Friday, March 24, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 11


PERJALANAN yang hanya mengambil masa tidak sampai 15 minit dirasakan terlalu lambat bagi Ariq. Matanya menjeling cermin pandang belakang. Tersungging senyuman sinis di bibirnya. Termenung? Gadis ni dah tak ada kerja lain agaknya. Cubalah fikirkan sesuatu. Carilah jalan penyelesaian. Bukan untuk masa depan mereka berdua tapi sekurang-kurangnya macam mana mereka nak hadap hari esok.

Apa Azza ingat dengan termenung macam tu boleh selesaikan masalah? Azza bolehlah berdiam diri. Gadis itu anak yatim piatu. Tak perlu fikirkan pasal mak dan ayahnya. Dia kena fikir macam-macam. Maruah keluarga, reputasi syarikat. Reputasi syarikat? Oh, kenapa dia boleh terlepas pandang akan hal ini!

“Haidar.” Dia menggumam.

“Hmmm…”

“Tolong aku?”

“Apa…” Acuh tak acuh sahaja suara Haidar.

“Hal pernikahan ni…” Jeda. Sekali lagi matanya melirik cermin pandang belakang. Pandangannya dan Azza bertaut. Memang itulah tujuan dia menimbulkan hal ini. Mahu gadis itu terlibat sama.

 “Rahsiakan dari pengetahuan mama dan papa. Jangan kecoh-kecoh. Kalau aku tahu mereka tahu, tahulah aku siapa yang tak reti tutup mulut.” Amaran diberi walau nadanya bersahaja.

Kegelapan malam di luar tingkap yang menjadi santapan mata Haidar tidak lagi indah di pandangan. Dia menoleh ke sisi. Wajah Ariq tunak dipandang.

“You heard me!” Kali ini bicara Ariq sedikit tegas. Dia tahu Haidar sedang melihat dia. Dan dia faham maksud pandangan Haidar.

“Aku tak boleh janji.”

“You have to, Haidar!”

Haidar mengeluh. Berat helaan nafasnya. Dia melirik pada Azza. Mahu melihat reaksi si adik ipar. Risau andai gadis itu berkecil hati dengan kata-kata Ariq. Namun dia tak dapat membaca riak pada wajah gadis itu. Gadis itu bagai tenggelam dalam dunianya sendiri. Ariq direnung semula.

“Sampai bila?”

Sungguh, dia tidak suka dengan cara Ariq menangani perkara ini. Bukannya Ariq dan Azza menconteng arang di muka kedua orang tua mereka. Ini perkara baik. Perlulah dihebahkan. Takut kalau main sorok-sorok, lain pula jadinya di kemudian hari. Berahsia bakal membebankan Ariq. Bahkan dirinya juga. Tak bolehkah untuk kali ini Ariq berfikir secara matang?

“Tak tahu.” Ariq jongket bahu sambil menyebak rambutnya. Berkali-kali.

Buat masa ini, biarlah perkara ini dirahsiakan. Hati dan perasaan kedua orang tuanya perlu dijaga. Khilaf dia. Ikut sangat perancangan yang tidak terancang ini sampai lupa natijahnya pada diri dia dan keluarga.

“Aku tak rasa papa dan mama akan marah. Kau pun tahu sikap mereka, kan?” Haidar cuba memujuk. Harap sangat Ariq menarik balik kata-katanya tadi.

“Tahu tapi aku tak bersedia dengan semua ni. Aku harap kau faham, Haidar.” Ariq menggeleng laju.

Untuk sekian kalinya, Haidar mengeluh lagi. Ariq tetap Ariq. Kalau putih katanya, tiada apa yang boleh merubah menjadikan ianya hitam. Dia memandang Azza di belakang. Sayu hatinya mengenangkan nasib si adik ipar.

“Azza tak kisah ke?”

“Huh?”

“Rahsiakan perkahwinan ini?”

“Sa… saya ta… tak kisah, Encik Haidar.” Tergagap-gagap Azza menjawab. Dia cuba untuk senyum walau dia tahu senyumannya jelas kelat dan terpaksa. Sebenarnya dia tak sangka dirinya menjadi sasaran juga. Nasiblah butir bicara dua beradik ini didengarnya jelas.

“Apa pulak berencik dengan saya. Abang pun dah okey,” seloroh Haidar diiringi tawa kecil. Cuba untuk menceriakan keadaan. Ariq dikerling dengan ekor mata. Jelas matanya menangkap kerutan pada dahi Ariq. Aik,  cemburu ke?

“Mangkuklah kau, Haidar.” Ariq mencelah.

“Hoi, suka hati kau aje mangkukkan aku!”

“Dah kalau kau suruh dia panggil kau abang, dia nak panggil aku apa?”  

Haidar terkedu. Seketika matanya terkebil-kebil memandang Ariq sebelum terburai tawa dari mulutnya. Gaya macam tak suka dipaksa menikah tapi boleh pula si adik bergurau macam tu. Ketara sangat Ariq cemburu.

“Kau tanyalah Azza,” giatnya.

Dengan wajah yang serius, cermin pandang belakang direnung. Ariq beredeham. Cuba menarik perhatian Azza.

“So?” Keningnya dijongketkan bila matanya dan Azza bertaut.

Azza yang tidak bersedia menjadi semakin kalut. Spontan reaksi luar alam ditonjolkan. Sekejap-sekejap dia membetulkan tudungnya. Dalam pada itu, sempat dikutuknya perangai dua beradik ini. Kenapa mesti diri dia dikaitkan dalam gurauan mereka?

Senyuman herot tersungging. Tingkah Azza yang satu inilah yang Ariq suka. Reaksi isteri ‘segera’ dia nampak comel. Terasa hilang seketika serabut yang bersarang di kepala.

“Ariq, kau turunkan aku dekat rumah Chan,” beritahu Haidar. Tak mahu lagi menyakat. Tengok gaya si adik ipar, ada karang yang mati sakit jantung.

“Kenapa?”

“Bagi peluang kau orang berdua berkenal-kenalan. Lagi pun takkanlah kita nak duduk serumah. Kalau aku ada nanti, kacau daun pula.”

“Kacau daun?” Berkerut dahi Ariq.

“Yalah. Takut kalau kau nak ehem-ehem, tak jadi sebab aku ada.” Haidar ketawa besar usai menghabiskan kata-katanya.

“Sengal!” Ariq menggeleng. Dia tak terfikir pun sampai ke situ. Sempat dia mencuri pandang wajah Azza pada cermin pandang belakang. Dia boleh nampak gadis itu seperti malu-malu.

Pipi Azza dah memerah. Sejuk pendingin hawa kereta tak dapat nak melawan bahang di mukanya. Kan dia dah cakap. Memang dia akan terus-terusan menjadi bahan usikan dua beradik ini.

“Turun sekarang.” Ariq memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan rumah sewa Chan dan Rama. Berselang satu taman sahaja dengan rumah yang disewanya dengan Haidar.

“Amboi, macam tak sabar! Jangan nakal-nakal. Esok kerja. Kalau nak cuti panjang lepas projek dekat sini settle.” Haidar berpesan sebelum melangkah keluar.

“Kau pergi masuk sana. Ada yang bersepai gigi nanti.” Ariq ketap bibir. Geram. Haidar ni tak habis-habis mengusik. Gurau tak kena tempat. Kalau dia dengan Azza tu bercinta, bolehlah nak cakap macam tu. Ini kahwin ekspress. Malang betul.

“Ingat. Esok pagi ada meeting dengan sub-con pukul 9:00.” Haidar menggiat lagi. Tak hirau dengan amaran Ariq.

Ariq jegilkan mata. Haidar ni memang nak kena. Ada karang lebam mata Haidar dia kerjakan.

“Assalammualaikum!” Haidar angkat tangan bersama sengihan mengusik.
Ariq tunjukkan penumbuknya sebelum memandu keretanya berlalu dari situ.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

BERARAK AWAN CINTA - PART 10


SUNYI. Tiada siapa yang bersuara. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Meladeni rasa terperanjat yang masih lagi beraja dalam hati. Kejadian yang tidak di duga hari ini merubah cerita. Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Serta-merta kehidupan dua insan yang saling tidak mengenali berubah. Perubahan yang bukan sedikit. Perubahan 180 darjah. Harus bermula dari sifar. Bahkan menghancurkan impian yang pernah direncana.

Impian? Semuanya dah lebur saat dia menerima akad tadi.

“Damn!” Tanpa sedar Ariq menyumpah. Malah keceluparan mulutnya turut mengundang Haidar di sebelah memandang. Tak dihiraukannya.

Siku kanannya disangkut pada pintu lalu tangannya menongkat kepala. Rambut dikuak ke belakang. Berat… Berat memikirkan kehidupan yang bakal ditempuhi. Boleh ke dia duduk sebumbung dengan gadis yang baru sehari dia kenal?

Cermin pandang belakang dijeling. Wajah Azza yang diam sahaja di tempat duduk belakang ditatap. Riak wajah gadis itu sugul. Entah apalah yang ada dalam fikiran gadis itu. Ahhh… Tak perlu sibuk hal orang lain. Dia sendiri pun runsing.

Orang lain? Dia isteri kau, Ariq. Bisikan hatinya membuatkan dia berkali-kali menguak rambutnya ke depan ke belakang.

“Azza tak nak singgah rumah pak long dulu ke? Ambil baju atau apa-apa keperluan yang patut?”

“Errr… Bo… boleh juga.” Tersentak sampai tergagap Azza menjawab. Dia memang terlupa akan hal itu. Tika ini otak dia tak mampu berfungsi. Tak mampu berfikir yang logik. Setiap tindak-tanduknya kini hanya berpandukan kata hati.

Soalan yang terpacul dari mulut Haidar membuatkan Ariq menoleh. Pandangan mereka bertemu. Dia mendengus bila dibalas Haidar dengan jongketan kening.  

Haidar menguntum senyuman sebelum menggeleng perlahan. Dia tak rasa pertanyaannya itu salah. Hanya dia seorang sahaja yang waras ketika ini. Tipulah kalau dia tiada rasa apa-apa. In a blink, the one and only brother become a husband to an unknown girl.  Rasa terkejut itu masih ada. Apatah lagilah Ariq dan Azza. Semuanya jelas terpancar pada riak wajah kedua-duanya. Kusut dan serabut.

Ariq tahu sepatutnya dia perlu ucapkan terima kasih pada Haidar. Dia beruntung Haidar ada bersama-sama dengannya. Haidar ni umpama alarm clock dia. Sangat prihatin tentang dirinya. Sungguh, dia memang terlupa pasal keperluan Azza. Sibuk sangat memikirkan kisah dirinya dan Azza yang menjadi suami isteri ekspres. Langsung tak cakna hal Azza.

Kedai makan Pak Long Aziz tertancap oleh matanya. Segera dia membelok ke simpang jalan masuk ke situ. Berhenti betul-betul di hadapan kedai. Dia turun dari kereta. Tempat duduknya dilaraskan ke depan. Memberi laluan kepada Azza untuk keluar.

Azza mengeluh sebelum turut keluar. Dia tercegat di depan pintu kereta. Tak menghiraukan Ariq yang tunak memandang dia. Memerhati kedai makan yang banyak meninggalkan kenangan manis dan pahit pada dirinya. Matanya di halakan pula pada sebuah rumah di sebelah kedai. Rumah itu gelap.

“Pak long belum balik,” gumamnya. Perlahan-lahan dia mengatur langkah. Lemah sahaja hayunannya menuju ke rumah itu.

Ariq mencebik. Tubuh dibawa bersandar pada kereta. Malas dia mahu menemani Azza. Cukuplah dengan hanya memerhati gadis itu dari sini. Gadis itu patut bersyukur. Kerelaannya memandu ke sini sudah dikira baik.

Dia merenung kosong bila susuk tubuh Azza hilang dari pandangan. Pernikahan ini, perlu ke dia beritahu papa dan mama? Marah tak papa pada dia? Bolehkah mama terima? Tak nampakkah dia seperti menconteng arang di muka kedua orang tuanya?

Ahhh… Bukan salah dia. Habis tu salah siapa? Azza? Atau takdir? Hanya satu hari sahaja mengenali gadis itu, kehidupan dia berubah. Pantas. Bagaikan kilat. Tidak sempat untuk dia sediakan perisai. Memanah tepat pada dirinya.

Jika benar inilah takdir dia, kenapa terasa dirinya seperti dizalimi? Astaghfirullahaladzim, Ariq! Jangan pernah salahkan perancangan Allah. DIA tidak menguji kau kalau DIA tahu kau tidak mampu. Sekali lagi hatinya berbisik. Lantas wajahnya diraup kasar.

“Woi!”

Ariq membongkok. Melihat ke dalam kereta yang sudah cerah di dalamnya. Entah apalah motif Haidar hidupkan lampu.

“Pergilah temankan Azza tu! Kau tak nampak ke keliling kita ni gelap? Karang jadi apa-apa pada budak tu, kita juga yang susah! Manalah tahu budak jantan yang nak pengapakan dia tadi datang balik!” teriak Haidar.

Ariq mendengus. Menghantar satu jelingan tajam kepada Haidar. Tidak suka bila disuruh-suruh begitu. Namun diturutkan juga kata-kata si abang. Risau juga dia kalau tebakan Haidar itu betul. Hujung-hujung nanti dia juga yang akan dipersalahkan.

“Careless.” Pintu kayu yang tidak bertutup rapat ditolak lembut dan dirapatkan semula selepas dia masuk ke dalam rumah. Tiba-tiba amaran Haidar tadi kembali menerjah kepalanya. Andai dia abaikan entah apalah nasib Azza.

Matanya meliar memerhati sekeliling rumah separuh batu dan separuh papan itu. Hiasan dalam rumah ini sederhana sahaja. Tidak banyak perabot. Sesuai sebagai sebuah rumah kampung.

“Allah!” Azza terjerit kecil usai menyelak langsir pintu bilik. Dadanya diurut. Cuba menghilangkan rasa terperanjat. Terkejut melihat Ariq yang elok berdiri di tengah ruang tamu.

Serentak itu juga Ariq menoleh. Keningnya terjongket tinggi. Senyuman sinis turut dilemparkan. Terperanjat konon. Sendiri yang mengundang padah.

“Lain kali jangan biarkan pintu terbuka kalau tahu kau sorang-sorang dekat rumah. Nasib baik aku yang masuk. Kalau orang lain macam mana?”

“Errr…” Azza terkedu. Sedar dia cuai tapi dia bukan sengaja. Dia nak cepat. Risau kalau dia berlengah, Ariq akan memarahinya.

“Lama lagi?”

 “Sekejap. Ada sikit lagi barang yang aku nak ambil.” Azza masuk semula ke dalam bilik. Tak jadi nak ambil berus gigi di dalam bilik air yang terletak di dapur. Tidak menyedari Ariq mengekori langkahnya.

“Keciknya,” komen Ariq sebaik melihat keadaan bilik tidur Azza.

Azza menoleh ke belakangnya sekilas. Ini dah kenapa menyibuk dalam bilik tidur orang?  Lepas tu suka-suka hati pula nak kutuk. Pergilah tunggu dekat luar sana.

Ariq mendekati katil. Punggung dihenyak di birai katil walau tidak dipelawa. Bantal ditepuk-tepuk. Tanpa silu direbahkan tubuhnya. Baring dengan santainya. Kaki disilangkan dan kedua-dua tangannya diletakkan di bawah kepala. Matanya memusat pandang pada Azza yang sudah bersila di atas lantai di hujung katil. Senyuman senget tersungging di bibirnya saat menangkap reaksi Azza.

Terbeliak mata Azza melihat perlakuan Ariq. Eh, boleh pula baring-baring? Ingat dah dapat lesen suami tu boleh suka-suka nak buat apa-apa ke? Aduh, mamat ni! Buang tabiat betul. Dan-dan semua yang dilakukannya jadi serba tak kena. Jadi canggung. Terasa seperti mata Ariq tidak lepas memandang dia.  

“Banyak lagi ke?” Ariq bertanya bila melihatkan Azza seperti tidak keruan. Apalah yang nak kalut sangat ni. Berkemas aje pun. Namun senyuman sengetnya kembali terukir. Azza jadi begitu sebab dia memandang. Nampaknya adalah modal nak mengusik gadis ini di kemudian hari.

“Done.” Laju jemari Azza menekup mulut.

Masa inilah kau nak bercakap London, ya Azza Humaira. Dia mengutuk dirinya sendiri. Inilah akibatnya bila lidah sudah terbiasa berbicara bahasa asing. Mentang-mentang orang di depan ini orang bandar, terlepas sahaja lidahnya menutur dalam bahasa itu.

Semakin senget senyuman Ariq. Dia bangkit dari baringnya tetapi kekal duduk di birai katil. Wajah Azza dipandang. Sengaja membuat gadis itu semakin tidak kena. Otaknya menafsirkan sesuatu. Kekalutan Azza akan membuahkan sebuah kejujuran. Tiada paksaan.

Hesy, main renung-renung pula. Tahu tak hati dia tak sekental besi nak menahan panahan mata tu. Sudahlah mata tu macam mata helang. Tajam menikam. Azza gagahkan diri membalas pandang. Kali ini giliran dia pula menjongketkan kening.

“Wondering, who you are actually?” Kening Ariq menari-nari.

Crap! Azza telan liur. Sekarang ni nak jawab ke atau berpura-pura tak faham? Hatinya berbelah bagi. Yang di dalam ini sudah berperang. Sisi nakal suruh menidakkan. Sisi baik suruh berlaku jujur.

“Kau cakap apa? Aku tak faham.” Sisi nakal menang.

“You are not that stupid. I can see that.” Ariq masih mahu melanjutkan perbualannya.

Hatinya kuat mengatakan Azza bukan berasal dari kampung ini. Ya, betul Azza anak saudara Pak Long Aziz. Kenyataannya perwatakan gadis ini tak macam gadis-gadis kampung yang pernah dia lihat. Malah sikap gadis ini berbeza dengan Munira. Sepupu Azza yang acah-acah nak jadi orang bandar tetapi makin menyerlahkan sisi kekampungannya.

“Boleh gerak sekarang tak? Aku tak mahu terserempak dengan pak long atau Munira.” Azza memandang Ariq seketika sebelum berlalu keluar dari bilik itu.

Dia harus bijak. Rahsia harus menjadi rahsia. Kalau seronok sangat nak bertikam lidah dengan si pemilik mata helang ini, takut perkataan yang bukan-bukan akan keluar lagi dari mulutnya yang tidak ada insuran ini.
Ariq ketawa.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

BERARAK AWAN CINTA - PART 9


LANGSIR yang menjadi penghadang jemaah lelaki dan perempuan disingkap. Memudahkan perbincangan yang bakal berlangsung. Masing-masing sudah mengambil tempat. Ada yang membentuk kumpulan kecil dan ada yang menyertai kelompok besar. Namun yang pasti dua insan yang duduk bertentangan di tengah-tengah ruang solat mendapat perhatian utama.

Ariq menukar pandangan. Dari merenung wajah Azza dia memandang ke sekeliling. Liur ditelan bila matanya bertembung dengan mata orang-orang kampung. Renungan mereka sangat tajam. Seperti dia telah melakukan jenayah berat. Namun seboleh mungkin dia mengawal riak wajahnya. Cuba kelihatan tenang walau ada kegusaran dalam hati. Lagi pula dia tidak mahu digelar pengecut.

Namun duduknya yang setentang dengan Azza menggugat usahanya saat matanya kembali memandang gadis itu. Dia tersilap kerana cuba mencari kekuatan di situ bagi menghadapi saat genting ini. Ada rasa lain yang singgah dalam hatinya. Satu perasaan aneh. Perasaan yang tidak pernah dia alami bila memandang perempuan.

Ah, hanya mainan perasaan kau saja, Ariq! Dia memujuk diri. Mungkin keadaan di dalam masjid yang sunyi menghadirkan rasa itu. Malah keheningan ini turut menjentik keberanian jiwa lelakinya.

Haidar yang kerap kali keluar masuk masjid sedikit sebanyak menambah perisa. Entah sengaja atau kebetulan masa inilah abangnya itu sibuk menjawab panggilan telefon. Tak boleh ke duduk diam di sisi dia? Arghhh… Itu semua tidak penting baginya.

“Allah!” Wajahnya diraup kasar. Teringat perbalahan kecil di antara dia dan penduduk kampung ini sebelum bersolat tadi. Hanya kerana dia orang luar kepercayaan yang cuba diraih sukar digapai.

Terasa belakangnya digosok, dia menoleh. Tersenyum kelat kepada Haidar yang sudah kembali meletak punggung di sisinya.

“Istighfar banyak-banyak.” Haidar memujuk.

Dia faham apa yang bergelojak dalam hati Ariq. Andai dia di tempat si adik, sudah tentu dia turut sama resah. Siapa yang mahu perkara ini terjadi? Tiada siapa yang berdoa agar ditimpa kecelakaan. Cumanya dia berharap Ariq tabah dengan ujian kecil ini.

Perlakuan Ariq dan Haidar telah menarik perhatian orang-orang kampung yang sudah duduk mengelilingi mereka. Bahkan tika ini bukan hanya mereka berdua yang menjadi tumpuan. Azza yang bersimpuh di ruang yang sama turut mengundang semua mata untuk memandang.

Azza diam tidak berkutik. Pak Long Aziz yang duduk di antara dia dan Ariq pun tidak berani dipandangnya. Apatah lagi menebarkan pandangan ke sekeliling masjid. Malah pada Munira yang cemberut sahaja wajahnya juga dia segan mahu melihat. Hanya sesekali dia berbisik pada Sarimah yang setia menemaninya.

Doa telah dia panjatkan kepada yang Maha Esa usai bersolat maghrib sebentar tadi. Mengharapkan DIA sekali lagi membantu dirinya menghadapi saat ini. Dia cuba untuk kuat. Namun dia akur, dia masih perlukan Allah untuk meringankan beban.

“Macam mana, Aziz?” Pak Imam memulakan bicara. Memecah keheningan yang melanda. Sebagai antara orang yang dipercayai di kampung ini wajarlah dia menjadi kepala perbincangan. Dia pasti semua orang tak sabar menanti hasilnya.

Pak Long Aziz mengeluh. Wajah Azza dipandang. Direnung tajam. Mencari jawapan di situ. Berat sungguh tanggungjawab yang digalasnya. Sukar rupa-rupanya menjaga anak yatim piatu ini. Adakah sudah tiba masanya beban di bahu bertukar tuan? Harapannya apa yang dia putuskan tidak semakin menjarakkan perhubungan dia dengan Azza.

Matanya tunak pada Ariq pula. Melihat anak muda ini, hati tuanya semakin yakin. Firasatnya tidak pernah silap. Anak muda ini pasti boleh menjaga Azza. Matanya dikerdipkan sekali. Bagaikan jawapan yang dicari sudah ditemui.

Azza tidak mampu berlawan pandang dengan Pak Long Aziz. Wajah ditundukkan. Jemarinya bermain dengan hujung tudung. Hatinya tebal dengan perasaan bersalah. Dia sekali lagi telah menyusahkan hidup orang yang sanggup bersusah-payah menjaganya. Lalu hati melagukan zikir agar mampu menghilangkan resah yang bertandang. Untung-untung amalan yang sudah menjadi rutinnya mampu melembutkan hati pak longnya.

“Ikut darah yang dah menggelegak dalam dada aku ni, nak saja aku belasah budak berdua ni, imam. Bikin malu betul.” Pak Long Aziz mendengus. Helaan nafasnya laju. Ketenangan yang ditunjukkannya tadi terbang melayang bila dilontar soalan begitu. Tiba-tiba dia baru tersedar sesuatu. Azza telah menconteng arang di mukanya.

Kelancangan mulut Pak Long Aziz membuat riak wajah Ariq berubah. Dadanya berombak kencang. Hatinya sakit. Mengapa sukar sangat pak cik Azza ni nak menerima penerangannya tadi? Kedua orang tuanya tak pernah mengajar dia bercakap bohong. Lagi pula Haidar turut bercerita perkara yang sama. Ini semua budak jantan tak guna tu punya pasal. Mana pergi budak tu? Kalau jumpa memang nahaslah dia kerjakan.

Haidar yang perasan akan tingkah Ariq lantas menepuk lembut bahu si adik meminta supaya Ariq bersabar.

“Aziz, jangan ikutkan sangat marah tu. Kita ni dalam rumah Allah,” nasihat Pak Imam.

Terdongak Azza. Mencari wajah pak longnya bila mendengar Pak Imam berkata begitu. Namun pandangannya tak lama. Dia kembali memandang lantai masjid.

“Imam bolehlah cakap macam tu. Tak kena kat batang hidung Imam,” marah Pak Long Aziz. Berang ditegur begitu.

Dia menoleh ke kanan bila terasa tangannya digoyangkan Munira. Dia faham maksud yang ingin disampaikan anaknya. Lantas dia menghela nafas dalam-dalam. Cuba menghilangkan rasa marah yang menggunung. Hatinya turut beristighfar.

“Macam inilah.” Jeda. Semua mata tertumpu pada Pak Imam.

“Saya cadangkan kita nikahkan aje mereka berdua ni. Itu pun kalau kau tak kisah, Aziz. Kau walinya.” Pak Imam memberi cadangan selepas beberapa minit menunggu, Pak Long Aziz masih lagi tidak menyambung bicara.

“Nikah?” Serentak Azza, Ariq dan Munira bersuara.

Tersentak semua yang ada di situ akibat jeritan mereka bertiga. Paling memeranjatkan apabila Munira turut sama terjerit.

Pantas Pak Long Aziz menoleh pada Munira.

“Kau dah kenapa, Ira?” Berkerut dahinya. Sungguh, dia pelik bila Munira turut membantah cadangan bernas Pak Imam. Bukan ke sepatutnya Munira menyokong sama?

“Errr…” Munira tak tahu nak membalas apa. Tak sangka boleh terkantoi. Sudahnya dia hanya menundukkan wajah walau hatinya memberontak cadangan itu.

Bukan ini yang dia mahukan. Bukan ini perancangan dia. Jika Azza dan Ariq setuju, habis musnahlah segala apa yang dia impikan. Si Manaf tu memang tak guna. Tak boleh diharap langsung. Lain yang disuruh, lain pula yang dibuatnya.

“Tak, tak mungkin.” Ariq menggeleng berkali-kali.

Sungguh, tak pernah dia terfikir akan perkara yang dicadangkan ini. Jauh menyimpang dari tujuan asal perbincangan mereka. Tak terjangkau akalnya menyelesaikan hal ini dengan perkahwinan. Jangan salah faham. Bukan dia menentang salah satu suruhan Nabi Muhammad S.A.W. Siapa yang tak mahu berkahwin? Dia mahu tapi bukan dengan cara begini.

Azza juga menggeleng. Menolak cadangan yang diutarakan Pak Imam. Kenapa pengakhiran kisah hidup dia begini? Ya Allah, semakin berat ujian-Mu ini. Berikanlah aku sedikit kekuatan untuk menerima. Dia memandang Sarimah. Terasa jemarinya diramas. Seolah-olah menyalurkan kekuatan buatnya.

“Tak nak, kak. Tak nak.” Hanya itu yang mampu dia luahkan. Air matanya mula menuruni pipi. Pecah juga benteng yang cuba ditahan. Ah, lembiknya dia.

“Sabarlah, dik. Mungkin ada hikmahnya semua ini.” Sarimah berbisik sambil memeluk bahu Azza. Cuba menenangkan perasaan anak gadis ini. Dia pasti dalam dada itu ada pelbagai perasaan yang menyerang. Kacau bilau. Setakat ini, itu sahaja yang dia mampu tolong. Untuk menyampuk dalam perbincangan ini, dia tidak berani.

Masing-masing memusat pandang kepada Pak Long Aziz.

Tidak ketinggalan Munira juga berbuat demikian. Dia berharap sangat ayahnya menolak cadangan Pak Imam. Cadangan yang pada dia sangat mengarut. Mana boleh Azza dapat hukuman macam tu. Tak adil. Sangat tak adil. 

Pak Long Aziz termenung. Jemarinya naik memicit pelipis. Cuba menimbang tara cadangan Pak Imam. Mungkin inilah yang sebaik-baiknya untuk Azza. Mungkin begini caranya Azza mendapat jodoh. Mudah-mudahan keputusan yang dia buat ini direstui Allah. Wajah dipanggung.

“Aku setuju. Lagi cepat lagi bagus. Tak perlu tangguh-tangguh.”

“No!” bantah Ariq. Oktaf suaranya tinggi. Bergema satu masjid.

Dia bingkas berdiri. Mahu menunjukkan betapa dia tidak setuju dengan semua ini. Karut. Mana boleh orang lain membuat keputusan untuk dirinya tanpa bertanya dengan dia.

“Dah buat onar masih lagi berdegil. Kau ingat senang aku nak buat keputusan macam ni!” sindir Pak Long Aziz. Dia mencebik.

“Ariq, duduk dulu! Benda ni boleh dibincangkan lagi.” Tangan Ariq ditarik.

Haidar tahu Ariq tertekan. Tapi kalau Ariq ikut kepalanya saja, takut wajah si adik lebam nanti. Dia sendiri pun sebenarnya masih lagi terkejut. Segalanya berlaku terlalu pantas. Rasa macam tak sempat nak kerlip mata.

Ariq berdegil. Tetap juga mahu berdiri. Puaslah Haidar menarik tangannya hingga akhirnya dia mengalah. Kembali melabuhkan punggung ke lantai. Itu pun setelah memikirkan mereka berada di dalam masjid. Tapi mulutnya tak berhenti mengomel.

“Bincang apanya kalau dah ada keputusan. All of these are nonsense!” Wajah Haidar dipandang bersama gelengan. Songkoknya ditanggalkan. Dilurut rambutnya berkali-kali.

“Kita dengar dulu apa kata mereka lagi,” pujuk Haidar.

Perbincangan diteruskan. Namun lebih banyak pertikaman lidah yang terjadi di antara Ariq dan Pak Long Aziz. Masing-masing sibuk mempertahankan pendapat mereka. Ariq lebih lagi. Tidak mahu langsung menerima usul awal yang dicadangkan Pak Imam. Dia berkeras akan membayar ganti rugi jika itu mampu menjernihkan prasangka orang kampung terhadapnya.

Azza lebih selesa membisu. Tidak pandai membela diri sedangkan perbincangan hangat ini melibatkan maruah dirinya. Dia pasrah dan reda atas apa-apa keputusan yang akan dicapai nanti.

Akhirnya, kata sepakat dicapai. Ariq akur dengan saranan Pak Imam. Itupun setelah berbuih mulut Haidar menasihati dia. Demi menjaga nama baik papa dan mama kata si abang. Dia mengeluh. Jika ini ketetapan-Nya, dia reda.

“Sah!” Tepat jam 10:00 malam, Azza Humaira Binti Azlan Hisyam selamat bergelar isteri kepada Ariq Ziad Bin Tan Sri Ali.

Menitis lagi air mata Azza. Kalau gadis-gadis lain pastinya sudah bersorak riang. Dia? Gembira, sedih. Entahlah. Sukar untuk dia gambarkan. Mungkinkah awan kelabu kekal memayungi dia hingga sukar sejalur cahaya untuk mencelah? Apatah lagi pelangi petang yang menceriakan.

Kahwin paksa. Peritnya tapi itulah realitinya sekarang ini. Perit bila orang yang dia percayai tega menyerahkannya kepada lelaki yang dia tidak kenali langsung. Apakah nasibnya selepas ini? Akan bahagiakah dia? Ikhlaskah lelaki asing ini menerima dia sebagai isteri? Atau sekadar menutup malu dan kemudian akan menceraikan dia?

“Azza.”

Panggilan Pak Long Aziz melenyapkan lamunan Azza. Langkahnya terhenti. Pantas diseka air mata yang mengalir sebelum berpaling.

“Maafkan, pak long. Pak long buat semua ini untuk kebaikan Azza.” Jeda.

Azza turut membisu. Memandang sayu wajah Pak Long Aziz.

“Pandai-pandailah bawa diri. Lepaskan kisah lalu tu. Pak long berkeras selama ini sebab nak Azza sedar. Pak long tak mahu Azza duduk di bawah kenangan hitam tu.”

Bibir diketap menahan tangisan dari terhambur semula. Azza capai tangan Pak Long Aziz. Bersalam dan mencium tangan tua itu.

“Pak long tak salah. Terima kasih untuk semua ini,” tutur Azza tenang saat tubuh sudah ditegakkan semula. Tidak tahu mana datangnya kekuatan dalam dirinya. Dia berjaya untuk tidak menangis.

Tubuh Azza diraih. Pak Long Aziz memeluk erat. Meluahkan rasa kasihnya yang selama ini disimpan. Bukan dia tak sayang pada Azza. Cuma dia tak suka menzahirkan dengan perbuatan. Kali ini dia buang egonya itu jauh-jauh. Manalah tahu selepas ini dia tak akan dapat berjumpa dengan Azza lagi.

Ariq hanya memerhati. Tingkah Azza dan Pak Long Aziz direnung. Bait-bait kata Pak Long Aziz itu dapat didengarnya dengan jelas walau kedudukan mereka sedikit jauh. Kenangan hitam? Apa maksud Pak Long Aziz?  

“Ariq.” Pak Long Aziz menggamit.

Perlahan-lahan Ariq mendekat. Berdiri betul-betul di hadapan Pak Long Aziz. Memaku pandang pada wajah tua itu yang turut memandang dia.

“Tolong jaga Azza baik-baik, nak. Jangan sakiti hati dia. Dia dah banyak berendam air mata.” Bahu Ariq ditepuk lembut. Pak Long Aziz berharap sangat Ariq dapat melaksanakan tanggungjawab itu.

Ariq tersenyum. Mengangguk sebelum membalas bicara.

“Insya-Allah, pak long. Maafkan saya atas kekasaran saya selama ini.” Tangan tua itu diraih dan diciumnya. Dia kembali mengatur langkah menuju ke keretanya.

Pak Long Aziz memandang Azza yang masih pegun berdiri di sebelah. Tangannya melingkar pada bahu Azza.

“Pergilah, nak. Ikut suamimu.” 

Azza mengangguk. Teragak-agak mengatur langkah. Hatinya sayu. Lantunan suara pak longnya terasa berat. Bagaikan ada pesanan yang ingin dititipkan kepada dia tetapi berat untuk dituturkan. Seteruk mana pun layanan Pak Long Aziz kepada dia, akan dia kenang sampai bila-bila kerana itulah satu-satunya pak cik yang dia ada.

“Kau akan bahagia kalau kau tahu siapa Azza sebenarnya, Ariq.” Pak Long Aziz berbisik sendiri mengiringi langkah Azza.
            Munira yang sedari tadi berdiri di belakang ayahnya mencebik. Lepas ni dia nak hambat Manaf satu kampung. Bodoh tak habis-habis. Habis semua rancangannya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua. Nak join group FB tekan sini https://www.facebook.com/groups/460780710692490/

Wednesday, March 22, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 8


MATAHARI sudah mula berlabuh. Remang senja sudah kelihatan. Hari semakin lama semakin gelap. Suasana di kedai Pak Long Aziz juga sudah semakin sunyi. Tiada lagi pengunjung. Seorang demi seorang pekerja pula mula pulang ke rumah masing-masing.
Peluh yang merecik di dahi dilap Azza dengan belakang tangan. Jemarinya turut menyentuh kesan luka di situ. Masih terasa pedihnya. Pergelangan tangan yang masih membiru turut direnung. Segaris senyuman dipamerkan.
Teringat seketika insan penyebab semua ini. Luaran nampak sinis dan berlagak tetapi tidak sangka punya hati yang baik. Berani mempertahankan dirinya walau dia bukan siapa-siapa pada insan itu.
Ahhh…jangan terlalu leka, Azza. Itu hanya satu kebetulan. Tidak akan ada sesiapa pun yang mahu mempertahankan kau.
Menggeleng dia menghapuskan lamunan itu. Bingkas dia berdiri sebaik bilasan pinggan yang terakhir dihabiskan. Badan yang sedikit lenguh diregangkan. Terlalu lama bertinggung baru terasa kesannya kini.
Rasa pilu mula bertandang saat mata memerhati keliling. Kenapa pengakhiran hidupnya menjadi begini? Bukan dia mahu menyalahkan takdir. Dia reda dengan susunan jalan cerita yang direncanakan Tuhan. Cuma dia kesal dengan sikap manusia yang mudah terhasut bisikan syaitan. Layanan yang dia terima umpama seorang cinderella. Cinderella moden. Menjadi hamba walau bukan dalam erti kata sebenar. Hanya beberapa orang sahaja di dalam kampung ini yang melayan dia dengan baik.
“Azza!” panggil seseorang.
Lamunannya terbang. Dia menoleh. Membalas senyuman seorang lelaki dalam lingkungan 40-an yang berdiri di depan dapur. Lelaki yang sedang menanggalkan apron lusuh yang setia melekap pada badannya. Lelaki ini juga antara insan yang rapat dengan dirinya.
“Kau dah habis ke belum? Abang nak balik dah ni. Dekat nak maghrib. Takut bising pula Kak Mah kau kat rumah nun.”
“Tinggal nak susun aje. Tak apalah kalau Abang Daud nak balik dulu. Nanti Azza tutup kedai.”
Mana mungkin Azza mahu memaksa Abang Daud untuk menantinya menyiapkan kerja-kerja. Acapkali juga lelaki itu dengan rela hati menemani dia sehingga tugasannya selesai walau dia menolak beribu kali.
Ada hantu, ada orang jahat, tak semua orang berhati baik dan macam-macam lagi. Pelbagai omokan disua kepadanya. Abang Daud menjaga dia umpama adik sendiri. Isteri lelaki itu juga memahami. Ya, dia turut menganggap Abang Daud sekeluarga seperti keluarganya. Sementelah darah daging sendiri tidak mengiktiraf dia sebagai saudara mereka.
“Lepas siap tu, terus balik. Jangan tunggu-tunggu lagi. Maaflah, abang tak dapat nak temankan kau hari ni. Abang balik dulu. Assalammualaikum.” Daud berpesan bersama riak risau yang jelas terpamer pada wajahnya sebelum pergi dari situ.
“Waalaikumussalam.” Azza membalas perlahan. Susuk Abang Daud dipandang hingga lenyap dari pandangan.
Dia mula bergerak merapati tingkap dapur bila deruan enijn motorsikal Abang Daud sayup-sayup hilang. Satu persatu tingkap ditutupnya. Tiba pada tingkap terakhir, matanya menangkap bayang-bayang seperti orang melintasi belakang kedai.
Serta-merta dadanya berderau. Daun tingkap dibuka kembali. Diperhati sekeliling. Tiada yang mencurigakan. Hanya warna senja menyinari bumi. Mungkin apa yang dilihat tadi hanya mainan perasaan. Lantas daun tingkap dirapatkan semula.
Kakinya melangkah melintasi cahaya merah yang menembusi ruang-ruang sempit di sekeliling tingkap yang bertutup. Petanda maghrib hampir menjelma. Dia tahu dia perlu segera pulang ke rumah. Lagi pula teringat janjinya dengan Kak Sarimah tadi. Mahu ke masjid bersama-sama. Ada kuliah agama. Rutin acara setiap malam Jumaat di masjid kampung ini.
Gugusan kunci yang tergantung di dinding diambil. Sekali lagi Azza memerhati sekeliling ruang dapur. Takut ada tingkap yang dia terlupa kunci. Takut ada suis yang terlupa dimatikan. Takut api dapur masih menyala. Setelah berpuashati dia bergerak ke pintu hadapan.
Daun pintu ditarik rapat. Anak kunci diloloskan ke dalam lubang. Baru sahaja jemarinya mahu memutar anak kunci, terasa badannya ditolak kasar. Hinggakan pintu yang bertutup rapat terbuka kembali. Menyebabkan tubuh kurusnya terdorong masuk ke dalam kedai. Malah tersembam ke atas lantai.
Segera Azza berpaling. Terperanjat dia melihat gerangan yang berkasar dengannya. Terdetik dalam hati. Dia tidak berilusi. Bayang-bayang yang dia nampak tadi adalah orang.
“Manaf! Kau nak buat apa hah?” Dia bertempik kuat sambil sedaya upaya cuba untuk bangkit. Namun akibat terjahan kasar tadi, ada rasa sakit pada punggungnya. Kudratnya menjadi lemah. Pergelangan tangan yang masih sakit juga menjadi penghalang.
Gerangan yang diherdik hanya ketawa. Seronok melihat Azza hilang daya. Umpama bulan jatuh ke riba. Tidak sia-sia dengan apa yang dia lakukan tadi. Sedikit sebanyak membantu menjayakan niat jahat yang tertanam dalam hatinya.
“Aku nak buat apa? Kau rasa aku nak buat apa?” Kening Manaf menari-nari diiringi tawa jahat di bibirnya. Setapak demi setapak langkahnya merapati Azza.
Azza mengengsot ke belakang. Punggungnya yang sakit sudah tidak dihiraukan. Dalam kepala hanya terfikir untuk menyelamatkan diri. Seperti dejavu. Detik cemas yang pernah dia alami di London seperti dilakonkan semula.
Manaf semakin mendekat. Bertinggung di hadapan Azza bila pergerakan Azza terhenti dek tiada lagi ruang di belakang gadis itu. Matanya tidak lepas dari memerhati setiap inci tubuh Azza. Makan besar dia hari ini. Sudahlah malam ini malam Jumaat.
“Kalau kita bermesra-mesraan, boleh tak? Atau kau nak…”
Kaki Azza yang masih berselipar dicapai. Dicampak selipar itu satu persatu ke tepi. Dilurut ke atas seluar panjang Azza. Membelai betis Azza yang putih mulus itu.
Azza melawan. Ditarik keras kakinya yang digenggam Manaf. Tidak suka dengan sentuhan lelaki itu. Tidak suka diperlakukan begitu. Namun semua itu tidak terlawan olehnya dengan kudrat Manaf yang semakin kejap menggenggam.
“Kau jangan nak macam-macam, Manaf! Aku jerit nanti! Biar satu kampung dengar!” Azza mengugut. Walau sangat pasti yang dia tidak mungkin mampu melawan kekuatan tenaga Manaf. Tengok sahajalah fizikal Manaf. Besar dan tinggi. Sudah pasti dia akan kecundang.
“Baguslah kalau satu kampung dengar. Senang sikit kerja aku.” Manaf ketawa. Tidak hairan dengan ugutan Azza. Malah semakin galak dia membelai betis Azza. Ditarik kaki Azza agar tubuh gadis itu dekat dengan tubuhnya.
 “Arghhh!!!” Terjerit Azza. Tidak bersedia dengan hentakan kasar itu.
Sekelip mata tubuhnya sudah berada di dalam dakapan Manaf. Ditolak-tolak badan Manaf agar menjauhinya. Namun semua itu hanya sia-sia. Terasa tubuhnya semakin didakap kemas lelaki durjana ini.
“To…to…tolonglah, Manaf. Ja…jangan ap…apa-apakan aku. K…kau nak duit, kan? A…a…aku boleh bagi ta…tapi to…tolong lepaskan aku, Manaf?” Azza merayu. Memandang wajah Manaf bersama linangan air mata. Berharap sangat kata-katanya itu mampu mengubah niat jahat Manaf.
Ya Allah, ya Tuhanku. Tolonglah hambamu ini. Maafkan aku jika aku pernah menyalahkan takdir Kau untukku. Untuk kali ini, selamatkanlah aku dari manusia bertopengkan syaitan ini. Aku merayu kepadamu, ya Allah. Bait-bait doa dibisikkan Azza dalam hati.
Rayuan Azza langsung Manaf tidak endahkan. Nafsu sudah menguasai dirinya. Syaitan sudah beraja dalam hati. Bersorak riang dengan tindakan anak Adam ini. Semakin galak tangannya menjalar. Lengan baju Azza direntap hingga terkoyak dan menampakkan bahu yang putih gebu itu. Hampir juga mendedahkan sebahagian dada Azza.
Azza menjerit lagi. Dia menggeleng laju. Mengharapkan simpati dari Manaf.
Jeritan Azza membuatkan Manaf semakin ganas. Semakin dia tidak sabar untuk menikmati tubuh mulus gadis itu. Tawanya turut semakin kuat mengiringi perlakuan durjananya.
“Hoi!”
Azza dan Manaf menoleh ke pintu. Kelihatan seorang lelaki berbaju melayu dan berkain pelekat sedang berdiri di situ. Berwajah serius memandang kepada mereka berdua.
Ariq? Berkerut dahi Azza. Namun helaan nafas lega dihamburkan. Terima kasih, ya Allah.
“Sial!” Sergahan kasar itu nyata merentap kegembiraan Manaf. Dia yang terperanjat dan panik terus menerpa ke pintu. Ditolak tubuh sasa yang cuba menghalang perjalanannya. Tanpa menoleh, kakinya dipacu. Berlari selaju yang boleh ke arah jalan raya.
“Haidar, tangkap budak tu!” Ariq yang turut sama berlari keluar melaung.
Haidar yang baru keluar dari kereta terus mengejar seperti yang disuruh. Kebetulan orang yang Ariq suruh kejar itu baru sahaja melepasi dia.
Ariq tidak menurut jejak Haidar sebaliknya dia meluru ke kereta. Diambil jaketnya di dalam kereta sebelum kembali mendapatkan Azza. Terpempan dia seketika. Tersayat hatinya melihat pemandangan yang menyakitkan mata. Sungguh, walau dia baru sahaja mengenali Azza, terasa seperti malang sentiasa merundung gadis ini.
Azza memeluk erat lututnya. Air mata dihambur semahu-mahunya. Tubuhnya menggigil kuat. Bibir yang terketar-ketar diketap kejap. Kepala menggeleng laju. Tidak dihiraukan siapa dan apa yang ada di sekeliling.
Pantas Ariq meletakkan jaketnya menutupi badan Azza yang terdedah. Tubuh Azza dipeluk erat. Bukan dia berniat pesong. Bukan juga dia tidak tahu hukum. Semua yang dilakukan atas tiket kecemasan. Sekadar mahu meredakan trauma Azza. Cuba untuk menenangkan si gadis.
“Ssshhh…istighfar, Azza. Ingat Allah. Kau dah selamat. Jangan risau. Kau ada aku. Kau ada Haidar. Dia tak akan datang ganggu kau lagi.” Lembut lontaran suara Ariq. Berharap agar Azza mampu bertenang. Berharap gadis itu berupaya membuang jauh peristiwa hitam yang baru sahaja menyapa.
Alhamdulillah, Tuhan telah gerakkan hati dia untuk singgah di kedai ini sebelum ke masjid untuk menunaikan solat maghrib. Kalau tidak entah apalah nasib Azza. Mungkin sahaja akan menjadi mangsa kerakusan manusia berhati syaitan. Manusia yang tak beriman. Manusia yang berajakan nafsu. Sungguh, manusia zaman sekarang sudah lupa pada pencipta-Nya. Ariq menggeleng sendiri.
Dia memandang Azza yang masih menunduk. Lega hatinya bila tangisan gadis ini sudah mula reda. Hanya tubuh si gadis yang masih lagi menggigil. Mungkin juga gadis ini masih sukar menerima nasib diri yang terjadi, fikirnya.
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Ariq menyahut lantas wajah dipanggung.
Serta-merta pelukannya pada tubuh Azza terlerai. Dia bingkas berdiri. Memerhati seorang demi seorang kumpulan orang kampung yang mula memenuhi ruang kedai.
Azza mendongak bila telinganya menangkap derapan kasut yang memenuhi ruang kedai. Bagai hendak pitam dia melihat pabila melihat beberapa orang lelaki bersongkok berdiri menghadap dia dan Ariq.
Ya Allah, bala apakah pula ini? Matanya turut menangkap kelibat pak longnya yang menyorot tajam kepada dia. Munira juga turut berada dalam kelompok lelaki-lelaki bersongkok itu.  
“Buat apa berdua-duaan dekat sini?” tanya salah seorang lelaki berkopiah.
Azza kenal orang yang bertanya itu. Imam kampung ini. Namun akibat masih terkejut dengan kejadian tadi, dia tidak berupaya hendak menjawab. Dia berharap Ariq menjawab bagi pihaknya. Berkata benar akan apa yang sebenarnya terjadi tadi.
“Kami tak buat apa-apa.” Tenang sahaja Ariq menjawab sambil matanya melirik Azza yang turut memandang dia. Tiada langsung riak takut. Sementelah dia tahu dia tak berbuat salah. Ya, dia dan Azza tidak melakukan apa-apa di luar batasan.
“Mustahil tak buat apa-apa?” Lelaki berkopiah itu memandang Ariq dan Azza bersilih ganti. Pandangan penuh curiga.
Azza menggeleng sambil mengelap sisa air mata yang hampir kering bila lelaki berkopiah itu memandangnya. Bersetuju dengan kata-kata Ariq
“Kalau tak buat apa-apa, kenapa Azza menangis?” soal lelaki berkopiah itu lagi tidak berpuashati.
Ariq mengeluh. Baru sahaja mahu membalas kata, tiba-tiba leher baju melayunya dicekak.
“Kau dah buat apa dengan anak saudara aku, hah?” sergah Pak Long Aziz. Tajam matanya menikam mata Ariq. Terasa seperti hendak dibunuh sahaja anak muda di depan dia ini. Lepas satu, satu lagi onar dibuatnya.
“P…” Kelu lidah Azza mahu membela diri. Hanya gelengan sahaja jawapan yang mampu diberi. Sungguh, dia masih terperanjat dengan kejadian tadi dan sekarang ini situasi lain pula yang terpaksa dia hadapi.
“Sabar, Aziz. Sabar.” Lelaki berkopiah itu cuba menenangkan Pak Long Aziz.
Beberapa orang kampung turut menarik Pak Long Aziz dari terus menyerang Ariq.
Ariq hanya berdiam diri. Dia tahu sekiranya dia menjawab, kata-katanya itu tidak mungkin akan dipercayai. Biar pun bergelen air liur habis, orang-orang kampung ini tidak akan menerima bulat-bulat ceritanya. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah berdoa. Mengharapkan Tuhan menganugerahkan satu keajaiban kepada dia.
“Macam inilah. Kita bawa mereka ke masjid. Lepas solat maghrib nanti kita sambung berbincang.” Lelaki berkopiah itu cuba memberikan cadangan. Cuba untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan. Jika tidak ditegah, pastinya bakal terletus perkara yang tidak diingini.
Haidar yang kembali semula ke kedai itu dengan nafas tercungap-cungap terpinga-pinga melihat ruang kedai yang dipenuhi dengan beberapa orang kampung. Wajah Ariq dipandang dengan tanda tanya.
Ariq hanya menjongketkan bahu.
“Ira, bawak Azza naik kereta,” arah Pak Long Aziz kepada Munira.
Cekak pada leher baju melayu Ariq dilonggarkan. Perlahan-lahan tangan tua itu jatuh ke sisi. Memandang seketika wajah Azza sebelum berlalu dari situ.
Air mata Azza kembali berlinangan. Dia tak bersalah. Ariq juga tak bersalah. Namun pandangan pak longnya tadi seolah-olah sudah menjatuhkan hukuman kepada dia. Allah, kuatkan hati dia. Kentalkan lagi sebagaimana dia boleh menerima kematian kedua orang tuanya.
Munira yang disuruh sudah menghentak-hentakkan kakinya. Bengang. Geram. Semuanya bercampur-baur. Lain yang dia harapkan lain pula yang terjadi. Dia mendekati Azza. Ditarik kasar tubuh Azza agar berdiri.
“Macam mana mamat ni boleh ada dekat sini?” bisik Munira bersama cengkaman kuat pada lengan Azza.
Azza pandang Munira. Mata mereka berlaga pandang. Apa maksud Munira? Adakah…terdetak sesuatu dalam hatinya. Nalurinya mengatakan apa yang terjadi tadi ada kaitan dengan si sepupu.
“Mana maruah keluarga aku yang kau jaga sangat tu?” perli Munira lagi bila soalannya tidak bersahut.
Azza kekal bungkam. Saat ini, memang dia tidak larat hendak melayan kerenah Munira. Biarlah Munira mahu kata apa sahaja. Nasib diri dia sendiri pun masih berbalam-balam. Entah apa agaknya kesudahan perbincangan ini di masjid nanti.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.