Thursday, April 17, 2014

PENGUMUMAN PENTING

Mendung Biarkan Ia Berlalu tak akan di uploadkan lagi di blog.

Cinta Si Gadis Dobi juga tak akan di uploadkan lagi di blog.

Kau? Dia sedang dalam proses rombakan besar-besaran.

Cinta Cita Ku terpaksa di hentikan sementara waktu. Kekeringan idea.

Tapi teaser-teaser MBIB dan CSGD ada di grup https://www.facebook.com/groups/460780710692490/ Kalau sudi joinlah grup kecil saya....



Friday, April 11, 2014

CINTA SI GADIS DOBI - BAB 9



PEMBENTANGAN laporan kewangan yang sedang berjalan terhenti sebentar bila PA Dato' Salleh membisikkan sesuatu pada Dato’ Salleh.

Dini hanya berdiri di depan layar putih. Menanti dengan sabar sebelum menyambung kembali apa yang ingin dilaporkannya.

Dato' Salleh menggelengkan kepalanya dan tertawa kecil.

"Ardini!" panggil Dato' Salleh.

"Ya, Dato'," sahut Dini.

"Ada orang nak jumpa dekat luar. Pergilah. Minta orang lain ganti," beritahu Dato' Salleh.

"Tapi..." Dini cuba membantah.

"Tak apa. I get back to you later."

"Okey."

Dini menggamit Zaidi, penolongnya untuk meneruskan pembentangan. Dia terus keluar. Matanya liar memerhati sekeliling mencari orang yang dimaksudkan. Tiada. Dia berpaling untuk masuk semula ke bilik mesyuarat.

"Hai, bee!" Ajad menghalang laluannya.

"Mama!" Dini terjerit kecil. Dia mendengus. Satu jelingan tajam diberikan.

"Ini honey punya claim." Ajad menghulurkan kertas di tangan kepada Dini.

"Apasal tak bagi pada Amy aje? Kau tahu tak aku ada presentation?" Dini masih tak mengambil kertas yang dihulurkan.

"Bagi sendiri lagi personal," Ajad tersengih.

"Mengada lebihlah kau ni." Dini merampas kertas di tangan Ajad. Dia baru nak memulas tombol pintu tetapi Ajad menghalangnya sekali lagi.

"Honey nak outstation," beritahu Ajad tanpa dipinta.

"Ada aku kisah?" sinis Dini membalas. Kedua-dua keningnya diangkat.

"Sebulan," kata Ajad lagi tanpa mempedulikan balasan kata Dini.

"Setahun atau selama-lamanya pun tak kisahlah," jawab Dini lagi. Keras.

"Bee...untuk sekali aje, teman honey makan then kita jalan-jalan. Honey janji lepas ni honey tak kacau bee lagi, boleh?" rayu Ajad dengan riak muka sedih.

Tiba-tiba pintu bilik mesyuarat dibuka dari dalam. Kedua-duanya menoleh ke belakang.

“Eh! Kenapa masih dekat sini?” soal Dato’ Salleh yang keluar dari bilik mesyuarat. Dia ingin ke tandas sebentar.

“Errr… nak pergilah ni, abah. Bee?” Ajad mengangkat kedua-dua keningnya.

“Dato’, saya…” Dini serba salah. Dia mengharapkan Dato’ Salleh menghalangnya.

“Tak apa. Esok-esok kita boleh discuss lagi.” Dato’ Salleh menganggukkan kepala.

Dini mengeluh. Dia memang tak boleh lari ke mana-mana.



DINI meneliti kembali laporan kewangan yang dibentangkan penolongnya semalam. Nasib Zaidi tulis komen-komen yang diutarakan Dato’ Salleh. Mudah untuk dia membuat pembetulan. Ini semuanya gara-gara melayan si abjad sengal. Tak pasal-pasal orang lain yang kena buat kerjanya.

Dini mengangkat wajah bila pintu biliknya dibuka seseorang.

"Ardini!" Amar menguak pintu bilik Dini.

"Ada apa, Encik Amar? Cemas semacam aje," Dini mengerutkan dahinya.

"Ikut saya sekejap. Ada client baru touch down. Driver semua keluar. Dato' suruh kita sendiri yang pergi ambil," beritahu Amar gusar.

"Orang lain tak ada ke, Encik Amar?" Dini dah mengeluh. Laporan yang dibentangkan semalam perlu disiapkan untuk dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah hujung bulan ini.

"Dato' suruh kita berdua. Jomlah," desak Amar lagi.

Melihat muka Amar yang cemas dan bersungguh-sungguh mengajaknya membuatkan Dini tidak sampai hati.

Lima minit kemudian Dini sudah berada dalam kereta menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail. Mukanya masam mencuka.

"Bee...Janganlah marah," pujuk Ajad.

Dini merengus. Kalau diberi peluang memang dihantuknya kepala dua beradik ini. Suka sangat buat hati dia sakit.

"Kalau honey sendiri yang ajak mesti bee tak nak hantarkan, kan?" Ajad menoleh Dini sekilas.

"Kau faham tak aku ada banyak kerja dekat pejabat tu," tempelak Dini.

"Bee jangan risau. Lepas ni sebulan honey tak kacau bee. Bagilah peluang honey tengok muka bee puas-puas," rayu Ajad.

"Aku nak LV," balas Dini.

"LV aje?" usik Ajad. Sesekali dia mengerling Dini di sebelahnya.

"Aku nak Burberry, Dior, Dolce & Gabbana, Fendi, Versace, Hermes dan semua brand yang mahal-mahal."

"Laaa... baik bee cakap nak beli Harrods lagi senang." Ajad masih mahu mengusik.

"Aku buka pintu ni karang," ugut Dini.

"Okey, okey. Garang sangatlah bee ni. Takut honey." Ajad tersenyum senget. Senang hati. Sekurang-kurangnya Dini tidaklah menolaknya bulat-bulat.

Amar ditempat duduk belakang dah ketawa berdekah-dekah. Dia yakin selepas ini pastinya Dini sudah tidak mempercayai kata-katanya lagi. Biarlah asalkan pasangan sengal dan selamba ini bahagia.

Dini menjeling tajam. Panas hati dipermainkan oleh dua beradik ini.

Ajad masuk ke tempat meletak kenderaan.

“Eh! Kenapa nak kena parking pula?” soal Dini tak puashati.

Ajad membiarkan sahaja soalan Dini. Dia terus masuk ke petak kosong. Enjin dimatikan. Dia terus keluar. Bonet belakang dibuka dan sebuah beg besar dikeluarkan.

Amar sudah keluar.

Cuma Dini yang masih mengeraskan diri di dalam kereta.

Pintu di sebelah Dini dibuka dari luar.

Bee…Jomlah,” pujuk Ajad.

Dini membisu.

Ajad mencangkung.

“Yalah, yalah.” Dini menolak kasar sampai Ajad terduduk. Tiba-tiba dia rasa segan pula bila Ajad memujuk rayu sampai begitu sekali.

Amar ketawa. Sempat menaikkan ibu jari kanan mengejek Ajad.

Ajad hanya tersenyum senget. Kepalanya digelengkan.

Mereka berjalan beriringan masuk ke dalam bangunan lapangan terbang itu.

"Kau jangan bawak balik minah saleh pulak," usik Amar.

"Kau gila? Mana aku nak letak bee aku ni," balas Ajad sambil menarikan keningnya.

"Biarlah dia, Encik Amar. Boleh meramaikan umat Islam," perli Dini.

"Bee... honey pergi sebulan aje. Tak sempatlah nak ayat minah-minah saleh tu," balas Ajad.

"Eee...aku tak kisahlah dengan siapa pun kau nak kawan ke nak kahwin ke," balas Dini pula.

"Ya ke bee tak kisah? Jangan menyesal nanti," usik Ajad. Dia bermain mata dengan Amar. Memberi isyarat.

Dini menjeling.

"Eh! Aku nak pergi toilet sekejap," beritahu Amar seolah-olah faham dengan bahasa mata adiknya.

"Saya ikut," sahut Dini.

"No! Awak temankan Ajad sekejap. Lagi pun kau dah nak masuk ke dalam kan?" Amar angkat kening.

Ajad mengangguk.

Amar terus berlalu.

Dini mengeluh.

"Jangan rindukan aku," beritahu Ajad.

"Tak kuasa akulah," balas Dini.

"Mesti kau rindukan aku. Dah tak ada orang nak kacau kau lagi. Aman hidup kau tapi sebulan aje. Jangan risau aku akan balik dengan selamat untuk kau," usik Ajad.

"Suka hati," jawab Dini pendek. Mata dijuling ke atas.

Ajad melihat jam di tangannya. Dia bergerak ke pintu balai berlepas.

Nak tak nak Dini terpaksa mengikut. Takkanlah dia nak tercongok macam orang bodoh dekat tengah-tengah laman kan. Sesekali matanya mencari Amar yang tak muncul-muncul.

"Aku nak masuk dalam dah."

"Pergilah."

"Mesti aku bosan dekat sana. Tak dapat nak tengok muka kau hari-hari," nada suara Ajad dah bertukar sayu.

"Kau ni sebenarnya nak pergi berkerja ke nak makan angin?" Dini merengus. Dia membuang pandang ke arah lain.

"Dini..." panggil Ajad lembut.

Dini menoleh.

Ajad terus menekan punat telefon bimbitnya. Selamat muka Dini dirakamkan dalam telefon bimbitnya. Dia tersengih.

Dini rasa macam nak cekik-cekik aje si abjad sengal ni.

"Terima kasih." Ajad terus menaiki eskalator.

Dini terkedu. Dia hanya memerhatikan Ajad pergi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Aplikasi WhatsApp. Ikon hijau ditekan.

+ Kalau rindukan aku. Tengok muka aku puas-puas. Selfie ni. Gonna miss you.

Terbit juga senyuman di bibir Dini.

Ajad, Ajad. Ada sahaja akalnya. Boleh pula ambil gambar masa naik eskalator tadi.

“Dah?” tegur Amar.

Dini mengurut dada. Terperanjat. Dia angguk.


Mereka berjalan keluar. Tiba-tiba Dini rasakan sesuatu. Dia memegang dadanya. Terasa seperti ada rasa yang hilang. Rasa yang terbang tinggi meninggalkannya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.
Request group untuk baca teaser bagi bab-bab seterusnya.... https://www.facebook.com/groups/460780710692490/

CINTA SI GADIS DOBI - BAB 8



DAH dekat sejam Dini termenung panjang di biliknya. Dia sampai di pejabat seawal tujuh pagi tadi. Tak dapat nak lelapkan mata. Teringat peristiwa malam kelmarin.

“Tan Sri, anak saya ni memang dah berkenan sangat dengan Ardini.” Dato’ Salleh memulakan bicara.

“Alhamdulillah, abang bersyukur. Ada juga yang berkenan dengan anak dara abang yang bukan kepala angin aje. Keras kepala pun ya juga ni,” balas Tan Sri Ashraff yang lebih selesa membahasakan dirinya abang.

Sara menyiku Dini. Teruja bila ada orang yang berani dan jujur masuk meminang adiknya ini.

Dini mendengus. Si abjad di sebelahnya dijeling geram. Memang panjang akal mamat mangkuk ni. Boleh pula dia suruh abah dia merisik sekali. Sengal.

Ajad cuma tersenyum senget. Tahu gadis dobi di sebelahnya mesti tengah menahan marah. Dapat di baca dari pandangan berapi yang diberikan padanya.

“Macam inilah. Kami bukan nak ikat terus anak dara abang ni. Bak kata orang berniaga, booking dulu. Biar mereka kenal-kenal. Manalah tahu suatu hari nanti hati masing-masing dah suka sama suka. Masa tu barulah kita ikat mereka ni,” cadang Dato’ Salleh.

Interkom yang berbunyi mengejutkan Dini dari lamunan.

"Cik Dini, Encik Ajad dah sampai dekat meja Amy," beritahu Grace.

Kelam kabut Dini berlari ke pintunya dan menekan kunci pada tombol pintu. Dia mengintai di sebalik tirai kemudian lekas-lekas kembali ke tempat duduknya. Terdengar seperti tombol pintu biliknya cuba dibuka dari luar. Berkali-kali sebelum senyap seketika.

"Dah tak ada kerjalah tu. Asyik nak menempel aje dekat sini. Padan muka kau," Dini ketawa terkekeh-kekeh.

Interkom di atas meja Dini berbunyi lagi.

"Cik Dini..." Suara Grace memanggil Dini sebelum dicelah seseorang.

"Dini! Apasal kau kunci pintu? Baik kau buka sekarang," arah Ajad geram.

"Aku ada banyak kerjalah. Bukan macam kau anak bos. Boleh goyang kaki," balas Dini mengejek.

"Baik kau buka sekarang. Kalau tak aku pecahkan pintu ni," ugut Ajad.

"Beranilah kau," cabar Dini.

"Try me." Interkom terus dimatikan.

Lama Dini menunggu. Cuak juga manalah tahu si abjad tu betul-betul nak pecahkan pintu. Bukannya boleh pakai sangat. Mentang-mentanglah lelaki dikurniakan Allah dengan tujuh akal. Memang akal si abjad ni sentiasa panjang.

Dini bangun dan berjalan menghampiri pintu biliknya. Dia mengintai lagi di sebalik tirai. Dia hanya nampak Grace yang sedang menaip. Staf-stafnya yang lain sedang sibuk membuat kerja masing-masing. Dia menarik nafas lega bila kelibat si abjad langsung tidak kelihatan.

"Lega nampak?" tegur seseorang di belakang Dini.

"Mama!" Dini menjerit sekuat hati sampai terhantuk kepalanya pada dinding kaca biliknya.

"Cik Dini!" Suara Grace kuat memanggil Dini. Tombol pintu cuba dipusing.

Terketar-ketar tangan Dini mencapai tombol pintu dan membuka pintu biliknya.

"Eh, Encik Ajad! Masuk dari mana?" tanya Grace kehairanan.

"Bilik Puan Haslina. Connection door." Ajad tersenyum senget.

Kali ini Dini sengaja menghantukkan kepalanya berkali-kali pada dinding kaca. Kenapalah dia tak terfikir biliknya dan bilik Haslina ada connection door.

"Sorry, Cik Dini. Can't help you there." Grace tersenyum-senyum dan menutup kembali pintu bilik bosnya.

Dini menarik nafas dalam-dalam. Dia perlu bertenang untuk berdepan dengan lelaki licik dan sengal macam si abjad ini. Dia berpusing. Terkejut dia bila mendapati si abjad masih berdiri di belakangnya.

“Eee… tepilah.” Dini menolak Ajad sekuat hati namun seinci pun tubuh lelaki itu tidak bergerak. Dia pula yang terasa seperti terkena renjatan elektrik saat tangannya menyentuh dada bidang lelaki itu. Serta-merta dia menarik kembali tangannya.

“Aku selalu pergi gym.” Ajad tersenyum senget.

Dini membuat memek muka meluat. Terus ditolak kasar badan Ajad.

Ajad yang tidak bersedia terdorong juga ke tepi. Namun dia tak kisah. Faham mesti Dini malu sebab dah terpegang dadanya yang berketul.

Dini duduk di kerusinya. Sengaja dia sepahkan mejanya dengan fail-fail yang sudah habis disemak tadi.

Ajad tutup balik fail-fail tersebut. Dia meletakkan dua bekas polisterin di atas meja. Satu diletakkan di depan Dini dan satu di depannya.

“Apa ni?” bulat mata Dini melihat tindakan Ajad yang tak tahu malu.

“Nasi lemak pun kau tak kenal?” Ajad angkat sebelah keningnya.

“Hei, dah dua puluh lapan tahun duduk Malaysia. Ingat aku tak tahu ke itu nasi lemak.” Dini menjeling.

“Ingat tak kenal nasi lemak. Rasanya aku yang tinggal lama dekat luar negeri bukan kau.” Ajad senyum perli.

Dini dah juling mata ke atas. Bengang. “Kau tu dah buang tabiat ke? Pantri penuh?”

“Kau suka roti jala kan? Kita tukar.” Ajad meletakkan polisterin yang berisi roti jala di depan Dini. Dia bukakan ikatan plastik yang berisi kuah kari ayam. Soalan Dini dibiarkan tak berjawab.

“Grace, mana bendanya?” Ajad menekan interkom di atas meja Dini.

“Dah boleh bawak masuk ke, Encik Ajad?” tanya Grace.

“Dah.” Interkom dimatikan.

Bulat mata Dini melihat Grace yang masuk ke biliknya dengan membawa dua muk berisi air kopi o panas. Dia tak sangka pembantunya itu boleh bersekongkol dengan musuhnya ini.

“Selamat menjamu selera, Cik Dini. Encik Ajad.” Grace terus keluar. Takut melihat mata Dini yang terjegil memandangnya.

“Mulai hari ini, kau mesti bersarapan dengan aku,” beritahu Ajad. Tangannya ditadah untuk membaca doa makan. Dia memandang Dini. Menunggu Dini untuk berbuat perkara yang sama.

Nak tak nak Dini tadah juga tangannya. Roti jala memang makanan kegemarannya. Tak sanggup nak tolak. Perutnya pun dah menyanyi lagu keroncong untuk ana. Tapi dalam hatinya terdetik macam mana agaknya si abjad boleh tahu.

Ajad tersenyum senget. Terima kasih kak long. Misi pertama berjaya.



TENGAH HARI itu, Grace memaklumkan pada Dini yang dia ada lunch appointment di Hotel Thistle.

Dini mengeluh. Makan lagi. Dia jarang makan tengah hari kalau dah bersarapan berat. Erkkk… roti jala dikategorikan berat padanya okey.

"Mak aiii, banyaknya Encik Amar! Siapa yang nak makan ni semua?" Terbeliak mata Dini memerhati lepas satu hidangan diletakkan di atas meja satu hidangan lagi sampai. Hampir penuh meja bulat lapan kerusi itu.

"Dato' will join us," beritahu Amar tersenyum.

"Tiga orang makan pun tak habis ni, Encik Amar." Dini menelan liur. Jangan paksa dia makan semua tu. Memang taklah dia nak habiskan.

"Siapa kata tiga orang? Tu..." Amar menjuihkan bibirnya ke arah pintu masuk restoran.

Dini menoleh. Dia mengeluh. "Hilang selera saya.”

"Tak baik, Ardini. Dato' yang ajak kita semua lunch sama-sama. Nana pun datang juga nanti," ujar Amar.

"Hai, bee," tegur Ajad sambil tersengih. Kerusi di sebelah Dini ditarik.

Dini menjeling.

"Ouchhh, bee...parah hati honey macam ni, kalau you asyik jeling-jeling," usik Ajad sambil memegang dadanya.

Tanpa di duga Dini mencubit kuat lengan Ajad. Nasib Ajad memakai kot. Kalau tak percuma kedua-duanya dapat dosa kering.

"Aduh! Bee... sakitlah," Ajad menyeringai sambil menggosok-gosok lengannya.

"Kau jangan nak beekan aku boleh tak? Kalau aku ni lebah betul, aku sengat kau banyak kali," marah Dini.

"Kalau lebah macam you, honey rela kena sengat. Beribu kali pun tak apa," Ajad tersenyum senget.

Amar dah ketawa besar sambil menekan perutnya. Pasangan sengal dan selamba ini memang mencuit hatinya.

Tidak lama kemudian Dato’ Salleh dan Nana sampai menyertai mereka bertiga. Masing-masing menunduk menikmati hidangan di depan mata setelah doa makan di baca.

“Nana, kenapa kau tak beritahu aku Encik Amar kau ni ada adik yang sengal dan tak tahu malu?” Dini berbisik di telinga Nana. Nama macam berbisik tapi semua orang boleh dengar suarannya.

Dato’ Salleh tertawa kecil.

Amar pun turut sama tertawa.

Hanya Ajad sahaja yang cemberut.

Nana serba salah. Dia pandang muka tunangnya minta pertolongan.

Bee, you belum kenal I betul-betul. Nanti dah kenal mesti you tak sanggup nak berjauhan dengan I.” Ajad menjawab sendiri bagi pihak Nana.

“Aku tak tanya kaulah,” jeling Dini.

“Dah, dah. Makan. Depan rezeki tak baik bergaduh. Lagipun lepas ni kan awak ada presentation, Ardini. Kalau tak makan nanti karang pengsan pula,” tegur Dato’ Salleh.

Dini hanya menundukkan mukanya. Lupa dia makan dengan bosnya merangkap bapa Ajad.

Ajad hanya tersengih bila Dini mengangkat muka dan menoleh padanya.


Dini jelir lidah. Dalam hati dah berbakul-bakul sumpah seranah dilemparkan pada si abjad.

P/S Sila jangan segan-segan tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.
Req Group untuk tahu teaser-teaser bg bab2 akan datang https://www.facebook.com/groups/460780710692490/