BINGIT
telinganya mendengar jeritan suara-suara kecil saat kaki menjejak tanah. Beg
bimbit yang diletakkan di tempat duduk sebelah penumpang dicapai. Kot yang
tergantung di kepala kerusi turut diambil. Pintu kereta ditutup. Dia memandang
seketika di sekeliling rumahnya.
Dia
mengukir senyuman. Bangga dengan apa yang dia perolehi kini. Penat lelahnya
selama ini sangat berbaloi. Cumanya kini dia perlu tingkatkan usaha lagi.
Sementelah kos hidup semakin lama semakin meningkat. Apa yang ada sekarang
hanyalah cukup-cukup makan.
“Papa!”
Serentak
jeritan nyaring itu, kakinya dipaut. Tersentak Adee dari lamunannya. Dia
menunduk bila terasa pelukan di kakinya semakin kejap.
“Apa ni, Ami?” Dirungkaikan tautan anak kecil itu
sambil itu matanya mencari kelibat seseorang. Punca menyebabkan si kecil ini
jadi begini.
“Tolong
Ami, papa…” Ami merengek. Masih tidak mahu melepaskan tangannya.
“Afi!”
Adee menjerit kuat. Tangan sudah mencekak pinggang. Beg bimbit dan kotnya tadi
dicampak sahaja ke tanah.
Yang
dipanggil perlahan-lahan melangkah menghampiri Adee. Kepala menunduk memandang
ke tanah. Tidak berani mengangkat wajah.
“Berapa
kali papa dah pesan. Jangan kacau adik. Afi tak faham-faham lagi ke?” Adee
menengking.
Terhinggut
bahu Afi. Namun masih tidak berani membalas pandang.
Ami
yang pada mulanya seronok bila abangnya dimarahi mula melonggarkan pelukannya.
Terus sahaja dia berlari ke arah abangnya. Tangan abangnya digenggam kuat.
Perlakuan
dua beradik itu membuat Adee menyedari sesuatu. Dikuak kasar rambutnya ke
belakang. Nafas dihela dalam-dalam.
“Pergi
masuk sana. Mandi. Dah petang pun masih nak main-main lagi,” arah Adee. Walau
suaranya tidak sekeras tadi tetapi masih ada nada tegas dalam kata-katanya.
Kedua-dua
beradik itu pantas berlari ke dalam rumah. Terdengar si adik menangis kuat. Si
abang memeluk si adik erat. Memujuk barangkali.
Adee
beristighfar dalam hati. Sungguh bukan maksud dia melukakan hati anak-anak.
Sikap mereka menjadikan dia begitu. Sudahlah dia penat. Ditambah pula dengan
kenakalan mereka. Setiap hari, inilah yang dihidangkan kedua beradik itu
apabila dia pulang ke rumah.
“Dee…”
Satu
suara lunak menegurnya sebaik dia melabuhkan punggung di sofa. Matanya yang hampir
terpejam dicelikkan. Memerhati susuk tubuh yang datang mendekat.
“Air
you.”
Segelas
air suam dihulurkan kepada Adee. Satu-satunya benda yang membuat hati dia tidak
sabar pulang ke rumah adalah layanan mesra yang dia terima. Tengok sahajalah
sekarang ni. Kakinya terasa lega apabila dipicit-picit.
“Dah
lama you balik?” soal Adee kepada orang di sebelah.
“I
ambil separuh hari, hari ni.”
“Kenapa?”
Kening Adee terjongket. Dihulurkan kembali gelas yang sudah kosong.
Yang
ditanya hanya tersenyum. Tiada jawapan. Malah sudah berdiri untuk ke ruang
dapur.
“Aweennn…”
Tangan si isteri dicapai. Mengharapkan isterinya ini memberikan jawapan. Ada
yang dia terlupakah?
“You
naiklah dulu, Dee. Mandi. Dah dekat nak maghrib ni. Budak-budak tu mesti dah
tunggu kita nak solat bersama-sama.” Aween tersenyum. Menggosok lembut tangan
Adee sebelum berlalu dari situ.
Jawapan
Aween membuatkan dia semakin rasa bersalah. Apakah yang dia terlupa?
Berkerut-kerut dahinya cuba memikirkan apakah sebenarnya yang menyebabkan
isterinya ambil cuti separuh hari. Puas difikirkan namun masih tiada jawapan.
Akhirnya
Adee mengambil keputusan untuk naik ke bilik. Tidak mengapa. Lepas solat nanti
dia akan dapatkan jawapannya dari Aween. Isterinya itu mana pandai simpan
rahsia lama-lama.
USAI
mengaminkan doa dan bersalam-salaman, Aween kelam kabut meminta diri untuk
menyediakan makan malam mereka. Tidak sempat Adee mahu bertanya. Anak-anaknya
juga turut sama membontoti langkah mama mereka.
“Apa
semua ni? Apa yang mereka sembunyikan dari aku?” Jemari Adee naik memicit pelipis.
Rasa bersalah yang mula terbit sejak petang tadi semakin menjalar dalam hatinya
kini.
Perlahan-lahan
dia bangkit dari duduknya. Mengemas sejadah yang telah digunakan. Walau dia
memang memperuntukkan satu bilik untuk dijadikan ruang solat tetapi dia tidak
suka bilik ini bersepah-sepah. Memang itu pantang bagi dia.
Mujur
Aween tak pernah bersungut. Walau isterinya itu turut berkerja, namun Aween
ringan tulang. Tak pernah dia lihat rumah mereka bersepah sewaktu dia pulang
dari pejabat. Dia besyukur sangat-sangat dikurniakan seorang isteri yang sangat
rajin.
Adee
menapak masuk ke bilik tidur. Kopiah di kepala diletakkan di meja sisi.
Punggung dilabuhkan di birai katil. Sebuah buku dicapai. Itulah kebiasaannya.
Membaca sehelai dua muka surat sebelum turun ke bawah untuk makan malam.
Tidak
sampai 10 minit dia membaca, telefon bimbitnya berbunyi. Kalut dia mencari
letak duduknya telefon bimbitnya. Biasanya ada saja di atas meja sisi tetapi
untuk mala mini tak ada pula di situ.
Adee
berdiri. Memerhati sekeliling. Cuba menangkap arah datangnya bunyi telefon
bimbitnya. Tersenyum dia bila ternampak telefon bimbitnya. Kaki menapak menuju
ke sudut bilik.
“Kenapalah
kau duduk dekat dalam ni.” Dia menggeleng. Diambil telefon bimbit yang sudah
separuh badan masuk di dalam kocek kotnya.
“Ya,
sayang.” Dia mendengar seketika.
“Okey,
I turun sekarang.” Talian dimatikan. Dicampak sahaja telefon bimbit itu ke atas
katil. Segera dia menghayun langkah keluar dari bilik.
Sampai
sahaja di tingkat bawah, Adee menangkap suara anak-anaknya yang riuh di ruang
makan. Kakinya dihalakan ke ruang itu.
“Apa
bising-bising ni?” tegur Adee sebaik muncul di ruang makan.
Terdiam
terus suara-suara yang seperti bergaduh tadi. Masing-masing menikus. Duduk
diam-diam di kerusi yang biasa mereka duduki. Menanti kata-kata yang akan
keluar dari mulut Adee. Membisu seperti menanti dijatuhkan hukuman.
“Dee,
duduklah,” pelawa Aween. Ditarik sebuah kerusi yang memang menjadi kegemaran
Adee.
Adee
terpaku. Kakinya seakan-akan beku untuk menghampiri meja makan. Lemah. Longlai.
Nasib sahaja dia masih berdiri berdekatan dinding yang memisahkan ruang tamu
dan ruang makan. Dapatlah dia berpaut pada dinding itu.
Matanya
seolah-olah tidak mahu percaya apa yang dilihatnya. Pelbagai makanan yang
terhidang di atas meja makan. Ada laksa, ada nasi beriani, ada buah-buahan dan
yang paling penting ada dua biji kek di atas meja itu.
“Dee…
budak-budak dah lapar. I pun dah lapar. You pun mesti lapar juga, kan?” Tangan
Adee diraih Aween. Ditarik suaminya itu mendekati meja makan.
“Sayang,
I…” Kelu lidah Adee untuk meneruskan kata-katanya.
“Ssshhh…
kita cerita nanti,” Aween berbisik. Seperti biasa tidak mahu anak-anak tahu apa
masalah mereka.
Sempat
Adee melirik pada dua biji kek tadi. Ya Allah, dia memang terlupa. Patutlah
Aween berbaju cantik. Patutlah Afi dan Ami berbaju cantik juga. Dia? Dia hanya
mengenakan baju pagoda dan berkain pelekat. Malunya.
“Happy seventh anniversary, Dee. I harap
perkahwinan kita ni akan kekal hingga ke Jannah. You adalah hadiah terbaik
untuk I dan anak-anak. Terima kasih, Dee.” Aween hulurkan bungkusan kecil
berbalut keemasan kepada Adee. Jemari Adee diraih. Dikucup lembut sebelum satu
ciuman dihadiahkan pada pipi kanan Adee.
“Aweennn…”
Adee rasa macam nak menangis. Kenapa dia boleh lupa tarikh keramat ini.
Aween
menggeleng. Memberi isyarat untuk Adee tidak berkata apa-apa.
“Papa.”
Afi dan Ami sudah berdiri di belakang Aween. Takut-takut untuk mendekati Adee.
Adee
menggamit. Memanggil anak-anaknya datang mendekat.
“Ini
untuk papa. Afi dan Ami tulis.” Afi menghulurkan sekeping sampul surat kepada
Adee.
Ami
yang berdiri di sebelah Afi mengangguk. Mengiyakan kata-kata abangnya.
“Terima
kasih.” Kepala Afi dan Ami diusap lembut. Dikucup pipi kedua-dua anaknya itu.
Terharu kerana anak-anaknya ingat tarikh keramat ini.
“Okey.
Cukuplah tu. Sekarang Afi dengan Ami nak hadiah tak?” Aween mencelah. Cuba
untuk merubah suasana hening.
Semakin
Adee terkesima. Terlupa. Memang dia terlupa. Tarikh ulangtahun perkahwinan dia
dan Aween dikongsi bersama dengan anak-anaknya. Kuasa Allah. Mereka berdua
dilahirkan pada tarikh yang sama dia menikah dengan Aween. Bezanya Cuma tahun.
Afi sudah 6 tahun dan Ami pula sudah 4 tahun.
“Yeay!”
Bersorak riang kedua-dua anak kecil itu.
Aween
hulurkan hadiah setiap satu kepada anak-anaknya.
“Thank
you, mama. Sayang mama.” Afi dan Ami memeluk erat Aween. Selepas itu
kedua-duanya berpaling kepada Adee.
Adee
tersenyum. Keningnya dijongketkan.
“Papa
belikan apa untuk kami?” soal Afi.
“A’ah?”
Si adik turut bertanya sama.
“Errr…
papa…” Adee tidak tahu mahu berkata apa. Rasa macam dia nak lari keluar dari
rumah. Rasa macam dia bukan seorang papa yang terbaik untuk anak-anaknya. Dia terlupa.
Terlupa semuanya. Maafkan papa, anak-anakku.
“Dee,
you lupa ke? You kan ada belikan dia orang hadiah juga.” Aween menghulurkan dua
bungkusan besar kepada Adee.
“Ya…
Ya… Papa lupalah.” Tergagap-gagap Adee menjawab. Berpura-pura menepuk dahi sebelum
diambil bungkusan hadiah yang dihulurkan Aween. Sempat dia menitipkan perkataan
terima kasih tanpa suara kepada isterinya.
Aween
hanya tersenyum dan mengangguk.
“Yeay!”
Semakin kuat sorakan Afi dan Ami. Seronok menerima hadiah-hadiah dari kedua-dua
papa dan mama mereka.
ADEE
menarik selimut menutupi badan Ami. Dikucup pipi anaknya yang sudah terlena. Lampu
bilik ditukar kepada lampu tidur. Pintu bilik tidur anak daranya ditutup
separuh. Dia melangkah masuk ke bilik Afi pula.
“Tak
tidur lagi?” Adee duduk di birai katil. Memandang wajah Afi yang masih
terkebil-kebil di atas katil.
“Papa,
minggu depan dah cuti sekolah. Kita pergi jalan-jalan nak? Dah lama papa tak
jalan-jalan dengan kami. Kesian dekat mama. Penat layan kami.”
Adee
tersenyum. Patutlah si bujang ni tak tidur lagi. Ada hajat besar rupa-rupanya.
“Afi
nak pergi mana?” Kepala Afi diusap lembut.
“Legoland?
Errr… kalau papa penat tak apalah. Afi tak nak kacau. Mama selalu cakap, jangan
kacau-kacau papa. Papa penat sangat sebab papa kena kerja. Nak cari duit untuk
Afi dan Ami.” Petah sekali Afi berbicara.
Ya
Allah, apa yang telah aku lakukan? Menyerahkan segala-galanya kepada Aween.
Sedang Aween sendiri pun berkerja juga. Culasnya aku menjalankan tanggungjawab
sebagai ketua dalam keluarga ini. Adee merintih sendiri.
“Tak,
sayang. Papa tak penat. Nanti kita pergi sama-sama.” Adee tersenyum.
“Betul
ni?”
“Ya.”
Adee mengangguk.
“Janji?”
“Janji,
sayang. Sekarang Afi tidur. Dah malam sangat ni. Esok pagi-pagi boleh ikut papa
pergi taman. Kita jogging. Esok kan
tak sekolah?” pujuk Adee lagi.
“Okey.”
Afi tadah tangan. Membaca doa sebelum tidur.
Adee
tersenyum memerhati. Sungguh momen ini dia tidak pernah nampak. Selama ini yang
dia tahu bertanya sahaja pada Aween sama ada anak-anak sudah tidur atau belum
ketika isterinya itu masuk ke dalam bilik tidur mereka. Sedangkan dia hanya duduk
bersantai di atas katil sambil membaca. Tidak pernah terfikir olehnya untuk
sama-sama menunaikan tanggungjawab ini.
Pintu
bilik tidurnya dikuak. Matanya memerhati sekeliling. Mencari kelibat si jantung
hati. Tiada di situ. Dia menapak masuk. Mungkin Aween ada di dalam bilik air.
Selepas
selesai makan malam tadi, dipaksanya Aween untuk terus naik ke bilik tidur
mereka. Dia berbesar hati mengambil alih semua tugasan yang biasa Aween
lakukan. Itu tekadnya bermula hari ini. Jika dia tidak mulakan dari sekarang,
entah bila lagi dia akan berubah.
Baru
sahaja dia ingin melabuhkan punggung di atas katil, Adee terperasan pintu
gelangsar yang menempatkan balkoni terbuka. Matanya tertancap susuk Aween yang
sedang bersandar pada besi penghadang di luar sana. Dia melangkah ke situ.
“Terima
kasih, sayang.” Adee memeluk erat badan Aween dari belakang. Ada satu perasaan
yang menjalar dalam hatinya. Menusuk ke dasar hati. Sangat dalam.
“Please don’t.” Aween memusingkan
badannya. Dihadiahkan satu senyuman manis untuk tatapan Adee.
“I
malu. Sangat-sangat malu.” Adee mula meluahkan apa yang dia rasa sejak kakinya
menjejak ruang makan tadi dan sehingga kini.
“I
faham. You sibuk.” Lembut sahaja bicara Aween. Mengusap lembut lengan Adee yang
masih melingkar di pinggang dia.
Adee
terpana. Dirasakan bagai Aween menyindir dia walau sebenarnya tiada tanda-tanda
berbau sinis dalam kata-kata isterinya itu.
“I
memang betul-betul terlupa. Maafkan I, sayang.” Adee jatuhkan dahinya pada dahi
Aween. Malunya berganda-ganda dengan Aween.
“Dee…”
Aween pegang kedua-dua belah pipi Adee.
Adee
angkat wajah. Merenung penuh sayu muka Aween.
“I
tak kisah. I faham you berkerja keras untuk keluarga kita. You cuba untuk
memberikan yang terbaik untuk kita semua.” Aween mengangguk.
Tangan
Adee sudah beralih. Dipegang kedua-dua belah tangan Aween. Digenggam erat
jemari isterinya itu.
“Sebab
you tak kisahlah menjadikan I macam ambil kesempatan. I’m sorry, sayang. Really,
really sorry.” Nada suara Adee sedikit bergetar. Matanya juga sudah
berkaca-kaca.
“I
maafkan tapi dengan satu syarat.” Aween bercanda. Ada tawa dalam kata-katanya.
“Just name it.” Adee tersenyum. Tahu
sangat dengan perangai Aween. Isterinya ini mana suka mereka berdua
bersedih-sedih. Alergik dengan air mata. Itu yang membuatkan dia semakin sayang
dengan Aween.
“Sebab
tadi you marah-marah anak, you lupa beli hadiah untuk mereka dan you lupa
tarikh ulangtahun perkahwinan kita. You kena buat kerja rumah selama seminggu,
boleh?” Aween kerdip-kerdipkan matanya.
“Eye-eye, madam.” Adee buat tabik hormat.
“Dee…”
Lengan Adee dipukul manja. Aween ketawa.
“Aween
sayanggg…” seru Adee lembut.
“Hurmmm…”
Aween membalas manja.
Mata
Aween direnung dalam-dalam.
“Terima
kasih. Terima kasih sebab sudi menjaga maruah I. Terima kasih sebab sudi
menjadi kaki dan tangan I. Terima kasih untuk tujuh tahun yang berlalu dan
untuk tahun-tahun yang mendatang. Terima kasih untuk semuanya. You umpama
pelangi dalam hidup I dan anak-anak. Memayungi kami dengan pelbagai warna yang
ada dalam diri you.” Jeda. Mata mereka masih bertatapan.
“I
tak dapat bayangkan hidup I dan anak-anak tanpa you di sisi kami. I love you, Aween. Sayang I pada you tak
terkira banyaknya.”
“I love you too, Dee.”
Satu
ciuman diberikan pada bibir Aween sebelum ditarik tubuh Aween ke dadanya. Adee
peluk seerat-eratnya. Seolah-olah langsung tidak akan melepaskan jantung
hatinya itu.
Adee
bersyukur sangat-sangat. Diberikan peluang untuk tidak mengabaikan
tanggungjawabnya kepada keluarganya. Terima kasih, ya Allah. Aku tidak meminta
lebih selain dari apa yang telah engkau berikan kepadaku kini.
TAMAT