Wednesday, June 17, 2015

INDAHNYA TAKDIR KITA - PART 3


Dua tahun berlalu…
BUNYI penggera jam yang tidak berhenti-henti menyentap lena Azhar. Menggagau tangannya mencari punca bunyi bising itu. Sebaik jemarinya terasa getaran, pantas ditekan punatnya. Dia kembali menyambung lena. Namun tidak sampai seminit, telinganya menangkap lagi bunyi bising. Kali ini bukan lagi bunyi penggera jam tetapi bunyi seperti orang sedang memuntahkan sesuatu.
“Leaaa…” panggilnya dengan suara yang garau. Tangannya meraba ke sebelah. Mencari insan yang dipanggil.
Kosong. Yang dicari tiada di tempatnya. Wajah yang tersembam pada bantal diangkat. Mata dibuka perlahan-lahan. Persekitaran bilik diperhati. Ternampak kelam cahaya lampu yang mencuri masuk melalui pintu bilik air yang tertutup.
“Lea!” Kali ini nada suaranya lebih tinggi. Bukan marah tetapi risau bila sekali lagi telinganya menangkap suara Alea seperti sedang muntah.
Panggilannya masih tidak bersahut. Hanya kedengaran bunyi pili air dibuka. Lantas laju Azhar bangkit dari perbaringan. Kaki dihayun menuju ke bilik air. Pintu bilik air dikuak.
“Lea?” Berkerut dahinya melihatkan Alea yang terbongkok-bongkok sambil mengurut dada di depan sinki.
Alea hanya mengangkat tangan. Meminta Azhar menanti dia di situ sahaja.
Azhar yang tidak betah laju mendekati Alea. Digosok-gosok belakang Alea. Manalah tahu mampu meredakan kesakitan yang Alea hadapi. Alea makan apa sampai jadi macam ni. Kalau kerana makanan malam semalam, kenapa dia tidak muntah juga? Setahu dia mereka makan benda yang sama atau Alea ada makan benda lain?
Menyeringai wajah Alea. Tiada apa yang keluar dari mulutnya melainkan lendir hijau. Sedikit berbau. Rasanya pula payau. Tekak pun sudah terasa perit. Badannya usah dicakap lagi, lemah. Ini pun dia kuatkan semangat berulang-alik ke bilik air.
“Dah berapa kali berulang ni?” Azhar menyoal bila dilihat Alea masih lagi menunduk.
Terkejut Alea. Azhar macam tahu-tahu saja apa yang dia fikirkan. Soalan itu dibiarkan tak berjawab. Dia tidak mahu Azhar susah hati. Sakit yang dia alami ini bukannya kronik. Cuma muntah-muntah sahaja. Mungkin sebab dia lewat ambil makan malam semalam.
Disuakan mulutnya dekat dengan pili air. Berkumur sedikit. Menghilangkan rasa dan bau. Badannya ditegakkan. Senyuman manis diukir. Memandang Azhar melalui pantulan imej di cermin yang setia berdiri di belakangnya.
“Maaf kalau Lea ganggu tidur abang,” katanya seraya berpaling menghadap Azhar.
“Leaaa…” Panjang Azhar menyebut nama Alea. Kening terjongket mengharapkan pertanyaannya tadi berjawab.
Inilah salah satu sikap Alea yang dia tidak berkenan. Suka sangat mengelak dan memendam rasa jika dirundung masalah. Walhal sudah berkali-kali dia berpesan agar segala-galanya mesti berkongsi. Tidak kiralah rasa suka, duka, tawa atau sedih. Mungkinkah Alea sudah jemu berkongsi dengan dia? Ya Allah, Azhar. Kenapa sampai ke situ kau berfikir? Hatinya memarahi.
Alea tersenyum. Dia tahu Azhar akan tetap menagih jawapan tetapi dia juga tahu macam mana nak atasinya. Sudah 7 tahun melayari bahtera perkahwinan, dia sudah masak dengan perangai Azhar. Lalu tangannya melingkar pada kiri dan kanan pinggang Azhar.
“Abang ada mesyuarat pagi ni, kan? Baik abang mandi awal. Lepas tu solat. Tak adalah abang terlewat nanti.” Satu ciuman dihadiahkan pada pipi kanan Azhar sebelum dia melangkah keluar dari bilik air. Namun langkahnya terhenti apabila lengannya disauk lembut. Wajah Azhar dipandang.
Mata Azhar membulat. Jelas masih tidak berpuas hati.
What?” Mencerun mata Alea menyoal kembali. Azhar masih mahukan jawapan ke?
Morning kiss aje?” Lemah suara Azhar menyoal. Terpamer riak tidak puas hati pada wajahnya.
Alea ketawa. Pada masa yang sama lega. Tengok bukan susah pun nak lari dari menjawab soalan Azhar. Satu ciuman sudah cukup buat Azhar terbuai-buai. Sekarang sudah minta lebih pula. Kalah kanak-kanak minta jajan. Tangannya kini disangkut pada leher Azhar.
“Cukuplah bekal tu. Hari ni tak nak nakal-nakal. Mesyuarat pagi ni kan penting. Lupa ya abang kena jadi pengerusi.” Senyuman manis dilemparkan. Mengharap Azhar melepaskan dia. Sungguh setelah berhempas-pulas mengeluarkan segala isi perut, dia tiada daya mahu melakukan lebih dari itu dengan Azhar. Walau dia tahu, berdosa menolak jika suami meminta.
“Tak ada wake-up calllah ni?” Wajah Azhar bertukar cemberut. Sengaja memancing simpati. Manalah tahu untung sabut timbul tapi kalau untung batu, tenggelamlah dia.
Alea jegilkan mata. Amboi encik suami seorang ni. Makin menjadi-jadi pula. Semakin hari, semakin tahun, semakin mengada-ngada.
“Gatal. Esok dah Ramadhan, ya.” Dihadiahkan satu cubitan manja pada lengan Azhar sebelum mencicit lari keluar dari bilik. Kalau dilayan juga ada kena sindir dengan emak mentuanya nanti.
That’s why I need my wake-up call, sayang!” jerit Azhar sambil mengusap bekas cubitan. Menggeleng dengan keletah Alea. Dah goda-goda lepas tu lari. Siapa punya isterilah ni. Memang sah untung batu pagi ni.
Alea ketawa. Buat tidak tahu dengan jeritan Azhar. Melenggang dia berjalan sambil tersenyum-senyum menuju ke ruang dapur. Merapati peti sejuk. Mahu sediakan bahan untuk buat sarapan pagi sebelum solat subuh berjemaah nanti. Langsung tidak sedar emak mentuanya sudah ada di ruang dapur dan sedang memerhatikan dia.
“Apa kena dengan Har tu terjerit pagi-pagi buta ni?” tegur Mak Cik Habibah.
“Oh, mak kau!” Terhantuk kepala Alea dek teguran tiba-tiba itu. Laju jemarinya menggosok tempat terhantuk. Sungguh dia tidak perasan kelibat emak mentuanya.
“Hesy, kamu ni.” Mak Cik Habibah menggeleng. Menghulur tangan meminta bekas makanan yang diambil Alea dari dalam peti sejuk.
Bekas makanan bertukar tangan.
“Errr… tak perasan mak dah bangun. Abang tersepit pintu kut.” Alea tersengih. Takkanlah dia nak beritahu perkara sebenar. Malulah. Tak pasal kena sindir nanti. Mengalahkan pengantin baru.
Sekali lagi Mak Cik Habibah menggeleng. Dia berdiri di depan sinki.
“Mak tolong siang sotong ni. Nanti kamu buat sambalnya. Lada kering tu gunting lebih sikit. Senang esok-esok kalau nak diguna. Manalah tahu selera bulan puasa Si Har tu nak yang pedas-pedas pula. Bukan kamu tak tahu laki kamu tu macam mana,” bebel Mak Cik Habibah sambil mengeluarkan sotong dari bekas yang diberi Alea tadi. Pantas sahaja dia membuat kerja. Pisau sudah ada di tangan. Papan pemotong sudah terbentang di depan mata.
Wajah Alea berubah. Kenapa dengan aku ni? Bukan tak biasa dengan bau hanyir sotong. Sungguh bau itu menusuk-nusuk ke dalam rongga hidungnya. Buat tekak dia kembang. Buat dia hendak muntah.
“Lea?” Mak Cik Habibah berpaling bila kata-katanya tidak bersambut. Berkerut dahi melihat Alea yang masih tercegat di tepi peti sejuk dengan wajah cemberut.
“Mak, Lea…” Tak sempat menghabiskan kata-katanya Alea laju berlari menuju ke bilik air sambil tangan menekup mulut.
“Apa kenalah dengan budak ni.” Mak Cik Habibah mendengus. Tidak dihiraukan tingkah Alea. Kembali menyambung kerjanya.
Lima belas minit berlalu, Azhar muncul di ruang dapur. Sudah siap berbaju melayu dan berkain pelekat. Mahu mengajak Alea dan emaknya untuk solat subuh berjemaah. Namun matanya tidak nampak Alea di di situ. Mana pula dia pergi? Kenapa biar mak sorang-sorang buat kerja? 
“Mak, Lea mana? Tadi dia kata nak sediakan sarapan.” Emaknya dihampiri.
“Dah nak solat ke?” Mak Cik Habibah bertanya semula.
“A’ah.”
“Dalam bilik air tu. Tak keluar-keluar dari tadi. Berlari macam tak cukup tanah. Sakit perut agaknya.”
“Huh!” Tak tunggu lama Azhar bergegas ke bilik air. Jelas terpancar riak risau pada wajahnya. Ingatkan sesi muntah-muntah Alea sudah habis. Lepas ni memang dia akan bawa  Alea pergi ke klinik. Eh! Tapi dia ada mesyuarat? Tak apa. Walau kena pergi seorang diri, Alea kena dapatkan rawatan. Perkara macam ni tak boleh buat main-main. Kalau dibiarkan takut memudaratkan Alea.
“Hesy, apa sajalah budak-budak ni. Dah tersampuk ke apa?” Berkerut dahi Mak Cik Habibah sambil menggeleng.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua. Sambungan kisah ini boleh dibaca dalam Kompilasi Cerpen Terbitan IKP. Pembelian boleh dibuat di laman web IKP www.ideakreatif.net

INDAHNYA TAKDIR KITA - PART 2


AZHAR merebahkan badan di atas katil. Seminggu berhempas pulas di pejabat, hujung minggu inilah waktu untuk dia merehatkan badan. Waktu senggang yang berkualiti untuk dia dan Alea. Segaris senyuman terpamer pada bibirnya.
Pintu bilik air berbunyi. Dia menoleh. Macam tahu-tahu sahaja empunya nama ni bila diseru-seru. Terus muncul. Matanya tak lepas memandang Alea yang bersahaja berjalan menuju ke meja solek. Ralit meneliti susuk si isteri yang hanya memakai jubah mandi separas lutut. Tanpa sedar berkali-kali liur ditelan. Jelas sekali aura Alea kuat. Sentiasa menggugat naluri lelaki dia walau sudah bertahun mereka meniti usia perkahwinan.
Alea cantik, berkerjaya bagus, pandai memasak dan tidak pernah culas menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Bak kata orang Alea mempunyai pakej yang lengkap. Segala-galanya cukup dan sempurna untuk dia. Cuma rezeki yang satu itu sahaja belum sampai. Namun dia tidak mengharapkan lebih dari Alea. Cukuplah Alea ada untuk dia. Cukuplah Alea sentiasa di sisi dia ketika senang dan susah.
Soal anak dia tak mahu fikirkan. Dia reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ada sesuatu yang Tuhan rencanakan untuk dia dan Alea. Zuriat memang penyambung kasih antara suami dan isteri tapi itu bukan alasan untuk dia mencari yang lain.
Alea sedar dia diperhatikan. Namun dia berpura-pura tidak nampak. Malah sengaja dilambat-lambatkan pergerakannya. Sambil duduk di hadapan meja solek, tangannya rancak mengeringkan rambut yang basah dengan tuala kecil.
“Leaaa…”
“Hmmm…”
“Lea okey?”
Alea berpaling. Memandang Azhar yang bersandar malas pada kepala katil. Nampak ada sinar nakal pada mata Azhar. Dia? Ahhh… matanya juga tidak pernah jemu memandang susuk lelaki ini. Azhar sentiasa nampak segak di matanya walau hanya berseluar sukan dan berbaju t putih.
“Kenapa? Lea nampak tak okey ke?”
Azhar mengeluh kecil. Dia tahu Alea cuba menyembunyi rasa hati. Bukan dia tak tahu hati kecil isterinya itu terluka lagi. Saranan emaknya semalam pastinya merobek perasaan Alea. Itulah hasil dari percampuran emaknya dengan jiran sebelah yang konon-konon sahabat sejati.
“Sini, sayang.” Ditepuk lembut ruang kosong di sebelahnya.
Terhenti pergerakan Alea. Kenapa Azhar tahu apa yang dia rasa? Kenapa mudah sangat menebak isi hatinya? Dia cuba untuk kuat seperti Saidatina Khadijah isteri Rasulullah S.A.W.. Berdiri teguh di samping baginda, menepis setiap tohmahan dan serangan. Menjadi pembela dan pelindung kepada baginda.
Dia? Dia yang perlukan pembela dan pelindung. Sekuat manalah hati insan biasa ini kalau setiap hari disogokkan dengan kata-kata sindiran. Kalau setiap hari setiap tingkahnya tiba-tiba tidak kena pada pandangan emak mentuanya.
Semalam bagaikan hukuman buat dia. Noktah pada segala sindiran dan bebelan emak mentuanya. Ternyata ianya berjaya menghiris hati dia. Dihiris kecil-kecil. Malah kalau dikumpulkan memang sukar untuk dicantum. Mahu ditentang dia tidak mampu. Itu syurga suaminya. Biarlah dia beralah.
“Leaaa…”
Alea tersenyum hambar. Bangkit juga mendekati Azhar. Biarlah kini dia mengumpul pahala mudah. Menyenangkan hati suami bila dia diperlukan.
Dia memilih untuk duduk di birai katil sahaja. Tidak mahu duduk rapat-rapat. Cuba untuk belajar jauh dari Azhar sebab dia tahu selepas ini tidak mungkin Azhar akan selalu berada di sisinya. Yang lagi seorang itu pastinya mahukan perhatian Azhar juga.
Sedikit terkejut dengan tingkah Alea, namun Azhar cuba berlagak tenang. Tangannya mendarat di atas paha Alea yang terdedah. Digosok lembut hingga mengundang mata yang empunya memandang dia. Paha gebu ini menyimpan seribu satu kisah. Di sinilah dia selalu menumpang manja. Di sinilah tempat selalu disalurkan rasa kasihnya. Tiada tempat lain lagi mahu direbahkan kepalanya selain di sini.
“Abang tak pernah terfikir nak menduakan Lea.” Biacara Azhar lembut.
Kenyataannya Alea sahaja sudah cukup untuk dia. Dia bukan menentang Sunnah Nabi itu. Dia tak mahu digelar tamak hanya kerana mahukan zuriat sendiri. Apalah gunanya kalau memiliki isteri lebih dari satu tetapi dia gagal untuk berlaku adil. Mana mungkin kasih dia dibahagi dua, sedangkan keutamaan dia hanyalah Alea selain emaknya.
Alea diam. Tunak menekur lantai selepas gagal melawan pandang. Membiarkan sahaja Azhar bercakap sendirian.
“Hati abang hanya untuk Lea. Kasih abang hanya untuk Lea. Tak ada ruang kosong lagi untuk diisi dengan nama perempuan lain,” sambung Azhar lagi. Merenung tepat wajah Alea yang nampak sedikit mendung.
Alea mendongak. Membalas pandang. Mencari kebenaran kata-kata itu pada paras kacak di depannya ini.
“Lea tak boleh bagi anak pada abang. Dah 5 tahun. Perut Lea masih kosong.” Perutnya disentuh. Diusap-usap. Kempis. Kosong. Timbul rasa sebak. Sedih dengan kekurangan diri.
Jemari Azhar menangkap kemas jemari Alea yang melekap di perut isterinya itu. Digenggam seerat-eratnya.
“Lea tak percaya pada qadak dan qadar Allah?”
“Lea percaya tapi mak…” Alea tidak sanggup meneruskan kata-katanya. Buat menambah dosanya sahaja. Lagi pula dia tidak mahu Azhar terasa.
“Soal mak biar abang yang uruskan, hurmmm…” Semakin kejap pegangan tangan Azhar. Cuba meyakinkan Alea.
“Islam mengharuskan poligami. Lea percaya abang mampu berlaku adil. Zahir dan batin. Lea tak ada hak untuk tidak mengizinkan. Lagi pun ini untuk kebaikan kita. Abang kena ada zuriat untuk menyambung warisan.” Peritnya hati Alea tika menuturkan kata-kata ini. Kalau ini boleh menunaikan impian emak mentuanya untuk memiliki cucu, dia reda.
“Apa yang Lea merepek ni? Lea ingat poligami itu mudah? Lea ingat abang mampu ikut sunnah nabi tu?” Suara Azhar meninggi. Dilepaskan genggamannya. Sakit hatinya bila mendengar saranan Alea. Tidak menyangka Alea boleh termakan dengan cadangan emaknya.
“Liza tu pun boleh tahan cantik. Tak ada celanya. Pandai mak cari calon madu Lea.” Alea ketawa. Namun jelas tawa itu ada pincangnya. Kemarahan Azhar langsung tidak diendahkan.
Liza anak bongsu Mak Limah jiran mereka itu memang dirasakan sepadan dengan Azhar. Bukan dia tidak pernah nampak Liza selalu curi-curi pandang Azhar jika mereka terserempak di luar rumah.
“Alea!” Kedua-dua belah tangan Azhar sudah di bahu Alea. Digoncang kuat bahu itu.
“Lea reda andai ini takdir Lea, abang,” tegas Alea. Bersabung pandang dengan renungan tajam Azhar. Natijahnya sebutir demi sebutir air matanya gugur. Kata-kata yang terluah tak seiring dengan rasa di dalam hatinya.
“Aleaaa…” Azhar tarik tubuh Alea ke dadanya. Dipeluk kemas. Sesak nafasnya mendengar bicara Alea. Sungguh tidak pernah terlintas difikirannya untuk menduakan Alea.
“Tunaikanlah impian mak abang. Syurga abang di bawah tapak kaki emak.” Alea menyambung kata dalam sendu.
Tanpa Alea dan Azhar sedar, Mak Cik Habibah dengar perbualan mereka. Kebetulan dia lalu di situ untuk ke dapur. Terhenti langkahnya. Ada air mata yang mengalir di pipi tua itu saat mendengar bicara ikhlas menantunya. Kejamnya dia sebagai emak mentua kepada Alea. Nampak sangat dia tidak percaya kepada qadak dan qadar Allah. Tidak pernah mensyukuri nikmatNya. Sepertinya dia tidak boleh menerima takdir Ilahi.
Ampunkan aku, ya Allah. Khilafnya aku sebagai hambamu kerana tidak percaya pada percaturanmu. Kau limpahkanlah kasih sayang tidak bertepi kepada anak dan menantuku ini. Moga mereka kekal bahagia hingga ke Jannah. Aku berserah atas ketetapanmu. Dititipkan doa buat Azhar dan Alea sebelum dia menyambung langkah.
“Tidak. Biarlah sampai ke hujung nyawa walaupun kita hanya berdua, abang reda. Jangan paksa abang, sayang.”
“Tapi mak abang nak cucu.”
“Aleaaa…” Pelukan dirungkaikan. Dijarakkan sedikit tubuh mereka. Mudah untuk dia melihat wajah Alea. Diseka air mata yang mengalir di pipi Alea.
“Lea ikhlas, bang.” Alea tersenyum walau pahit. Walau jelas hatinya sendiri sakit tika menutur kata-kata itu.
“Jangan sesekali menipu diri sendiri. 5 tahun kita bersama, abang dah masak dengan perasaan Lea. Tolong jangan calarkan sendiri hati Lea tu. Tolong jaga hati Lea tu untuk abang.” Azhar memujuk.
“Abang tak perlu risau pasal hati Lea. Lea dah biasa.” Alea masih cuba meyakinkan Azhar. Betulkah dia kuat? Betulkah dia mampu menghadapinya? Tuhan, dugaan apakah ini? Dia merintih di dalam hati.
“Memang Lea dah biasa tapi abang tak biasa. Abang tak sanggup tengok hati Lea dicalar. Rasa sakit dekat sini. Sangat-sangat sakit.” Azhar menumbuk-numbuk dadanya sendiri. Mengharap Alea tahu dia turut merasai kesakitan itu. Bukan Alea sahaja yang merasainya.
Sekejap lagi dia akan bersua dengan emaknya. Memberitahu keputusannya. Biarlah walau hati emaknya tercalar sedikit dari dia kehilangan Alea. Sudah ditegaskan tidak mungkin dia akan berbagi kasihnya kepada orang lain.
“Anak…”
“Ssshhh…”
Kata-kata Alea tidak bersambung. Bibir Azhar sudah melekap kemas pada bibirnya. Dapat dirasakan Azhar mencurahkan semua rasa. Kucupan penuh kasih. Kucupan sayang. Kucupan tidak berbelah bagi. Kucupan dari seorang suami untuk dia, isterinya.
Lama mereka begitu sebelum tautan bibir mereka terlerai. Badan Alea kembali didakap Azhar. Kemas dan kejap. Menjalarkan rasa sayang yang in shaa Allah tidak akan pernah padam.
Ketika ini Alea berharap hati dia dan hati Azhar kuat dalam mengharungi ujian Allah. Sesungguhnya Tuhan itu tidak suka-suka menguji hambaNya tanpa hambaNya itu sendiri kuat untuk menghadapinya.
P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

INDAHNYA TAKDIR KITA - PART 1


LANGKAH ALEA mati di situ. Pintu dijadikan perisai. Telinga dipasang kemas. Namun suara mak mentuanya yang sedang berbual-bual dengan jiran mereka tidak dapat ditangkap dengan jelas. Hanya perkataan cucu dan calon menantu baharu sahaja yang diserap otaknya.
“Ya Allah.” Dia bersandar ke dinding. Tidak terdaya lagi untuk memaku kaki. Mata sudah mula kabur. Tangan melekap di dada. Sakit. Itu yang dirasainya kini. Malah selepas 5 tahun usia perkahwinan ini, rasa itu semakin hari semakin bercambah dalam dirinya.
“Lea?” Berkerut dahi Azhar yang baru keluar dari bilik tidur memandang ke arah isterinya. Pelik melihat Alea yang menyandar lemah di dinding. Riak wajah isterinya nampak sedih. Apa yang terjadi?
Alea panggung wajah. Kalut menegakkan badan. Mata dipejam celik berkali-kali. Menghalang air mata yang sudah bergenang dari tumpah. Mahu diseka takut dikesan Azhar. Tidak mahu dirinya menjadi penyebab suami dan emak mentuanya bertegang urat.
“Abang.” Senyuman manis dilemparkan.
Azhar menghampiri. Berhenti di depan Alea.
“Buat apa dekat sini? Kata nak panggil mak makan sama?”
“Lea… Lea nak panggillah ni.” Semakin lebar senyuman Alea. Menutup rasa gugup akibat terkejut ditegur tadi. Baru sahaja mahu mengorak langkah, laluannya dihalang
“Kenapa?” Wajah Azhar dipandang.
“Jangan. Biar abang yang panggilkan.” Azhar menegah apabila telinganya dapat menangkap perbualan emaknya dengan seseorang.
 “Tak apa.” Alea menggeleng.
Azhar tersenyum. Bahu Alea digosok lembut. Memujuk secara halus. Satu ciuman dihadiahkan ke kepala isterinya. Sayangnya pada Alea tidak pernah berkurang malah sentiasa mekar.
“5 tahun bukan sekejap, sayang. Abang kenal isteri abang. Lea pergi sendukkan nasi. Biar abang yang panggil mak.” Mata dikerdipkan sekali.
Alea akur. Segera dia menukar arah. Faham dengan tindakan Azhar. Sentiasa cuba melindungi perasaan dia. Sentiasa menjadi perisai hati dia yang dirasakan semakin hari semakin rapuh.
Susuk Alea dipandang hingga hilang di balik langsir pemisah ruang dapur dan ruang tamu. Mata Azhar kembali menghala ke pintu depan rumah. Nafas dihela dalam-dalam. Doa dibisik dalam hati. Memohon kepada Allah agar dia tidak menyatakan sesuatu yang boleh mendatangkan dosa.
“Mak!”
Terhenti perbualan rancak Mak Cik Habibah dan jiran mereka. Dia yang sedang berdiri di antara tembok yang memisahkan rumah Azhar dengan jiran mereka menoleh.
“Ada apa, Har?” Tersenyum pada Azhar yang bersandar santai pada jenang pintu.
“Jom makan. Lea dah siapkan semuanya.” Azhar mengajak. Sempat mengangkat tangan kepada jirannya, Mak Limah. Tanda hormat walau dia tidak berapa suka dengan sikap jirannya itu. Suka sangat menjaga tepi kain orang dan paling dia tidak suka bila emaknya turut terjebak buat ‘ketupat’.
Mak Cik Habibah mengangguk. Mak Limah dipamit.
“Saya masuk dululah, Limah. Patutlah perut ni berdondang-dendang, belum makan rupa-rupanya. Lagi pun menantu saya tu kalau masak tak pernah tak sedap.” Sempat lagi Alea dipujinya. Memang itu kelebihan Alea yang dia suka. Walau mempunyai kerjaya yang bagus, Alea tidak kekok di dapur. Air tangan Alea memang menepati citarasa tekak tua dia ini.
“Yalah. Siapa tak sayang menantu, Cik Bibah oi. Tapi cantik dengan pandai memasak aje tak cukup kalau tak dapat bagi awak cucu.” Mak Limah menyindir. Sengaja suaranya dikuatkan sedikit.
“Ssshhh…” Lengan Mak Limah dipukul. Tidak mahu kata-kata itu terdengar oleh Azhar. Mak Cik Habibah tak nak Azhar tahu yang dia selalu bercerita kisah anak dan menantunya dengan Mak Limah.
Wajah Azhar berubah rona. Merah padam. Telinga pun macam dah berasap.
“Mak!” Suaranya dilantunkan sedikit keras. Makin dibiarkan makin menjadi-jadi pula orang tua ni.
“Ya, ya. Mak datang ni.” Terkocoh-kacah Mak Cik Habibah meninggalkan halaman rumah. Tak sangka Azhar masih ada lagi dekat situ. Ingatkan lepas panggil dia, anaknya terus masuk ke dalam rumah.
Mak Limah hanya mencemik.
Azhar menunggu hingga emaknya menanggalkan selipar. Ada sesuatu yang mahu dicakapkan kepada emaknya. Sesuatu yang dia rasa perlu ditegur. Untuk kerukunan mereka sekeluarga. Dia tidak mahu emaknya terhasut dengan anasir jahat. Sungguh dia tidak suka bila ada orang cuba menangguk di air keruh dalam perhubungan dia dan Alea. Menabur racun dalam diam. Menjadi gunting dalam lipatan.
“Mak, boleh tak kalau mak tak payah nak bercampur sangat dengan Mak Limah tu? Har tak sukalah.” Laju dia menutur bicara.
Terhenti langkah Mak Cik Habibah. Tersentak mendengar ungkapan Azhar.
“Mak nak berkawan dengan siapa lagi, Har? Mak Limah itu ajelah yang ada.” Dibangkangnya kata-kata Azhar.
“Har tak suka bila dia sibuk pasal Har dan Lea.” Sekali lagi Azhar cuba menyampaikan maksudnya. Mengharapkan emaknya faham dengan apa yang dia rasa.
“Kami berkongsi petua. Diakan ada ramai cucu. Manalah tahu petua-petua yang dia bagi tu boleh bantu Har dan Lea dapat anak.”
“Makkk…” Tona suara Azhar mendatar. Tewas bila emaknya menyebut perkataan anak. Dia dan Alea bukan tidak berusaha. Pakar sudah mereka berdua jumpa. Disahkan juga mereka berdua sihat. Mungkin Allah belum bersedia untuk memberi mereka rezeki yang satu ini. Mereka akur.
“Dah, dah. Jom makan. Mak pun dah lapar ni.” Mak Cik Habibah menarik lengan Azhar. Tidak mahu memanjangkan cerita bila melihat Alea sudah terjengul untuk mendapatkan mereka.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

KOMPILASI CERPEN IKP


Alhamdulillah....esok kita akan mula berpuasa di bulan Ramadhan...dan sempena kedatangan Ramadhan ini IKP ada menerbitkan kompilasi cerpen yang dibarisi 10 orang penulis...bagi yang berminat bolehlah membuat tempahan dengan menghubungi ejen2 IKP atau melalui web IKP...

LIMITED EDITION, Sebuah kompilasi terpilih dari penulis hebat...

order akan dibuka bermula hari ini sehingga 28hb jun 2015. 
Proses penghantaran awal Julai 2015.

CETAKAN DIANGGARKAN DALAM 1,500 NASKAH SHJ & TIDAK AKAN DIULANG CETAK.

Tajuk : DIA... YANG TERPILIH

HARGA :
SM: RM26 + RM6(postage)
SS: RM29 + RM10(postage)
*GST pos kami tanggung 😉

Penulis :
FARAH HUSAIN
HANI FAZUHA
APRIL SNOW
EZZA MAISARA
SYEENA HAMDAN
RIDHYA IMAN
PENA KAYU
WAWA TAUFIK
DAHLIA AMANDA
QJ

Note : Naskah ini hanya boleh didapati melalui online sahaja. Sila dapatkan melalui ejen yang dilantik dan juga pengedar online. BOLEH PM kami juga 😍
 — withHani FazuhaWawa TaufikNur Ezzah Maisarah Mokhtar and 13 others.