Sunday, November 2, 2014

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 5


ABRAR melurut rambutnya berulang kali. Orang lain yang dia nak jumpa orang lain pula yang muncul. Tak pasal-pasal hati yang mula berbunga-bunga sudah kembali menutup pintu. Renungan mata figura yang duduk di depan dia dibalas.

“You nak apa lagi cari I, Iqa?” soalnya kasar.

“Berbual-bual dengan you pun dah tak boleh ke sekarang ni? Makwe baru you cemburu?” Sindir Afiqah. Suaranya turut sama kasar.

“You tak makan ke, Iqa?” Luqman menyampuk. Cuba untuk meredakan angin panas yang bertiup di sekeliling mereka bertiga. Malu pun ya juga bila orang di sekeliling sudah mula pandang-pandang. Namun terdetik juga dalam hatinya bagaimana Afiqah tahu kewujudan gadis yang dikatakan makwe Abrar. Mereka pernah tersermpak ke?

Abrar menjeling temannya.

“I kenyang lagi, Luq.” Afiqah tersenyum. Nasib ada Luqman. Kalau tidak memang berperang sahajalah dia dengan Abrar.

Luqman jongket bahu. Sengih tika menoleh pada Abrar di sebelahnya. Seketika sahaja sebelum menunduk bila dilihat Abrar seperti hendak menelan dia. Lebih baik dia sambung makan.

“Ini bukan hal cemburu, Iqa. You patut sedar yang you tu tunangan orang. Nanti apa kata tunang you kalau nampak kita masih berjumpa. Tak manis, Iqa.” Abrar meraup kasar mukanya sebaik habis berkata-kata. Nasi yang diambil tadi masih belum disentuh. Seleranya hilang.

“You dah lupakan semuanya ke, Abrar?” Suara Afiqah mendatar. Terasa hati dengan bicara Abrar. Semudah itu Abrar melupakan kenangan manis mereka berdua.

“Ya Allah! I ni masih beriman walau tak setebal mana, Iqa. You tahu tak salah kalau I masih ingat pada you. Status you dah berubah, Iqa. Status you tidak membenarkan I mengingati you lagi. Haram mengganggu tunangan orang.” Abrar menggeleng. Soalan Afiqah sepertinya gadis ini tidak tahu hukum hakam. Dia hanya mampu beristighfar dalam hati.

“Tapi I tak minta ditunangkan. Ini semua rancangan daddy I.” Afiqah menunduk. Cuba meraih simpati Abrar. Jemarinya bermain pada gelas minuman di depannya.

“Sama ada you suka atau tak, you dah jadi hakmilik orang. Bersyukurlah sebab ini yang memang you harapkan, kan? Lelaki yang bertanggungjawab atas sesuatu perhubungan. Lelaki yang mampu memberikan you segala-galanya.” Jeda.

“I orang kampung. I sedar diri. I memang tak layak berdiri sama tinggi dengan you. Anggap saja kisah kita tu kenangan paling pahit dalam hidup you. Kisah kita dah lama I buang jauh-jauh.” Tenang Abrar membalas.

“Sampai hati you, Abrar. I tak pernah pandang you macam tu. Senang-senang aje you buang kenangan 5 tahun kita.” Ada nada sendu pada suara Afiqah.

Dia tahu dia terlalu mendesak Abrar tapi bukan itu kemahuannya. Dia perlu lakukan itu bila daddynya kerap berkias untuk mengikat dia dengan anak rakan niaganya. Akhirnya dia mengalah bila Abrar sendiri tidak berjuang mempertahankan perhubungan mereka.

“You memang tak pandang I macam tu tapi daddy you tengok I sebelah mata pun dia tak mahu. Sudahlah, Iqa. I think you should go. We are over.” Abrar bersandar malas. Memandang Afiqah dengan satu renungan yang sukar ditafsirkan.

“Abrar…” Afiqah dekatkan badannya pada meja. Tangan Abrar cuba dicapainya tapi hampa bila Abrar meletakkan tangan di atas riba.

“Iqa, you pergilah balik. I takut kalau-kalau daddy you tahu you berjumpa dengan Abrar.” Luqman pula memujuk. Dia tahu Abrar pernah kena ugut dengan kuncu-kuncu daddy Afiqah tapi Abrar melarang dia memberitahu Afiqah. Tidak mahu simpati dari gadis ini.

Afiqah mengeluh. Memandang sayu pada wajah Abrar. Perlahan-lahan dia bangun dan berlalu dari situ.

 Bro, kau okey?” Luqman pandang muka Abrar.

“Kau rasa?” Abrar angkat kening sebelum bangun untuk membasuh tangannya yang sudah kering.

Luqman mengeluh. Memerhati langkah Abrar sambil menyuap nasi.

“Kagum aku dengan kaulah, bro. Puitis betul bila mr. geologist cakap pasal cinta. Dalam hati ada taman. Phewww,” sambung Luqman bila Abrar duduk semula. Dia menggeleng bersama senyuman di bibir. Tak sangka Abrar boleh menuturkan ayat-ayat berbau jiwang.

“Kau jangan nak berdrama sangat boleh tak, Luq? Rimas akulah.” Abrar mula menyuap masuk nasi ke dalam mulutnya. Tidak mahu memikirkan lagi apa yang telah berlaku tadi.

Like seriously Abrar the geologist ke yang bermadah tadi? Aku masih tertanya-tanya, bro.” Luqman langsung tak hiraukan kata-kata Abrar. Dia masih terkesima dengan kejadian tadi.

“Aku sembelih juga kau ni nanti.” Abrar mendengus. Tajam matanya memandang Luqman.

“Okey, okey. Aku sambung makan.” Luqman tersengih.

Selesai makan, mereka berdua bingkas keluar dari restoran itu. Ikut perancangan asal mahu berbual-bual kosong tetapi disebabkan hal yang berlaku tadi, semuanya tidak jadi. Elok sahaja Abrar dan Luqman melangkah keluar, Asyikin dan temannya sampai ke situ.

“Asyikin,” tegur Abrar dengan suara ceria.

Luqman terpinga-pinga. 360 darjah mood Abrar berubah. Tadi bukan main masam sekarang macam menang loteri. Inikah rezeki yang diperkatakan Abrar?

Terhenti terus langkah Asyikin bila ada yang menegurnya. Imah di sebelahnya turut sama berhenti.

“Abrar.” Dia memberi isyarat pada Imah untuk masuk ke dalam dahulu. Sempat Imah kenyit mata mengusik dia sebelum berlalu ke dalam.

“Langkah kanan I hari ni.” Abrar tersenyum.

“Oh! Ini ke yang kau maksudkan, Abrar?” Kening Luqman menari-nari. Menyampuk tanpa dipelawa.

Shut up!” Abrar menjeling.

Luqman mencemik.

Asyikin yang tidak tahu apa-apa hanya memandang kedua-dua lelaki di depannya.

“Baru nak lunch ke?”

“A’ah. You?”

“I baru aje lepas. You terlambat sikit. Kalau tak boleh kita lunch sama-sama.” Abrar masih tayang senyuman kacak.

Naaa… it’s okay.” Asyikin tersenyum sama.

“Nasib ada kawan I, Luqman ni temankan. Ini Asyikin.” Abrar terpaksa memperkenalkan Asyikin pada Luqman bila temannya ini asyik berdeham tanpa henti. Sengajalah tu. Bukan dia tak tahu dengan perangai Luqman. Tak boleh tengok dia senang.

“Hai.” Asyikin tundukkan sedikit wajahnya.

“Hai,” balas Luqman.

"Betul ke nombor yang you bagi I tempoh hari?" Abrar pandang Asyikin. Memintas sebelum Luqman buka mulut dan bertanya macam-macam.

"Eh, Betullah! Kenapa?" Kening Asyikin hampir bertaut. Seingat dia memang dia dail nombornya sendiri pada telefon bimbit Abrar tempoh hari. Masakan dia lupa dengan nombor telefonnya sendiri. Oh, wait! Adakah Abrar pemanggil misteri itu?

"Sekejap." Abrar keluarkan telefon bimbitnya. Mencari nombor yang sudah berulang kali didailnya sejak malam sehinggalah pagi tadi.

Telefon bimbit Asyikin berbunyi. Berkerut dahinya. Dipandang muka Abrar dan skrin telefon bimbitnya bersilih ganti.

"Laaa.... nombor you ke ni?" Bibir diketap. Ada rasa bersalah bersarang dalam hati.

"You tak save ke?" Bulat mata Abrar mendengar pertanyaan Asyikin.

"Tak. Maaf. I ingat orang gila manalah agaknya yang tak reti penat asyik nak call aje. Kenapa tak text I aje?" Asyikin tersengih. Harap Abrar tak marah pada dia. Memang dia lupa sangat-sangat.

“Orang gila! You kata I orang gila?" Makin terbuntang mata Abrar.

Luqman di sebelah dah menekan perut. Ketawa tak ingat dunia. Mulanya ingat nak simpan sendiri tawa tu tapi memang tak boleh. Lucu pula melihat gelagat Abrar.

 Abrar menyiku temannya itu.

Luqman tutup mulut. Cuba menahan tawanya dari berterusan.

“Orang gila yang handsomelah, boleh?” seloroh Asyikin. Senyumannya semakin lebar. Cuba menutup kesalahan yang tak disengajakan.

 Abrar tarik muka masam. Bengang. Boleh pula Asyikin beri gelaran macam tu kepada dia.

“Asyikin, you ada kawan-kawan yang masih bujang lagi tak?” Luqman mencelah.

Abrar yang tadinya ralit memandang Asyikin memandang kepada Luqman pula. Dahi dia dah berkerut. Rasa macam nak disekeh-sekeh kepala si Luqman yang sedang tersengih-sengih memandang dia.

“Kenapa?” Wajah Luqman dipandang Asyikin dengan tanda tanya.

“Yang perangai macam you. Sempoi. Boleh buat hati lelaki macam Abrar ni tak senang duduk. Mood berubah 360 darjah.” Luqman tekap tapak tangannya pada dada Abrar.

“Huh?” Asyikin terkebil-kebil. Tidak faham. Memandang Luqman dan Abrar bersilih-ganti.

“You jangan layan dia.” Abrar menggeleng. Ditepis tangan Luqman. Bahu Luqman turut ditumbuk kuat.

Luqman menyeringai. Digosok kuat bahunya. Hatinya terdetik pasti Asyikin sangat istimewa pada Abrar. Sepanjang Abrar masih mempunyai hubungan dengan Afiqah, temannya ini tak seceria sekarang. Penangan jururawat Asyikin ni memang hebat.

“Okey.” Asyikin jongket bahu.

“Pinjam handphone you?” Abrar tadah tangan.

“Nak buat apa?” Asyikin sorok tangan yang memegang telefon bimbit ke belakang.

“Comel.” Luqman menggeleng. Manalah temannya ini tak jatuh hati. Kalau Asyikin ini bukan dalam perhatian Abrar, mahu juga dia cucuk jarum.

“Kau ambil kunci ni.” Abrar serahkan kunci pacuan empat rodanya kepada Luqman. Tidak mahu Luqman meyampuk perbualan antara dia dan Asyikin.

“Gurau sikit pun tak boleh.” Luqman capai kunci. Faham dengan isyarat yang cuba disampaikan Abrar. Sengaja dia melangkah lambat-lambat meninggalkan Abrar dan Asyikin.

Abrar memerhati belakang Luqman sehingga susuk tubuh temannya itu hilang. Pandangannya kembali terarah kepada Asyikin.

“Mana?” Abrar angkat kening. Tangan masih ditadah.

“Cakap dulu you nak buat apa?” Asyikin masih enggan memberikan telefon bimbitnya. Tak pernah seumur hidup telefon bimbit miliknya sewenang-wenangnya diberi kepada orang lain terutama sekali lelaki melainkan ayahnya.

“Bagi dulu. Nanti baru you tahu.” Abrar tidak mahu mengalah. Mendesak secara lembut.

Dengan berat hati Asyikin letak juga telefon bimbitnya di atas tapak tangan Abrar.

Abrar menekan-nekan telefon bimbit Asyikin.

Asyikin memerhati dengan sedikit gelisah. Apa yang lelaki ni nak buat sebenarnya?

“You betul-betul letak orang gila dekat nombor I?” Suara Abrar naik satu oktaf. Bengang.

“Hesy… kan I dah cakap tadi I tak simpan nombor you. Maaflah. Memang I lupa tu nombor siapa.” Asyikin tak tahu nak beri alasan apa lagi. Bibir digigit. Rasa bersalah semakin menjalar. Terlupa pula memadam gelaran yang ditulisnya itu.

“Sebab you dah buat salah. Malam ni you kena keluar makan dengan I.” Abrar pulang semula telefon bimbit Asyikin.

“Perlu ke?” Mulut Asyikin dah herot ke kiri dan ke kanan. Sengaja tau lelaki ni nak buat dia semakin rasa bersalah.

“Perlulah. Nanti baru you tahu I gila ke tak. You kerja pagi kan? Apa-apa nanti I call you. Assalammualaikum.” Abrar terus pergi tanpa menunggu persetujuan Asyikin.

“Wahhh… sesedap bahasa dia aje. Dominan. Aku tak cakap pun aku nak keluar malam ni dengan dia.” Asyikin membebel sambil tangan berlari pada skrin telefon bimbit.


“Euwww… Abrar handsome. Please!” Tergoyang-goyang bahu Asyikin bila membaca nama yang diedit Abrar pada telefon bimbitnya. Tak menahan betullah si Abrar ni.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

10 comments: