JEMARI Ainan berjalan pada nombor-nombor yang tertera di
kalendar. Terhenti pada nombor yang dibulat merah. Tersungging senyuman manis
di bibirnya. Tidak sabar hatinya menanti tarikh ini. 2 hari sahaja lagi.
Selepas itu, hari-hari yang dilaluinya pasti berbeza. Insan yang dirindui akan
senantiasa menemani dia walau hanya untuk 2 minggu tapi itu sudah mencukupi.
"Tersenyum-senyum. Dah macam kerang
busuk pula aku tengok."
Ainan tak ambil pusing dengan bebelan
temannya. Hati tengah senang. Cakaplah apa saja. Nak kutuk ke, nak keji ke. Dia
tak kisah.
"Weiii... Tengku ajak dating ke?" Si teman yang masih tak
berpuas hati menjolok lagi.
"Kau ni. Tak habis-habis dengan
tengku tu." Terjegil mata Ainan bila ditebak begitu. Tak ada kerja dia nak
tersengih ingatkan lelaki yang tiada kaitan dengannya. Buang masa sahaja.
"Dah tu, apahal sebenarnya?
Ingatkan sebab tengku. Yalah kes dekat bilik mesyuarat tu memang epik
gila." Si teman dah ketawa-ketawa.
"Azri cuti panjang. 2 minggu. Hujung
minggu ni aku bertemanlah." Ainan pantas memintas sebelum temannya merepek
yang bukan-bukan.
Rasa macam menang loteri sebab sudah 5
minggu tidak bersua muka dengan suami tersayang. Dalam kepalanya sudah bermacam
agenda yang tersusun. Banyak perkara yang dia dan Azri boleh buat nanti.
Seronoknya.
"Ooo... ingatkan sebab
tengku." Si teman tersengih.
"Minta dijauhkanlah kalau sebab
dia. Tak ada kaitan langsung." Ainan menjeling dengan ekor mata.
Kali ini matanya beralih pada skrin
telefon bimbit. Membaca semula pesanan Azri dalam aplikasi WhatsApp. Senyuman
manisnya kembali terukir.
"Jauh dari siapa? Apa yang tak ada
kaitan?" Tengku Redza tersenyum sebaik berdiri di antara kubikel Ainan dan
si teman. Matanya redup memandang Ainan yang nampak kaget dengan kedatangan
dia.
Mati terus senyuman Ainan. Ingatkan
selepas penolakan dia, Tengku Redza tidak mengganggu lagi. Rupa-rupanya lelaki
ini memang tidak faham bahasa.
"Errr... maaf, tengku. Saya nak ke
tandas sekejap." Si teman lekas-lekas meminta diri.
Tengku Redza mengangguk bersama senyuman
yang melebar bila teman Ainan ini sangat memahami tujuan kedatangan dia. Sudah
3 hari dia tak masuk pejabat. Terpaksa ke luar kawasan. Bermakna sudah 3 hari
tak dapat menatap wajah manis Ainan. Lagi pula sekarang dah masuk waktu rehat.
Ainan pun dia lihat sedang bermalas-malasan. Manalah tahu Ainan sudi keluar
makan tengah hari dengan dia.
Bulat mata Ainan bila temannya cepat
sahaja meninggalkan dia terkontang-kanting seorang diri di situ. Semakin besar
matanya bila si teman buat isyarat layan-Tengku-Redza tatkala berjalan di
belakang Tengku Redza.
"Awak mengata saya ke, Ainan?"
Ainan hanya mampu menggeleng. Tipu memang
betul hatinya sibuk mengata Tengku Redza. Takkanlah dia nak mengaku. Hishhh...
Lelaki ni. Kenapalah terkejar-kejarkan dia. Bukan ke ramai lagi anak dara dalam
syarikat ni. Dia dah kahwinlah.
"Telinga saya ni macam telinga
lintah tau. Boleh dengar kalau orang sebut-sebut nama saya. Lagilah kalau yang
menyeru tu awak." Tengku Redza menyambung kata seraya berjalan mendekati
meja kerja Ainan.
Selamba sahaja dia menarik kerusi yang
ada di depan meja Ainan. Tidak dihiraukan pandangan tidak puas hati yang Ainan
tunjukkan. Kalau kata-kata pedas Ainan dia dapat serap, apalah sangat dengan
riak kurang senang wanita ini.
Tegak terus badan Ainan. Sungguh apa
yang perlu dia buat untuk menangkis serangan mahluk Tuhan yang satu ini. Nak
suruh dia guna bahasa apa kalau bahasa melayu si tengku ni tidak faham. Agaknya
guna bahasa russia kut.
“So?”
Berlapis kedutan pada dahi Ainan. Apa
maksud Tengku Redza dengan so? Dia
ada terhutang apa-apakah dengan Tengku Redza?
“Family
day tu.” Sengaja Tengku Redza mengingatkan kembali permintaan dia pada
Ainan. Dia berharap sangat Ainan pergi hari keluarga tu sebab dia tahu suami
Ainan tidak mungkin dapat menghadirkan diri ke sana. Dapatlah dia mendekati
wanita ini. Itulah tujuannya mendesak Ainan untuk turut serta.
“Saya pergi atau tidak tak penting,
Tengku.”
“Siapa kata tak penting? Awak salah
seorang urusetia. Jangan awak lupa, Ainan. Apa gunanya tanda tangan awak pada
surat yang awak akan mematuhi setiap arahan yang diberi syarikat dari semasa ke
semasa?” Tengku Redza tersenyum senget. Senang hati bila dapat menjentik
sedikit hati Ainan. Ainan salah seorang pekerja yang berdedikasi. Tak mungkin
akan melanggar arahan majikan.
Jemari Ainan naik memicit pelipis.
Sungguhlah Tengku Redza ni. Nampak sangat dah salah guna kuasa. Sebenarnya dia
agak terkejut bila mendapat email perlantikan dia sebagai salah seorang
urusetia. Nak marah pun tak guna bila tengok nama pengirimnya.
“So?”
Sekali lagi Tengku Redza mendesak jawapan dari Ainan. Langsung tak endah apa masalah
pun yang sedang melanda Ainan.
“Saya akan maklumkan kemudian.” Ainan
mengalah. Terbit juga keluhan kecil dari bibir mungilnya. Susah juga bila jadi kuli
ni. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Nampaknya dia dan Azri bakal berperang
lagi.
Tengku Redza tersenyum.