SEJAK kakinya
menjejak lantai butik kecantikan miliknya, Ariani tak duduk diam. Ada saja
kerja yang dilakukan. Kebetulan barang-barang yang dipesan baru sampai. Habis
semuanya dia susun sendiri. Rimas melihat keadaan yang bersepah. Lagi pula dia
tak nak ada rungutan dari pelanggan-pelanggannya. Imej Ariani Beauty & Spa
perlu dijaga. Hanya inilah punca rezeki dia. Sudahlah tak besar mana. Karang
kalau tak kena gaya boleh lingkup perniagaan yang baru nak berkembang maju ini.
“Kak Ria!”
Ariani sengetkan tubuhnya ke belakang. Mencari susuk
si pemanggil yang menjerit namanya. Dia nampak Yasmin yang tersengih di balik
dinding bilik yang paling hujung.
“Nak scrub
timun satu! Dah tak ada stok kat belakang ni!”
“Kejap lagi akak hantar! Baru nak buka kotak!” jerit
Ariani.
Dia kembali menghadap deretan kotak di depannya bila
Yasmin sudah menghilangkan diri. Tangkas dia mengeluarkan baki barang-barang
yang masih di dalam kotak. Barang yang dipinta Yasmin sudah diasingkan.
Pintu yang dikuak kasar dari luar memaksa dia
mengangkat wajah. Hampir sahaja terlepas botol syampu di tangannya dek
terperanjat. Mata menuntas pandang pada susuk yang sudah melangkah masuk.
Lelaki? Nak buat rawatan spa juga ke? Eh, dia tak
ada pekerja lelaki. Ini pertama kali kut ada lelaki yang menjejak masuk butik
kecantikan dia.
Raut kacak tapi ada riak tegang dipandang tajam.
Ikut hati yang mendongkol geram dengan sikap sombong si pelaku memang dia tak
mahu layan. Cuma mengenangkan ini tempat dia mencari rezeki sedaya upaya dia
ukir senyuman tanpa perisa.
“Boleh saya bantu?” Ariani mendekati susuk tegap
yang langsung tidak memandang dia.
Tiada jawapan. Malah si pemilik susuk tegap itu
selamba melekapkan telefon bimbitnya di telinga. Menafikan kewujudan Ariani di
situ.
“Where are you,
ma?” Bercakap di telefon tetapi mata si pemilik susuk tegap meliar ke
sekeliling sebelum melekat pada wajah Ariani.
Ariani telan liur. Mata yang memandang dia itu
bagaikan anak panah. Diacu tepat ke hatinya. Tembus hingga ke dasar. Menimbulkan
satu getaran. Getaran yang sudah lama dia tidak rasai. Bahaya. Lebih baik dia
kembali ke tempatnya. Menyesal berlagak terlebih peramah.
Baru ingin berundur, tapak tangan si pemilik susuk
tegap naik di depan muka Ariani. Membuatkan langkahnya mati. Terkebil-terkebil
matanya memandang si pelaku.
“Mama saya dekat dalam. Saya nak jumpa dia.” Elok
sahaja tangan yang memegang telefon bimbit jatuh ke sisi, si pemilik susuk
tegap bersuara.
Ariani hanya mengangguk. Pantas mempersilakan si
pemilik susuk tegap masuk. Memerhati sahaja langkah yang diatur. Namun bagaikan
terlepas dari sihir cepat-cepat lengan si pemilik susuk tegap itu disauk. Saat
itu dia berzikir dalam hati. Mudah-mudahan Allah ampunkan dia. Ini kes darurat.
“What the hell
are you doing?” Melengking tinggi suara si pemilik susuk tegap. Merentap
lengannya dari terus dipegang.
“Maafkan saya. Terpaksa.”
Ariani kepal kedua-dua jemari tangannya. Dibawa ke
dada. Bersungguh menuntut kemaafan. Dia terlupa sesuatu hingga memaksa dirinya
bertindak kurang sopan tadi. Memang patut pun si pemilik susuk tegap ni
marah-marah. Sungguh, dia tak sengaja.
Si pemilik susuk tegap mendengus. Riak tidak puas
hati ditayang.
“Encik, encik tak boleh masuk. Bukan mama encik aje
aje dekat dalam. Ada orang lain juga. Semuanya perempuan. Tak manis kalau encik
terjah.” Ariani memberitahu. Nada suaranya kedengaran takut-takut.
Dia tak tipu. Rezeki butik kecantikannya hari ini. Kesemua
enam bilik yang ada penuh ditempah. Mungkin pelanggannya sudah menerima gaji. Sekarang
ini dia nak salahkan si pemilik susuk tegap ini di atas kealpaannya. Siapa
suruh jadi mahluk Allah yang sedap mata memandang?
“Hmmm...”
“Errr... encik...”
Ariani ketap gigi melihat reaksi si pemilik susuk
tegap. Risau. Pada masa yang sama dia telah bersedia. Bersedia menangkis andai
si pemilik susuk tegap ini lampiaskan marahnya lagi.
“Redza!”
Ariani menoleh.
Si pemilik susuk tegap itu turut menuntas pandang
pada suara yang mencelah.
“Lain kali jangan minta Redza ke sini.” Nada suara
si pemilik susuk tegap membalas keras.
Sekali lagi Ariani ketap gigi bila jelingan si
pemilik susuk tegap hinggap di matanya. Amboi! Gaya lelaki ini bercakap macam
dia pula yang bersalah. Ini spa dia. Mestilah dia menghalang tindakan lelaki
ini tadi. Kalau dia tak buat macam tu, jangan salahkan dia bila lelaki ini
dituduh mencabul.
“Behave,
Redza! Sorry, Ariani. Anak aunty ni angin kus-kus sikit.”
“Mama!”
Ariani hanya mampu tersenyum. Anak Puan Rozi
rupa-rupanya. Ingatkan siapalah tadi. Tapi kenapa perangai lelaki ini tak
seperti Puan Rozi yang lembut dan berbudi bahasa? Jauh panggang dari api betul.
Agaknya kalau Puan Rozi tak kenalkan lelaki ini anaknya mesti dia tak tahu.
Malah orang lain pun pasti sependapat dengan dia.
“Terima kasih, Ariani. Sedap betul Ju urut tadi.
Rasa semua sendi yang ketat dah longgar semula. Tak ada rasa tegang. Muka ni
pun rasa segar. Kepala pun tak rasa gatal-gatal.”
Puan Rozi langsung tak menghiraukan Tengku Redza.
Malah dia lebih selesa berbual-bual dengan Ariani. Gadis muda yang baru dia
kenali tak sampai tiga bulan. Gadis yang gigih bekerja sendiri. Sanggup
bersusah-payah memajukan perniagaan tanpa pertolongan orang lain.
“Alhamdulillah. Lega Ria bila aunty suka. Aunty pun dah banyak kali mengulang mendapatkan rawatan
dekat sini. Patutnya Ria yang ucapkan terima kasih sebab aunty percaya dengan spa anak bilis saya ni,” gurau Ariani.
Tiada apa yang mampu dia perkatakan bila pelanggan
memuji perkhidmatan yang butik kecantikan dia sediakan. Lagilah bila tahu yang
pelanggannya bukan calang-calang orang macam Puan Rozi. Yasmin kata Puan Rozi
ni isteri seorang VIP. VIP mana dia tak tahulah. Dia bukannya seorang yang
kepoh nak korek rahsia.
“Anak bilis apanya. Janganlah merendah diri sangat,
Ariani.” Lengan Ariani ditepuk manja. Puan Rozi menjeling ke sisi bila
terperasankan Tengku Redza mendekati dia dan Ariani.
“Can we go now?”
Tengku Redza cekak pinggang. Berdiri di antara mamanya dan perempuan yang
mamanya panggil Ariani.
Kalau tak mencelah, berjanggutlah dia kena menunggu.
Mama ni pun satulah. Kalau dah tahu nak berbual panjang, bawalah kereta
sendiri. Boleh balik lewat. Ini tidak. Paksa dia juga ambil dekat sini.
Sudahlah badan dia dah melengas.
“Pergilah tunggu dekat kereta.” Puan Rozi menjeling.
“Kalau Puan Sri Kamalia tak rekomen, aunty pun tak tahu ada spa yang bagus
macam ni dekat sini. Layanan VIP. Servis pun tip top.” Dia menyambung lagi
perbualannya.
Ariani serba salah. Nak matikan perbualan dia segan.
Sudahlah Tengku Redza hantar pandangan menusuk kalbu lagi. Kalaulah mata lelaki
itu ada pisau, berdarah agaknya muka dia kena toreh dek renungan tajam tu. Tak
pasal dia dapat musuh tak diundang hari ini.
“You ni
buka spa ke kopitiam?”
Spontan Ariani dan Puan Rozi menoleh.
Tengku Redza besarkan matanya. Seolah-olah tiada
kesalahan pun dalam bicara sinisnya tadi.
“Tengku Ahmad Redza!”
Terbuntang mata Puan Rozi dengan keceluparan mulut
Tengku Redza. Malunya dia dengan Ariani. Nak ditangankan Tengku Redza tapi si
anak dah besar. Dah layak berkahwin. Dah layak dipanggil ayah kalau ada anak.
Sikap itu yang kurang matang. Agaknya perangai orang kecewa macam inilah. Tak
fikir hati dan perasaan orang lain.
“So are you
done, mama?” Tengku Redza tayang wajah selamba. Tak terkesan dengan bulat
mata mamanya yang jelas marah dengan kelancangan bicara dia.
“Mulut tu apasal tak ambil insuran.”
Bertubi-tubi Puan Rozi memukul lengan Tengku Redza.
Geram bila si anak masih berbicara pedas dengan wajah selamba. Sakit betul hati
tua dia. Tengku Redza langsung tak jaga air muka dia. Malu dia dengan Ariani.
“Eh, aunty!”
Ariani cuba meleraikan 'pergaduhan' dua beranak ini.
Kalau ikut hati jahatnya nak juga tumpang sekaki bagi 'hadiah' pada Tengku
Redza. Seronok nak kenakan lelaki bermulut lancing ini. Nyata dan jelas lelaki
ini memang tiada perasaan.
“Mama! Hishhh…” Tengku Redza menepis. Mendengus
geram sebelum berlalu keluar dari situ.
Puan Rozi berpaling. Memandang Ariani dengan wajah
sayu. Habis gagal rancangan hari ini. Tak sangka pula mood Tengku Redza macam tu.
“Sorry,
Ariani.”
“It’s okay,
aunty.”
Ariani tersenyum. Takkanlah nak marah-marah juga
macam anak Puan Rozi. Kalau dia ikut buat perangai macam tu, aci kerat jari
Puan Rozi tak datang semula ke butik kecantikannya lagi.
“Berapa aunty
nak kena bayar ni?” tanya Puan Rozi sambil menyelongkar beg tangannya. Mahu
mengeluarkan beg duit.
“Tak apa, aunty.
Rawatan hari ini percuma.” Ariani menolak huluran beberapa keeping not lima
puluh dari Puan Rozi. Dia bukan mahu mengambil hati Puan Rozi tapi ini adalah
niatnya membalas jasa baik wanita anggun ini.
“Eh, janganlah macam tu! Ariani kan berniaga.” Puan
Rozi berkeras. Menarik tangan Ariani yang disembunyikan si gadis. Mahu
menyerahkan duit yang sudah diperuntukkan untuk rawatan spa hari ini.
“Tak apa, aunty.
Kerana promosi mulut ke mulut aunty
dengan Puan Sri Kamalia, kawan-kawan aunty
dan puan sri ramai yang datang ke sini.”
“Rasa bersalah pula aunty.”
“Don’t be.”
Ariani menggeleng.
Tika itu mereka berdua dikejutkan dengan bunyi
nyaring hon kereta di luar sana.
“Aunty
gerak dululah, Ariani. Kalau tak pergi sekarang ada aunty makan asap aje.”
Kelam-kabut Puan Rozi bersalaman dengan Ariani.
Mulutnya mengomel sepanjang berjalan keluar dari butik kecantikan Ariani.
Ariani membalas lambaian Puan Rozi yang sudah masuk
ke dalam kereta anaknya. Dia menggeleng bila bunyi kuat tayar bergeser dengan
jalan kedengaran kuat di telinganya.
“PMS kut.” Dia mencemik. Daun pintu ditutup rapat.
“Apahal yang bising-bising tadi, Ria?”
“Allah!” Ariani pegang dada. Terkejut dengan tingkah
Kak Ju yang meninjau ke luar dari belakangnya. Aduh, kakak seorang ni. Tak reti
nak bagi salam agaknya.
“Dengar cerita anak Puan Rozi tu hensem.” Kak Ju
tanpa rasa bersalah terus melontar kata.
“Amboi, duduk dekat belakang pun sempat bergosip
ya.”
Ariani mencubit lengan Kak Ju. Salah seorang stafnya
yang gemar bergurau dengan dia. Lagi pula dia memang tidak meletakkan jurang
majikan dan pekerja dalam menjalankan perniagaannya ini. Pada dia mereka harus
berganding bahu kalau mahukan perniagaan ini berjaya.
“Dah kalau rupa kacak macam tu rugi pula tak cuci
mata.” Kak Ju ketawa-ketawa.
“Hensem aje tak guna kak kalau perangai tak serupa
wajah.” Ariani membalas. Dia kembali semula bersila di atas lantai. Menyambung
kerja-kerja yang tergendala tadi. Tangannya laju menjalankan tugas.
Kak Ju yang baru hendak menapak ke ruang belakang
tidak jadi melangkah. Berdiri tegak memandang Ariani yang seperti tidak
berperasaan.
“Ada kaitan dengan kecoh-kecoh tadi ke?” Dia
bertanya tak puas hati.
“Saya ni malas nak buka aib orang, kak.”
Kak Ju yang tak berpuas hati terus saja melabuh
duduk di depan Ariani. Siap menarik sila
menghadap Ariani. Merenung wajah majikannya yang masih beriak selamba.
Ariani panggung wajah. Ingin saja hamburkan tawa
bila terpandangkan muka Kak Ju yang seperti menahan geram dengan tingkahnya.
Dah tak sabarlah tu.
“Ria, boleh kasi habis tak ceritanya! Suka sangat
buat Kak Ju tertanya-tanya, kan.”
Terlepas tawa Ariani mendengar kata-kata Kak Ju. Kan
betul tebakannya. Kak Ju dan gosip berpisah tiada. Semua nak tahu cepat. Yang
dekat ruang belakang tu pula mesti tengah menunggu wartawan seorang ini.
“Anak Puan Rozi tu tak boleh jadi calon suamilah,
Kak Ju. Ria akui dia hensem tapi perangai dia. Ya ampun. Minta dijauhkan jadi
suami. Meroyan semacam. Eee…” Ariani goyang-goyangkan tubuhnya. Menambah efek dek
kata-katanya tadi.
“Like
seriously?” Kak Ju letak kedua-dua tapak tangannya di kedua-dua rahangnya.
Ariani angguk. Aduh, Kak Ju ni. Kalau ya pun nak
terperanjat. Tak payahlah melebih. Macam teruk sangat dia mengata anak Puan
Rozi. Eh, anak Puan Rozi tu memang teruklah.
“Panas ni! Panas! Kak Ju nak ke belakang.”
Ariani tersenyum. Hanya memerhati Kak Ju yang sudah
bangkit dan kalat menuju ke ruang belakang. Tak lama kemudia dia mendengar
jeritan staf-stafnya. Sah! Berita sudah tersebar.