Sunday, November 2, 2014

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 7




ENJIN dimatikan. Pintu dibuka. Abrar keluar. Bersandar santai di depan pacuan empat rodanya. Telefon bimbit dikeluarkan. Jarinya pantas menari-nari di atas skrin. Selesai disimpan semula ke dalam kocek seluar.

Matanya memerhati ke laluan berbumbung. Mencari kelibat Asyikin. Petang tadi dia sudah mengingatkan gadis itu akan pertemuan mereka malam ini. Harapnya Asyikin tidak lupa kerana dia bersunguh-sungguh mahu mengenali gadis itu dengan lebih dekat lagi.

Senyuman dilorekkan bila matanya bertembung dengan pandangan mata-mata jururawat yang lalu lalang. Tidak terlintas apa-apa niat pun melainkan merasakan ianya satu sedekah. Agaknya disebabkan penampilan ringkas dia ini, berbaju-t putih lengan pendek dan seluar denim biru menarik mata-mata jururawat yang lalu lalang untuk memandang.

“Huh, main mata!” Asyikin menepuk kuat bonet depan hingga membuatkan Abrar terlompat.

“Astaghfirullahaladzim.” Abrar mengurut dada. Nafasnya menderu laju bagaikan peluru berpandu. Mukanya pula sudah merah. Terasa bagaikan seluruh darah yang ada dalam tubuhnya menyerbu ke bahagian itu. Malu. Bertambah malu apabila beberapa orang jururawat yang lalu-lalang berbisik-bisik dan tersenyum-senyum.

Asyikin mengekek ketawa. Tak sangka Abrar boleh terkejut sampai begitu sekali.

Imah yang berdiri di sebelah Asyikin turut mengulum senyum.

“Berapa umur you?” Muka Abrar serius memandang Asyikin.

“25. Why?” Asyikin pandang pelik.

Next time act as a 25 years old lady not 5 years old girl.” Suara Abrar sedikit keras. Dia bergerak ke pintu sebelah pemandu. Pintu dibuka. Dia terus masuk. Langsung tidak mempelawa Asyikin untuk masuk sama.

Asyikin tercegat macam tiang elektrik di luar. Tidak menurut langkah Abrar. Terpaku dengan teguran keras Abrar tadi.

Imah dah serba-salah. Tidak tahu nak bereaksi bagaimana. Nak ajak Asyikin naik kenderaan Abrar atau berpatah balik ke dalam asrama?

Abrar keluar semula.

“Kenapa you tak masuk?” Tajam matanya memandang Asyikin. Bengang dengan sikap keanak-anakan Asyikin. Boleh pula berdiri macam patung dekat luar ni. Kalau tidak mengenangkan yang mereka bukan mahram, mahu sahaja dia tarik tangan gadis ini.

Asyikin membalas renungan tajam Abrar. Dadanya sedikit berombak sebelum memuntahkan kata-kata.

“I tak rasa I boleh keluar dengan you. Sorry.” Ditariknya tangan Imah agar berlalu dari situ. Tawar hatinya mahu keluar makan dengan Abrar.

Abrar tepuk dahi. Baru tersedar khilafnya. Kenapa begitu mudah dia melenting?

“Asyikin! Asyikin!” Dikejarnya Asyikin yang sudah mula menjauh.

Asyikin langsung tidak berhenti malah langkah kakinya dilajukan. Imah turut diseret sama untuk mempercepatkan langkah.

Abrar memintas. Tangan didepakan. Menghalang Asyikin dari terus menapak.

Sorry, sorry. I tak sengaja.” Dia cuba memujuk. Ini kalau Luqman tahu kali pertama dating dia dah buat hal sampai ke anak cucu dia kena kutuk.

Asyikin diam.

Imah dah goyang-goyangkan tangan Asyikin.

“Asyikinnn… please. I’m sorry.” Kedua-dua tapak tangan dibawa ke dada tanda minta maaf. Abrar tahu dia tersilap. Benda kecil pun nak ambil serius. Sekarang dia ke Asyikin yang macam budak-budak?

Asyikin buat tak tahu. Langsung tak pandang muka Abrar. Lebih rela menekur jalan raya.

Abar melirik pada Imah seolah-olah meminta pertolongan.

Imah hanya mampu tersengih. Menggeleng tanda tidak mahu masuk campur.

Abrar mengeluh. Sedaya-upaya cuba mencari idea memujuk gadis di depan dia ini. Kesilapan tadi kalau boleh tidak mahu diulang. Peluang yang ada ini pula jangan dipersia-siakan.

“Perut I dah berdondang dendang ni. Lapar. I memang sengaja kosongkan sebab nak makan dengan you. You tak kesian dekat I ke?” Dia tayang muka sedih. Tangan kanan melekap di perut. Cuba meraih simpati Asyikin.

“Buat apa nak kesian dekat you? I dengan Imah dah kenyang. Excuse us.” Asyikin cuba untuk melangkah ke depan. Tetap dengan keputusannya tadi. Wajah sedih Abrar langsung tidak mencairkan hati kerasnya.

“I belanja. Steamboat. Restoran Bakar Bakar?” Kening Abrar menari-nari. Cuba memujuk lagi.

Asyikin merenung tajam.

Abrar serba-salah.

“Imah sekali?” Jari Asyikin menuding pada Imah.

“Ya. Kalau you nak ajak yang lain-lain pun I tak kisah.” Abrar tersenyum-senyum. Kalau Asyikin nak bawa kawan-kawannya yang lain pun dia tidak kisah. Asalkan gadis ini masih sudi mahu keluar makan dengan dia.

“Ikhlas ke tak ni?” Asyikin menjeling. Geram dia bila terasa dipermainkan.

“Ikhlas ke tidak tu tak berani I nak cakap. Kalau kata I ikhlas tapi Allah tak reda tak dapatlah pahala keikhlasan tu, kan.” Kali ini senyuman Abrar bukan lagi senyuman mengusik. Senyuman seikhlas hati dipamerkan.

“You bernasih baik tau sebab I pun lapar.” Asyikin jongket kening. Berpaling sambil menarik sama tangan Imah.

“Bukan tadi you cakap you dah kenyang ke?” usik Abrar dari belakang.

“I masuk balik.” Asyikin mengugut ingin berpatah balik masuk ke kawasan asrama.

“Okey, okey. I tak kacau.” Abrar kenyit mata.

“Nasib Abrar handsome pandai mengayat.” Asyikin tersenyum.

Abrar hanya menggeleng. Nampaknya umur dia akan kekal 30 selama-lamanya. Telatah Asyikin buat dia awet muda.
             
ABRAR berhentikan pacuan empat rodanya berdekatan dengan Restoran Bakar Bakar Steamboat & Grill House. Nasib mereka baik. Tidak ramai pengunjung di situ. Mereka bertiga melangkah masuk ke dalam restoran.

“Jom. Nanti kalau lambat nak kena berebut dengan orang lain pula.” Abrar sudah berdiri semula selepas pelayan menunjukkan meja mereka.

“I nak makan banyak-banyak.” Asyikin tersengih.

“Nanti tak muat uniform you macam yang Doktor Naim cakap,” usik Abrar.

“You dengar?” Asyikin jongket kening.

“I ada dekat situ.”

“Dia bergurau tu. Metabolisme I tinggi. Setakat makan tambah 2 pinggan tak ada hal punya.” Asyikin ketawa-ketawa. Diambil pinggan dan penyepit yang dihulurkan Imah.

“I tak rasa macam tu. Doktor Naim tu ambil berat pasal you.” Abrar cuba mencungkil rahsia. Kalau betul gadis ini sudah berpunya, dia tidak mahu kacau daun. Namun kalau gadis ini tiada siapa-siapa lagi, dengan rela hati dia ingin memilikinya.

“Tak payahlah cerita pasal dia. Serabut. Bila you sebut nama dia terus I teringatkan Doktor Marina.” Mata Asyikin ralit memerhati pelbagai makanan laut, ayam, daging dan sayur-sayuran di meja display.

Terhenti tangan Abrar. Wajah Asyikin dipandang. Dahinya berkerut. Tidak faham maksud kata-kata Asyikin.

“Doktor Marina?” tanyanya sebelum mengambil beberapa ekor udang dan diletakkan di atas pinggan Asyikin.

“Doktor yang perasan ingat I nak sangat dengan Doktor Naim. Hello! Bukan I yang terkejar-kejarkan Doktor Naim tu tau. I anggap Doktor Naim tu sama macam rakan sekerja yang lain. Tak kuasalah nak bersuamikan seorang doktor.” Asyikin ambil beberapa potong daging kambing pula.

“I ada peluanglah ni.” Abrar tersenyum.

“Peluang? Peluang apa?” Asyikin terkebil-kebil.

“I bukan doktor.” Senyuman Abrar makin lebar.  Nampak gayanya peluang untuk dia merebut hati Asyikin terbuka luas tanpa halangan. Hatinya mengungkap kata-kata syukur dengan jalan yang dibuka olehNya.

“Kalau you bukan doktor pun kenapa?” Asyikin masih tidak faham dengan kata-kata Abrar.

“Asyikin, Asyikin. You ni kadang-kadang nampak lebih advance dari I tapi kenapa hari ni nampak macam naif sangat.” Abrar menggeleng. Nak ketawa pun ada. Sisi lain Asyikin betul-betul mencuit hati dia.

"Cepatnya you dapat pengganti." Ada suara perempuan mencelah di sebalik gurau senda Abrar dan Asyikin.

Abrar dan Asyikin menoleh.

"Afiqah!" Terperanjat Abrar melihat Afiqah berdiri di sebelahnya. Gadis itu dilihat turut memegang penyepit dan pinggan. Bila masa gadis ini ada di sisi dia, memang dia tidak perasan.

Asyikin hanya tersenyum.

Imah menarik tangan Asyikin untuk bergerak jauh dari Abrar dan Afiqah.

"Kenapa? Aku belum ambil apa-apa lagilah." Asyikin merungut. Marah bila tangannya ditarik pergi.

"Asyikin, you pergi dekat meja dulu. Nanti I ambilkan." Abrar tersenyum pada Asyikin. Bersyukur sangat sebab Imah kawan Asyikin seolah-olah memahami kesulitan yang sedang dia hadapi ini.

“Wahhh… betul-betul you jaga hati dia.” Afiqah menyindir setelah Asyikin dan Imah jauh dari dia dan Abrar.

“Tak ada kena-mengena dengan you.” Abrar menjeling. Tangan bergerak laju mengambil ikan, ayam dan sotong.

Still dia tak dapat menandingi I.” Afiqah masih cuba nak menyakitit hati Abrar. Berbahang hatinya bila melihat kemesraan Abrar dan Asyikin sebentar tadi.

“Cukup untuk dia menyenangkan hati I.” Abrar berlalu. Puas dapat membalas kata-kata sinis Afiqah.

“Kawan you eh? Cantik.” Asyikin bertanya sebaik Abrar duduk menyertai dia dan Imah. Dipandang Afiqah yang turut memandang ke meja mereka bertiga.

“Dulu kawan sekarang tak.” Abrar menjawab acuh tak acuh. Disusun makanan mentah yang diambilnya tadi diatas tempat pembakar. Kalau boleh dia tak mahu bercerita siapa Afiqah dengan Asyikin. Cukuplah kalau Asyikin tahu Afiqah itu hanya kawannya.

“Kenapa?” Asyikin memandang Abrar. Dia turut membantu Abrar.

“Dia tak menyenangkan.” Selamba Abrar menjawab. Hesy… mulut cik jururawat ni. Macam bertih jagung.

“Tak menyenangkan macam mana?” Asyikin toleh sekilas ke sisi. Tidak berpuas hati dengan jawapan Abrar.

Imah mencelah, menyiku Asyikin. Menunjuk isyarat ingin mengambil air minuman.

Asyikin angguk. Matanya kembali memaku wajah Abrar.

“Macam you. Sempoi, tak cerewet dan yang paling penting tak memilih.” Abrar tenung tepat pada anak mata Asyikin.

Asyikin terdiam. Renungan mata Abrar cuba dibalas. Hatinya berdebar tiba-tiba.

“Errr… you bukan bercakap pasal hati kan?” Keningnya mula menari ronggeng. Cuba menutup debar di dada.

“Kalau ya?” Abrar ingin menguji.

“Kalau ya I tak dapat bantu.” Asyikin tersenyum.

Giliran Abrar pula kaget. Terasa ada debaran di dadanya. Tidak senang mendengar jawapan Asyikin. Lagilah bila melihat senyuman cantik yang terukir di bibir gadis di sisi dia ini.

“Doktor Naim bukan pakwe you kan?” tanyanya inginkan kepastian. Janganlah Asyikin cakap dia dah bertunang. Tak sanggup dia dikecewakan untuk kali ke-2.

Nope.” Asyikin menggeleng. Senyuman masih terukir di bibirnya.

Abrar menghela nafas lega. Namun tidak lama. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan Asyikin. Dia perlukan jawapan yang pasti.

Then?” Sebelah keningnya ternaik.

Aduh, mr. G ni. Ingatkan soalan tadi dah berjawab. Masih tak puas hati rupa-rupanya. Asyikin menggeleng lemah. Lambat-lambat dia membalas. Wajah dipanggung.

It’s too early, Abrar. I lebih senang berkawan dengan semua orang.” Dia sambung senyum.

“You nak tunggu sampai bila? Sampai dah tak ada orang nak dengan you?” Sinis Abrar membalas.

Eee… sabar ajelah dengan mr. G ni. Sedapnya menyindir. Sabar, Asyikin. Sabar. Jangan cepat melatah. Sila bertenang. Masil lagi tersenyum, kata-kata Abrar dibalas tenang.

“Sekarang ni ada ke orang nak dengan I? Sanggup ke nak hidup dengan I yang kerja tak tentu masa? Hidup I tak sama macam orang lain.”

“Kahwin dengan I. Masa tu baru I boleh tunjuk sampai ke mana I sanggup bersama dengan you.” Abrar tenung muka Asyikin. Yakin sekali melontarkan kata-kata walau sebenarnya jantung dia berdetak hebat. Takut pada penolakan.

“Betullah you gila.” Asyikin ketawa dihujung kata-katanya.

I mean it.” Muka Abrar serius.


Asyikin masih lagi ketawa.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 5


ABRAR melurut rambutnya berulang kali. Orang lain yang dia nak jumpa orang lain pula yang muncul. Tak pasal-pasal hati yang mula berbunga-bunga sudah kembali menutup pintu. Renungan mata figura yang duduk di depan dia dibalas.

“You nak apa lagi cari I, Iqa?” soalnya kasar.

“Berbual-bual dengan you pun dah tak boleh ke sekarang ni? Makwe baru you cemburu?” Sindir Afiqah. Suaranya turut sama kasar.

“You tak makan ke, Iqa?” Luqman menyampuk. Cuba untuk meredakan angin panas yang bertiup di sekeliling mereka bertiga. Malu pun ya juga bila orang di sekeliling sudah mula pandang-pandang. Namun terdetik juga dalam hatinya bagaimana Afiqah tahu kewujudan gadis yang dikatakan makwe Abrar. Mereka pernah tersermpak ke?

Abrar menjeling temannya.

“I kenyang lagi, Luq.” Afiqah tersenyum. Nasib ada Luqman. Kalau tidak memang berperang sahajalah dia dengan Abrar.

Luqman jongket bahu. Sengih tika menoleh pada Abrar di sebelahnya. Seketika sahaja sebelum menunduk bila dilihat Abrar seperti hendak menelan dia. Lebih baik dia sambung makan.

“Ini bukan hal cemburu, Iqa. You patut sedar yang you tu tunangan orang. Nanti apa kata tunang you kalau nampak kita masih berjumpa. Tak manis, Iqa.” Abrar meraup kasar mukanya sebaik habis berkata-kata. Nasi yang diambil tadi masih belum disentuh. Seleranya hilang.

“You dah lupakan semuanya ke, Abrar?” Suara Afiqah mendatar. Terasa hati dengan bicara Abrar. Semudah itu Abrar melupakan kenangan manis mereka berdua.

“Ya Allah! I ni masih beriman walau tak setebal mana, Iqa. You tahu tak salah kalau I masih ingat pada you. Status you dah berubah, Iqa. Status you tidak membenarkan I mengingati you lagi. Haram mengganggu tunangan orang.” Abrar menggeleng. Soalan Afiqah sepertinya gadis ini tidak tahu hukum hakam. Dia hanya mampu beristighfar dalam hati.

“Tapi I tak minta ditunangkan. Ini semua rancangan daddy I.” Afiqah menunduk. Cuba meraih simpati Abrar. Jemarinya bermain pada gelas minuman di depannya.

“Sama ada you suka atau tak, you dah jadi hakmilik orang. Bersyukurlah sebab ini yang memang you harapkan, kan? Lelaki yang bertanggungjawab atas sesuatu perhubungan. Lelaki yang mampu memberikan you segala-galanya.” Jeda.

“I orang kampung. I sedar diri. I memang tak layak berdiri sama tinggi dengan you. Anggap saja kisah kita tu kenangan paling pahit dalam hidup you. Kisah kita dah lama I buang jauh-jauh.” Tenang Abrar membalas.

“Sampai hati you, Abrar. I tak pernah pandang you macam tu. Senang-senang aje you buang kenangan 5 tahun kita.” Ada nada sendu pada suara Afiqah.

Dia tahu dia terlalu mendesak Abrar tapi bukan itu kemahuannya. Dia perlu lakukan itu bila daddynya kerap berkias untuk mengikat dia dengan anak rakan niaganya. Akhirnya dia mengalah bila Abrar sendiri tidak berjuang mempertahankan perhubungan mereka.

“You memang tak pandang I macam tu tapi daddy you tengok I sebelah mata pun dia tak mahu. Sudahlah, Iqa. I think you should go. We are over.” Abrar bersandar malas. Memandang Afiqah dengan satu renungan yang sukar ditafsirkan.

“Abrar…” Afiqah dekatkan badannya pada meja. Tangan Abrar cuba dicapainya tapi hampa bila Abrar meletakkan tangan di atas riba.

“Iqa, you pergilah balik. I takut kalau-kalau daddy you tahu you berjumpa dengan Abrar.” Luqman pula memujuk. Dia tahu Abrar pernah kena ugut dengan kuncu-kuncu daddy Afiqah tapi Abrar melarang dia memberitahu Afiqah. Tidak mahu simpati dari gadis ini.

Afiqah mengeluh. Memandang sayu pada wajah Abrar. Perlahan-lahan dia bangun dan berlalu dari situ.

 Bro, kau okey?” Luqman pandang muka Abrar.

“Kau rasa?” Abrar angkat kening sebelum bangun untuk membasuh tangannya yang sudah kering.

Luqman mengeluh. Memerhati langkah Abrar sambil menyuap nasi.

“Kagum aku dengan kaulah, bro. Puitis betul bila mr. geologist cakap pasal cinta. Dalam hati ada taman. Phewww,” sambung Luqman bila Abrar duduk semula. Dia menggeleng bersama senyuman di bibir. Tak sangka Abrar boleh menuturkan ayat-ayat berbau jiwang.

“Kau jangan nak berdrama sangat boleh tak, Luq? Rimas akulah.” Abrar mula menyuap masuk nasi ke dalam mulutnya. Tidak mahu memikirkan lagi apa yang telah berlaku tadi.

Like seriously Abrar the geologist ke yang bermadah tadi? Aku masih tertanya-tanya, bro.” Luqman langsung tak hiraukan kata-kata Abrar. Dia masih terkesima dengan kejadian tadi.

“Aku sembelih juga kau ni nanti.” Abrar mendengus. Tajam matanya memandang Luqman.

“Okey, okey. Aku sambung makan.” Luqman tersengih.

Selesai makan, mereka berdua bingkas keluar dari restoran itu. Ikut perancangan asal mahu berbual-bual kosong tetapi disebabkan hal yang berlaku tadi, semuanya tidak jadi. Elok sahaja Abrar dan Luqman melangkah keluar, Asyikin dan temannya sampai ke situ.

“Asyikin,” tegur Abrar dengan suara ceria.

Luqman terpinga-pinga. 360 darjah mood Abrar berubah. Tadi bukan main masam sekarang macam menang loteri. Inikah rezeki yang diperkatakan Abrar?

Terhenti terus langkah Asyikin bila ada yang menegurnya. Imah di sebelahnya turut sama berhenti.

“Abrar.” Dia memberi isyarat pada Imah untuk masuk ke dalam dahulu. Sempat Imah kenyit mata mengusik dia sebelum berlalu ke dalam.

“Langkah kanan I hari ni.” Abrar tersenyum.

“Oh! Ini ke yang kau maksudkan, Abrar?” Kening Luqman menari-nari. Menyampuk tanpa dipelawa.

Shut up!” Abrar menjeling.

Luqman mencemik.

Asyikin yang tidak tahu apa-apa hanya memandang kedua-dua lelaki di depannya.

“Baru nak lunch ke?”

“A’ah. You?”

“I baru aje lepas. You terlambat sikit. Kalau tak boleh kita lunch sama-sama.” Abrar masih tayang senyuman kacak.

Naaa… it’s okay.” Asyikin tersenyum sama.

“Nasib ada kawan I, Luqman ni temankan. Ini Asyikin.” Abrar terpaksa memperkenalkan Asyikin pada Luqman bila temannya ini asyik berdeham tanpa henti. Sengajalah tu. Bukan dia tak tahu dengan perangai Luqman. Tak boleh tengok dia senang.

“Hai.” Asyikin tundukkan sedikit wajahnya.

“Hai,” balas Luqman.

"Betul ke nombor yang you bagi I tempoh hari?" Abrar pandang Asyikin. Memintas sebelum Luqman buka mulut dan bertanya macam-macam.

"Eh, Betullah! Kenapa?" Kening Asyikin hampir bertaut. Seingat dia memang dia dail nombornya sendiri pada telefon bimbit Abrar tempoh hari. Masakan dia lupa dengan nombor telefonnya sendiri. Oh, wait! Adakah Abrar pemanggil misteri itu?

"Sekejap." Abrar keluarkan telefon bimbitnya. Mencari nombor yang sudah berulang kali didailnya sejak malam sehinggalah pagi tadi.

Telefon bimbit Asyikin berbunyi. Berkerut dahinya. Dipandang muka Abrar dan skrin telefon bimbitnya bersilih ganti.

"Laaa.... nombor you ke ni?" Bibir diketap. Ada rasa bersalah bersarang dalam hati.

"You tak save ke?" Bulat mata Abrar mendengar pertanyaan Asyikin.

"Tak. Maaf. I ingat orang gila manalah agaknya yang tak reti penat asyik nak call aje. Kenapa tak text I aje?" Asyikin tersengih. Harap Abrar tak marah pada dia. Memang dia lupa sangat-sangat.

“Orang gila! You kata I orang gila?" Makin terbuntang mata Abrar.

Luqman di sebelah dah menekan perut. Ketawa tak ingat dunia. Mulanya ingat nak simpan sendiri tawa tu tapi memang tak boleh. Lucu pula melihat gelagat Abrar.

 Abrar menyiku temannya itu.

Luqman tutup mulut. Cuba menahan tawanya dari berterusan.

“Orang gila yang handsomelah, boleh?” seloroh Asyikin. Senyumannya semakin lebar. Cuba menutup kesalahan yang tak disengajakan.

 Abrar tarik muka masam. Bengang. Boleh pula Asyikin beri gelaran macam tu kepada dia.

“Asyikin, you ada kawan-kawan yang masih bujang lagi tak?” Luqman mencelah.

Abrar yang tadinya ralit memandang Asyikin memandang kepada Luqman pula. Dahi dia dah berkerut. Rasa macam nak disekeh-sekeh kepala si Luqman yang sedang tersengih-sengih memandang dia.

“Kenapa?” Wajah Luqman dipandang Asyikin dengan tanda tanya.

“Yang perangai macam you. Sempoi. Boleh buat hati lelaki macam Abrar ni tak senang duduk. Mood berubah 360 darjah.” Luqman tekap tapak tangannya pada dada Abrar.

“Huh?” Asyikin terkebil-kebil. Tidak faham. Memandang Luqman dan Abrar bersilih-ganti.

“You jangan layan dia.” Abrar menggeleng. Ditepis tangan Luqman. Bahu Luqman turut ditumbuk kuat.

Luqman menyeringai. Digosok kuat bahunya. Hatinya terdetik pasti Asyikin sangat istimewa pada Abrar. Sepanjang Abrar masih mempunyai hubungan dengan Afiqah, temannya ini tak seceria sekarang. Penangan jururawat Asyikin ni memang hebat.

“Okey.” Asyikin jongket bahu.

“Pinjam handphone you?” Abrar tadah tangan.

“Nak buat apa?” Asyikin sorok tangan yang memegang telefon bimbit ke belakang.

“Comel.” Luqman menggeleng. Manalah temannya ini tak jatuh hati. Kalau Asyikin ini bukan dalam perhatian Abrar, mahu juga dia cucuk jarum.

“Kau ambil kunci ni.” Abrar serahkan kunci pacuan empat rodanya kepada Luqman. Tidak mahu Luqman meyampuk perbualan antara dia dan Asyikin.

“Gurau sikit pun tak boleh.” Luqman capai kunci. Faham dengan isyarat yang cuba disampaikan Abrar. Sengaja dia melangkah lambat-lambat meninggalkan Abrar dan Asyikin.

Abrar memerhati belakang Luqman sehingga susuk tubuh temannya itu hilang. Pandangannya kembali terarah kepada Asyikin.

“Mana?” Abrar angkat kening. Tangan masih ditadah.

“Cakap dulu you nak buat apa?” Asyikin masih enggan memberikan telefon bimbitnya. Tak pernah seumur hidup telefon bimbit miliknya sewenang-wenangnya diberi kepada orang lain terutama sekali lelaki melainkan ayahnya.

“Bagi dulu. Nanti baru you tahu.” Abrar tidak mahu mengalah. Mendesak secara lembut.

Dengan berat hati Asyikin letak juga telefon bimbitnya di atas tapak tangan Abrar.

Abrar menekan-nekan telefon bimbit Asyikin.

Asyikin memerhati dengan sedikit gelisah. Apa yang lelaki ni nak buat sebenarnya?

“You betul-betul letak orang gila dekat nombor I?” Suara Abrar naik satu oktaf. Bengang.

“Hesy… kan I dah cakap tadi I tak simpan nombor you. Maaflah. Memang I lupa tu nombor siapa.” Asyikin tak tahu nak beri alasan apa lagi. Bibir digigit. Rasa bersalah semakin menjalar. Terlupa pula memadam gelaran yang ditulisnya itu.

“Sebab you dah buat salah. Malam ni you kena keluar makan dengan I.” Abrar pulang semula telefon bimbit Asyikin.

“Perlu ke?” Mulut Asyikin dah herot ke kiri dan ke kanan. Sengaja tau lelaki ni nak buat dia semakin rasa bersalah.

“Perlulah. Nanti baru you tahu I gila ke tak. You kerja pagi kan? Apa-apa nanti I call you. Assalammualaikum.” Abrar terus pergi tanpa menunggu persetujuan Asyikin.

“Wahhh… sesedap bahasa dia aje. Dominan. Aku tak cakap pun aku nak keluar malam ni dengan dia.” Asyikin membebel sambil tangan berlari pada skrin telefon bimbit.


“Euwww… Abrar handsome. Please!” Tergoyang-goyang bahu Asyikin bila membaca nama yang diedit Abrar pada telefon bimbitnya. Tak menahan betullah si Abrar ni.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.