Saturday, April 2, 2016

DI SINI ADA DIA - BAB 3


TENGKU REDZA kesat matanya yang berair. Mata mengerling jam di atas night stand. Pukul 10:00. Sudah sejam rupa-rupanya dia berteleku di atas sejadah. Ahhh, dia selalu begini bila bertemu dengan ‘kekasih hati’. Cepat lupa diri. Segala-galanya mahu berkongsi dengan DIA. Suka, duka. Hanya DIA sahaja tempatnya mencurah rasa.
“Tak nak bercerita dengan aku?”
Tengku Redza menoleh. Menjeling pada insan yang sedang tersengih berdiri di depan pintu bilik tidurnya.
“Like the old days?”
Tengku Redza bangkit. Sejadah yang digunakan disidai di tempatnya. Mulutnya berdecit bila ekor mata menangkap insan itu berjalan mendekati dia. Kenapalah dia tak tutup pintu tadi. Habislah dia. Mesti kena bahan.
“Epik gila Tengku Redza menangis. Once in a blue moon.” Insan itu ketawa-ketawa.
“Abang Long, kalau rasa nak duduk lama-lama dalam bilik aku. Tolong jaga sikit mulut kau tu.” Sinis bicara Tengku Redza memberi amaran. Bertambah bengang bila insan yang ditegur terus-terusan melambakkan tawanya.
“Chill, bro. Gurau sikit pun tak boleh. Dahlah susah nak berjumpa.”
Tengku Redza mendekati Tengku Riyadh yang kekal berdiri di tepi katilnya. Dia hulurkan tangan. Berjabat dan berpelukan dengan satu-satunya abang yang dia ada.
“Dah kau asyik on call aje.” Dia membalas sebaik pelukan mereka terlerai. Meninggalkan si abang seketika.
“Kerja aku membantu insan bernyawa. What to do.” Tengku Riyadh labuhkan duduk di birai katil. Memandang dinding yang memisahkan bilik tidur si adik dan ruang menyimpan pakaian.
“Dah tu apa mimpi muncul dekat sini? Kak long ikut sekali ke?” jerit Tengku Redza.
Dia berganti pakaian. Lebih selesa mengenakan seluar panjang kain kapas dan baju-t nipis untuk tidur. Pakaian solatnya digantung sebelum dia menapak keluar dari situ.
“Mama kata kau kacau isteri orang. Betul ke?”
Tengku Redza terkedu. Langkahnya mati. Wajah si abang dipandang. Dia menyambung langkah. Tidak menuju ke katil. Memilih untuk duduk di kerusi yang ada di balkoni bilik tidurnya.
Tengku Riyadh menggeleng. Langkah Tengku Redza dituruti. Dia turut melabuhkan punggung pada salah satu kerusi. Jongket sebelah kening bila Tengku Redza memandang dia.
“Semua orang tahu ke kisah ni?”
“Sort of.”
“Damn!” Tengku Redza raup wajah. Kalau macam tu jawapan Tengku Riyadh. Bermakna Tengku Rayhana yang dekat Australia tu pun tahu jugalah. Dia pandang Tengku Riyadh bila teringatkan insan istimewa dalam hidupnya.
“Tok Wan?”
Tengku Riyadh angguk.
“Arghhh!” Tengku Redza menjerit.
Dia nak salahkan siapa sekarang ini. Mama yang sibuk bergendang atau papa yang bocorkan rahsia? Atau menyalahkan diri sendiri yang gatal sangat mengejar Ainan walau dah tahu wanita itu isteri orang?
“Itu ujian kecil untuk kau.”
“Yeah. You’re right.” Tengku Redza mengiakan.
Dia tahu Ainan merupakan satu ujian dari Allah untuk dia. Nyata sebgai hamba-Nya dia gagal dalam ujian ini. Biar pun ujian itu tidaklah sebesar mana.
“Macam mana boleh tersuka dekat dia? Kau tahukan dia isteri orang?”
“Entahlah, abang long. Tak tahu macam mana aku boleh ada perasaan macam tu dekat isteri orang.” Tengku Redza mengeluh. Menyesal dengan khilafnya. Sungguh, dia tak minta semua ini terjadi.
“Perasaan tu masih ada lagi ke?”
“Gila kalau aku masih simpan perasaan tu. Pedas betul kena sindir dengan suami orang tu. Nasib dia tak belasah aku aje.” Tengku Redza menggeleng.
Dia dah taubat nasuha. Takkan sesekali dia mengulangi perbuatan itu. Itulah yang dia pinta dari Tuhan. Tetapkan iman dia. Kuatkan hati dia agar tidak lagi menyimpan perasaan sedemikian pada Ainan atau pada mana-mana wanita yang sudah menjadi milik orang.
“Baguslah macam tu. So, what’s next?” soal Tengku Riyadh.
Tengku Redza memandang si abang. Mata mereka berlaga. Hanya satu jawapan yang muncul dari pandangan itu.
“Blind date!” Kedua-duanya berkata serentak.
Diam. Sesaat kemudian tawa mereka terhambur. Masing-masing tergeleng-geleng.
“Mama never change.” Tengku Riyadh bersuara. Masih lagi dalam sisa tawanya. Kalau dulu dia menjadi sasaran. Sekarang giliran Tengku Redza pula. Masaklah adiknya kena hadap semua tu.
“Yup. She and her plans doesn’t change at all. Macam mana aku nak escape dari semua ni? Kau ada tip tak, abang long?”
 “Just follow her rules.”
“Nonsense. Bukan kau ada sejuta alasan ke menolak semua calon-calon mama tu? Pandai pula nak nasihat aku suruh ikut aje rancangan mama.” Tengku Redza hantar pandangan membunuh.
Dia tahu si abang hanya mengusik. Takkan sewenang-wenangnya dia ikut telunjuk mama. Dia yang akan sehidup semati dengan pasangan halalnya nanti. Jadi biar dialah yang memilih siapa yang layak menjadi ratu dalam hatinya.
Tawa Tengku Riyadh terhambur semula. Dia tahu tak mungkin Tengku Redza akan ikut segala kemahuan mama mereka. Kalau si adik boleh berkeras nak merantau di negara orang, masakan rancangan mama tak boleh ditepis.
“Mama dah tunjuk ke calon pilihan dia?”
“Nope.” Tengku Redza menggeleng.
Setakat hari ini memang tak ada apa-apa yang mencurigakan dari mama. Jadi kiranya dia masih selamat. Cuma beberapa hari lepas ada juga mama utarakan hal calon isteri. Tapi dia berkeras menolak segala usul mama.
“Jangan ingat kau selamat, dik. Aku risau aje ni. Mama tu asyik berbisik aje dengan kak long.”
“Huh?” Dari bersandar santai, terus tegak badan Tengku Redza. Cuba mencerna kata-kata si abang.
“Mesti tengah cari calon-calon isteri kau.” Semakin galak Tengku Riyadh mengusik.
Kenyataannya memang itulah yang berlaku dekat bawah sana. Selepas makan malam tadi, isterinya digamit mama. Tiada suara yang kedengaran. Mama hanya berbisik dengan isteri dia. Macam tengah berbincang hal rahsia. Dia dan papa hanya angkat kening. Masing-masing tak tahu apa yang kedua-dua wanita itu bincangkan.
“Wei, kau kena pesan kat kak long tu. Jangan pandai-pandai nak kenalkan mana-mana perempuan dekat mama. Eh, tak boleh jadi ni.” Tengku Redza lantas berdiri. Dia memandang Tengku Riyadh.
“Kau dah makan ke, abang long?”
“Sampai tadi terus makan. Kalau nak tunggu kau turun kebulur aku suami isteri.” Selamba sahaja Tengku Riyadh menjawab. Dia juga turut berdiri. Mengerling seketika jam di tangan.
“Jumpa ‘kekasih hati’. Mestilah kena berjam-jam.” Tengku Redza tersengih.
Mula memacu langkah masuk ke dalam. Berhenti seketika di tepi night stand. Mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di situ.
Tengku Riyadh turut sama bergerak. Dia pun mahu turun ke bawah. Lebih baik ajak si isteri pulang sekarang. Esok nak kerja lagi. Singgah sini pun sebab mama bawa berita panas. Kalau tidak entah bila dia nak bertandang ke sini.
“Turun pun. Kalah anak dara sunti. Terperap aje dalam bilik.” Bising mulut Puan Rozi sebaik nampak kelibat anak-anaknya yang sedang meniti anak tangga.
Tengku Radzi yang mendengar omelan si isteri pantas mengangkat wajah. Memandang kedua-dua anak lelakinya sekilas sebelum muka si isteri menjadi tatapan.
“Penatlah tu. Sehari dua ni dia sibuk uruskan beberapa borang tender. Kalau tak buat macam tu awak pun miss soru tau, Puan Rozi.” Dia yang sedang membelek majalah menyampuk. Membela Tengku Redza.
“Orang lain pun bekerja juga tapi tak adalah sampai tak bergaul dengan keluarga sendiri.” Puan Rozi masih tak mengalah.
“Mama ni macam ada agenda lain je. Selalunya tak kisah pun si Redza ni nak terperap dalam bilik. Bukan selama ni pun dia jarang nak berbual dengan kita semua ke. Selalu aje balik lambat.” Tengku Riyadh menyampuk sama. Melabuh duduk di sisi isterinya. Laju saja melingkar tangannya pada bahu si isteri.
Tengku Redza angkat ibu jari tanda bagus pada si abang. Pada kakak iparnya dia hanya lemparkan senyuman. Dia memilih untuk duduk di sofa bertentangan dengan mamanya.
“Amboi, sukalah tu ada yang membela!” Puan Rozi jegilkan mata.
“Bukan selalu dapat bermanja dengan abang tersayang. Ini pun nasib-nasiblah abang long nak datang sini, ma.” Tengku Redza ketawa. Pakej kenyit mata sekali.
Saja mengusik mamanya. Dia tahu mamanya tak akan senang duduk kalau dia dan Tengku Riyadh berbual berdua sahaja. Mama selalu hantar pandangan mencurigakan pada mereka kalau nampak dia dan abangnya tergelak-gelak bila berbual. Risau mereka ada pakatan nak kenakan mamanya agaknya.
“Dik, cantiklah bakal isteri.”
Kata-kata si kakak ipar buat tawa Tengku Redza mati. Matanya mengecil merenung wajah si kakak ipar dan si abang bersilih ganti. Pandangannya beralih pada papa yang langsung tidak hirau apa yang sedang diperdebatkan. Akhir sekali perhatiannya tumpah pada mamanya pula.
“Ma, kan Redza cakap tak nak?”
“Alah, Jaja tu main-main ajelah.” Puan Rozi menidakkan. Mulutnya berkata sesuatu kepada si menantu tetapi tiada bunyi.
“You, betul ke?” Tengku Riyadh menyoal. Bahu si isteri dicuit.
Tengok dari perlakuan mama dia dapat merasakan apa yang diperkatakan si isteri adalah benar. Takkanlah mama bisik-bisik kosong dengan isteri dia tadi.
Jaja mengangguk. Buat isyarat dia tidak menipu.
“Maaa…”
“Ariani okeylah. Redza cubalah kenal-kenal dengan dia dulu.”
Akhirnya Puan Rozi mengaku. Dihulurkan telefon bimbitnya kepada si menantu untuk ditunjuk pada Tengku Riyadh. Alang-alang dah buka cerita pasal calon isteri Tengku Redza. Lebih baiklah dia mulakan sesi pujuk memujuk si anak.
“Ariani? Which Ariani?” soal Tengku Redza tak senang duduk.
Hati seperti digeletek untuk bangkit dan melihat gambar yang sedang ditengok si abang dan si kakak ipar. Namun kerana ego dia berdiam diri saja. Entah gadis mana yang mama kutip nak dijadikan menantu agaknya tapi macam pernah dengar nama tu.
Saat itu Tengku Radzi turut sama memandang si isteri. Majalah yang dibacanya ditutup. Dibiarkan saja di atas ribanya.
Puan Rozi cepat-cepat beralih tempat. Melabuh duduk di sebelah suaminya. Dia berbisik sesuatu pada telinga suaminya.
Tengku Redza hanya memerhati. Tubuh dah rasa berbahang bila melihat terukir senyuman nipis di bibir papanya. Apalah yang mama omokkan pada papa tu.
“Nak tengok tak, Redza?” Jaja cuba memancing.
“Cun gila, bro. Rugi tak setuju dengan pilihan mama ni.” Tengku Riyadh menambah perisa. Keningnya ditari-tarikan bila Tengku Redza tayang muka serius tika memandang dia.
“Kau jangan melebihlah.” Tengku Redza menjeling.
Bukan main lagi abang dia ni. Bukan ke tadi tak setuju dengan rancangan mama? Apasal tiba-tiba berubah fikiran pula? Ahhh, malaslah layan benda merepek ni. Baik pergi isi perut. Dapat makan biskut tawar cicah air cokelat pun dah okey.
“Eh, nak ke mana pula tu?” Puan Rozi menegur bila melihat Tengku Redza dah angkat punggung. Tak sempat lagi nak memujuk si anak dah nak pergi.
“Makan.” Ringkas sahaja jawapan Tengku Redza. Tak peduli dengan semua orang yang memandang dia.
Cepat-cepat dia berlalu ke ruang dapur. Lagilah bila telinganya menangkap tawa si abang. Tak boleh pakai punya abang. Nantilah bila abangnya minta pertolongan memang dia tak layan.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Wednesday, March 30, 2016

DI SINI ADA DIA - BAB 2



SEJAK kakinya menjejak lantai butik kecantikan miliknya, Ariani tak duduk diam. Ada saja kerja yang dilakukan. Kebetulan barang-barang yang dipesan baru sampai. Habis semuanya dia susun sendiri. Rimas melihat keadaan yang bersepah. Lagi pula dia tak nak ada rungutan dari pelanggan-pelanggannya. Imej Ariani Beauty & Spa perlu dijaga. Hanya inilah punca rezeki dia. Sudahlah tak besar mana. Karang kalau tak kena gaya boleh lingkup perniagaan yang baru nak berkembang maju ini.
“Kak Ria!”
Ariani sengetkan tubuhnya ke belakang. Mencari susuk si pemanggil yang menjerit namanya. Dia nampak Yasmin yang tersengih di balik dinding bilik yang paling hujung.
“Nak scrub timun satu! Dah tak ada stok kat belakang ni!”
“Kejap lagi akak hantar! Baru nak buka kotak!” jerit Ariani.
Dia kembali menghadap deretan kotak di depannya bila Yasmin sudah menghilangkan diri. Tangkas dia mengeluarkan baki barang-barang yang masih di dalam kotak. Barang yang dipinta Yasmin sudah diasingkan.
Pintu yang dikuak kasar dari luar memaksa dia mengangkat wajah. Hampir sahaja terlepas botol syampu di tangannya dek terperanjat. Mata menuntas pandang pada susuk yang sudah melangkah masuk.
Lelaki? Nak buat rawatan spa juga ke? Eh, dia tak ada pekerja lelaki. Ini pertama kali kut ada lelaki yang menjejak masuk butik kecantikan dia.
Raut kacak tapi ada riak tegang dipandang tajam. Ikut hati yang mendongkol geram dengan sikap sombong si pelaku memang dia tak mahu layan. Cuma mengenangkan ini tempat dia mencari rezeki sedaya upaya dia ukir senyuman tanpa perisa.
“Boleh saya bantu?” Ariani mendekati susuk tegap yang langsung tidak memandang dia.
Tiada jawapan. Malah si pemilik susuk tegap itu selamba melekapkan telefon bimbitnya di telinga. Menafikan kewujudan Ariani di situ.
“Where are you, ma?” Bercakap di telefon tetapi mata si pemilik susuk tegap meliar ke sekeliling sebelum melekat pada wajah Ariani.
Ariani telan liur. Mata yang memandang dia itu bagaikan anak panah. Diacu tepat ke hatinya. Tembus hingga ke dasar. Menimbulkan satu getaran. Getaran yang sudah lama dia tidak rasai. Bahaya. Lebih baik dia kembali ke tempatnya. Menyesal berlagak terlebih peramah.
Baru ingin berundur, tapak tangan si pemilik susuk tegap naik di depan muka Ariani. Membuatkan langkahnya mati. Terkebil-terkebil matanya memandang si pelaku.
“Mama saya dekat dalam. Saya nak jumpa dia.” Elok sahaja tangan yang memegang telefon bimbit jatuh ke sisi, si pemilik susuk tegap bersuara.
Ariani hanya mengangguk. Pantas mempersilakan si pemilik susuk tegap masuk. Memerhati sahaja langkah yang diatur. Namun bagaikan terlepas dari sihir cepat-cepat lengan si pemilik susuk tegap itu disauk. Saat itu dia berzikir dalam hati. Mudah-mudahan Allah ampunkan dia. Ini kes darurat.
“What the hell are you doing?” Melengking tinggi suara si pemilik susuk tegap. Merentap lengannya dari terus dipegang.
“Maafkan saya. Terpaksa.”
Ariani kepal kedua-dua jemari tangannya. Dibawa ke dada. Bersungguh menuntut kemaafan. Dia terlupa sesuatu hingga memaksa dirinya bertindak kurang sopan tadi. Memang patut pun si pemilik susuk tegap ni marah-marah. Sungguh, dia tak sengaja.
Si pemilik susuk tegap mendengus. Riak tidak puas hati ditayang.
“Encik, encik tak boleh masuk. Bukan mama encik aje aje dekat dalam. Ada orang lain juga. Semuanya perempuan. Tak manis kalau encik terjah.” Ariani memberitahu. Nada suaranya kedengaran takut-takut.
Dia tak tipu. Rezeki butik kecantikannya hari ini. Kesemua enam bilik yang ada penuh ditempah. Mungkin pelanggannya sudah menerima gaji. Sekarang ini dia nak salahkan si pemilik susuk tegap ini di atas kealpaannya. Siapa suruh jadi mahluk Allah yang sedap mata memandang?
“Hmmm...”
“Errr... encik...”
Ariani ketap gigi melihat reaksi si pemilik susuk tegap. Risau. Pada masa yang sama dia telah bersedia. Bersedia menangkis andai si pemilik susuk tegap ini lampiaskan marahnya lagi.
“Redza!”
Ariani menoleh.
Si pemilik susuk tegap itu turut menuntas pandang pada suara yang mencelah.
“Lain kali jangan minta Redza ke sini.” Nada suara si pemilik susuk tegap membalas keras.
Sekali lagi Ariani ketap gigi bila jelingan si pemilik susuk tegap hinggap di matanya. Amboi! Gaya lelaki ini bercakap macam dia pula yang bersalah. Ini spa dia. Mestilah dia menghalang tindakan lelaki ini tadi. Kalau dia tak buat macam tu, jangan salahkan dia bila lelaki ini dituduh mencabul.
“Behave, Redza! Sorry, Ariani. Anak aunty ni angin kus-kus sikit.”
“Mama!”
Ariani hanya mampu tersenyum. Anak Puan Rozi rupa-rupanya. Ingatkan siapalah tadi. Tapi kenapa perangai lelaki ini tak seperti Puan Rozi yang lembut dan berbudi bahasa? Jauh panggang dari api betul. Agaknya kalau Puan Rozi tak kenalkan lelaki ini anaknya mesti dia tak tahu. Malah orang lain pun pasti sependapat dengan dia.
“Terima kasih, Ariani. Sedap betul Ju urut tadi. Rasa semua sendi yang ketat dah longgar semula. Tak ada rasa tegang. Muka ni pun rasa segar. Kepala pun tak rasa gatal-gatal.”
Puan Rozi langsung tak menghiraukan Tengku Redza. Malah dia lebih selesa berbual-bual dengan Ariani. Gadis muda yang baru dia kenali tak sampai tiga bulan. Gadis yang gigih bekerja sendiri. Sanggup bersusah-payah memajukan perniagaan tanpa pertolongan orang lain.
“Alhamdulillah. Lega Ria bila aunty suka. Aunty pun dah banyak kali mengulang mendapatkan rawatan dekat sini. Patutnya Ria yang ucapkan terima kasih sebab aunty percaya dengan spa anak bilis saya ni,” gurau Ariani.
Tiada apa yang mampu dia perkatakan bila pelanggan memuji perkhidmatan yang butik kecantikan dia sediakan. Lagilah bila tahu yang pelanggannya bukan calang-calang orang macam Puan Rozi. Yasmin kata Puan Rozi ni isteri seorang VIP. VIP mana dia tak tahulah. Dia bukannya seorang yang kepoh nak korek rahsia.
“Anak bilis apanya. Janganlah merendah diri sangat, Ariani.” Lengan Ariani ditepuk manja. Puan Rozi menjeling ke sisi bila terperasankan Tengku Redza mendekati dia dan Ariani.
“Can we go now?” Tengku Redza cekak pinggang. Berdiri di antara mamanya dan perempuan yang mamanya panggil Ariani.
Kalau tak mencelah, berjanggutlah dia kena menunggu. Mama ni pun satulah. Kalau dah tahu nak berbual panjang, bawalah kereta sendiri. Boleh balik lewat. Ini tidak. Paksa dia juga ambil dekat sini. Sudahlah badan dia dah melengas.
“Pergilah tunggu dekat kereta.” Puan Rozi menjeling.
“Kalau Puan Sri Kamalia tak rekomen, aunty pun tak tahu ada spa yang bagus macam ni dekat sini. Layanan VIP. Servis pun tip top.” Dia menyambung lagi perbualannya.
Ariani serba salah. Nak matikan perbualan dia segan. Sudahlah Tengku Redza hantar pandangan menusuk kalbu lagi. Kalaulah mata lelaki itu ada pisau, berdarah agaknya muka dia kena toreh dek renungan tajam tu. Tak pasal dia dapat musuh tak diundang hari ini.
“You ni buka spa ke kopitiam?”
Spontan Ariani dan Puan Rozi menoleh.
Tengku Redza besarkan matanya. Seolah-olah tiada kesalahan pun dalam bicara sinisnya tadi.
“Tengku Ahmad Redza!”
Terbuntang mata Puan Rozi dengan keceluparan mulut Tengku Redza. Malunya dia dengan Ariani. Nak ditangankan Tengku Redza tapi si anak dah besar. Dah layak berkahwin. Dah layak dipanggil ayah kalau ada anak. Sikap itu yang kurang matang. Agaknya perangai orang kecewa macam inilah. Tak fikir hati dan perasaan orang lain.
“So are you done, mama?” Tengku Redza tayang wajah selamba. Tak terkesan dengan bulat mata mamanya yang jelas marah dengan kelancangan bicara dia.
“Mulut tu apasal tak ambil insuran.”
Bertubi-tubi Puan Rozi memukul lengan Tengku Redza. Geram bila si anak masih berbicara pedas dengan wajah selamba. Sakit betul hati tua dia. Tengku Redza langsung tak jaga air muka dia. Malu dia dengan Ariani.
“Eh, aunty!”
Ariani cuba meleraikan 'pergaduhan' dua beranak ini. Kalau ikut hati jahatnya nak juga tumpang sekaki bagi 'hadiah' pada Tengku Redza. Seronok nak kenakan lelaki bermulut lancing ini. Nyata dan jelas lelaki ini memang tiada perasaan.
“Mama! Hishhh…” Tengku Redza menepis. Mendengus geram sebelum berlalu keluar dari situ.
Puan Rozi berpaling. Memandang Ariani dengan wajah sayu. Habis gagal rancangan hari ini. Tak sangka pula mood Tengku Redza macam tu.
“Sorry, Ariani.”
“It’s okay, aunty.”
Ariani tersenyum. Takkanlah nak marah-marah juga macam anak Puan Rozi. Kalau dia ikut buat perangai macam tu, aci kerat jari Puan Rozi tak datang semula ke butik kecantikannya lagi.
“Berapa aunty nak kena bayar ni?” tanya Puan Rozi sambil menyelongkar beg tangannya. Mahu mengeluarkan beg duit.
“Tak apa, aunty. Rawatan hari ini percuma.” Ariani menolak huluran beberapa keeping not lima puluh dari Puan Rozi. Dia bukan mahu mengambil hati Puan Rozi tapi ini adalah niatnya membalas jasa baik wanita anggun ini.
“Eh, janganlah macam tu! Ariani kan berniaga.” Puan Rozi berkeras. Menarik tangan Ariani yang disembunyikan si gadis. Mahu menyerahkan duit yang sudah diperuntukkan untuk rawatan spa hari ini.
“Tak apa, aunty. Kerana promosi mulut ke mulut aunty dengan Puan Sri Kamalia, kawan-kawan aunty dan puan sri ramai yang datang ke sini.”
“Rasa bersalah pula aunty.”
“Don’t be.” Ariani menggeleng.
Tika itu mereka berdua dikejutkan dengan bunyi nyaring hon kereta di luar sana.
“Aunty gerak dululah, Ariani. Kalau tak pergi sekarang ada aunty makan asap aje.”
Kelam-kabut Puan Rozi bersalaman dengan Ariani. Mulutnya mengomel sepanjang berjalan keluar dari butik kecantikan Ariani.
Ariani membalas lambaian Puan Rozi yang sudah masuk ke dalam kereta anaknya. Dia menggeleng bila bunyi kuat tayar bergeser dengan jalan kedengaran kuat di telinganya.
“PMS kut.” Dia mencemik. Daun pintu ditutup rapat.
“Apahal yang bising-bising tadi, Ria?”
“Allah!” Ariani pegang dada. Terkejut dengan tingkah Kak Ju yang meninjau ke luar dari belakangnya. Aduh, kakak seorang ni. Tak reti nak bagi salam agaknya.
“Dengar cerita anak Puan Rozi tu hensem.” Kak Ju tanpa rasa bersalah terus melontar kata.
“Amboi, duduk dekat belakang pun sempat bergosip ya.”
Ariani mencubit lengan Kak Ju. Salah seorang stafnya yang gemar bergurau dengan dia. Lagi pula dia memang tidak meletakkan jurang majikan dan pekerja dalam menjalankan perniagaannya ini. Pada dia mereka harus berganding bahu kalau mahukan perniagaan ini berjaya.
“Dah kalau rupa kacak macam tu rugi pula tak cuci mata.” Kak Ju ketawa-ketawa.
“Hensem aje tak guna kak kalau perangai tak serupa wajah.” Ariani membalas. Dia kembali semula bersila di atas lantai. Menyambung kerja-kerja yang tergendala tadi. Tangannya laju menjalankan tugas.
Kak Ju yang baru hendak menapak ke ruang belakang tidak jadi melangkah. Berdiri tegak memandang Ariani yang seperti tidak berperasaan.
“Ada kaitan dengan kecoh-kecoh tadi ke?” Dia bertanya tak puas hati.
“Saya ni malas nak buka aib orang, kak.”
Kak Ju yang tak berpuas hati terus saja melabuh duduk di depan Ariani. Siap menarik  sila menghadap Ariani. Merenung wajah majikannya yang masih beriak selamba.
Ariani panggung wajah. Ingin saja hamburkan tawa bila terpandangkan muka Kak Ju yang seperti menahan geram dengan tingkahnya. Dah tak sabarlah tu.
“Ria, boleh kasi habis tak ceritanya! Suka sangat buat Kak Ju tertanya-tanya, kan.”
Terlepas tawa Ariani mendengar kata-kata Kak Ju. Kan betul tebakannya. Kak Ju dan gosip berpisah tiada. Semua nak tahu cepat. Yang dekat ruang belakang tu pula mesti tengah menunggu wartawan seorang ini.
“Anak Puan Rozi tu tak boleh jadi calon suamilah, Kak Ju. Ria akui dia hensem tapi perangai dia. Ya ampun. Minta dijauhkan jadi suami. Meroyan semacam. Eee…” Ariani goyang-goyangkan tubuhnya. Menambah efek dek kata-katanya tadi.
“Like seriously?” Kak Ju letak kedua-dua tapak tangannya di kedua-dua rahangnya.
Ariani angguk. Aduh, Kak Ju ni. Kalau ya pun nak terperanjat. Tak payahlah melebih. Macam teruk sangat dia mengata anak Puan Rozi. Eh, anak Puan Rozi tu memang teruklah.
“Panas ni! Panas! Kak Ju nak ke belakang.”
Ariani tersenyum. Hanya memerhati Kak Ju yang sudah bangkit dan kalat menuju ke ruang belakang. Tak lama kemudia dia mendengar jeritan staf-stafnya. Sah! Berita sudah tersebar.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Sunday, March 27, 2016

DI SINI ADA DIA - BAB 1


NASI yang menggunung di dalam pinggan dipaksa masuk ke dalam mulut. Suapannya lemah. Bukannya lauk-pauk yang terhidang tak menarik. Semuanya menyelerakan tapi tekak dia tak boleh nak terima. Selera dia mati. Mati kerana hati dan perasaan yang sakit.
“Arghhh!” Tengku Redza menjerit kecil.
Dia bersandar seketika. Memandang sayu isi pinggannya yang seperti tidak berusik. Mata ditebarkan pada hidangan di atas meja pulau pula. Kenapalah mama masak banyak-banyak? Mama tak tahu ke selera anak bujang dia ni dah hilang. Dah negatif. Bukan sifar lagi.
Dia mengeluh. Kembali menyumbat nasi ke dalam mulut. Kalau dekat luar memang tak mungkin dia akan ambil nasi dan lauk sebanyak ini. Masalahnya sekarang ini dia di rumah. Tak boleh tunjuk perubahan pelik. Buat aneh sikit cepat sahaja mem besar akan menyoal.
Buk!
Belakang badannya ditepuk kuat. Tersembur nasi yang baru separuh masuk ke dalam mulut. Habis berkecah di atas meja. Dia berpaling. Nak marah si pelaku. Memanglah selera dia di bawah paras sifar tapi itu bukan tiket untuk si pelaku sewenang-wenangnya buat dia macam tu.
“Mama?” Wajah yang tegang perlahan-lahan diubah riak. Dia tak pasti nak tersengih atau nak marah tapi yang pasti dia hairan kenapa mama buat dia macam ni. Ingatkan si abang yang ingin buat kejutan melawat si adik yang kecewa. Rupa-rupanya mem besar.
“Apa Redza dah buat? Tak ingat agama? Perangai tak semenggah tu macam mama dengan papa tak tahu mengajar anak!” Berdentum suara Puan Rozi memenuhi ruang dapur.
Perkhabaran yang sampai ke telinganya betul-betul membuat hati dia terbakar. Nasiblah pada hari kejadian dia tidak ada sama. Kalau tidak memang mati si anak dia kerjakan. Masa tu jangan salahkan dia kalau tubuh Tengku Redza dia kerat-kerat jadi lapan belas bahagian. Geram betul.
“Apa ni, ma? Tiba-tiba menjerit macam nak runtuh siling dapur ni.” Tengku Redza membalas sambil berjalan menuju ke sinki. Butir-butir nasi yang melekat di atas bibir dibuang. Mulutnya dibasuh.
“Redza tanya mama apa? Tengku Ahmad Redza Tengku Ahmad Radzi, tolong jangan berpura-pura tak tahu apa-apa!” Terjegil mata Puan Rozi dengan jawapan si anak. Matanya mencerlung tajam mengikut langkah Tengku Redza yang kembali melabuh punggung di atas bangku tinggi di tepi meja pulau.
“Yalah. Mama yang serang Redza. Siap pukul curi lagi. Nasiblah Redza ni tak ada sakit jantung. Kalau tak memang dah jalan anak mama ni.” Tengku Redza menjeling. Gelas minuman yang belum terusik isinya dicapai dan dibawa ke bibir. Dia menuntas pandang mamanya sambil menghirup air.
Mendengarkan kata-kata selamba yang dituturkan si anak buat Puan Rozi beristighfar panjang. Graf marahnya yang mencanak tinggi perlahan-lahan mula menurun. Hati yang panas berubah menjadi sejuk. Spontan bangku di sebelah Tengku Redza ditariknya.
“Kenapa sampai kejar isteri orang? Dah kurang ke anak dara kat Malaysia ni?” Paha si anak ditepuk-tepuk. Kali ini tonasi suaranya lembut. Tidak keras seperti tadi.
Tersedak Tengku Redza hingga terbatuk-batuk mendengar pertanyaan mamanya. Dia berdeham sedikit bila batuknya sudah reda. Mahu menghilangkan rasa perit yang terasa pada rongga tekaknya. Walau air yang diminum hanyalah air suam dan bukan air berperisa. Peritnya tetap sama.
“Betullah tu?” Puan Rozi menebak walau hati sebenarnya mahu si anak menafikan tapi tak mungkin suaminya menipu menceritakan kisah si anak yang mengejar cinta isteri orang.
“Mana mama dapat cerita palsu ni?” Tengku Redza masih mahu berteka-teki. Berharap sangat mamanya tidak melanjutkan pertanyaan.
Kalau tadi dia kata seleranya sudah hilang tapi tidak sekarang. Dia kembali menyambung makannya. Malah lahap pula meratah ikan siakap goreng cicah sambal kicap. Ikut perkiraan sudah sebulan selera makannya susut. Orang kata makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena sebab bercinta tapi dia sebaliknya. Cinta yang dikejar tak kesampaian.
Macam mana nak sampai cinta itu kalau yang dikejar sudah sah-sah hak milik orang. Kalau dalam Islam cinta yang dia dambakan dikategorikan haram. Nasiblah dia cepat sedar khilafnya. Pantas menjauhkan diri dari wanita yang berjaya mencuri hati.
Oh! Please, Tengku Redza. Jangan nak bangga diri sangat. Kalau tak kerana bisanya kata-kata suami wanita itu, tak mungkin kau akan sedar khilaf itu. Dia tersenyum.
“Takkanlah papa nak tipu mama.”
Tengku Redza tersentak. Lamunannya terbang melayang. Dia menoleh ke sisi. Bersama senyuman yang menghiasi bibir tangan kirinya meraih jemari kanan mamanya.
“Khilaf Redza, mama.”
“Kenapa sampai macam tu sekali? Anak mama masih ingat Allah, kan? Masih beragama Islam, kan? London did not change you, right?” Bertubi-tubi Puan Rozi bertanya. Ada nada risau dalam bicaranya.
Risau si anak sudah tersasar dari landasan. Bertahun si anak menetap di bumi asing. Tak mustahil iman si anak menipis. Godaan dan dugaan di tempat orang yang rata-rata tidak kisah apa yang orang lain buat membuatkan naluri seorang ibu sepertinya sedikit cuak. Manalah tahu Tengku Redza amalkan cara hidup orang barat.
Tengku Redza ketawa. Tak sangka teruknya kebimbangan mama pada dia. Mama lupa agaknya yang dia sudah dua puluh lima tahun sewaktu mengambil keputusan untuk merantau ke negara orang. Takkan semudah itu dia terpengaruh dengan budaya barat. Dia sudah matang. Dia tahu mana yang boleh dan mana yang tidak.
“Sampai ke situ pula mama ni. I’m still your Tengku Ahmad Redza, ma. I’m still me. I’m still a Muslim. Nothing change.”
“Alhamdulillah.” Puan Rozi menarik nafas lega. Wajah si anak yang tenang mengunyah nasi tetap dipandang.
“Tapi kenapa isteri orang?” Dia ulang semula soalannya tadi.
Tengku Redza lepaskan genggamannya. Dia angkat tangannya. Hanya jari telunjuk yang terlihat. Meminta mamanya menunggu. Dia mahu menghabiskan makanannya. Menjadi anak Puan Rozi Binti Bakar dia arif dengan sifat mamanya. Sifat tak pernah puas hati andai tidak diberitahu cerita sebenar. Sifat itu juga yang dia warisi.
“Hmmm… makanlah.” Puan Rozi tersenyum.
Takkanlah dia nak mendesak lagi. Bagilah Tengku Redza makan dulu. Sekurang-kurangnya si anak sudah berisyarat. Mahu bercerita kepadanya. Takut kalau dia berkeras, si anak meminggirkan diri pula.
Malas mahu mengganggu, dia bangkit dari situ.
“Bik, buatkan saya kopi o panas. Hantar ke depan,” arahnya pada pembantu rumah yang baru menapak masuk dari pintu belakang sebelum berlalu ke ruang tamu.
“Fuhhh!” Tengku Redza kesat dahi. Untuk seketika dia boleh menghela nafas kelegaan.
Macam mana papa boleh bercerita dengan mama? Ingatkan rahsia yang satu ni takkan sampai ke pengetahuan mama. Apa yang terjadi di Pulau Tioman habis dekat situ aje. Dia pun malu dengan tingkahnya sendiri. Lupa pada halal dan haram. Nasiblah Ainan tu keras hati. Buatnya membalas godaan dia, niaya.
“Saya pun nak juga, bik,” pintanya bila si pembantu rumah sibuk membancuh minuman yang dipinta mamanya.
Dia cepat-cepat menghabiskan makanannya. Mahu segera selesaikan dengan mama. Mahu bercerita dengan mama. Segala-galanya. Manalah tahu boleh ringankan beban kat dalam dada ni. Dah sebulan kut dia pendam rasa. Ingatkan nak berkongsi cerita dengan si abang. Nama saja ada abang tapi tak boleh pakai. Ajak berjumpa sekejap pun susah. Sikit-sikit on call. Sibuk betul tuan doktor seorang tu.
Sekarang ni harapannya cuma satu. Jangan mama buat plan gila-gila sudahlah. Manalah tahu sibuk carikan dia calon isteri macam si abang kena.
“Airnya saya udah letak di depan, tuan.”
“Hmmm…” Tengku Redza yang tersentak hanya mengangguk pada si pembantu rumah. Dia bingkas bangun dan mencuci tangan sebelum turut berlalu ke ruang tamu.
Matanya meliar mencari kelibat mama yang tak kelihatan di ruang tamu. Baru mahu melangkah ke luar rumah, mamanya muncul. Berjalan masuk dari luar sambil bercakap di telefon bimbit.
“Esok aunty datang. Ariani jangan beri dekat orang lain tau. Assalammualaikum.” Puan Rozi jongket kening pada Tengku Redza yang kaku berdiri memandang dia.
Telefon bimbit digenggam pada tangan kiri. Tangan kanannya segera menyauk lengan si anak. Menarik bersamanya ke sofa dan melabuh punggung di situ.
“Mama dah bersedia.” Dia tersenyum manis.
Tengku Redza ketawa. Alahai, mama ni. Manjanya buat dia tak sampai hati nak menolak untuk tidak bercerita. Bersediakah dia sebenarnya?
“Eh, sebelum terlupa! Esok petang Redza tolong ambil mama dekat spa, ya? Malas nak bawa kereta. Pagi tu papa yang akan hantarkan.”
“Spa? Spa mana satu?” Berkerut dahi Tengku Redza dengan permintaan mamanya. Selalu boleh aje mama memandu sendiri kalau nak ke mana-mana. Apahal pula esok dia kena jadi pemandu mama?
“Ariani Beauty & Spa. Alah dekat Bandar Baru Uda tu je. Tak jauh dari pejabat Redza.” Lengan Tengku Redza digosok-gosok.
Puan Rozi berharap sangat si anak tak menghampakan permintaannya. Kalau si anak menolak gagallah apa yang dia dah rancangkan. Itu pun puas juga memujuk ‘bos besar’ untuk turut sama bersekongkol. Asyik nak bermesyuarat saja. Apalah salahnya sekali sekala fikirkan si anak yang dah terlajak bujangnya ni. Sampai isteri orang pula dikejar.
“Setuju ajelah, ya. Sekarang ceritakan pada mama kisah Redza dengan isteri orang tu.”
“Biasa-biasa ajelah, ma. Tak ada yang menarik. Ainan isteri yang taat.” Tengku Redza pamer senyuman hambar.
Mengingatkan kembali respon Ainan pada dia sangat menyakitkan. Walau pelbagai usaha dia lakukan tapi wanita itu terlalu keras hatinya. Langsung tak cair dengan kata-kata dia. Keprihatinan dia pun tak berbekas langsung pada wanita itu. Beruntung Azri kerana memperoleh seorang isteri seperti Ainan.
“Sebab tu Redza terpikat?”
Tengku Redza menoleh. Cuba untuk menidakkan tapi lain yang berlaku. Dia angguk. Tebakan mamanya tepat. Bicaranya bersambung.
“Bukan kerana tu aje. Dia lain dari yang lain. Dia punya aura yang tak ada pada gadis-gadis yang selalu berdamping dengan Redza. Yakin pada diri sendiri. Tak hairan pandangan serong orang lain kepadanya. Sangat berdikari.”
“Redza tahu kan rencana Allah itu cantik? DIA cipta Ainan begitu sebab DIA dah ciptakan lelaki yang terbaik untuk menjadi imam Ainan. Yang pastinya bukan anak mama ni. Untuk Redza, mama percaya Allah itu tak kejam. DIA pastinya sudah menyediakan bidadari cantik di luar sana. Wanita yang bakal menjadi makmum anak mama. Hanya menunggu Redza untuk melamar dia.” Puan Rozi memujuk.
Jelas di matanya Tengku Redza nampak kecewa dengan apa yang telah berlaku. Dia tak salahkan Ainan menolak si anak. Dia juga tak menyalahkan Tengku Redza. Semua ini adalah kehendak DIA. Qadak dan qadar Allah. Ujian buat Tengku Redza mungkin sebelum berjaya memiliki idaman hati.
Tengku Redza mengeluh. Sudah sebulan dia cuba muhasabah diri. Cuba mencari mana-mana kekurangan diri. Suruhan-Nya dia lipat gandakan melakukannya. Tak mahu tercicir lagi dalam menggapai nikmat Allah. Manalah tahu taat setianya ini berbaloi. Bukan dia berharap diberi balasan. Dia ikhlas tapi dia tahu Tuhan tidak kejam. Macam yang mamanya perkatakan.
“Kalau memang Redza betul-betul nak cari…”
“Stop it, ma! Jangan cuba nak jadi cupid. Jangan cuba-cuba nak atur blind date.” Laju Tengku Redza memintas.
Betul sangkaannya. Mama tak akan berdiam diri. Lagilah bila tahu dia dah buat kerja gila. Memang cepatlah mama atur rencana. Dia kena cari Doktor Tengku Ahmad Riyadh. Minta tips nak menepis plan mama. Dulu-dulu si abang berjaya menolak calon-calon isteri yang diperkenalkan mama.
“Alah, tak cuba tak tahu.” Puan Rozi merengek.
“No, ma. Redza bukan budak-budak. Dah tiga puluh tahun pun, kan.” Tengku Redza cuba untuk tidak meninggikan suaranya.
Betul dia tak suka dengan apa yang mamanya buat tapi itu bukan tiket untuk dia membuat mama terasa hati. Mama syurganya. Seboleh mungkin dia mengelak dari membuat dosa tanpa sedar.
“Sebab Redza dah tiga puluh tahunlah mama nak tolong. Tengoklah bila Redza cari sendiri. Habis isteri orang nak dirampasnya.” Puan Rozi tak berputus asa. Masih cuba mencucuk jarum.
“A big no, ma.” Tengku Redza menggeleng laju. Tetap dengan keputusannya.
“Tak rasa rugi?”
“Naaa…”
Puan Rozi tersenyum melihat Tengku Redza yang beria-ia menggeleng. Menolak habis-habisan cadangan dia. Cawan di atas meja diambil. Dia hulurkan kepada Tengku Redza.
“Okey tapi esok Redza mesti ambik mama dekat spa tau.”
“Ya.”
Terus sahaja Tengku Redza bersetuju. Kalau itu boleh menamatkan perbincangan yang tak masuk akal, lebih baik dia layan sahaja permintaan mama.
Puan Rozi tersenyum saat mulutnya mencecah bibir cawan.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

DI SINI ADA DIA - PROLOG


ARIANI kekal menunduk. Bermain-main dengan jemarinya. Sungguh hatinya sakit. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah. Mulut dibuka. Terketar-ketar meluahkan kata.
“Putus.”
Lelaki yang masih lagi berdiri dan memandang dia direnung. Mata mereka berlaga. Dia nampak lelaki itu menggeleng.
Ariani mengangguk.
“Semudah itu?” Lelaki itu bertanya.
Ariani pejamkan matanya. Cuba mengumpul kekuatan. Dia mengangguk lemah.
“Tak mungkin semudah itu, Ariani.” Lelaki itu menggeleng lagi.
Ariani buka matanya. Lelaki itu betul. Memang tidak semudah itu tapi biarlah. Biarlah dia menyimpan sendiri alasan putus itu.
“Damn!” Serentak itu lelaki itu menendang kerusi di depannya.
Bahu Ariani terangkat. Terkejut dengan tindakan lelaki itu. Sungguh, dia tak sangka reaksi lelaki itu menjadi begini. Dia ingatkan mudah untuk lelaki itu menerimanya.
“Saya…”
Lelaki itu mengangkat tangannya. Mematikan kata-kata Ariani.
Ariani mengeluh. Ya Allah, permudahkanlah urusan aku. Kuatkanlah hati aku.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.