Friday, April 3, 2015

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 9

HARI ini Asyikin nampak lain sekali. Wajahnya ceria. Tiada riak penat ataupun bosan terpamer pada wajahnya. Kad undangan ke majlis perkahwinan dia dan Abrar sudah diedarkan kepada rakan-rakan sejawatnya.

Dia mendekati Doktor Naim yang sedang berbual-bual dengan Doktor Chong. Dihulurkan sekeping kad setiap seorang.

Doktor Naim pandang muka Asyikin. Merenung seketika sampul berwarna kelabu yang sudah bertukar tangan. Hati dia dah rasa lain. Lambat-lambat dibukanya juga sampul itu. Terbuntang matanya saat membaca nama yang tertera.

"Apa kurangnya I, Ikin?" Tanpa angin tanpa ribut Doktor Naim menyoal. Tangannya sudah naik melurut rambut. Bengang.

Doktor Chong yang tidak tahu apa-apa terpinga-pinga. Memandang Doktor Naim dan Asyikin bersilih ganti.

Asyikin tersenyum. Dia sudah agak pastinya Doktor Naim akan mengungkit perkara ini dan dia sudah bersedia menghadapinya.

"You tak ada kurang apa-apa pun, doktor." Tenang dia menjawab soalan Doktor Naim.

"Kalau tak ada yang kurang kenapa you pilih dia?" Doktor Naim bertanya lagi. Nada suara itu jelas tidak berpuas hati.

"Congrats, Asyikin." Doktor Marina yang entah datang dari mana mencelah. Dikibas-kibas kad undangan Asyikin di tangannya. Tersenyum-senyum dia memandang Doktor Naim.

Doktor Naim menjeling. Tidak suka dengan kehadiran Doktor Marina. Semakin tidak suka bila mendengar ucapan yang keluar dari mulut Doktor Marina.

“Kalau I free, I datang majlis you. Kita pergi berdua ya, Naim.” Doktor Marina tersenyum-senyum.

“Go to hell.” Doktor Naim campak kad undangan di tangan ke muka Asyikin.

Terkedu semua yang ada di situ. Tidak sangka sampai begitu sekali Doktor Naim marah.

“Doktor! Doktor! Doktor!” Asyikin mengejar. Dalam berlari tu dia tersadung troli ubat yang diletakkan di laluan ke wad pesakit.

“Ikin! Ikin!”

Asyikin menepis bila terasa ada tangan yang menyentuh lengannya. Dia perlu dapatkan Doktor Naim. Dia perlu terangkan kenapa dia memilih Abrar.

“Ya Allah, Ikin!” Suara Imah melengking tinggi.

Asyikin buka sebelah matanya. Perlahan-lahan.

“Kau dah kenapa menjerit panggil doktor macam orang gila.” Imah yang berdiri di kaki katil mencekak pinggang memandang Asyikin.

“Doktor Naim mana?” Terpisat-pisat Asyikin menggosok mata. Dia bangkit dari perbaringan. Duduk berteleku. Wajahnya pelik memandang katil di sisinya. Dia terjatuh katil ke?

“Dah kenapa dengan Doktor Naim?” Berkerut dahi Imah.

“Dia marah aku lepas aku bagi kad kahwin aku,” beritahu Asyikin yakin.

“Kad kahwin? Kau kahwin dengan siapa?” Semakin berlapis-lapis kedutan dahi Imah.

“Abrarlah. Mr. G tu.” Asyikin tersenyum-senyum.

“Kau jangan nak perasan boleh tak? Sekarang ni pukul 3.00 pagi. Kau dah ganggu tidur aku. Terpekik-pekik macam orang tak betul. Pergi tidur balik.” Imah membebel dan naik ke atas katil semula.

“Aku mimpi ke?” Asyikin menggaru-garu kepalanya. Terasa macam betul sahaja kejadian tadi. Perlahan-lahan dia juga merangkak naik ke atas katil.

“Jadilah aku kahwin dengan Abrar.” Asyikin tersengih-sengih sendirian. Berangan.

“Tidurlah!” Imah mendengus kasar.
             
             
TENGAH HARI itu seperti biasa Asyikin dan Imah pergi makan tengah hari di restoran berdekatan dengan hospital. Kalau ikutkan Asyikin malas nak berjalan jauh tapi Imah yang beria-ia mengajaknya makan di situ.

“Babe! Tu bukan Abrar ke?” Imah menuding jari ke arah pacuan empat roda yang diparkir berdekatan dengan restoran.

“Abrar? Mana?” Asyikin memusatkan pandangan mengikut arah jari telunjuk Imah.

“Itu!” Imah tuding jari ke arah yang sama.

“A’ahlah. Eh! Dia dengan siapa?” Senyuman Asyikin mati sebaik melihat Abrar berjalan beriringan dengan seorang perempuan.

“Kawan sepejabat kut.” Imah tarik tangan Asyikin yang berdiri tegak memandang pintu restoran.

“Aku macam kenal perempuan tu.” Asyikin mengikut sahaja langkah Imah. Kepalanya berputar cuba memikirkan siapa perempuan yang bersama-sama dengan Abrar.

Sebaik melangkah masuk ke dalam restoran, Asyikin meminta Imah untuk mengambil dahulu makanan. Dia ingin berjumpa dengan Abrar sekejap.

“Asyikin!” Terperanjat Abrar bila Asyikin berdiri betul-betul di depan mata dia.

Asyikin hanya menjeling.

“You buat apa dekat sini?” tanya Abrar serba-salah. Matanya meliar mencari Afiqah. Takut gadis itu muncul dan timbulkan kekecohan. Dia tidak mahu hati Asyikin terluka.

“Basuh baju.” Eh, hello! Mr. geologist. Restoran kut mestilah nak makan. Asyikin mendengus.

“Abrar, you dah orderkan makanan I ke?” Afiqah yang muncul entah dari mana memanggil Abrar dari belakang.

Terbuntang mata Asyikin saat mendengar suara Afiqah di belakang Abrar. Perempuan yang kononnya Abrar cakap dah melukakan hati dia tapi Abrar masih curi-curi jumpa perempuan ini di belakang dia. Apa kes?

Abrar melurut rambutnya ke belakang. Inilah padahnya kalau tidak berterus-terang. Janganlah Asyikin mengamuk. Dia tiada niat apa-apa pun keluar dengan Afiqah ini. Sekadar untuk meleraikan segala-galanya.

“Errr… you! Rasanya kita pernah jumpa sekali dulu, kan?” Afiqah memandang Asyikin dengan senyuman sinis sambil memaut lengan Abrar.

Macam nak terkeluar bebola mata Asyikin melihat perlakuan jelik Afiqah. Murahnya perempuan ni. Sempat hatinya mengutuk. Namun Abrar juga tidak lari dari sumpah seranahnya. Dasar lelaki. Lembut gigi dari lidah.

Pantas Abrar meleraikan pautan Afiqah. Mulutnya pula seakan terkunci ingin menerangkan duduk perkara sebenar kepada Asyikin. Sungguh dia memang tidak menduga pertemuan ini terjadi.

“Selamat menjamu selera, Encik Abrar. Kawan saya dah panggil tu.” Asyikin senyum sinis. Ingat dia hairan sangat Abrar nak keluar dengan perempuan tu.

“Errr…” Abrar tidak sempat menahan bila Asyikin terus meninggalkan dia dan Afiqah.

“Jomlah.” Afiqah merengek. Mengajak Abrar dengan muka masam mencuka.

Abrar mengeluh. Dia berlalu ke meja makan. Namun matanya tidak lekang dari memandang susuk Asyikin walau gadis itu langsung tidak memandang kepadanya. Hatinya resah melihat ketenangan buah hatinya itu. Sukar menebak sama ada gadis itu marah atau sebaliknya.

“Kau tengok apa?” Imah yang baru keluar dari tandas menepuk bahu Asyikin.

“Tengok so call pakwe kesayangan dengan ex-girlfriend dia.” Muncung Asyikin menghala ke meja Abrar dan Afiqah.

“Uit… tak cemburu ke?” usik Imah. Menarik tangan Asyikin mendekati deretan lauk pauk yang terhidang.

“Gila tak cemburu? Tapi tak apa. Aku nak tengok sejauh mana permainan perempuan tu.” Asyikin ketap bibir. Tangannya tetap berjalan mengambil pinggan makan walau perhatian tidak sepenuhnya pada pelbagai jenis makanan yang di depannya ini. Matanya memerhati Abrar tetapi bila pandangannya bertembung dengan Abrar lekas-lekas dia kalih pandang.

“Tak marah pula kau kat Mr. G tu?” Terangkat kening Imah melihat Asyikin yang boleh dikategorikan super cool. Tabik spring dia pada temannya ini.

“Mr. G tu kacang je nak uruskan.” Asyikin tersengih. Betul luarannya dia nampak tenang tapi terselit juga rasa sakit dalam hatinya ini. Namun tahulah dia cara macam mana nak uruskan Abrar tu. Bukan susah mana pun.

“Wah! Cakap besar.” Imah menggeleng. Faham sangat dengan perangai Asyikin. Tidak mudah melatah. Jangan ada yang menjentik. Itu memang Asyikin pantang.

“Bukanlah nak cakap besar. Mr. G tu kalau dia buat onar aku report aje kat mak mentua aku.” Asyikin ketawa-ketawa.

Terbuntang mata Imah. Bukan main lagi temannya ini.

“Amboi! Mak mentua terus. Hilang dah bakal kat depan tu. Yakin benar kau, eh.” Dia mengusik sambil menyenduk lauk ikan merah masak asam pedas ke dalam pinggannya.

“Hidup mesti yakin. Menantu mithali ni tapi pasal perempuan tu aku kena usaha lebih sikit.” Mulut Asyikin herot ke kanan herot ke kiri.

“Kenapa?” Berkerut dahi Imah.

“Asyikin!” Ada suara lelaki menegur Asyikin.

Asyikin dan Imah menoleh.

“Doktor Naim.” Suara Asyikin perlahan menyahut panggilan. Terperanjat sebenarnya dengan kemunculan doktor kacak ini. Dah macam semut pula Doktor Naim ini dia rasakan. Ke mana sahaja dia pergi pasti Doktor Naim tahu. Mengekor sahaja kerjanya.

“Lemah aje suara. Dah makan ke belum ni?” Doktor Naim tersenyum kacak.

“Kami baru sampai, doktor.” Imah mencelah.

“Baguslah. Bolehlah I join you all?” Doktor Naim angkat kening.

Asyikin ketap bibir bila Imah memandangnya minta persetujuan. Sibuk betullah doktor ni tapi dia tersenyum. Seperti ada tanduk yang keluar di kepalanya. Inilah masa yang sesuai.

“Why not.” Dia jongket bahu.

Doktor Naim tersenyum.

Masing-masing mengambil pinggan dan memilih makanan kesukaan.

Ekor mata Asyikin mengerling Abrar yang ralit merenung tajam kepadanya. Semakin dirapatkan badannya berdiri di sisi Doktor Naim.

“Eh! Sorry.” Tanpa sedar pinggan nasi di tangan Asyikin terkena lengan baju Doktor Naim. Pinggan diletakkan di atas para. Diambilnya tisu dan dilap lengan baju Doktor Naim.

“It’s okay, Asyikin. I boleh buat sendiri.” Doktor Naim serba-salah.

“Tak apa. Salah I.” Asyikin teruskan mengelap tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang terutama mata Abrar yang bagaikan berapi memandang dia dan Doktor Naim.

“Asyikin!” Suara Doktor Naim sedikit meninggi.

Terhenti terus Asyikin. Tisu di tangan terlepas ke lantai. Terkebil-kebil matanya melihat Doktor Naim yang berlalu untuk ke tandas.

Pada masa yang sama Abrar sudah tercegat di depan Asyikin. Wajahnya tegang. Tiada sekelumit senyuman pun dipamerkan.

“Apa yang you cuba buktikan?” Lengan Asyikin dipegang.

Tersentak Asyikin bila tanpa sedar Abrar tiba-tiba ada di depan dia dan sedang memegang tangan dia.

“You merepek apa ni? I nak buktikan apa?” Berkerut dahinya. Direntap tangannya dari terus dipegang Abrar.

“Asyikinnn…” Abrar memanggil lemah.

“Pergilah makan sana, Abrar. Ex-girlfriend you tu tercari-cari.” Asyikin menyindir bila dilihat Afiqah terjengket-jengket mencari Abrar barangkali.

Sekali lagi tanpa amaran Abrar menarik tangan Asyikin keluar dari restoran. Biarlah Afiqah makan sorang-sorang dari hati dia sakit melihat Asyikin mesra melayan Doktor Naim.

Asyikin yang ditarik mengulum senyum. Sempat melirik dan menunjukkan isyarat semuanya baik-baik belaka kepada Imah yang terkebil-kebil melihat dia keluar dari restoran dengan Abrar. Mission accomplished.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 8


SEBULAN Abrar mengganggu dia dengan soalan yang membuatkan dia tidak senang duduk. Tak pasal-pasal sekarang ini dia berteleku di tepi tong oksigen. Bukan hari ini sahaja tetapi setiap hari. Putus nafas. Dada sesak. Jiwa pun tidak tenang.

Asyikin termenung. Telefon bimbit diletakkan kembali ke sisi.

“Kau ni dah kenapa?” Imah menepuk bahu Asyikin yang sedang memeluk lutut menghadap tong-tong oksigen. Tak tahu kenapa temannya ini boleh jadi kalut macam ni.

“Mr. G ajak aku kahwin.” Lemah lontaran suara Asyikin.

Mr. G? Itulah gelaran yang diberi kepada Abrar oleh dia dan Imah bila bergosip. Mudah untuk bercerita tanpa orang lain tahu siapa yang mereka perbualkan.
“Orang ajak kahwin tu terima ajelah.” Imah menggeleng.

“Senangnya kau cakap.” Asyikin merengus.

“Nasib dia tak lamar aku. Kalau aku memang aku on aje.” Imah ketawa-ketawa.

“Amboi! Gatalnya anak Pak Rashid ni.” Satu cubitan singgah pada bahu Imah.

Asyikin tahu maksud kata-kata Imah. Sejak Imah rajin menemani dia keluar berjumpa dengan Abrar, temannya itu banyak memuji Abrar. Tiada yang negatif jika berkaitan Abrar. Segala-galanya sempurna. Paras rupa, susuk tubuh, personaliti, kerjaya. Pendek kata tiada sekelumit noda pun pada Abrar.

“Dah kau tak nak. Doktor Naim yang super kacak tu kau dah tolak. Takkanlah Abrar yang super duper handsome pun kau tak mahu juga? Kau nak yang macam mana lagi?” Bebola mata Imah membuntang memandang Asyikin.

Sebenarnya dia jadi semakin tidak faham dengan perangai Asyikin. Orang ajak kahwin, terima ajelah. Beruntung tu. Kalau gadis-gadis lain terpaksa berebut-rebut mencari calon suami. Tidak macam Asyikin yang hanya perlu menjawab ya sahaja.

“Yang kacak tu memang aku tak nak. Biarlah minah perasan hot tu kejar dia. Yang super duper kacak ni lagi aku takut.” Asyikin mengeluh.

“Laaa... nak takut apanya? Mr. G tu pun manusia macam kita juga.” Imah menggeleng.

“Bukan takut sebab itulah. Kau ingat lagi tak perempuan yang tegur dia masa first time kita keluar makan dengan dia?” Asyikin merenung Imah. Pipinya dikembungkan.

Dahi Imah berkerut. Berlapis-lapis.

“Afiqah.” Asyikin memberitahu bila dilihat Imah masih berfikir.

Imah mengangguk tanda dia ingat pemilik nama itu.

“Ada juga dua tiga kali aku terserempak dengan dia. Dia macam bagi warning dekat aku. Silent treatment.” Asyikin mengeluh.

“Silent treatment?” Berkerut kembali dahi Imah.

“Jangan berangan nak jadi isteri Abrar.” Asyikin pandang Imah. Pipinya dikembungkan lagi.

“Kau dah beritahu Abrar?” Risau pula Imah kalau-kalau Asyikin termakan kata-kata Afiqah. Luqman teman baik Abrar ada bercerita pada dia segala-galanya berkenaan Afiqah.

“Belum tapi aku ada buat solat istikharah.” Asyikin menunduk. Jemarinya bermain-main dengan kotak yang menjadi alas duduknya.

“Ada apa-apa tak?” gesa Imah tak sabar-sabar nak tahu.

Asyikin hanya tersengih.

“Jangan buat muka kerang busuk eh. Cepatlah!” Tangan Asyikin digoncang kuat. Riak muka Asyikin semakin membuatkan Imah tidak sabar nak tahu.

“Rahsia.” Senyuman Asyikin melebar.

“Ceittt… Kalau tak nak beritahu jangan cakap. Buang karan betullah.” Tangan Asyikin dipukul. Tanda protes dipermainkan. Imah bangkit. Berlalu dari situ dengan muka yang masam.

Asyikin menggeleng dalam senyuman. Rajuk Imah bukan lama pun. Sejam dua nanti eloklah tu. Sekarang berbalik semula kepada permasalahan dia dan Abrar. Dicapai semula telefon bimbitnya. Mencari nombor telefon Abrar. Dilekapkan ke telinga kanan.

“Assalammualaikum.” Suara Abrar kedengaran ceria di hujung sana.

“Waalaikumussalam.” Tenang sahaja Asyikin menjawab salam.

“So?” Abrar bertanya sama seperti Imah. Tak sabar-sbar.

“You dekat mana sekarang?” Asyikin masih mahu bertarik tali. Nak tengok sejauh mana keikhlasan Abrar mengotakan kata-katanya.

“Kota Tinggi. Why?” Suara Abrar kedengaran risau.

“Kota Tinggi? Tak jauh sangat. Sempat kut.” Asyikin ketawa-ketawa.

“You, kenapa ni?” Suara Abrar semakin berubah.

Asyikin masih lagi ketawa. Dapat dibayangkan muka Abrar yang super duper kacak itu risau tak tentu pasal.

“Bila nak balik kampung tu?”

“You are serious, Asyikin?” Abrar menjerit.

“Kalau you jerit-jerit lagi I tarik balik keputusan I.” Asyikin mengugut.

“Petang ni I jemput you.”

“Eh, cepatnya. Macam tak menyempat.”

“Emak I pun dah tak sabar-sabar nak jumpa bakal menantu dia. So, I ambil you petang ni?”

“Pasrah.” Asyikin ketawa.

“Bunyi macam tak beria-ia aje.” Suara Abrar yang tadinya teruja sudah berubah mendatar.

“Bergurau pun tak boleh. I tunggu. I kena masuk kerja dah ni. Assalammualaikum.” Talian terus dimatikan. Namun Asyikin sempat menangkap jeritan Abrar dihujung sana. Marah sekejap aje tu. Petang nanti tahulah dia macam mana nak pujuk mr. G.
             
             
ASYIKIN tersenyum bila melihat pacuan empat roda Abrar berhenti betul-betul di depannya. Mata ralit memerhati Abrar yang tersengih-sengih keluar dari tempat duduk pemandu.

"Errr..." Asyikin tenung Abrar.

"Tergoda?" Abrar lorekkan senyuman cari makannya.

"Please..." Asyikin julingkan mata dan mendongak memandang langit.

"Kita nak pergi jumpa emak I aje pun." Abrar tersenyum bagaikan faham maksud renungan Asyikin.

Beg baju yang dihulurkan Asyikin diambil. Pintu tempat duduk belakang dibuka. Diletakkan beg baju Asyikin di atas tempat duduk. Pintu ditutup kembali. Dia ke pintu sebelah depan pula. Dibuka pintu itu untuk Asyikin.

"You kalau pakai macam ni pergi jumpa emak dengan ayah I memang langsung tak tersenarai sebagai calon menantu tau." Asyikin menjeling.

"Don't worry. Dress code jumpa mentua lain." Abrar kenyit mata. Seronok mengusik buah hati yang bakal menjadi surinya suatu hari nanti. Pintu ditutup selepas Asyikin panjat masuk ke dalam pacuan empat roda ini. Dia berlari anak ke pintu sebelah pemandu.

“Ada dress code? Hebat. Apa dress codenya?” Asyikin bertanya sebaik sahaja Abrar sudah masuk.

Abrar memandang Asyikin seketika. Tersenyum sebelum matanya memusat ke atas jalan raya.

“Rahsia. Hari nak jumpa emak dan ayah you tu nanti baru you tahu.” Dia mula menggerakkan Toyota Land Cruisernya.

“Tak habis-habis dengan rahsia dia.” Asyikin menggeleng.

Itu kisah 2 minggu lepas. Hari ini Asyikin berdebar-debar menunggu Abrar bertandang ke rumahnya pula. Itu pun setelah dia mendesak Abrar menangguhkan segala kerja lelaki itu. Padat sangat jadual kerja Abrar. Susah nak cari masa yang sesuai kalau tidak sekarang. Takut perkara baik ini tidak menjadi kenyataan.

“Apasal?” Puan Hafizah pandang Asyikin yang asyik mengintai ke luar rumah.

Terkejut Asyikin disapa emaknya yang elok berdiri di sebelah dia.

“Cermin tingkap ni. Berhabuk.” Dia tersengih. 2 jari dilayangkan pada cermin tingkap. Ditunjukkan kepada emaknya.

“Emak pun pernah muda, Ikin.” Puan Hafizah tersenyum dan berlalu ke ruang dapur.

“Kan dah cakap mesti kantoi punya.” Asyikin menggumam sendiri. Kepala yang tidak gatal digarunya.

“Apa yang kantoi?” tegur Encik Azmi yang baru keluar dari bilik tidur.

“Errr…” Kali ini semakin kuat Asyikin menggaru kepalanya.

“Puan Hafizah! Teruk betul anak dara awak ni. Ingat kita ni nak parangkan bakal suami dia ke.” Encik Azmi ketawa-ketawa. Segera melabuhkan punggungnya di atas sofa. Sebenarnya dia terdengar perbualan Puan Hafizah dan Asyikin tadi. Itu yang disakat lagi anak daranya ini.

“Suka sangat sorok-sorok dari kita, Encik Azmi. Macam inilah jadinya.” Suara Puan Hafizah dari ruang dapur turut mengusik sama.

Asyikin dah memuncung. Encik Azmi dan Puan Hafizah kalau dah bergabung memang meletup punyalah usikan mereka.

“Assalammualaikum!” Terdengar suara lelaki memberi salam dari luar.

Kelam-kabut Asyikin menerjah ke pintu. Orang yang ditunggu-tunggu tiba juga.

“Wa…alaikumussalam.” Tergagap-gagap Asyikin menyahut.

“You.” Abrar tersengih. Sempat ditunjukkan isyarat peace.

Asyikin pandang Abrar atas bawah. Kalau tadi dia garu kepala sebab tertangkap dengan orang tuanya. Kali ini dia rasa nak hantuk kepala dekat dinding. Dia memang maksudkannya.

“I tak sempat. Tadi lepas meeting terus vroom ke sini.” Abrar tersengih. Renungan Asyikin itu dia boleh baca. Pandangan yang sama ketika dia menjemput gadis ini untuk pulang bertemu keluarganya. Lagilah bila Asyikin hantuk kepalanya pada jenang pintu.

“Laaa… dah sampai ke? Kenapa tak dijemput masuk? Masuk! Masuk!” Encik Azmi yang berdiri di belakang Asyikin bersuara. Mempelawa Abrar masuk ke dalam rumah.

Abrar tersenyum. Kasut dibuka dan terus tangan dihulur kepada Encik Azmi.

“Assalammualaikum, pak cik. Maaf lambat.”

“Pak cik dengan mak cik kamu tak kisah. Faham kamu lambat sebab kerja tapi bakal isteri kamu ni. Macam ayam hilang anak. Tak reti duduk diam. Sekejap-sekejap mengintai keluar. Risau kamu tak jumpa rumah. Risau juga kalau tak jadi kahwin.” Encik Azmi menepuk-nepuk bahu Abrar.

Abrar tersenyum. Lega dengan penerimaan Encik Azmi akan dirinya. Tak sia-sialah dia berkejar ke rumah Asyikin.

“Ayah ni.” Asyikin hentak kaki. Balik-balik dia juga yang terkena.

Abrar ketawa. Sempat dia bermain mata dengan Asyikin sebelum gadis itu berlalu ke ruang dapur.

“Duduklah.” Encik Azmi tunjuk sofa di sebelah dia.

Abrar angguk. Punggung dilabuhkan pada sofa yang ditunjukkan. Senyuman masih lagi terpamer di bibirnya. Cuba menutup debaran di hati. Maklumlah ini pertama kali dia bertandang ke rumah orang tua Asyikin. Matanya melirik ke pintu dapur bila terperasan ada orang yang sedang berjalan menuju ke ruang tamu ini.

“Huh… ini emak Ikin.” Encik Azmi kenalkan Puan Hafizah yang baru keluar dari ruang dapur sambil menatang dulang.

“Mak cik.” Abrar tunduk kepala sedikit tanda hormat.

Mata Puan Hafizah mengecil. Pandangannya beralih pada Asyikin yang turut berlutut di sebelah dia. Meletakkan mangkuk berisi bubur pulut hitam di atas meja kopi.

“Saya baru balik mesyuarat tadi. Tak sempat tukar baju.” Sekali lagi Abrar memberitahu mengapa dia berpakaian sebegitu. Aduh! Pandangan mata emak sama aje dengan anak. Semakin buat hati dia berdebar-debar.

“Hmmm…” Puan Hafizah senyum segaris. Dia angkat punggung dan berlalu ke ruang dapur semula.

“I tahulah you baru balik meeting tapi neck tie tu tak boleh ke buka.” Asyikin sempat berbisik.

“Dress code I jumpa mentua.” Abrar berbisik membalas. Mata dikenyitkan pada Asyikin.

Asyikin julingkan mata. Bertabahlah dengan bakal suami yang macam ni.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.