Sunday, April 3, 2016

DI SINI ADA DIA - BAB 4


ARIANI merenung kad nama yang dihulurkan uminya. Kejuruteraan Elektrik R & R Sdn. Bhd. Tengku Ahmad Radzi Bin Tengku Abdullah. Chairman. Uncle Radzi ni teman lama abah masa di universiti dulu. Entahlah dia tak ingat walau umi kata semasa dia masih di sekolah rendah rajin jugalah keluarga Uncle Radzi menziarahi kami.
Kebetulan semasa dia bercuti di Pulau Tioman bersama-sama teman-teman rapatnya, terjumpa Uncle Radzi di sana. Itu pun Uncle Radzi yang menegur dia dulu. Kalau tak silap syarikat Uncle Radzi buat hari keluarga di resort yang sama dia menginap.
Bila dia bertanya dengan umi dan abah macam mana Uncle Radzi boleh cam dia. Sedangkan hubungan kedua-dua keluarga terputus bila Uncle Radzi ambil keputusan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Jawapan abah mudah saja. Berhubung melalui emel. Maklum waktu itu media sosial seperti Facebook atau WhatsApp belum wujud.
“Jangan tak pergi tau, Ria.”
Puan Anisah yang sibuk membasuh pinggan mengingatkan Ariani. Tengok dari gaya Ariani merenung kad nama macam nak tembus tu macam si anak endah tak endah sahaja. Risau pula.
“Hari ini juga ke, umi?” Muncung Ariani dah panjang. Dia tayang muka monyok.
Sebenarnya dia tak faham kenapa umi dan abah beria-ia suruh dia berjumpa dengan Uncle Radzi. Takkanlah nak suruh dia bekerja dengan kawan abah tu? Tahulah dia ada ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik tapi dia memang tak berminat dalam bidang yang dia ambil tu. Lagi pun sekarang dia selesa dengan apa yang sedang dia usahakan. Biarlah butik kecantikannya kecil. Asalkan dia tak makan gaji.
“Wajib hari ini juga.”
“Dah jatuh hukum wajib pula? Ikut nas mana ni?”
Wajah uminya yang tersengih dipandang. Ariani ketap bibir. Macam ada sesuatu aje umi ni. Selama hayat tak pernah nak paksa-paksa dia.
“Pergi ajelah. Mana tahu ada rezeki dekat situ.”
Ariani terpempan. Bermakna selama ini uminya menyimpan rasa tidak senang melihat dia membuka perniagaan sendiri. Macam dia tidak tahu menghargai titik peluh umi dan abah yang gigih mencari rezeki membayar yuran pengajiannya.
“Umi tak suka ke Ria berniaga sendiri?”
“Ke situ pula dia. Rezeki ada dalam macam-macam bentuklah.” Terjegil mata Puan Anisah. Lengan Ariani dipukul.
“Ingat umi tak suka.” Ariani tersengih sambil menggosok lengannya. Hilang rasa gusar yang singgah di hatinya tadi.
Uncle Radzi yang suruh datang. Abah bukan tak menolak. Yalah segan dengan kawan dia tu. Kita ni biasa-biasa saja. Nanti orang ingat nak ambil kesempatan atas kesenangan orang lain.”
Panjang lebar Puan Anisah terangkan duduk perkara seperti yang diceritakan suaminya. Pagi tadi suaminya mengingatkannya lagi sebelum keluar ke stesen minyak yang diusahakan mereka sejak dua puluh tahun yang lepas.
Ariani terkebil-kebil. Cuba mencerna bait-bait kata uminya. Cuba mencari di mana logiknya perjumpaan itu nanti.
“Tapi kenapa Uncle Radzi nak jumpa Ria?”
“Hesy, budak bertuah ni. Kalau tak berjumpa macam mana Ria nak tahu kenapa Uncle Radzi nak jumpa.” Puan Anisah jegilkan mata. Kali ini dicubitnya lengan Ariani. Banyak betul alasan si anak.
Ariani menyeringai. Sempat juga membalas. Mencubit manja uminya sebelum menggosok-gosok lengannya yang dicubit tadi.
“Tak ada agenda tersembunyi, kan?” tanyanya lagi.
“Ingat parti politik ke apa nak ada agenda tersembunyi?”
“Manalah tahu. Kutlah Uncle Radzi tu ada anak lelaki dan umi dengan abah nak kenen-kenenkan dengan Ria,” seloroh Ariani. Memandang uminya yang sudah melabuh duduk di depan dia.
Tangan Puan Anisah yang sedang mencedok nasi goreng ke dalam pinggan terhenti. Wajah Ariani dipandang. Dia tersenyum.
“Memang Uncle Radzi tu ada anak lelaki.”
See! Betullah ni ada agenda tersembunyi.”
Ariani buang kad nama ke atas meja. Dia bersandar. Memandang tajam uminya. Memang dia jarang tersilap meneka di sebalik yang tersirat.
“Boleh tak jangan nak berprasangka. Anak-anak lelaki Uncle Radzi tu tak pandangnya Ria. Sekarang ni abah Ria kata Uncle Radzi tu nak minta tolong dengan Ria tapi dia tak beritahu abah Ria apa bendanya.”
“Anak-anak? Ramai ke anak lelaki Uncle Radzi tu?”
Ariani gigit bibir. Maklumat yang baru umi beritahu lebih menarik minat. Bebelan umi langsung tak terkesan. Jangan salah sangka. Bukan dia nak mengurat pun. Untuk cuci mata aje.
“Sibuk sangat anak orang tu ada berapa orang kenapa? Tadi bukan main melenting lagi. Agenda tersembunyi bagai.”
Ariani tersengih. Tak menyahut langsung omelan uminya. Dia bingkas berdiri. Kad nama yang dicampaknya tadi diambil.
Wish me luck, umi!” Dia kenyit mata dan berlalu dari situ.
Puan Anisah menggeleng. Melihat Ariani hingga susuk si anak hilang dari pandangan. Wajahnya yang serius berubah riak. Ada segaris senyuman menghiasi bibirnya.
Itu cerita setengah jam yang lalu. Sekarang ini Ariani dah tercongok di depan bangunan yang menempatkan pejabat Kejuruteraan Elektrik R & R Sdn. Bhd.
“Bismillahirrahmanirrahim.” Serentak itu dia menolak pintu cermin di depannya.
Berhati-hati dia melangkah masuk. Mendekati meja penyambut tetamu. Setelah memberitahu tujuannya datang ke situ, dia diminta untuk menunggu seketika di sofa yang terdapat di ruang lobi itu. Dia akur. Berjalan ke ruang menunggu.
Tengku Redza melangkah keluar dari perut lif. Menyusun tenang langkahnya walau perut sudah berbunyi minta diisi. Tadi dia tak sempat nak bersarapan di rumah. Hari ini ada beberapa borang tender yang perlu dihantar. Itu yang dia berkejar ke pejabat. Sudahnya hingga jam sebelas dia terlupa untuk bersarapan.
Hayunan langkahnya mati pabila matanya tertancap pada figura yang sedang duduk di ruang menunggu. Santai menunduk sambil membaca majalah. Figura itu macam dia kenal. Rasanya macam pernah bersua tapi dia tak ingat di mana.
Kakinya dilencongkan. Tidak jadi menuju ke pintu keluar. Sebaliknya dia berjalan mendekati kaunter penyambut tetamu.
“Tengku.” Si penyambut tetamu menegur ramah bersama senyuman manis.
“Itu, ada appointment dengan siapa?”
Mulut menyoal tapi mata Tengku Redza tunak memandang figura yang begitu ralit dengan majalah hingga tak sedar ada mata yang memandang. Pada masa yang sama dia masih lagi memerah otak. Mencari hari dan masa di mana dia dan figura itu pernah bertembung.
“Ooo... Itu Cik Ariani, tengku.” Si penyambut tetamu memberitahu.
“Ariani?”
Si penyambut tetamu mengangguk laju bila Tengku Redza memandang dia dengan kerutan berlapis di dahi minta kepastian.
Macam familiar, bisik hati Tengku Redza. Kerutan di dahinya hilang. Berganti dengan senyuman sinis. Patutlah dia rasa pernah berjumpa. Pemilik spa kesukaan mama rupa-rupanya.
Seperti terasa namanya diseru, Ariani mendongak. Terbuntang matanya melihat lelaki yang sedang bersandar pada kaunter tidak berapa jauh dari tempat dia duduk. Lelaki berkemeja lengan panjang warna kelabu, berseluar hitam dan bertali leher merah itu sedang memandang dia. Dia kenal lelaki itu.
Cepat-cepat dia menunduk semula. Tengku Redza bekerja di sini ke? Okey, dia tak sempat nak lari keluar dari situ.
Kenapalah dia bersetuju dengan arahan abah untuk ke sini? Tak baik salahkan abah. Dia anak yang taat. Kaki dia yang gatal nak masuk juga ke dalam bangunan ni. Salahnya ialah dia tak korek habis-habis pasal anak lelaki Puan Rozi ini. Kalau tidak tak perlulah dia nak menadah telinga mendengar mulut tak berinsuran itu bercakap. Tidaklah dia memenatkan lidah mematah kata-kata pedas si pemilik mulut laser itu.
“Rasa-rasanya syarikat ini tak ada keluarkan produk kecantikan.” Tengku Redza sudah berdiri di depan Ariani. Kekal melorek senyuman sinis.
Terhinggut bahu Ariani. Mendongak sekilas memandang Tengku Redza. Sungguh, dia tak sedar bila masanya Tengku Redza berjalan ke sini.
Sekarang dia malas nak melayan kerenah Tengku Redza. Ini tempat Tengku Redza. Dia tetamu. Tak naklah memalukan diri sendiri bertikam lidah dengan Tengku Redza yang tak punya perasaan ni.
You heard me, right?” Suara Tengku Redza keras. Bengang bila bicaranya tidak berbalas.
“Redza!” Tengku Radzi yang baru keluar dari lif mendekati Tengku Redza dan Ariani.
Uncle!” Ariani terjerit kecil.
Dia bingkas berdiri mahu mendapatkan Tengku Radzi. Melanggar sedikit tubuh Tengku Redza yang menghalang laluannya hingga teranjak kedudukan lelaki itu. Dia terus bersalam dengan Tengku Radzi. Ikutkan hati macam nak peluk tubuh tua ini sebab dah menyelamatkan keadaan tapi nanti apa pula kata Tengku Redza.
“Pa?” Berkerut dahi Tengku Redza. Menuntut penjelasan dari papanya. Tingkah Ariani macam sudah biasa bertemu dengan papanya. Ariani dan papa memang kenal ke?
Tengku Radzi tersenyum. Teringat kembali cerita isterinya.
“Alang-alang Redza dah ada ni, bolehlah ikut papa dan Ria sekali. Kita pergi restoran depan tu. Ria tak kisah, kan?”
“Mana-mana aje, uncle.” Ariani tersenyum bila Tengku Radzi meminta pendapatnya.
Sebenarnya dia gugup dan terperanjat. Terkejut sebab Tengku Redza panggil Tengku Radzi papa. Gugup sebab tak sangka Tengku Redza anak Tengku Radzi. Teringat perbualan dengan uminya. Boleh ke dia cuci mata kalau spesis lelaki seperti Tengku Redza?
“Jomlah. Lambat bergerak lambat kita makan.” Suara Tengku Radzi memecah keheningan.
Keningnya terjongket tinggi melihat kedua-dua anak muda ini. Seorang tayang muka tak puas hati. Seorang lagi tayang muka tak bersalah. Kalau begini gayanya boleh terlaksana ke rancangan yang dia dan Aris telah bincangkan.
After you, uncle.” Ariani tersengih.
Tengku Radzi menggeleng. Mula berjalan meninggalkan ruang lobi.
Ariani cepat-cepat mencapai beg tangannya di atas meja kopi. Takut tertinggal. Tak nak dia berjalan dengan Tengku Redza. Rasa-rasanya lebih selamat berjalan dengan Tengku Radzi.
Baru sahaja mahu melangkah terasa tali beg tangannya seperti ditarik. Dia menoleh.
We’re not finish yet.” Tengku Redza bulatkan matanya.
Sorry. Tak ada we dalam cerita ini.”
Ariani kenyit mata. Menarik tali beg tangannya dari terus dipegang Tengku Redza. Dia dengan berlagaknya berjalan menuruti langkah Tengku Radzi yang semakin menghampiri pintu keluar.
Tengku Redza ketap gigi. Menahan rasa geram dan bengang. Panas hatinya dengan tingkah Ariani. Jagalah gadis tu.
“Redza?” panggil Tengku Radzi yang setia memegang daun pintu.
Coming!” Tengku Redza menyahut dan berjalan pantas.
Mereka memilih meja yang terletak di sudut restoran.
“Senang cari pejabat uncle?” Tengku Radzi memulakan perbualan santai.
Dia menarik nafas lega tadi bila diberitahu setiausahanya yang Ariani sedang menanti dia di bawah. Tak sangka semudah itu anak gadis temannya ini bersetuju untuk berjumpa. Kalau ikutkan kata Aris, Ariani tak akan berurusan dengan orang yang tak dikenali.
Tengku Redza yang duduk bertentangan dengan Ariani hanya berdiam diri. Lebih senang memerhati.
“Guna Waze.” Ariani tersengih. Matanya hanya fokus pada Tengku Radzi sahaja. Biarlah leher dia rasa sakit dek terteleng lama. Namun nak memandang orang di depannya ini memang taklah. Pandang orang macam nak telan.
Tengku Radzi mengangguk. Mahu menyambung perbualan tapi telefon bimbitnya berbunyi. Pantas sahaja dia melihat nama si pemanggil.
One second.” Dia pandang Ariani sambil menunjuk pada telefon bimbitnya.
Ariani tersenyum dan mengangguk. Tak mengapalah. Takkanlah Tengku Radzi nak berbual lama. Lagi pula Tengku Radzi yang mengundang dia ke mari. Sambil itu dia mengerling Tengku Redza. Mahu melihat apa yang lelaki itu buat. Ah, lelaki itu masih lagi memandang dia.
Sepuluh minit berlalau. Tengku Radzi masih rancak berbual di telefon. Tengku Redza juga masih setia memandang Ariani. Cuma gaya duduknya sudah berubah.
Aduh! Nak buat apa ni? Ariani ketuk perlahan jemarinya di meja. Dia dah macam cacing kepanasan. Tak macam Tengku Redza yang tenang bersandar sambil bersilang kakinya. Uncle Radzi ni masa inilah pula nak bersembang panjang dekat telefon. Hatinya berdesis kala memandang Tengku Radzi.
Bila mata berkalih ke depan. Bertembung dengan renungan tajam Tengku Redza. Eh, korek biji mata tu karang! Dia bulatkan matanya pada Tengku Redza.
Tengku Redza memalingkan wajahnya sekilas. Tarik senyum sinis sebelum kembali memaku pandang Ariani. Gadis ini ingat dia gerun melihat mata itu yang terbuntang? Sekelumit pun tak takutlah.
“Laaa Redza, kenapa tak orderkan minuman untuk Ariani?” Tengku Radzi memandang anaknya. Telefon bimbit diletakkan di atas meja.
“Dia tak cakap pun dia nak minum.” Selamba sahaja Tengku Redza menjawab sambil membetulkan tali lehernya. Kedua-dua keningnya dijongket sekali pada Ariani.
Ariani gigit bibir. Dasar hati batu. Hello! Takkanlah dia dengan muka tak malu nak cakap dia haus. Tetamu kut. Mana adab lelaki ini.
Tengku Radzi tepuk dahi. Terus mengangkat tangan memanggil pelayan restoran.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

6 comments: