“Assalammualaikum, makcik.” Adni Farha bersalam
dengan Mak Limah, emak Ayman Fareeq.
“Waalaikummussalam. Manis,” sempat Mak Limah memuji.
Adni Farha dah tersipu-sipu. Rona merah terbit di
kiri dan kanan pipi dia.
“Masuklah, Adni. Jangan segan-segan,” pelawa Mak
Limah.
“Errr…makcik tahu nama saya?” polos Adni Farha
bertanya.
“Laaa…takkanlah makcik tak tahu nama bakal menantu
makcik.” Mak Limah tersenyum.
“Huh?!” Adni Farha dah terkedu. Dia menjeling pada
Ayman Fareeq yang tersengih macam kerang busuk di belakang Mak Limah.
“Aisya ! Tolong angkatkan beg Kak Adni tu,” arah Mak
Limah.
“Errr…tak payahlah.” Adni Farha berpatah balik
semula ke kereta.
“Tak apa, Kak Adni.” Si gadis bertudung dengan susah
payah mengeluarkan beg baju Adni Farha dari bonet kereta abang dia.
“Berat ni. Akak bawa sendiri nanti. Ai…” Adni Farha
membantu gadis bertudung itu mengeluarkan beg baju dia.
“Aisya Hanan. Adik cute Abang Ayman.” Giliran Aisya Hanan pula bersalam dengan Adni Farha.
“Cantik nama macam orangnya juga,” puji Adni Farha.
“Tak ada lah. Kak Adni lagi cantik. Macam model,”
balas Aisya Hanan malu-malu.
“Hesy…biasa-biasa
ajelah, Aisya.” Adni Farha memukul lembut badan Aisya Hanan.
“Kak Adni, biar saya bawakan beg akak tu ke dalam
bilik.” Aisya Hanan mencapai beg baju tersebut dari tangan Adni Farha dan terus
masuk ke dalam tanpa sempat Adni Farha menegah dia.
“Adni, duduk dulu kat depan sini. Makcik nak buat
air sekejap,” Mak Limah terus masuk ke dalam rumah.
“Errr…tak payah susah-susah, makcik,” Adni Farha
menjerit sedikit. Kepala dah di garu-garu.
Ayman Fareeq hanya tersengih di kerusi yang terletak
di beranda rumah memandang Adni Farha yang masih terpinga-pinga.
"Awak ni memang saja kan," Adni Farha
memukul badan Ayman Fareeq bertalu-talu.
"Love...sakitlah,"
Ayman Fareeq menepis pukulan Adni Farha. Kepala dia terjenguk-jenguk ke dalam
rumah. Takut didengari emak dan adik dia.
"Tahu pula sakit. Masa buat tak fikir. Tak reti
nak bercakap." Adni Farha tidak mempedulikan langsung rintihan Ayman
Fareeq.
"Alaaa...kalau saya cakap, mesti awak tak
setuju," balas Ayman Fareeq tidak mahu mengalah.
Adni Farha berhenti memukul. Mata dia membuntang
memandang Ayman Fareeq.
"At least
bincanglah dulu. Ini main redah aje. Malu saya tau. Dahlah pakai baju macam
ni." Adni Farha menuding jari pada diri dia. Memang patut dia rasa malu.
Baju blouse putih lengan panjang yang
mana kalau ada orang yang prihatin pandang memang boleh tembus ke dalam.
Ditambah dengan legging warna hitam,
huh…saham makin merundum teruslah.
"Apa yang awak nak malu? Mak mertua awak okey
aje berbual dengan awak tadi? Siap puji-puji lagi," usik Ayman Fareeq.
"Eee...kalau cakap dengan awak ni memang taklah
saya nak menang kan." Adni Farha dah mengetap bibir.
Ayman Fareeq hanya mampu menghadiahkan senyuman
menggoda pada Adni Farha.
"Love...mak
saya tak kisah siapa awak. Dia terima siapa saja yang saya pilih. Ke awak nak
suruh saya bawak balik my Qash atau
Athirah langau tu?" seloroh Ayman Fareeq.
"Cinta! Kalau awak sebut lagi nama-nama diaorang tu, saya balik JB hari ni juga.
Biar padan dengan muka awak pergi Melaka sorang-sorang,"
ugut Adni Farha.
"Ada saya kisah..." Ayman Fareeq mencicit
berlari masuk ke dalam.
"Ya Allah, Ya Tuhanku...Kenapalah cinta aku
ini? Kau berikanlah aku kekuatan." Adni Farha meraup muka dia.
"Adni," panggil Mak Limah di muka pintu.
Adni Farha terkedu. Oh, My! Mak cinta dengar ke apa yang dia berdoa tadi. Dia berpaling ke
belakang.
Mak Limah tersenyum melihat gelagat bakal menantu
dia. Dia juga bersyukur kerana Ayman Fareeq dah boleh ketawa setelah sekian
lama menjeruk rasa.
"Makcik." Adni Farha mendekati Mak Limah.
“Kalau belum sah menjadi milik tu, elakkan bertepuk
tampar kerana perbuatan menyentuh yang bukan muhrim tu berdosa,” ujar Mak Limah
dengan lembut sambil tersenyum menegur perilaku Adni Farha yang tampak kurang
manis dimata tua dia.
“Errr…saya minta maaf, makcik. Tak sengaja.” Adni
Farha tersenyum kelat. Ini semua Ayman Fareeq punya pasal. Siaplah.
"Mari masuk, minum. Lepas tu Adni boleh berehat
dulu. Nanti lepas solat kita pergi rumah adik makcik tu."
Adni Farha tersenyum. Dia menuruti langkah Mak
Limah. Sewaktu melintasi Ayman Fareeq yang sedang duduk di meja makan, Adni
Farha menunjukkan penumbuk dia pada cinta dia.
"Mak, tengok bakal menantu mak ni? Nakal sangat,"
adu Ayman Fareeq.
Ya Allah! Adni Farha beristighfar dalam hati. Mulut
cinta dia memang mulut longkang. Adni Farha dah cemberut.
"Hesy...kamu
ni. Cubalah jangan asyik nak mengusik aje. Tengok muka menantu mak ni? Dah
hilang seri dia," usik Mak Limah pula.
Oh! Adni Farha rasa macam nak menangis. Mak cinta
panggil dia menantu bukan bakal menantu. Boleh buat lompat bintang tak?
"I told
you." Ayman Fareeq tersenyum senget.
Adni Farha menjelirkan lidah.
"Dah, dah. Tak payah layan sangat si Ayman ni. Duduk,
Adni.” Mak Limah menuangkan air oren ke dalam gelas untuk Adni Farha.
Adni Farha menarik kerusi di depan Ayman Fareeq. Jelingan
tajam dilemparkan pada Ayman Fareeq.
“Ouchhh…hari-hari kalau kena jeling boleh berlubang
jantung ni,” seloroh Ayman Fareeq.
Muka Adni Farha dah cemberut. Malu diusik begitu
depan bakal mak mertua.
“Aymannn...” marah Mak Limah.
Semakin lebar senyuman di bibir Ayman Fareeq hingga
terserlah lekukan lesung pipit di kiri dan kanan pipi dia bila melihat layanan
yang emak dia berikan pada Adni Farha.
Adni Farha duduk termenung di birai katil. Otak dia
masih mencerna apa yang berlaku pada dia hari ini. Rasa macam tak percaya dia
boleh berada di rumah keluarga Ayman Fareeq saat ini. Rasa tak percaya itu
semakin besar bila menerima layanan mesra yang diberikan oleh emak dan adik
Ayman Fareeq. Mata dia liar memandang sekeliling memerhati bilik tidur yang
sederhana besar tetapi kemas dan tersusun.
Pintu bilik dikuak dari luar. Adni Farha mendongak.
Aisya Hanan tersenyum sebaik memandang muka Adni
Farha.
Adni Farha membalas senyuman itu. Aisya Hanan yang
sudah tidak bertudung dipandang dengan penuh asyik. Muka Aisya Hanan yang basah
dengan rambut panjang paras bahu nampak bersih di mata Adni Farha.
“Kak Adni…” sapa Aisya Hanan yang turut duduk di
sebelah Adni Farha.
“Errr…” Adni Farha tersenyum kelat. Malu.
“Kak Adni tak nak mandi dulu?”
“Ini bilik Aisya?” soalan Aisya Hanan dibalas dengan
soalan oleh Adni Farha.
Aisya Hanan anggukkan kepala mengiyakan pertanyaan
Adni Farha.
“Kemas.”
“Sorang je
memanglah kemas, Kak Adni. Kalau ramai-ramai rasanya tunggang-langgang juga.”
“Kita nak pergi rumah sepupu Aisya tu pukul berapa?”
Adni Farha sempat mengerling sekilas jam tangan dia yang menunjukkan pukul satu
setengah.
“Hmmm…mak kata dalam pukul dua lebih bolehlah pergi.
Sedang elok waktu tu pengantin bersanding.”
“Kalau macam tu baik akak mandi dulu lah. Melekit
dah badan ni.” Adni Farha terus duduk bersila di atas lantai dan membuka beg
pakaian dia.
“Errr…akak ada nak gosok baju ke? Kalau ada letak
aje atas katil. Saya solat zuhur dulu. Nanti lepas solat saya tolong gosokkan.”
Aisya Hanan bingkas bangun dan mengambil sejadah dan telekung di penyidai baju.
“Takpelah, Aisya. Akak rasa baju ni taklah berkedut
mana.” Adni Farha yang sudah berdiri mengacukan sepasang baju kurung warna kuning
ke badan dia.
“Cantiknya,” puji Aisya Hanan.
“Hesy…biasa-biasa
ajelah, Aisya. Dah cepat solat. Nanti emak Aisya marah pula kita bersiap
lambat.”
“Emak tak kisah lagi, Kak Adni. Tapi kalau mulut
Abang Ayman dah berbunyi itu yang tak menahan.” Aisya Hanan yang sudah siap
bertelekung sempat mengutuk abang dia.
“Aisya… kalau dengar dek abang Aisya tu teruk kita
nanti. Tapi betullah kalau mulut abang Aisya dah berbunyi sakit telinga ni.”
Ketawa mereka berpadu. Ketukan bertalu-talu di pintu
membuatkan mereka berdua terus terdiam. Suara Ayman Fareeq kedengaran mengarahkan
mereka untuk bersiap cepat. Adni Farha dan Aisya Hanan berpandangan sesama
mereka dan meletus kembali tawa yang terhenti tadi.
Adni Farha segera mencapai tuala dan perlatan
mandian. Dia terus keluar dari bilik itu.
Aisya Hanan pula kembali ke sejadah yang telah siap
dibentang sedari tadi.
Ayman Fareeq yang masih berdiri di depan bilik adik
dia memandang tajam pada Adni Farha.
“Tak siap lagi?” soal Ayman Fareeq geram.
“Sekejaplah nak mandi dulu. Pukul dua kan baru nak
pergi? Errr…toilet kat mana?” Adni
Farha tersengih memandang Ayman Fareeq.
“Dari tadi lama-lama kat dalam tu buat apa?” Ayman
Fareeq mengangkat kedua-dua belah kening dia.
“Hesy…jangan
banyak tanya boleh tak? Kata nak suruh cepat? Baik awak tunjukkan saya kat mana
toilet so cepatlah saya dapat bersiap.” Adni Farha dah jegilkan mata.
Ayman Fareeq hanya menjuihkan bibir dia ke arah
dapur.
Adni Farha menoleh ke arah yang ditunjukkan sambil
mengulum senyum. Sebelum melangkah pergi sempat dia mengusik Ayman Fareeq.
“Bibir awak tu tak cukup seksi nak terjuih macam
tu.” Mencicit Adni Farha berlari ke dapur.
“Hesy…ada
yang kena cium juga nanti kang.”
Ayman Fareeq dah geleng kepala. Dalam pada itu jari dia spontan menyentuh
bibir.
“Nak cium siapa?” Aisya Hanan yang baru keluar dari
bilik memandang Ayman Fareeq.
“Huh?! Errr…” Ayman Fareeq terkedu. Tak tahu nak
jawab apa. Dia terus berlalu ke depan.
Aisya Hanan jungkitkan bahu. Dia terus masuk ke
dalam bilik emaknya untuk mengambil seterika.
Adni Farha duduk di birai katil memerhati Aisya
Hanan yang sedang memperkemaskan lilitan selendang di kepala. Sesekali dia
perhatikan Aisya Hanan terpusing ke kiri terpusing ke kanan. Rumit juga nak
pakai selendang ni rupanya.
“Errr…Aisya,” tegur Adni Farha.
“Ada apa, Kak Adni?” Aisya Hanan menoleh sambil
tangan dia menyemat kerongsang pada selendang yang di pakai.
“Kalau pakai selendang memang macam tu ke? Kena lilit
bagai?” Adni Farha polos bertanya.
“Hahaha…tak ada lah, Kak Adni. Cuma sekarang orang
dah pelbagaikan cara. Nak nampak cantik, asalkan aurat dijaga.” Aisya Hanan
tersenyum dan berpusing kembali menghadap cermin.
“Aurat? Bukan ke bila pakai tudung memang dah tutup
aurat?” soal Adni Farha lagi tak berpuas hati.
“Betul tu tapi kalau tudung singkat dan tak menutup
apa yang sepatutnya kita orang perempuan kena tutup maknanya masih tak menutup
auratlah.”
“Errr…Aisya. Kak Adni teringin nak pakai selendang
yang macam Aisya pakai tapi Kak Adni malulah.”
“Malu dengan orang?”
Adni Farha menganggukkan kepala.
Aisya Hanan tersenyum. Dia duduk di sebelah Adni
Farha dan memegang tangan Adni Farha.
“Kita sepatutnya malu dengan Allah bukan dengan
orang. Orang yang memandang serong pada kita yang sepatutnya malu pada kita
sebab kita nak berubah kerana Allah.”
Dalam hati Adni Farha terucap berbakul-bakul pujian
pada Aisya Hanan. Dahlah manis orangnya, pekerti pun elok sekali. Sejuk perut
ibu yang mengandungkan dia.
“Aisya ada selendang lebih yang Kak Adni boleh
pakai?” Adni Farha malu-malu bertanya.
Aisya Hanan tersenyum. Dia bingkas bangun dan
membuka laci baju yang tersimpan berpuluh tudung dan selendang milik dia. Sehelai
selendang warna kuning air dikeluarkan.
“Ini sesuai dengan baju Kak Adni.”
Aisya Hanan membantu Adni Farha mengenakan selendang
tersebut di kepala.
“Untuk permulaan Kak Adni pakai macam ni je dulu. Perlahan-perlahan.
Kalau terus pakai macam saya takut Kak Adni tak selesa pula.”
Adni Farha memandang biasan diri dia di cermin.
“Aisya… Kak Adni rasa pakai terus macam Aisya tak apa
kut.” Adni Farha memandang Aisya Hanan.
“Betul ke, Kak Adni?” Aisya Hanan memandang Adni
Farha. Tak percaya dengan apa yang dia dengar.
Adni Farha angguk kepala.
“Kalau macam tu, meh
saya betulkan.”
Ayman Fareeq menunggu dengan sabar di dalam kereta.
Emak dia dah dihantar dulu sebab Mak Ngah dia dah telefon tak ada orang nak
sambut rombongan pengantin perempuan. Emak dia juga berpesan supaya jangan lambat
sangat.
Lima belas minit menunggu bayang Adni Farha dan adik
dia masih tidak kelihatan. Ayman Fareeq keluar dari kereta. Tangan dia sempat
menekan hon kereta.
“Hesy…Abang
Ayman ni, tak boleh sabar agaknya.” Terkocoh kacah Aisya Hanan mengambil kasut
di rak.
Adni Farha yang berjalan di belakang Aisya Hanan
turut berlari anak keluar dari rumah.
“Kak Adni mana, Aisya?” soal Ayman Fareeq. Dia tidak
perasan Adni Farha yang sedang memakai kasut dan membelakangkan dia.
“Laaa…kat depan mata ni pun tak nampak ke?” Aisya
Hanan memandang pelik pada abang dia.
“Huh?!” Ayman Fareeq tercengang. Mata dia membulat
tak percaya dengan apa yang di lihat. Adni Farha nampak semakin cantik bila
bertudung.
Adni Farha hanya tersenyum manis dan berjalan menuju
ke kereta Ayman Fareeq. Dia selamba masuk ke dalam kereta.
Aisya Hanan duduk di sebelah belakang. Sempat dia
menjerit pada abang dia.
“Abang Ayman! Tadi kata nak cepat. Tunggu siapa lagi?”
“Huh?!” Kelam kabut Ayman Fareeq masuk ke dalam
kereta semula. Segera kereta dipandu keluar menuju ke rumah Mak Ngah dia.
Adni Farha mengulum senyum dengan telatah Ayman
Fareeq. Cinta dia dah tersampuk agaknya. Asyik sebut huh saja sedari tadi.
Ayman Fareeq sekejap menoleh Adni Farha di sebelah.
Susah nak percaya dengan apa yang dia nampak.
“Abang Ayman, ada kang kita tak sampai rumah Mak
Ngah ni nanti,” sergah Aisya Hanan dari belakang.
“Huh?!” Ayman Fareeq terus pandang ke depan
menumpukan perhatian pada jalanraya yang mula sibuk dengan pelbagai kenderaan.
Adni Farha hanya tersenyum dan menggelengkan kepala.
Sah, cinta dia memang kena sampuk.
Ayman Fareeq meletakkan kereta dia jauh sedikit memandangkan
sudah banyak kereta mula memenuhi kawasan lapang yang berdekatan dengan rumah pengantin.
Aisya Hanan terus keluar sebaik Ayman Fareeq menarik
handbrake.
“Love…”panggil
Ayman Fareeq.
Adni Farha yang baru hendak keluar menoleh ke
sebelah. Kening dia diangkat.
“Cantik,” puji Ayman Fareeq.
“Tahu.” Adni Farha terus keluar.
Ayman Fareeq ketawa sendiri mendengar jawapan Adni
Farha. Diva si dia memang tak hilang lagi.
Aisya Hanan dan Adni Farha dah menghilang di sebalik
jemputan yang mula memenuhi lima buah kanopi yang disediakan.
Ayman Fareeq lebih selesa duduk sahaja di luar
selepas bersalaman dengan Mak Ngah dan Pak Ngah dia. Malas nak tunggu lama-lama
di dalam bila di asak dengan pertanyaan cliché
untuk orang bujang yang dah terlajak macam dia.
“Abang Ayman, jom makan. Kesian Kak Adni ni. Asyik pegang
perut aje dari tadi.” Aisya Hanan menepuk bahu abang dia yang sedang termenung
memerhati para jemputan.
Ayman Fareeq memandang Adni Farha di sebelah adik dia.
“Kenapa tak makan dulu tadi? Awak kan tak boleh
lapar. Kena gastrik nanti kan, siapa yang susah?”
Adni Farha hanya membisu. Malas nak menjawab. Sakit di
perut mengatasi segalanya.
“Hesy…apa lah Abang Ayman ni. Tak payahlah nak
marah-marah. Pergi ambikkan nasi untuk Kak Adni. Aisya bawak Kak Adni kat
hujung sana.”
Aisya Hanan terus menarik tangan Adni Farha ke
kanopi paling hujung. Kebetulan meja di situ sahaja yang kosong.
Ayman Fareeq mengambil nasi untuk Adni Farha dan dia
sendiri. Kedua-dua pinggan dipenuhkan dengan lauk pauk yang dihidangkan. Ayman
Fareeq menoleh bila nama dia dipanggil seseorang.
“Ayman,” tegur seorang perempuan yang sedang
mengelek anak.
“Sarah.” Ayman Fareeq hanya tersenyum nipis. Terkejut.
“Sorang?”
tanya Sarah.
“Taklah. Mana suami kau?” tanya Ayman Fareeq berbasa
basi. Inilah yang dia cuba elakkan. Terserempak dengan orang yang pernah melukakan
hati dia.
“Kerja. Tak dapat cuti,” bohong Sarah. Hakikatnya
dia dan suami sudah setahun tidak tinggal sebumbung selepas dia melahirkan
anak.
“Ooo…okeylah. Aku pergi dulu.” Ayman Fareeq terus
beredar.
Sarah menelan liur bila Ayman Fareeq ber‘aku’’kau’
dengan dia. Dia hanya memerhati ke mana Ayman Fareeq pergi. Hati dia sedikit
terhiris bila dilihat Ayman Fareeq begitu mesra melayan gadis yang duduk bersama
dengan Aisya Hanan.
“Eee…lamanya,” bebel Aisya Hanan.
“Ramai oranglah,” balas Ayman Fareeq. Dia meletakkan
pinggan nasi di depan Adni Farha.
“Eleh…ingat orang tak nampaklah tu. Kak Sarah kan?”
“Dia buat apa entah kat sini.” Ayman Fareeq acuh tak
acuh melayan pertanyaan adik dia.
“Ini kan kampung dia. Mestilah dia kena datang.
Abang Ayman lupa ke?”
“Kata dia kat KL.” Ayman Fareeq hanya menjungkitkan
bahu.
Adni Farha hanya mendengar sahaja butir bicara dua
beradik itu. Malas nak menyampuk. Saat ini mengisi perut yang mula pedih adalah
lebih utama.
“Aisya punya mana?” Aisya dah memuncung memandang
abang dia.
“Laaa…nak kena ambikkan juga ke? Tangan abang ada
dua je lah, dik. Pergi ambik sendiri lah. Jangan lupa ambikkan air sekali untuk
kitaorang.” Ayman Fareeq mengenyitkan
mata pada adik dia
“Hesy…kalau
yang dia punya mesti nak kena ambikkan. Orang ambikkan Kak Adni punya aje.”
Aisya Hanan terus berlalu pergi.
“Sakit lagi tak perut tu?” Ayman Fareeq memandang
Adni Farha di sebelah yang diam sahaja sedari tadi.
“Dah kurang.” Pendek sahaja jawapan Adni Farha. Dia menoleh
sekilas pada Ayman Fareeq sebelum meneruskan suapan.
“Lain kali jangan makan lewat. Dah tahu ada gastrik
tu,” bebel Ayman Fareeq.
Adni Farha dah julingkan mata ke atas.
“Adni Farha…”
“Ya lah…”
“Boleh saya duduk sini?” tanya seoarang perempuan
pada Adni Farha.
Ayman Fareeq menoleh dan mendengus perlahan.
“Duduklah. Tak ada orang rasanya.” Adni Farha
tersenyum manis. Dia turut menolong menarik kerusi bila dilihat perempuan itu
terkial-kial. Mana nak letak pinggan mana nak pegang anak.
“Sedara dengan pengantin ke?” tanya perempuan itu.
“Taklah. Ikut kawan,” balas Adni Farha.
Ayman Fareeq hanya menjeling. Kenapalah kau duduk
sini. Kan banyak lagi tempat kosong kat sebelah-sebelah sana.
Aisya Hanan yang baru tiba dengan sebelah tangan
memegang nasi dan sebelah lagi memegang dua biji gelas berisi air sirap terkejut
melihat Sarah yang duduk di sebelah Adni Farha. Muka abang dia yang masam
mencuka dipandang.
“Eh! Kak Sarah. Sorang
aje ke?” tegur Aisya Hanan. Dia mengambil tempat di depan Adni Farha.
“Aah…” Sarah hanya tersenyum kelat memandang Aisya
Hanan.
“Kak Adni. Kak Sarah ni bekas tunang Abang Ayman
tapi sekarang dia dah kahwin. Kahwin dengan kawan baik Abang Ayman juga.” Tanpa
dipinta Aisya Hanan memperkenalkan Sarah pada Adni Farha.
Sarah tersedak.
Adni Farha menoleh pada Ayman Fareeq. Patutlah cinta
dia diam sahaja dari tadi, bisik Adni Farha dalam hati. Dia kembali menyuap
nasi ke dalam mulut.
Ayman Fareeq tayang muka selamba seolah-olah tidak
mengetahui apa-apa.
“Kak Sarah, ini Kak Adni Farha, bakal isteri Abang
Ayman.” Aisya Hanan memperkenalkan Adni Farha pada Sarah.
Giliran Adni Farha pula tersedak.
“Love…”
Ayman Fareeq terus menghulurkan gelas pada Adni Farha.
Saat ini Sarah merasakan dia tidak sepatutnya berada
bersama mereka. Pedih hati dia melihat layanan Ayman Fareeq pada Adni Farha. Layanan
yang dulu hanya untuk dia. Panggilan love
menunjukkan betapa Ayman Fareeq memang betul-betul dah melupakan dia. Peluang
untuk merebut kembali kasih Ayman Fareeq nampaknya dah tertutup.
“Errr…Aisya. Kak Sarah balik dululah. Budak kecik ni
pun dah tidur. Balik dulu Adni, Ayman.”
Adni Farha hanya tersenyum.
Sarah terus bangun dan berjumpa dengan tuan rumah sebelum
berlalu pergi.
“Cinta tak pernah cerita pun.” Adni Farha memandang
Ayman Fareeq yang dah bersandar.
“Cerita lamalah, Love.”
Ayman Fareeq menghadiahkan senyuman membunuh.
Tiba-tiba Adni Farha ketawa. Dia turut menggelengkan
kepala.
Aisya Hanan dan Ayman Fareeq dah memandang pelik.
“Apa yang kelakar?” tanya Ayman Fareeq tak puas
hati. Terasa macam disindir oleh love
dia.
“Patutlah hati cinta beku.” Adni Farha ketawa lagi.
“Tak ada kena mengenalah,” bentak Ayman Fareeq.
“Ada.” Adni Farha tak mahu mengalah.
“Bukti?” Ayman Fareeq mengerutkan dahi.
“Semua perempuan cantik yang nak dekat dengan cinta
semua cinta tak layan.”
“Ramai ke yang nak dekat dengan abang, Kak Adni?”
sampuk Aisya Hanan dengan mulut yang penuh dengan nasi.
“Kalau ikut kata kawan kat opis tu, ramai juga,
Aisya.”
“Kak Adni?” tebak Aisya Hanan. Saja nak korek rahsia
abang dia dan bakal kakak ipar.
“Dah, dah…habiskan nasi tu dulu. Jangan sibuk hal
orang,” pantas Ayman Fareeq memintas. Tak pasal-pasal semua cerita Aisya Hanan
tahu nanti. Mulut adik dia ni bukan boleh percaya. Ada kang dia canang kat semua orang.
Adni Farha hanya tersenyum. Tahu sangat cinta dia
malu.
“Love…cinta…sweetlah Abang Ayman dengan Kak Adni ni.”
Aisya Hanan tersengih memandang kedua-duanya.