Wednesday, March 22, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 6


AZZA menjeling jam papan pemuka. Terbuntang matanya. Sudah pukul 4:30. Sudah masuk waktu asar. Tak boleh berlengah. Kena solat segera. Zuhur pun dah terbang gara-gara dia pengsan. Lainlah orang sebelah ni. Sempat menunaikannya semasa di klinik tadi. Tak mengapa. Dia akan qadakkannya. Solat tiang agama. Peringatan yang tak pernah lepas dari bibir arwah daddy. Itu yang dia pegang hingga kini. Insya-Allah sehingga akhir hayatnya.
Sebelum membuka pintu, dia mengintai ke dalam kedai. Mencari kelibat pak longnya. Manalah tahu pak longnya menanti dia. Tapi dia berharap sangat pak longnya sudah ke masjid. Jadi tak perlulah dia bersoal-jawab. Masak benar dengan perangai polis pencen pak longnya.
Ariq yang memerhati gerak-geri Azza sudah merapatkan tubuhnya dekat dengan gadis itu. Matanya turut meliar ke arah kedai seperti mana yang dilakukan Azza. Keningnya bertaut. Apa yang dicari gadis ini? Gadis ini suka sangat buat perangai pelik-pelik. Terhendap-hendap lagak pencuri. Entah apa yang diintaikan agaknya.
“Kau intai siapa?” Dia berbisik.
“Mak!” Azza menjerit.
Dek terperanjat laju saja dia berpaling hingga kepalanya mengenai dagu Ariq. Laju jemarinya mengurut dada. Terkejut bila kepalanya terhantuk wajah Ariq. Ditambah dengan suara Ariq yang begitu dekat dengan telinganya.
“Ouchhh…!” Serentak itu, Ariq turut mengaduh sama. Sungguh, dia tidak menduga reaksi Azza sampai begitu sekali. Dagu yang terhantuk diurut laju. Sakit.
“Maaf.” Hanya itu sahaja perkataan yang mampu dituturkan Azza bila mata Ariq menjegil kepadanya.
Sengihan lebar menguntum apabila jantungnya kembali berdegup normal. Bukan salah dia dagu Ariq terhantuk. Tindakan refleks. Siapa suruh main bisik-bisik. Meremang kut bulu romanya dengan hembusan nafas Ariq tadi.
 “Dah, pergi turun sana! Tak payahlah kau nak takut sangat dengan orang tua tu.” Halau Ariq dalam nada geram. Nak marah lebih-lebih bukannya salah Azza. Dia yang menyibuk sangat tadi. Siapa suruh dia gatal dekat-dekatkan badan. Kan dah mendapat.
Terjongket kening Azza. Ingatkan adalah sikit rasa insaf tu bila dah terhantuk. Memang dasar budak bandar. Bahasa tu memang tak pernahnya sopan.
 “Hormatlah. Bukannya takut.” Dijeling Ariq sekilas lalu pembuka pintu dicapai. Plastik ubat dimasukkan ke dalam kocek seluar. Belum sempat kakinya mencecah tanah, suara Ariq sudah bergema kembali.
“Yalah tu. Ingat aku nak percaya. Tunggu. Aku teman kau.”
Ariq turut sama keluar dari keretanya. Laju dia berjalan mendekati Azza. Takut kalau-kalau gadis itu meluru masuk tanpa menunggu dia.
Namun apa yang terhidang di depan matanya membuat tawanya hampir terletus. Azza yang bersandar pada pintu kereta sambil menadah tangan diperhati dengan teliti. Dia lihat mulut gadis itu terkumat-kamit seperti membaca sesuatu sebelum meraup wajah.
“Apasal?” Azza memandang Ariq. Pelik melihat lelaki itu seperti menahan tawa.
“Kaulah.” Ariq menggeleng.
“Kenapa dengan aku?” polos Azza menyoal kembali.
Hampir setengah hari menghabiskan masa dengan lelaki ini, dia seperti sudah mengenali Ariq. Dia nampak sisi lain pada Ariq. Nampak lelaki ini tak adalah teruk sangat. Cuma kadang-kadang tu bila perangai berlagaknya datang, memang lelaki ini berubah menjadi sangat menjengkelkan dan meyakitkan hati.
“Kau ni kadang-kadang nampak pandai, kadang-kadang nampak kurang cerdik,” kutuk Ariq selamba. Terangkat-angkat kedua-dua belah keningnya. Malah pandangan sinis turut dilemparkan.
Sabar, Azza. Sabar. Jangan dilayan sangat kata-kata orang yang kurang matang seperti Ariq ni. Nafas dihela dalam-dalam.
“Biar nampak kurang cerdik. Biar nampak bodoh. Asalkan dapat mematahkan serangan musuh sebab tak dapat kesan kemampuan sebenar kita.” Bicara dimuntahkan sebelum dia berjalan masuk ke dalam kedai.
“Wow!” Terkedu Ariq jadinya. Kagum. Dia menggeleng. Misteri. Gadis ini memang misteri. Lalu langkah diatur mengekori Azza yang hampir hilang dari pandangannya.
“Dah pandai ikut jantan ke sana ke mari! Kau memang suka bagi aku malu, kan? Kau suka orang kampung mengata aku tak pandai jaga anak saudara, kan?”
Jerkahan kuat Pak Long Aziz mematikan langkah Ariq yang baru masuk ke dalam ruang kedai. Tajam dan sinis sindiran orang tua itu. Menyentak dadanya. Jantan yang orang tua itu maksudkan adalah dia. Sakit pula telinganya yang mendengar. Azza pula dilihatnya lebih senang menunduk menekur lantai.
Pantas dia mendekati Azza. Berdiri teguh di sisi gadis itu. Matanya berlaga pandang dengan Pak Long Aziz. Jari jemarinya sudah dikepal-kepal. Bersedia untuk bertindak. Namun gelengan Azza membantutkan niatnya. Kalau ikut panas hati mudanya, memang lebam muka orang tua itu terkena penumbuk sulungnya.
“Pak long, Azza minta maaf. Azza bukan berjalan-jalan. Azza pergi klinik tadi.” Azza menjawab takut-takut dengan wajahnya yang masih menunduk. Tidak berani menentang pandangan pak longnya.
“Kalau nak pergi klinik sekali pun, kau dah tak ada mulut nak bagitahu aku?” marah Pak Long Aziz lagi. Geram betul dia mendengar alasan Azza ini. Suka sangat buat dia naik darah. Tak pernah nak menyenangkan hati tuanya.
Ariq berdeham. Menarik perhatian Pak Long Aziz memandang dia.
 “Aku yang paksa dia. Lagi pun aku dah pesan pada abang aku untuk beritahu engkau.” Dia yang tidak betah mendengar bebelan pak cik Azza mencelah. Membela Azza.
“Kau siapa nak sibuk-sibuk? Aku tak suka orang luar masuk campur urusan keluarga aku,” tempelak Pak Long Aziz.
Berang bila ada orang yang tidak berkaitan mencampuri urusannya. Malah hatinya sakit bila ada orang yang berani-berani membela Azza kerana selama ini dia bebas untuk memperlakukan apa sahaja kepada Azza. Tiada siapa yang membangkang.
“Ya, aku orang luar. Aku tak ada hak nak masuk campur urusan kau. Tapi aku tak akan biarkan orang yang lemah kena tindas. Lagilah bila melibatkan perempuan. Mentang-mentang dia bukan darah daging kau. Suka hati kau nak marah-marah.” Ariq membalas tanpa adab. Darah mudanya membuak-buak. Marahnya sudah memuncak.
Azza menoleh pada Ariq. Memandang wajah Ariq yang sudah merah. Menahan marah barangkali. Dia tak boleh benarkan Ariq melampiaskan rasa marah itu walau hatinya gembira bila ada yang sudi membelanya.
“Ariq,” panggilnya.
Ariq memandang Azza.
“Aku rasa baik kau balik. Ini hal keluarga aku. Aku tahu macam mana nak selesaikannya.” Dia memujuk.
Dia nampak halkum Ariq bergerak-gerak. Menunjukkan amarah lelaki ini sedang memuncak. Dia tahu niat Ariq baik. Namun dia berharap sangat lelaki ini faham dengan situasi yang sedang dia hadapi kini.
Ariq merengus. Merenung Azza seketika. Cuba mencerna kata-kata Azza. Matanya kembali memaku pandang pada Pak Long Aziz.
“Kau bernasib baik orang tua.” Jari telunjuknya dituding pada muka Pak Long Aziz sebelum melangkah lemah keluar dari kedai itu dengan hati yang masih panas.
Sebenarnya berat hati dia hendak meninggalkan Azza berseorangan menghadap pak ciknya. Apa yang berlaku bukan salah Azza seorang. Dialah penyebab utamanya. Sungguh, dia kesal hingga Azza menjadi mangsa. Namun betul kata Azza dan orang tua itu. Dia langsung tiada kaitan dengan mereka. Jadi adalah lebih baik dia tidak mencampuri urusan keluarga ini.
Azza menghantar pemergian Ariq dengan pandangan sayu. Buat pertama kali dalam hidupnya sejak hadir dalam keluarga abang daddynya, ada seseorang yang sanggup membelanya. Tapi sayang orang itu bukan darah dagingnya.
“Tak payah kau nak tayang muka sedih. Pinggan mangkuk kat belakang yang menimbun tu dah menunggu. Dah tak reti nak tolong-tolong!” sergah Pak Long Aziz.
Terhinggut bahu Azza. Memandang pak longnya yang merenung dia.
“Ta…tapi Azza nak bersolat dulu.”
Makin tajam renungan Pak Long Aziz.
“Banyak betul alasan kau. Lepas solat jangan kau nak curi tulang pula!”
Tanpa jawapan dia menghayun kakinya menuju ke belakang kedai. Lemah sekali langkahnya mendekati bilik kecil yang dijadikan ruang solat. Hatinya menangis. Tidak tahu sampai bila dia perlu bertahan. Adakah hingga ke hujung nyawa nasibnya begini? Kenyataannya hanya dengan membuat satu panggilan dia boleh bebas dari cengkaman pak longnya. Namun dia belum bersedia untuk itu. Belum berani menghadapi dunia luar lagi.
Teringat akan sesuatu, kocek belakangnya diraba.
“Eh, mana pula handphone aku ni?”
Kocek depannya pula diraba. Tangan diseluk. Namun hampa bila benda yang dicari tiada. Matanya mengecil. Cuba mengingatkan kembali di mana kali terakhir dia letak telefon bimbitnya.
“Tercicir ke? Dalam kereta dia? Aduhhh…matilah aku. Harap-harap dia perasan dan pulangkan secepatnya.”
“Wah, senang hati kau ya!” sergah satu suara kasar.
Azza panggung wajah. Tersenyum nipis pada gerangan yang menyergahnya. Tanpa membalas kata dia membuka tudung lalu bertinggung. Mahu mengambil wuduk. Malas nak melayan. Pastinya orang yang menegurnya ini akan meroyan.
“Apasal diam? Siapa nama mamat tadi? Mamat tu bukan ke yang makan dekat sini tadi? Bukan main lagi kau, kan!” tempelak Munira kuat. Sakit hatinya bila pertanyaannya langsung tidak dilayan.
Azza meneruskan mengambil wuduk. Kalau dia berlengah, lagi lambat dia dapat mulakan kerja membasuh pinggan mangkuk yang berlonggok di luar sana. Maka lambat jugalah dia dapat berehat. Langau yang memetir dekat sebelahnya tidak dihiraukan langsung. Tak perlu dilayan pun kalau buat menyakitkan hati.
Akibat tidak tahan dengan kebisuan Azza, Munira berpaling ke belakang. Dia mencapai sebiji pinggan. Dicampakkannya ke atas lantai. Berderai pinggan itu. Kuat bunyinya. Yang pasti kedengaran hingga ke ruang depan kedai.
Azza yang bersedia untuk menyarung telekung menoleh. Pandangannya tertancap di atas lantai. Bibirnya diketap geram. Wajahnya didongakkan. Muka Munira direnung tajam.
“Azza! Kau nak menjahanamkan barang-barang aku ke?”
Azza menahan nafas mendengar jeritan Pak Long Aziz. Tindakan Munira seperti menggores mancis untuk menyalakan api. Namun pantas dia beristighfar. Cuba dikawal tahap kemarahan yang melanda walau dia tahu kesabaran dia ada batasnya.
“Tak, pak long! Ada kucing yang terlanggar ni!” jawabnya.
Munira tersenyum sinis. Mencebik mendengar jawapan Azza. Tangannya bersilang di dada. Kaki digoyang-goyangkan. Terasa puas hatinya bila Azza kena marah.
Tidak mahu memanjangkan cerita, Azza bingkas menanggalkan telekung. Penyapu dan penyodok sampah diambil. Dia mengutip serpihan pinggan yang sudah pecah itu. Baki serpihan-serpihan kecil disapu.
“Aku belum habis dengan kau lagi. Tak apa, kau tengoklah nanti apa yang aku mampu buat.” Munira berbisik di telinga Azza sebelum berlalu dari situ.
Azza mengeluh. Kenapalah Munira benci sangat pada dia. Umur sudah 28 tahun tetapi sepupunya itu masih tidak matang lagi. Dia di sini hanya mahu menumpang kasih. Tidak lebih dari itu. Kalau melibatkan harta, dia tidak akan berebut. Harta peninggalan kedua orang tuanya sendiri tidak akan habis hingga 7 keturunan.
Kata-kata Doktor Akmal dan Kak Sarimah tadi terngiang-ngiang di kepala. Harta? Satu keluhan berat dilepaskan. Seolah-olah beban yang sarat memenuhi dadanya dapat dibuang. Tanpa diundang rasa sebak menghurung dadanya. Dia cuba menahan air matanya dari menitik. Namun semakin ditahan semakin galak air mata itu berjuraian.
Niat menunaikan solat asar yang terbantut tadi, cepat sahaja dilaksanakannya bila terdengar derapan tapak kasut menuju ke situ.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

6 comments: