Sunday, April 19, 2015

KAU CINTA DIA LOVE - BAB 2


HAMPIR satu jam Ayman terpaksa menghadap Encik Rahman. Banyak perkara yang mereka bincangkan. Perkembangan beberapa projek yang dipertanggungjawabkan kepada dia dicerita satu persatu. Ini baru seminggu dia menghilang. Kalaulah sebulan tak menjenguk pejabat, rasa-rasanya sehari suntuklah dia dipaksa memandang wajah Encik Rahman.

“Saya lupa satu perkara lagi,” beritahu Encik Rahman sebaik selesai membelek beberapa helai kertas yang ada di depan dia. Wajah tak bermaya Ayman direnung seketika. Menggeleng dia dengan riak wajah pemuda di depan dia ini. Bosan agaknya anak muda ini mendengar dia menceceh.

Ayman hanya jongket kening. Sudah tidak berdaya mahu bertanya apakah perkara itu. Tekaknya sudah kering bersoal-jawab dengan ketua unitnya ini. Tak sempat nak meneguk air barang setitis dua tadi.

Encik Rahman bersandar malas sebelum menyambung bicaranya.

“Ada seorang penolong jurutera baru dalam unit kita. Dato’ Hussain suruh letak bawah awak. Awak dah jumpa?”

“Yang rambut karat tu ke?” Kedua-dua kening Ayman terangkat. Mulutnya senget sedikit. Tidak sanggup menerima kenyataan dia bakal berkerjasama dengan gadis berambut karat itu. Gadis-gadis yang sedia ada itu pun sudah memeningkan kepalanya. Ini ditambah seorang lagi yang pada firasatnya tidak sesuai berkerja sebagai seorang jurutera.

Encik Rahman ketawa. Sudah boleh diagak penerimaan Ayman tentang perkara ini. Dia sendiri sebenarnya terkejut melihat penampilan pekerja baru itu. Namun tidak adil untuk menilai seseorang itu hanya melalui penampilan luarannya. Anak gadis itu bukan calang-calang. Kelulusan Adni sebenarnya melayakkan Adni memegang jawatan sebagai seorang jurutera tetapi Dato’ Hussain hanya menawarkan jawatan sebagai seorang penolong jurutera.

Don’t judge the book by its cover, Ayman.”

“Prinsip tu dah tak boleh pakai, Encik Rahman. Tengok sajalah staf-staf saya tu. Cuma saya pelik. Kenapa staf-staf di bawah saya semuanya perempuan? Dah tak ada lelaki ke dalam syarikat kita ni?”

Encik Rahman hanya mengangkat bahu dan tersenyum. Dia tiada jawapan untuk soalan Ayman itu. Bukan di bawah bidang kuasa dia menentukan siapa yang perlu berkerja di bawah kelolaan siapa.

Ayman mengeluh. Adakah kerana dia anti-sosial menyebabkan syarikat meletakkan pekerja perempuan di bawah kelolaannya? Pasrah ajelah, Ayman. Nak tanya lebih-lebih, kau tu kuli aje pun. Hatinya berbisik sendiri.

“Ada apa-apa lagi ke, Encik Rahman?” Ayman menyoal lagi setelah soalannya tadi tiada balasan. Lagi pun dia malas hendak memanjangkan lagi pertemuan ini. Mahu segera keluar dari sini. Mahu menghirup udara segar di luar.

“Jangan lupa briefing budak baru tu pasal projek mana yang awak nak dia bantu.”

Ayman mengangguk lemah. Itu pun dia juga ke yang kena buat? Hesy, Encik Rahman ni makan gaji buta ke apa. Apa tugas Encik Rahman sebagai ketua unit agaknya ya?

“Jangan salah sangka pula, Ayman. Saya dah terangkan sikit-sikit masa budak tu lapor diri tempoh hari. Cuma saya tak pasti awak nak dia bantu untuk projek yang mana satu.” Encik Rahman tersenyum.

Ayman rasakan liurnya tak tertelan mendengar kata-kata Encik Rahman. Sungguhlah orang tua ini memang banyak makan garam. Ketara agaknya riak wajah dia pada pandangan mata Encik Rahman.

“Saya keluar dululah, Ecnik Rahman.” Ayman bingkas bangun. Tak sanggup lagi nak berlama-lama di situ. Karang macam-macam lagi kata-kata sinis keluar dari mulut orang tua ini. Walau dia tahu Encik Rahman tidak bermaksud begitu.

“Bagi dia kerja. Dah seminggu dia tercongok tak buat apa-apa.”

Telinga Ayman menangkap jelas butir bicara Encik Rahman sebelum pintu bilik kerja Encik Rahman itu ditutup rapat. Badannya disandarkan seketika pada pintu itu sebelum kembali ke bilik kerjanya. Matanya memerhati sekeliling. Saat itu pandangannya bertaut dengan Adni yang baru melangkah masuk ke ruang kerja.

Spontan Ayman melihat jam di tangannya. Dia kembali panggung wajah dan tika itu juga dia perasan Adni masih memandang dia. Sebelah keningnya dijongketkan.

“Selamat pagi, Encik Ayman,” tegur Nadia yang berdiri di sebelah Adni.

Aqilah dan Zara yang turut berdiri sebelah menyebelah dengan Nadia turut mengungkap perkataan yang sama. Cuma Adni sahaja yang tidak bersuara. Sekadar menganggukkan kepala.

“Hurmmm…” Itu sahaja yang terluah dari mulut Ayman. Perut yang sudah berkeroncong minta diisi membuatkan mood dia menjadi kurang baik. Teringat yang dia belum berkesempatan untuk menikmati sarapan pagi ini. Lantas kakinya dibawa masuk ke dalam bilik kerjanya.

Terkebil-kebil mata keempat-empat gadis ini memandang Ayman yang sudah menghilang di sebalik pintu yang bertutup rapat.

“Kau okey tak, Adni?” soal Zara bila perasan Adni hanya membisu sedari tadi.

“Betullah dia beku. Patutlah masa terlanggar dia tadi langsung tak ada suara. Tenung aku semacam. Seram pula.” Adni meluahkan apa yang dia rasa sambil berjalan menuju ke kubikelnya.

Sebenarnya ada sedikit debaran dalam dadanya melihatkan pandangan mata Ayman tadi. Dua kali dia menerima renungan yang sama dari mata Ayman. Macam mata helang. Tunggu masa saja nak terkam mangsa.

“Aku tak salahkan kau beranggapan macam tu tapi bila kau dah kenal siapa dia, kau akan nampak sisi lain pada dia. Sikitlah lainnya tu, kan Nadia?” Aqilah menyampuk. Dia masih lagi berdiri berdekatan dengan kubikel Adni dan Nadia.

“Eh, apasal tanya aku pula? Aku tak ada kena mengena dengan orang dekat dalam tu.” Berkerut dahi Nadia bila dilontarkan soalan begitu. Tidak suka namanya dikaitkan dengan Ayman. Dia sudah bertunang. Takut nanti menimbulkan fitnah pula.

“Hesy, kau ni lurus sangatlah. Bukannya maksud aku kau ada hubungan dengan Encik Ayman. Maksud aku, kau lebih mengenali siapa Encik Ayman yang sebenarnya sebab kau lebih banyak membantu Encik Ayman. Kau kan orang kepercayaan dia.” Aqilah menggeleng. Kenapalah dia boleh ada seorang kawan yang sangat naïf macam Nadia ni.

“Ooo…” Nadia terangguk-angguk sebelum tersengih memandang yang lain.

Pecah ketawa ketiga-tiga mereka dengan aksi Nadia.

“Tak puas lagi berborak?” Satu suara garau menegur dari belakang Aqilah dan Zara.

Terhinggut bahu kesemuany. Kalut Aqilah dan Zara berlalu ke ruang kerja masing-masing. Nadia pula pantas menundukkan wajah. Manakala Adni laju saja menarik salah satu fail yang ada di meja Nadia untuk disemak.

Ayman tersenyum sinis. Gadis berambut karat ini pun sudah terikut-ikut dengan lakonan staf-staf yang lain bila nampak dia ada di ruang kerja ini. Gadis ini pastinya tidak tahu yang dia tahu si dia ini tiada apa-apa kerja yang perlu dibuat.

Siaplah kau nanti. Lepas aku isi perut ni, macam-macam akan aku kerah kau. Ayman tersenyum sendiri memikirkan rancangannya nanti. Dia berkalih pandang kepada Nadia.

“Nadia, saya nak keluar makan sekejap. Kalau ada yang mencari, ambil mesej. Jangan pandai-pandai bagi nombor handphone saya,” pesannya kepada orang kepercayaan dia. Nadia mudah untuk dibawa berbincang dan gadis ini cepat belajar. Itu yang dia suka berkerja dengan Nadia.

Nadia mengangguk.

And you…” Ayman mengetuk meja Adni. Menanti gadis itu memandang kepada dia.

Adni mendongak. Tanpa kerlipan membalas renungan Ayman tetapi hanya seketika sebelum pandangan matanya difokuskan ke tempat lain.

I want to see you right after I had my breakfast.” Ayman terus berlalu pergi sebaik habis berkata-kata.

Adni melopong. Sungguh perilaku Ayman memang menjengkelkan. Entah bagaimana nanti agaknya keadaan dia bila berdepan secara bertentang mata dengan lelaki beku itu.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Saturday, April 18, 2015

KAU CINTA DIA LOVE - BAB 1


ENJIN kereta dimatikan. Beg sandang yang diletakkan di kerusi penumpang sebelah pemandu diambil. Pintu dibuka. Kakinya melangkah keluar. Ayman memandang sekeliling. Rasa macam sudah terlalu lama dia tidak datang ke pejabat. Bebanan kerja yang menimbun membataskan waktunya untuk sentiasa ada di sini.

Perlahan-lahan dia melangkah. Mendekati pintu masuk Perunding Klasik Sdn. Bhd. Dia masih lagi leka memerhati sehinggakan tidak perasan keberadaan seorang gadis berambut perang yang turut berjalan menuju ke situ.

“Ops!” Ayman menjauh bila terasa sisi badannya tersentuh seseorang. Dia menoleh ke sisi. Gadis berambut perang yang mengangkat tangan kepadanya direnung tajam. Dipandang sahaja belakang gadis berambut perang itu yang sudah berlalu meninggalkan dia.

“Macam tak sempat-sempat nak berbual. Kalau rasa nak bergayut tu, pergilah cari tempat yang privasi. Menyusahkan orang betul.” Ayman membebel kepada gadis berambut perang itu sambil mengibas-ngibas lengannya walau si gadis sudah hilang di sebalik pintu lif yang bertutup.

“Zana, I’d just bumped into a hot guy.” Adni ketawa. Sempat dia memerhati lelaki yang dilanggarnya tadi sebelum pintu lif tertutup rapat. Rezeki dia pagi ini terlanggar lelaki kacak. Namun lelaki itu tak pernah dia jumpa pula sebelum ni. Sudah seminggu dia berkerja dekat sini hampir kesemua pekerja syarikat ini dia sudah kenal. Ke ada lagi yang dia belum berkenalan?

“Wehhh… ingat balik nawaitu kau berkerja.” Zana di hujung talian sudah memberi amaran.

“Alahhh… cuci-cuci mata. Apa salahnya, kan.” Adni tergelak lagi. Langsung tidak endah dengan pandangan mata yang mengerling kepada dia. Bukan dia kacau orang pun. Dia tengah berborak dengan teman baiknya sekarang ini. Lagi orang perhati lagilah dia buat perangai. Matanya menyapa pantulan imej dirinya pada dinding lif. Malah jemarinya ralit membetulkan rambut karatnya itu.

“Dah, dah. Pergi kerja tu. Aku ada lagi dua jam tau boleh tidur lagi ni. Sakit telinga dengar kau merepek yang bukan-bukan.” Giliran Zana pula tergelak.

“Yalah, yalah. Maaf mengganggu waktu tidur kau. Anyway thanks for lending me your ears.” Suara Adni berubah mendatar. Merajuk dengan balasan kata temannya itu. Namun dia tahu Zana hanya bergurau. Salah dia juga sebab sanggup menelefon Zana yang jauh beribu batu di Australia itu.

“Naaa… aku gurau ajelah. Kerja elok-elok. Jangan nakal-nakal. Aku tak ada dekat situ nak pantau kau tau.”

Adni tergelak. Zana tak pernah gagal buat hati dia ceria. Itu yang persahabatan terbina di antara mereka sejak di bangku sekolah menengah bertahan sehingga ke hari ini.

Babe, I’ve reached my floor. Nanti kita berborak lagi. Assalammualaikum.” Talian dimatikan. Adni melangkah keluar sebaik pintu lif terbuka. Hayunan kakinya laju menuju ke pintu pejabat.

Sebenarnya dia terlewat bangun. Leka menghadap komputer riba malam tadi. Galak sangat melayari laman-laman sosial sampai tak sedar dia terlajak hingga jam 12.00 malam. Bunyi alarm yang telah disetkannya untuk mengejutkannya juga dia tidak dengar.

“Nasib on the dot. Kau tak boleh macam ni Adni,” tegur Nadia yang kebetulan berdiri dekat dengan mesin perakam waktu. Memerhati Adni yang berwajah selamba memasukkan kad perakam waktunya.

Adni menoleh. Senyuman semanis gula dilemparkan.

“Relakslah, Nadia. Baru dua kali.” Langsung tiada perasaan bersalah dia membalas walau masa pada kad perakam waktunya berwarna merah. Dia berjalan menuju ke kubikelnya.

“Aku bukan suka-suka nak cakap, Adni. Kau tu pekerja baru. Kenalah tunjuk perangai yang elok. Lagi pun aku rasa Encik Ayman masuk pejabat hari ini.” Nadia membebel di belakang Adni. Mengekori langkah Adni.

At last after a week.” Adni ketawa. Sinis. Dia masih lagi begitu. Tiada perasaan.

“Amboi! Bunyi macam orang tak sabar aje.” Seorang gadis yang duduk di kubikel bertentangan menyampuk. Tersengih bila Adni membuntangkan mata kepada dia.

“Betullah tu, Aqilah.” Nadia turut mengiyakan kata-kata gadis yang menyampuk tadi. Serentak itu bahunya menerima pukulan manja Adni.

Sorry, girls. Work is work. Nothing personal. Bosan tau datang kerja goyang kaki.” Adni membalas sambil menggelengkan kepala. Rakan-rakan barunya ini kalau tidak menyakat dia memang tidak sah. 

Sebenarnya dia pun berdebar-debar juga nak bersua muka dengan jurutera muda yang diceritakan Nadia dan Aqilah. Kata mereka Encik Ayman itu orangnya beku. Tertanya-tanya juga beku yang bagaimana dimaksudkan mereka itu.

Mereka ketawa. Tanpa sedar gerak-geri mereka diperhatikan. Mencuka wajah Ayman yang sudah berdiri di depan pintu biliknya. Ada sedikit rengusan halus kedengaran sebelum Ayman melangkah masuk ke dalam bilik kerjanya.

“Budak rambut karat tu dalam department aku? Masaklah. Boleh buat kerja ke?” Ayman membebel sambil mencampak beg sandang di kabinet belakang kerusi kerjanya. Telefon bimbit di kocek seluar di keluarkan. Diletakkan di atas meja kerja. Baru hendak menghenyakkan punggung, interkom di atas mejanya berbunyi.

“Hello.” Dia menyapa apabila gagang telefon dilekapkan ke telinga. Rasa-rasanya dia boleh teka siapa yang membuat panggilan ini. Rutin biasa kalau dia muncul di pejabat.

“Masuk bilik saya sekejap,” arah si pemanggil.

“Sepuluh minit lagi, Encik Rahman. Saya baru sampai ni.” Betul tebakan dia. Siapa saja yang tahu dia ada di pejabat hari ini kalau bukan ketua unitnya.

“Sepuluh minit saja. Jangan jadikan setengah jam pula. Bukan saya tak kenal sikap awak tu.” Encik Rahman memberi amaran.

“Jangan risau. Saya dah buang tabiat buruk tu. I’ll see you soon, Encik Rahman. Bye.” Pantas sahaja dia berpamitan. Malas mahu mendengar bebelan dari lelaki di hujung talian itu.

Gagang diletakkan semula. Kalut dia mencapai beg sandangnya. Satu buku nota dikeluarkan. Dia menyelak helaian demi helaian. Membaca seketika catatan yang telah dibuat. Tidak sampai sepuluh minit menelaah, dia bangkit dari duduknya. Sempat telefon bimbit di atas meja dicapai. Pintu bilik kerjanya dikuak.

“Hai, dah hilang semuanya? Cepat betul lesap. Inilah orang melayu. Kalau part meng’ular’ memang laju tapi bila disuruh buat kerja banyak alasan. Bila ditegur tahu pula marah.” Ayman membebel sendiri. Menggeleng bila melihat kebanyakan kubikel yang ada di situ telah kosong. Kelibat gadis berambut karat juga tiada. Malah suasana di situ sunyi sepi. Tiada hilaian suara-suara ketawa seperti masa dia menjejaki kaki di sini tadi.

“Selamat pagi, Encik Ayman.” Suara gemersik menegur lembut.

Ayman berpaling. Tersenyum pada empunya suara yang menegur. Sangkanya kesemua staf dia dah keluar. Ada juga yang sudi menjaga pejabat rupa-rupanya.

“Selamat pagi, Athirah. Mana yang lain?”

“Biasalah, Encik Ayman. Pergi mana lagi, sarapan.” Athirah tersenyum. Malu-malu bila Ayman merenung dia.

“Awak tak pergi sama?” tanya Ayman lagi. Sengaja berbasa-basi. Bukan dia tak tahu yang hubungan Athirah dengan beberapa orang stafnya tidak berapa baik. Entah apa masalah mereka, dia malas hendak ambil tahu. Apa yang penting, setiap laporan yang dia mahukan siap tepat pada masanya.

“Tak. Nanti-nanti tapi kalau Encik Ayman nak temankan saya, saya okey aje.” Athirah membalas manja. Kalaulah Ayman setuju menemani dia sarapan bersama memang lompat bintang dia.

“Saya ada hal dengan Encik Rahman.” Ayman terus berlalu. Entah kenapa dia tidak senang dengan gaya bercakap Athirah. Lebih baik tadah telinga mendengar bebelan dari Encik Rahman dari menghadap Athirah yang berdiri bagaikan tidak bertulang. Terliuk lentok gaya bercakap gadis itu. Geli geleman dia jadinya.

Athirah mencebik. 

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

KAU CINTA DIA LOVE - PROLOG


MENYESAL? Memang itu yang dia rasakan kini. Bertindak sangat ikut perasaan, natijahnya dia sendiri yang menderita. Dalam hal ini, dia menyalahkan diri sendiri. Semua yang terjadi, dia dengan rela sanggup mengakuinya.

“Along, tak habis lagi termenung?”

Ayman menoleh seketika pada tubuh tua yang menegur. Segaris senyuman pahit dilemparkan kepada emaknya. Pandangannya kembali ditebarkan pada padang kosong yang terbentang luas di belakang rumah.

“Kalau along tak bersedia untuk berkongsi dengan emak, ingatlah kita ada Allah untuk mengadu nasib.” Mak Limah cuba memberi nasihat. Hati tuanya tidak betah melihat keadaan Ayman sekarang. Macam orang tidak beragama sahaja lagaknya.

Ayman bungkam. Kata-kata emaknya dibiarkan tanpa jawapan walau terbit rasa bersalah. Fokusnya kini merawat hatinya yang terluka. Terluka dek tajamnya lidah lelaki dia. Terluka kerana terlalu mengikut perasaan amarah yang menggunung. Terluka kerana terlupa kesannya selepas itu. Sungguh dia sangat-sangat menyesal.

“Arghhh…!” Ayman menjerit kuat sambil pejam mata. Melepaskan kesakitan yang terbuku dalam dada. Mengharapkan ianya akan hilang saat matanya terbuka.

“Astaghfirullahaladzim. Along, malu sikit dengan jiran-jiran tu!” Serentak itu suara Mak Limah turut sama memetir. Terkejut tubuh tua itu dengan jeritan kuat Ayman sehingga dia yang bersandar pada jenang pintu hampir hilang imbangan.

“Emakkk…” Ayman merintih. Lemah segala sendinya. Sakit di hatinya masih terasa. Tidak luak walau sedikit.

Mak Limah menapak ke depan. Mendekati Ayman yang tersandar lemah di dinding rumah. Punggungnya dilabuhkan pada bangku panjang yang diduduki Ayman. Paha Ayman ditepuk perlahan.

“Pergi ambil wuduk sana. Pergi mengadu pada DIA. Kalau bersungguh, insya-Allah DIA akan tunjukkan cara. DIA maha pendengar. Menjerit, termenung tak akan jumpa jalan penyelesaian.”

Ayman masih begitu. Kali ini dia memandang ke atas. Langit biru yang terbentang dipandang sayu. Inikah balasan untuk dia? Inikah denda yang harus dia bayar? Ya Allah, ujianmu ini sangat berat untuk aku hambamu yang hina ini.

“Ayman Fareeqqq…” Lembut sahaja suara Mak Limah memanggil bila dilihat Ayman masih tetap begitu.

Ayman menoleh.

“Pergilah. DIA mendengar.” Mak Limah kerdipkan mata. Memujuk lagi.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Friday, April 3, 2015

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 10


MASING-MASING bungkam. Tiada suara. Tiada kata. Sepi. Kedua-duanya membuang pandang pada Selat Tebrau. Memerhati air yang mengalir tenang dalam cuaca yang terik ini. Cuba mencerna apa yang terjadi tadi. Cuba mencari kesilapan diri.

“Asyikinnn…” Lembut suara Abrar memanggil. Direnung wajah gadis di sisinya.

Asyikin menunduk seketika sebelum menoleh pada Abrar. Kening dijongketkan. Rasa dalam hati yang sedikit berkecamuk cuba ditenangkan. Cuba dibuang jauh-jauh.

I’m sorry.” Lirih suara Abrar. Kesal dengan hal yang berlaku di restoran tadi.

Okay.” Suara Asyikin ceria menyambut kata maaf Abrar. Dia cuba untuk nampak tenang tetapi hati perempuan. Faham-faham sajalah.

Okay?” Kening Abrar ternaik. Pelik dengan penerimaan Asyikin. Bagaikan insan yang tiada perasaan. Sungguh hati Asyikin memang sukar ditebak.

Okay.” Asyikin mengangguk. Riak muka dimaniskan sebaik mungkin. Cuba meyakinkan Abrar.

“Okey you macam tak okey aje telinga I dengar.” Abrar merenung Asyikin tajam. Sukar mempercayai kata-kata Asyikin. Mana mungkin seorang perempuan menerima dengan mudah kalau lelaki yang disayangi keluar dengan perempuan lain. Gadis ini memang pelik.

I’m okay. Trust me.” Asyikin mengangguk lagi.

Cara apa lagi nak buat Mr. G ni percaya yang dia okey, ek? Takkanlah nak kena lompat bintang. Jangan mengarutlah Asyikin.

“Sikit pun tak marah?” Abrar jongket kening minta kepastian. Risau hati Asyikin terhiris dek perbuatannya.

“Naaa…” Asyikin menggeleng. Tersenyum-senyum.

Abrar urut dada. Lega jika itu yang Asyikin rasakan. Bibirnya turut mengukir senyuman kacak.

“Tapi…” Asyikin kulum senyum bila melihat badan Abrar terus tegak bila ungkapan perkataan tapi keluar dari mulut dia.

Kening Abrar terjongket tinggi. Seriau pula dia rasakan menanti kata-kata yang bakal keluar dari mulut Asyikin. Gadis ini tidak marah tetapi ada tapinya. Apa yang tapinya itu?

“Kalau Doktor Naim mendekat I tak tolak.” Asyikin ketawa-ketawa.

“Asyikin!” Besar bebola mata Abrar. Bibir diketap.

Gadis ini bersungguh-sungguh atau hanya mempermainkannya? Asyikin, tolong jangan buat I nanar. Hatinya bergolak sendiri.

Okay, back to business. Serius, Asyikin. Serius.” Asyikin angkat kedua-dua belah tangan seperti orang bersalah. Tanpa sedar gelagatnya itu mengundang rasa lucu di hati lelaki di sebelahnya.

Abrar menggeleng. Perlahan-lahan tergaris juga satu senyuman di bibirnya. Dia menunduk.

“I bukan sengaja jumpa Iqa.” Abrar menyambung bicara. Tanpa disuruh dia memberitahu. Tidak mahu Asyikin tersalah anggap. Berterus-terang adalah lebih baik. Takut ada prasangka di kemudian hari.

“Doktor Naim is not in my list.” Asyikin turut membalas. Memintas sebelum Abrar meneruskan bicaranya.

Abrar mendongak. Cuba mencerna kata-kata Asyikin.

“I nampak tenang Abrar tapi I tak suka orang ambil kesempatan.” Giliran Asyikin menerangkan rahsia hatinya. Dari ekor matanya dia nampak Abrar masih memandangnya.

“Bila I bawa you berjumpa dengan emak I. I serius, Asyikin. I tak main-main.” Abrar terus-terusan memakukan pandangannya pada wajah Asyikin. Wajah yang kerap menjadi igauannya kini.

“Tapi you tak boleh lupakan dia, kan?” tebak Asyikin. Menoleh pada Abrar. Mencari segaris kejujuran pada wajah Abrar.

“I akui 5 tahun bersama dia tidak semudah itu untuk I melupakan dia. I harap you faham cumanya I tak nak you salah sangka sebab sekarang dia hanya seorang teman biasa,” pohon Abrar mengharapkan pengertian dari Asyikin. Pertemuan dia dan Afiqah tadi memang tidak bermaksud apa-apa. Sekadar memenuhi undangan seorang teman.

“Teman biasa pada you tapi dia?” Asyikin menyoal kembali.

“Dia dah bertunang. I tak rasa dia masih simpan perasaan itu.” Tenang sahaja Abrar menjawab walau tak yakin dengan kata-katanya sendiri.

Ya, sikap Afiqah memang sukar diteka. Sekarang ini pun gadis itu masih mencari dia. Bukan dia tidak menolak tetapi rasa kasihan bila kerapkali diajak berjumpa tidak dilayan menyebabkan dia akur untuk pertemuan hari ini. Dan siapa sangka pertemuan itu menjadi punca ketidakpuasan hati pada gadis di sisinya ini pula.

Asyikin tersenyum mendengarnya. Cuba menyedapkan hati sendiri walau terselit sedikit rasa bimbang akan perhubungan yang baru hendak dibina ini. Bicaranya disambung semula.

“I tak pernah bercinta apalagi berkasih sayang, Abrar. Pada pendapat I sebagai seorang perempuan, masa 5 tahun itu terlalu lama. Tidak mungkin rasa yang pernah singgah di hati dia boleh lenyap macam tu aje. Tidak semudah membasuh kotoran di baju, Abrar.” Asyikin buang pandang semula ke arah Selat Tebrau. Ada riak keruh pada wajah putih mulus itu.

Terhenyak Abrar mendengar bicara Asyikin. Tuhanku, apakah ini semua? Kenapa perhubungan yang baru hendak berputik ini diuji? Abrar menggeleng. Beristighfar dalam hati. Lupa dia dicipta oleh-Nya. Selagi bergelar manusia tidak akan pernah tidak diuji.

“You tak percayakan I?” Abrar menolak rasa bersalah itu kepada Asyikin pula.

“Kenapa? Ke you yang tak percayakan I?” Asyikin bertanya geram. Satu jelingan tajam diberikan. Sekarang ni siapa yang tak boleh dipercayai, dia atau Abrar? Bengang betul.

Sorry. I tak bermaksud macam tu. I takut you ingat I main-main.” Abrar kendurkan sedikit tona suaranya. Tidak mahu menambah suhu yang sememangnya sudah panas ini.

“I tak pernah buka hati ini untuk mana-mana lelaki hatta Doktor Naim yang super kacak itu pun.” Asyikin berseloroh. Ada tawa di hujung kata-katanya.

Super kacak?” Cemberut muka Abrar mendengar pujian Asyikin pada Doktor Naim.

You are super duper handsome.” Asyikin kenyit mata. Wujud atau tidak perkataan itu dia tidak mahu tahu. Apa yang penting sekarang lelaki di sebelah dia ini faham.

Tersungging senyuman di hujung bibir Abrar. Suka mendengar pujian itu.

“I tahu.”

“Perasan.” Tanpa sedar Asyikin menumbuk perlahan lengan Abrar sebelum cepat-cepat kalih pandang. Segan. Macam mana dia boleh terlepas laku.

Abrar ketawa. Senang hati. Sekurang-kurangnya dia tahu Asyikin percaya kepada dia.

“Rupa paras tak penting pada I. Tidak selamanya kita kacak atau cantik. Rupa akan berubah bila kita tua.” Asyikin berjeda.

“Hati? Ya, hati. Hati bentuknya akan kekal. Firasat I mengatakan apa yang ada di dalam hati juga akan kekal. Hati itu yang I pandang.” Asyikin menyambung kembali bicaranya yang terhenti tadi.

“Firasat you tu ada betul dan tidak betulnya.” Abrar menyangkal. Tidak setuju.

“Apa maksud you?” Asyikin menoleh. Kening dijongket minta penjelasan.

“Bentuk hati kekal I setuju tapi apa yang di dalamnya tidak akan kekal, Asyikin.” Abrar tersenyum.

“Pencerahan, please?” Asyikin masih tidak faham. Tidak dapat mencerna apa yang ingin Abrar sampaikan.

“Hati manusia berubah-ubah, Asyikin. Hari ini berjanji akan sehidup semati tetapi esok lusa lain pula jadinya. Hari ini kata setia pada yang satu tetapi esoknya sudah mencari yang lain. Manusia tidak pernah puas. Ya, selagi namanya manusia.” Dalam dan tertekan suara Abrar saat menitipkan apa yang dimaksudkannya. Dia merenung kosong pemandangan yang terbentang luas di depan matanya.

Asyikin menatap wajah Abrar. Sepertinya Abrar memberitahu apa yang lelaki ini rasa. Itu yang dia nampak pada riak wajah kacak ini. Jadinya seboleh mungkin, bicaranya nanti tidak menambah kesakitan dalam hati lelaki ini.

“Insya-Allah, I bukan macam tu dan I juga harap you bukan macam tu.” Asyikin menjawab yakin. Dia pasti apa yang ada dalam hatinya. Dia berharap Abrar juga seperti dia.

“Dulu I pernah berjanji pada Iqa tetapi apakan daya. Kita hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Hari ini I nak you pegang pada kata-kata I, Asyikin.” Abrar berpusing. Menghadap Asyikin yang masih tidak lepas memandang dia.

Asyikin besarkan mata. Menutup dadanya yang bagaikan dipalu kuat. Saat nama Afiqah disebut dia sudah rasa lain. Adakah Abrar ingin kembali semula kepada Afiqah? Atau  adakah Abrar ingin menamatkan kisah singkat mereka?

Abrar tersenyum. Ketawa. Lucu pula melihat gelagat spontan Asyikin.

“You…” Asyikin menampar lagi lengan Abrar. Bengang bila tahu dirinya dipermainkan. Mr. G ni kadangkala serius, kadangkala puitis tetapi rasanya lebih banyak mengusik. Semakin membuatkan hati dia terpaut. Lupa segala-galanya.

“Kita kenal tak sampai sebulan tetapi you dah buat hati I tak keruan. Sikap selamba you buat I tak senang duduk. Suka ke tidak you dengan I, I tak pasti. Cuma I dah tak nak bercinta lama-lama bila pengakhirannya menyakitkan.” Lembut bicara Abrar. Dia berhenti berkata-kata lagi.

Dada Asyikin semakin berdebar-debar. Setiap bait kata-kata yang diungkapkan Abrar semakin membuat semuanya serba tidak kena.

“I nak kita tamatkan semua ni.” Suara Abrar berubah nada. Serius dan tegas.

“Huh?” Terbeliak mata Asyikin. Biar betul? Pengakuan dia tak bermakna ke pada Abrar? Sampainya hati lelaki ini. Wajahnya sudah berubah suram. Tidak sanggup lagi ingin mendengar bicara lanjut yang bakal keluar dari mulut Abrar.

“Kita kahwin.” Abrar kerdipkan matanya. Tersenyum.

Asyikin menghela nafas lega. Riak wajahnya berubah ceria kembali.

“Suka?” usik Abrar.

Asyikin angguk tanpa silu. Kalau boleh nak buat lompat bintang tau.

Abrar ketawa. Asyikin tidak pernah tidak menggembirakan hati dia.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.