Thursday, October 22, 2015

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 13


            H
ARI ini Asyikin rasa lain. Rasa yang mungkin setiap perempuan rasa bila sudah disunting secara rasmi. Gembira. Bahagia. Seronok. Berdebar.

  Semalam majlis pertunangan antara dia dan Abrar telah berlangsung. Malangnya Abrar tak dapat turut serta dalam majlis semalam. Si dia perlu ke luar daerah. Sudah seminggu si dia kerja luar. Apa nak buat. Sudah kerja Abrar memang begitu.
        “Amboi! Senyum panjang nampak.” Imah menyiku Asyikin yang tersengih sahaja dari tadi.
        “Nak awet muda. Haruslah tersenyum.” Kening Asyikin menari-nari. Bersenda.
   “Jangan nak menipu. Aku tahulah kenapa kau senyum-senyum.” Imah menggeleng. Disua pinggan berisi mi goreng kepada Asyikin.
         “Dah kenyang.” Asyikin menggeleng sambil menepuk-nepuk perutnya.
         “Belum apa-apa dah berdiet?” Imah jongket kening.
         “Kena biasakan. Takut nanti baju pengantin tak muat.” Asyikin ketawa-ketawa.
     Dia tak tipu. Sejak akhir-akhir ini selera makannya semakin menjadi-jadi. Kalau diet itu tak dimulakan dari sekarang, takut bila sampai tarikh menikah nanti semua baju tidak muat dipakai.
         “Choiii! Lagi setahun kut.” Imah menjuihkan bibirnya.
      “Sebab lagi setahunlah aku kena mula dari sekarang.” Asyikin kenyit mata dan menyambung ketawanya lagi.
      “Errr... Doktor Naim kau datang ke sinilah.” Imah muncungkan mulut pada susuk tubuh yang sedang mengatur langkah ke tempat mereka berehat.
         Asyikin menoleh sekilas. Wajah Imah dipandang semula. Wajahnya sudah cuak.
         Again? Macam mana ni, Imah.” Dahinya sudah berkerut.
     “Buat biasa-biasa sudah tapi lebih baik kau berterus-terang pasal status kau sekarang.” Imah cuba memberi buah fikiran. Tujuannya murni. Untuk mengelakkan fitnah memandangkan Asyikin pun sudah menjadi tunangan orang.
         “Masalahnya dia ni jenis tak reti bahasa.”
       “Kalau Bahasa Malaysia dia tak pandai. Kau hentamlah mandarin ke tamil ke arab ke.” Imah ketawa-ketawa.
         “Tak membantu, okey.” Asyikin jegilkan mata.
    Imah menyinggul lengan Asyikin. Memberi isyarat Doktor Naim sudah semakin mendekati mereka.
       Asyikin angguk dan berpura-pura tersenyum bila Doktor Naim sudah sampai di depan dia dan Imah.
        "Nah." Doktor Naim hulurkan pinggan berisi udang bakar.
      "Errr..." Asyikin serba salah. Muka Imah dipandang minta si teman membantunya tetapi Imah pura-pura tidak nampak.
        "You suka udang, kan?" Doktor Naim tersenyum sambil tangan mengupas kulit udang.
        "Doktor, please..." Asyikin mengeluh. Tidak senang dengan kebaikan yang ditunjukkan Doktor Naim. Rimas.
   "It's okay. I dengan rela hati buatkan untuk you." Doktor Naim tersenyum. Langsung tidak diendahkan rayuan Asyikin.
       Asyikin mencubit halus paha Imah.
       "Ambik ajelah." Imah buat isyarat muka.
    Asyikin menggeleng. Tanda tidak mahu. Takut Doktor Naim tersilap tafsir. Dia sebolehnya tidak mahu doktor kacak ini tersalah anggap lagi. Perlu ke dia berterus-terang?
       "Done." Pinggan berisi udang yang sudah siap dikopek dihulur kepada Asyikin.
       “Aku nak ambil air sekejap.” Imah sempat berbisik pada Asyikin sebelum berlalu dari situ.
      “Doktor, boleh tak you jangan terlalu baik dengan I?” Asyikin cuba menyampaikan rasa kurang senangnya dengan sikap yang ditunjukkan Doktor Naim.
       Why can’t I?” Doktor Naim merenung wajah Asyikin.
      Asyikin serba tidak kena. Namun dia harus tamatkan semua ini. Lagipun tak lama lagi dia bakal berkahwin. Dia tidak mahu apa yang dibuat Doktor Naim menjadi fitnah. Segala-galanya perlu ditamatkan hari ini juga. Nafas dihela dalam-dalam. Setelah berasa tenang, diluahkan apa yang sepatutnya dia cakap.
    “I dah bertunang.”
    So?” Kening Doktor Naim terjongket. Seolah-olah tidak faham maksud kata-kata Asyikin.
    Ya Allah, lelaki ni. Mental ke apa? Faham ke tidak maksud perkataan bertunang? Bukan ke ada disebut dalam hadis jangan dikacau gadis yang telah disunting lelaki lain. Aduh, lama-lama dia yang mental bukan lelaki ini. Asyikin menggeleng kecil.
   "Please, doktor. Tolonglah faham. Saya tak boleh. T-A-K-B-O-L-E-H." Suara Asyikin sedikit bergetar. Memandang Doktor Naim yang tunak memandangnya. Mengharapkan lelaki ini memahami situasi mereka.
    "Tapi kenapa? Saya kenal awak dahulu sebelum dia." Lontaran suara Doktor Naim sedikit keras. Rambutnya dikuak ke belakang.
  "Ya, saya akui tapi rasa dalam ni tak boleh dipaksa." Asyikin menepuk dadanya berkali-kali. Sedikit tertekan dengan apa yang terjadi sekarang.
  “Rasa tu boleh dipupuk, Ikin.” Doktor Naim masih tidak mahu mengalah. Merenung Asyikin tajam.
  Asyikin tersenyum kelat. Memang betul tak faham bahasa doktor kacak ni. Dia perlu juga membalas kata-kata Doktor Naim ini.
  “Apa yang doktor cakap tu memang betul. I tak nafikan tapi kalau rasa itu dipaksa juga akan menyebabkan rasa lain yang wujud. Benci, dendam dan amarah.” Dia memandang ke arah teman-temannya yang sedang bergelak tawa di sudut lain.
   “You memang sengaja tak nak bagi peluang tu pada I, kan?” Doktor Naim mendesak lagi. Tidak senang dengan kata-kata yang diungkapkan Asyikin.
   “Dalam dunia ni bukan I seorang sahaja perempuan, doktor. Ramai lagi perempuan bujang yang lain. You boleh pilih. Doktor Marina tu, terang-terang sukakan you. Takkanlah you tak perasan.” Asyikin cuba berlembut. Seboleh mungkin cuba mengawal situasi ini dalam keadaan tenang.
  “Kalau you dah tak sukakan I, jangan you pandai-pandai nak pasangkan I dengan sesiapa pun.” Doktor Naim membalas keras. Bengang. Wajahnya sudah dikalihkan ke tempat lain. Tidak mahu memandang gadis yang berjaya mencuit hatinya.
  "Asyikin." Satu suara garau menyapa.
   Asyikin dan Doktor Naim menoleh.
 Asyikin menarik nafas lega sebaik melihat susuk tubuh Abrar menghampiri dia dan Doktor Naim.
 Abrar tersenyum pada Asyikin. Tangan dihulur pada Doktor Naim sebelum melabuhkan punggung pada kerusi di sebelah Asyikin.
"Are you okay?" tanya Abrar pada Asyikin.
Asyikin hanya mampu tersenyum.
“I pergi dulu.” Doktor Naim mencelah pada pasangan yang saling berbalas senyum ini. Dia tidak betah untuk duduk memandang pemandangan yang menyakitkan hatinya.
Wait, doktor!” tegah Asyikin sebelum Doktor Naim berlalu.
Langkah Doktor Naim mati.
Abrar angkat kening pada Asyikin.
“Ini tunang I, Abrar Faris.” Asyikin memperkenalkan Abrar walau dia tahu Doktor Naim kenal Abrar.
Abrar hulur tangan.
Doktor Naim hanya memandang dan terus berlalu.
Asyikin dan Abrar hanya mengangguk. Menghantar Doktor Naim pergi dengan lirikan mata sahaja. Mereka berdua berpandangan semula.
“Assalammualaikum, cik tunang.” Abrar berseloroh.
Wajah ceria Asyikin dipandang tanpa puas. Wajah yang kini sudah separuh berjaya dimilikinya. Tinggal separuh sahaja lagi akan menjadi miliknya yang mutlak.
“Waalaikumussalam, encik tunang.” Asyikin melayan.
“Patutlah hati I rasa lain aje. Sejak dari semalam. Rupa-rupanya ada kumbang tak faham bahasa asyik mengacau cik tunang.” Abrar jongket kening.
Tidak salah perkiraan dia untuk terus datang mencari Asyikin. Penat memang penat tapi berbaloi rasanya bila dapat memandang wajah bakal permaisuri hatinya ini. Sekurang-kurangnya dia dapat melindungi cik tunangnya ini.
“Encik tunang jangan risau. Cik tunang dah dirikan tembok kebal. Tinggi. Doktor tu tak dapat panjat pun hatta lelaki lain juga.” Asyikin tersenyum.
Cuba mengelak dari berlaku sengketa. Tidak mahu memanjangkan kisah dia dan Doktor Naim. Apa yang penting sekarang, dia perlu merencana dengan baik apa yang bakal dia dan Abrar hadapi di masa akan datang.
“I percayakan you.” Abrar tersenyum.
“Terima kasih.” Asyikin turut sama tersenyum.
So, apa rasa sekarang?”
“Gementar.”
Really? Tak nampak macam gementar pun.” Abrar jongket kening. Wajah mulus Asyikin direnung tanpa puas.
Rindunya pada wajah ini sukar untuk diperkatakan. Bila emaknya memberitahu urusan meminang sudah selesai dan tarikh ijab kabul juga telah ditetapkan. Dia bersyukur sangat-sangat. Segala-galanya telah dipermudahkan-Nya.
“You dah balik rumah ke belum ni?” soal Asyikin menyimpang dari jawapan yang Abrar mahukan.
“Sayang, you sengaja kan.” Suara Abrar mengendur. Bunyi seperti merajuk.
“Janganlah macam tu. I betul-betul gementar ni. Pertama kali kut jumpa you dengan status yang dah berubah ni.” Asyikin memujuk.
Cheeky.” Abrar menggeleng sambil tersenyum.
“Tak sangka Mr. Geologist a.k.a. encik tunang ni dalam hati ada taman.” Asyikin mula mengusik.
“Tolonglah sangka.” Abrar berbisik perlahan.
“Huh! Apa bisik-bisik tu? No, no, no.” Tiba-tiba ada satu suara yang mengganggu perbualan mesra pasangan tunang ini.
 Kedua-duanya mengangkat wajah. Memerhati insan yang menegur mereka.
 Imah menari-narikan jari telunjuknya kiri kanan.
 Meletus tawa Asyikin dan Abrar. 

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

10 comments:

  1. Yeay, dh tunang, lambat lagi nk nikah, mesti ada dugaan , bekas gf Abrar tk muncul lagi ni huhu .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak ke jumpa bekas gf abrar? hikhikhik... nantikan kemunculan dia... poyo je kannnn

      Delete
  2. Akhirnya bertunang juga... tapi lama tu 1 tahun... banyak dugaan tu... lebih-lebih lagi dgn langau-langau yg berkeliran dan x faham bahasa ... sakit jiwa...hihihi

    ReplyDelete
  3. Dh jadi tunang
    Ntah apalah agaknya dugaan yg bakal dtg
    😃

    ReplyDelete
  4. Hanya cik writer yg tahu.....hrp2 dugaan yg x memutuskan ksh abrarasyikin...😊😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq puteri lavender sudi baca.... tunggu next chap or lebih senang versi cetak... miahahaha

      Delete
  5. Marathon semua citer yg trtinggal lama kt sini.. wuhuuu.. suka abrarasyikin ni.. dr naim tu syuhhh.. pi main jauh2.. buat semak jer..

    ReplyDelete