Friday, April 3, 2015

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 6


AFIQAH campak kunci keretanya di atas meja. Punggung dihempas kasar pada kerusi empuk yang sudah menjadi miliknya sejak 6 bulan yang lalu. Rambut yang sedikit kusut digosok kasar. Dia mendengus. Kisah di restoran tadi menerjah ingatannya.

“Sampai hati kau, Abrar. Kau buang aku macam tu aje. 5 tahun tu kau buat macam 5 hari. Tak guna. Kau jangan ingat aku akan lepaskan kau macam tu aje.” Dia merengus.

Ditarik kasar beg tangan yang terjuntai talinya di dalam laci. Mencari sesuatu.

“Pergi mana tadi sekarang baru balik?” Satu suara garau menegur. Keras nadanya.

Afiqah mendongak. Memandang seketika wajah empunya suara yang menegurnya. Dia kembali menunduk. Tiada hati mahu menjawab soalan yang diutarakan.

“Jumpa Abrar?” tebak si empunya suara garau itu lagi. Kerusi di depan Afiqah ditarik.

“Kalau ya, kenapa?” Afiqah membalas kasar. Tidak suka orang di depan dia ini mengawal segala gerak-gerinya. Rimas. Dia sudah dewasa. Bukan budak-budak yang boleh diarah mana yang boleh dibuat dan mana yang tidak.

“Iqa tak ingat ke yang Iqa ni dah bertunang? Atau perlu daddy gantung tanda I’m taken?” Nada suara garau itu bertukar lembut. Tidak lagi tinggi seperti tadi.

“Apa ni, Dato’ Azman? Iqa bukan budak 5 tahunlah.” Dicampak beg tangannya ke atas meja. Marah sebab benda yang dicari tidak berjumpa. Ditambah pula dengan asakan soalan dari daddynya.

“Sebab Iqa bukan budak 5 tahunlah daddy kena tegur. Ya, daddy tahu. Daddy dah terlambat untuk melentur Iqa tapi itu bukan alasan untuk Iqa tak dengar kata-kata daddy.”

“Daddy nak apa ni sebenarnya? Daddy suruh Iqa putuskan hubungan dengan Abrar, Iqa dah buat. Daddy tunangkan Iqa dengan Zahid, Iqa tak bantah. Daddy suruh kerja dekat sini, Iqa turutkan. Apa lagi yang tak cukupnya?” Afiqah merengus. Bersandar sambil tangan bersilang di dada. Mukanya merah padam menahan amarah yang datang tiba-tiba. Wajah daddynya direnung penuh benci.

“Iqa…” Dato’ Azman memegang dadanya. Ada rasa perit di situ mendengarkan kata-kata kasar Afiqah. Terasa seperti apa yang dia buat selama ini untuk Afiqah adalah salah di mata anaknya ini. Tidakkah Afiqah tahu, itu semua adalah untuk kebaikan Afiqah jua? Salahkah dia untuk menjaga keturunannya? Salahkah dia untuk mengekalkan harta kekayaannya?

Afiqah bungkam. Langsung tidak terkesan dengan suara daddynya yang terketar-ketar. Sudah terbiasa dengan aksi begitu setiap kali mereka dua beranak bertengkar.

“Zahid tu calon yang sesuai untuk menjadi suami Iqa. Daddy percaya dia boleh jaga Iqa, boleh bahagiakan Iqa, boleh beri apa sahaja yang Iqa mahukan. Budak kampung tu tak akan mampu untuk beri semua tu pada Iqa.”

Tinggi melangit pujian Dato’ Azman pada Zahid, bakal menantu dia. Lagi pula Zahid merupakan anak rakan niaganya, Tan Sri Zainal. Bagaimana baik pekerti rakannya itu mestilah Zahid pun sama juga. Itulah andaian dia.

Afiqah pejamkan mata. Sakit hatinya mendengar kata-kata pujian Dato’ Azman tentang Zahid.

Tahu tak daddy apa yang Zahid dah buat pada Iqa? Zahid bukan Abrar. 5 tahun Iqa dengan Abrar, lelaki itu tak pernah menyentuh Iqa. Lelaki itu sentiasa menjaga auratnya, walau mereka kerap bertemu. Lelaki itu sentiasa ingatkan dia tentang solat, walau dia tidak menutup aurat. Lelaki itu cukup menjaga maruah Iqa. Tak macam Zahid. Baru seminggu bergelar tunangan dia, lelaki itu sudah buat onar.

Kalau dia cakap pada daddynya tentang kelakuan Zahid, adakah daddynya akan percaya? Sudah semestinya tidak. Sebab Zahid pandai berlakon. Menjadi orang paling baik bukan sahaja di depan daddynya malah di depan semua orang. Bak kata pepatah pijak semut pun tak mati. Walhal Zahid adalah seorang manusia yang bertopengkan syaitan.

“Iqaaa…”

“Arghhh!” Afiqah menjerit kuat. Tangan menghentak meja. Dicapai beg tangannya. Lantas bangkit dari kerusinya dan berjalan keluar dari bilik pejabatnya.

“Iqa!” panggil Dato’ Azman kuat.

Afiqah langsung sahaja keluar dari situ. Tidak berpaling walau sesaat. Setiausaha Dato’ Azman yang berselisih dengan dia pun tidak dipandang.

“Dato’ Azman, Mr. Lim dah tunggu di bilik mesyuarat.”

Anggukan lemah diberikan kepada setiausahanya. Perlahan-lahan dia berdiri. Tanda nama Puteri Afiqah Dato’ Azman yang ada di atas meja kerja Afiqah dipegang kemas. Dia berdoa semoga suatu hari nanti anaknya ini faham akan apa yang telah dia lakukan.

             
ABRAR buat tidak tahu sahaja dengan Luqman yang masih lagi menanti jawapan dari dia. Lebih baik dia siapkan laporan yang sudah tertangguh lebih seminggu lamanya. Dengan projek yang sedang berjalan lagi. Takut kalau dibiarkan semakin banyak kerja-kerja yang tertunggak.

“Bro, siapa dia?” Luqman masih merenung sahabatnya dengan sabar. Menanti Abrar membuka mulut. Dia perlu tahu siapa Asyikin. Gadis itu ada magis. Berupaya mengembalikan Abrar yang dulu.

“Aku ada laporan nak kena buat ni, Luq.” Abrar masih tidak mahu membuka mulut. Cukuplah Luqman sudah berjumpa dengan Asyikin. Selebihnya biarlah masa yang menentukan. Dia sendiri tidak pasti lagi dengan gadis itu. Masih terlalu awal.

“Kata aku kawan susah senang kau.” Suara Luqman berubah. Nadanya seakan-akan merajuk.

“Tolonglah, Luq. Ini bukan pentas teater nak tunjuk bakat lakonan.” Abrar menggeleng. Matanya masih lagi fokus menghadap komputer ribanya. Namun senyuman masih tidak lekang di bibir. Geli hati dengan telatah Luqman.

“Hebat budak tu. Abrar aku dah kembali semula.” Luqman masih tidak berputus asa. Memuji Asyikin sebagai umpan untuk Abrar bercerita. Itu pun kalau umpannya betul.

Abrar menoleh. Berlapis-lapis dahinya berkerut. Meminta penjelasan maksud kata-kata yang baru dituturkan Luqman.

“Betul, kan?” pancing Luqman lagi. Menari-nari keningnya.

“Apa yang betul?” Sengaja Abrar buat tidak faham.

”Oh! Come on, bro. Kau jangan nak berpura-pura pula.” Badan Luqman sudah tegak. Tidak berpuas hati bila Abrar masih mahu bermain tarik-tarik tali dengannya.

“Chilllah.” Abrar ketawa. Ditolak sedikit komputer riba jauh darinya. Bersandar malas pada kerusi kerjanya. Wajah tidak puas hati Luqman dipandang.

“Nak chill apanya kalau sikit pun kau tak nak cerita.” Luqman bersandar semula. Menjeling Abrar sebagai tanda memprotes.

“She’s hard to get.” Abrar menggumam hampir tidak kedengaran.

Menarik. Luqman koyak senyuman kacak sebelum bertanya lanjut.

“Macam mana kau boleh jumpa budak tu? Nak kata kau sakit tak ada. Lagilah kena tahan dekat hospital, jauh panggang dari api.”

“Budak tu nama dia Asyikin.” Keras suara Abrar. Tidak suka Luqman memanggil Asyikin dengan budak. Kalau Asyikin budak, dia apa? Tua sangatkah diri dia ini?

“Terima kasih, Asyikin. Abrar aku dah kembali.” Luqman ketawa. Mengusik. Kalau Abrar tidak serius mana mungkin sahabat dia ini beria-ia mempertahankan Asyikin.

“Tak payah nak terima kasih sangatlah, Luq. Belum ada apa-apa pun.” Abrar mengeluh.

“Naaa… jangan putus asa, bro. Takkanlah secepat itu kau nak mengalah?”

“Entahlah. Hati ni macam nak tapi…”

“Iqa?” pintas Luqman seolah-olah mengerti apa yang ada dalam hati Abrar. Berkawan dengan Abrar sejak zaman persekolahan lagi, membuat dia semakin mengerti hati sahabatnya ini.

Abrar diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu apa yang ada dalam hatinya. Asyikin? Afiqah? Afiqah sudah menjadi sejarah. Adakah Asyikin masa hadapan dia?  Semuanya masih kabur. Keraguan masih menyelubungi hatinya.

“Minta pada-Nya kalau kau tak pasti. Umur kita pun semakin pendek. Alang-alang sudah ada di depan mata, jangan lepaskan peluang,” nasihat Luqman.

Abrar mengeluh. Kedua-dua belah jemarinya bersulam dan dibawa ke mulut. Mata terpejam memikirkan kata-kata Luqman. Ya, ada betulnya bicara sahabatnya ini.

“Afiqah dah bertunang, Abrar. Kau pun sepatutnya teruskan kehidupan. Tak payah nak menjeruk rasa tu lama-lama.”

Abrar merenung Luqman. Cuba mencerna kata-kata sahabatnya ini.

“Kadang-kadang aku susah nak percaya seorang geologist suka pada teater. Tapi bila dengar kata-kata yang keluar dari mulut kau, baru aku boleh hadam.”

“Percayalah…” Luqman membalas mengikut alunan lagu yang dinyanyikan Dato’ Siti Nurhaliza.

“Dah, dah. Aku ada kerja nak kena buat. Karang kalau lambat kau marah aku. Maklumlah aku ni kuli aje.” Abrar kembali mengetuk kekunci omputer ribanya. Menghalau Luqman secara halus. Namun ada tawa dalam bicaranya.

“Yalah, yalah. Nak suruh aku blah tak payahlah nak merendah diri sangat. Gaji kita pun sama aje.” Luqman sudah berdiri. Mengalah dengan Abrar. Tidak mahu lagi mengorek rahsia hati sahabatnya ini. Lambat laun Abrar akan bercerita juga dengan dia. Masa itu akan tiba jua nanti.

“Tapi aku bukan anak bos.” Sempat lagi Abrar mengusik kala Luqman sudah melangkah keluar dari bilik kerjanya.

Badannya disandarkan semula ke kerusi. Merenung kosong omputer ribanya. Menyorot kembali peristiwa yang berlaku kepada dirinya sejak kebelakangan ini. Kenapa bila bahagia ingin menghampiri dia, ada ujian datang mencelah?

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Friday, March 27, 2015

HEROIN NURNIESA NAWWARAH, HERO ADIB ZIKRY - KOLABORASI SH & ANASTASIA QIRANA


#1 

Tubuh yang berlalu pergi itu aku pandang dengan seribu satu rasa. Arghhh! Kenapa setiap kali berhadapan, tingkahku jadi serba canggung, serba tak kena? Bukan sekali dua, malah kali ini dah kali yang ke-4! Semuanya berakhir dengan aksiku yang entah apa-apa, yang hanya menerbitkan senyuman sinis di bibir lelaki itu. Down gila! Merudum tergolek-golek self-esteem aku jadinya. Aduhai, encik yang ku tak tahu nama. Tak cukup comel ke aku ni?

#2 

"Adib Zikry. Adib Zikry. Adib Zikry." Aku sebut sepotong nama itu berkali-kali, seolah-olah menyeru si tuan empunya diri supaya muncul di hadapanku. Adib Zikry, nama yang cantik, secantik lelaki itu. Cantik sebab memiliki bulu mata yang lebat dan panjang melentik serta bibir yang seksi. Oh, Adib Zikry!

"Kau dah kenapa? Angau?"
Aku kalih sebelah. Tini pandang aku dengan riak macam menyampah. Terus aku balas dengan kenyitan mata.
"Susah betullah cakap dengan orang angau ni. Aku bagi soalan mudah tahap UPSR, dijawabnya dengan kod Da Vinci."
Aku sengih. Tangan Tini aku paut. "Sedap tak nama dia? Adib Zikry..."
Aku dengar Tini hela nafas panjang. Beberapa saat dia hanya senyap, dengan wajahnya langsung tak memandangku.
"Kenapa nak seksa hati sendiri, Nisa? Dia langsung tak heran kat kau."
Aku senyum tawar. Benar. Itu hakikatnya. Tapi...
"Hati aku yang inginkan dia, Tini. Hati ni kata, rasa itu tak pernah beralih walau ke mana pun ia tercampak. Dia tak heran kat aku, sebab dia tak tahu perkara sebenar," balasku perlahan.


#3 
"Assalamualaikum."
Aku sembunyi keluh. Baru nak menyuap, ada saja yang mengganggu. Perut dahlah tengah buat muzik orkestra. 
"Nisa." Tini cuit lengan aku.
Dengan hati yang tak rela, aku angkat kepala ingin memandang suara yang menyapa. Erkk!!
"Saya Zaid. Boleh saya tahu nama cik apa?"

#4 
"Nama cik?"
Aku geleng kepala. 
"Takkan tak ada nama?"
Aku ketap bibir. Apa kenalah lelaki di depanku sorang ni. Nak kata gila, rupa ok, kacak ala-ala Ian Somerhalder. Nama pun ok, Zaid. Tang senyum tu aje yang tak berapa nak betul.
"Cik..." 
Lelaki yang bernama Zaid itu merendahkan badannya. 
"Tolonglah saya..." bisiknya perlahan, membuatkan bulu romaku meremang.
"Tolong?" Tini kat sebelah dah menyampuk.
"Tolong senyum pada saya sekarang dan keluar dengan saya esok."
"Hah?" Bukan aku, tapi Tini yang terkujat. Aku pun terkujat jugak, tapi aku jadi speechless, tak tahu mana pergi perkataan.
"Tolonglah, cik. Demi hidup mati saya." 
"Hah?"

#5 
Cendol di dalam mangkuk aku sudukan ke mulut dengan penuh selera. Tini yang duduk di kerusi bertentangan dengan mata yang tak lari daripada memandangku, aku biarkan tanpa sebarang reaksi. Biar dia perah otak!
"Niesa, kau okey tak ni?"
Aku letak sudu. 
"Kau rasa?" Sengaja aku berteka-teki.
"Urmm... Entah. Tak okey kut sebab kau boleh tampar Adib depan semua orang. Mesti kau marah sangat, kan?"
Aku senyum dan sambung menikmati cendol. 
"Tapi kenapa kau marah sangat? Apa yang Zaid cakap masa berbisik tu?"
Aku teringat semula perbualan aku dengan lelaki yang bernama Zaid tu.
"Ni antara hidup dan mati saya."
"Hah?" 
Aku pandang Tini, Tini pandang aku. Sah, Tini pun terkejut. 
Aku tengok Zaid senyum manis sebelum mendekatkan bibirnya je telingaku. 
"Saya tahu awak tertarik dengan kawan saya yang bersut hitam tu, saya nak tolong awak ni. Jadi awak perlu senyum pada saya dan keluar dengan saya esok," Zaid berkata tersangat perlahan, jelas hanya untuk pendengaran diriku seorang. Kemudian, dia kembali berdiri tegak, sempat mengenyit mata pada Tini yang terpinga-pinga. 
"Kawan awak ni cute," katanya pada Tini.
"Encik Zaid nak apa sebenarnya ni?" Tini menyoal. Nampak ketara yang Tini keliru dengan apa yang sedang berlaku.
"Saya nak kawan awak ni. Macam mana, cik...?"
"Niesa."
Aku jeling Tini. Laju aje dia sebut nama aku.
"Macam mana Cik Niesa? Setuju?"
"Apa yang saya dapat?"
"Apa yang hati Cik Niesa tu nak."
"Apa yang awak akan dapat?"
"Pengakuan berani mati dia."
"Tapi saya ada syarat."
"Apa sahaja. Saya setuju."
"Baik." Nekad, aku bangun dan berjalan ke arah lelaki bertiga yang menanti Zaid. Tepat di depan Adib Zikry, aku layangkan tapak tanganku ke pipinya tanpa ragu-ragu.
"Kalau awak tak nak dengan saya pun, jangan pandai-pandai nak pasangkan saya dengan kawan awak ni." Aku tinggikan suara. Jari telunjuk aku tujah dada Zaid yang sudah berdiri di sebelahnya.
Bila aku tengok lelaki yang bernama Adib Zikry ini hanya diam dengan dahi yang dah berkerut-kerut, aku sambung lagi. 
"Saya bukan barang mainan dan bukan saya tak laku." Aku hadiahkan jelingan tajam.
"Err, semua ini hanya salah faham, Adib." Aku tengok Zaid menggosok tengkuk. Nampak resah. Nasiblah, tadi kata setuju dengan semua syarat aku tak kira apa, kan? 
"Niesa, sudahlah." Tini tarik tangan aku. 
"Encik Adib, maaf ya. Kawan saya ni dah salah faham." 
Aku jadi tak puas hati. Apasal pulak Tini ni nak berbaik dengan mamat berlagak ni? Terus tangan Tini yang memaut lenganku, aku leraikan. Tanpa sepatah kata, aku buka langkah tinggalkan mereka.
"Awak kenal saya?"
Hanya itu yang aku sempat dengar sebelum menjauh. Huh! Kenapa pulak aku tak kenal dia? Hati awak tu saya punya, Encik Adib Zikry oi!
"So lepas ni apa?"
Lamunanku mati. Tini masih berada di depanku.
"Apa yang apa?"
Tini jongket bahu. 
"Macam mana kalau kau terserempak lagi dengan dia lepas ni? Dahlah kau dah tampar dia. Jangan kata Adib dan Zaid, dengan aku-aku sekali terkejut beruk tadi."
"He deserve it, Tini." Aku jawab mudah.
"Aku tak faham."
Aku tolak mangkuk cendol menjauh. Badan aku sandarkan pada kerusi.
"Kau sendiri cakap yang dia tak heran dengan aku, kan? In fact, entah dia perasan kehadiran aku selama ni entah tidak."
"Jadi?"
"Jadi... Aku fikir... Mungkin satu tamparan akan membantu untuk buatkan dia ingatkan aku, or at least, sedar kewujudan aku." 
Tini kedu beberapa saat sebelum melopong. 
"Ohmai... Maknanya kau se..."
Aku angguk dan senyum. 
"Yup, memang aku sengaja tampar dia sebab nak tinggalkan kesan dalam hati dia."
"So, next step?" Riak Tini dah teruja.
"Keluar date dengan Zaid. Esok."

#6
Perbualan aku dan Zaid terhenti apabila handphone Zaid berdering.
"Adib." Zaid jawap sepatah. Tanpa aku pinta, Zaid buat mode loudspeaker.
"Yes, bro."
"Kau kat mana ni?" Suara Adib terdengar jelas.
"Outside."
"Where? Dengan siapa? Bukan ke kita ada game tenis hari ni?"
"Sorry. Aku tak dapat nak join. Aku kat luar ni."
"Kau dah janji."
"Sorry. Aku dengan Niesa ni." Zaid jongket kening pada aku.
"Oh, Nie... What? Niesa? Which Niesa?"
"Niesa yang lempang kau semalam tu la."
"What the hell kau keluar dengan dia?" Suara Adib macam dah tinggi sikit.
"Dia nak mintak maaf dengan aku pasal kes semalam."
"Aku yang dia tampar, apahal dengan kau pulak dia mintak maaf?"
"Maybe sebab aku lagi gentleman daripada kau." Zaid sengih lebar. Nakal aje aku tengok dia sekarang ni.
"Nak kena perempuan ni. Tunggulah nanti." Terus panggilan diputuskan.
Zaid pandang aku, aku pandang Zaid.
"So dah ready dah nak kerja dengan Adib?" Zaid tawa kecil di hujung bicaranya.
Aku sengih. Lepas dua jam menghabiskan masa berjalan-jalan di OU ini, aku sedar yang lelaki bernama Zaid ini tidaklah senget seperti yang kusangka awal-awal semalam. Dia suka bergurau, tenang dan berbudi bahasa juga orangnya.
"Apa reaksi dia semalam bila dapat tahu awak akan kerja dengan dia?"
Tawaku pecah. Terbayang-bayang reaksi spontan Adib Zikry menyentuh pipi sendiri bekas tamparanku, sebelum lelaki itu tayang muka kerek dalam bilik big boss semalam.
"Saya berlakon baik punya, Zaid. Konon-kononnya saya terperanjat, baru dapat tahu dialah bos saya. Apalagi, kawan awak tu mulalah tayang senyum sinis dan riak nakal. Saya rasa mesti sekarang ni dia dah ada list panjang apa dia nak buat pada saya." Tawaku bersambung lagi.
"Habislah awak, Niesa. Tanduk dia dah keluar tu."
Aku sengih lagi. 
"Tanduk saya ni dia tak tahu lagi. Cuma satu je sekarang ni..." Aku jeda.
Wajah Zaid aku pandang sekilas. Kenapalah hati tak tertarik pada Damon Salvatore ni? Kenapalah hati aku ni degil pada yang sorang tu juga?
"Niesa?"
"Satu je saya nak tahu sekarang ni. Kenapa awak beria-ia nak tolong saya, Zaid? Kenapa awak sanggup bersusah-susah? Awak tak kenal saya pun." Aku luahkan soalan yang terbuku sejak pertemuan pertama kali kami semalam.
Zaid berhenti melangkah. Berpusing 90 darjah dan menghadapku. 
"Adib yang saya kenal, tak pernah toleh pada perempuan dua kali. Dengan awak, dia toleh. Jadi, saya buat kesimpulan yang awak ni ada sesuatu yang istimewa di mata dia. Mungkin dia sekadar tertarik macam-macam tu aje, tapi sekurang-kurangnya awak dah berjaya dapatkan perhatian dia. Bukan mudah nak dapatkan perhatian Adib tu. Dia dah terbiasa ke mana-mana dengan mata-mata perempuan yang sentiasa melirik pada dia dan selama ni dia hanya buat tak kisah. Tapi dengan awak lain. Siapa tahu, awaklah jodoh dia?"
"Pandai awak berfalsafah, kan?"
"Saya kan pencinta wanita, haha... So bila awak mula kerja dengan dia?"
"Isnin ni."
"Cepatnya!"
Aku sengih. 
"Mungkin dia dah tak sabar nak balas tamparan saya."
"Kalau awak perlukan pertolongan, just let me know. Ada soalan pasal Adib pun, boleh tanya saya. Saya akan tolong mana yang mampu."
"Thanks, Zaid. Tolong saya."
"Saya cuma nak sedarkan kawan saya yang ego tu, yang cinta itu indah."
"Saya taj tahu kalau ni namanya cinta."
"Habis tu kenapa awak nak dekatkan diri dengan dia?"
"Sebab ada sesuatu milik saya pada dia." Hati saya, sambungku dalam hati.
"Milik awak? Dia hutang awak ke?"
"Awak akan tahu satu hari nanti. Buat masa sekarang ni, saya kena bersedia mental rohani saya nak berdepan dengan kawan awak tu."
Tawa Zaid lepas. 
"Awak ni cute la, Niesa."
Aku senyum. Encik Adib Zikry, the game is on!

Hari pertama di office Adib Zikry.

"Buatkan saya air nescafe."
"Pardon?"
"Nescafe for me. Telinga tu ada masalah untuk mendengar ke?"
"Yang tu?" Aku tunjuk muK di depannya. Sabar Niesa, sabar. Aku ingatkan dalam hati.
"Tak sedap. Makcik kedai tu tak pandai buat."
"Oh, okey." Aku berlalu keluar. Berselisih dengan Kak Gee. 
"Dia nak air nescafe kak," kataku perlahan.
"Bukan tadi akak dah belikan ke nescafe sekali dengan sarapan dia tu?"
"Betullah tu. Dia kata tak sedap."
"Eh, selalunya dia minum okey je."
"Takpelah kak, saya buat sekejap."
"Necafe satu sudu sentengah, gula dua sudu ya. Tu sukatan untuk dia."
"Baik, Kak Gee. Thanks."
Aku bergerak ke pantri. Lepas lima minit, mug yang berasap wap panas nescafe aku bawa ke bilik bos 'kesayangan'.
"Encik Adib, air."
"Hmm... Letak situ. Saya haus nanti saya minum."
Besar kecik besar kecik aku nampak Adib ni sekarang. Saya haus nanti saya minum? Habis kalau tak haus yang dimintak tu apahal?
"Anything else?" Adib Zikry dah angkat kepala.
"Err, tak ada."
"Then keluarlah."
Aku keluar dengan pelbagai rasa. Sabarlah, Niesa. He is just playing the game!
Aku maniskan muka depan Kak Gee dan menyambung kerjaku. Ralit aku menghadap dokumen-dokumen yang ada sehinggalah namaku tiba-tiba dijerit.
"Niesa!"
Bergegas aku masuk ke biliknya.
"Kenapa nescafe ni sejuk? Saya nak yang panas. Buat semula."
Aku kepal tangan di belakang tubuh. Nasiblah hati aku ni ada kat kau, kalau tak dah lama kena flying kick dengan kaki aku ni!
"Tak jelas ke arahan saya?"
"Maaf, Encik Adib. Biar saya buat semula."
Aku bawa muk yang berwarna biru itu keluar. Masuk pantri semula, panaskan air, dan bancuh baru. Yang dah sejuk dalam mug, aku curah ke sinki. Siap semua, aku kembali ke biliknya.
"Baik Encik Adib minum sekarang. Nanti sejuk tak lalu pulak tekak tu nak telan." Aku sindir bersama senyuman.
"Hmm..."
Adib suakan bucu muk ke bibirnya. Masuk teguk yang ketiga, dahinya berkerut.
"Buat semula," ujarnya.
"Pardon?"
"Buat semula. Pergi belajar daripada Kak Gee macam mana nak buat air yang sedap. Ni dating dengan Zaid pandai, buat air failed."
Eh? Ini sudah lebih! Aku pandang dia dengan kesabaran yang semakin menipis. 
"Encik Adib, saya buat air ni ikut sukatan yang Kak Gee bagilah." Ambik kau, nak buli aku konon!
"Tak, tak. Rasa dia lain. Awak pergi belajar dengan dia semula. Belajar betul-betul. Selagi rasanya tak betul, selatu saya akan suruh awak repair, faham?"
Aku mendengus dan melangkah keluar. Laju aku ke pantri dan cari air panas. Kau nak main game sangat kan? Baik! Kita tengok siapa yang kenakan siapa!
Selepas 10 minit, aku bergerak ke biliknya. Sopan, aku ketuk pintu perlahan dan masuk. Sopan juga, aku suakan mug di depannya. Dan dengan sopan, aku menjemputnya minum.
"Your drink, boss. Mintak maaf yang tadi buat tak betul. Ni saya dah belajar betul-betul dengan Kak Gee."
Aku nampak Adib jongket keningnya bersama senyuman. Huh!
"Okey. Biar saya rasa dulu."
Aku diam sahaja dan hanya memerhatikannya menghirup air sehingga habis separuh mug.
"Okey, bos?" soalku.
Adib angguk. 
"This is what I want."
Aku senyum. Dalam hati dah menyumpah seranah. 
'This is what I want.' Piiigidahh! Sama aje sukatan yang tadi dengan yang ni. Nampak sangat nak cari pasal."
"Err..."
Wajah Adib dah berkerut. Haha! Aku dah mengekek dalam hati.
"Kenapa, Encik Adib?" Aku pura-pura prihatin.
"Perut saya?"
"Kenapa?"
"Awak campur apa dalam air ni?"
Aku sengih. Yes!
"Niesa..." Suara Adib macam tahan geram campur tahan sakit.
"Resepi biasa, Encik Adib. Cuma saya tambah bahan ekstra sikit macam yang tulis dalam majalah. Katanya tips untuk sedapkan air nescafe." Sengaja aku bebel panjang-panjang.
"Apa bahan ekstra tu?"
Hahah, nampak sangat dia dah tak tahan. Aku buka mulut dengan perasaan gembira.
"Julab." Aku bagi jawapan sepatah.
"Nurniesa Nawwarah!!!"

#7 
"Apa Adib dah buat ni? Niesa?" Suara Kak Miera di belakangku melengking tinggi. 
Aku cuma mampu berdiri tegak, tak berani langsung hendak menoleh. Baju kurungku yang dah berbau minyak aku pandang sayang. Jenuhlah balik nanti nak cuci bagi hilang segala kesan dan bau.
Adib yang berdiri depan aku, tak henti-henti menggosok perutnya. Panaslah tu dah mandi minyak, padan muka. Bagi lagi arahan yang bukan-bukan untuk aku. Orang mandi bunga, awak mandi minyak. 
"Adib, answer me!"
Dapat aku kesan nada Kak Miera dah naik seoktaf. Habislah aku, habislah!
"Tak ada apa-apa, Kak Miera."
Aku bulat mata. Berani giler mamat ni jawab selamba sambil lewa. 
"Keadaan yang mencurigakan macam ni kau kata tak ada apa-apa? Niesa? Apa korang buat tadi ni?"
Aku telan air liur tapi rasa macam tertelan pasir pantai. Aku panggung kepala cari wajah Adib, ternyata dia sedang menatap wajahku bersama sengihan.
"Nak abang bagi tahu Kak Miera ke, sayang?" soalnya dengan senyuman senget.
Aku dah rasa lain macam dengan pertanyaannya itu. Apasal macam...
"Shoud I tell her about us, pretty? Hmmm?"
Aku jegilkan mata pada Adib namun dia masih galak dengan senyuman yang masih melebar, dengan tangan yang tak henti-henti mengusap perut.
"Niesa?"
Aku pejam mata. Suara Kak Miera yang menyeruku membuatkan aku ingin menyorok dalam drawer. 
"Adib rasa, baik Niesa sendiri yang berterus-terang pada Kak Miera tentang apa yang dia dah buat. Kalau Adib yang bukak cerita, malu pulak Niesa nanti."
Confirm. Adib tengah cari pasal dengan aku. Nafas aku tarik panjang-panjang sebelum berpaling pada Kak Miera.
"Kak Miiiieraaaa..." Aku dah peluk tubuh Kak Miera dan labuhkan kepala ke bahunya. 
"Encik Adib buli saya. Dia paksa saya sapukan minyak pada perut dia. Kalau saya ingkar, dia ugut akan buat laporan yang saya ni pekerja bermasalah dan tak perform." Aku lirihkan suara dan berpura-pura mahu teresak. Caught you, Adib Zikry!
"Adib, betul ke ni?" 
"Err, bukan macam tu, Kak Miera!"
"Encik Adib kata, kalau saya tak nak ikut arahan dia, dia takkan pulangkan saya pada Kak Miera." Aku sambung aduan tanpa langsung menoleh ke belakang. Entah macam mana reaksi Adib, aku tak tahu. Yang aku tahu, sekarang ni Kak Miera tengah usap belakang badan aku. Terasa simpatinya di situ. Maaf, Kak Miera. Niesa terpaksa tipu...
"Adib... Adib... Kenapa aniaya staf macam ni? Kalau daddy tahu macam mana?"
"Budak ni kelentong je, Kak Miera. That's not the truth!"
Aku tahan gelak dalam hati. Suara Adib jelas tengah tahan geram.
"So, what's the truth? Niesa ni dah lama kerja dengan akak, tak pernah sekali pun dia mendatangkan masalah. Adib tu, bukan akak tak tahu, suka main-main."
Aku dengar Adib merengus kuat. Haha...
"Macam nilah, Kak Miera. Demi nak buktikan yang Adib tak aniaya staf terutamanya staf kesayangan Kak Miera ni, Adib akan kahwin dengan dia."
Aku rasa tercekik. Pantas aku renggangkan pautanku pada tubuh Kak Miera dan berpusing. Nampak Adib dengan riak yang sungguh serius.
"Adib, jangan main-main." Kak Miera beri amaran. 
"I'm deadly serious. Kak Miera call daddy sekarang, mintak daddy datang sini."


#1 
Aku hanya memandang sekilas pada gadis yang baru sahaja berpapasan denganku. Aku perasan gadis itu ralit merenung aku. Kalau tidak masakan gadis itu tidak perasan kerusi yang berada di depannya hingga membuatkan gadis itu hampir tersungkur. Aku tersenyum senget.
Fokusku kembali pada teman-teman. Mendengar kembali ocehan mereka. Namun entah kenapa kepala aku gatal mahu berpaling.
Dahiku berlapis. Kenapa gadis itu masih memandang aku? Aku kenal ke? Ahhh... Dia bukan siapa-siapa. Bukan aku tak biasa dengan pandangan begitu. Bak kata teman-temanku, berjalan denganku umpama membunuh diri. Mata gadis-gadis pastinya memaku pada wajahku.

#2 
"Apasal?"
Aku menoleh bila terasa lenganku ditumbuk kuat. Farid tersengih kepadaku. Hampir sahaja tanganku membalas sama. Nasib aku kenangkan yang dia ni kawan.
"Ada apa dengan budak perempuan tu?" Kening Farid menari-nari.
Ahhh... sudah. Farid perasan pula. Sempat mataku melirik pada Amir dan Zaid. Kedua-duanya turut merenung aku.
Ketara sangatkah reaksi aku tadi? Alasan apa aku nak beri ni? Mereka bertiga tak boleh tahu apa-apa. Jatuh reputasi aku nanti.
"Kau kenal budak tu?" Sekarang aku rasa macam nak jahit mulut ni. Tidak pernah mahu berkerjasama dengan akal. Soalan aku tadi terang-terang menjatuhkan reputasi sendiri.
Sepi. Tiada jawapan. Aku memberanikan diri memandang seorang demi seorang. Masing-masing tengok aku macam tengok alien.
"What?" Aku dah mula naik angin.
"Like seriously, Adib?" Terkebil-kebil mata Zaid.
Lantak merekalah nak fikir apa. Salah ke aku nak tahu? Mataku merenung kembali susuk tubuh yang mula menjauh. Kenapa ya aku tiba-tiba ingin tahu gadis yang entah siapa-siapa tu?

#3
Budak tu? Mataku mengecil memerhati dua orang gadis yang sedang berbual di hujung restoran yang bakal aku lalui.
"Nak kenal tak?" Farid menyiku. Tersenyum-senyum.
Aku kerut dahi. Berpura-pura tidak faham, Tak guna punya kawan. Dia perhatikan aku rupa-rupanya. Ingat aku terdesak sangat ke?
Sesungguhnya kenapa aku jadi macam ni? Mana perginya egoku? Keangkuhan aku tika berdepan dengan perempuan? Hilang. Aura gadis itu melenyapkan semuanya.
"Slowlah kau ni, bro. Selama ini okey aje." Amir ketawa-ketawa.
"Sekejap." Zaid mencelah dan angkat tangan. Melangkah lebih laju dari kami semua.
Amir dan Farid sudah bersorak. Aku? Hanya mampu menyorot pandang. Jangan Zaid jual nama aku sudahlah.

#4
"Cik! Cik!"
Aku, Farid dan Amir menoleh bila mendengar jeritan Zaid. Budak tu, Budak tu laju melangkah ke tempat kami bertiga.
"Dia datang," Farid mengusik mengikut lenggok lagu.
Amir menepuk-nepuk bahu aku.
Aku hanya mampu telan liur. Menanti hingga budak itu mendekat. Entah apa yang Zaid cakap sampai budak tu berani datang kepada aku.
Aku tersenyum sebaik budak itu berdiri di depan kami.
Tanpa amaran, tanpa kata satu tamparan hinggap di pipi kiri aku.
Aku? Terpempan. Perit dan pijar di pipi aku biarkan. Farid dan Amir aku lihat terkedu sama.
"Kalau awak tak nak dengan saya pun, jangan pandai-pandai nak pasangkan saya dengan kawan awak ni." Suara budak tu melengking kuat. Jari telunjuknya menujah kasar dada Zaid yang sudah berdiri di sebelah aku.
"Huh?" Berlapis dahi aku berkerut memandang budak itu. Apa yang budak ni cakap? Sungguh aku tak faham.
"Saya bukan barang mainan dan bukan saya tak laku," sambung budak itu lagi bersama jelingan yang tajam.
Aku memandang Zaid.
"Semua ini hanya salah faham, Adib." Zaid beralasan. Tangan menggosok tengkuk. Tanda rasa bersalah.
"Niesa, sudahlah..." Kawan budak itu menarik tangannya.
Niesa, sedap nama dia. Berbaloi jugalah kena sebiji. Aku tersenyum. Hilang terus rasa kena lempang tadi.
"Encik Adib, maaf ya. Kawan saya ni dah salah faham." Kawan budak tu merayu.
"Awak kenal saya?" Terperanjat aku bila namaku disebut. Kawan dia kenal aku bermakna budak ni pun kenal aku. Kenapa aku tak kenal dia?

#5 
Baru sahaja aku melangkah masuk ke bilik kerja, Kak Gee, pembantu peribadi aku sudah terpacul di depan pintu.
"Bos," panggil Kak Gee. Berjalan dengan susah payah mendekati aku.
"Ada apa, Kak Gee?" Aku tersenyum seraya tangan sibuk menyusun pelan-pelan yang bersepah di atas meja.
"Bos besar nak jumpa. Sekarang," beritahunya.
"Saya memang ada appoinment dengan bos besar ke?" soalku semula. Seingat aku macam tak ada. Setiap pagi Kak Gee akan beritahu jadual kerja aku untuk seharian.
"Tak ada. Mungkin ada hal lain selain hal kerja agaknya." Kak Gee menggeleng sambil tangan galak memegang perut.
"Bila due, Kak Gee?"
"Dua minggu lagi."
"Susahlah saya bila Kak Gee tak ada." Pelan-pelan tadi aku biarkan sahaja bersepah kembali. Wajah sugul aku tayang pada Kak Gee. Tangan sudah mencekak pinggang.
"Jangan bimbang, bos. Saya dah minta HR cari pengganti sementara."
"Harap-harap dorang dapat hantar pengganti tu secepat mungkin. Banyak benda staf ganti tu kena belajar." Aku membebel. Jemari sudah naik memicit pelipis. Kalau lagi dua minggu tak ada pengganti, memang masak aku.
"Bos, rasa-rasanya pasal staf ganti ini kut bos besar nak bincang."
"Harap macam itulah. Eh, saya naik atas dulu. Anything, just text me." Bergegas aku tinggalkan Kak Gee termangu-mangu dengan tindakan pantas aku.
Semua kena cepat dan pantas. Masa tak tunggu kita. Aku ada banyak lagi pelan perlu disemak. Projek syarikat makin bertambah. Usaha kena berlipat kali ganda. Kalau syarikat tak dapat sediakan pengganti sebelum Kak Gee bersalin, siapa yang nak membantu. Farid, Amir dan Zaid, masing-masing ada beberapa projek yang telah diamanahkan.
Pintu yang tertera nama Dato' Adam Zainal Bin Amin aku ketuk sebelum dikuak. Aku tayang sengih pada bos besar yang sedang berbual dengan dua orang perempuan yang membelakangkan aku. Salah seorang darinya turut menoleh memandang aku.
"Yup, daddy. Aikkk... ada perbincangan keluarga ke?" Aku menyapa. Malas nak duduk. Aku memilih untuk berdiri sahaja. Tangan sudah menyeluk poket. Merenung insan bertiga di depan aku ini.
"Tak ada masanya Kak Miera nak bergosip dekat sini. Betul tak, daddy?" Kak Miera membalas bersama jelingan.
Aku ketawa. Amiera Zaina, Pengurus Sumber Manusia yang juga satu-satunya kakak aku memang tegas. Macam daddy juga. Hal keluarga dia tidak suka dibincang dekat pejabat.
"Cerita keluarga cerita dekat rumah, Adib. Ini pasal PA yang akan gantikan Gee nanti," Dato' Adam mengiyakan kata-kata Kak Miera.
"Dah ada? Alhamdulillah." Aku meraup muka. Gembira dengan berita yang baru diberitahu.
"Budak ni salah seorang staf Kak Miera. Dia aje yang sesuai buat masa ni," sambung Kak Miera pula.
"Siapa? Bila boleh mula? Lagi cepat lagi bagus. Banyak benda kena belajar dengan Kak Gee tu," tanyaku bertalu-talu. Sesungguhnya aku bercakap benar. Staf ganti itu perlu banyak belajar dari Kak Gee sebab aku tak ada masa nak terangkan satu-satu.
"Tak menyabar. Ini, Nuniesa Nawwarah." Kak Miera mencuit perempuan di sebelahnya.
Dato' Adam yang mendengar sedari tadi hanya menggeleng.
Saat perempuan yang diperkenalkan sebagai Nurniesa Nawwarah menoleh, aku terpaku. Merenung tanpa kerlipan sebelum satu senyuman senget aku hadiahkan.
"Ohhh..." Spontan tanganku naik meraba pipi kiri. Sengaja aku lurutkan bekas tamparan tadi.
Nurniesa aku lihat sudah tidak senang duduk.
Pucuk dicita ulam mendatang. Betullah kata-kata orang. Ada lori ada bas, ada hari boleh balas. Tapi kenapa aku tak pernah tahu kewujudan dia? Kami berkerja di bawah satu bumbung rupa-rupanya.
"Ini bagi pinjam sementara aje tau. Lepas Gee bersalin pulangkan balik pada HR. Dia orang kepercayaan Kak Miera." Tegas sekali suara Kak Miera. Seolah-olah memberi amaran.
"Tengoklah macam mana nanti," balas aku tersengih nakal. Kening aku terangkat-angkat. Mengusik Nurniesa yang semakin gusar aku rasa.

#6 
Aku campak reket tenis ke lantai. Masa ni dah tak fikir apa dah. Walhal beribu aku habis hanya untuk sebatang reket tenis. Punyalah aku sayang gila dekat reket tu. Bukannya boleh jadi Roger Federer pun. Jauh sekali Rafael Nadal.
"Dapat?" tanya Farid. Dikutip reket aku itu. Diletakkan di sebelah aku.
Aku merengus. Hanya jelingan yang aku berikan. Tak kuasa nak menjawab. Bukannya dia tak nampak aku bercakap dengan Zaid di talian tadi.
"Kalau Zaid tak ada, kita main bergilirlah," cadang Amir.
"Korang main berdua ajelah. Aku tak ada mood." Rambut aku kuak kasar ke belakang. Menekur kosong ke lantai.
"Aikkk... tadi bukan kau ke yang beria-ia nak main?" aju Amir. Muka dia dah pelik memandang aku.
"Itu tadi. Sekarang dah tak." Mood aku dah melayang, sambung aku dalam hati.
Ini semua gara-gara Zaid dan Nurniesa yang sedang berdating. Ada ke patut muka aku yang ditampar tapi Zaid yang dapat kemaafan. She is something. Ohhh... kau nak bermain dengan api ya, perempuan. Siaplah kau isnin ni. The game is on, babe. Aku sudah tersengih nakal.
"Tersengih pula." Bahu aku ditepuk Amir.
"Pergilan main sana." Mati terus sengihan aku tadi. Namun hanya seketika. Dagu aku usap bersama senyuman lebar. Terasa bagaikan ada tanduk yang keluar di kepala.
Itu cerita hari sabtu. Ini cerita hari isnin. Apa yang dirancang tidak menjadi. Aku kini terbaring lesu di atas sofa berangkai tiga. Sudah lebih lima kali aku terpaksa berulang ke tandas.
Semuanya gara-gara PA sementara aku itu. Baru suruh bancuh nescafe dah pandai melawan. Ada ke patut diletaknya julap dalam nescafe tu. Resepi baru konon. Penyudahnya aku yang terima padahnya.
"Kak Gee!" Aku melaung kuat bila terasa perutku memulas-mulas.
"Ya, bos." Terkocoh-kacah aku lihat Kak Gee masuk menghampiri sofa. Sorry, Kak Gee. Terpaksa menyusahkan akak. Dah baik nanti saya balas jasa baik akak dan 'jasa baik budak tu''.
"Batalkan site visit saya petang ni. Tak boleh nak bangun dah ni." Aku menyeringai sambil tangan mengusap perut. Pada masa yang sama aku lihat Kak Gee turut mengusap perutnya. Hailaaa... Perut Kak Gee kalau keluar berbaloi juga. Perut aku, nan hado.
"Tak nak pergi klinik ke, bos?" Muka Kak Gee aku lihat sudah beriak risau. Nampak macam dia nak tergelak pun ada juga.
"Tak apalah. Carikan saya balm ke, minyak panas ke atau apa-apa yang boleh surutkan rasa sakit ni," suruh aku dengan mata terpejam.
"Itulah, bos. Elok-elok saya dah belikan nescafe, bos suruh si Niesa tu buatkan pula. Bukan sekali tapi tiga kali. Saja kan bos ni cari penyakit." Kak Gee mula membebel.
"Perut saya dah sakit sangat ni, Kak Gee. Boleh tak jangan tambah serabut kat kepala otak saya pula."
"Sorrylah, bos. Sekejap lagi saya bawakan minyak panas." Kak Gee berpaling.
"Nanti suruh Niesa yang bawa ke sini," arah aku. Tidak mahu menyusahkan Kak Gee yang aku lihat semakin susah nak berjalan.
Lima minit kemudian, aku terdengar pintu bilik aku dikuak. Mata yang terpejam aku buka.
"Apasal tercegat dekat situ?" Keras suara aku bertanya pada susuk tubuh yang hanya mematung jauh di hujung meja kerja aku. Tahu pula takut. Masa buat kerja jahat, tak nak pula berfikir dulu. Geram betul aku.
"Errr... ini minyak panas yang Encik Adib minta." Nurniesa tayang sebotol minyak panas di tangannya kepada aku.
"Tolong sapukan." Aku bersuara tegas.
"Huh?"
"Cuba dekat sikit. Muda-muda dah pekak." Aku menjeling.
Nurniesa aku lihat berjalan perlahan-lahan mendekati aku. Nampak dia ragu-ragu. Aku tahu dia dengar dengan jelas kata-kata aku tadi.
"Duduk!" Aku tepuk meja kopi di sebelah.
Tanpa suara terus sahaja Nurniesa patuh arahanku. Aku perasan matanya terkebil-kebil memandang aku.
"Minyak tu mana?"
"I... Ini." Terketar-ketar tangan Nurniesa menghulurkan botol minyak panas itu kepada aku.
Tanpa lengah aku selak kemeja yang sememangnya sudah tidak tersarung kemas di badan.
"Errr... En... Encik Adib nak buat apa?"
"Sapukan minyak tu dekat perut aku."
"Perlu ke?" Aku lihat Nurniesa dah ketap gigi. Mesti tak sangka dengan arahan aku.
"Siapa suruh kau letak julap? Sekarang kau kena ubatkan aku sampai baik." Aku mencerlung tajam.
Nurniesa tetap membatu. Tak berkutik langsung dengan kata-kata aku.
"Cepat!" jeritku kuat.
Kalut dia membuka penutup botol. Dengan mata terpejam dan tangan menggigil aku lihat Nurniesa menyentuh kulit perut aku. Namun tangannya terhenti di situ. Beku. Sejuk. Tak terasa panasnya minyak.
Aku? Bagaikan terkena renjatan elektrik. Kaku seperti Nurniesa. Seumur hidup mana pernah aku bersentuhan dengan perempuan bukan mahram. Inilah yang pertama.
"Astaghfirullahladzim!" Suara perempuan beristighfar kuat memeranjatkan kami berdua.
Kelam kabut aku dan Nurniesa berdiri. Waktu itu jugalah botol minyak panas tadi tertumpah atas perut aku dan terkena pada baju Nurniesa. Mandi minyak panas kami berdua.
"Apa Adib dah buat ni? Niesa?" Suara Kak Miera melengking tinggi.

#7 
Aku rasa macam ringan aje tangan ni nak lempang orang. Nak-nak orang yang pernah tampar aku. Baru aku gertak sikit, dia lebih-lebih pula mengadu dengan Kak Miera. Perempuan ni memang drama queen betullah.
Yang Kak Miera ni pun sibuk what's the truth pula. Hello! Aku ni adik dia. Kenapalah dia boleh percaya lakonan budak tak cukup umur ni? Think, Adib. Think.
"Macam nilah, Kak Miera. Demi nak buktikan yang Adib tak aniaya staf terutamanya staf kesayangan Kak Miera ni, Adib akan kahwin dengan dia."
Elok saja aku habis bercakap, Nurniesa berpaling. Aku beriak selamba. Kau nak sangat bermain dengan aku kan. Jadinya tak salah kalau aku tamatkan dengan ccara begini.
"Adib, jangan main-main." Kak Miera beri amaran.
"I'm deadly serious. Kak Miera call daddy sekarang, mintak daddy datang sini."
Tanpa banyak bicara, Kak Miera terus keluar dari bilik aku. Tinggallah aku dan Nurniesa berdua macam tadi. Bezanya jarak kami sedepa.
"En... Encik Adib." Nurniesa memandang aku. Air muka dia sudah berubah keruh.
"Hmmm..." Aku menjawab malas.
Tayanglah muka simpati, Nurniesa. Ini Adib Zikry. Walaupun permainan ini kau yang mulakan. Tidak salahkan untuk aku tamatkan.
"Pasal ka... kahwin tu?" Nurniesa aku lihat dah tergagap-gagap nak bertanya.
Mana pergi aura kerek dia tadi? Mana pergi keyakinan dia tadi? Atau sekarang dia hanya berlakon semata-mata mahu meraih simpati dari aku?
"Kenapa? Dah tak sabar? Nak cepatkan?" sindir aku.
Nurniesa diam tak berkutik. Wajah menekur lantai. Mungkin masih mencerna soalan-soalan aku tadi.
"Diam tandanya setuju. Good girl. Senang kerja aku." Habis sahaja aku berkata-kata, Nurniesa panggung wajah. Merenung aku dengan mata yang sudah berkaca-kaca.
Dia berlakon, Adib. Jangan cepat percaya. Hati aku merusuh. Rasa simpati dan geram bercampu-baur. Aku atur langkah mendekati dia.
"Jom." Aku tarik tangan Nurniesa. Walau dia memaku kaki tetap tidak dapat melawan kudrat lelaki aku. Namun baru sahaja hendak melangkah, aku rasa di sekeliling aku bagaikan bergoyang-goyang. Langkah aku juga pincang. Bagai tidak memijak lantai. Perutku terasa pedih. Menyucuk-nyucuk.
"Encik Adib! Encik Adib!" Laungan kuat Nurniesa aku dengar samar-samar. Selepas itu pandangan mata aku terus gelap.
Seperti ada cahaya yang menyuluh mata aku. Perlahan-lahan aku cuba untuk membuka mata.
"Alhamdulillah." Itulah perkataan pertama yang ditangkap deria pendengaran aku.
Aku menoleh ke sisi. Kak Miera yang sedang duduk di atas meja kopi tersenyum memandang aku. Aku menyorot pandang pada susuk yang berdiri tegak di belakang Kak Miera. Nurniesa. Mata aku pegun di situ.
"Pandang anak dara orang macam nak makan." Kaki aku ditepuk kuat. Daddy. Macam mana aku boleh tak perasan daddy duduk di hujung kaki aku?
"Daddy!" Aku menjerit. Sakitnya tidak, berlakon aje lebih.
"Memang patut pun Niesa bagi dia julap, daddy. Buat anak dara orang macam orang tu tak ada perasaan. Ego tak bertempat." Kak Miera menjadi penambah perisa. Kalau tak mengenangkan perut aku masih lagi sakit, memang aku dah balas kata-kata Kak Miera.
Ketika itulah mata aku berlaga dengan mata Nurniesa. Ada perasaan aneh yang timbul. Hesy... apa kena dengan aku ni? Takkanlah dengan Nurniesa? Dia pun macam perempuan-perempuan lain juga, Adib.
"Betul ke apa yang daddy dengar?"
"Dengar?" Aku blur.
Perlahan-lahan aku bangkit. Berbual sambil duduk lagi selesa. Barulah boleh man to man talk.
"Kahwin dengan Niesalah." Kak Miera menepuk paha aku kuat. Geram dengan reaksi aku.
Kakak aku inilah satu perangainya yang aku tak suka. Meninggikan suara dengan tangan sekali sama berjalan. Tak sabar pun sama juga.
Aku kerling Nurniesa sekilas. Cuba mencerna kata-kata Kak Miera. Nafas aku hela dalam-dalam. Pandangan aku kembali pada wajah Nurniesa. Cuba mencari sesuatu pada wajah itu.
Aku akui. Walau otak aku menidakkan. Walau mata aku bersekongkol sama. Walau dari segala sudut pun aku menepis. Sejak peristiwa ditampar Nurniesa, hidup aku tidak tenang. Hati aku sentiasa gundah. Jantung aku selalu berkerja keras. Mungkin inilah petunjuk dariNya. Penamat pada pencarian aku selama ini. Sudah tiba masanya untuk aku tamatkan segala-galanya. Tiada guna untuk aku mengelak.
"Nurniesa Nawwarah," panggil aku lembut. Masa ini aku lihat daddy dan Kak Miera pun memandang sama pada Nurniesa.
Nurniesa aku lihat antara berani dan tidak membalas pandangan aku. Ahhh... pandangan inilah yang membuat aku sasau. Pandangan inilah yang mencipta segala tipu muslihat aku.
"Awak bersedia nak jadi isteri saya?"

TAMAT