SEMUA suis lampu dimatikan kecuali di
bahagian rak pameran dinding kaca yang menghadap ke kaki lima. Pintu kedai
ditutup. Kunci diloloskan. Azim menolak sedikit pintu kaca itu untuk
mempastikan ianya benar-benar berkunci. Setelah yakin dia berpusing ke
belakang.
“Allah!” Azim mengurut dada.
Amili yang bersandar pada badan kereta
Azim tersengih.
“Aku ingat Cik Ponti.” Selamba saja Azim
mengutuk. Punat kunci keretanya ditekan.
“Kau!” Amili tuding jari pada Azim.
Geram.
Ayat Azim memang menyakitkan. Baru sahaja
dia berniat nak berbaik-baik dengan lelaki ini. Memandangkan lelaki itu sudi
berkongsi makanan dengan dia lewat petang tadi.
“Ada apa malam-malam bertunggu tangga
dekat kereta anak teruna orang?” Azim menarikan keningnya.
“Aku baru ajelah diri dekat sini,”
tempelak Amili. Marah dengan tuduhan melulu Azim. Lelaki ini memang. Kata-kata
tu kalau tak sarkastik memang bukan Azimlah namanya.
“Ya?” Azim jongket kening.
“Suka hatilah nak percaya ke tidak.”
Amili buat muka. Menyampah. Pada masa yang sama menyesal. Kalau dia tahu
beginilah layanan balas yang diterima, memang taklah dia nak terhegeh-hegeh
berdiri di sini.
“Baru cakap sikit nak merajuk.” Azim
ketawa-ketawa. Dia menapak mendekati keretanya. Badannya turut disandar pada
keretanya. Betul-betul di sebelah Amili.
“Mana ada orang merajuk?” Amili
menjeling.
“Kalau tak merajuk, apasal nak
muncung-muncung pula?” Azim mengusik lagi. Tidak tahu kenapa sejak pertama kali
bersua muka dengan Amili gadis ini seperti ada satu aura yang memaksa dia
sentiasa ingin mengusik. Keletah Amili mencuit hatinya. Sifat kurang matang
Amili nampak comel di mata dia. Agaknya sebab selama ini dia dibesarkan
sendirian tanpa adik-beradik menyebabkan dia mudah untuk mendekati Amili.
“Eee…nak baliklah.” Amili berdiri tegak.
Dia mula melangkah perlahan-lahan.
Sebenarnya dia berharap Azim akan memanggilnya tetapi sudah beberapa langkah
meninggalkan lelaki itu, Azim masih berdiam diri. Langkahnya mati. Dia
berpusing.
Azim yang memerhati menjongketkan
kening.
“Errr…” Amili ketap bibir. Tidak tahu
mahu mulakan semula bicara yang bagaimana. Takut Azim ketawakan dirinya. Umpama
hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
“Teman aku makan nak? Aku tak sempat
makan tadi.” Wajah Azim serius. Dalam hati sebenarnya dia sudah gelak sakan.
Dia tahu Amili mengharapkan dia menghalang Amili dari pergi meninggalkan dia.
Gadis ini memang jujur. Tidak pandai menyembunyikan apa yang dirasa.
Berkerut dahi Amili. Dia salah pamer
riak di wajah ke? Muka dia memang tertulis muka ajak lelaki ini makan ke?
“Tawaran terhad.” Azim tegakkan badan.
Berjalan ke pintu sebelah pemandu.
Baru sahaja dia membuka pintu, senyuman
terpamer di bibirnya. Lucu melihat gelagat Amili yang kelam-kabut masuk ke
dalam keretanya. Dia menggeleng dan turut masuk ke dalam kereta.
“Mama kau dah tahu ke belum ni?” soal
Azim sambil menghidupkan enjin kereta. Mengerling sekilas Amili di sebelah yang
buat muka selamba.
“Dah. Selalu dia tak bagi aku keluar
dengan lelaki terutama dengan Abang Zaki. Entah apa yang kau dah mandrem mama. Bila aku sebut nama kau
senang pula mama bagi,” jujur Amili memberitahu.
“Dah ada pakwe.” Azim terangguk-angguk. Sedikit kecewa bila ada nama lelaki
lain meniti di bibir Amili. Azim, kau dah kenapa? Takkanlah sudah jatuh hati
dengan anak dara orang?
“Bukan pakwelah. Abang Zaki tu abang angkat aku.” Amili membetulkan fakta.
Tidak suka bila Azim menuduh dia sudah ada pakwe. Dia belum bersedia memilih
mana-mana lelaki untuk dijadikan teman istimewa. Umur dia masih muda. Lagipula
mama pun dah bagi amaran. Selagi cita-cita tak kesampaian jangan berangan nak
berkahwin.
“Kenapa anak-anak gadis sekarang suka
sangat nak mengangkatkan lelaki bukan mahram sebagai abang? Dah tak ada abang
tu buatlah cara tak ada abang.” Sinis sahaja kata-kata yang ditutur Azim sambil
menggeleng.
Keretanya diundurkan sebelum meluncur
laju membelah kepekatan malam.
“Suka hati oranglah.” Amili menjeling.
“Susah-susah sangat panggil aku abang.
Senang. Lembutkan lidah panggil macam tu dari sekarang.” Azim membalas tanpa
perasaan.
Eh! Dia ni dah kenapa? Dahi Amili
berkerut. Hei, lama-lama aku tua sebelum umur jadinya. Spontan jemarinya naik
ke dahi. Mengendurkan kerutan yang berlapis di situ.
“Sebab mama kau dah suka dengan aku.
Untung-untung boleh aku jadi menantu dia.” Azim tergelak sendiri dengan
kata-katanya.
“Siapa nak dengan kau? Ada hati nak jadi
suami aku.” Amili mencemik.
“Eh, aku tak cakap nak jadi suami kau.
Aku cakap jadi menantu mama kau.” Azim putar ayatnya.
“Hello! Macamlah aku ni ramai
adik-beradik yang mama aku nak kahwinkan kau dengan saudara perempuan aku yang
lain. Kau lupa ke yang aku anak tunggal?” Terjegil mata Amili memandang Azim.
Ayat lelaki ini memang tak menahan langsung. Putar belit macam ular.
“Okey juga tu kalau kahwin dengan kau.
Kalau orang lain yang jadi menantu Puan Fiza harus jadi menantu hantu tapi
kalau aku mestilah menantu mithali.” Azim masih lagi ketawa-ketawa.
Amili merengus. Mulutnya mengomel
sendiri. Perlahan hingga tak dapat ditangkap bicaranya oleh Azim.
Azim mengerling sekilas. Tersenyum
senget melihat bibir nipis itu membebel sendirian. Semakin nampak comel di
matanya.
Tiada ungkapan dari bibir kedua-duanya
hinggalah Azim membelok masuk ke kawasan rumah pangsa. Di situ ada sebuah kedai
makan yang terkenal dengan masakan dari Negeri Kelantan.
“Nak duduk dalam kereta aje ke?” Azim
mengusik bila melihat Amili masih tidak membuka tali pinggang keledarnya.
Kenyataannya dia tidak pandai memujuk. Entah Amili termakan kata-katanya atau
tidak, dia tidak pasti.
Amili masih bungkam. Hanya tangannya
yang bergerak. Kalut dibukanya tali pinggang keledar hingga tika dia hendak
melangkah keluar hampir sahaja dia tersungkur.
Kelam-kabut Azim menarik pinggang Amili.
Mengelak Amili dari jatuh tersembam.
“Errr…” Amili kaget. Jantungnya berdegup
laju. Terperanjat. Bukan hanya kerana dia nyaris tersungkur tetapi kedudukan badan
Azim yang terlalu rapat dengan tubuhnya.
“Sorry.”
Perlahan-lahan Azim melepaskan tautan tangannya. Badan terus disandarkan pada
kerusinya semula.
Amili tidak tunggu lama. Terus keluar
dari kereta. Laju melangkah menuju ke dalam kedai makan.
Azim cuba menenangkan perasaannya. Tangan
melekap di dada. Ada debaran di situ. Bukan dia sahaja yang berperasaan
sedemikian Amili pun sama. Mana dia tahu? Telinganya dapat mendengar dengan
jelas hembusan nafas Amili yang laju tadi.
“Jangan perasanlah, Azim.” Azim
menggeleng sendiri. Terus sahaja keluar dari kereta dan menuruti langkah Amili
yang sudah masam mencuka menunggu dia di dalam kedai makan.
Amili merenung tajam Azim yang
tersenyum-senyum berjalan menuju ke meja. Mulut tak ada insuran milik dia
pantas sahaja memuntahkan kata.
“Kau kena belanja aku eh sebab kau…”
“Sebab apa?” Kening Azim menari-nari. Memintas
kata-kata Amili sebelum sempat gadis itu menyudahkan bicaranya. Dia menarik
kerusi yang terletak bertentangan dengan Amili.
“Tak ada apa-apalah.” Amili kalih
pandang. Malas untuk bertelagah. Kalau diteruskan dia juga yang malu sendiri
nanti.
Senyuman Azim semakin lebar. Merasakan
kemenangan miliknya. Sebenarnya dia sendiri tidak selesa berbicara perihal
tindakan refleks dia tadi. Tak perlulah dipanjangkan. Lalu pantas sahaja dia membuat
pesanan bila pelayan kedai makan menghampiri meja mereka.
Terjongket kening Amili bila mendengar
menu pilihan Azim. Langsung tak bertanya dengan dia. Geram betul. Nasib ajelah
lelaki ini yang nak belanja. Telan sahajalah.
Tidak sampai 15 minit, makanan yang
dipesan sudah sampai. Inilah salah satu sebab Azim memilih untuk makan di sini.
Sedap dan pantas.
Masing-masing menikmati hidangan di
depan mata. Azim terlebih dahulu menghabiskan makanannya. Merenung Amili
seketika.
"Tak bosan ke hidup sorang-sorang?" Azim memandang
Amili. Bersandar malas di kerusinya. Tangan bersilang di dada.
Tersedak Amili yang baru menghirup kuah
tomyam. Kalut mencapai gelas berisi ais limau.
Azim jongket kening.
Apahal tanya dia soalan merepek ni.
Terkerdip-kerdip mata Amili.
"Soalan aku bukan soalan
Sains." Sinis sahaja Azim menyindir.
"Aku ada emak. Ada ayah. Mana
pernah hidup sorang-sorang."
Amili membalas. Dia tahulah soalan Azim tadi bukan soalan Sains. Sudahlah tu
memaksa orang suruh jawab juga soalan dia.
"Untunglah." Azim buat muka.
Lahhh... ada masalah jiwa ke lelaki ni?
Amili, cepat fikirkan sesuatu.
"Kau ada masalah ke?"
"Seronok kan bila kita hidup dengan
orang-orang yang kita suka dan sayang." Azim tersenyum sendiri. Tidak
menjawab soalan Amili. Sebaliknya meninggalkan teka-teki.
Sah. Lelaki ni memang ada masalah jiwa.
Spontan Amili garu kepala.
P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.