
memeluk erat lututnya. Air mata dihambur semahu-mahunya. Tubuhnya menggigil
kuat. Bibir yang terketar-ketar diketap kejap. Kepala menggeleng laju. Tidak
dihiraukan siapa dan apa yang ada di sekeliling.
Pantas
Ariq meletakkan jaketnya menutupi badan Azza yang terdedah. Tubuh Azza dipeluk
erat. Bukan dia berniat pesong. Bukan juga dia tidak tahu hukum. Semua yang
dilakukan atas tiket kecemasan. Sekadar mahu meredakan trauma Azza. Cuba untuk menenangkan
si gadis.
“Ssshhh…istighfar,
Azza. Ingat Allah. Kau dah selamat. Jangan risau. Kau ada aku. Kau ada Haidar.
Dia tak akan datang ganggu kau lagi.” Lembut lontaran suara Ariq. Berharap agar
Azza mampu bertenang. Berharap gadis itu berupaya membuang jauh peristiwa hitam
yang baru sahaja menyapa.
Alhamdulillah,
Tuhan telah gerakkan hati dia untuk singgah di kedai ini sebelum ke masjid
untuk menunaikan solat maghrib. Kalau tidak entah apalah nasib Azza. Mungkin
sahaja akan menjadi mangsa kerakusan manusia berhati syaitan. Manusia yang tak
beriman. Manusia yang berajakan nafsu. Sungguh, manusia zaman sekarang sudah
lupa pada pencipta-Nya. Ariq menggeleng sendiri.
Dia
memandang Azza yang masih menunduk. Lega hatinya bila tangisan gadis ini sudah
mula reda. Hanya tubuh si gadis yang masih lagi menggigil. Mungkin juga gadis
ini masih sukar menerima nasib diri yang terjadi, fikirnya.
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Ariq menyahut lantas wajah dipanggung.
Serta-merta
pelukannya pada tubuh Azza terlerai. Dia bingkas berdiri. Memerhati seorang demi
seorang kumpulan orang kampung yang mula memenuhi ruang kedai.
Azza
mendongak bila telinganya menangkap derapan kasut yang memenuhi ruang kedai. Bagai
hendak pitam dia melihat pabila melihat beberapa orang lelaki bersongkok berdiri
menghadap dia dan Ariq.
Ya
Allah, bala apakah pula ini? Matanya turut menangkap kelibat pak longnya yang
menyorot tajam kepada dia. Munira juga turut berada dalam kelompok lelaki-lelaki
bersongkok itu.
“Buat
apa berdua-duaan dekat sini?” tanya salah seorang lelaki berkopiah.
Azza
kenal orang yang bertanya itu. Imam kampung ini. Namun akibat masih terkejut
dengan kejadian tadi, dia tidak berupaya hendak menjawab. Dia berharap Ariq
menjawab bagi pihaknya. Berkata benar akan apa yang sebenarnya terjadi tadi.
“Kami
tak buat apa-apa.” Tenang sahaja Ariq menjawab sambil matanya melirik Azza yang
turut memandang dia. Tiada langsung riak takut. Sementelah dia tahu dia tak
berbuat salah. Ya, dia dan Azza tidak melakukan apa-apa di luar batasan.
“Mustahil
tak buat apa-apa?” Lelaki berkopiah itu memandang Ariq dan Azza bersilih ganti.
Pandangan penuh curiga.
Azza
menggeleng sambil mengelap sisa air mata yang hampir kering bila lelaki
berkopiah itu memandangnya. Bersetuju dengan kata-kata Ariq
“Kalau
tak buat apa-apa, kenapa Azza menangis?” soal lelaki berkopiah itu lagi tidak
berpuashati.
Ariq
mengeluh. Baru sahaja mahu membalas kata, tiba-tiba leher baju melayunya
dicekak.
“Kau
dah buat apa dengan anak saudara aku, hah?” sergah Pak Long Aziz. Tajam matanya
menikam mata Ariq. Terasa seperti hendak dibunuh sahaja anak muda di depan dia
ini. Lepas satu, satu lagi onar dibuatnya.
“P…”
Kelu lidah Azza mahu membela diri. Hanya gelengan sahaja jawapan yang mampu
diberi. Sungguh, dia masih terperanjat dengan kejadian tadi dan sekarang ini
situasi lain pula yang terpaksa dia hadapi.
“Sabar,
Aziz. Sabar.” Lelaki berkopiah itu cuba menenangkan Pak Long Aziz.
Beberapa
orang kampung turut menarik Pak Long Aziz dari terus menyerang Ariq.
Ariq
hanya berdiam diri. Dia tahu sekiranya dia menjawab, kata-katanya itu tidak
mungkin akan dipercayai. Biar pun bergelen air liur habis, orang-orang kampung
ini tidak akan menerima bulat-bulat ceritanya. Apa yang mampu dia lakukan
hanyalah berdoa. Mengharapkan Tuhan menganugerahkan satu keajaiban kepada dia.
“Macam
inilah. Kita bawa mereka ke masjid. Lepas solat maghrib nanti kita sambung berbincang.”
Lelaki berkopiah itu cuba memberikan cadangan. Cuba untuk tidak mengeruhkan
lagi keadaan. Jika tidak ditegah, pastinya bakal terletus perkara yang tidak
diingini.
Haidar
yang kembali semula ke kedai itu dengan nafas tercungap-cungap terpinga-pinga
melihat ruang kedai yang dipenuhi dengan beberapa orang kampung. Wajah Ariq
dipandang dengan tanda tanya.
Ariq
hanya menjongketkan bahu.
“Ira, bawak Azza naik kereta,” arah Pak
Long Aziz kepada Munira.
Cekak pada leher baju melayu Ariq
dilonggarkan. Perlahan-lahan tangan tua itu jatuh ke sisi. Memandang seketika
wajah Azza sebelum berlalu dari situ.
Air mata Azza kembali berlinangan. Dia
tak bersalah. Ariq juga tak bersalah. Namun pandangan pak longnya tadi
seolah-olah sudah menjatuhkan hukuman kepada dia. Allah, kuatkan hati dia.
Kentalkan lagi sebagaimana dia boleh menerima kematian kedua orang tuanya.
Munira
yang disuruh sudah menghentak-hentakkan kakinya. Bengang. Geram. Semuanya
bercampur-baur. Lain yang dia harapkan lain pula yang terjadi. Dia mendekati
Azza. Ditarik kasar tubuh Azza agar berdiri.
“Macam
mana mamat ni boleh ada dekat sini?” bisik Munira bersama cengkaman kuat pada
lengan Azza.
Azza
pandang Munira. Mata mereka berlaga pandang. Apa maksud Munira? Adakah…terdetak
sesuatu dalam hatinya. Nalurinya mengatakan apa yang terjadi tadi ada kaitan
dengan si sepupu.
“Mana
maruah keluarga aku yang kau jaga sangat tu?” perli Munira lagi bila soalannya
tidak bersahut.
Azza kekal bungkam. Saat
ini, memang dia tidak larat hendak melayan kerenah Munira. Biarlah Munira mahu
kata apa sahaja. Nasib diri dia sendiri pun masih berbalam-balam. Entah apa
agaknya kesudahan perbincangan ini di masjid nanti.
hehehe..hailah ariq dah tergoda ke??bukan main nakal mu yew..btw nak lagi..hihihi
ReplyDeleteKepala angin tp nakal
DeleteHihi suka ye ariq menyakat azza tu.... hope apa sj rintangan pasni dorang blh adapt. Ariq blh bahagiakn azza...
ReplyDeleteHopefully mcm tu lah....
Deletebest..nakal Ariq..
ReplyDeleteTq.....
DeleteTq
ReplyDeletebila nak sambung lagi.....
ReplyDeleteerrr...... klu sempat hari ni ada sambungannya yer yunkkk...
DeleteEhemmm... Ehemmm...... Azzaaaa...... Nyamuk.. la sangggattt...... Ariiiqqqq....... Nyamuk yg tak hisp darah eh?.... Kah kah kah (gelak jahat tak hengat). like 151juta x
ReplyDeletehahahahahaha.....ai nak gelak jahat gak 151 juta x.... tq..
DeleteHoyyeyhhh ..dh menikoh pun...minta2 lepas ni terungkailh segala persoalan tentang Azza terlerai sudah...^_^
ReplyDeletekikikiki....sabar kak bg d ols epi2 jap sblm terungkai semuanya....
Deletexsbar yer smbgn..
ReplyDeleteDah ada Part 9 hingga 12. Terima kasih sudi baca.
Deletedasyatnya kak....best la...x sabar nk tggu sambungan
ReplyDeleteBiasa2 je yunk. Jemput baca part 9 hingga 12 tu ya. Tq tau sudi baca.
Delete